ANCAMAN KEPADA ORANG KAFIR
Baqarah Ayat 159: Ayat 159 – 167 adalah Perenggan Makro yang mengandungi penekanan kepada Aqidah Tauhid. Ayat 159 ini adalah ayat zajrun dan takhwif ukhrawi. Ayat-ayat ini masih menyangkut dengan sikap ahlul kitab, terutama Yahudi yang ada di Madinah seketika Rasulullah memulai dakwahnya. Mereka telah mengetahui bahawa kiblat yang telah ditukar ke Ka’bah itu adalah benar. Di ayat 146 dahulu telah diterangkan bahawa mereka mengenal siapa Rasulullah itu sebagaimana mereka mengenal anak kandung mereka sendiri, sebab sifat-sifatnya cukup tertera di dalam Kitab yang mereka terima (Taurat), tetapi sebahagian besar di antara mereka sengaja menyembunyikan kebenaran itu. Sekarang datanglah ayat ini menerangkan jenis orang-orang yang menyembunyikan kebenaran itu.
Asalnya ia diturunkan tentang perbuatan golongan Yahudi namun ayat ini berbentuk umum. Oleh itu, bukan ditujukan hanya kepada mereka sahaja. Dulu sahaja ia untuk menegur golongan Yahudi kerana mereka menyembunyikan ajaran penting dalam Kitab Taurat daripada masyarakat. Jadi kalau kita pun ikut perangai Yahudi itu yang menyembunyikan kebenaran, kita juga akan mendapat laknat Allah.
‘Menyembunyikan’ itu bermaksud tidak mengajarkan kepada umat. Memang ia ada dilakukan oleh pemuka golongan Yahudi. Kalau benda yang berat dan mereka rasa umat awam tidak boleh terima, mereka tidak akan beritahu. Sebagai contoh, kalau golongan miskin melakukan zina, mereka dikenakan hukuman rejam yang ada dalam Taurat tetapi kalau untuk golongan bangsawan pula yang melakukan zina, mereka cuma dicalit hitam pada muka dan dimalukan di khalayak ramai sahaja. Mereka boleh buat begitu kerana Kitab Taurat tidak ada di tangan masyarakat (seperti Al-Qur’an) jadi mereka boleh tipu. Apabila golongan miskin tanya kenapa pula ada dua jenis hukuman yang berbeza, akhirnya ulama’ Yahudi terus kata yang hukuman rejam pun tidak ada dalam Taurat. Mereka sembunyikan terus hukum yang memang ada dalam Taurat. Begitu juga kedatangan Nabi Muhammad ﷺ telah jelas ada dalam kitab mereka tetapi mereka sembunyikan juga. Malah banyak lagi perkara yang mereka sembunyikan.
Sekarang ayat ini ditujukan kepada guru-guru yang mengajar tetapi takut kepada orang jahil. Ada guru yang takut kepada anak murid sampai mereka tidak mengajar tauhid yang sebenar kepada manusia. Maka ayat ini kepada orang alim yang takut.
Juga ayat ini ditujukan kepada mereka yang belajar dan takut untuk menyampaikan perkara yang sebenar kepada masyarakat. Kesannya masyarakat duduk dalam jahil dan bila ada yang berani tegur, masyarakat akan cakap: “Eh tak pernah dengar pun.”
إِنَّ الَّذينَ يَكتُمونَ ما أَنزَلنا مِنَ البَيِّنٰتِ وَالهُدىٰ مِن بَعدِ ما بَيَّنّٰهُ لِلنّاسِ فِي الكِتٰبِ ۙ أُولٰئِكَ يَلعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلعَنُهُمُ اللّٰعِنونَ
Indeed, those who conceal what We sent down of clear proofs and guidance after We made it clear for the people in the Scripture – those are cursed by Allah and cursed by those who curse,
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan
Ini adalah mereka yang berani menyembunyikan apa yang mereka patut sampaikan. Bahaya apabila kita menyembunyikan kebenaran dalam apa hal pun, tetapi terlebih bahaya apabila yang disembunyikan itu adalah dalam hal agama. Ini sepertimana yang telah dilakukan oleh golongan Yahudi itu. Apakah yang mereka sembunyikan?
مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنٰتِ
apa yang telah Kami turunkan dari keterangan yang nyata;
Keterangan-keterangan itu ialah tentang sifat-sifat Rasul Akhir Zaman yang akan diutus Tuhan itu, iaitu Nabi Muhammad yang sudah jelas sifat-sifatnya itu diterangkan, sehingga mereka kenal sebagaimana mengenal anak mereka sendiri. Dengan menyebut keterangan-keterangan (di dalam bentuk jamak), nyatalah bahawa penjelasan ini bukan di satu tempat saja dan bukan satu kali saja, melainkan di berbagai kesempatan.
Tapi bukan kaum Yahudi itu sahaja yang bersalah. Seperti yang kita telah sebutkan berkali-kali, Allah sekarang sedang memberi peringatan kepada umat Islam supaya jangan ikut sifat-sifat Yahudi yang telah banyak disinggung di dalam ayat-ayat di dalam Surah Baqarah ini. Dan memang ada golongan yang bersifat seperti golongan Yahudi itu terutama golongan yang digelar agamawan. Yang disembunyikan oleh mereka yang takut untuk mengajar itu adalah hukum-hukum akidah dan hukum-hukum amal. Mereka telah ada ilmu wahyu, tetapi mereka simpan sahaja. Sedangkan apa yang mereka sampaikan itu adalah kebenaran yang jelas nyata tertulis di dalam Al-Qur’an dan hadis. Akan tetapi kerana ramainya golongan yang jahil agama, senang sahaja ia disorok oleh agamawan yang tidak jujur dengan ilmu.
Allah tidak sebut apakah yang diturunkan tapi Allah hanya sebut sifatnya sahaja iaitu الْبَيِّنٰتِ yang bermaksud jelas nyata. Memang begitulah sifat ilmu wahyu ini. Cuma malangnya ramai yang tidak rasa ia tidak jelas, tapi ini hanya kerana mereka tidak belajar. Kalau mereka belajar, maka ia juga akan menjadi jelas bagi mereka. Maka kerana itulah kita sarankan sangat umat Islam belajar tafsir Al-Qur’an ini dan sampaikan kepada semua orang termasuk kepada Non-Muslim sekali. Kerana mereka juga perlu tahu tentang wahyu Allah ini. Memang kita disuruh untuk sampaikan berdasarkan hadis Nabi yang terkenal:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3461) dalam Sahih-nya
وَالْهُدَىٰ
dan petunjuk
Mereka tidak memberitahu petunjuk-petunjuk yang di dalam kitab wahyu untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Antaranya ajaran tentang hukum haramnya mengamalkan syirik. Ini sama sahaja diperlakukan oleh golongan Yahudi dan agamawan zaman sekarang. Sedangkan petunjuk atau hidayah ini amat diperlukan oleh masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahuan terutama sekali yang datang dari wahyu.
Maka kerana itu amatlah sesat ada puak seperti golongan sufi tarekat yang mengatakan ada ilmu yang Rasulullah tidak sampaikan kepada semua orang, kecuali kepada beberapa orang tertentu sahaja dari kalangan sahabat. Kononnya mereka hendak kata ilmu sesat yang mereka belajar itu sebenarnya ada, cuma tidak diketahui umum. Ini setelah kita persoalkan dari mana mereka dapat amalan-amalan bid’ah dan fahaman mengarut mereka itu. Karut sekali kata-kata mereka itu sedangkan ‘Aisyah Radhiyallahu anhuma Ummul Mukminin, isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, pernah bersaksi:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ مَنْ حَدَّثَكَ أَنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَمَ شَيْئًا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَقَدْ كَذَبَ وَاللَّهُ يَقُولُ يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْآيَةَ
Dari ‘Aisyah Radhiyallahu anha, dia berkata: “Barangsiapa menceritakan kepadamu bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam menyembunyikan sesuatu dari wahyu yang telah diturunkan oleh Allah kepada baginda, maka dia telah berdusta, Kerana Allah Azza wa Jalla berfirman ‘Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu’ al-ayat (Maidah:67).
[Sahih Bukhari, no. 4612]
Kumpulan sufi tarekat ini juga menggunakan satu hadis sebagai hujah ada ilmu yang memang dirahsiakan oleh para sahabat. Hadis itu adalah,
– عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ حَفِظْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وِعَاءَيْنِ فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَبَثَثْتُهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَلَوْ بَثَثْتُهُ قُطِعَ هَذَا الْبُلْعُومُ
Dari Abu Hurairah berkata, “Saya telah menghafal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dua macam ilmu. Yang satu aku telah sebarkan, yang satu lagi sekiranya aku sebarkan nescaya akan dipotong/terputus urat leher ini.”
Sahih Bukhari (117)
Syarah:
– Memang hadis ini mengajar kita bahawa dalam kita banyak-banyak ilmu yang kita dapat, bukan boleh diceritakan semuanya kepada umum. Ada perkara yang tak dapat disebarkan kerana kalau sebar, orang akan kata kita sesat dan akan membunuh kita nanti. Itu kerana mereka tidak faham dan tidak dapat menerimanya.
– Pendapat ulama mengatakan apa yang tidak disebarkan oleh Abu Hurairah itu adalah pengetahuan beliau yang beliau dapat terus dari Nabi tentang fitnah-fitnah (ujian-ujian) yang akan datang. Perkara itu diceritakan oleh Nabi kepada beliau. Ini adalah perkara-perkara taqwini. Ianya adalah qada’ dan qadar yang Allah telah tetapkan akan berlaku iaitu perkara masa hadapan yang akan berlaku. Contohnya, bagaimana Saidina Uthman akan terbunuh dan sebagainya. Nabi sendiri telah memberitahu kepada Uthman beberapa kali bahawa dia akan dibunuh. Tapi kerana Uthman seorang yang berjiwa besar, beliau dapat menerimanya dengan rela. Kerana itu beliau tidak melawan penentang yang datang hendak membunuhnya. Orang lain datang hendak tolong pun beliau tidak benarkan.
– Ada pula kata ianya adalah tentang suasana pemerintahan masa hadapan. Abu Hurairah sudah tahu bahawa akan terjadi perkara besar yang menyedihkan nanti. Sebab itu dikatakan beliau selalu berdoa supaya diselamatkan dari ‘kepala 60’. Dia meminta supaya dia tidak melihat tahun 60 Hijrah kerana banyak sangat fitnah semasa zaman pemerintahan Yazid nanti. Dia tak sanggup tengok apa yang akan terjadi kepada umat Islam. Dan memang Abu Hurairah meninggal pada tahun 59 Hijrah.
– Ada pula yang kata bahawa ilmu yang dia tak cerita itu adalah ilmu tasawuf iaitu ilmu hakikat. Ini tidak dapat diterima kerana kalau ilmu itu penting, kenapa dia tidak beritahu kepada masyarakat?
– Sebenarnya pendapat yang kuat adalah bahawa ilmu yang dia tidak beritahu itu adalah ilmu taqwini iaitu tentang rahsia di masa hadapan yang Nabi telah berikan terus kepada beliau. Beliau tidak sampaikan kepada masyarakat sebab tidak ada manfaat untuk diberitahu kepada masyarakat umum. Mungkin kalau beritahu, lagi akan menyusahkan manusia. Kerana banyak perkara dalam dunia ini, manusia yang awam lebih elok tidak tahu. Macam banyak perkara kita tidak nampak seperti virus, jin dan sebagainya. Kalau kita nampak, akan menyusahkan kita. Ini seperti ilmu yang ada pada Nabi Khidr itu termasuk juga ilmu taqwini. Kalau kita tahu atau tidak pun, ianya akan terjadi juga kerana Allah memang telah tetapkan akan berlaku. Yang penting untuk diketahui adalah ilmu syariat. Itu yang wajib belajar.
– Nabi memang ada memberi sesuatu ilmu kepada orang tertentu yang boleh membawanya. Seperti apa yang didapati oleh Abu Hurairah ini. Seperti Abu Huzaifah, dia dapat mengetahui siapakah yang munafik dan beliau juga tidak sampaikan kepada orang lain dan terus menjadi rahsia yang beliau simpan sampai beliau mati.
مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنّٰهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتٰبِ
setelah Allah jelaskan sejelas-jelasnya kepada manusia dalam Kitab itu;
Mereka sudah belajar dan sudah tahu, tetapi mereka simpan untuk diri mereka sahaja. Contohnya mereka takut hendak cerita pasal hal-hal tauhid yang banyak disebut dalam Al-Qur’an. Antaranya disebut tentang larangan tawassul seperti yang diamalkan oleh golongan jahiliyyah. Mereka takut kalau mereka cakap nanti, para pelajar akan terasa dan sudah tidak mahu datang kelas dia lagi. Sedangkan ia diamalkan oleh ramai golongan yang jahil. Maknanya mereka takut anak murid lari dan tidak beri imbuhan lagi kepada mereka lagi. Padahal kita kena beritahu mana yang betul dan mana perbuatan yang salah. Jangan takut kepada orang yang jahil. Jadi masalah kalau orang yang tahu, tapi takut untuk memberitahu kebenaran.
Asalnya ayat ini adalah ditujukan kepada Ahli Kitab yang menyembunyikan ajaran-ajaran dalam Kitab mereka. Contohnya mereka sorokkan tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ, tentang pertukaran kiblat, tentang kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an dan sebagainya. Ini adalah kerana pada mereka, bangsa selain daripada bangsa Yahudi tidak layak untuk mendapat ilmu dari langit. Sekarang ayat ini tentang manusia yang tahu apa yang ada dalam Al-Qur’an tetapi tidak diberitahu kepada manusia lainnya.
Kita sekarang tidak dapat hendak memadamkan atau pun tukar apa yang ada dalam Al-Qur’an seperti mana yang telah dilakukan oleh Ahli-ahli Kitab dahulu kepada kitab-kitab mereka. Ini adalah kerana sekarang Al-Qur’an telah dipelihara oleh Allah ﷻ. Tidak boleh hendak tukar-tukar apa yang ada dalam Al-Qur’an. Al-Qur’an pun di tangan semua orang sampaikan setiap rumah ada Al-Qur’an. Dalam SmartPhone pun boleh simpan Al-Qur’an. Namun cara kita menyembunyikan Al-Qur’an adalah kita tidak mengajar atau menyebut penerangan ayat-ayat yang kita rasa ‘sensitif’ kepada masyarakat. Sama ada masyarakat yang sudah Islam atau masyarakat yang bukan Islam kerana kita takut dikatakan kita jenis yang ekstrem. Atau takut dikatakan kita jenis orang yang melampau. Kita seolah-olah takut agama lain memandang kita sebagai ganas dan sebagainya. Kadang-kadang kalau kita menyebut dari ayat Al-Qur’an yang mereka pandang sebagai ‘sensitif’, ada kemungkinan orang Islam sendiri akan datang berjumpa dengan kita dan mengatakan kita tidak sepatutnya menyebut tentang ayat itu. Bayangkan, kita sampaikan ajaran Islam tetapi ada orang Islam yang tegur kita! Maka kerana takut teguran sebegitu, kita senyapkan sahaja ilmu daripada Al-Qur’an. Itu dikira menyembunyikan kebenaran.
Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu kita sorok daripada Al-Qur’an ini. Ia adalah untuk semua manusia – sama ada yang sudah Muslim ataupun tidak. Banyak ayat-ayat dimulakan dengan ‘Wahai manusia’ – itu menunjukkan ayat Al-Qur’an ini juga untuk manusia keseluruhannya, bukan untuk orang Muslim sahaja.
Dan kalau kita faham ajaran tafsir di dalam Al-Qur’an ini, kita akan tahu bahawa tidak ada perkara yang patut kita sorok dari Al-Qur’an itu. Mesej yang hendak disampaikan adalah mesej sejagat, untuk semua orang. Ia adalah sesuai untuk setiap manusia. Kalau tahu tafsir, ia boleh dijelaskan dengan baik dan tidak menakutkan manusia pun.
أُولٰئِكَ يَلعَنُهُمُ اللَّهُ
Mereka yang bersifat seperti itu, akan mendapat laknat dari Allah;
Kerana menyembunyikan ilmu wahyu, maka mereka yang berilmu itu mendapat laknat Allah ﷻ. Padahal mereka ini orang yang sudah berilmu, sudah belajar. Namun tetap juga mendapat laknat.
Apakah maksud ‘laknat’? Maksudnya orang itu tidak akan diampunkan dosanya dan tidak akan diberi rahmat untuk orang itu masuk syurga. Kenapa teruk sangat ancaman Allah ini? Kerana kalau menyembunyikan ilmu akan menyebabkan manusia jadi jahil dan terus melakukan perkara yang salah yang menyebabkan mereka masuk neraka.
Apabila orang berilmu tidak mengajar pun, sudah termasuk dalam perbuatan sembunyi juga. Maksudnya, ada antara kita yang sudah tahu, tetapi simpan sendiri, tidak beritahu kepada orang lain. Padahal, kita kena beritahu apa yang kita sudah belajar. Sama ada mereka terima ataupun tidak, itu bukan dalam kawalan kita. Kita hanya diarah untuk memberitahu sahaja. Kita bukan ada kuasa untuk beri hidayat. Maka ayat ini adalah ayat yang berat yang menyebabkan dakwah terus berjalan zaman berzaman. Kerana takut dengan ayat inilah yang menyebabkan para sahabat terus-terusan menyampaikan ajaran Nabi Muhammad kepada umat manusia dan hasilnya ilmu sampai kepada kita sampai sekarang.
“Abu Hurairah adalah yang paling banyak menyampaikan hadits dan Allah Maha Memenuhi janji. Dan mereka berkata, “Mengapa Muhajirin dan Anshar menyampaikan hadits tidak sebanyak yang aku sampaikan?” Sesungguhnya saudara-saudaraku dari kalangan Muhajirin mereka disibukkan dengan berdagang di pasar-pasar dan saudara-saudaraku dari kalangan Anshar mereka disibukkan dengan pekerjaan mereka dalam mengurus harta mereka (bercucuk tanam). Adapun aku adalah seorang yang miskin, aku selalu bermulazamah (mendampingi) Rasulullah ﷺ dengan isi perut sekadar keperluan asas sahaja, dan aku selalu hadir (dalam majlis) ketika mereka tidak mampu hadir dan dapat menjaga hafalan ketika mereka lupa.” Dan pada suatu hari Nabi ﷺ bersabda, “Sekali-kali janganlah seorang dari kalian menghamparkan kainnya sebelum aku selesai menyampaikan sabdaku ini lalu dia mengumpulkannya dalam dadanya yang akhirnya dia melupakan sesuatu dari sabdaku untuk selamanya.” Maka aku hamparkan kainku yang bercorak kerana aku tidak memiliki kain yang lain hingga Nabi ﷺ selesai menyampaikan sabda baginda lalu aku kumpulkan dalam dadaku.” Maka demi Dzat yang mengutus baginda dengan haq, tidaklah aku lupa satupun dari sabda baginda hingga hari ini dan demi Allah, kalau bukan kerana dua ayat dalam kitabullah maka aku tidak akan menyampaikannya sesuatu hadits pun kepada kalian selamanya.” (Lalu dia membaca ayat 159 dan 160 dari surah Al-Baqarah yang ertinya: (‘Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa penjelasan dan petunjuk …hingga akhir ayat.. Allah Maha Penyayang)
(HR. Bukhari: 2179)
Kadang-kadang kita takut untuk beritahu kerana kita ada sesuatu yang kita hendak daripada mereka. Contohnya, kita masih hendak mereka berkawan dengan kita. Atau mereka itu adalah orang yang memberikan wang kepada kita kalau kita mengajar di surau mereka – jadi kita takut kalau kita tidak dijemput lagi dan akan hilang punca pendapatan. Itu semua adalah hal dunia sahaja. Jangan kita gadai hal akhirat kerana hendakkan hal dunia. Antaranya yang kita sembunyikan adalah ketika kita ditanya tapi kita tidak menjawabnya. Ini pun adalah salah besar dan akan dihukum berdasarkan hadis:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ عَلِمَهُ ثُمَّ كَتَمَهُ أُلْجِمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ
Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu yang dia mengetahuinya, namun dia menyembunyikannya, maka dia akan diberi tali kekang dari neraka pada hari kiamat”.
(Jami’ Tirmidzi, no. 2649; Abu Dawud, no. 3658; Ibnu Majah, no. 264; disahihkan oleh Syaikh al-Albani)
Juga disebut di dalam hadis yang lain:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ رَجُلٍ يَحْفَظُ عِلْمًا فَيَكْتُمُهُ إِلَّا أُتِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلْجَمًا بِلِجَامٍ مِنْ النَّارِ
Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Tidak ada seseorang yang hafal suatu ilmu, namun dia menyembunyikannya, kecuali dia akan didatangkan pada hari kiamat dengan keadaan dikekang dengan tali kekang dari neraka”.
[Sunan Ibnu Majah, no. 261; Syaikh al-Albani menyatakan tentang hadits ini ‘Hasan Sahih)
Cuma kalau kita tahu yang bertanya itu hanya bermain-main hendak menguji kita atau memperbodohkan kita, tidaklah salah kalau kita tidak menjawab mereka.
Selain itu Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wa sallam memberikan perumpamaan bagi orang yang menyembunyikan ilmu dalam sabda baginda,
مَثَلُ الَّذِيْ يَتَعَلَّمُ الْعِلْمَ ثُمَّ لاَ يُـحَدِّثُ بِهِ كَمَثَلِ الَّذِيْ يَكْنِزُ الْكَنْزَ فَلاَ يُنْفِقُ مِنْهُ
“Perumpamaan orang yang mempelajari ilmu kemudian tidak menceritakannya (tidak mendakwahkannya), adalah seperti orang yang menyimpan perbendaharaan lalu tidak menginfakkannya.”
Hadits hasan: Diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam al-Ausath (no. 693), dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu. Lihat Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah (no. 3479).
وَيَلْعَنُهُمُ اللّٰعِنُونَ
dan akan mendapat laknat juga dari mereka yang melaknati;
Selain dari Allah ﷻ, ada lagi yang akan melaknat mereka itu. Antaranya, para malaikat. Ada malaikat yang Allah ﷻ jadikan khas dan tugas mereka hanya untuk melaknat mereka yang menyimpan ilmu yang ada dalam Al-Qur’an.
Mereka juga akan dilaknat oleh manusia dan jin yang berhak melaknat mereka. Maka yang melaknat itu termasuklah dari golongan jin, manusia dan malaikat yang akan turut melaknat mereka yang menyembunyikan kebenaran. Mereka dilaknat kerana mereka sembunyikan hukum sampai hukum yang sebenar tidak ditegakkan. Yang jahil akan marah kepada orang yang tahu tapi tidak memberitahu.
Selain daripada itu, orang-orang yang mengajar tauhid yang benar pun akan melaknat mereka. Kita yang hendak sampaikan ajaran tauhid ini pun marah kepada mereka. Kenapa kita marah kepada mereka? Ini kerana mereka sudah tahu, tetapi tidak sampaikan kepada masyarakat. Mereka sudah belajar tafsir Al-Qur’an dan sudah tahu kebenaran. Namun mereka takut untuk beritahu kerana mereka tidak sanggup untuk menyampaikan. Jadi, apabila ada di antara kita yang berani memberitahu kepada masyarakat perkara yang sebenar, masyarakat pandang serong kepada kita kerana mereka tidak mendengarnya daripada orang lain. Jadi nampak macam kita sahaja yang pandai-pandai mengatakan sesuatu itu salah, padahal orang lain tidak cakap pun ia adalah salah. Bila kita beritahu mereka pun kata: “Mufti tak cakap pun… ustaz masuk TV tak cakap pun… tak pernah dengar pun perkara ini…. ” dan macam-macam lagi hujah mereka. Nampak macam kita pula yang pandai-pandai bawa ajaran baru. Padahal, mereka yang tidak cakap itulah yang salah sebab mereka takut hendak cakap. Kita yang berani cakap pula ini yang dianggap songsang oleh masyarakat.
Selain daripada itu, mereka yang tidak diberitahu kebenaran itu pun akan melaknat mereka yang tidak memberitahu. Ini kerana mereka akan dimasukkan ke neraka nanti kerana mereka ada berbuat syirik kerana mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan selama ini adalah syirik. Mereka akan melaknat orang-orang yang tahu tetapi tidak beritahu kerana kalau mereka diberitahu, mungkin mereka akan ikut ajaran yang benar dan tidaklah mereka masuk ke neraka disebabkan oleh kesalahan syirik yang mereka telah lakukan kerana mereka tidak tahu.
Dari ayat ini kita dapat hukum bahawa harusnya kita melaknat orang yang menyembunyikan ilmu. Kita boleh katakan “semoga Allah melaknat mereka”. Akan tetapi kita laknat secara umum sahaja dan bukannya secara spesifik kepada orang tertentu dan kumpulan tertentu. Ini kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar menyembunyikan ilmu atau tidak. Maknanya kita berdoa kepada Allah yang kalau benar mereka menyembunyikan ilmu, maka semoga Allah melaknat mereka. Ini tidaklah wajib kita lakukan, kalau kita mendoakan kebaikan supaya mereka mendapat rahmat, tentulah lebih baik. Tapi kalau sudah marah sangat, maka setakat inilah sahaja yang boleh dilakukan.
Maka bahaya walaupun sudah tahu kebenaran kerana menyembunyikan kebenaran amatlah besar dosanya. Dalam masa yang sama, kita hendak sebut satu perkara lagi. Ada orang yang takut dengan ayat-ayat sebegini dan mereka pun kata: “Kalau macam tu, baik aku tak tau!” Ini bukanlah hujah bijak tetapi hujah daripada orang yang bodoh kuasa ganda dua. Kalau sudah tahu dan tidak beritahu pun salah, maka kalau tidak tahu, lagilah salah!
Menyembunyikan ilmu wahyu dari manusia itu lebih teruk dan lebih besar daripada membunuh. Kerana kalau membunuh itu mematikan jiwa, tapi apabila menyembunyikan ilmu wahyu, ia membunuh hati dan menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Kalau membunuh itu kita nampak memang kejam, tapi setakat mati di dunia sahaja, bukan?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 6 Disember 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
