Baqarah Ayat 156: Siapakah yang akan mendapat ucapan tahniah dari Allah ﷻ? Disebut dalam ayat ini yang mereka itu adalah orang-orang yang sabar. Maka ini adalah ciri-ciri orang yang sabar.
الَّذينَ إِذا أَصٰبَتهُم مُّصيبَةٌ قالوا إِنّا لِلَّهِ وَإِنّا إِلَيهِ رٰجِعونَ
Who, when disaster strikes them, say, “Indeed we belong to Allah , and indeed to Him we will return.”
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
الَّذِينَ إِذَا أَصٰبَتْهُمْ مُّصِيبَةٌ
Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah cubaan,
Perkataan أَصَابَ asalnya bermakna dipanah dengan anak panah. Ia dari kata dasar: ص و ب yang bermaksud mencurahkan, tepat kena pada sasaran, turun ke bawah, sesuatu yang berlaku, berjumpa dengan sesuatu, mengenakan, keinginan. Dari kalimah itu, ia jadi ‘musibah’ yang dikenakan kepada manusia (macam anak panah tepat kepadanya). Maknanya, memang apa-apa musibah itu memang telah ditakdirkan untuk kita, tidak boleh mengelakkannya lagi. Oleh itu kalimah مُصِيبَةٌ bermaksud kesusahan yang diberikan oleh Allah ﷻ dan kena tepat kepada kita. Memang tidak dapat dielakkan lagi kerana memang Allah ﷻ telah tentukan (takdir) untuk kita. Maka kalau kita kena musibah, yang kita kena lakukan adalah redha dengan apa yang Allah ﷻ tentukan untuk kita.
قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ
mereka berkata: Sesungguhnya kami ini adalah milik Allah
Sekarang kita akan belajar satu lafaz yang kita biasa sebut. Tapi maksud قَالُوا itu bukanlah berkata sahaja tapi kenalah faham dan disematkan pemahamannya di dalam hati. Kerana itu kena belajar tafsir dan maksud doa-doa yang kita dianjurkan baca. Kerana kalau kita jumpa doa yang di dalam bahasa Arab, kita kena usaha untuk faham maksudnya supaya semasa kita sebut doa itu, hadhir hati kita. Kalau kita sebut sahaja tanpa kita faham apa yang kita minta, adakah boleh kita katakan kita berharap dan meminta kepada Allah?
Nama lafaz di dalam ayat ini adalah istirja’ dan rasanya semua Islam sudah tahu tentang kalimah ini walaupun belum maknanya lagi. Di dalam ayat ini kita diberitahu yang tanda orang yang sabar adalah dia tidak merungut apabila ditimpa apa-apa musibah dan tidak keluar kata yang tidak elok daripada mulutnya. Ataupun tidak ternampak rasa tidak puas hati daripada rupa parasnya. Semua yang buruk akan keluar daripada orang yang tidak dilatih dengan sifat sabar. Selain dari itu, dia akan melafazkan kalimah istirja’ yang kita akan belajar ini. Pemahaman itu sepatutnya sudah ada, tapi hanya dizahirkan dengan sebutan mulut sahaja untuk mengingatkan kembali.
Orang yan g sabar akan kata (dan disematkan di dalam hati) yang kita ini adalah milik Allah ﷻ sebenarnya. Allah ﷻ boleh berikan nikmat dan Allah ﷻ boleh ambil balik. Baik nyawa, harta, kesihatan dan segalanya adalah milik Allah ﷻ dan Dia boleh ambil balik. Jadi kita redha yang Allah boleh buat apa-apa sahaja terhadap kita kerana kita ini sendiri adalah milik Allah. Sebagaimana kita boleh buat apa sahaja terhadap harta benda kita, maka begitulah Allah terhadap kita. Tetapi Allah Maha Bijaksana. Segala tindakanNya pasti benar dan baik. Tentu ada hikmah di balik ujian atau musibah itu. Cuma kadangkala kita sahaja tidak tahu apakah hikmah di sebaliknya.
Ingatlah bahawa semua yang kita ada di dunia ini sekarang bukanlah hak kita. Kalau kita faham kata-kata ini, maka senang untuk kita jadi sabar. Inilah kunci kesabaran kerana kebanyakan masalah dalam dunia ini akan mengalami pelbagai jenis kehilangan. Kehilangan nyawa, harta benda, ahli keluarga, kenalan kita, dan berbagai-bagai lagi. Namun ingatlah bahawa semua itu bukan hak kita dan diri kita sendiri ini pun adalah hak Allah ﷻ. Jangan kata benda yang rosak dan hilang itu bukan hak kita, diri kita sendiri ini pun bukan hak kita, tetapi hak Allah ﷻ! Maka Allah ﷻ boleh berbuat apa-apa sahaja kepada kita. Pernah satu ketika cucu Rasulullah di dalam keadaan nazak dan ibunya menghantar utusan kepada baginda. Baginda membalas dengan bersabda,
إِنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ
Sesungguhnya milik Allah apa yang telah Dia ambil dan milikNya apa yang telah diberikan, segala sesuatu telah ditentukan ajalnya disisi Allah, maka hendaknya bersabar dan berharap pahala
Mungkin timbul rasa musykil dan pertanyaan orang: “Mungkinkah kita mengelakkan diri dari perasaan sedih atau susah kerana ditimpa musibah?” Jawabnya rasa sedih dan susah mesti ada. Sedangkan Nabi s.a.w. kematian puteranya Ibrahim bersedih juga dan menitik airmata baginda. Bahkan tahun kematian isteri beliau yang tua, Khadijah, baginda namai Tahun Duka. Rasa yang demikian tidaklah dapat dihilangkan, kerana ia adalah sifat jiwa. Ia timbul dari rasa belas-kasihan, atau rahmat. Akan perasaan yang demikian, kalau tidak dikendalikan, itulah yang kerapkali membawa jiwa merana. Itulah yang diperangi dengan sabar, sehingga akhirnya kesabaran menang, dan kesedihan itu tidak sampai merosak diri. Adapun kalau ada orang yang mati anaknya tidak sedih hatinya, dan dia gembira-gembira saja, itu adalah orang yang tidak berperasaan. Mungkin dia lembu. Orang yang berperasaan ialah yang memang tergetar hatinya kerana suatu malapetaka, tetapi dengan sabar dia dapat mengendalikan diri, dan dia pun menang. Inilah yang dimaksudkan oleh ayat ini. Apabila Nabi Ya’qub kehilangan anaknya Nabi Yusuf dan Bunyamin, apa kata baginda? Lihat Yusuf:83
قالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا ۖ فَصَبرٌ جَميلٌ ۖ عَسَى اللهُ أَن يَأتِيَني بِهِم جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ
Ya’qub berkata: “Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
Jadi, kalau ada musibah apa sahaja yang terjadi, inilah lafaz zikir yang kita kena sebut. Ada satu hadith di mana pernah pelita dalam bilik Nabi ﷺ terpadam dan Nabi ﷺ mengucapkan perkataan yang disuruh kita ucapkan ini. Aisyah رضي الله عنها yang berada dengan baginda waktu itu sampai kehairanan kerana yang terjadi hanya perkara kecil sahaja. Nabi ﷺ menjawab bahawa apa sahaja yang mengecewakan manusia adalah musibah.
عن عكرمة: أنَّ مصباحَ رسولِ اللهِ ﷺ انطفأَ ذاتَ ليلةٍ، فقال: إنّا للهِ وإنّا إليْه راجعونَ. فقيل: أمصيبةٌ هي يا رسولَ اللهِ؟ قال: نعم، كلُّ ما آذى المؤمنَ فهو مصيبةٌ.
Dari ‘Ikrimah R.A bahawasanya pelita Rasulullah SAW terpadam pada satu malam. Lantas Baginda mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Kemudian dikatakan kepadanya: ‘Adakah ini dianggap musibah wahai Rasulullah?’ Jawab Baginda: ‘Ya. Setiap yang menyakiti orang beriman maka ia dianggap musibah.”
[Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 2/175] dan sabit maknanya dalam al-Shahih
Maka ini mengajar kita yang kalimah istirja’ ini bukanlah untuk kematian sahaja. Ia adalah untuk apa-apa sahaja musibah yang menimpa kita. Ramai yang tidak faham hal ini. Kerana itu kalau kita dapat tahu berita kemalangan (tidak mati) dan kita istirja’, ada yang kehairanan dan berkata: “Eh, dia tak mati lagi….”. Memanglah kita tahu dia tidak mati lagi, tapi itulah ucapan yang terbaik untuk diucapkan. Sebenarnya bukan kita yang cakap, tapi dia sendiri yang ditimpa musibah itulah yang kena cakap kerana lafaz di dalam ayat ini adalah قَالُوا (mereka berkata). Jadi apabila kita cakap, sebenarnya kita mengingatkan mereka untuk berkata.
وَإِنَّا إِلَيْهِ رٰجِعُونَ
dan sesungguhnya kepada Dialah juga kami akan kembali;
Kita semua akan kembali kepada-Nya. Kita semua akan kembali kepada-Nya untuk Allah ﷻ buat penilaian sama ada kita hamba yang sabar atau tidak. Dan kita hanya kembali kepada Allah sahaja, kerana itu kalimah إِلَيْهِ ditaqdimkan yang memberi isyarat hanya kepada Allah kita akan mengadap. Tidak ada wali mana pun akan tunggu kita untuk selamatkan kita. Ini kita semua kena tahu kerana ada kumpulan sesat sangka tok syeikh mereka akan tunggu mereka di akhirat untuk berhujah bagi pihak mereka. Jangan kita tertipu dengan akidah sesat sebegini.
Ujian sabar adalah dalam tiga hari pertama. Bila mula-mula kena musibah itu, kita sudah kena sabar kerana selalunya apabila sudah lama, manusia senang untuk sabar, jadi itu sudah tidak dikira. Namun mula-mula bila ia terjadi yang susah untuk sabar. Dalam satu riwayat, seorang wanita mengalami kematian dalam keluarganya. Nabi ﷺ nampak keadaan wanita itu dan memberi nasihat kepada wanita itu untuk bersabar. Wanita itu sedang menangis dan tidak perasan yang memberi nasihat itu adalah Nabi ﷺ. Wanita itu kata bolehlah Nabi ﷺ minta dia sabar sebab benda itu tidak jadi pada baginda. Ada yang nampak kejadian itu dan telah menegur wanita itu kerana cakap begitu dengan Nabi ﷺ. Maka selang beberapa hari, wanita itu telah pergi kepada Nabi ﷺ dan beritahu baginda yang dia sudah bersabar dengan apa yang terjadi. Nabi ﷺ kata sabar itu kena ada semasa berlakunya perkara itu. Sabar selepas lama kejadian itu tidak dikira lagi.
مر النبي صلى الله عليه وسلم بامرأة تبكي عند قبر فقال : اتقي الله واصبري قالت : إليك عني ، فإنك لم تصب بمصيبتي ولم تعرفه ، فقيل لها : إنه النبي صلى الله عليه وسلم فأتت باب النبي صلى الله عليه وسلم فلم تجد عنده بوابين فقالت : لم أعرفك ، فقال :إنما الصبر عند الصدمة الأولى
Dari Anas r.a. katanya: “Nabi s.a.w. berjalan melalui seorang wanita yang sedang menangis di kubur. Baginda bersabda: “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah! Wanita itu berkata: “Ah jauhlah daripada aku, kerana engkau tidak terkena musibah sebagaimana yang mengenai diriku dan tuan tidak mengetahui apa musibah itu.” Wanita itu diberitahu oleh seseorang, bahawa yang menegur tadi adalah Nabi s.a.w.. Lalu dia datang ke rumah Nabi s.a.w., tetapi dia tidak dapati di muka pintunya penjaga pintu. Wanita itu berkata: “Saya memang tidak mengenali tuan, maafkanlah saya atas kekasaran tutur bahasa saya tadi.” Kemudian Nabi s.a.w. bersabda; “Hanya sabar yang terpuji itu ialah di kala kedatangan musibah yang pertama.”
Muttafaq alaih. Dalam riwayat Muslim disebut: “Wanita itu menangis kerana anak kecilnya yang meninggal dunia”.
Maka sabar ini adalah sesuatu yang perlu dilatih di dalam diri kita. Mungkin tidak terus kita menjadi seorang yang penyabar. Kita latih diri kita sedikit demi sedikit sehinggalah kita boleh mencapai peringkat sabar yang paling tinggi iaitu memuji Allah walaupun mendapat musibah. Syuraih al-Qadhi berkata: “Sesungguhnya apabila aku tertimpa satu musibah, maka aku memuji Allah atas musibah tersebut sebanyak empat kali: Pertama, aku memuji Allah kerana musibah tersebut tidak terjadi yang lebih besar dari keadaannya. Kedua, aku memuji-Nya kerana telah menganugerahiku kesabaran atas musibah. Ketiga, aku memuji-Nya kerana Dia telah memberi taufiq kepadaku untuk sedar bahawa segala masalah dan persoalan akan dikembalikan kepada- Nya. Keempat, aku memuji-Nya kerana Allah tidak menjadikan musibah tersebut ada pada urusan agamaku.” Siyar A’lamin Nubalaa 4/105
Selalu kita dengar apabila terdengar sahaja ada sesiapa yang mati, kita akan cakap begini. Kita bukan kata tentang si mati sangat sebenarnya, tetapi kita mengaku kita juga milik Allah ﷻ. Ingat bahawa kita juga akan mati, cuma dia yang mati itu sahaja yang perlu dahulu. Kita akan menyusul tidak lama lagi. Ini sepatutnya mengingatkan kita, yang kita akhirnya akan kembali bertemu Allah ﷻ juga.
Oleh itu, segala masalah yang kita hadapi, tidak kira betapa besarnya, ia tidak akan berkekalan kerana ia akan berakhir juga. Maka kalau kita ingatkan diri kita yang hidup di dunia ini sekejap sahaja, kuranglah sedikit kesan di hati kerana dalam hati kita akan sedar (sekejap sahaja musibah ini, nanti sudah mati, hilanglah….).
Maka biasakan menyebut lafaz istirja’ ini apabila kita menghadapi apa-apa musibah. Termasuklah kehilangan barang atau seseorang pun kita sebut istirja’ ini. Dan minta pahala dari Allah dan minta Allah gantikan dengan lebih baik. Ini telah diamalkan oleh Ummu Salamah seperti disebut di dalam satu hadis,
“مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ} [البقرة: 156]، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا”
Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala kerana musibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya).’ melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik”.
Riwayat Muslim (918)
Ummu Salamah kematian suaminya Abu Salamah yang dicintainya. Beliau teringat doa yang pernah diajar oleh Rasulullah seperti di atas. Akan tetapi dia bercakap dalam dirinya, siapa lagi yang lebih baik dari Abu Salamah? Tapi beliau tetap membacanya dan akhirnya beliau telah dipinang oleh Rasulullah!
Jadi walaupun kehilangan ahli keluarga (terutama anak) mungkin amat pedih, tapi ini adalah peluang untuk meraih pahala. Rasulullah ﷺ bersabda:
إذَا مَاتَ ولد العبد، قال الله تعالى لَملائكته: “قَبَضْتُمْ ولد عَبْدِي؟”فيقولون: “نعم”. فيقول: “قَبَضْتُم ثَمَرَةَ فؤاده؟”فيقولون: “نعم”. .فيقول: “مَاذَا قَال عبدي؟”فيقولون: “حَمِدَكَ وَاسْتَرْجِعَ”.فيقول الله تعالى: “اُبْنُوا لِعَبْدِي بَيْتاً فِي الجَنَّة، وَسَمُوهُ بَيْتَ الحَمْد”.
Apabila anak kepada seorang hamba itu meninggal dunia, Allah berfirman kepada malaikat-Nya: “Kamu telah mencabut nyawa anak hambaku?” Malaikat menjawab: “Benar”. Allah berfirman lagi: “Kamu telah mencabut nyawa buah hatinya?” Malaikat menjawab: “Benar”. Allah bertanya lagi: “Apa yang diucapkan oleh hamba-Ku itu?” Para malaikat menjawab: “Dia memuji-Mu (mengucapkan alhamdulillah) dan mengucapkan istirja’ (inna lilahi wa inna ilaihi raji’un)”. Kemudian Allah berfirman: “Binakan buat hamba-Ku itu sebuah rumah di syurga, dan namakan ia dengan Rumah Pujian”
[riwayat al-Tirmidzi].
Maka kalimah istirja’ inilah yang kita sebut apabila kita dengar tentang kematian. Bukannya seperti dilakukan sekarang oleh orang jahil di kalangan kita yang rata-ratanya akan sebut Al-Fatihah. Sekarang mereka tambah Al-Fatihah (dibaca) sebab dulu ramai mengelat sebut Al-Fatihah sahaja. Baca Al-Fatihah pun malas. Sudahlah buat benda bid’ah, malas pula. Tidak pernah diajar oleh agama untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada si mati. Datang dari mana ajaran itu pun kita tidak tahu. Bila tegur, ada pula bagi hujah bodoh: bukankah itu doa? Ya doa bagi orang hidup, bukannya orang mati. Cubalah baca balik terjemahan Fatihah itu. Itu pun susah?
Apabila kita buat benda-benda bid’ah ini, maka akan matilah ajaran sunnah dari Rasulullah. Sepatutnya kita mendoakan si mati dengan doa-doa yang diajar oleh baginda. Antaranya kita ikut contoh baginda,
اللهم اغفر لأبي سلمه، وارفع درجته في المهديين،واخلفه في عقبه في الغابرين، واغفر لنا وله يا رب العالمين، وافسح له في قبره، ونور له فيه
Ya Allah, ampunilah Abu Salamah, tinggikan derajatnya di kalangan orang-orang yang terpimpin dengan petunjuk-Mu dan gantilah ia bagi keluarganya yang ditinggalkannya. Ampunilah kami dan ampunilah dia. Wahai Rabb semesta alam. Lapangkanlah kuburnya dan terangilah dia di dalam kuburnya).’”
( Sahih Muslim, no. 919 )
Atau pun kalau kita tidak ingat pun doa ini, maka berdoalah dengan bahasa kita sendiri punya Allah dosa-dosa si mati dan masukkan beliau ke dalam rahmatNya. Jangan kita menyertai amalan-amalan bid’ah untuk membantu si mati seperti Kenduri Arwah, Majlis Tahlil, solat sedekah dan sebagainya. Itu tidak pernah diajar oleh Nabi dan diamalkan oleh golongan yang lebih baik dari kita. Apa alasan yang kita ada untuk membenarkan amalan bid’ah itu? Kalau ada yang kata ia baik (dan apa salahnya) jadi adakah kita lebih baik dari Rasulullah dan para sahabat? Kerana mereka tidak melakukannya; adakah kita hendak kata kita lebih baik dan lebih faham agama dari mereka? Memang tidak ada hujah yang kuat dan kalau dengan manusia pun anda tidak dapat berhujah, jadi bagaimana anda hendak berhujah di hadapan Allah nanti apabila ditanya tentang amalan itu?
Baqarah Ayat 157: Apakah balasan kepada mereka yang bersabar dengan apa yang terjadi?
أُولٰئِكَ عَلَيهِم صَلَوٰتٌ مِّن رَّبِّهِم وَرَحمَةٌ ۖ وَأُولٰئِكَ هُمُ المُهتَدونَ
Those are the ones upon whom are blessings from their Lord and mercy. And it is those who are the [rightly] guided.
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
أُولٰئِكَ عَلَيهِم صَلَوٰتٌ مِّن رَّبِّهِم
Orang-orang (yang bersifat seperti itulah) ke atas mereka selawat daripada Tuhan mereka;
Orang-orang yang sentiasa bersabar dengan apa yang terjadi dan melafazkan lafaz istirja’ apabila ditimpa oleh musibah. Namun kenalah melafazkan istirja’ itu dengan faham apakah maksudnya. Kalau sebut tetapi tidak faham pun susah juga kerana kesannya tidak sampai.
Kalimah صَلَوٰتٌ dari kata dasar ص ل و yang bermaksud doa; permintaan; tempat solat; tempat ibadat; masjid; memberi berkat; belas kasihan. ‘Selawat’ di sini bermaksud seperti ‘syabas’ kalau kita kata kepada orang yang berjaya. Dan ia boleh menjadi anugerah dari Allah. Jadi selawat itu adalah dalam bentuk tahniah dan anugerah daripada Tuhan sendiri. Allah ﷻ ucapkan tahniah ke atas mereka kerana mereka boleh sabar. Ini adalah maksud selawat dalam ayat ini. Bahasa urdu dan farsi terjemah selawat dengan lafaz syabas macam kita ambil dan pakai dalam bahasa kita. Mufassirin ada juga mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Allah ﷻ memberi arahan khas kepada malaikat-malaikat yang ditugaskan khas untuk mendoakan kepada mereka-mereka yang sabar. Selain dari itu Allah akan memberikan perlindungan dan nanti akan diberikan rahmatNya kepada orang yang dapat bersabar dan melafazkan istirja’ itu.
وَرَحْمَةٌ
dan akan dapat rahmat
Rahmat yang khas daripada Allah ﷻ. Maka kita kena berharap dengan rahmat Allah ﷻ ini. Kita pun tidaklah tahu bagaimana rupanya rahmat Allah ini tapi tentulah ia sangat hebat. Kita memang berharap sungguh dengan rahmat dari Allah ﷻ kerana dengan rahmat-Nya sahaja kita boleh masuk ke dalam syurga. Jadi ayat ini memberi isyarat yang mereka akan masuk syurga kerana hanya dengan rahmat sahaja kita boleh masuk syurga. Bukankah Rasulullah ﷺ telah bersabda,
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يُدْخِلُ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ الْجَنَّةَ وَلَا يُجِيرُهُ مِنْ النَّارِ وَلَا أَنَا إِلَّا بِرَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ
Daripada [Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] dia berkata: Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian yang dimasukkan syurga oleh amalnya dan tidak juga diselamatkan dari neraka kerananya, tidak juga aku kecuali kerana rahmat daripada Allah.”
(Riwayat Muslim (5042))
وَأُولٰئِكَ هُمُ المُهتَدونَ
Dan orang-orang yang bersifat seperti ini, mereka yang benar-benar termasuk orang yang dapat petunjuk.
Iaitu yang mempunyai sifat-sifat yang telah disebut tadi. Mereka jenis inilah yang betul-betul terpimpin. Ini adalah kerana mereka ada ilmu dan mereka praktikkan ilmu yang mereka tahu itu. Terutama sekali tentang sabar seperti yang telah disebut di atas. Maka kenalah ada ilmu dahulu dan mempunyai pemahaman yang mendalam. Dan kena latih diri untuk mendapatkan kesabaran itu.
Begitulah kelebihan yang diberikan kepada orang Mukmin yang bersabar. Dengan kelebihan ini, pahala akan terus mengalir kepada hamba itu. Itulah kelebihan orang Mukmin. Dari Shuhaib, dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.”
(Sahih Muslim, no. 2999)
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 5 Disember 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

