Baqarah Ayat 145: Ini adalah ayat Zajrun (teguran). Allah ﷻ memberi ancaman kepada orang Islam.
وَلَئِن أَتَيتَ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ بِكُلِّ ءآيَةٍ مّا تَبِعوا قِبلَتَكَ ۚ وَما أَنتَ بِتابِعٍ قِبلَتَهُم ۚ وَما بَعضُهُم بِتابِعٍ قِبلَةَ بَعضٍ ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم مِّن بَعدِ ما جاءَكَ مِنَ العِلمِ ۙ إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
And if you brought to those who were given the Scripture every sign, they would not follow your qiblah. Nor will you be a follower of their qiblah. Nor would they be followers of one another’s qiblah. So if you were to follow their desires after what has come to you of knowledge, indeed, you would then be among the wrongdoers.
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.
وَلَئِن أَتَيتَ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ بِكُلِّ ءآيَةٍ
Sekiranya kamu mendatangkan kepada orang yang telah diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu dengan semua dalil-dalil bukti
Allah ﷻ beritahu kedegilan Ahli Kitab itu. Walaupun kita berikan dalil, mereka tidak akan terima kebenaran tentang kiblat itu. Kalau bagi macam-macam bukti pun mereka tidak akan mengikut kiblat orang Islam. Walaupun kita bagi mereka bermacam-macam hujjah. Mereka hanya hendak berdebat sahaja sebenarnya. Mereka ini bukan makan dengan hujah, tapi keras kepala sahaja. Mereka bukannya mempertahankan kebenaran tapi mempertahankan golongan mereka sahaja. Allah kata mereka itu أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ telah diberikan dengan kitab, tapi masih lagi berdegil. Maka ini adalah cemuhan kepada mereka, iaitu orang yang sepatutnya ada ilmu, tapi degil keras kepala.
Jangan kita sangka hujjah kita tidak kuat dan sebab itulah mereka tidak ikut. Sebenarnya, mereka tidak akan ikut walaupun apa kita kata. Ini kerana niat hati mereka bukan hendakkan kebenaran, tetapi hendak berhujah dan berdebat sahaja. Begitu jugalah kalau kita berdebat dengan orang-orang Islam yang tidak mahu mengikut jalan sunnah. Walau bagaimana hebat pun hujah yang kita berikan, hati mereka tidak mahu terima. Kalau kesalahan yang dilakukan oleh puak mereka, mereka akan pertahankan walaupun kesalahan yang dilakukan itu nyata-nyata sangat salah!
Apabila Allah sebut بِكُلِّ ءآيَةٍ, ia mengajar kita yang apabila Nabi Muhammad berdakwah, baginda akan bawa segala macam hujah dan dalil kerana baginda sangat mahukan umat beriman. Maka kerana itulah kita pun kena ikut juga cara Nabi ini. Kena kerja keras sikit untuk bawa segala hujah. Jangan kita beri satu dalil dan ditolak, kita terus patah semangat.
مَّا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ
mereka sekali-kali tidak akan mengikuti kiblat kamu;
Mereka tidak mahu ikut kiblat itu hanya kerana kedegilan sahaja. Apabila mereka mereka tidak mahu ikut kiblat Nabi Muhammad, ini bermakna mereka tidak mahu menerima Islam kerana kiblat adalah sebahagian dari Islam, bukan? Bukannya boleh terima agama Islam dengan menolak salah satu dari tonggaknya. Kalau mereka tidak mahu ikut itu sebab mereka jahil, kita masih boleh jelaskan lagi. Tetapi kalau degil, tidak ada ubat. Maka Allah ﷻ menegur mereka kerana kedegilan mereka itu dan Allah ﷻ beritahu yang mereka tidak akan berubah kerana degil. Dalam Taurat telah disebutkan bahawa apabila datang mana-mana Nabi, mereka kena taat. Namun mereka tidak taat kepada Nabi Isa عليه السلام. Dan mereka tidak mahu taat kepada Nabi Muhammad ﷺ.
Kalau manusia sudah biasa mengamalkan sesuatu amalan dalam agama, mereka susah hendak ubah walaupun mereka diberikan dengan berbagai-bagai dalil. Ini jikalau mereka tidak ada pemikiran terbuka. Tambahan pula kalau mereka itu kononnya orang yang tahu tentang agama. Atau jikalau mereka itu pemimpin dalam masyarakat jadi mereka besar kepala. Mereka yang ada kedudukan memang lagi degil hendak berubah ke arah kebenaran. Mereka masih lagi hendak pegang amalan-amalan mereka yang mereka sudah biasa buat itu. Ini kerana mereka takut status mereka akan jatuh. Mereka takut mereka akan dikatakan mengamalkan amalan yang salah sebelum itu.
وَمَا أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ
Dan tidaklah engkau (Muhammad) akan mengikuti kiblat mereka;
Ayat ini memberitahu umat Islam ketika itu yang kiblat tidak akan bertukar ke arah lain, terutama sekali ke arah BaitulMaqdis. Ini menolak kata-kata manusia pada ketika itu yang nanti Muhammad akan tukar kiblat. Ia tidak akan terjadi. Terlebih lagi sekarang kerana tidak akan ada wahyu lagi yang akan mengubah kiblat kita.
Kiblat Yahudi adalah BaitulMaqdis. Kiblat Kristian juga sepatutnya berada di situ tetapi mereka telah mengubah kiblat mereka ke tempat lahirnya Nabi Isa عليه السلام, Bettlehem. Sepatutnya, sekarang apabila diarahkan oleh Allah ﷻ untuk berpindah kiblat ke Mekah, mereka kena ikut.
Kita dulu memang pernah menghadap ke BaitulMaqdis. Tetapi sekarang mereka mengatakan yang kita hendakkan kepada Kubah tempat batu terapung tu. Padahal, bukan itu kiblat kita. Dan batu itu tidak terapung pun melainkan kata-kata dongeng manusia sahaja. Ramailah pula yang membuat syirik di situ. Dengan melawat tempat itu dan minta macam-macam. Itu bukan tempat salat, tetapi mereka ramai yang salat di situ kerana kononnya hendak ambil berkat. Begitulah kalau manusia yang jahil.

Kita sampai bila-bila pun tidak akan menghadap kepada kiblat mereka. Allah ﷻ beri larangan kepada Nabi ﷺ tidak boleh mengikut kiblat mereka untuk mengambil hati mereka. Ini kerana agama bukan untuk mengambil hati orang tetapi mesti mengikut perintah Tuhan. Macam sekaranglah juga, tidaklah boleh pergi juga ke Majlis Tahlil bidaah itu kerana hendak mengambil hati orang ramai atau kerana ahli keluarga kita yang buat. Bukan kerja kita untuk mengambil hati orang dan dalam masa yang sama menolak kehendak Allah ﷻ.
وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ
Dan sebahagian mereka tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain
Yahudi dan Nasara kiblat berlainan dan mereka tidak akan mengikut yang lain daripada kiblat mereka. Yahudi tidak akan mengikut kiblat Nasara dan Nasara pun tidak akan mengikut kiblat Yahudi.
Terdapat empat kumpulan yang disentuh dalam ayat ini: Yahudi, Kristian, Islam dan Musyrikin Mekah. Semuanya tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain. Musyrikin Mekah sebelum itu pun menghadap ke Kaabah juga. Tetapi daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa mereka tidak akan lama menghadap ke Kaabah. Mereka pun tidak akan ikut kiblat orang Islam. Tidak akan dapat persetujuan oleh empat kumpulan ini dalam hal kiblat dan hal agama.
وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ
Dan jika engkau ikuti hawa nafsu mereka itu
Ini adalah larangan dari Allah ﷻ. Yang dimaksudkan di sini adalah mengikut mereka yang menggunakan dalil hawa nafsu mereka sahaja. Bukan menggunakan dalil yang sah dari Al-Qur’an dan hadith Nabi ﷺ. Ini mengajar kita bahawa pendapat yang tanpa dalil adalah pendapat ikut hawa nafsu semata-mata.
Di sini kita kena perhatikan dengan saksama. Yang dilarang ikut adalah hawa nafsu mereka. Kalau ada ilmu dari mereka yang bagus, dari sumber yang sahih, dari kajian sains dan baik untuk manusia, maka tidak salah untuk kita ikut. Cuma jangan ikut benda-benda yang buruk dari mereka, yang ikut kehendak nafsu serakah sahaja.
Inilah kelemahan manusia yang kalah dengan kehendak hawa nafsu. Ini kerana ia adalah perkara dalaman kita, jadi kita tidak dapat membezakan antara nafsu dan minda kita. Kita sangka ia dari minda, tapi sebenarnya ia dari nafsu sahaja. Kerana itu kita kena berhati-hati sangat di dalam perkara ini. Memang kebanyakan manusia menjadikan nafsunya sebagai penentu di dalam membuat keputusan. Oleh kerana itu, maka Allah mengatakan manusia menjadikan nafsunya sebagai ilah sebagai disebut di dalam Jatsiyah:23. Semoga kita tidak termasuk di dalam golongan yang Allah kutuk ini.
أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
مِّنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ
sesudah datang kepada kamu dalil bukti dari Allah,
Kalau sudah dapat ilmu, maka tidak boleh ikut golongan yang sesat. Kerana itu adalah amat salah.
Maka begitulah kita setelah belajar, tidak mungkin kita hendak takutkan lagi dengan orang yang jahil? Kenapa kita pula kena ikut mereka buat perkara bidaah kerana takut mereka kutuk kita, pandang sinis kepada kita? Amat menghairankan apabila orang yang sudah belajar pula yang takut kepada orang yang tidak belajar?
إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
jika buat begitu, maka kamu termasuk dari golongan yang syirik kepada Allah.
Allah memberi peringatan kepada Nabi ﷺ dalam ayat ini. Kalau baginda ikut mereka, baginda juga termasuk dalam golongan mereka juga. Walaupun Allah sayang kepada Nabi Muhammad ﷺ, tetapi kalau Nabi ﷺ melakukan kesalahan, baginda juga akan dihukum. Dan memang Nabi tidak akan ikut hawanafsu dan kiblat mereka, maka ayat ini sebenarnya ditujukan kepada umat baginda.
Ayat ini juga sebagai dalil bahawa bukan Nabi Muhammad ﷺ yang menulis Al-Qur’an. Memang ayat Al-Qur’an ini dari Allah ﷻ. Bayangkan: Ayat ini adalah satu peringatan kepada baginda. Kalau baginda yang menulis Al-Qur’an sendiri, tidak mungkin baginda akan menulis ayat-ayat teguran kepada baginda seperti ayat ini? Banyak lagi ayat-ayat lain yang menegur perbuatan Nabi ﷺ. Kalau Nabi ﷺ yang tulis Al-Qur’an, tidak akan ada ayat-ayat sebegitu.
Ayat ini juga mengingatkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah hamba Allah ﷻ juga. Kalau baginda buat salah, baginda juga akan dihukum. Supaya kita jangan jadi macam penganut Kristian yang terlalu menyanjung tinggi Nabi Isa عليه السلام sampaikan menaikkan taraf baginda sebagai tuhan.
Ayat ini juga mengingatkan kita supaya jangan mengikut hawa nafsu orang-orang yang bukan Islam. Kalau kita ikut mereka, kita pun akan termasuk dalam golongan mereka. Mereka tolak Al-Qur’an itu kerana ikut hawa nafsu mereka maka jangan kita ikut mereka. Kalau kita ikut juga mereka setelah sampai ilmu wahyu yang jelas, maka kita akan termasuk golongan yang betul-betul zalim. Sebab kita sudah tidak pakai wahyu dan ikut wahyu mereka.
KEBENARAN TENTANG KERASULAN NABI MUHAMMAD
Baqarah Ayat 146:
الَّذينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ يَعرِفونَهُ كَما يَعرِفونَ أَبناءَهُم ۖ وَإِنَّ فَريقًا مِّنهُم لَيَكتُمونَ الحَقَّ وَهُم يَعلَمونَ
Those to whom We gave the Scripture know him as they know their own sons. But indeed, a party of them conceal the truth while they know [it].
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).
الَّذِينَ ءَاتَينَـٰهُمُ ٱلكِتَـٰبَ
Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Kitab,
Iaitu golongan Ahli Kitab yang telah diberikan dengan Kitab Taurat dan Injil. Mereka itu sepatutnya orang yang sudah berilmu. Dan memang mereka tahu banyak perkara agama. Tetapi mereka sengaja sembunyikan perkara sebenar itu. Maka ini memang bersangkutan dengan kita kerana kita pun orang yang telah diberikan dengan kitab Al-Qur’an. Maka apabila Allah tegur mereka, sebenarnya Allah sedang memberi peringatan kepada kita supaya jangan seperti mereka. Dan apabila sudah ada dalam kalangan Bani Israil itu, sememangnya ia sudah ada dalam kalangan kita pun. Kerana itu kalau kita perhatikan, sifat-sifat Bani Israil ini ada sahaja di kalangan umat Islam.
Maka kita kena ambil perhatian sangat apabila Allah menyebut kisah-kisah Bani Israil dan bandingkan dengan diri kita. Ada juga yang kata ayat-ayat ini tentang Ahli Kitab Bani Israil sahaja dan tidak kena mengena dengan mereka. Kalaulah begitu, jadi buat apa kita baca ayat-ayat tentang mereka? Baik skip sahaja ayat-ayat tentang mereka apabila sedang membaca Al-Qur’an kalau begitu.
يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ
mereka mengenalinya (Nabi Muhammad dan sifatnya) sepertimana mereka kenal anak-anak mereka sendiri;
Mereka boleh kenal Nabi Muhammad ﷺ kerana telah ada tertera penerangan tentang Nabi Muhammad ﷺ di dalam kitab-kitab agama mereka. Malah sifat-sifat Nabi ﷺ sama seperti yang ada dalam kitab mereka. Mereka tahu yang Nabi akhir zaman itu akan datang ke Yathrib. Maksudnya akan berpindah ke Yathrib, bukannya telah berada di situ. Dan sifat-sifat baginda mereka boleh lihat sendiri dengan mata mereka. Kerana itu digunakan kalimah عرف di sini dan bukan علم. Ini adalah kerana عرف adalah mengetahui sesuatu yang boleh dilihat dengan pancaindera. Sedangkan علم kita boleh boleh gunakan untuk mengetahui sesuatu yang kita tidak pernah lihat pun tapi boleh tahu secara ilmu.
Salah seorang sahabat dari Yahudi yang kenal baginda adalah Ibnu Salam. Beliau ialah Abdullah bin Salam bin al-Harith, Abu Yusuf, daripada keturunan Nabi Yusuf A.S. Beliau mendapat jaminan perlindungan kafilah Khazraj, al-Isra’ili, kemudian al-Ansari. Beliau daripada Bani Qainuqa‘. Dikatakan bahawa nama asalnya ialah al-Husain (الحصين), kemudian Baginda SAW menukarnya. Beliau merupakan seorang al-Imam dan termasuk dalam kalangan sahabat Nabi SAW serta salah seorang yang dijamin syurga. Beliau juga merupakan salah seorang pendeta Yahudi. Kita tahu yang beliau kenal sifat-sifat Rasulullah berdasarkan hadith daripada beliau, yang berkata:
لَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ انْجَفَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ وَقِيلَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجِئْتُ فِي النَّاسِ لِأَنْظُرَ إِلَيْهِ فَلَمَّا اسْتَثْبَتُّ وَجْهَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهِ كَذَّابٍ وَكَانَ أَوَّلُ شَيْءٍ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ
“Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, orang ramai bergegas menyambut Baginda sambil mengucapkan: Rasulullah SAW telah datang, Rasulullah SAW telah datang, Rasulullah SAW telah datang.” Aku datang kepada orang ramai untuk melihat kepada Baginda, dan ketika aku telah memastikan wajah Rasulullah SAW, aku mengetahui bahawa wajah Baginda bukanlah wajah pendusta. Dan yang pertama kali Baginda ucapkan adalah: ‘أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلَامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصَلُّوا وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ’ (“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, jamulah makan, dan lakukanlah solat ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu semua akan masuk syurga dengan sejahtera.”)
Riwayat al-Tirmizi (2485), Ibn Majah (1334) dan Ahmad (23784). Kata Imam al-Tirmizi, ini hadith sahih.
Dan beliau juga telah memberitahu hal itu kepada Saidina Umar,
[ قال القرطبي : ويروى أن عمر قال لعبد الله بن سلام : أتعرف محمدا صلى الله عليه وسلم كما تعرف ولدك ابنك ، قال : نعم وأكثر ، نزل الأمين من السماء على الأمين ، في الأرض بنعته فعرفته ، وإني لا أدري ما كان من أمره . قلت : وقد يكون المراد ( يعرفونه كما يعرفون أبناءهم )من بين أبناء الناس لا يشك أحد ولا يتمارى في معرفة ابنه إذا رآه من بين أبناء الناس كلهم ]
Al-Qurtubi mengatakan, telah diriwayatkan dari Umar r.a. bahwa ia pernah bertanya kepada Abdullah ibnu Salam, “Apakah engkau dahulu mengenal Muhammad sebagaimana engkau mengenal anakmu sendiri?” Abdullah ibnu Salam menjawab, “Ya, dan bahkan lebih dari itu; malaikat yang dipercayai turun dari langit kepada orang yang dipercaya di bumi seraya membawa keterangan mengenai sifat-sifatnya. Kerana itu, aku dapat mengenalnya, tetapi aku tidak mengetahui seperti apa yang diketahui oleh ibunya.”
Begitulah yang Allah telah beritahu kita di dalam A’raf:157
الَّذينَ يَتَّبِعونَ الرَّسولَ النَّبِيَّ الأُمِّيَّ الَّذي يَجِدونَهُ مَكتوبًا عِندَهُم فِي التَّورىٰةِ وَالإِنجيلِ
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka.
Cuma apabila kebanyakan daripada mereka tolak baginda, ia adalah atas sebab-sebab lain, bukanlah kerana mereka tidak kenal Nabi ﷺ. Mereka dengki kerana bangsa Arab yang menjadi Nabi Akhir Zaman dan bukannya dalam kalangan mereka. Sedangkan sifat-sifat baginda memang ada dalam kitab mereka seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad رَحِمَهُ ٱللَّٰهُ:
عَنْ أَبِي صَخْرٍ الْعُقَيْلِيِّ، حَدَّثَنِي رَجُلٌ مِنَ الْأَعْرَابِ، قَالَ: جَلَبْتُ جَلُوبَةً إِلَى الْمَدِينَةِ فِي حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا فَرَغْتُ مِنْ بَيْعَتِي قُلْتُ: لَأَلْقِيَنَّ هَذَا الرَّجُلَ فَلْأَسْمَعَنَّ مِنْهُ، قَالَ: فَتَلَقَّانِي بَيْنَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ يَمْشُونَ، فَتَبِعْتُهُمْ فِي أَقْفَائِهِمْ حَتَّى أَتَوْا عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْيَهُودِ نَاشِرًا التَّوْرَاةَ يَقْرَؤُهَا، يُعَزِّي بِهَا نَفْسَهُ عَنِ ابْنٍ لَهُ فِي الْمَوْتِ كَأَحْسَنِ الْفِتْيَانِ وَأَجْمَلِهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَنْشُدُكَ بِالَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ، هَلْ تَجِدُ فِي كِتَابِكَ هَذَا صِفَتِي وَمَخْرَجِي؟ ” فَقَالَ بِرَأْسِهِ هَكَذَا، أَيْ: لَا. فَقَالَ ابْنُهُ، إِي: وَالَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ إِنَّا لِنَجِدُ فِي كِتَابِنَا صِفَتَكَ ومَخرجك، وَإِنِّي أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّكَ رَسُولُ اللَّهِ فَقَالَ: “أَقِيمُوا الْيَهُودِيَّ عَنْ أَخِيكُمْ”. ثُمَّ وَلِيَ كَفَنَهُ وَالصَّلَاةَ عَلَيْهِ
Daripada Abu Sakhr Al-Uqaili, telah menceritakan kepadaku seorang lelaki Badwi yang menceritakan bahawa di masa Rasulullah ﷺ. dia pernah datang ke Madinah membawa sapi perahan. Setelah selesai jual belinya, lelaki Badwi itu berkata, “Aku sungguh akan menemui lelaki ini (maksudnya Nabi ﷺ), dan sungguh aku akan mendengar daripadanya.” Lelaki Badwi itu melanjutkan kisahnya; lalu aku menjumpainya sedang berjalan di antara Abu Bakar dan Umar, maka aku mengikuti mereka berjalan hingga sampailah mereka kepada seorang lelaki Yahudi. Lelaki Yahudi itu sedang membuka kitab Taurat seraya membacanya, sebagai ungkapan rasa duka dan belasungkawanya atas anak lelakinya yang sedang menghadapi kematian; anak laki-lakinya itu adalah seorang pemuda yang paling tampan dan paling gagah. Maka Rasulullah ﷺ bertanya: Aku memohon kepadamu dengan nama Tuhan yang telah menurunkan kitab Taurat, apakah engkau menjumpai dalam kitabmu ini sifat dan tempat hijrahku? Lelaki Yahudi itu menjawab pertanyaan Nabi ﷺ hanya dengan isyarat gelengan kepala yang bererti ‘tidak’. Tetapi anak lelakinya yang sedang menghadapi kematian itu berkata, “Ya, demi Tuhan yang telah menurunkan kitab Taurat, sesungguhnya kami menjumpai di dalam kitab kami sifatmu dan tempat hijrahmu. Dan sesungguhnya aku sekarang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi (pula) bahawa engkau adalah utusan Allah.” (Kemudian anak orang Yahudi itu meninggal dunia). Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Singkirkanlah orang Yahudi ini daripada saudara kalian! Kemudian Nabi ﷺ menguruskan pengkafanan dan menyalati mayat anak lelaki Yahudi itu.
Hadith ini baik lagi kuat dan mempunyai syahid (bukti) yang menguatkannya di dalam kitab Sahih melalui hadith Anas.
Kenapa diberikan perumpamaan ‘anak’ dalam ayat ini? Kerana tentulah kita kenal anak kita sendiri kerana kita sudah biasa sangat dengan anak kita. Tengok kelibat mereka dari jauh pun kita sudah kenal kerana itu anak kita sendiri. Macam juga kita kenal sifat-sifat Imam Mahdi dan Dajjal dari kitab-kitab kita. Sebab kita selalu dengar kisah mereka disebut-sebut. Dan kenapa disebut ‘anak lelaki’? Kerana kebiasaan manusia lebih sayang kepada anak lelaki lebih lagi dari anak perempuan.
Allah ﷻ hendak beritahu yang memang ulama’-ulama’ Ahli Kitab itu kenal sungguh dengan Nabi Muhammad ﷺ sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka. Seorang ayah tentunya kenal anak dia lebih lagi daripada seorang anak kenal ayah dia. Kerana ayah tengok anak semenjak dari kecil lagi, tetapi seorang anak cuma kenal ayah dia bila ayah itu sudah dewasa. Oleh kerana dia kenal anak dia dari kecil lagi, seorang ayah itu akan tahu segala tanda pada anak itu. Begitulah ulama’ Yahudi mengenali Nabi Muhammad ﷺ.
Ada juga yang mengatakan bahawa dhomir هُ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada kiblat. Iaitu Ahli Kitab itu kenal kiblat ke Kaabah itu seperti mereka kenal anak mereka sendiri. Ini adalah kerana ayat-ayat sebelum ini adalah tentang kiblat.
Ada juga yang mengatakan bahawa هُ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada Al-Qur’an. Iaitu Ahli Kitab itu kenal Al-Qur’an itu seperti mereka kenal anak mereka sendiri kerana kebenaran yang ada di dalamnya juga sama seperti apa yang telah ada dalam kitab mereka.
Manakah yang benar? Ketiga-tiganya boleh dipakai. Akan tetapi yang paling kuat adalah ayat ini menceritakan tentang kerasulan Nabi Muhammad dan memang Ahli Kitab kenal sifat-sifat baginda.
وَإِنَّ فَرِيقًا مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ
Dan sesungguhnya ada segolongan di antara mereka menyembunyikan kebenaran;
Golongan ulama’ mereka menyembunyikan kebenaran kepada golongan awam mereka. Mereka sudah tahu apakah yang benar tetapi mereka sembunyikan untuk menjaga kedudukan mereka. Iaitu kebenaran bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul akhir zaman. Cuma Allah adil dengan menyebut sebahagian dari mereka sahaja, bukannya semua. Kerana itu kita apabila bercakap jangan kita pukul rata.
Kalimah yang digunakan di sini adalah لَيَكْتُمُونَ yang mengandungi penekanan. Ini adalah kerana benda yang mereka sembunyikan itu adalah sesuatu yang jelas, akan tetapi mereka melakukan usaha kuat untuk menyembunyikannya. Walaupun mereka telah cuba sembunyikan, ia tetap akan muncul. Mereka sembunyikan dari kitab mereka, akan tetapi masih ada tempat yang mereka tidak sempat tukar, atau terlupa untuk tukar. Sebagai contoh di dalam Perjanjian Lama Kitab Ulangan 33:2 ada disebut tentang Gunung Paran. Gunung ini disebut sendiri di dalam kitab mereka bahawa ia adalah tempat anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail bersama emaknya Hajar mendapat air zam-zam. Jadi ia bermaksud di Mekah. Di dalam Kitab Ulangan 33:2 itu disebut yang akan datang Nabi yang akan membawa ajaran Allah. Siapakah yang datang dari Mekah kalau bukan Nabi Muhammad?
Atau mereka menyembunyikan yang kiblat ke Mekah itu adalah kiblat yang benar.
Atau mereka menyembunyikan yang Al-Qur’an itu adalah Kitab dari Allah ﷻ juga.
وَهُمْ يَعْلَمُونَ
sedangkan mereka tahu;
Mereka tahu kebenaran, tapi mereka kata kepada anak murid mereka bahawa Nabi akhir zaman itu mesti daripada kalangan Yahudi. Ada yang kata, memang Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul, tetapi Rasul untuk orang Arab sahaja. Maknanya, mereka telah pusing kebenaran.
Macam sekarang, guru-guru selalu kata kena ikut Al-Qur’an dan Sunnah. Tetapi apabila datang golongan yang membawa Sunnah dan ajaran dari Al-Qur’an, mereka kata tidak boleh pula ikut golongan yang hendak ikut Sunnah itu. Mereka tahu bahawa apa yang diajar oleh mereka yang mengajar berdasarkan sunnah itu adalah benar, tetapi mereka masih lagi tidak mahu nak ikut.
Dari ayat ini, kita dapat simpulkan golongan Ahli Kitab itu terbahagi kepada 3:
1. Yang tahu kebenaran dan ikut Nabi Muhammad
2. Yang tahu kebenaran tapi menyembunyikannya
3. Yang tahu kebenaran akan tetapi mengingkari dan mengubah kitab mereka
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
