MENOLAK KEBENARAN
Baqarah Ayat 97: Allah ﷻ menceritakan kesamaran-kesamaran yang ada pada Yahudi yang menghalang mereka mendekati ajaran dan arahan Al-Qur’an. Kalau hilang kesamaran-kesamaran itu, mungkin mereka boleh masuk Islam. Sebenarnya ia adalah alasan bodoh sahaja.
Macam juga orang kita yang tidak datang belajar ilmu secara sunnah sebab telah dimomokkan dengan gelaran ‘Wahabi’. Sudah masyhur dalam masyarakat Islam kita tentang Wahabi ini. Puak-puak bid’ah telah memberikan peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan ‘ajaran Wahabi’ – diberikan dengan berbagai-bagai fakta yang tidak benar tentang beliau. Orang yang hendak mengamalkan sunnah pula yang digelar wahabi. Ini telah menyebabkan masyarakat takut untuk belajar Sunnah kerana takut menjadi sesat (atau menjadi Wahabi). Tetapi, bila diperjelaskan dengan baik kepada mereka, baru mereka membuka hati dan mahu datang belajar. Begitulah kalau tidak mendapat maklumat yang benar.
Maka dalam ayat-ayat ini Allah ﷻ menceritakan apa yang puak Yahudi terkilan tentang Islam. Ada tiga perkara syubhat yang akan disebutkan. Di dalam ayat ini disebutkan perkara pertama.
Yang pertama, mereka kenal malaikat tetapi mereka suka Mikail sahaja dan mereka benci Jibril عليه السلام. Sebab pada mereka Jibril عليه السلام adalah malaikat yang membawa bala. Ini mereka dapat maklumat dari kitab-kitab yang ditulis oleh pendita-pendita mereka. Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka tanya siapakah yang membawa wahyu kepada baginda. Apabila dikatakan Jibril عليه السلام, mereka kata yang Jibril عليه السلام adalah musuh mereka. Jadi mereka tolak segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.
Memang ada orang Yahudi dan Kristian yang tidak suka kepada Jibril ﷺ. Mereka hanya suka kepada Mikail. Sebab itu ada mereka buat dalam filem mereka, peperangan antara “Angel Michael” dan “Angel Gabriel”. Sebab itu juga mereka tidak namakan anak mereka Gabriel tetapi mereka banyak menamakan anak mereka Michael. Mari kita lihat apakah jawapan Allah ﷻ kepada kebencian mereka itu.
قُل مَن كانَ عَدُوًّا لِّجِبريلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ
Say, “Whoever is an enemy to Gabriel – it is [none but] he who has brought the Qur’an down upon your heart, [O Muhammad], by permission of Allah, confirming that which was before it and as guidance and good tidings for the believers.”
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Qur’an ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.
قُلْ مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِّجِبْرِيلَ
Katakanlah: dan sesiapa yang memusuhi Jibrail;
Membenci mana-mana malaikat adalah kesalahan yang amat besar. Kita tidak boleh memusuhi mana-mana malaikat. Memang sia-sia kalau membenci para malaikat. Namun itulah yang ada di dalam fikiran orang Yahudi.
Sebelum ini telah disebut mereka hanya percaya kepada kitab yang telah diturunkan kepada mereka sahaja. Antara sebab lain yang mereka marah dengan Jibril عليه السلام itu adalah kerana pada mereka, wahyu sepatutnya hanya sampai kepada Nabi dari kalangan Bani Israil sahaja. Orang lain tidak boleh menerima wahyu, lebih-lebih lagi orang Arab. Mereka tahu bahawa yang menurunkan wahyu adalah Jibril عليه السلام. Jadi, mereka berkata Jibril عليه السلام telah salah bagi wahyu. Sepatutnya bagi kepada orang lain, tetapi Jibril عليه السلام telah bagi kepada Nabi Muhammad ﷺ dari bangsa Arab.
Macam sekarang, kita ada orang Syiah yang juga berkata yang Jibril عليه السلام salah bagi wahyu. Mereka berkata sepatutnya wahyu itu disampaikan kepada Ali رضي الله عنه tetapi Jibril عليه السلام telah silap bagi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana semasa mencari-cari Ali رضي الله عنه semasa beliau sedang tidur di rumah, Jibril عليه السلام telah tersalah beri wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ yang juga sedang tidur di rumah yang sama.
فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَىٰ قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ
sesungguhnya dia menurunkan Al-Qur’an itu ke atas hatimu dengan izin Allah;
Maknanya, dengan izin Allah ﷻlah, masuknya Al-Qur’an ke dalam hati Nabi Muhammad ﷺ dengan perantaraan Jibril عليه السلام. Ia masuk ke hati baginda dan baginda dapat menghafal ayat-ayat Al-Qur’an. Kenapa hendak marah kepada Jibril sedangkan dia hanya penyampai sahaja? Ini sudah macam marahkan posmen yang bawakan surat saman kepada kamu sahaja. Bukannya Jibril عليه السلام pandai-pandai pilih sendiri siapa yang patut mendapat wahyu. Ia bukan keputusan dari Jibril عليه السلام, tetapi dari Allah ﷻ sendiri.
Dengan izin Allah ﷻ sahaja Al-Qur’an itu sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebagaimana sekarang, apabila Al-Qur’an dibacakan kepada kita, yang boleh melekat apa yang diajar itu ke dalam hati dan akal kita, adalah kerana izin Allah ﷻ jua. Oleh itu kenalah kita berdoa supaya Allah ﷻ memberikan kita faham ajaran Al-Qur’an itu. Kalau tidak, kita hanya dapat mendengar tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan. Berapa ramai yang sudah pergi ke kelas Tafsir, tetapi mereka tidak faham apa yang disampaikan. Atau, mereka salah faham maksud yang disampaikan oleh guru yang mengajar.
Ini mengajar kita yang Al-Qur’an itu untuk hati, untuk difahami dan diamalkan. Bukannya untuk mulut dan dibaca-baca sahaja tanpa difahami seperti yang dilakukan oleh kebanyakan dari masyarakat kita.
Orang Yahudi, apabila mereka mendengar bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat wahyu dari Jibril عليه السلام, mereka kata: “Jibril yang itukah yang sampaikan wahyu kepada Nabi kamu? Sebenarnya kami ada banyak masalah dengan Jibril itu.” Mereka hendak menjatuhkan kredibiliti Jibril عليه السلام. Mereka juga tahu bahawa Jibril عليه السلامlah yang telah menurunkan bala kepada umat-umat dahulu yang menentang ajaran Allah ﷻ. Maka, mereka kata Jibril عليه السلام adalah seorang yang jahat.
Menurut satu riwayat kitab-kitab tafsir, salah satu sebabnya ialah setelah salah seorang pemuka mereka bernama Abdullah bin Shuriya pernah bertanya kepada Nabi s.a.w. malaikat yang mana yang menurunkan Al-Qur’an kepada baginda itu. Rasulullah menjawab bahawa yang membawanya dari Tuhan ialah malaikat Jibril. Terus dengan serta-merta Abdullah bin Shuriya itu berkata bahawa mereka tidak mahu percaya Al-Qur’an ialah kerana Jibril itu yang membawnya kepada Nabi. Cuba kalau Malaikat Mikail yang membawa, barangkali mereka boleh beriman. Kami orang Bani Israil, bermusuh dengan Jibril. Ketika ditanyakan apa sebab Jibril mereka musuhi, dia menjawab kerana Jibril itulah yang dahulu pernah menyampaikan bahawa BaitulMaqdis satu waktu kelak akan hancur. Dan memang hancurlah Baitul Maqdis. Ini jawab Abdullah bin Shuriya.
Dan satu riwayat lagi, pada suatu hari Umar bin Khathab masuk ke dalam salah satu Madrasah Yahudi. Ketika bercakap-cakap tersebutlah oleh beliau akan nama Jibril. Serta-merta pula Yahudi yang menyambutnya di situ berkata bahawa Jibril itu musuh kami. Sebab dia banyak sekali membuka rahsia-rahsia kami kepada Muhammad. Itulah Malaikat yang banyak sekali merosak dan membawa azab. Lain dengan Mikail; itulah Malaikat yang membawa kesuburan dan damai.
Lihat betapa peliknya otak mereka ini. Kalau Jibril turunkan azab, itu adalah kerana arahan Allah dan kerana manusia yang engkar dan telah berbuat zalim. Bukannya kepada mereka pun. Kalau kepada tok nenek mereka, ia adalah kerana tok nenek mereka yang buat salah. Takkan mereka tetap hendak sokong tok nenek mereka itu?
Itu semua hanya sebagai alasan mereka sahaja untuk menolak kebenaran kerana kedegilan mereka. Dalam kitab mereka, mereka ada meletakkan kisah bagaimana malaikat-malaikat adalah ‘anak-anak Tuhan’ yang berlawan sesama mereka untuk mendapatkan kuasa. Jadi, kita boleh tahu bahawa pemahaman mereka tentang para malaikat bukanlah pemahaman yang benar. Ilmu agama tentang perkara ghaib telah ditukar sampai mereka menjadikan malaikat ada nafsu pula untuk mendapatkan kuasa. Padahal, malaikat itu hanya menurut perintah Allah ﷻ sahaja.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab bahawa Al-Qur’an itu walaupun dibawa oleh Jibril عليه السلام, tetapi dia turun dengan izin Allah ﷻ. Bukanlah dia turun membawakan sendiri dan pilih kepada siapa dia hendak berikan wahyu itu.
Mungkin ada yang salah faham kalimat عَلَىٰ قَلْبِكَ (ke atas hatimu) di sini. Ada yang mengatakan ayat ini memberitahu bahawa yang dimasukkan ke dalam hati Rasulullah adalah maksud Al-Qur’an sahaja dan ayat-ayat Al-Qur’an itu pemahaman baginda. Ini adalah pandangan yang salah kerana di dalam banyak ayat lain memberitahu yang Al-Qur’an adalah kalam Allah dan disebut yang Al-Qur’an diturunkan di dalam bahasa Arab.
مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ
Yang membenarkan kitab yang ada di hadapan mereka;
Dan bukanlah wahyu itu menyampaikan ajaran baru tentang tauhid, tetapi ia adalah sama seperti yang ada dalam kitab-kitab yang terdahulu. Jadi, apa bezanya sampaikan mereka tidak suka dengan apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu?
Kalau ia perkara yang lain dan salah, barulah ada sebab untuk melawan dan membenci, tetapi ia adalah benda yang sama sahaja dengan apa yang mereka ada. Tidak lain dan tidak bukan, itu adalah alasan-alasan mereka dan kesamaran yang ada dalam hati mereka sahaja.
وَهُدًى
Dan ianya adalah kitab yang memberi pimpinan;
Apa salah wahyu itu sedangkan wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu memberi petunjuk. Maka kalau manusia mahukan petunjuk, kena dapatkan dari Al-Qur’an, bukan dari sumber lain. Ia hendaklah dijadikan sebagai sumber hidayah yang pertama. Kalau yang lain adalah sekunder sahaja. Maka kenalah belajar tafsir Al-Qur’an sampai habis khatam 30 juzuk dan kemudian kena selalu tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an itu.
وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ
dan berita gembira kepada orang mukmin;
Sesiapa yang mengikut ajaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an, akan mendapat petunjuk. Dan sesiapa yang mendapat petunjuk, akan mendapat berita gembira. Iaitu dia akan dibalas dengan syurga. Oleh itu hendaklah kita belajar bersungguh-sungguh tafsir Al-Qur’an ini. Sesiapa yang berniat untuk belajar isi Al-Qur’an sepenuhnya sebanyak 30 juzuk, dia telah menempah tempatnya di syurga. Barulah ada peluang untuk masuk ke dalam syurga. Bukanlah tentu masuk syurga lagi kalau sudah belajar tafsir.
Kerana masih ada syarat iaitu kenalah istiqamah dalam belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau dia mati dan tidak sempat habis belajar, dia pun in sha Allah akan memasuki syurga juga kerana Allah ﷻ akan memasukkan dia di dalam golongan orang yang telah belajar Al-Qur’an kerana dia telah berniat. Walaupun tidak sempat habis, tetapi Allah ﷻ akan melengkapkan niatnya itu. Apabila sudah berniat sahaja, Allah ﷻ sudah suruh malaikat tulis dengan lengkap perbuatannya itu.
Tetapi belajar sahaja pun belum tentu lagi, jika tidak mengamalkan apa yang dipelajari itu. Ini kerana kalau sudah belajar tetapi tidak mengamalkan apa yang dia belajar, maka tidak ada harapan untuk memasuki syurga. Kenalah jadi orang mukmin terlebih dahulu. Jadi, berita baik itu adalah kepada orang yang mukmin sahaja. Kalau bukan mukmin, mereka tidak dapat terima berita baik itu. Oleh itu, berusahalah kita supaya kita termasuk dalam golongan mukmin.
Jadi salah satu sifat Al-Qur’an adalah ia berita gembira. Akan tetapi perhatikan di sini yang ia bukan untuk semua, tapi untuk orang Mukmin sahaja. Maka mereka inilah sahaja yang akan belajar ilmu wahyu dan mengamalkannya. Jadi tanda orang-orang yang beriman adalah dia suka belajar tafsir Al-Qur’an dan dia suka sampaikan kepada orang. Maka cubalah kita jadi orang yang sebegini. Ingatlah sabda Rasulullah yang diriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.
[Riwayat al-Bukhari (5027)]
Baqarah Ayat 98:
مَن كانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ وَرُسُلِهِ وَجِبريلَ وَمِيكَٮٰلَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ
Whoever is an enemy to Allah and His angels and His messengers and Gabriel and Michael – then indeed, Allah is an enemy to the disbelievers.
Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.
مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ
Sesiapa yang bermusuh dengan Allah;
Dalam ayat sebelum ini, kita telah diberitahu bahawa golongan Yahudi bermusuh dengan Jibrail عليه السلام. Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak memberi isyarat bahawa sesiapa yang bermusuh dengan malaikat-Nya, sebenarnya dia menjadikan Allah ﷻ sebagai musuh. Walaupun mereka tidak sebut pun yang mereka memusuhi Allah, tetapi hakikatnya begitu. Kerana itu Allah mulakan menyebut memusuhiNya dahulu di dalam ayat ini. Tentunya tidak akan berjaya sesiapa yang memusuhi Allah ﷻ, bukan?
وَمَلَـٰٓٮِٕڪَتِهِۦ
dan segala malaikat-malaikatNya;
Mereka tidak suka kepada Jibrail عليه السلام sahaja, tetapi dikatakan mereka memusuhi semua malaikat. Ini adalah kerana kalau marah kepada satu malaikat, bermakna marah kepada semua malaikat sekali. Seperti kalau kita sakiti seorang, bermakna kita juga menyakiti semua sahabatnya atau saudaranya sekali. Cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.
وَرُسُلِهِ
dan segala rasul-rasulNya
Dan kalau bermusuh dengan rasul dari kalangan malaikat, maka bermakna dia bermusuh dengan semua rasul sama ada dari kalangan manusia atau malaikat. Dan kalau bermusuh dengan mana-mana utusan Allah ﷻ, (sama ada mereka itu utusan dari jenis manusia, atau dari jenis malaikat), sebenarnya mereka bermusuh dengan Allah ﷻ kerana Allah ﷻlah yang mengutus mereka.
Dan tidak boleh tolak mana-mana Rasul kerana kalau tolak satu sahaja, maka dikira tolak semua dan terus jadi kufur. Walaupun ada sebahagian yang diterima. Contohnya Yahudi terima semua Nabi kecuali Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Dan Nasrani terima semua Nabi tapi tidak terima Nabi Muhammad. Maka mereka itu kufur. Sebagaimana Kaum Tsamud dikira menolak semua Rasul sedangkan dari sejarah, mereka hanya tolak satu Nabi sahaja sebagaimana disebut di dalam Syu’ara:141
كَذَّبَت ثَمودُ المُرسَلينَ
Kaum Tsamud telah mendustakan rasul-rasul.
Para Rasul itu hanya menyampaikan arahan Allah ﷻ sahaja. Kalau posmen hantar surat, dan kita marah kepada posmen itu kerana beri surat saman, ini tidak patut. Kalau kita marah, maksudnya kita marah kepada orang yang menghantar surat itu, bukan?
وَجِبْرِيلَ
dan (lebih-lebih lagi) Jibril;
Dalam ayat ini disebut Jibril عليه السلام sekali lagi walaupun Jibril عليه السلام adalah salah seorang dari malaikat. Ini adalah sebagai pengulangan dan penekanan kepadanya. Ini adalah kerana kedudukannya yang tinggi di sisi Allah ﷻ.
وَمِيكَٮٰلَ
dan Mikail;
Sebelum ini telah disebut yang mereka kata mereka sukakan Mikail عليه السلام. Ini ada disebut dalam kitab-kitab mereka. Tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ ingin memberitahu kalau tidak sukakan Jibril عليه السلام bermaksud Mikail عليه السلام pun mereka musuhi juga. Kalau sudah berani sebut tidak suka Jibril, jadi apa yang menghalang mereka ini memusuhi Mikail pula jikalau lambat dapat nikmat?
Allah juga mengajar kita yang kita kena terima semua, tidak boleh pilih-pilih. Tidak boleh pilih mana Rasul hendak terima dan tolak sebahagian; tidak boleh tolak ibadah mana yang hendak dibuat dan ada yang tidak; juga tidak boleh terima sebahagian malaikat dan tolak sebahagian lain. Kena terima agama Islam dengan lengkap. Kalau tolak salah satu sahaja, maka terus jadi kafir. Sebagaimana tidak boleh tolak satu ayat Al-Qur’an pun kerana itu pun sudah kufur.
Allah sebut nama malaikat Jibril dan Mikail secara khusus kerana mereka berdua yang disebut oleh Yahudi dan kerana dua malaikat ini adalah dua malaikat yang utama. Dalilnya Rasulullah menyebut nama mereka di dalam Doa Istiftah,
فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلكَـٰفِرِينَ
Maka Allah itu musuh bagi orang kafir;
Allah ﷻ sebut perkataan ‘kafir’ di sini. Bermakna, sesiapa yang marahkan walaupun satu sahaja malaikat Allah ﷻ, maka orang itu sudah dikira menjadi kafir. Sememangnya Allah ﷻ bermusuh dengan orang kafir. Maknanya ayat ini bukan khusus tentang Yahudi atau Bani Israil sahaja, akan tetapi ancaman ini diberikan kepada mana-mana sahaja yang kufur.
Dalam ayat-ayat sebelum ini, mereka mengatakan mereka orang beriman, tetapi Allah ﷻ ingin memberitahu di dalam ayat ini, bukan sahaja mereka tidak beriman, tetapi Allah ﷻ sudah menjadikan mereka sebagai musuh-Nya. Alangkah beratnya kesalahan dan kesilapan yang telah mereka lakukan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 27 September 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
