Tafsir Surah Baqarah Ayat 67 – 68 (Kisah Lembu)

KISAH LEMBU

Baqarah Ayat 67: Ini sifat buruk ketiga Yahudi zaman dahulu. Kalau sebelum ini tentang sifat mereka yang banyak helah dalam mengelak mengamalkan hukum Allah, sekarang sifat yang lain pula. Sifat itu adalah banyak bertanya serta mempersoalkan tentang hal berkaitan agama.

Ini adalah cerita berkenaan dengan Surah Baqarah ini sendiri, iaitu tentang lembu betina. Agama-agama yang salah dahulu yang telah sesat ada yang memuja lembu. Seperti juga sekarang, penganut Hindu memuja lembu juga. Antaranya juga adalah Musyrikin Mekah yang kononnya mengamalkan agama dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, mereka juga ada amalan yang salah berkenaan dengan lembu ini. Kita akan belajar di dalam Surah al-An’am nanti. Mereka itu percaya Nabi Ibrahim عليه السلام adalah rasul dan ada syariat yang masih lagi mereka pakai seperti solat, wudhu’, nikah kahwin dan sebagainya, namun mereka mengamalkan juga amalan yang salah.

Musyrikin Mekah banyak telah menukar agama asal Nabi Ibrahim عليه السلام itu. Antaranya, mereka sudah tidak percaya adanya Hari Kebangkitan. Musyirikin Mekah juga telah memuja tok wali. Mereka juga memuja malaikat-malaikat yang mereka anggap sebagai anak perempuan Allah ‎ﷻ. Mereka sangka, kerana Allah ‎ﷻ sayangkan anak perempuan-Nya, maka dengan memuja malaikat-malaikat, tentulah mereka akan disayangi Allah ‎ﷻ juga. Mereka mengharapkan tok-tok wali dan malaikat-malaikat itu akan dapat menolong mereka nanti.

Orang Kristian pula meminta tolong dengan ‘anak lelaki’ Allah ‎ﷻ iaitu Nabi Isa عليه السلام. Padahal Allah ‎ﷻ tidak mempunyai anak. Mereka sendiri yang memberikan pangkat itu kepada Nabi Isa عليه السلام. Ada juga ajaran yang sesat seperti agama Hindu sekarang yang memuja malaikat-malaikat yang mereka katakan sebagai dewa-dewa mereka.

Dan antara kesesatan yang mereka lakukan adalah memuja lembu. Ada juga agama-agama lain seperti di Afrika, Cyprus dan sebagainya yang memuja lembu. Lembu juga adalah pujaan golongan Yahudi pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ telah memerintahkan mereka untuk sembelih lembu sebagai tanda menolak kepercayaan mereka yang sesat itu. Mereka puja lembu kerana mereka sangka lembu ada keramat dan sebagainya. Mereka anggap begitu kerana banyak kegunaan lembu seperti menghasilkan susu, kulit dan sebagainya. Oleh itu, mereka puja lembu itu. Maka untuk menghilangkan anggapan salah mereka terhadap lembu, mereka kena sembelih lembu itu.

Ayat ini adalah untuk menceritakan perintah Allah ‎ﷻ kepada mereka untuk sembelih seekor lembu betina supaya mereka tidak lagi puja lembu. Kerana kalau mereka sanggup sembelih, tidaklah mereka pandang lembu itu sebagai keramat lagi.

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ

Sahih International

And [recall] when Moses said to his people, “Indeed, Allah commands you to slaughter a cow.” They said, “Do you take us in ridicule?” He said, “I seek refuge in Allah from being among the ignorant.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

 

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya;

Ini adalah arahan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عليه السلام untuk memberi arahan kepada kaum Yahudi. Bukanlah Nabi Musa عليه السلام beri arahan itu dari kehendaknya sendiri.

 

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya sembelih seekor lembu betina;

Sekaranglah baru kita berjumpa dengan kalimah ‘lembu betina’ di dalam surah ini sedangkan ini sudah ayat yang agak jauh dari permulaan. Ada pendapat yang mengatakan بَقَرَةً adalah lembu betina; tapi ada juga pendapat yang mengatakan ia bukanlah tentang jantan atau betina tapi بَقَرَةً adalah sejenis lembu. Dan kisah lembu ini pun beberapa ayat sahaja yang disebut di sini. Akan tetapi surah ini dinamakan surah ‘lembu’ kerana kisah ini adalah kisah yang penting menceritakan tentang sifat buruk mereka dan akidah mereka yang rosak dek kerana lembu. Mereka buat syirik dengan lembu kerana kita telah bertemu kisah mereka menyembah patung anak lembu, bukan? Nanti kita kita akan berjumpa dengan surah Ali Imran pula. Ini adalah kerana surah itu adalah tentang Nasara (Kristian) dan masalah mereka adalah akidah berkenaan keluarga Imran itu.

Kata إِنَّ – yang bermaksud: ‘Sesungguhnya, tidak syak lagi’ – digunakan dalam ayat ini sebagai penegasan. Untuk menunjukkan bahawa arahan itu dari Allah ‎ﷻ. Bukan arahan itu datang dari Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام hanya menyampaikan sahaja arahan itu. Maka kalau mereka melawan, maka mereka sebenarnya engkar dengan Allah! Begitulah umat Nabi Musa عليه السلام pada zaman itu. Mereka kononnya berkata yang mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ, tetapi mereka tolak Nabi Musa عليه السلام. Mereka rasa Nabi Musa عليه السلام ada beri arahan dari dirinya sendiri yang bukan dari Allah ‎ﷻ.

Macam juga zaman sekarang – ada golongan yang kononnya percaya kepada Al-Qur’an tetapi tidak percayakan hadis. Mereka hendak mengasingkan antara Allah ‎ﷻ dan Rasul. Padahal Rasul menyampaikan arahan dari ajaran dari Allah ‎ﷻ. Ini adalah fahaman yang sesat dan sebab sesat itulah yang menyebabkan ada Bani Israil yang meminta supaya mereka sendiri jumpa dengan Allah ‎ﷻ. Mereka hendak Allah ‎ﷻ sendiri cakap dengan mereka. Hasilnya, mereka telah dimatikan serta merta. Kisah ini kita telah belajar dalam ayat-ayat sebelum ini.

Jadi apabila Nabi Musa menegaskan bahawa arahan itu dari Allah, maka ini mengajar kita dalam memberi arahan kepada orang di bawah kita seperti anak-anak kita. Apabila kita berikan arahan itu, letakkan autoritinya pada Allah. Katakanlah kita suruh mereka solat, ingatkan yang bukan kita yang suruh, tapi Allah yang suruh. Kerana kita tidak ada apa-apa autoriti maka kita kena kembalikan kepada Allah.

Allah ‎ﷻ memerintahkan mereka untuk menyembelih lembu kerana dalam hati mereka masih ada sifat mendewakan lembu atau penghormatan yang berlebihan kepada lembu. Ini ada kena mengena dengan kes mereka sembah patung anak lembu sebelum ini seperti yang telah disebut di dalam ayat 51 sebelum ini. Patung itu dibentuk oleh seorang lelaki yang bernama Musa Samuri kerana dia hendak menjadi orang yang tersohor di kalangan kaumnya. Kisah ini boleh dibaca dalam tafsir Surah Taha.

Dia suruh golongan bani Israil mengumpulkan emas-emas yang ada di tangan mereka dan dia leburkan dan bentukkan. Dia pandai sihir sehingga boleh menyebabkan patung itu berbunyi. Atau pun dia pandai menggubah patung sampaikan apabila angin melanggar patung itu, ia mengeluarkan bunyi. Tetapi umat Bani Israil yang melihatnya telah teruja dan percaya kepada Samiri dan mula memuja patung itu kerana Samiri telah menghasut mereka dengan mengatakan yang ia adalah tuhan mereka.

Ini semua terjadi kerana Allah ‎ﷻ hendak menguji mereka. Walaupun masalah ini telah diperbetulkan, patung itu pun telah dihancurkan, namun kisah patung anak lembu itu masih berlegar lagi di kalangan mereka. Mereka bercakap-cakap sesama mereka mengenainya, dan lama kelamaan timbullah pendapat yang mengatakan ada keramat pada lembu. Telah masuk dalam hati mereka kisah lembu keramat. Ini terjadi di kalangan mereka yang tidak belajar agama. Mereka sampai puja lembu pula. Oleh itu, mereka disuruh sembelih lembu itu supaya mereka tidak lagi puja lembu atau pun ada perasaan lain macam terhadap lembu. Ini adalah untuk menidakkan pemahaman mereka yang melihat lembu itu ada keramat dan sebagainya.

Macam kita sekarang, ada manusia yang menganggap ada keramat pada kain kuning, pulut kuning, keris keramat dan sebagainya. Kalau kita suruh mereka bakar benda-benda itu yang mereka anggap keramat, mereka akan marah. Kalau kita suruh mereka buang dan bakar kain kuning, keris keramat dan cincin keramat itu, mereka akan menentang dan berat untuk melakukannya, sama seperti Bani Israil di dalam ayat ini nanti yang kita akan belajar mengenainya.

Apabila Allah suruh sembelih lembu, itu adalah arahan yang mudah sahaja. Arahan Allah sebenarnya mudah sahaja, bukannya susah. Yang menyusahkannya adalah manusia sahaja. Lihatlah amalan-amalan bid’ah rekaan manusia, itu semua menyusahkan sahaja. Allah tak suruh buat pun, tapi mereka yang jahil sahaja memandai-mandai buat dan menyusahkan diri. Antaranya apabila ada kematian manusia jahil ini akan buat kenduri arwah, Majlis Tahlil dan sebagainya. Begitulah Rasulullah telah beritahu tentang hal ini,

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
“Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas”.
[Riwayat al-Bukhari (39)]

Antara golongan yang menyusahkan diri sendiri adalah mereka yang ada penyakit was-was. Mereka ini memberatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak perlu. Seperti basuh rumah kerana takut ada najis, ambil wuduk dan mandi junub berkali-kali kerana takut tidak sempurna, mengulang-ngulang solat dan sebagainya. Mereka yang memberatkan diri dan sepertimana Rasulullah telah beritahu, mereka akan menewaskan diri mereka sendiri, iaitu mereka sendiri yang akan jadi penat.

 

قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا

Mereka berkata: adakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan?;

Pada mereka, suruhan itu adalah ejekan kepada mereka. Macam kalau kita suruh masyarakat kita bakar kain kuning yang membalut keris keramat mereka. Atau kita suruh mereka bakar cincin yang mereka anggap keramat. Mereka akan berasa berat kerana sayang kepada keris dan cincin-cincin itu. Dan arahan untuk membakar barangan keramat itu adalah satu ejekan kepada mereka iaitu arahan untuk menghancurkan benda yang kita sayang. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil di zaman Nabi Musa عليه السلام apabila baginda memberi arahan sebegitu kepada mereka. Mereka merasakan Nabi Musa عليه السلام main-main dan mengejek mereka.

Tentulah Nabi Musa عليه السلام tidak berjenaka dalam hal ini. Tidak boleh seorang ahli agama berjenaka dalam hal agama. Ia adalah satu kesalahan bagi para Nabi untuk melakukan perkara demikian. Tapi begitulah kurang ajarnya Bani Israil terhadap Nabi mereka sendiri. Dan ini adalah ujian kepada Nabi Musa menghadapi puak yang paling degil dan teruk sampaikan Nabi Muhammad pernah memuji baginda,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ لَمَّا كَانَ يَوْمُ حُنَيْنٍ آثَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاسًا فِي الْقِسْمَةِ فَأَعْطَى الْأَقْرَعَ بْنَ حَابِسٍ مِائَةً مِنْ الْإِبِلِ وَأَعْطَى عُيَيْنَةَ مِثْلَ ذَلِكَ وَأَعْطَى أُنَاسًا مِنْ أَشْرَافِ الْعَرَبِ وَآثَرَهُمْ يَوْمَئِذٍ فِي الْقِسْمَةِ فَقَالَ رَجُلٌ وَاللَّهِ إِنَّ هَذِهِ لَقِسْمَةٌ مَا عُدِلَ فِيهَا وَمَا أُرِيدَ فِيهَا وَجْهُ اللَّهِ قَالَ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لَأُخْبِرَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَأَخْبَرْتُهُ بِمَا قَالَ قَالَ فَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ حَتَّى كَانَ كَالصِّرْفِ ثُمَّ قَالَ فَمَنْ يَعْدِلُ إِنْ لَمْ يَعْدِلْ اللَّهُ وَرَسُولُهُ قَالَ ثُمَّ قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى قَدْ أُوذِيَ بِأَكْثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ قَالَ قُلْتُ لَا جَرَمَ لَا أَرْفَعُ إِلَيْهِ بَعْدَهَا حَدِيثًا
Dari [Abdullah (Ibn Mas’ud)] dia berkata; Pada perang Hunain, Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ lebih berpihak kepada sebahagian orang dalam pembahagiannya (harta ghanimah). Baginda memberikan Al Aqra’ bin Habis sebanyak seratus ekor unta, dan memberikan Uyainah juga sebanyak itu. Lalu baginda membagikan kepada para pembesar Arab dan melebihkan bahagian mereka. Maka berkatalah seorang laki-laki, “Demi Allah, ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah.” Maka aku (Ibn Mas’ud) pun berkata, “Demi Allah, aku benar-benar akan menyampaikannya kepada Rasulullah SAW.” Kemudian aku segera mendatangi baginda dan mengabarkan apa yang telah dikatakan orang itu, maka berubahlah raut wajah baginda hingga seperti cat merah. Setelah itu, baginda bersabda: “Kalau begitu, lantas siapa lagi yang akan berlaku adil, jika Allah dan Rasul-Nya (dikatakan) tidak berlaku adil?” Kemudian baginda bersabda lagi: “Semoga Allah merahmati Musa, sungguh, dia telah disakiti lebih dari ini lalu dia bersabar.” Aku (Ibn Mas’ud) berkata; “Tidak ada dosa, jika setelahnya aku tidak lagi memberitakan sesuatu (yang membuatnya) marah.”
Sahih Bukhari (1759)

Ada yang mengatakan bahawa kisah ini terjadi ketika terjadi pembunuhan di kalangan mereka. Seorang lelaki telah membunuh bapa saudaranya kerana mahukan harta. Kalau tunggu bapa saudaranya itu mati sendiri, lambat untuk dia dapat harta. Selepas bunuh, dia telah meletakkan mayat bapa saudaranya itu di kampung sebelah. Dan menuduh mereka pula yang membunuh bapa saudaranya. Kemudian, mereka berbantah-bantah tentang siapakah yang telah membunuh lelaki itu. Sampaikan mereka telah hampir hendak berperang antara puak-puak yang bertelagah itu. Apabila mereka membawakan masalah itu kepada Nabi Musa عليه السلام, baginda telah menyampaikan arahan Allah ‎ﷻ untuk mereka menyembelih seekor lembu betina.

Oleh kerana mereka tidak nampak apa kaitan antara mencari pembunuh itu dengan menyembelih lembu, maka mereka telah menuduh Nabi Musa عليه السلام bermain-main dengan mereka. Kami ini hendak cari pembunuh, sekarang kamu suruh kami sembelih lembu pula? Ini adalah kisah yang masyhur, tetapi ia ada masalah untuk dipakai kerana ia adalah kisah Israiliyat dan kisah Israiliyat tidak boleh terus digunakan dalam tafsir kerana mungkin ada masalah. Ini nanti kita akan bincangkan setelah sampai pada ayatnya tidak lama lagi. Allah ceritakan kisah ini tidak di dalam bentuk susunan kronologi.

Kalimah هُزُوًا adalah di dalam bentuk isim. Jadi maknanya mereka tidak mengatakan Nabi Musa mengejek mereka tapi menjadi mereka sebagai bahan ejekan. Ia tidak sama. Kerana kalau mereka kata Nabi Musa mengejek mereka, ejekan itu sekali sahaja. Tapi kalau dijadikan sebagai bahan ejekan, maka mereka boleh diejek berkali-kali dan di dalam jangkamasa yang lama.

 

قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ

Nabi Musa berkata: Aku berlindung dengan Allah, dari menjadi seorang dari golongan yang jahil;

Dalam apa-apa hal, kena kembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Tentu sekali Nabi Musa عليه السلام tidak berjenaka atau main-main dalam hal ini dan baginda kembalikan kepada Allah ‎ﷻ untuk minta dijauhkan dari kejahilan. Maknanya baginda tidak sudi menjadi orang jahil yang berolok-olok dalam hal agama. Sepatutnya kaum baginda tahu yang baginda bukanlah berolok-olok. Hanya orang jahil yang mempermainkan orang lain. Itu adalah perbuatan tidak beradab dan perbuatan yang amat bodoh, tidak layak bagi seorang Nabi lagi Rasul.

Di sini kita boleh belajar yang Nabi Musa berlindung dari kejahilan. Iaitu jahil seperti kaum Yahudi yang memuja lembu itu. Jahil yang dimaksudkan adalah ‘Jahil Syariat’. Maknanya kita kena jauhkan diri kita dari kejahilan. Jahil atau bodoh agama itu tidak bagus. Kalau kita jahil, jangan rasa selesa duduk dalam kejahilan. Orang jahil tidak selamat. Jadi jangan kita berdoa jadi orang jahil pula. Bagaimana? Kalau selalu kata: “aku ni jahil, maafkan aku jahil, apa nak buat aku jahil…” Itu adalah doa kerana otak kita selalu mendengar apa yang kita kata. Kalau kita kata kita ini jahil, maka otak kita akan terus menerus mengekalkan kita dalam kejahilan. Kalau kita tidak tahu kerana kita baru belajar, maka cukuplah kata, “maaf saya tidak tahu, tolonglah ajar ya.” Tidakkah itu lebih bagus? 

Mengagungkan lembu adalah satu kejahilan. Begitulah kalau orang yang tidak menggunakan akal. Macam orang Hindu sekarang, sampaikan lembu itu mereka tidak sembelih sampai lembu itu kena tunggu mati sendiri. Sampaikan lembu itu ada surat beranak sendiri macam manusia. Jadi tidak boleh senang-senang hendak sembelih lembu di sana. Sampaikan banyak sangat lembu liar yang dibiarkan berkeliaran dalam bandar. Sesiapa yang khianat kepada lembu itu akan dimarahi dan boleh sampai berperang. Kadang-kadang mereka kena juga halau lembu yang menyusahkan manusia (seperti menghalang laluan keretapi). Tetapi orang yang hendak tangkap lembu kena mengadakan upacara berlindung dengan dewa untuk membawa lembu itu. Sebelum menangkap lembu itu, mereka kena puja lembu itu terlebih dahulu.

Orang Islam di India yang hendak makan daging lembu kena bela lembu itu secara senyap-senyap di tempat jauh dari orang Hindu dan kena sembelih lembu itu sorok-sorok. Kalau tidak, akan menjadi masalah dengan orang Hindu nanti sebab mereka akan kata kita bunuh ‘tuhan’ mereka. Memang ada golongan Hindu yang ekstremis yang telah membunuh Muslim yang dituduh menyembelih lembu.

Ini masalah yang berat sungguh, sampaikan di Malaysia pun pernah menjadi isu sebab orang kita sembelih lembu korban di kawasan sekolah yang ada pelajar Hindu. Susah juga kita hendak jaga sensitiviti antara agama. Sedangkan penyembelihan lembu ada dalam agama kita dan agama rasmi negara kita pula memang Islam. Dan memang lembu itu adalah makanan kita pun. Jadi memang tidak ada masalah kalau hendak sembelih lembu. Kita bukannya tidak hormati agama mereka, malah mereka boleh mengamalkan agama mereka pun. Tapi tidakkah mereka mahu menghormati agama kita pula?


 

Baqarah Ayat 68: Untuk menyembelih lembu adalah mudah sahaja sebenarnya, tetapi mereka banyak bertanya sampaikan perkara yang senang jadi susah.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنا ما هِيَ ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لّا فارِضٌ وَلا بِكرٌ عَوانٌ بَينَ ذٰلِكَ ۖ فَافعَلوا ما تُؤمَرونَ

Sahih International

They said, “Call upon your Lord to make clear to us what it is.” [Moses] said, “[ Allah ] says, ‘It is a cow which is neither old nor virgin, but median between that,’ so do what you are commanded.”

Malay

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”.

 

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata kepada Nabi Musa: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”;

Lihatlah bagaimana mereka kata ‘Tuhan kamu’, bukan ‘Tuhan kami’. Begitulah kurang ajarnya mereka dengan Nabi dan Allah ‎ﷻ. Dari sini sahaja kita sudah nampak perangai buruk mereka.

Apabila digunakan kalimah قَالُوا di sini, ia memberi isyarat yang mereka terus bertanya setelah diberikan arahan itu. Sepatutnya mereka terus buat, tapi mereka terus tanya. Tidaklah mereka berfikir dahulu sebelum bertanya. Satu adab yang baik adalah berfikir dahulu sebelum bercakap dan bertanya dan mereka ini tidak begitu. Some people stop to think, but some people stop thinking.

 

 يُبَيِّنْ لَّنَا مَا هِيَ

“Supaya Dia menjelaskan bagi kami apakah hakikat lembu betina itu?”;

Mereka hendak tahu lembu itu jenis apa dan sebagainya. Mereka tanya itu dalam nada mengada-ngada. Sebenarnya mereka tiada niat untuk buat pun. Maka kerana mereka telah bertanya, Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menjelaskan apakah sifat lembu betina itu. Ada yang mengatakan Nabi Musa عليه السلام kena mendaki Bukit Thur dan bercakap sendiri dengan Allah ‎ﷻ. Setiap kali pertanyaan timbul, Nabi Musa عليه السلام kena buat begitu. Dan apabila Nabi Musa عليه السلام berdoa meminta penjelasan, Allah ‎ﷻ telah menjelaskan apakah jenis lembu itu. Allah ‎ﷻ susahkan mereka dengan memberikan syarat kerana mereka yang gatal sangat bertanya.

Adakah salah bertanya? Dari satu segi memang tidak salah malah memang kita digalakkan untuk bertanya. Allah berfirman di dalam Nahl:43

فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,

Umum erti ayat Nahl:43 ini menyuruhkan orang yang tidak tahu bertanya kepada yang lebih tahu, kerana ilmu pengetahuan itu adalah umum sifatnya, berfaedah buat mencari kebenaran. Dengan ayat ini kita mendapat pengertian bahawasanya kita boleh menuntut ilmu kepada ahlinya, di mana saja dan siapa saja; sebab yang kita cari ialah kebenaran. Tidaklah semestinya berkenaan ilmu agama sahaja kerana ia boleh bersifat umum. Dalam hal yang mengenai ilmu-ilmu Agama Islam, nescaya kita patut bertanya kepada ahl zikr dalam hal Islam, dan dalam ilmu-ilmu yang lain, iaitu dalam hal-hal yang lebih umum, kita tanya pula kepada ahl zikr nya sendiri; tandanya kita berfahaman luas dan berlapang dada.

Ayat ini juga mengajar kita untuk belajar dan adakalanya dengan bertanya. Jikalau kita tidak faham, hendaklah kita bertanya kepada orang yang berilmu. Jangan segan untuk bertanya kerana itu akan menyebabkan kita terus menjadi jahil. Lihatlah sabda Nabi ﷺ dalam hal ini,

فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Akan tetapi kita kena tahu yang belajar bukanlah dengan cara bertanya dan bertanya, akan tetapi kena belajar sebenarnya. Apabila kita belajar dan ada yang tidak faham, barulah bertanya. Bukannya asyik bertanya akan perkara yang melintas di hadapan kita. Itu bukan cara mendapat ilmu yang sebenar. Kerana katakanlah ada 100 perkara dalam tajuk itu, kalau kita bertanya satu perkara, kita tahu satu perkara sahaja; sedangkan ada 99 perkara lagi kita tidak tahu. Jadi ilmu kita tidak lengkap. And half a knowlege is very dangerous. Jadi belajarlah sesuatu topik itu sampai habis, barulah bertanya mana yang tidak faham. Kerana hendak bertanya pun memerlukan ilmu juga.

Soalan yang datang dari orang yang jahil juga selalunya mengarut kerana datang dari akal yang dangkal. Soalan itu seperti bagaimana kalau solat di bulan, bolehkah makan ikan duyung dan sebagainya. Ini termasuk soalan-soalan iftiradi (kemungkinan terjadi) sahaja yang tidak perlu ditanya pun kerana menyesakkan fikiran sahaja.

Jadi kita perhatikan ramai yang suka sangat bertanya dan bertanya, belajarnya tidak. Dan dari pertanyaan mereka itu kita dapat tangkap yang mereka ini memang orang tidak belajar kerana soalan amatlah dasar. Sepatutnya dia belajar dahulu baru bertanya. Kerana sesuatu tajuk itu agak besar dan kalau tidak ada pemahaman dasar, boleh jadi salah faham.

Bertanya dan bertanya pun amatlah menjengkelkan. Kerana itulah para sahabat tahu yang mereka tidak sepatutnya asyik bertanya kepada Nabi. Sampaikan mereka suka kalau ada orang Badwi dari padang pasir datang bertemu Nabi. Kerana mereka tahu yang tentu puak-puak dari padang pasir itu akan bertanya soalan-soalan yang menarik. Kerana mereka itu jahil, tidak beradab dan tidak bertamadun. Maka ini mengajar kita, perangai suka bertanya dan bertanya ini adalah perangai orang padang pasir yang jauh dari majlis ilmu dan kerana itu mereka jahil.

Dan yang lebih teruk adalah soalan dari golongan Bani Israil kepada Nabi Musa ini. Mereka bertanya bukannya hendak tahu dan hendak buat, tapi mencari-cari alasan untuk tidak buat. Soalan mereka tidak patut ditanya dan akhirnya menyusahkan mereka sahaja. Dari senang sahaja amalkan arahan Allah, terus jadi susah.

 

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَّا فَارِضٌ

Musa berkata: “Sesungguhnya Dia (Allah) berkata bahawasanya lembu betina itu tidak tua sangat”;

Lembu yang tua adalah dalam lingkungan 15 tahun umurnya. Maknanya, kena cari lembu yang belum sampai umur 15 tahun, bukan yang sudah menapaus. Nabi Musa عليه السلام ‎menekankan sekali lagi dalam ayat ini bahawa Allah ‎ﷻ sendiri yang menjelaskan sifat lembu itu, bukan dari baginda. Lihatlah perkataan إِنَّهُ يَقُولُ.

 

 وَلَا بِكْرٌ

“dan tidak muda sangat”;

Lembu yang muda adalah dalam lingkungan antara 2 – 6 tahun. Bukanlah lembu yang belum pernah melahirkan anak. Maka kena cari lembu yang sudah pernah melahirkan satu atau dua anak.

 

عَوَانٌ بَيْنَ ذَٰلِكَ

“Pertengahan antara tua dan muda”;

Jadi, umur lembu itu adalah dalam lingkungan 7 tahun. Sekarang sudah ada kriteria umur pula yang mereka kena cari. Kalau mereka tidak bertanya, mereka boleh pilih mana-mana lembu betina sahaja.

Ada pengajaran tentang konsep ‘pertengahan’ dalam ayat ini. Al-Husain Ibnu al-Fadh dikenal dengan kepandaiannya mengangkat banyak amtsal Arab dan ‘ajam dari Al-Qur’an, suatu ketika beliau ditanya: apakah kamu menemukan dalam Al-Qur’an ayat-ayat yang terkandung di dalamnya pepatah ini: ( خير الأمور أوسطها ) “Sebaik-baik perkara itu adalah pertengahannya”.

Dia berkata: ya, saya menemukannya di di 4 tempat!

1- { لَا فَارِضٌ وَلَا بِكْرٌ عَوَانٌ بَيْنَ ذَٰلِكَ ۖ فَافْعَلُوا مَا تُؤْمَرُونَ } “yang tidak tua dan tidak muda; pertengahan antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu”.

2- { وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا } “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian” [ al-Furqan : 67 ].

3- { وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ } “Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal” [ al-Isra’ : 29 ].

4- { وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا } “dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam salatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu” [ al-Isra’ : 110 ].

 

فَافْعَلُوا مَا تُؤْمَرُونَ

Musa berkata: “Buat sahajalah apa yang telah diperintahkan kepada kamu”;

Maknanya, jangan tanya lagi. Buatlah dengan segera. Asalnya Allah ‎ﷻ memerintahkan sembelih lembu betina sahaja, sekarang sudah ditetapkan umur pula kerana mereka yang telah bertanya. Kalau tidak, boleh ambil sahaja mana-mana lembu betina. Maknanya, cukuplah, jangan tanya lagi, buat sahaja.

Perkataan فَافْعَلُوا bermaksud satu perbuatan yang tidak perlu fikir banyak. Jenis perbuatan yang bukan susah hendak buat. Sekarang ini, masih senang lagi – cuma cari lembu betina yang umurnya pertengahan. Kalau tadi, cuma sembelih lembu betina sahaja – senang. Tapi sekarang, sudah kena cari yang pertengahan umurnya – masih dikira senang lagi.

Sepatutnya mereka terus buat pada waktu ini. Tetapi mereka masih lagi hendak bertanya. Inilah yang dikatakan perangai buruk bangsa Yahudi dahulu. Dalam ayat seterusnya akan diterangkan apakah lagi soalan mereka.

Pengajaran dari ayat ini adalah apabila sudah ada suruhan dari Allah, buat sahaja. Jangan berdolak dalih dan bertanya itu ini. Jangan kata hendak faham dahulu apakah sebabnya suruhan itu. Ada juga yang bila disuruh dia hendak tahu kenapa arahan sebegitu. Ini tidak patut kita bertanya dengan Allah. Kerana akal kita mungkin tidak dapat hendak memahami tujuan sesuatu perkara itu dan apakah hikmahnya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 September 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment