In sya Allah saya akan memulakan siri syarah ringkas bagi karya agung Dr. ‘Aidh al-Qarni, La Tahzan (Jangan Bersedih). Ia adalah karya moden dengan cetakan pertamanya pada tahun 2001.
Buku ini merupakan hasil kajian yang bersungguh-sungguh oleh penulis, yang cuba menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan manusia. Permasalahan yang seringkali timbul mengakibatkan keraguan, kegelisahan, dukacita, penderitaan, hilang harapan, kekecewaan dan berbagai-bagai lagi. Ternyata permasalahan sebegini sedikit sebanyak mengganggu kehidupan kita semua dan perasaan sedih sudah pasti tidak dapat dielakkan.
Buku ini senang sahaja didapati jadi saya bukan menulis semula apa yang telah ada di dalamnya. Itu anda boleh baca sendiri. Namun di sini saya hanya meringkaskan tulisan penulis asal dengan memasukkan kupasan daripada saya sendiri. Semoga ia bermanfaat dan dapat membantu kita semua untuk menghilangkan kesedihan yang melanda diri kita.
1. Ya Allah!
Ya Allah! Ingatlah yang kita ini ada Allah ﷻ, Tuhan kita. Dia yang ada segala-galanya. Dia yang Maha Berkuasa, yang menentukan takdir, yang menguasai fizikal dan juga mental kita. Dia boleh menjadikan apa-apa sahaja. Maka ingatlah yang kita sebenarnya adalah tempat mengadu, ada tempat bergantung.

Maka jikalau hati gundah gulana, masalah kunjung bertimpa-timpa, maka waktu itu hadapkanlah wajah dan pengharapan kita kepada Allah ﷻ. Waktu itu sedarlah yang tidak ada yang dapat menyelesaikan masalah kita, melainkan Dia sahaja! Waktu itu lemahkan diri dan akal kita, jangan hendak bersikap bijak lagi tetapi serahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Let Go and Let God! Memang Allah ﷻ tempat meminta seperti firman-Nya di dalam Rahman:29
يَسئلُهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ كُلَّ يَومٍ هُوَ في شَأنٍ
Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepada-Nya. Tiap-tiap masa Dia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya)!
Mungkin selama ini kita selalu sahaja bergantung dengan manusia, namun sudah tiba masanya kita bergantung dengan Allah ﷻ. Sekiranya bergantung dengan makhluk, mereka pun bukan boleh berbuat apa-apa pun tanpa keizinan Allah ﷻ, maka sebaiknya kita terus bergantung kepada Allah ﷻ. Kerapkanlah menyebut di mulut dan hati dengan kalimah “Ya Allah!” Bantulah aku… hilangkan masalah aku, kasihanilah aku”…
Dengan doa ini juga akan menautkan hati kita dengan Allah ﷻ. Ia juga adalah zikir sebenarnya. Doa adalah tips untuk sentiasa berzikir. Ini kerana pada setiap masa hati kita memang berkata-kata pun, maka sebaiknya kita jadikan kata-kata ‘internal talk’ hati kita itu dengan doa. “Ya Allah aku nak cari makan yang sedap ni.. ya Allah nak naik kenderaan ini, bantulah aku dapat parking nanti, ya Allah aku nak mula bekerja ni, mudahkan kerja aku, ya Allah aku hendak menulis ni, berikanlah idea-idea bernas….”

Dengan sentiasa menautkan hati kita dengan Allah ﷻ, hati kita akan tenang. Inilah janji Allah ﷻ seperti firman-Nya di dalam Ra’d:28
الَّذينَ ءآمَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
