Tafsir Surah Baqarah Ayat 230 – 231 (Cina Buta)

HUKUM SUAMI MENIKAHI BEKAS ISTERI

Baqarah Ayat 230: Masih lagi pada perbincangan ayat-ayat Umur Munazimah (hukum hakam agama). Masih lagi perbincangan bab fiqah tentang perceraian. Perkara yang selalu diulang-ulang di dalam Al-Qur’an adalah tentang tauhid dan syirik (akidah) namun tentang hukum fiqah, Allah ‎ﷻ akan sebut sekali sahaja dan tidak diulang di tempat lain. Maknanya, bab hukum fiqah tidak diulang-ulang sepertimana ayat tentang akidah. Kalau ada diulang tentang perkara yang sama di ayat lain, itu adalah kerana hendak memberi hukum yang lain. Maknanya cukup Allah ‎ﷻ beritahu hukum fiqah sekali sahaja dan kita patut ikut dan taat kepadanya.

Namun bab akidah akan selalu diulang-ulang dalam Al-Qur’an dan kerana itu, kita kena bersabarlah kalau guru yang mengajar tafsir selalu menyebut tentangnya kerana memang Al-Qur’an pun mengulang perkara yang sama dengan berbagai-bagai cara. Allah ‎ﷻ ulang berkali-kali itu supaya kita boleh boleh faham dan supaya pengajaran akidah itu masuk ke dalam hati kita. Tidak ada alasan hendak kata ‘tidak tahu’ kerana telah banyak kali diulang-ulang.

Perkara akidah amat penting kerana jikalau ia tidak mantap, maka segala amal ibadat yang kita lakukan tidak sah dan segala hukum yang kita ikut, tidak berguna (kerana masuk neraka juga akhirnya). Ini kerana syarat amalan diterima adalah seseorang itu mestilah seorang Muslim dan kalau akidah tidak kemas, dia belum dikira sebagai Muslim yang sejati lagi – Muslim hanya pada nama sahaja.

Kita mestilah memastikan akidah kita kemas kerana akidah ini adalah seperti batu asas untuk sesebuah bangunan dan jikalau batu asas itu tidak mantap, maka bangunan yang dibina akan lemah dan roboh. Penat sahaja bina bangunan namun ia akan runtuh. Begitu juga, penat sahaja buat amal ibadat kalau ada salah faham akidah.

Oleh kerana hukum fiqah disebut secara ringkas dan padat di dalam Al-Qur’an, maka kita perlu rujuk kepada hadith dan kitab-kitab fiqah untuk melihat perbincangan ulama’ fiqah di atas sesuatu perkara fiqah itu. Tidak dibincangkan dengan panjang lebar dalam tafsir Al-Qur’an ini.

Ayat yang kita akan baca ini adalah tentang perempuan yang telah dicerai dan telah dirujuk dua kali dan sekarang telah diceraikan untuk kali yang ketiga. Kalau sudah cerai sampai dua kali, maka hendaklah berjaga-jaga kerana kalau masih juga mahu cerai kali ketiga, maka, pasangan itu mungkin tidak boleh berkahwin sampai bila-bila. Boleh lagi kahwin, tetapi sudah panjang cerita dan sangat sukar untuk menikah kembali. Inilah yang akan dibincangkan dalam ayat ini.

فَإِن طَلَّقَها فَلا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعدُ حَتّىٰ تَنكِحَ زَوجًا غَيرَهُ ۗ فَإِن طَلَّقَها فَلا جُناحَ عَلَيهِما أَن يَتَراجَعا إِن ظَنّا أَن يُقيما حُدودَ اللهِ ۗ وَتِلكَ حُدودُ اللهِ يُبَيِّنُها لِقَومٍ يَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And if he has divorced her [for the third time], then she is not lawful to him afterward until [after] she marries a husband other than him. And if the latter husband divorces her [or dies], there is no blame upon the woman and her former husband for returning to each other if they think that they can keep [within] the limits of Allah . These are the limits of Allah , which He makes clear to a people who know.

MALAY
Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau dia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

 

فَإِن طَلَّقَها فَلا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعدُ

Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu,

Tidak halal bagi mereka untuk berkahwin semula selepas cerai kali yang ketiga. Rujuk tidak boleh, hendak kahwin selepas habis iddah pun tidak boleh. Inilah yang dinamakan Talaq Bain Kubra. Masih ada lagi cara, yang akan disebut selepas ini.

Ayat ini menggunakan kalimah إن yang digunakan untuk sesuatu yang diragukan atau jarang terjadi. Jadi ayat ini mengisyaratkan bahawa sebenarnya perceraian sampai talak tiga ini merupakan hal yang jarang berlaku dalam kalangan orang yang memperhatikan tuntutan-tuntutan Allah ‎ﷻ. Ia tidak terjadi dalam kalangan orang mukmin maknanya. Sebab kalau sekali sudah lafaz talak, maka sudah kena beringat. Kemudian kalau terjadi lagi talak yang kedua, ini adalah peringatan tambahan. Tidak sepatutnya terjadi talak yang ketiga.

 

حَتّىٰ تَنكِحَ زَوجًا غَيرَهُ

sehingga dia berkahwin dengan suami yang lain.

Mereka tidak boleh kahwin sampai bila-bila, sehinggalah isteri itu berkahwin dengan suami lain (dan kemudian bercerai pula), tetapi itu pun dengan syarat-syaratnya. Tidak boleh ikut suka kita sahaja.

Pertama, isteri itu kenalah berkahwin dengan lelaki lain, dan mereka mestilah telah berjimak. Ini kerana kalimah تنكح di dalam ayat ini bermaksud bersetubuh. Ia bukan setakat akad nikah sahaja. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam hadith riwayat  ‘Aisyah رضي الله عنها. Ini juga adalah asbabun nuzul ayat ini,

أَنَّ امْرَأَةَ رِفَاعَةَ الْقُرَظِىِّ جَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ رِفَاعَةَ طَلَّقَنِى فَبَتَّ طَلاَقِى ، وَإِنِّى نَكَحْتُ بَعْدَهُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الزَّبِيرِ الْقُرَظِىَّ ، وَإِنَّمَا مَعَهُ مِثْلُ الْهُدْبَةِ . قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – « لَعَلَّكِ تُرِيدِينَ أَنْ تَرْجِعِى إِلَى رِفَاعَةَ ، لاَ ، حَتَّى يَذُوقَ عُسَيْلَتَكِ وَتَذُوقِى عُسَيْلَتَهُ »
Suatu ketika isteri Rifaa’ah Al Qurozhiy menemui Nabi ﷺ. Dia berkata, “Aku adalah isteri Rifaa’ah, kemudian dia menceraikanku dengan talak tiga. Setelah itu aku menikah dengan ‘Abdurrahman bin Az-Zubair Al Qurozhiy. Akan tetapi sesuatu yang ada padanya seperti hudbatuts-tsaub (hujung kain)”. Rasulullah ﷺ tersenyum mendengarnya, lantas baginda bersabda: “Apakah kamu ingin kembali kepada Rifaa’ah? Tidak boleh, sebelum kamu merasakan madunya dan dia pun merasakan madumu.”
(Riwayat Bukhari No. 5260 dan Muslim No. 1433)

Hudbatuts-tsaub maknanya adalah kemaluan suami lembik seperti hujung kain, sehingga tidak boleh  memuaskan. ‘Usailah (madu) yang dimaksudkan dalam hadith di atas menurut jumhur ulama adalah kelazatan ketika hubungan intim, iaitu ketika kemaluan suami telah tenggelam pada kemaluan isteri walau tidak keluar maninya. Kalau lembik, ini tidak akan terjadi. Jadi pernikahan kedua isteri Rifaa’ah tidak dikira. Dia mestilah menikah dan berjimak dengan lelaki lain dahulu. Ini kerana maksud ‘nikah’ itu dari segi bahasa pun bermaksud ‘jimak’.

Catatan: Ketika mantan isteri telah menikah dengan lelaki lain dan terjadi perceraian lalu kembali pada suami yang dulu, maka talak tiga yang dulu sudah kembali menjadi kosong (reset). Jika terjadi talak, maka dihitung mulai dari talak satu. Demikian ijma’ para ulama.

Di dalam hal ini terdapat satu cara para suami yang gila talak gunakan iaitu yang dipanggil ‘Cina Buta’ atau istilah dalam syarak adalah nikah tahlil atau muhallil. Cina buta ialah seorang lelaki yang menikahi perempuan yang bercerai talak tiga dengan suaminya, kemudian menceraikan perempuan itu supaya perempuan itu boleh berkahwin semula dengan bekas suaminya. Kenapa ada cina buta pula disalahkan? Kerana asalnya dikatakan dahulu ada seorang lelaki cina yang buta matanya sanggup menjadi suami sementara ini dengan upah. Suami yang asal mengupah ‘cina buta’ itu selalunya dengan syarat:

    • Suami baru tidak dibenarkan untuk melakukan hubungan intim atau suami baru ketika akad perlu melafazkan ta’liq seperti sekiranya beliau melakukan hubungan intim bersama isteri, secara langsung akan terjatuh talak 3.
    • Perkahwinan baru itu telah ditentukan waktu atau kontrak, setelah tamat waktu maka suami perlu menceraikan isterinya.
    • Sejumlah wang telah ditetapkan kepada suami baru bagi menceraikan isterinya supaya bekas suami boleh bernikah semula.

Mengikut jumhur ulama’ Syafie, Maliki, Hanbali dan Hanafi menyatakan bahawa nikah tahlil / muhallil atau cina buta ini adalah pernikahan yang tidak sempurna atau tidak mencukupi satu atau lebih syarat daripada syarat pada rukun nikah, kerana itu nikah ini tidak sah dan ia merupakan nikah fasid atau nikah batil. Ini kerana niat semasa menikah itu sudah ada perjanjian akan dibatalkan setelah sekian lama. Sepatutnya semasa menikah itu hendaklah kekal sampai bila-bila melainkan ada sebab untuk diceraikan. Bahkan, Nabi ﷺ melaknat pernikahan ini. Sabda Nabi ﷺ:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُحِلَّ وَالْمُحَلَّلَ لَهُ
“Rasulullah ﷺ melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan.”
(Riwayat Tirmidzi No. 1120. Abu Isa menyatakan bahawa hadith ini adalah hasan sahih)

Kedua, suami kedua itu menceraikan wanita itu. Mesti diceraikan dengan cara normal, bukannya kerana paksaan atau upah oleh suami pertama.

Ketiga, itu pun kalau bekas isteri itu hendak berkahwin dengan dia semula kerana kalau isteri itu tidak mahu kembali kepada suami asal, suami itu tidak boleh paksa, kerana ini bukan rujuk, tetapi pernikahan yang baru.

 

فَإِن طَلَّقَها فَلا جُناحَ عَلَيهِما أَن يَتَراجَعا

Setelah itu kalau dia diceraikan, maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali

Kalau suami kedua itu menceraikan wanita itu selepas ditiduri, bolehlah wanita itu berkahwin semula dengan suaminya yang pertama apabila sudah habis iddah. Suami yang kedua itu mestilah boleh dan sudah melakukan hubungan kelamin dengan wanita itu.

Pernah terjadi pada zaman Nabi ﷺ, seorang sahabiah telah berkahwin dengan suami yang lain dan apabila diceraikan oleh suami yang kedua itu, beliau hendak kembali kepada suami yang pertama. Apabila ditanya oleh Nabi ﷺ kenapa beliau hendak kembali kepada suami yang pertama, wanita itu beritahu bahawa suaminya yang kedua itu tidak boleh melakukan persetubuhan. Nabi ﷺ kata tidak boleh kalau begitu kerana untuk beliau kembali kepada suaminya yang pertama beliau mesti telah melakukan persetubuhan dengan suaminya yang kedua.

Kena ingat yang ini adalah perkahwinan yang baru, bukannya rujuk kembali. Jadi kena dapatkan persetujuan wanita itu. Kena melalui proses seperti pernikahan yang biasa.

Perkara yang biasa timbul dalam masyarakat kita adalah tentang ‘Cina Buta’ iaitu suami yang telah menceraikan isterinya tiga kali, menggunakan ‘pak sanggup’ atau dinamakan ‘Cina Buta’ untuk berkahwin dengan isterinya dan kemudian ada perjanjian untuk menceraikan isterinya itu. Ada bayaran yang dikenakan kepada Cina Buta ini dan selalunya, suami itu tidak membenarkan Cina Buta itu meniduri isterinya.

Ini dilakukan untuk membolehkan dia berkahwin semula dengan isterinya. Ini adalah satu perbuatan yang menghina hukum Allah ‎ﷻ dan percubaan untuk menipu Allah ‎ﷻ. Ini adalah perbuatan yang keji dan haram. Jangan kita terlibat dalam perkara ini.

 

إِن ظَنّا أَن يُقيما حُدودَ اللهِ

jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah

Ini kalau wanita itu telah diceraikan oleh suami kedua dan hendak menikah kembali dengan suaminya yang pertama dahulu. Mereka dibenarkan untuk bernikah semua kalau mereka rasa mereka ada harapan untuk menjaga hukum. Maksudnya mereka hendak menjaga hukum Allah ‎ﷻ. Maknanya, mereka meletakkan penjagaan hukum sebagai asas kepada perkahwinan. Tentunya tidak ada sesiapa pun yang pasti akan apa yang terjadi di hadapan. Akan tetapi sangkaan di sini merujuk kepada kehendak mereka sendiri untuk menjaga hukum. Kalau agak tidak boleh jaga hukum, maka tidak payahlah hendak berkahwin semula.

 

وَتِلكَ حُدودُ اللهِ يُبَيِّنُها لِقَومٍ يَعلَمونَ

dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui.

Allah ‎ﷻ memberitahu cara-cara perhubungan antara suami isteri ini kepada mereka yang hendak tahu. Tahu bahawa hukum hakam pernikahan dan cerai yang Allah ﷻ berikan ini adalah untuk kita menjadi insan yang baik dan dimasukkan ke dalam syurga. Sepatutnya kita sebagai seorang muslim dan beriman dengan Allah ‎ﷻ, hendaklah merujuk kepada Al-Qur’an untuk mendapatkan cara-cara untuk menyelesaikan satu masalah yang dihadapi dalam kehidupan mereka. Jangan cuba mencari jalan penyelesaian mengikut akal sendiri sahaja.


 

ADAB DALAM BERCERAI

Baqarah Ayat 231: Kita masih lagi dalam bab cerai. Kebiasaan masyarakat Arab Jahiliyah, mereka memang ada proses nikah dan cerai tetapi proses itu tidak ada had dan mereka boleh melakukannya berkali-kali sebelum Islam menghadkannya kepada tiga kali sahaja. Mereka boleh buat begitu kerana mereka tidak ada kitab dan tidak ada pegangan agama yang benar, jadi mereka membuat ikut suka hati mereka sahaja.

Lalu menjadi perkara biasa bagi lelaki Arab Jahiliyyah menceraikan isteri mereka jikalau mereka marah dan semasa masih dalam iddah, mereka akan rujuk semula isteri mereka itu dan kemudian mereka ceraikan berkali-kali. Ini adalah satu kezaliman terhadap isteri tersebut kerana mereka dipermainkan sebegitu. Lelaki tidak berasa terbeban dengan perkara itu kerana mereka boleh berkahwin ramai. Kalau mereka ceraikan seorang isteri, mereka mempunyai isteri-isteri yang lain. Jadi Islam telah menjaga hak wanita dalam hal ini.

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ ۚ وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِّتَعتَدوا ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ ۚ وَلا تَتَّخِذوا ءَايَـٰتِ اللَّهِ هُزُوًا ۚ وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِّنَ الكِتٰبِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And when you divorce women and they have [nearly] fulfilled their term, either retain them according to acceptable terms or release them according to acceptable terms, and do not keep them, intending harm, to transgress [against them]. And whoever does that has certainly wronged himself. And do not take the verses of Allah in jest. And remember the favor of Allah upon you and what has been revealed to you of the Book and wisdom by which He instructs you. And fear Allah and know that Allah is Knowing of all things.

MALAY
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh iddahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) dan mereka (hampir) habis tempoh iddahnya

Perhatikan kalimah بَلَغنَ yang kalau secara harfiah bermaksud ‘telah sampai’. Namun kita pun tahu yang rujuk itu hendaklah berlaku sebelum habis tempoh iddah itu. Maka harus diterjemah ayat ini: ‘hampir sampai tamat tempoh iddah’ dan bukannya ‘telah sampai tempoh iddah’. Kalau baca lafaz asal (secara literal), ia hanya bermaksud apabila telah habis tempoh iddah. Akan tetapi kalau sudah habis tempoh iddah, sudah tidak boleh rujuk kembali, maka tidak sesuai dengan pemahaman hukum. Maka, kena baca: telah ‘hampir’ tempoh iddah. Begitulah pentingnya belajar kaedah tafsir dengan guru yang betul. Kalau tidak, hanya menggunakan ilmu nahu bahasa Arab sahaja, habis rosak hukum agama.

Ini tidaklah pelik di dalam penggunaan bahasa Arab. Perhatikan lafaz iqamah قد قامت الصلاة yang kalau diterjemah ‘solat telah dilaksanakan’; tamat kalimat ini dibaca sebelum mula solat, bukan? Iaitu ketika sudah dekat sangat hendak solat.

Jadi kenapa Allah ‎ﷻ gunakan kalimah dalam bentuk fi’il madhi sebegini? Kerana memberi peluang kepada suami untuk merujuk isterinya dan diberikan sehingga hampir waktu hendak tamat tempoh iddah itu. Malah kalau haidnya telah kering pun dan isteri itu belum mandi junub lagi pun, masih boleh suami itu merujuk. Sampai begitu Allah ‎ﷻ beri peluang kepada suami.

Kalimah أَجَلَ pula adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘tempoh’. Ia daripada kata dasar: أ ج ل yang bermaksud masa yang telah ditetapkan, period, hari kebangkitan, jangkamasa antara dilahirkan dan dimatikan,  jangkamasa tinggal di dunia, menangguhkan masa. Cuma jangan pula diguna istilah bahasa Melayu kita yang apabila disebut ‘ajal’ semua teringat mati. Jadi ini bukan tunggu isteri itu mati ya, tetapi habis tempoh iddah dia.

 

فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ

maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik

Maka seorang suami boleh rujuk isteri mereka yang telah diceraikan dan tahan mereka sebagai isteri dengan cara yang makruf. Maksud ‘makruf’ itu, kenalah hidup sebagai suami isteri dengan cara yang biasa. Jangan membahayakan mereka dan berlaku zalim kepada mereka. Jangan seksa emosi mereka.

Kita sudah banyak berjumpa dengan perkataan ‘makruf’ dalam ayat-ayat sebelum ini, tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut pun dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan maksud ‘makruf’ itu. Ini adalah kerana kita sebagai manusia yang ada akal fikiran ini sudah tahu apakah yang baik dan bagaimanakah cara untuk melayan orang dengan baik. Tidak perlu jadi orang Islam pun tahu bagaimana berbaik-baik dengan orang lain. Tidak perlu ajar pun kita sudah tahu, jadi Allah ‎ﷻ cuma perlu mengingatkan kita sahaja.

Di dalam Talaq: 2 ada disebut satu syarat yang perlu dilakukan oleh pasangan itu,

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ
Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah.

Maknanya kena ada saksi supaya tidak ada apa-apa masalah di kemudian hari nanti. Takut nanti suami itu tidak mengaku telah rujuk, atau orang ramai kehairanan kerana setahu mereka pasangan itu telah berpisah.

 

أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ

atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. 

Atau kamu biarkan sampai telah habis iddah dan sempurnalah proses cerai itu. Maksud dengan cara yang makruf itu adalah jangan rujuk setelah kamu ceraikan sebanyak tiga kali. Jangan burukkan mereka, jangan letak syarat yang tidak sepatutnya, jangan berkelahi, jangan cakap tidak elok kepada mereka dan sebagainya.

Juga jangan lupa telah disebut di dalam ayat sebelum ini, jangan ambil apa-apa yang telah diberikan kepada isteri,

وَلا يَحِلُّ لَكُم أَن تَأخُذوا مِمّا ءآتَيتُموهُنَّ شَيئًا
dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu)

Nanti kita akan bertemu di dalam ayat 41 tentang pemberian mut’ah kepada isteri yang telah diceraikan,

وَلِلمُطَلَّقٰتِ مَتٰعٌ بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ
Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

Lihatlah betapa cantiknya Islam mengatur perpisahan pasangan suami isteri. Walaupun berpisah pun, ia hendaklah dilakukan dengan baik. Apabila isteri itu dilepaskan, maka bolehlah mereka berkahwin dengan lelaki lain. Bagi bekas suami itu, jangan pula halang isteri itu daripada menikahi orang lain. Sekiranya mempunyai anak, maka suami itu tetap kena tanggung anak itu, kerana anak itu adalah anak dia.

Kenapa di dalam ayat 229 disebut أَو تَسريحٌ بِإِحسٰنٍ sedangkan di sini disebut أَو سَرِّحوهُنَّ بِمَعروفٍ? Digunakan kalimah بِإِحسٰنٍ di dalam ayat 229 itu sebagai perbuatan terbaik dan kalimah بِمَعروفٍ di sini adalah sekurang-kurangnya yang perlu dilakukan. Kalau tidak boleh بِإِحسٰنٍ pun, sekurang-kurangnya بِمَعروفٍ. Kerana itu selepas ini disebut batas minima dalam merujuk, sekurang-kurangnya jangan ضِرارًا لِّتَعتَدوا.

Penting menjaga hubungan baik antara dua keluarga suami dan bekas isteri ini. Kerana nanti ada anak, ada mertua dan keluarga kedua-dua belah pihak. Kita bercerai dalam perkahwinan sahaja tetapi hubungan kekeluargaan tetap ada.

 

وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِّتَعتَدوا

Dan janganlah kamu pegang mereka dengan memberi mudarat, kerana kamu hendak melampau;

Jangan kamu ulangi perbuatan zaman jahiliyyah di mana seorang lelaki boleh cerai rujuk, cerai rujuk isteri itu berkali-kali sampai bila-bila dan menyusahkan wanita itu, sampai berlaku zalim kepada wanita. Ini di mana wanita itu tidak dilayan sebagai isteri, dan dia tidak boleh pula menikahi lelaki lain kerana dia masih lagi isteri kepada lelaki itu. Maka ini bagaikan gantung tidak bertali.

Rasulullah ﷺ telah melarang untuk memberi mudarat kepada orang lain di dalam hadith,

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
“Tidak boleh memberi mudarat dan tidak boleh membalas mudarat (dengan cara yang memudaratkan).”
(Diriwayatkan oleh Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal daripada Amr bin Yahya daripada bapanya daripada Rasulullah , beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain)
Status: Hasan

 

Huruf ل di dalam لِّتَعتَدوا boleh bermaksud ‘dengan tujuan’ atau ‘kesannya’. Iaitu,

1. Kamu sengaja pegang mereka untuk menyeksa mereka
2. Dengan perbuatan kamu itu akan menyebabkan isteri terseksa

Potongan ayat ini sebenarnya tidak perlu pun kerana telah disebut di atas فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ. Ini seperti kita sebut kepada anak kita: “Ni pergi beli bawang, jangan beli benda lain.” Sebenarnya tidak perlu sebut pun tetapi kita tahu anak kita macam mana, bukan? Jadi apabila Allah ‎ﷻ sebut sebagai penekanan وَلا تُمسِكوهُنَّ ضِرارًا لِّتَعتَدوا, maka kena perhatikan.

Sebab turun ayat:

Diriwayatkan daripada As-Suddi yang berkata, “Ayat ini turun pada seseorang daripada kaum Ansar yang dipanggil Tsabit bin Yasar yang menceraikan isterinya, hingga masa iddahnya hampir habis sekitar dua dan tiga hari, dia merujuknya dan kemudian menceraikannya kembali dengan niat memberikan mudarat. Maka turunlah ayat, “Janganlah kamu rujuki mereka untuk memberi kemudaratan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka.”

 

وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَقَد ظَلَمَ نَفسَهُ

dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.

Dikatakan sebagai zalim kerana melanggar hukum Tuhan. Kamu berbuat zalim kepada orang lain, tetapi apabila kamu lakukan begitu, kamu menzalimi diri kamu sendiri sahaja kerana kerana perbuatan kamu itu, kamu akan mendapat murka Allah ‎ﷻ dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Di dunia lagi orang sudah memandang kamu sebagai orang yang buruk akhlaknya, menyusahkan wanita sahaja kerjanya. Orang pun takut hendak menikah dengan kamu!

 

وَلا تَتَّخِذوا ءَايَـٰتِ اللَّهِ هُزُوًا

dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai gurauan (main-main)

Dikatakan main-main apabila tidak ikut hukum Tuhan. Apabila kena dengan nafsu kamu, kamu ikut; namun apabila tidak kena dengan nafsu dan rancangan kamu, kamu tolak begitu sahaja. Macam hukum Allah‎ ﷻ itu tidak ada nilai langsung.

Lafaz talak pun tidak boleh dibuat main-main dan hal ini ditegaskan oleh Nabi ﷺ di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk.
(Riwayat Abu Daud No. 2194 dinilai hasan oleh Albani)

Sebab turun ayat:

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Umar dalam Musnad-nya, dan Ibnu Mardawaih daripada Abi Darda’ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Dahulu seseorang menceraikan isterinya kemudian berkata, “Aku hanya main-main” dan juga memerdekakan budak kemudian berkata: “Saya hanya main-main.” Maka turunlah firman Allah: وَلا تَتَّخِذوا ءَايَـٰتِ اللَّهِ هُزُوًا

Larangan mempermainkan hukum hakam Allah bukan di dalam hal nikah cerai sahaja, tetapi di dalam semua keadaan. Mempersendakan hukum hakam Allah adalah perbuatan kufur dan boleh jatuh kafir.

 

وَاذكُروا نِعمَتَ اللَّهِ عَلَيكُم

Dan kalian kenanglah nikmat Allah yang diberikan ke atas kalian, 

Ingatlah nikmat Allah ‎ﷻ yang telah ajar hukum berkeluarga yang adil. Bandingkan keadaan kamu sebelum datangnya petunjuk pada masa Jahiliah, dan keadaan masa kini setelah datangnya petunjuk. Bagaimana keadaan wanita sebelum datangnya petunjuk, dan bagaimana nikmatnya kehidupan rumah tangga yang dinaungi oleh hubungan harmoni. Apabila menggunakan hukum itu, keluarga menjadi aman dan hidup menjadi mudah dan terjaga. Apabila keluarga aman, maka masyarakat turut terkesan. Apabila masyarakat aman, negara turut aman, bukan?

Bagaimana yang kita patut lakukan apabila mengenang nikmat-nikmat yang banyak yang Allah ‎ﷻ telah berikan? Dengan melakukan taat kepada Allah ‎ﷻ. Inilah tanda syukur seorang Mukmin dengan nikmat pemberian Allah ‎ﷻ.

 

وَما أَنزَلَ عَلَيكُم مِّنَ الكِتٰبِ وَالحِكمَةِ يَعِظُكُم بِهِ

(dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. 

Sebelum ini telah disebut tentang ingat kepada nikmat. Maka apakah nikmat yang paling besar? Itulah nikmat wahyu Al-Qur’an dan juga panduan daripada Nabi Muhammad ﷺ. Kenanglah nikmat Allah ‎ﷻ memberikan wahyu kepada kamu dalam bentuk Al-Qur’an dan hadith Nabi yang memberi bimbingan di dalam kehidupan kita. Lafaz الحِكمَةِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hadith dan sunnah daripada Nabi ﷺ. Dengan adanya dua sumber hukum itu, hidup kita akan terjaga dan masyarakat akan hidup dengan baik.

Malangnya, kebanyakan masyarakat Islam tidak mengendahkan dua sumber rujukan nas yang dua ini. Mereka tidak belajar pun apakah yang Al-Qur’an dan Sunnah sampaikan. Mereka lebih suka merujuk ajaran-ajaran daripada kata-kata manusia biasa (yang tidak berlandaskan wahyu). Kerana itu agama kebanyakan orang kita pelik-pelik belaka. Ini terjadi apabila panduan wahyu tidak dipelajari, sebaliknya direka-reka dengan fahaman yang entah datang dari mana.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Dan bertaqwalah kalian kepada Allah

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita untuk bertaqwa kepada-Nya. Surah Baqarah ini dimulai tentang taqwa dan banyak ayat-ayat di dalamnya yang mengajar kita untuk taqwa. Apakah taqwa itu?

‘Taqwa’ maksudnya menjaga hukum iaitu kita prihatin dengan hukum yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ dan kita taat kepadanya. Namun kalau kita tidak tahu apakah hukum Allah ‎ﷻ, bagaimana kita hendak taat kepada hukum itu? Bagaimana hendak tahu hukum Allah ‎ﷻ kalau tidak belajar wahyu?

 

وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

serta ketahuilah kalian: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Apa sahaja yang kita lakukan, Allah ‎ﷻ sedang perhati. Kalau kita langgar hukum-Nya, Dia akan catit dan Dia akan balas kesalahan dosa itu dengan neraka. Maka jangan rasa kuat sangat hendak buli orang lain, kerana nanti akan mendapat balasannya di akhirat kelak. Orang yang tidak beriman sahaja yang berbuat zalim terhadap orang lain kerana mereka lupa tentang balasan di akhirat.

Allah ﷻ juga tahu apa yang ada di dalam hati suami ketika menceraikan isterinya, atau merujuk isterinya. Adakah niatnya baik atau tidak? Ini semua akan diambil kira oleh Allah ﷻ nanti.

Habis Ruku’ 29 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Mei 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah