BAB 11: Nama Allah Taala Adalah Nama dan Sekaligus Sifat

BAB 11: Nama Allah Taala Adalah Nama dan Sekaligus Sifat

Di antara kaedah yang penting dalam pembahasan makna nama-nama Allah yang baik adalah bahawasanya nama-nama Allah tersebut adalah nama dan sekaligus sifat. Sifat yang tidak menafikan nama. Dia adalah nama dilihat dari sisi penunjukannya terhadap dzat dan dia adalah sifat dilihat dari makna yang terkandung di dalamnya.

[‘Sifat’ ada dua jenis. Ada yang jenis perbuatan seperti garang, pemarah dan sebagainya. Ini adalah Sifat Af’al iaitu perbuatan. Kita boleh lihat perbuatan Allah ‎ﷻ seperti hebatnya ciptaan-Nya, pemurah-Nya Dia dan sebagainya.

Ada pula sifat yang jenis dzat seperti buncit, pendek dan sebagainya. Ini kita tidak akan dapat tahu kalau tidak disampaikan kepada kita dari wahyu. Contohnya kita tahu daripada wahyu yang Allah Al-Jamiil, Kabeer, Maha Tinggi, Subbuh, Quddus dan sebagainya. Semua ini adalah sifat Dzat Allah ‎ﷻ. ]

Al-Hayyu, Al-Aliim, Al-Qadiir, As-Samii’, Al-Bashiir, Ar-Rahmaan, Ar-Rahiim, Al-‘Aziz, Al-Hakim, semuanya adalah nama- nama Allah yang menunjukkan akan Dzat Yang Tunggal iaitu Allah Ta’ala. Akan tetapi, Al-Hayyu memiliki makna khusus, As-Samii memiliki makna khusus, Al-Bashiir memiliki makna khusus.

Al-Hayyu menunjukkan akan sifat Al-Hayah (kehidupan), As-Samii’ menunjukkan akan sifat As-Sam’u (pendengaran), Al-Bashir menunjukkan akan sifat Al-Bashar (penglihatan), dan lain sebagainya. Oleh kerana itu, nama-nama tersebut memiliki makna-makna yang berbeza jika ditinjau dari sisi penunjukan maknanya secara khusus.

[Semua makhluk di alam ini mempunyai nama, bukan? Apakah guna nama itu? Nama adalah sebagai tanda untuk membezakan antara satu orang dengan orang yang lain contohnya, kerana lelaki itu ramai tetapi lelaki yang mana satu? Begitu juga perempuan itu ramai tetapi perempuan yang mana satu? Atau ada dua orang mempunyai sifat yang sama, contohnya kembar yang rupa dan perangainya pun sama jadi bagaimana untuk membezakannya melainkan dengan nama yang berbeza? Untuk membezakan antara individu itu maka setiap manusia ada namanya. Akan tetapi nama itu tidak semestinya menunjukkan sifat orang itu.

Setiap nama manusia tidak menunjukkan sifatnya. Seseorang itu mendapat namanya kerana bapanya memilih satu nama semasa dia lahir dan mungkin dia memberi nama yang baik mengharapkan supaya anak itu menjadi orang yang baik. Sebagai contoh seorang ayah menamakan anaknya dengan nama Husna (kebaikan) dengan berharap anaknya itu menjadi seorang yang baik nanti, tetapi tidak semestinya Husna itu pasti membesar menjadi orang yang baik. Begitu juga mungkin seorang anak diberikan Soleh akan tetapi dia tidak menjadi orang yang soleh atau diberi nama yang membawa makna yang buruk tetapi dia membesar menjadi orang yang baik kerana nama manusia tidak menunjukkan sifatnya.

Oleh sebab itu, sesuatu nama itu tugasnya untuk membezakan antara satu dan lain. Akan tetapi Allah ‎ﷻ itu satu sahaja, bukan? Maknanya Tuhan tidak perlu dibezakan dengan tuhan-tuhan yang lain atau dibezakan dengan makhluk. Maka kenapa Dia berhajat kepada nama pula?

Kalau nama makhluk itu digunakan untuk membezakan antara satu makhluk dengan makhluk yang lain tetapi nama bagi Allah ‎ﷻ itu adalah untuk menjelaskan sifat-Nya. Oleh kerana itu tujuan nama bagi makhluk itu tidak sama dengan tujuan nama bagi Allah ‎ﷻ. Sebab itulah makhluk tidak boleh mempunyai nama yang sama dengan Allah ‎ﷻ kerana tujuan nama itu berbeza.

Nama Allah ‎ﷻ itu bukan sahaja untuk dikenali akan tetapi untuk menunjukkan sifat-Nya. Allah ‎ﷻ memilih nama bagi Diri-Nya untuk memperkenalkan kita kepada sifat-Nya. Maka nama Allah ‎ﷻ itu adalah nama dan di dalam masa yang sama ia adalah juga sifat bagi Allah ‎ﷻ. Dan setiap nama itu mungkin mempunyai satu sifat dan mungkin lebih. Dan walaupun nama Allah ‎ﷻ itu banyak, namun semuanya merujuk kepada satu Tuhan yang tunggal itulah juga.

قُلِ ادعُوا اللهَ أَوِ ادعُوا الرَّحمٰنَ ۖ أَيًّا ما تَدعوا فَلَهُ الأَسماءُ الحُسنىٰ
Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik)

Ini berbeza dengan fahaman agama lain, contohnya Kristian. Mereka ada akidah 3-in-1 (Triniti) iaitu Al-Abb, Al-Ibn, Ar-Ruh. Father, Son, Holy Ghost. Setiap nama menunjuk kepada 3 sifat berbeza. Al-Abb merujuk kepada sifat mencipta, Al-Ibn merujuk merujuk kepada sifat kalam dan Ruhul Qudus merujuk kepada sifat hayah (hidup). Dan ia merujuk kepada entiti berbeza. Bapa seperti orang tua, Anak pula yang rupa hensem itu dan Holy Spirit macam burung merpati.

Dalam agama Hindu pun ada entiti tuhan yang berbeza. Mereka ada banyak tuhan dan merujuk entiti tuhan-tuhan yang berbeza.

Kenapa kita kena tahu nama-nama Allah ‎ﷻ? Kerana dengan mengenali sifat-sifat Allah ‎ﷻ itu maka kita akan dapat mengenal-Nya dan kemudian mengagungkan-Nya serta mencintai-Nya. ]

Disebutkan di dalam Al-Qur’an dan hadits berbagai macam cara untuk menjelaskan bahawa nama-nama Allah mengandung makna dan sifat. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah berkata, “Ditetapkannya makna kesempurnaan (bagi Allah) telah dijelaskan di dalam Al-Qur’an dengan berbagai macam ungkapan yang menunjukkan akan makna kesempurnaan. Apa yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dari penetapan sifat pujian bagi Allah serta perinciannya dan bahawasanya Dia memiliki sifat-sifat terpuji dan ditetapkannya makna nama-nama Allah dan lain sebagainya, semua ini menunjukkan akan makna kesempurnaan bagi-Nya.”

[Nama-nama Allah ‎ﷻ itu mempunyai sifat. Contohnya As-Sami’ bermakna Allah ‎ﷻ mempunyai sama’ (pendengaran) dan Al-Basiir bermaksud Allah ‎ﷻ mempunyai basar (penglihatan). Tidaklah nama Allah As-Sami’ (yang Maha Mendengar) tetapi tidak mempunyai sama’ (pendengaran) seperti yang dikatakan oleh golongan sesat Mu’tazilah.

Juga menolak fahaman mereka yang mengatakan nama Allah ‎ﷻ banyak tetapi menunjukkan kepada makna yang sama. Ini juga fahaman yang salah. Setiap nama itu mempunyai makna yang berlainan. Sebab itu kita tidak boleh sebut nama Allah ‎ﷻ sebagai Lafzul Jalalah seperti yang selalu kita lihat. Kerana ia adalah istilah Mu’tazilah kerana pada mereka nama-nama Allah ‎ﷻ itu tidak ada makna. Sebab ‘lafaz’ itu adalah susunan huruf sahaja. ]

Di antara dalil yang menunjukkan dalam hal ini adalah sebagai berikut:

1. Allah Ta’ala menyifati nama-nama-Nya dengan Al-Husna (yang paling baik dan sempurna), kerana nama-nama tersebut mengandung sifat-sifat kesempurnaan dan kemuliaan. Seandainya nama-nama tersebut hanya sekadar nama tanpa makna, maka tidak boleh dikatakan sebagai nama yang Al-Husna.

[Maka bagi kita, kalimah Allah ‎ﷻ itu adalah ismul ahsan. Tidak ada cacat cela sama sekali yang merujuk kepada Tuhan kita. Kalau tidak ada makna pada nama-nama itu, maka tidaklah ‘husna’. Maka nama-nama Allah ‎ﷻ bukan sekadar nama. Nama tidak menjadi indah kecuali ia mempunyai makna seperti nama Allah (dan juga nama Nabi Muhammad). ]

 

2. Allah Ta’ala mengabarkan tentang keesaan diri-Nya dalam sifat- sifat-Nya yang mulia.

وَِللهِ المَثَلُ الأَعلىٰ

“Dan hanya Allah mempunyai sifat yang Maha Tinggi,” (An-Nahl: 60)

[Hanya untuk Allah ‎ﷻ sahaja kerana ditaqdimkan (didahulukan) وَِللهِ menunjukkan eksklusif.

Kalimah المَثَلُ bermaksud bandingan. Kalau Allah ‎ﷻ hendak dibandingkan, ia mestilah dengan bandingan yang terbaik. Sebagai contoh, Rasulullah ﷺ juga pernah membandingkan kasih Allah ‎ﷻ dengan kasih ibu di dalam hadith berikut,

Daripada Umar bin Al Khattab رضي الله عنه, beliau menuturkan:

ﻗﺪﻡ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﺳﺒﻲ، ﻓﺈﺫﺍ ﺍﻣﺮﺃﺓ ﻣﻦ ﺍﻟﺴﺒﻲ ﻗﺪ ﺗﺤﻠﺐ ﺛﺪﻳﻬﺎ ﺗﺴﻘﻲ، ﺇﺫﺍ ﻭﺟﺪﺕ ﺻﺒﻴﺎً ﻓﻲ
ﺍﻟﺴﺒﻲ ﺃﺧﺬﺗﻪ، ﻓﺄﻟﺼﻘﺘﻪ ﺑﺒﻄﻨﻬﺎ ﻭﺃﺭﺿﻌﺘﻪ، ﻓﻘﺎﻝ ﻟﻨﺎ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ : (ﺃﺗﺮﻭﻥ ﻫﺬﻩ ﻃﺎﺭﺣﺔ ﻭﻟﺪﻫﺎ ﻓﻲ ﺍﻟﻨﺎﺭ ). ﻗﻠﻨﺎ: ﻻ، ﻭﻫﻲ ﺗﻘﺪﺭ ﻋﻠﻰ ﺃﻥ ﻻ ﺗﻄﺮﺣﻪ، ﻓﻘﺎﻝ: (ﻟﻠﻪ ﺃﺭﺣﻢ ﺑﻌﺒﺎﺩﻩ ﻣﻦ ﻫﺬﻩ ﺑﻮﻟﺪﻫﺎ

Rasulullah ﷺ kedatangan rombongan tawanan perang. Di tengah-tengah rombongan itu ada seorang ibu yang sedang mencari-cari bayinya. Tatkala dia berjaya menemui bayinya di antara tawanan itu, maka dia pun memeluknya erat-erat ke tubuhnya dan menyusuinya. Rasulullah ﷺ bertanya kepada kami, “Apakah menurut kalian ibu ini akan sanggup melemparkan anaknya ke dalam api yang terbakar?” Kami menjawab, “Tidak mungkin, demi Allah. Malah dia sanggup untuk mencegah bayinya daripada dilemparkan ke dalamnya.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Sungguh Allah lebih sayang kepada hamba-hamba-Nya daripada ibu ini kepada anaknya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Satu lagi perumpamaan ada disebut dalam riwayat Muslim,

لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِى ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِى وَأَنَا رَبُّكَ.أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ

“Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika dia bertaubat pada-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas kenderaannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir), kemudian haiwan yang ditungganginya lari meninggalkannya. Padahal di haiwan tunggangannya itu ada perbekalan makan dan minumnya. Sehingga dia pun menjadi putus asa. Kemudian dia mendatangi sebuah pohon dan tidur berbaring di bawah naungannya dalam keadaan hati yang telah berputus asa. Tiba-tiba ketika dia dalam keadaan seperti itu, kenderaannya dilihat berdiri di sisinya, lalu dia mengambil ikatnya. Kerana sangat gembiranya, maka dia berkata, ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Rabb-Mu.’ Dia telah salah mengucapkan kerana sangat gembiranya.” (HR. Muslim no. 2747).

Dan lihatlah bagaimana perumpamaan tentang sifat cemburu Allah ‎ﷻ.

Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim daripada Al-Mughirah bin Syu’bah berkata: Sa’ad bin Ubadah berkata: 

لَوْ رَأَيْتُ رَجُلا مَعَ امْرَأَتِى لَضَرَبْتُهُ بِالسَّيْفِ غَيْرَ مُصْفَحٍ

Sekiranya aku melihat lelaki lain bersama isteriku, pasti aku akan menghunusnya dengan pedang tanpa ampun”.

Lalu, hal tersebut sampai kepada Rasulullah ﷺ dan baginda bersabda:

أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ، وَاللَّهِ لأنَا أَغْيَرُ مِنْهُ، وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّى، وَمِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ اللَّهِ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Adakah kamu merasa kagum terhadap kecemburuan Saad? Demi Allah, aku lebih bersifat cemburu daripadanya, manakala Allah lebih bersifat cemburu daripadaku. Oleh kerana cemburunya Allah, Dia mengharamkan kekejian yang nampak dan yang tidak nampak.

وَلا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعُذْرُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ بَعَثَ الْمُبَشِّرِينَ وَالْمُنْذِرِينَ، وَلا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْمِدْحَةُ مِنَ اللَّهِ، وَمِنْ أَجْلِ ذَلِكَ وَعَدَ اللَّهُ الْجَنَّةَ

Sungguh, tiada seorang pun yang lebih cemburu daripada Allah. Dan, tidak ada seorang pun yang lebih menyukai uzur daripada Allah. Oleh kerana itu, Dia mengutuskan para nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan. Juga, tidak ada seorang pun suka dipuji lebih daripada Allah. Oleh sebab itulah, Allah menjanjikan syurga”.]

Dan firman-Nya,

وَلَهُ المَثَلُ الأَعلىٰ
“Dan bagi-Nyalah sahaja sifat yang Maha Tinggi.” (Ar-Ruum: 27)

[Kalimah المَثَلُ digunakan untuk merujuk kepada sifat sempurna. Bukan hanya sempurna, tetapi yang paling tinggi pula kerana ada tambahan الأَعلىٰ. Contoh sifat sempurna adalah mendengar dan melihat. Kalau buta dan pekak dianggap cakap. Dinding dan batu pun tidak sempurna kerana tidak melihat dan mendengar. Akan tetapi pendengaran dan penglihatan Allah ‎ﷻ adalah الأَعلىٰ yang paling tinggi. Kita pun ada sifat sempurna juga, namun tidaklah tinggi mana, rendah sahaja. Lahir-lahir pun tidak boleh melihat. Sekarang kita boleh mendengar, nanti meningkat tua tidak boleh mendengar pula. Maka tidaklah hebat mana. Sifat Allah ‎ﷻ sempurna yang paling sempurna. ]

Ibnu Katsir Rahimahullah berkata, “Firman Allah “dan Allah mempunyai sifat yang Maha Tinggi,” (An-Nahl: 60) maknanya bahawa kesempurnaan yang mutlak dari segala sisi dan hal itu disandarkan kepada-Nya sahaja.” Ibnu Al-Qayyim Rahimahullah menyebutkan di antara makna Al-Matsalu Al-A’la adalah sifat-sifat yang mulia bagi Allah Ta’ala.

 

3. Apa yang disebutkan di dalam Al-Qur’an dari penetapan pujian bagi Allah Ta’ala serta perinciannya.

Di antara nama-nama Allah adalah “Al-Wahhab” dan di antara perincian (sifat-sifat terpujiNya) adalah firman-Nya,

الحَمدُ لِلهِ الَّذي وَهَبَ لي عَلَى الكِبَرِ إِسماعيلَ وَإِسحاقَ ۚ إِنَّ رَبّي لَسَميعُ الدُّعاءِ

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Rabbku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) do’a.” (Ibrahim:39)

[Nama Allah Al-Wahhab itu bukan sekadar nama Al-Wahhab sahaja, tetapi memang Allah itu وَهَبَ (mengurniakan). Memang ada sifat yang memberi pada Allah ‎ﷻ. Kalau manusia nama Wahab, tidaklah dia terpuji dengan nama itu semata-mata kerana dia mungkin tidak ada sifat memberi apa-apa. ]

Di antara nama-nama Allah adalah “Al-Khaliq” dan di antara perincian (sifat-sifat terpujinya) adalah firman Allah,

الحَمدُ ِللهِ الَّذي خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَجَعَلَ الظُّلُمٰتِ وَالنّورَ

“Segala puji bagi Allah Yang telah menciptakan langit dan bumi, dan mengadakan gelap dan terang, ” (Al-An’am:1)

[Dijelaskan yang memang Allah itu Al-Khaliq kerana memang Dia ada mencipta, antaranya langit dan bumi. Maka ia bukanlah nama yang kosong sahaja. Allah ‎ﷻ sanjung diri-Nya kerana perbuatan itu.

Banyak ayat-ayat di mana Allah ‎ﷻ puji diri Dia untuk ajar kita bagaimana cara untuk memuji-Nya. Kalau tidak manusia tidak akan tahu bagaimana hendak puji Allah ‎ﷻ. ]

Di antara nama-nama Allah Ta’ala adalah “Al-Qudduus As-Salaam” dan di antara perincian (sifat-sifat terpujinya) adalah firman Allah,

وَقُلِ الحَمدُ للهِ الَّذي لَم يَتَّخِذ وَلَدًا وَلَم يَكُن لَهُ شَريكٌ فِي المُلكِ وَلَم يَكُن لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرهُ تَكبيرًا

“Dan katakanlah:”Segala puji bagi Allah Yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan tidak mempunyai penolong (untuk menjaga-Nya) dari kehinaan dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebenar-benarnya.” (AI-Isra’:111)

[Al-Quddus maknanya yang suci, luhur, daripada perkara yang tidak elok. As-Salam maknanya sejahtera daripada aib dan kekurangan. Ia bukan sekadar nama kerana memang Allah ‎ﷻ tidak mempunyai aib dan kekurangan.

Contohnya Allah ‎ﷻ tidak mengambil anak kerana ia hina bagi Tuhan. Hanya manusia memerlukan anak tetapi Allah ‎ﷻ tidak memerlukan. Dan Allah ‎ﷻ tidak memerlukan rakan kongsi dalam mentadbir alam ini.

Golongan musyrik kata ada wali mentadbir alam. Ini tidak patut kerana seolah-olah mengatakan Allah ‎ﷻ lemah dan memerlukan penolong. ]

Di antara nama-nama Allah adalah “Al-Malik Al-‘Aliim” dan di antara perincian (sifat-sifat terpujinya) adalah firman Allah,

الحَمدُ ِللهِ الَّذي لَهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ وَلَهُ الحَمدُ فِي الآخِرَةِ ۚ وَهُوَ الحَكيمُ الخَبيرُ
يَعلَمُ ما يَلِجُ فِي الأَرضِ وَما يَخرُجُ مِنها وَما يَنزِلُ مِنَ السَّماءِ وَما يَعرُجُ فيها ۚ وَهُوَ الرَّحيمُ الغَفورُ

“Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi dan bagi-Nya (pula) segala puji di akhirat. Dan Dia-lah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar daripadanya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia-lah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.” (Saba: 1-2)

[Al-Malik bermaksud Raja. Al-Aliim adalah Maha Mengetahui. Segala alam ini dimiliki oleh-Nya kerana Dia Raja segala Raja. Dia tahu segala apa yang terjadi di dalam alam ini kerana Dia yang Maha Mengetahui. Maka nanti apabila kita seru Allah ‎ﷻ dengan nama-Nya, maka tahulah kita Dia memang layak dengan nama itu. ]

 

4. Di dalam Al-Qur’an disebutkan penetapan bagi nama-nama Allah dan sifat-sifat yang terkandung di dalamnya. Allah menamai diri-Nya dengan Al-Aziz dan menyifati diri-Nya dengan Al-‘Izzah (kemuliaan) dalam firman-Nya,

فَلِلَّهِ العِزَّةُ جَميعًا
“Maka bagi Allah kemuliaan itu semuanya. ” (Fathir: 10).

[Maknanya Allah ‎ﷻ memang memiliki sifat itu kerana lam di situ adalah pemilikan. ]

Allah menamai diri-Nya dengan Al-Alim (Yang Maha Mengetahui) dan menyifati diri-Nya dengan Al-Ilm dalam firman-Nya,

وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِّن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ
“Dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah, melainkan apa yang dikehendaki-Nya.” (Al-Baqarah 255)

[Memang Allah ‎ﷻ memiliki ilmu. ]

فَاعلَموا أَنَّما أُنزِلَ بِعِلمِ اللَّهِ

“Ketahuilah, sesungguhnya Al-Qur’an itu diturunkan dengan ilmu Allah.” (Huud: 14)

Allah menamakan diri-Nya dengan Al-Qawi (Yang Maha kuat) dan menyifati diri-Nya dengan Al-Quwwah (kekuatan) dalam firman-Nya,

إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ

“Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.” (Adz-Dzariyat: 58)

[Allah ‎ﷻ beritahu yang memang Dia memiliki kekuatan, bukan setakat nama al-Qawi sahaja. ]

Allah menamakan diri-Nya dengan “Ar-Rahmaan Ar-Rahiim” dan menyifati diri-Nya dengan Ar-Rahmah (kasih sayang) dalam firman-Nya,

وَرَبُّكَ الغَفورُ ذُو الرَّحمَةِ

“Dan Rabbmulah Yang Maha Pengampun, lagi mempunyai rahmat.” (Al-Kahfi: 58)

[Allah ‎ﷻ beritahu yang memang Dia ada rahmat. ]

Allah menamakan diri-Nya dengan “Al-Hakim” dan menyifati diri-Nya dengan “Al-Hakam” (bijaksana) dalam firman-Nya,

لَهُ الحُكمُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

“Bagi-Nyalah segala penentuan, dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” (Al-Qashash: 88) dan firman-Nya,

أَلا لَهُ الحُكمُ وَهُوَ أَسرَعُ الحٰسِبينَ

“Ketahuilah, bahawa segala hukum (pada hari itu) kepunyaan-Nya. Dan Dialah pembuat perhitungan yang paling cepat.” (Al-An’aam: 62)

[Allah ‎ﷻ yang memiliki hukum. Dia yang menentukan hukum. ]

Allah menamakan diri-Nya dengan Al-Qadiir dan Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam menyifati-Nya dengan Dzat Yang Memiliki Kekuatan, sebagaimana dalam doa istikharah,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu pilihan dengan ilmu-Mu dan memohon kepada-Mu kekuatan dengan kekuatan-Mu” (HR. Bukhari no 1166)

dan dalam sabda baginda,

ِاللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ وَقُدْرَتِكَ عَلَى الخَلْق

“Ya Allah, dengan ilmu ghaib-Mu dan kekuatan-Mu atas makhluk-Mu” (HR. Imam Ahmad, Nasa’i, dan selain keduanya”)

Allah Ta’ala menamakan diri-Nya dengan “Al-Bashiir” (Yang Maha Melihat) dan Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam menyifati-Nya dengan Dzat Yang Memiliki Penglihatan dengan sabdanya,

إنَّ اللهَ لا ينامُ ، ولا ينبغي له أن ينامَ ، ولكن يخفضُ القسطَ ويرفعُه ، يُرفعُ إليه عملُ اللَّيلِ قبل عملِ النَّهارِ ، وعملُ النَّهارِ قبلَ عملِ اللَّيلِ ، حجابُه النُّورُ ، لو كشفها لأحرقت سبُحاتُ وجهِه ما انتهَى إليه بصرُه من خلقِه

“Sesungguhnya Allah tidak tidur, dan tidak selayaknya untuk tidur, Dia yang merendahkan dan meninggikan timbangan, diangkat kepada-Nya amal malam sebelum siang dan amal siang sebelum malam. Hijab-Nya cahaya, seandainya Allah menyingkapkan hijab-Nya, maka kemuliaan wajah-Nya membakar sepanjang apa yang dilihat-Nya.” (HR. Muslim no 179)”

 

5. Di dalam Al-Qur’an disebutkan penetapan nama-nama Allah dan khabar dari-Nya tentang perbuatan-Nya yang merupakan konsekuensi nama-nama-Nya. Perbuatan-perbuatan-Nya adalah konsekuensi sifat-sifat-Nya. Ditetapkannya perbuatan-perbuatan tersebut merupakan dalil akan sifat-Nya.

Allah menamakan diri-Nya “As-Samii” (Allah Maha Mendengar) dan Dia mengabarkan tentang diri-Nya dengan perbuatan-Nya yang merupakan konsekuensi dari nama-Nya dalam firman-Nya,

قَد سَمِعَ اللهُ قَولَ الَّتي تُجٰدِلُكَ في زَوجِها وَتَشتَكي إِلَى اللهِ وَاللهُ يَسمَعُ تَحاوُرَكُما ۚ إِنَّ اللهَ سَميعٌ بَصيرٌ

“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang bersoal jawab denganmu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Mujadilah: 1)

[Maka memang Allah ‎ﷻ ada sifat mendengar. Ini menolak fahaman golongan Asya’irah yang kata Allah ‎ﷻ tidak mendengar. Kerana pada mereka, kalau Allah ‎ﷻ mendengar itu sudah menerupai makhluk. Pendapat sebegini adalah mengelirukan kerana Allah ‎ﷻ sendiri beritahu yang Dia mendengar. Namun pendengaran-Nya tentulah tidak sama dengan kita. ]

إِنَّني مَعَكُما أَسمَعُ وَأَرىٰ

“Sesungguhnya Aku berserta kamu berdua, Aku mendengar dan melihat.” (Thaha: 46)

[Ini bermakna Allah ‎ﷻ bersama kita adalah dengan dengar dan lihat apa yang kita lakukan dan apa yang kita alami. Bukannya ‘bersama’ itu bermaksud duduk sebelah bersama-sama kita. Kekeliruan golongan sesat adalah apa mereka sangka Allah ‎ﷻ berada di mana-mana termasuk bersama duduk sebelah dengan makhluk. ]

Dia menamakan diri-Nya dengan “Al-Aliim” dan mengabarkan tentang diri-Nya dengan perbuatan-Nya,

يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم وَلا يُحيطونَ بِهِ عِلمًا

“Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan ilmu mereka tidak dapat meliputi ilmu-Nya.” (Thaha:110)

إِنّا نَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ

“Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan.” (Yasin: 76)

وَلَو عَلِمَ اللَّهُ فيهِم خَيرًا لَّأَسمَعَهُم

“Kalau kiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar.” (Al-Anfal: 23)

Dia menamakan diri-Nya “Ar-Rahiim” dan mengabarkan tentang perbuatan-Nya dalam firman-Nya,

وَلا يَزالونَ مُختَلِفينَ. إِلّا مَن رَحِمَ رَبُّكَ

“Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Rabbmu.” (Hud: 118-119)

يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَرحَمُ مَن يَشاءُ

“Allah mengazab siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi rahmat siapa yang dikehendaki-Nya.” (Al-Ankabuut:21)

 

6. Allah menamakan diri-Nya di dalam Al-Qur’an dengan banyak nama kemudian Allah menafikan dari diri-Nya hal-hal yang bertentangan dengan apa yang ditunjukkan oleh sifat-sifat-Nya.

Allah menamakan diri-Nya “Al-Hayyu Al-Qayyum” dan menyucikan diri-Nya dari rasa mengantuk dan tidur yang bertentangan dengan kesempurnaan hidup-Nya dan kemandirian-Nya.

Allah Ta’ala berfirman,

لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ

“Tidak mengantuk dan tidak tidur.” (Al-Baqarah: 255)

[Allah ‎ﷻ tidak tidur malah tidak mengantuk pun. Tidak pernah ambil cuti daripada mentadbir alam ini. Agama lain mempersoalkan pula kerana kadang-kadang mereka berkata: “Where’s God?”. Sedangkan kita umat Islam tahu yang Allah ‎ﷻ tetap mentadbir. Namun tidaklah Allah ‎ﷻ mentadbir alam ini sepertimana manusia mentadbir. Contohnya musibah kena kepada makhluk seperti Tsunami dan sebagainya, malah ada Nabi dibunuh pun. Adakah Allah ‎ﷻ tidak mentadbir waktu itu? Tentulah tidak. Akan tetapi semua yang terjadi itu adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ dan dalam keizinan Allah ‎ﷻ. ]

Allah menamakan diri-Nya dengan Al-Qawi dan menyucikan diri-Nya dari kelelahan dan dari keberatan dalam menjaga langit dan bumi, kerana hal tersebut bertentangan dengan kesempurnaan kekuatan-Nya. Allah Ta’ala berfirman,

وَما مَسَّنا مِن لُّغوبٍ

“Dan Kami sedikit pun tidak ditimpa keletihan.” (Qaf: 38)

وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما

“Dan Allah tidak berasa berat memelihara keduanya, (Al-Baqarah: 255)

Allah menamakan diri-Nya dengan “Al-Alim” dan menyucikan diri-Nya dari kelalaian dan kelupaan kerana hal tersebut bertentangan dengan kesempurnaan ilmu-Nya. Allah Ta’ala berfirman,

وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

“Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah: 74)

وَما كانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

“Dan tidaklah Rabbmu lupa.” (Maryam: 64)

Dia menamakan diri-Nya dengan “Al-Ghani” (Yang Maha kaya) dan menyucikan diri-Nya dari hal yang menafikan kesempurnaan sifat-Nya tersebut dengan firman-Nya,

وَهُوَ يُطعِمُ وَلا يُطعَمُ

“Padahal Dia memberi makan dan tidak diberi makan.” (Al-An’am: 14)

[Pelik agama lain apabila beri makan (persembahan) kepada berhala-berhala mereka. Tujuannya supaya berhala itu beri makan pula kepada mereka. ]

ما أُريدُ مِنهُم مِّن رِّزقٍ وَما أُريدُ أَن يُطعِمونِ. إِنَّ اللهَ هُوَ الرَّزّاقُ ذُو القُوَّةِ المَتينُ

“Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi sangat kukuh.” (Adz-Dzariyaat: 57-58)

Permisalan seperti ini sangat banyak dan kaedah dalam pembahasan ini sudah pasti, iaitu bahawasanya setiap hal yang dinafikan oleh Allah dari diri-Nya, maka mengandung kesempurnaan lawan dari sifat yang dinafikan tersebut.

[Allah ‎ﷻ hendak menolak kemungkinan Dia memerlukan pertolongan kerana orang kaya di dunia pun masih tetap memerlukan bantuan daripada manusia lain. Orang kaya contohnya walaupun mempunyai duit yang banyak tetapi dia tetap memerlukan orang lain untuk makanan dan sebagainya. Akan tetapi Allah ‎ﷻ sedikit pun tidak memerlukan sesiapa. ]

 

7. Di dalam hadits banyak disebutkan penetapan makna dan sifat bagi nama-nama Allah yang baik, sebagaimana dalam sabda-sabda baginda,

اللّهم أنت الأول فليس قبلك شيء وأنت الآخر فليس بعدك شيء وأنت الظاهر فليس فوقك شيء وأنت الباطن فليس دونك شيء

“Ya Allah, Engkau adalah yang pertama, yang tidak ada sebelum-Mu sesuatu apa pun dan Engkau adalah yang terakhir, yang tidak ada sesudah-Mu sesuatu apa pun. Engkau adalah yang Zhahir yang tidak ada di atas-Mu sesuatu pun. Engkau adalah yang batin yang tidak tersembunyi sesuatu apapun bagi-Mu.” (HR. Muslim no 2713)

[Di dalam hadith ini disebut sifat Allah ‎ﷻ dan kemudian disebutkan penjelasan tentang sifat itu. Contohnya Allah ‎ﷻ awal dan disebut tidak ada sebelum Allah ‎ﷻ. ]

إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ, يَسْتَحِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفَرًا

“Sesungguhnya Allah Maha Pemalu lagi Maha mulia, Dia malu kepada hamba-Nya jika hamba tersebut mengangkat kedua tangannya lalu Dia tidak mengabulkan doanya.” (Riwayat Abu Dawud (1488) dan selainnya)

[Sekarang diterangkan apakah contoh sifat Malu Allah tetapi cara Allah ‎ﷻ memberi tentulah mengikut kehendak-Nya. Dia tahu bila dan berapa hendak beri kepada hamba-Nya. Sebagai contoh, kalau beri kekayaan kepada orang muda, tentu bahaya bagi dia kerana waktu itu dia masih muda dan tidak dapat menilai bagaimana cara menggunakan kekayaan itu. ]

إن اللهَ الحَكمُ وَإلَيهِ الحُكمُ

“Sesungguhnya Allah adalah AI-Hakam (Pemutus hukum) dan kepada-Nyalah diputuskan hukum” (Riwayat Abu Dawud (4955) dan selainnya)

[Allah ‎ﷻ yang layak menentukan hukuman bagi manusia seperti yang disebut dalam Hukum Hudud itu. Malangnya ramai yang mempersoalkan, kononnya tidak sesuai hukum itu pada zaman sekarang. Mereka sibuk menjaga hak penjenayah pula, namun lupa pula hak tuan punya harta. ]

Selain itu, sabda Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam, kepada Abu Bakar ketika beliau memohon kepada Nabi untuk diajari doa yang akan beliau baca dalam salat dan di rumah beliau. Nabi pun bersabda,

قُلْ: اللَّهمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كثِيرًا، وَلا يَغْفِر الذُّنوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِر لي مغْفِرَةً مِن عِنْدِكَ، وَارحَمْني، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفور الرَّحِيم
“Katakanlah, Ya Allah sesungguhnya aku menzalimi diri-Ku dengan banyak kezhaliman dan tidak ada yang mengampuni dosa, kecuali diri-Mu, maka ampunilah diri-Ku dengan ampunan dari sisi-Mu dan rahmatilah diri-Ku, sesungguhnya Engkau adalah Dzat Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (Muttafaq Alaihi)

Selain itu, masih banyak lagi yang menunjukkan bahawa nama-nama Allah adalah nama dan sekaligus sifat. Bahawasanya nama-nama Allah bukan hanya sekadar nama (tanpa makna atau sifat), bahkan semua nama Allah adalah baik, yang mengandung sifat-sifat kesempurnaan, kemuliaan, dan keindahan bagi-Nya sesuai dengan kebesaran-Nya.

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment