Tafsir Surah Baqarah Ayat 232 – 233 (Jangan halang wanita menikah)

MENIKAHI BEKAS ISTERI

Baqarah Ayat 232: Ini pula tentang pasangan yang telah habis iddahnya dan hendak menikah kembali. Jangan dihalang mereka itu daripada menikah semula. Ini kerana ada kalanya mungkin pasangan itu sudah molek mahu bersama kembali, tetapi datang pula masalah daripada bekas suami atau daripada wali. Ini boleh terjadi apabila seorang janda hendak berkahwin semula memerlukan kebenaran wali. Mungkin mereka tidak suka kalau pasangan itu kembali bernikah. Jadi Allah‎ ﷻ menegur mereka dalam ayat ini.

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزوٰجَهُنَّ إِذا تَرٰضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ ۗ ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۗ ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And when you divorce women and they have fulfilled their term, do not prevent them from remarrying their [former] husbands if they agree among themselves on an acceptable basis. That is instructed to whoever of you believes in Allah and the Last Day. That is better for you and purer, and Allah knows and you know not.

MALAY
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa iddah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

وَإِذا طَلَّقتُمُ النِّساءَ فَبَلَغنَ أَجَلَهُنَّ

Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa iddah mereka

Kepada siapakah ayat ini ditujukan? Ia mungkin ditujukan kepada bekas suami. Apabila seorang suami telah menceraikan isterinya dan telah habis masa iddah, maka isteri itu telah menjadi jandanya.

Ada juga tafsir yang mengatakan khitab (titah) ayat ini adalah kepada para wali berdasarkan kepada hadith yang akan dikongsi nanti.

 

فَلا تَعضُلوهُنَّ أَن يَنكِحنَ أَزوٰجَهُنَّ

maka janganlah kamu menghalang mereka daripada berkahwin dengan suami-suami mereka,

Kalimah تَعضُلُوا adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘menghalang’. Ia daripada kata dasar: ع ض ل yang bermaksud menegakkan, tidak memberi keadilan yang sepatutnya, menghalang, menahan.

Kepada bekas suami, jangan halang (عضل) janda kalian daripada menikah lain. Jodoh dia dengan kamu sudah tiada, maka hendaklah lepaskan mereka sahaja. Perkara ini perlu diingatkan kerana ada sahaja bekas suami yang tidak suka kalau bekas isterinya menikah dengan orang lain. Kalau dengan dia sudah tidak ada jodoh, dia pun tidak mahu isterinya menikah lagi. Mungkin dia ada kuasa untuk menghalang wanita itu dengan menikah lagi dengan menggunakan kekerasan, harta, ugut tidak mahu beri nafkah kepada anak lagi, atau apa-apa cara sekali pun. Allah ‎ﷻ memberi peringatan yang kalau orang beriman, tidak buat kerja begini.

Ia juga mungkin ditujukan kepada para wali yang menjaga janda itu di dalam tanggungan atau perlindungan mereka. Jangan kamu wahai wali, menghalang mereka untuk berkahwin semula apabila mereka telah bersetuju dengan cara yang baik. Berkahwin semula itu sama ada dengan bekas suaminya atau dengan orang lain.

Kepada orang-orang lain yang bukan wali kepada wanita itu juga janganlah menghasut isteri itu untuk tidak berkahwin semula dengan bekas suaminya. Kadang-kadang dalam hal perkahwinan ini, banyak pihak yang terlibat, yang memberi nasihat yang tidak sepatutnya. Mereka sepatutnya memberi nasihat yang baik, tetapi selalunya mereka ikut perasaan sahaja.

Kenapa digunakan kalimah أَزوٰجَهُنَّ (pasangan-pasangan mereka) sedangkan belum menikah lagi. Mereka itu bakal sahaja atau lelaki yang mereka hendak kahwini sahaja. Ini adalah kerana mereka sudah mahu sangat menikah sampaikan sudah dianggap seperti suami oleh mereka.

Dalam Islam, terdapat pandangan yang kuat bahwa seorang janda lebih berhak menentukan pilihan jodohnya dibandingkan seorang gadis perawan. Mereka ini telah pernah menikah jadi mereka lebih ada pengalaman dan sudah kenal perangai lelaki. Jadi mereka sepatutnya lebih pandai dalam membuat keputusan pemilihan suami sendiri. Pendapat ini berdasarkan hadith daripada Nabi ﷺ sendiri,

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «الأَيِّمُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا، وَالْبِكْرُ تُسْتَأْذَنُ فِي نَفْسِهَا وَإِذْنُهَا صُمَاتُهَا».
Daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawasanya Nabi ﷺ bersabda: “Seorang janda lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya, dan seorang gadis diminta izinnya ke atas dirinya, dan izinnya adalah diamnya.”
(Sahih Muslim, Kitab An-Nikah, Bab Isti’dzan Ats-Tsayyib wal Bikr)

Di dalam hadith yang lain,

أَبَا هُرَيْرَةَ حَدَّثَهُمْ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تُنْكَحُ الْأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ وَلَا تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ إِذْنُهَا قَالَ أَنْ تَسْكُتَ
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menceritakan kepada mereka bahawasanya; Nabi ﷺ bersabda, “Seorang janda tidak boleh dinikahi hingga dia dimintakan pendapatnya, sedangkan gadis tidak boleh dinikahkan hingga dimintakan izinnya.” Para sahabat رضي الله عنهم bertanya, “Wahai Rasulullah, seperti apakah izinnya?” Baginda menjawab, “Bila dia diam tidak berkata.
(Sahih Bukhari No. 5136)

 

إِذا تَرٰضَوا بَينَهُم بِالمَعروفِ

apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik

Pasangan itu mungkin telah sedar kesilapan mereka yang lalu dan mereka sekarang hendak bersatu semula dan hendak mengikut undang-undang Islam. Jangan kita halang pasangan itu melakukan perkara yang halal. Kalau dihalang-halang, entah apa yang akan terjadi nanti. Contohnya mungkin mereka berzina kerana tidak tahan.

Asbabun Nuzul ayat ini adalah berdasarkan sebuah hadith,

حَدَّثَنَا يُونُسُ عَنْ الْحَسَنِ أَنَّ أُخْتَ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ طَلَّقَهَا زَوْجُهَا فَتَرَكَهَا حَتَّى انْقَضَتْ عِدَّتُهَا فَخَطَبَهَا فَأَبَى مَعْقِلٌ فَنَزَلَتْ  فَلَا تَعْضُلُوهُنَّ أَنْ يَنْكِحْنَ أَزْوَاجَهُنَّ 
Telah meriwayatkan Yunus daripada Al Hasan bahawa saudara perempuan Ma’qil ditalak suaminya dan meninggalkannya hingga habis masa iddahnya. Kemudian dia meminangnya lagi, namun Ma’qil menolaknya. Maka turunlah ayat: Janganlah kamu halangi mereka untuk menikah lagi dengan suaminya. (Al-Baqarah 232).
(Sahih Bukhari No. 4165)

Nota: hadith ini juga menjadi dalil bahawa walaupun janda, perlu juga mendapatkan persetujuan wali dan nikahnya kena ada wali. Ini kerana wanita perlu dijaga dan pernikahan mereka perlulah diperhatikan oleh wali. Ini kerana sekiranya apa-apa terjadi padanya, wali yang akan bertanggungjawab memelihara wanita itu. Akan tetapi seorang wali kenalah buat pertimbangan, jangan sampai dihalang wanita itu untuk menikahi lelaki yang baik. Namun begitu di dalam masa yang sama, janganlah dibiarkan sahaja wanita itu menikah dengan sesiapa sahaja. Hendaklah diselidik dahulu siapa lelaki itu. Ini harus menggunakan ijtihad sendiri dan memang tugas seorang wali bukanlah mudah.

Perhatikan kalimah بِالمَعروفِ yang digunakan di sini. Maka di sini para wali kena juga perhatikan. Kalau pernikahan mereka itu memang tidak patut, maka janganlah diberikan. Contohnya pasangan sudah talak tiga, tentulah tidak boleh menikah; atau hendak menikah tetapi tidak mahu bayar mahr; atau hendak menikah dengan orang yang tidak sekufu; atau dengan orang yang buruk perangainya dan telah diketahui memang ada masalah. Maka wali ada kuasa untuk menghalang, kalau perlu. Sebab itu para wali kena pandai buat due diligence kepada bakal suami wanita yang di dalam peliharaan mereka. Jangan terus percaya sahaja lelaki sekarang. Jangan hanya melihat di FB dan TikTok mereka sahaja tetapi pergilah temuramah dengan orang-orang yang kenal bakal pasangan itu. Jangan nanti menyesal apabila sudah menikah, macam-macam rahsia keluar pula.

 

ذٰلِكَ يوعَظُ بِهِ مَن كانَ مِنكُم يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Demikianlah diberi nasihat dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Jika akidah betul, maka akan mudah untuk mengikut hukum Tuhan. Itu sebabnya diulang kata: Kalau kamu takut kepada Allah ‎ﷻ dan Hari Akhirat. Itu isyarat kepada akidah dan orang yang beriman. Maknanya segala hukum yang diberi ini sepatutnya diikuti oleh orang yang mengaku beriman. Kena ada iman baru senang untuk mengikut ketetapan daripada Allah ﷻ.

Kenapa Allah ﷻ sebut dua Rukun Iman percaya kepada Allah ﷻ dan percaya kepada Akhirat sahaja? Bukankah ada banyak lagi perkara Rukun Iman? Ini kerana hendak memendekkan, takkan hendak disebut semua sekali. Jadi dua perkara ini mewakili iman-iman yang lain. Kedua-dua iman ini yang utama kerana semuanya bermula dengan percaya kepada Allah ﷻ. Kemudian mesti ada percaya kepada Hari Akhirat, barulah boleh ikut hukum hakam yang Allah ﷻ berikan. Kalau tiada iman, maka seseorang itu tidak takut untuk melanggar hukuman dan had yang Allah ﷻ telah berikan.

 

ذٰلِكُم أَزكىٰ لَكُم وَأَطهَرُ

Yang demikian adalah lebih mengembangkan (hubungan) bagi kamu dan lebih suci.

‘Lebih baik untuk kamu’ itu maksudnya kamu bebas daripada orang menuduh kamu benci sebab kalau kamu halang, orang akan kata macam-macam tentang kamu. Kehidupan berkeluarga pun jadi aman dan perhubungan dapat dipanjangkan dan dikembangkan. Memang kehidupan harmoni antara suami isteri, bapa dan ibu, memberi ketenangan dan kebahagiaan untuk seluruh anggota keluarga, bahkan untuk masyarakat seluruhnya. Bukankah masyarakat terdiri daripada unit keluarga-keluarga?

Ia lebih suci bagi mereka berdua dan keluarga yang terlibat (kerana itu digunakan kalimah ذٰلِكُم) sebab kalau ditahan juga mereka daripada berkahwin semula, mungkin mereka akan melakukan perkara yang tidak elok – mereka mungkin berjumpa sesama mereka, naik kenderaan sekali dan boleh jadi macam-macam. Ini kerana lelaki dan perempuan ada hormon masing-masing yang kalau ditahan-tahan, buruk akibatnya. Paling kita takut kalau terjadinya zina. Orang kampung kalau nampak mereka bersama pun mungkin tidak menegur kerana sangka mereka sudah berkahwin. Nanti wali itu juga yang malu kalau jadi sampai begitu.

Begitu juga orang yang mengikut hukum hakam Allah, ia akan mensucikan hati kita.

 

وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya. 

Kamu sangka dengan kamu menghalang mereka berkahwin semula itu adalah baik; tetapi Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang tidak semestinya begitu. Dulu kamu tidak tahu maka sekarang sudah tahu. Allah ‎ﷻ lebih tahu apakah yang baik untuk kamu dan mereka. Mungkin perkahwinan yang kedua itu lebih baik daripada pernikahan yang pertama dahulu.

Perhatikan, Allah ﷻ beri tiga sebab kenapa kena ikut hukum yang Allah ﷻ telah berikan (jangan halang wanita menikah setelah bercerai)\

1. Ia untuk orang yang beriman
2. Ia lebih baik dan suci
3. Allah ﷻ lebih tahu mana yang patut

Maka di sini ia bukanlah seperti undang-undang dunia yang meletakkan hukuman jika dilanggar. Hukum Allah mengingatkan kepada akhirat di mana kalau dilanggar, maka akan ditanya di akhirat nanti. Kalau hukum dunia kita takut dengan polis dan mahkamah, tetapi hukum Allah, kita kena takut dengan Allah ﷻ. Di dunia mungkin manusia tidak tahu, namun ingatlah yang Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Kerana itulah undang-undang dunia senang dilanggar kerana polis tidak sentiasa ada memerhatikan kita. Kita kena latih manusia untuk takut Allah ﷻ melebih daripada takut kepada manusia.

Di dalam masa yang sama, Allah ﷻ memberitahu bahawa ada perkara yang kita sebagai manusia tidak tahu, akan tetapi Allah ﷻ lebih tahu penghujungnya. Maka kena redha dengan ketetapan Allah ﷻ dan ikut sahaja.


 

MENYUSU SETELAH BERCERAI

Baqarah Ayat 233: Ayat ini pula untuk situasi suami isteri yang sudah bercerai dan mempunyai  anak. Selepas kedua-duanya bercerai, mungkin salah seorang atau kedua-duanya sudah berkahwin lain. Selalunya kalau sudah bercerai, ada yang tidak mahu melihat muka isteri atau suaminya lagi. Ini adat kebiasaan yang terjadi. Malangnya, selalu sahaja terjadinya kes anak yang menjadi mangsa. Anak itu bukan tahu apa-apa, mereka hendakkan susu sahaja. Maka Islam meletakkan hukum untuk menjaga kepentingan anak.

۞ وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ ۖ لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ ۚ وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ ۚ لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها ۚ لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ ۗ فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما ۗ وَإِن أَرَدتُّم أَن تَستَرضِعوا أَولٰدَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم إِذا سَلَّمتُم مّا ءآتَيتُم بِالمَعروفِ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Mothers may breastfeed their children two complete years for whoever wishes to complete the nursing [period]. Upon the father is the mothers’ provision and their clothing according to what is acceptable. No person is charged with more than his capacity. No mother should be harmed through her child, and no father through his child. And upon the [father’s] heir is [a duty] like that [of the father]. And if they both desire weaning through mutual consent from both of them and consultation, there is no blame upon either of them. And if you wish to have your children nursed by a substitute, there is no blame upon you as long as you give payment according to what is acceptable. And fear Allah and know that Allah is Seeing of what you do.

MALAY
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

 

وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap

Kalau kita ambil ayat ini bersangkutan dengan ayat-ayat perceraian, jadi ia berkenaan isteri yang dicerai ketika mengandung. Akan tetapi ia juga boleh digunakan untuk merujuk kepada mana-mana ibu. Kerana ibu-ibulah yang patut menyusukan anak mereka. Susu ibulah yang terbaik bagi anak. Maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah, ibu-ibu digalakkan menyusukan anak-anak mereka walaupun sudah bercerai atau tidak. Tempoh terbaik adalah selama dua tahun cukup tetapi tidaklah wajib sampai dua tahun. Kelebihan susu ibu telah terbukti dengan kajian. Lihatlah hebatnya agama Islam, bab menyusu pun diajar juga.

Hikmah & Kebaikan Menyusukan Selama 2 Tahun

1. Imuniti Anak

    • Susu ibu menyediakan nutrisi terbaik: antibodi, vitamin, dan enzim penting.
    • Ia membantu mencegah penyakit seperti cirit-birit, jangkitan telinga, dan pernafasan.

2. Perkembangan Otak dan Emosi Anak

    • Susu ibu menyokong pertumbuhan otak yang optimum.
    • Anak merasa lebih selamat, tenang dan terikat emosinya dengan ibu.

3. Memberi Masa Ikatan Kasih Sayang

    • Tempoh dua tahun adalah fasa kritikal pembentukan hubungan dan kepercayaan antara ibu dan anak.

4. Kebaikan Untuk Ibu

    • Mengurangkan risiko kanser payudara dan rahim.
    • Membantu rahim mengecut selepas bersalin.
    • Membakar kalori dan membantu proses kembali kepada berat asal.

Ternyata susu ibu adalah susu yang terbaik untuk anak. Tidak sama kalau diberikan susu formula kepada anak itu. Maka di sini ada hukum bagi ibu untuk menyusui anaknya, melainkan ada sebab yang menghalangnya.

Perhatikan penggunaan kalimah الوٰلِدٰتُ di dalam ayat ini. Bezakan dengan kalimah أمهات yang bermaksud ‘ibu-ibu kandung’ sedangkan kalimah الوٰلِدٰتُ bermaksud para ibu secara umum, baik ibu kandung atau bukan. Dari sini kita dapat tahu Al-Qur’an sudah menyatakan bahawa susu ibu itu memang baik, tidak kira datang daripada ibu kandung atau ibu orang lain. Cuma kalau dengan ibu sendiri, tentulah lebih baik lagi kerana dapat mengeratkan hubungan antara anak dan ibu.

Jangka waktu terbaik untuk menyusukan anak adalah selama 2 tahun. Akan tetapi kenapa perlu ditambah dengan kalimah كامِلَينِ? Tidak cukupkah sebut 2 tahun sahaja? Ini kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan 2 tahun itu adalah 24 bulan, bukan kurang daripada itu. Kerana kadang-kadang kita bagi anggaran sahaja. Contohnya kita duduk di sesuatu tempat itu selama setahun 8 bulan tetapi bila orang tanya berapa lama duduk di situ, kita mungkin jawab 2 tahun, bukan? Allah ‎ﷻ hendak pastikan kita cukupkan 24 bulan untuk menyusui anak itu. Maka di sini kita dapat tahu jangka masa itu amat penting sampaikan Allah ‎ﷻ tambah dengan kalimah كامِلَينِ.

Ulama’ mengatakan ayat ini adalah tanda yang Allah ‎ﷻ lebih sayang kepada bayi itu daripada emaknya sendiri. Lihatlah Allah ‎ﷻ suruh dicukupkan penyusuan anak itu untuk kebaikannya. Sedangkan seorang ibu kadangkala tidak mahu pun menyusukan anak. Antara alasan yang diberikan oleh ibu yang tidak mahu menyusukan anaknya adalah kerana mungkin itu anak bekas suaminya, atau kerana takut menyusahkan diri (tambahan pula bagi yang sudah bekerjaya), ada yang takut perubahan fizikal kepada badan terutama sekali kepada payudara. Mungkin juga dia telah menikah baru dan hendak beri perhatian kepada suami yang baru. Namun Allah ‎ﷻ ingatkan anak sendiri jangan dilupa.

Dua tahun lengkap ini juga penting di dalam penyusuan kepada selain daripada ibunya sendiri. Seseorang anak boleh menjadi anak susuan kepada seorang wanita jikalau dia menyusu ketika umurnya 2 tahun atau kurang. Kalau lebih dari 2 tahun, tidaklah menjadi anak susuan pula. Teringat seorang lelaki gila di Ipoh. Sejarahnya dia menjadi gila begini: dia telah menjilat payu daya isterinya dan terminum susu isterinya. Dia pun bertanya kepada bapa mertuanya dan bapa mertuanya kata dia sudah menjadi anak susuan isterinya. Gila terus dia. Itulah masalahnya jikalau ilmu tidak lengkap. Bapa mertuanya setakat tahu tentang hukum anak susuan sahaja tanpa tahu syarat-syaratnya!

 

لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ

bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; 

Kalau boleh, selama dua tahun, akan tetapi sekiranya kurang pun dibolehkan. Ini menunjukkan hukum asalnya sunat muakkad (sangat digalakkan), bukan wajib mutlak. Kadangkala ia tidak sempat dilakukan, entah anak itu tidak suka lagi menyusu susu ibu, atau sedang dalam penyusuan dapat pula anak baru jadi ibu itu tidak sesuai lagi menyusukan anak kerana anak dalam kandungan pun perlukan susu.

Ayat ini juga mengajar bahawa menyusu itu hanya dua tahun sahaja. Jangan lebih kerana ia sudah menjadi haram. Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ beri tambahan iaitu sehingga 30 bulan sahaja.

 

وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ

dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Oleh kerana ibu disuruh menyusukan anak itu, maka bapa hendaklah menyediakan rezeki untuk ibu. Tidak kira sama ada suami itu masih menikah atau sudah bercerai kerana kalau sudah bercerai pun, anak itu masih tanggungjawab bapanya juga. Memang patut diberikan upah kepada isteri itu kerana menyusukan anak bukan kerja senang. Ia memang memenatkan. Namun janganlah gunakan ayat ini bagi ibu yang masih bersuami untuk meminta upah daripada suami pula. Sudah jadi tanggungjawab, takkan hendak minta upah pula.

Perhatikan penggunaan kalimat المَولودِ لَهُ (dilahirkan untuknya) yang merujuk kepada bapa. Kalau emak telah digunakan di dalam ayat ini الوٰلِدٰتُ yang jamak kepada الوٰلِدة. Jadi kalau hendak samakan, kalimah yang patut digunakan bagi bapa adalah الوٰلِد. Pernah pun digunakan istilah ini di dalam ayat lain seperti Luqman: 33

اتَّقوا رَبَّكُم وَاخشَوا يَومًا لّا يَجزي والِدٌ عَن وَلَدِهِ
dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya

Allah ‎ﷻ gunakan istilah المَولودِ لَهُ kerana hendak mengingatkan bahawa anak itu seolah hak kepada bapa. Walaupun telah bercerai, telah berkahwin, sampai kiamat anak itu akan dibin dan dibintikan kepadanya. Maka janganlah lepas tangan dengan tidak memberi nafkah kepada ibu yang menyusu anak itu dan kepada anak itu yang memerlukan nafkah juga daripada bapanya. Mungkin seorang bapa terbeban dengan hukum ini, sedangkan dia fikir anak itu bukan duduk dengan dia lagi, maka Allah ‎ﷻ mengingatkan bahawa anak itu المَولودِ لَهُ dilahirkan untuknya.

Kalimah بِالمَعروفِ itu maksudnya menepati syariat dan yang bersesuaian dengan masyarakat. Iaitu sebagaimana yang diterima oleh masyarakat setempat. Maknanya, beri yang sesuai, jangan beri makanan dan pakaian yang buruk. Allah ‎ﷻ tidak berikan butiran kerana perkara ini boleh dinilai sendiri dan mengikut kepada kebiasaan tempat dan keluarga.

Kalimah بِالمَعروفِ juga bermaksud beri rezeki itu dengan baik, jangan dengan marah-marah dan tunjuk tidak rela dan sakit hati. Kena jaga adab dengan sesama manusia dan jangan sakiti hati mereka.

 

لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها

Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kadar kemampuannya. 

Berapa banyak bayaran dan keperluan tidak ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Ia ikut kepada kemampuan. Kepada ibu itu pula, kenalah berpada-pada menetapkan bayaran. Jangan minta bayaran banyak sangat atas alasan dia kena susukan anak itu. Sedangkan itu pun anak dia juga.

 

لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها

Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, 

Jangan susahkan ibu itu dalam hal susuan ini. Antaranya, suami itu jangan lari daripada tanggungjawab. Ini menjadi masalah di dalam masyarakat apabila bekas suami buat tidak tahu sahaja tentang bekas isteri dan anaknya. Ini memang tidak patut berlaku bagi seorang Mukmin. Dalam hal ini, mahkamah kena tolong. Kena pastikan yang lelaki itu bertanggungjawab dan kalau dia hendak lari, mestilah ada tindakan terhadap mereka. Ibu itu juga janganlah dipaksa untuk menyusukan anak itu kalau dia tidak mampu kerana sakit contohnya.

 

وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ

dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya;

Begitu juga, jangan susahkan bapa itu. Antaranya, jangan tuntut melebihi daripada yang sepatutnya. Bukan semua suami kaya raya; ada yang untuk makan sendiri pun cukup-cukup sahaja. Kalau tidak ada persetujuan antara keduanya, maka mahkamah kena buat keputusan apakah yang patut. Juga jangan dihalang bapa itu daripada melawat untuk melihat anaknya sendiri. Tentulah dia akan menderita kalau tidak dapat melihat cahaya matanya sendiri.

Kita banyak sebut tentang mahkamah terlibat dalam hal antara suami isteri yang bercerai ini. Sebenarnya, kalau sama-sama faham agama dan guna akal yang waras dan hati yang suci, tidak perlu dibawa ke mahkamah pun.

 

وَعَلَى الوارِثِ مِثلُ ذٰلِكَ

dan waris juga menanggung kewajipan yang sama

Jangan juga waris disusahkan kerana kadang-kadang waris terlibat dalam hal ini. Terutama sekali waris kepada ayah budak itu. Contohnya, kalau bapa bayi itu sudah mati. Dalam kes sebegitu, waris suami kenalah tanggung, jangan buat tidak tahu sahaja. Ini seperti datuk budak itu atau bapa-bapa saudara budak itu.

Yang penting, tidak boleh dibiarkan bayi itu dalam kesusahan. Seorang anak hendaklah dibesarkan dengan baik. Fikirkanlah juga masa depan anak itu. Banyak kejadian, setelah bercerai, hubungan dua keluarga menjadi tidak baik. Yang menjadi mangsa adalah anak itu.

 

فَإِن أَرادا فِصالًا عَن تَراضٍ مِّنهُما وَتَشاوُرٍ فَلا جُناحَ عَلَيهِما

jika keduanya mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah

Ini pula jikalau tidak boleh teruskan penyusuan itu. Mungkin ibu itu kena pergi ke tempat yang jauh daripada bapa itu atau sakit atau sebab-sebab lain. Persetujuan boleh dicapai untuk menamatkan penyusuan – dalam Bahasa Melayu dipanggil Sapih.

Kedua-duanya kenalah rela dengan keputusan itu. Maka hendaklah ada perbincangan antara mereka dengan apa hendak dibuat, jangan buat keputusan sebelah pihak sahaja. Kalau itu sudah dilakukan, maka mereka tidak berdosa. Jangan ada orang yang kata mereka bersalah kalau melakukan begitu pula. Selalunya orang luar yang lebih sudu dari kuah, bukan? Banyaknya yang menyibuk sahaja tanpa tahu masalah pasangan itu.

Kita boleh lihat pandangan isteri juga diambil kira. Yang penting, jangan anak itu yang menjadi mangsa. Seperti yang kita tahu, susu ibu memang makanan terbaik untuk bayi itu. Maka, mungkin untuk membuat keputusan, kena fikirkan tentang kebaikan bagi anak itu.

 

وَإِن أَرَدتُّم أَن تَستَرضِعوا أَولٰدَكُم فَلا جُناحَ عَلَيكُم

Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu

Kalau hendak menggunakan ibu susu lain pun boleh iaitu beri anak itu menyusu dengan orang lain. Mungkin ibu itu pergi ke tempat yang jauh, atau sudah meninggal atau sebab-sebab lain. Ini nanti akan berkait pula dengan hukum Ibu Susuan, maka kena ambil tahu akan hal ini.

Perhatikan kali ini digunakan kalimah أَرَدتُّم yang ditujukan kepada orang banyak, bukan kepada pasangan suami isteri sahaja seperti sebelum ini, أَرادا. Ini kerana perkara ini lebih besar lagi, maka ahli keluarga sama-sama kena diambil pendapat mereka.

 

إِذا سَلَّمتُم مّا ءآتَيتُم بِالمَعروفِ

apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.

Dibenarkan untuk disusukan dengan orang lain, asal sanggup memberi upah kepada penyusu itu. Maknanya, bukan percuma sahaja, kenalah diberi upah kepada ibu susuan itu. Kena tengok pada keadaan bayi itu dan kemampuan masing-masing dalam segala hal. Berapakah harga upah itu? Kena lihat بِالمَعروفِ iaitu ikut kesesuaian tempat dan masa dalam masyarakat itu. Jangan terlalu mahal sampai ibubapa tidak mampu dan jangan murah sangat sampai tidak layak bagi ibu penyusu itu.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

Allah ‎ﷻ menekankan kepentingan taqwa sekali lagi dalam ayat ini. Segala perkara yang telah disebut ini akan mudah dilakukan dan dicapai jikalau semuanya ada taqwa kepada Allah ‎ﷻ. Perceraian mungkin tidak dapat dielakkan. Namun apa yang terjadi selepas itu, buatlah dengan cara yang baik.

Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apa yang kita lakukan dan keputusan yang kita buat. Allah ‎ﷻ tahu niat hati kita dan usaha kita untuk menepati kehendak-Nya. Jangan hanya melihat kepada upah sahaja namun hendaklah memikirkan tujuan utama adalah untuk membina anak yang sihat dan bijak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 Mei 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment