Tafsir Surah Baqarah Ayat 222 (Hukum tentang haid)

HUKUM BERJIMAK KETIKA HAID

Baqarah Ayat 222: Masalah dua hala yang kelima dan terakhir yang para sahabat رضي الله عنهم bertanya kepada Nabi ﷺ adalah tentang pergaulan dengan wanita yang dalam haid. Di dalam ayat sebelum ini kita telah masuk bab perkahwinan (memilih pasangan). Setelah ada pasangan, maka tentulah ada perhubungan kelamin di antara keduanya. Perkara ini pun disentuh di dalam agama Islam yang lengkap ini.

Seperti yang kita tahu, Islam amat mementingkan kebersihan. Maka banyak hukum-hukum dalam agama Islam adalah ke arah menjaga kebersihan luar dan dalam. Hukum hakam agama Islam tidak sama dengan hukum agama lain. Dalam agama Nasara, seorang lelaki boleh bersetubuh dengan perempuan yang dalam haid. Sebaliknya untuk agama Yahudi, tidak boleh langsung duduk bersama dengan wanita yang dalam haid sampaikan makan sekali pun tidak dibenarkan. Begitulah dua hukum ekstrim yang tidak ada dalam Islam. Dalam Islam, apabila seseorang wanita itu dalam haid, mereka hanya tidak boleh disetubuhi sahaja, tetapi dalam perkara-perkara lain tidak ada masalah, buat seperti biasa sahaja. Jadi agama Islam berada di tengah-tengah antara Nasara dan Yahudi. Itulah sebabnya kita katakan yang agama Islam adalah agama yang praktikal.

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ ۖ قُل هُوَ أَذًى فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ ۖ وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ ۖ فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

SAHIH INTERNATIONAL
And they ask you about menstruation. Say, “It is harm, so keep away from wives during menstruation. And do not approach them until they are pure. And when they have purified themselves, then come to them from where Allah has ordained for you. Indeed, Allah loves those who are constantly repentant and loves those who purify themselves.”

MALAY
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

 

وَيَسأَلونَكَ عَنِ المَحيضِ

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid.

Kalimah مَحِيضِ‌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘haid’. Ia daripada kata dasar: ح ي ض yang bermaksud haid, darah yang mengalir dari rahim, sampai umur baligh, sesuatu yang mengalir. Apabila di dalam bentuk مَحِيضِ, boleh jadi tempat keluar haid atau ia merujuk kepada darah itu sendiri. 

Para sahabat رضي الله عنهم bukanlah tanya tentang haid tetapi apa yang mereka patut lakukan ketika para isteri mereka didatangi haid. Ini kerana pada resam Arab Jahiliyyah pun, kalau seseorang wanita itu dalam haid, maka dia hendaklah menjauhkan dirinya daripada orang lain. Sampaikan kena duduk dalam bilik yang gelap pun ada. Bagi para sahabat رضي الله عنهم yang berada di Madinah ketika itu, mereka terikut-ikut dengan ajaran daripada golongan Yahudi yang mereka sudah lama bergaul.

 

قُل هُوَ أَذًى

Katakanlah: “Darah haid itu kotoran”

Kalimah أَذًى adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘sakit, penyakit’. Ia daripada kata dasar: أ ذ ي yang bermaksud diganggu sesuatu yang tidak selesa. Kerana itu ada yang menterjemahkan kalimah أَذًى sebagai ‘gangguan’. Ini kerana ia mengganggu fizikal dan mental wanita. Kita pun tahu yang ia berat bagi mereka dan menyebabkan PMS (Pre-Menstrual Syndrome). Sampaikan jangan diganggu mereka ketika itu kerana boleh menyesal para lelaki kalau mengganggu wanita ketika itu. Mental dan emosi mereka sedang tidak keruan. Bukanlah salah mereka ya, ini adalah antara ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka. Para lelaki kenalah faham tentang hal ini dan jangan buat hal ketika ini.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, darah haid itu memang satu kekotoran yang membahayakan. Ia adalah sesuatu yang kotor maka kerana itu diajar cara-cara untuk membersihkannya dalam bab Taharah (Bab Suci).

Dari sudut pandang saintifik dan perubatan, hubungan intim ketika wanita sedang haid tidak disarankan kerana ia membawa beberapa risiko kesihatan kepada kedua-dua belah pihak. Risiko-risiko ini berkaitan dengan faktor biologi yang berlaku di dalam tubuh wanita semasa haid.

 

Peningkatan Risiko Jangkitan

Ketika seorang wanita sedang haid, lapisan dinding rahim (endometrium) sedang luruh dan keluar sebagai darah. Pada masa ini:

    • Pintu Rahim (Serviks) Terbuka Sedikit: Serviks biasanya tertutup rapat, tetapi akan terbuka sedikit semasa haid untuk membenarkan darah keluar. Ini mencipta laluan terbuka ke rahim dan organ reproduktif yang lebih tinggi. Bakteria dari zakar boleh masuk ke dalam laluan ini dengan lebih mudah.
    • Rahim Menjadi Terdedah: Dinding rahim yang sedang luruh itu secara efektifnya adalah sejenis luka terbuka yang sangat terdedah kepada jangkitan.
    • Risiko PID (Penyakit Radang Pelvis): Bakteria yang masuk melalui serviks boleh menyebabkan jangkitan pada rahim, tiub fallopio, atau ovari. Keadaan ini dikenali sebagai Pelvic Inflammatory Disease (PID), yang boleh menyebabkan sakit kronik, kerosakan tiub fallopio, dan dalam kes serius, ketidaksuburan.

 

Peningkatan Risiko Penularan STI (Sexually Transmitted Disease)

Darah haid adalah medium yang sangat baik untuk menyebarkan pelbagai jenis patogen. Oleh itu, hubungan seks semasa haid boleh meningkatkan risiko penularan penyakit kelamin (STI) seperti:

    • HIV: Virus HIV boleh disebarkan melalui darah. Risiko penularan meningkat jika terdapat pendedahan kepada darah.
    • Hepatitis B & C: Virus-virus ini juga boleh menular melalui darah.
    • Jangkitan Bakteria: Jangkitan seperti gonorrhea dan klamidia boleh merebak dengan lebih mudah, terutamanya kerana persekitaran yang lebih lembap dan pH faraj yang mungkin berubah semasa haid.

 

Ketidakselesaan Fizikal

Selain daripada risiko kesihatan, hubungan intim semasa haid juga boleh menyebabkan ketidakselesaan fizikal.

    • Sakit dan Kekejangan: Ramai wanita mengalami kekejangan rahim semasa haid. Hubungan seks boleh meningkatkan kekejangan ini dan menyebabkan lebih banyak kesakitan.
    • Faktor Kebersihan: Kehadiran darah boleh membuatkan aktiviti ini tidak selesa dari segi kebersihan bagi kedua-dua pasangan.

Secara kesimpulannya, larangan ini dari sudut pandang saintifik adalah langkah berjaga-jaga yang penting untuk menjaga kesihatan dan kebersihan reproduktif kedua-dua pasangan.

 

فَاعتَزِلُوا النِّساءَ فِي المَحيضِ

Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan dalam haid itu

Kalimah ٱعتَزِلُواْ adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘jauhilah’. Ia daripada kata dasar: ع ز ل yang bermaksud letak tepi, mengalih, mengasingkan daripada yang lain, terpencil, tempat bersara, jauh. Daripada kata dasar inilah kita selalu dengar nama kumpulan Mu’tazilah dan mereka dinamakan demikian kerana mereka mengasingkan diri daripada kumpulan Khalifah Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

Kalimah النِّساءَ asalnya bermaksud ‘perempuan’ akan tetapi di dalam Al-Qur’an ia bermaksud isteri.

Oleh kerana darah haid itu kotor dan membahayakan kesihatan, persetubuhan sama sekali tidak dibenarkan ketika itu. Kalimat ‘jauhkan diri kamu’ itu maksudnya jangan hampiri dari segi persetubuhan. Bukanlah bermaksud jangan dekati dari segi fizikal. Ini kerana kalimah مَحِيضِ boleh bermaksud tempat keluar darah haid itu dan ini bermaksud faraj isteri. Janganlah sampai dihalau pula perempuan jauh daripada kita. Kerana itu Al-Qur’an tidak boleh dibaca secara literal. Bahasa Al-Qur’an memang beradab dan kalau melibatkan seks, tidak disebut secara terang. Ia diberi sebagai isyarat sahaja dan kerana itu tidak malu kalau Al-Qur’an dibaca di khalayak ramai ataupun  dibaca oleh kanak-kanak.

Perhatikan di sini diulang kalimah المَحيضِ walaupun boleh sahaja digunakan dhomir ه kerana telah disebut kalimah المَحيضِ sebelum ini. Ini sebagai penekanan untuk memberitahu bahawa waktu haid sahaja tidak boleh jimak, sedangkan kalau ada gangguan lain, masih lagi boleh berjimak. Sebagai contoh kalau isteri itu mengalami istihadhah (darah penyakit) boleh lagi jimak kerana gangguan itu tidak sama dengan haid.

Satu hikmah kepada wanita, apabila tidak ada jimak ketika di dalam haid, ia memberi kelegaan kepada mereka. Ini kerana waktu haid adalah waktu yang memenatkan dan kalau waktu itu pun kena layan suami, letih juga.

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ الْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتْ الْمَرْأَةُ فِيهِمْ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا وَلَمْ يُجَامِعُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ فَسَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى { وَيَسْأَلُونَكَ عَنْ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ } إِلَى آخِرِ الْآيَةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا النِّكَاحَ
Daripada Anas رضي الله عنه bahawa kaum Yahudi dahulu apabila kaum wanita mereka mengalami haid, mereka tidak memberinya makan dan tidak mempergaulinya di rumah. Maka para sahabat Nabi ﷺ bertanya kepada Nabi ﷺ. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan, “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, ‘Haid itu adalah suatu kotoran’. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri daripada wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah ‎ﷻ kepadamu. Allah ‎ﷻ menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” (al-Baqarah: 222) maka Rasulullah ﷺ bersabda, “Perbuatlah segala sesuatu kecuali nikah (bersetubuh)”.

(Sahih Muslim No. 455)

 

وَلا تَقرَبوهُنَّ حَتّىٰ يَطهُرنَ

dan janganlah kamu hampiri mereka sehinggalah mereka suci.

Jangan bersetubuh dengan mereka selagi mereka tidak suci daripada haid itu. Kalimah yang digunakan di sini adalah ‘jangan dekati’. Allah ‎ﷻ tidak kata, ‘jangan bersetubuh dengan mereka’ tetapi di sini terdapat amaran supaya jangan buat perkara-perkara yang boleh membawa ke arah jimak.

Kalimah يَطهُرنَ di sini bermaksud haid telah berhenti. Maka, ‘jangan hampiri’ itu bukanlah bermaksud jangan dekati langsung, tetapi ia bermaksud tidak boleh jimak sahaja. Ada perkara yang lain yang boleh dilakukan.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَتْ إِحْدَانَا إِذَا كَانَتْ حَائِضًا فَأَرَادَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبَاشِرَهَا أَمَرَهَا أَنْ تَتَّزِرَ فِي فَوْرِ حَيْضَتِهَا ثُمَّ يُبَاشِرُهَا قَالَتْ وَأَيُّكُمْ يَمْلِكُ إِرْبَهُ كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْلِكُ إِرْبَهُ تَابَعَهُ خَالِدٌ وَجَرِيرٌ عَنْ الشَّيْبَانِيِّ
Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها beliau berkata, “Jika salah seorang daripada kami sedang mengalami haid dan Rasulullah ﷺ berkeinginan untuk bermesraan, baginda memerintahkan untuk mengenakan kain, lalu baginda pun mencumbuinya.” ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Padahal, siapakah di antara kalian yang mampu menahan hasratnya sebagaimana Rasulullah ﷺ menahan.” Hadith ini dikuatkan oleh Khalid dan Jarir daripada Asy Syaibani.”

(Sahih Bukhari No. 291)

Syarah: di sini disebut Nabi Muhammad ﷺ mencumbui para isteri baginda. Sebelum ini telah disebut jangan dekati para isteri, takut-takut terbabas pula nanti sampai menjadi jimak. Maka di sini ia bergantung kepada para suami itu. Kalau dia mampu mengawal dirinya, silakan buat seperti Rasulullah ﷺ ini. Kalau takut tidak dapat kawal diri, janganlah dibuat langsung walaupun yang ringan-ringan sekali pun. Kerana itulah Aisyah رضي الله عنها tambah: “Siapakah di antara kalian yang mampu menahan hasratnya sebagaimana Rasulullah ﷺ menahan?” Seolah-olah beliau berkata: adakah kalian mampu menahan diri kalian sepertimana Rasulullah ﷺ?

Begitu juga, Saidatina Aisyah رضي الله عنها pernah menceritakan hadith berikut:

 عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ كِلَانَا جُنُبٌ وَكَانَ يَأْمُرُنِي فَأَتَّزِرُ فَيُبَاشِرُنِي وَأَنَا حَائِضٌ وَكَانَ يُخْرِجُ رَأْسَهُ إِلَيَّ وَهُوَ مُعْتَكِفٌ فَأَغْسِلُهُ وَأَنَا حَائِضٌ
Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها berkata, “Aku dan Nabi ﷺ pernah mandi bersama daripada satu bejana. Saat itu kami berdua sedang junub. Baginda juga pernah memerintahkan aku mengenakan kain, lalu baginda mencumbuiku sementara aku sedang haid. Baginda juga pernah mendekatkan kepalanya kepadaku ketika baginda iktikaf, aku lalu membasuh kepalanya padahal ketika itu aku sedang haid.”

(Sahih Bukhari No. 290)

Di dalam kitab Sunan Abu Daud disebutkan sebuah hadith daripada Saidatina Aisyah رضي الله عنها yang menceritakan:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنْتُ أَتَعَرَّقُ الْعَظْمَ وَأَنَا حَائِضٌ فَأُعْطِيهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَمَهُ فِي الْمَوْضِعِ الَّذِي فِيهِ وَضَعْتُهُ وَأَشْرَبُ الشَّرَابَ فَأُنَاوِلُهُ فَيَضَعُ فَمَهُ فِي الْمَوْضِعِ الَّذِي كُنْتُ أَشْرَبُ مِنْهُ
Daripada Aisyah رضي الله عنها beliau berkata; “Aku pernah menggigit daging, sementara aku sedang haid, lalu daging itu aku berikan kepada Nabi ﷺ, maka baginda menggigitnya pada bahagian daging yang aku gigit dan aku minum, lalu aku berikan minuman itu kepada baginda, maka baginda meminumnya pada bahagian yang aku minum”.

(Sunan Abu Daud No. 226)

Maksudnya wanita yang di dalam haid bukanlah seperti najis sampaikan apa yang mereka sentuh pun tidak boleh disentuh. Itu adalah perbuatan ekstrim yang direka dalam agama Yahudi.

Di dalam hadith yang lain:

أَنَّ عَائِشَةَ حَدَّثَتْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ ثُمَّ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ
Bahawa ‘Aisyah رضي الله عنها menceritakan kepadanya, “Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ menyandarkan badannya di pangkuanku membaca Al Qur’an, padahal ketika itu aku sedang haid.”

(Sahih Bukhari No. 288)

Syarah: Hadith ini juga menjadi dalil bagi Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ untuk menyatakan pendapatnya bahawa seorang wanita boleh menyentuh mushaf Al-Qur’an ketika haid. Ini kerana Nabi ﷺ boleh sahaja menyentuh A’isyah رضي الله عنها. Ini kerana baginda adalah ‘Qur’an bergerak’ dan boleh menyentuh seorang wanita yang sedang di dalam haid.

 

فَإِذا تَطَهَّرنَ فَأتوهُنَّ مِن حَيثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

Kemudian apabila mereka sudah bersuci, maka kamu datangilah mereka pada tempat yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.

Wanita-wanita dalam haid itu dikira suci apabila darah haid telah kering dan apabila mereka telah mandi. Kalau di dalam potongan sebelum ini disebut يَطهُرنَ yang bermaksud haid telah berhenti dan sekarang digunakan kalimah تَطَهَّرنَ yang ada sedikit kelainan, dan ia merujuk mereka para wanita itu telah mandi junub. Jadi bukan setakat darah haid sudah kering sahaja, tetapi kena mandi junub terlebih dahulu. Jadi, kena ada dua peringkat: darah sudah kering, kemudian mandi. Maka kena tunggu isteri sudah mandi baru boleh berjimak dengan mereka. Maklumat lanjut tentang perkara ini dan hukum haid boleh dipelajari dalam kitab hadith dan kitab feqah.

Dengan cara yang diizinkan Allah ‎ﷻ bermaksud: melalui farajnya. Boleh untuk berjimak dengan isteri kita dari arah hadapan, belakang, tepi dan sebagainya, tetapi hendaklah zakar memasuki lubang yang sama, iaitu faraj sahaja. Oleh itu, tidak boleh langsung mendatangi isteri melalui lubang dubur. Ini amat dilarang.

 

Kaffarah (denda) bagi orang yang menyetubuhi wanita haid

Seperti yang telah disebut, haram bagi suami menjimak isterinya di kala isterinya itu dalam haid. Akan tetapi bagaimana kalau terlajak? Kalau terlajak, maka suami wajib (atau ada yang mengatakan ia adalah sunat) bersedekah sebanyak satu dinar atau setengah dinar. Harus dikira berapa nilai satu dinar mengikut kadar semasa. Contohnya nilai dinar syiling emas bersamaan dengan 4.25 gram emas 916. Kalau sekarang, nilainya sekitar RM 900.

Denda ini berdasarkan hadith Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي الَّذِي يَأْتِي امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ قَالَ ‏ “‏ يَتَصَدَّقُ بِدِينَارٍ أَوْ بِنِصْفِ دِينَارٍ ‏”
Rasulullah ﷺ bersabda tentang seorang lelaki yang bersetubuh dengan wanita yang sedang haid: Hendaklah dia bersedekah satu atau setengah dinar.

(Sunan Abi Dawud 2168; dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ)

Bayaran itu hendaklah dibayar oleh si suami dan bukan si isteri kerana lelaki itu yang dikira menyetubuhi isterinya (isteri ikut sahaja). Begitu juga jika dia bersetubuh apabila berhentinya darah haid tetapi belum mandi, maka keadaan wanita itu dianggap sama seperti yang keluar darah kekuningan. Ertinya, sunat dibayar denda separuh harga dinar.

 

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوّٰبينَ

Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,

Kalau dahulu pernah mendatangi isteri dari dubur, maka bertaubatlah. Atau kalau pernah melakukan apa-apa kesalahan yang telah disebut di atas (mendatangi isteri dalam haid), maka bertaubatlah dan berhenti daripada melakukannya lagi.

Orang yang selalu bertaubat dikasihi oleh Allah ‎ﷻ. Mereka melakukan pembersihan dan penyucian diri mereka dari dalam. Apabila seseorang itu selalu bertaubat, itu bermakna mereka selalu memikirkan dosa-dosa mereka yang banyak. Apabila kita sedar kita ini banyak dosa, maka tentulah kita tidak menjadi orang yang meninggi diri. Orang yang rasa diri itu hebat hanyalah orang yang tidak ingat pun yang dia sendiri ada dosa. Dia perasan dia pahala banyak, tidak ada kesalahan dan kedudukannya tinggi dan ini tidak bagus. Kena sedar yang kita ini adalah manusia yang sering melakukan kesalahan. Maka hendaklah kita sentiasa bertaubat. Rasulullah ﷺ telah bersabda,

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

Riwayat Ibn Majah (4392) Status: Hasan

Jangan sedih sangat kalau anda ada melakukan dosa. Ini kerana memang kita ini kejadiannya memang akan melakukan dosa. Malah Rasulullah ﷺ bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ
Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescayalah Allah akan menghilangkan kamu (mematikan) dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka.

(Riwayat Muslim No. 2749)

Kalimah التَّوّٰبينَ bukan taubat biasa, tetapi ia di dalam bentuk mubalaghah, jadi ia bermaksud orang yang selalu bertaubat. Oleh itu, kenalah perbanyakkan istighfar kita setiap hari. Sedangkan Rasulullah ﷺ pun bertaubat banyak kali, kita kena lebih lagi. Rasulullah ﷺ bersabda:

«يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللهِ، فَإِنِّي أَتُوبُ، فِي الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ، مَرَّةٍ»
Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Sesungguhnya aku juga bertaubat kepada-Nya, di dalam satu hari sebanyak 100 kali.

(Sahih Muslim No. 2702)

Allah ﷻ suka menerima taubat hamba-hamba-Nya. Malah Allah ﷻ menunggu-nunggu manusia untuk bertaubat kepada-Nya. Ini seperti disebut di dalam sebuah hadith,

الَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلاَةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِى ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِى وَأَنَا رَبُّكَ.أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ
“Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika dia bertaubat pada-Nya melebihi kegembiraan seseorang di antara kalian yang berada di atas kenderaannya dan berada di suatu tanah yang luas (padang pasir), kemudian haiwan yang ditungganginya lari meninggalkannya. Padahal pada haiwan tunggangannya itu ada bekalan makan dan minumnya. Sehingga dia pun menjadi putus asa. Kemudian dia mendatangi sebuah pohon dan tidur berbaring di bawah naungannya dalam keadaan hati yang telah berputus asa. Tiba-tiba ketika dia dalam keadaan seperti itu, kenderaannya tampak berdiri di sisinya, lalu dia mengambil ikatnya. Kerana sangat gembiranya, maka dia berkata, ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Rabb-Mu.’ Dia telah salah mengucapkan kerana terlalu gembiranya.”

(Sahih Muslim No. 2747)

 

وَيُحِبُّ المُتَطَهِّرينَ

dan (Allah) mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

Kalau التَّوّٰبينَ sebelum ini bermaksud menyucikan rohani daripada kekotoran mental dan emosi, maka sekarang disebut pula المُتَطَهِّرينَ iaitu merujuk kepada mereka yang berusaha membersihkan diri daripada segi fizikal. Sebenarnya ayat yang kita sedang perhatikan ini adalah tentang kebersihan tubuh badan, bukan? Jadi kenapa Allah ﷻ sebut pembersihan batin dahulu? Ini kerana pembersihan batin lebih penting. Jangan badan sahaja bersih sebaliknya hati hitam legam. Oleh kerana itu di dalam ayat ini, bukan sahaja pembersihan fizikal yang disebut, tetapi termasuk juga pembersihan hati dan jiwa. Akan tetapi pembersihan jiwa tanpa disekalikan dengan pembersihan fizikal juga tidak patut.

Begitu pentingnya dua pembersihan ini, disyariatkan kita berdoa dengannya setiap kali selepas wudu’ kita. Kita berdoa supaya Allah ﷻ memasukkan kita ke dalam golongan yang sentiasa bertaubat dan menjaga kebersihan. Daripada Umar bin Khaththab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا
“Tidaklah salah seorang di antara kalian berwudhu’ dan menyempurnakan wudhu’nya, kemudian mengucapkan, [Aku bersaksi bahawa tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah semata, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah.] kecuali Allah akan bukakan untuknya lapan pintu langit yang boleh dia masuki dari pintu mana sahaja.”

[Sahih Muslim No. 234; Abu Dawud No. 169; At-Tirmizi No. 55; An-Nasa’i 1/95 dan Ibnu Majah No. 470]

Di dalam riwayat At-Tirmidzi ada tambahan doa,

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ المُتَطَهِّرِينَ
[Ya Allah jadikanlah aku termasuk hamba-hamba-Mu yang rajin bertaubat dan menyucikan diri].”

[Dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani رحمه الله‎ dalam Shahihul Jami’ hadith No. 6046]

Doa ini dibaca sejurus sahaja mengambil wudhu’ kerana Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kita yang kita baru sahaja membersihkan tubuh badan kita dengan air; akan tetapi kita perlu membersihkan jiwa dan rohani kita yang kita akan lakukan sebentar lagi di dalam solat.

Islam adalah satu-satunya agama yang menekankan kepentingan kebersihan dalam kehidupan. Ia diajar di dalam sumber wahyu yang sampai kepada kita dari dahulu lagi. Beginilah hebatnya agama Islam ini yang membuktikan ia memang datang daripada Allah ‎ﷻ. Zaman sekarang memanglah sudah tidak nampak lagi perbezaan ini kerana orang-orang daripada agama lain pun ada yang mementingkan kebersihan, malah lebih baik lagi daripada orang Islam pun. Namun sebenarnya dalam agama mereka tidak menekankan perkara ini. Mereka cuma jaga kebersihan setelah kemajuan teknologi kenal virus dan sebagainya. Agama Islamlah yang mula-mula menekankannya ketika masyarakat lain ketika itu kencing berak pun tidak basuh. Lihatlah bagaimana banyak ayat-ayat dan hukum-hukum yang dikeluarkan yang mengajar umat Islam untuk menjaga kebersihan. Perkara-perkara itu tidak ada dalam agama lain.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 September 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment