Tafsir Surah Baqarah Ayat 154 – 155 (Kelebihan Mati di Jalan Allah)

Baqarah Ayat 154: Ayat ini menyentuh tentang jihad fi sabilillah. Allah telah sebut di dalam surah ini akan tetapi kemuncak perbincangan tentang jihad ada dijelaskan dengan lebih panjang di dalam Surah Tawbah.

Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah mula menyentuh bab Sabar. Oleh kerana sabar adalah perkara yang besar dan banyak peringkatnya, maka akan diterangkan tentang sabar dengan banyak dalam ayat-ayat seterusnya. Pertamanya, dalam ayat ini Allah ‎ﷻ terangkan sabar peringkat tertinggi iaitu ketika perang.

وَلا تَقولوا لِمَن يُقتَلُ في سَبيلِ اللَّهِ أَموٰتٌ ۚ بَل أَحياءٌ وَلٰكِن لّا تَشعُرونَ

Sahih International

And do not say about those who are killed in the way of Allah , “They are dead.” Rather, they are alive, but you perceive [it] not.

Malay

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

 

وَلَا تَقُولُوا

Jangan sekali-kali kalian berkata,

Janganlah kamu salah sangka dengan mengatakan perkara yang silap dalam pandangan kamu. Kena belajar untuk melihat dengan ilmu, bukan dengan pandangan sendiri sahaja. Apa yang kamu nampak dengan mata tidak semestinya benar kerana pandangan mata kita adalah terhad.

 

لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوٰتٌ

kepada sesiapa yang terbunuh di jalan Allah itu telah mati;

Mereka tidak mati, tapi hidup sebenarnya. Mereka memanglah mati tapi bukanlah mati yang biasa. Kerana harta-harta mereka tetapi difaraidkan dan isteri mereka boleh dinikahi oleh lelaki lain. Jadi kalau tidak boleh kata mereka mati, apa kita hendak kata? Katakanlah yang mereka itu syahid.

Akan tetapi mati syahid itu ada banyak jenis. Bukan hanya mati di medan perang sahaja. Mungkin ramai yang sangka hanya mati di medan perang sahaja mati syahid. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (653)

Akan tetapi di dalam ayat ini dimaksudkan mati syahid yang jenis mati di medan perang iaitu jihad فِي سَبِيلِ اللَّهِ. Ia dinamakan سَبِيلِ اللَّهِ kerana jalan itu Allah yang pilih dan suruh kita ikut dan kalau kita ikut, maka ia akan membawa kepada Allah. Maka kerana itu jalan itu dinisbahkan kepada Allah. Terlalu banyak ganjaran yang ditawarkan kepada mereka yang mati syahid itu. Antaranya disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Sabda Rasulullah SAW:

للشهيد عند الله ست خصال: يُغفر له في أول دَفعة ويَرى مقعده من الجنة، ويجار من عذاب القبر، ويأمن من الفزع الأكبرِ، ويوضع على رأسه تاج الوقار؛ الياقوتة منها خير من الدنيا وما فيها، ويزوج اثنتين وسبعين زوجة من الحورِ العِين، ويشفّع في سبعين من أقاربه
“Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 1) Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya di dalam syurga, 3) dilindungi dari azab kubur, 4) terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya”.

Maka di dalam ayat ini kita diajar supaya jangan takut berjihad di jalan Allah kerana orang yang terbunuh itu tidak mati sebenarnya, malah hidup selama-lamanya. Cara bagaimana mereka hidup, kita tidak tahu. Yang kita tahu, mereka itu ada yang hendak pulang ke dunia lagi kerana hendak berjihad lagi di jalan Allah ‎ﷻ. Ini disebut dalam hadith. Ianya sebuah hadith riwayat Jabir RA. Jabir kesedihan kerana ayahnya telah mati syahid maka Rasulullah menghiburkannya dengan memberitahu tentang ayahnya:

قَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَا جَابِرُ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ أَحْيَا أَبَاكَ، فَقَالَ لَهُ: تَمَنَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: أُرَدُّ إِلَى الدُّنْيَا، فَأُقْتَلُ مَرَّةً أُخْرَى، فَقَالَ: إِنِّي قَضَيْتُ، أَنَّهُمْ  إِلَيْهَا لَا يُرْجَعُونَ
Telah berkata kepadaku Rasulullah ﷺ: Wahai Jabir! Adakah kamu tidak mengetahui bahawa Allah ‘azza wa jal telah menghidupkan ayahmu dan berfirman kepadanya: “Mohonlah kepada-Ku”. Lantas ayahmu berkata: “Kembalikanlah diriku ke dunia hingga aku terbunuh (dalam jihad fi sabilillah) sekali lagi. Maka Allah berfirman: “Aku telah memutuskan bahawa mereka (yang telah mati) tidak akan kembali lagi ke dunia.”
Riwayat Ahmad (14881). Komentar Syeikh Syu’aib al-Arnout: Sanad-sanadnya hasan.

Dalam ayat sebelum ini, dinasihatkan kepada umat Islam untuk bersabar. Antara sabar yang paling kuat diperlukan adalah apabila orang yang kita sayangi mati. Antaranya, mereka yang mati semasa berperang di jalan Allah ‎ﷻ. Ini adalah kelebihan jihad yang sangat banyak kelebihannya,  dan antara amalan yang paling baik seperti disebut di dalam hadis,

 عَنْ عَبْدِ اللّه بن مَسْعُودٍ رضي اللّه عنه قال: ” سَأَلْتُ رَسُولَ اللّه صَلَّى اللّه عَلَيْهِ وَسلَّمَ: أَي الْعَمَلِ أَحَبُّ إلى اللّه؟ قال: ” الصَّلاةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” بِرُّ الْوالِدَيْنِ “. قُلْتُ: ثُمَّ أيٌّ ؟ قال: ” الجِهَادُ في سَبِيلِ اللّه ” – رواه البخاري
Daripada Abdullah Ibn Mas’ud رضي الله عنه dia berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai?’ Baginda menjawab, “Salat pada waktunya”. ‘Kemudian apa?’ kataku. Baginda menjawab, “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’. Baginda menjawab, “Jihad di jalan Allah ﷻ.”
(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari)

Akan tetapi jihad itu mestilah فِي سَبِيلِ اَللَّهِ iaitu untuk menegakkan kalimah Allah. Kerana kalau selain darinya, itu tidak tidak dipanggil jihad fi sabilillah. Ini seperti disebut di dalam satu hadis, riwayat daripada Abu Musa R.A, beliau berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَقَالَ الرَّجُلُ: يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلذِّكْرِ، وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ، فَمَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ العُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Ada lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Ada seorang lelaki yang berperang untuk memperoleh harta rampasan perang, ada juga seorang lelaki yang berperang kerana ingin disebut-sebut namanya, dan ada juga seorang lelaki yang berperang kerana ingin dipandang tinggi (dilihat kepahlawanannya), siapakah yang berada di jalan Allah?’ Baginda bersabda: ‘Barangsiapa yang berperang agar kalimah Allah menjadi yang paling tinggi, maka dia berada di jalan Allah’.”
Riwayat al-Bukhari (2810) dan Muslim (1904)

Di dalam hadis yang lain riwayat dari Anas bin Malik Radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

عن أنس بن مالك رضي الله عنه عن النبي- صلى الله عليه وسلم- قال: «لَغَدْوَةٌ فِي سَبِيلِ الله أَوْ رَوْحَةٌ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا». متفق عليه
“Pergi untuk berjihad di jalan Allah atau pulang darinya lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Muttafaq ‘alaih)

Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang mereka yang mati semasa berjihad di jalan Allah ‎ﷻ mereka tidak mati biasa. Mereka sebenarnya hidup di alam barzakh. Ia adalah Kehidupan Khas. Mereka terus dihantar ke syurga untuk menikmati nikmat di dalam syurga itu. Sebelum Pembicaraan di Mahsyar lagi mereka telah dapat nikmat. Ini adalah kelebihan bagi orang yang Mati Syahid. Tapi tidaklah mereka itu hidup untuk mendengar doa-doa manusia pula seperti kata golongan sesat. Mereka itu memanglah hidup tapi bukanlah hidup seperti kita sekarang. Jangan buat andaian sendiri pula. Bayangkan bayi di dalam perut ibunya, pun hidup juga, bukan? Adakah hidupnya sama seperti hidup kita di dunia juga? Tentulah tidak.

Oleh itu, sabar dalam ayat ini adalah sabar atas kematian. Lebih-lebih lagi kalau kematian itu melibatkan orang yang kita kasihi. Sebaik-baik kasih adalah kasih seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain. Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini kepada seorang mukmin yang lain, maka sabar padanya adalah sabar yang paling tinggi.

Sahabat paling sedih apabila Nabi ﷺ wafat. Begitu juga, apabila ada kematian daripada kalangan sahabat, Allah ‎ﷻ mengajar mereka untuk bersabar kerana mereka amat bersedih. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

 

بَلْ أَحْيَاءٌ

Bahkan mereka itu sebenarnya hidup

Pada waktu ayat ini diturunkan, orang-orang Islam belum lagi berperang dengan orang kafir. Belum Perang Badr lagi pun tetapi Allah ‎ﷻ sudah mengingatkan mereka bahawa kalau mereka mati, mereka akan dapat kelebihan yang amat banyak. Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka untuk bersedia.

Bahkan mereka bukan sahaja hidup tetapi sentiasa diberi rezeki oleh Allah seperti disebut di dalam Ali Imran:169

وَلا تَحسَبَنَّ الَّذينَ قُتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَل أَحياءٌ عِندَ رَبِّهِم يُرزَقونَ
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

Lihatlah mereka itu يُرزَقونَ iaitu mereka diberi rezeki tanpa dicari-cari lagi. Berbeza dengan kita sekarang yang susah payah mencari sesuap nasi setiap hari dan risau kalau ada masalah kewangan sebab tidak tahu esok lusa macam mana. Kerisauan ini tidak ada lagi bagi orang yang mati syahid.

Bermacam tafsir ahli tafsir tentang makna hidupnya orang yang terbunuh dalam menegakkan jalan Allah itu. Kata setengahnya, walaupun badannya telah hancur dalam kubur namun namanya tetap hidup. Namanya itu memberikan ilham atau inspirasi kepada pejuang yang meneruskan cita-citanya dan perjuangannya. Kata setengahnya pula, badannya yang mati, namun fikiran dan citanya, terus hidup. Kerana apalah erti hidup kalau bukan kerana cita-cita? Jasmaninya hilang namun isi citanya terus hidup dan dilanjutkan oleh yang datang di belakang. Bukankah manusia itu datang silih berganti, dan yang mereka perjuangkan ialah cita-cita yang tidak pernah mati? Akan tetapi kita lebih senang mengatakan yang mereka itu memang hidup di alam lain dan hal ini dijelaskan lagi di dalam satu hadis,

عَنْ مَسْرُوقٍ قَالَ سَأَلْنَا عَبْدَ اللَّهِ عَنْ هَذِهِ الْآيَةِ { وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ } قَالَ أَمَا إِنَّا قَدْ سَأَلْنَا عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ أَرْوَاحُهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ لَهَا قَنَادِيلُ مُعَلَّقَةٌ بِالْعَرْشِ تَسْرَحُ مِنْ الْجَنَّةِ حَيْثُ شَاءَتْ ثُمَّ تَأْوِي إِلَى تِلْكَ الْقَنَادِيلِ فَاطَّلَعَ إِلَيْهِمْ رَبُّهُمْ اطِّلَاعَةً فَقَالَ هَلْ تَشْتَهُونَ شَيْئًا قَالُوا أَيَّ شَيْءٍ نَشْتَهِي وَنَحْنُ نَسْرَحُ مِنْ الْجَنَّةِ حَيْثُ شِئْنَا فَفَعَلَ ذَلِكَ بِهِمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَلَمَّا رَأَوْا أَنَّهُمْ لَنْ يُتْرَكُوا مِنْ أَنْ يُسْأَلُوا قَالُوا يَا رَبِّ نُرِيدُ أَنْ تَرُدَّ أَرْوَاحَنَا فِي أَجْسَادِنَا حَتَّى نُقْتَلَ فِي سَبِيلِكَ مَرَّةً أُخْرَى فَلَمَّا رَأَى أَنْ لَيْسَ لَهُمْ حَاجَةٌ تُرِكُوا
Dari Masruq dia berkata, “Kami pernah bertanya kepada Abdullah perihal ayat ini: ‘(Dan janganlah kalian mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu (memang) mati, akan tetapi sebenarnya mereka itu hidup di sisi Rabb mereka dan diberi rezeki (yang melimpah) ‘ (Ali Imran: 169) Dia berkata, “Kami dulu pernah menanyakan hal itu, dan beliau menjawab: “Roh mereka berada di dalam rongga burung hijau yang mempunyai banyak pelita yang bergantungan di ‘Arsy, dia dapat keluar masuk syurga sesuka hati kemudian beristirehat lagi di pelita-pelita itu, kemudian Rabb mereka melihat mereka seraya berkata: ‘Apakah kalian menginginkan sesuatu? ‘ Mereka menjawab, ‘Apa lagi yang kami inginkan kalau kami sudah dapat keluar masuk ke syurga sesuka hati kami? ‘ Lalu Allah terus mengulangi pertanyaan itu hingga tiga kali. Ketika mereka melihat kalau mereka tidak akan ditinggalkan sebelum menjawab pertanyaan itu, maka mereka pun menjawab, ‘Duhai Rabb, kami menginginkan roh kami dikembalikan lagi ke jasad kami hingga kami dapat berperang lagi di jalan-Mu untuk kesekian kalinya.’ Ketika Allah melihat kalau mereka tidak lagi meminta sesuatu, akhirnya mereka ditinggal pergi.”
Sahih Muslim (3500)

Oleh kerana kehidupan mereka itu di alam ghaib, maka kita tidak boleh tahu dengan sebenarnya melainkan sebagaimana yang Rasulullah sebut di atas. Jangan kita menambah-nambah pula dengan akal kita keadaan mereka kerana kita sendiri tidak pernah mengalaminya. Maka apabila dikatakan mereka itu hidup, bukanlah hidup mereka itu seperti yang kita faham. Kehidupan itu banyak jenis. Contohnya, bayi yang dalam perut ibu itu sudah hidup, tetapi adakah hidup mereka sama dengan hidup kita? Tentu tidak, bukan? Maka jangan kita sangka hidupnya mereka yang mati syahid itu seperti hidup kita sekarang.

Ada yang buat andaian salah bahawa wali-wali yang telah mati itu boleh hidup semula dan menolong mereka yang di dunia. Oleh kerana salah faham tentang ayat ini, ada yang melakukan perkara yang syirik. Seperti pengikut ajaran Arqam (yang masih lagi bergerak lagi sekarang) – mereka mengatakan bahawa Abuya Asyaari masih hidup lagi dan boleh memberi bantuan kepada mereka. Mereka dikatakan sampai meminta pertolongan kepada beliau untuk memberikan rezeki kepada mereka. Ini dan banyak lagi fahaman Sufi Tarekat yang mengarut kerana mereka tafsir sendiri ayat-ayat Al-Qur’an ikut kehendak akal mereka. Kita kena basmi puak-puak sebegini dengan menjalankan projek memandaikan umat dengan ilmu. Kerana selagi ilmu sunnah tidak disampaikan kepada masyarakat, maka akan keluar fahaman mengarut sahaja dari mereka.

 

وَلَٰكِنْ لَّا تَشْعُرُونَ

sedangkan kamu tidak merasa bahawa mereka itu hidup.

Kita tidak sedar bahawa mereka itu hidup kerana mereka telah dibawa terus ke syurga. Kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak hidup di alam barzakh.

Orang-orang yang mati syahid itu, sebelum darah mereka menitis jatuh ke tanah, dosa mereka semua sekali telah diampunkan. Mereka akan dimasukkan ke syurga terus. Mereka hanya keluar balik apabila telah kiamat dan makhluk akan dibicarakan.

Nanti bila Mahkamah Allah dimulakan, mereka akan dipanggil oleh malaikat untuk keluar sekejap untuk dibacakan amalan perbuatan mereka semasa di dunia. Kemudian, mereka akan dimasukkan balik ke syurga untuk menyambung nikmat di syurga. Daripada Ka’ab bin Malik رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّمَا نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Sesungguhnya roh orang mukmin berterbangan di pohon Syurga sehingga Allah membangkitkannya ke dalam jasadnya pada hari Kiamat”.
[Riwayat al-Nasa’ie (2073)] akan tetapi hadis ini dhaif

Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan itu. Semasa dipanggil itu, mereka rasa mereka duduk di syurga sekadar waktu salat sunat Subuh dua rakaat sahaja. Itu adalah salat paling ringkas yang Nabi ﷺ lakukan.

Maknanya, nikmat yang terlalu banyak yang mereka terima, sampaikan mereka rasa sekejap sahaja mereka nikmati. Padahal, mungkin mereka telah duduk di syurga itu selama beberapa ribu tahun. Kita pun tidak tahu bagaimana keadaan di sana dan bagaimana masa berbeza dengan masa sekarang. Ini adalah kerana kalau kita sedang menikmati keadaan yang menggembirakan, kita selalu rasa sekejap sahaja, bukan?


 

Baqarah Ayat 155: Ini pula adalah sabar peringkat biasa yang dialami oleh sesiapa sahaja di dunia ini.

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِّنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِّنَ الأَموٰلِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرٰتِ ۗ وَبَشِّرِ الصّٰبِرينَ

Sahih International

And We will surely test you with something of fear and hunger and a loss of wealth and lives and fruits, but give good tidings to the patient,

Malay

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

 

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ

Dan Kami pasti akan menguji kalian

Pasti Allah ‎ﷻ akan beri ujian. Inilah kehidupan dunia. Ia pasti akan berlaku dan kerana itulah Allah gunakan bentuk kalimah وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ dengan tiga huruf tauhid (penegasan) di dalamnya. Pertama و sebagai sumpah kerana ia adalah والله dan kemudian ada ل taukid dan kemudian ada syaddah pada huruf ن itu. Jadi kita kena sedar yang pasti akan berlaku di dalam kehidupan kita ini. Maka jangan hairan apabila ujian datang kerana ia adalah pasti. Allah ‎ﷻ sudah janjikan siap-siap kerana dunia ini memang tempat ujian. Jadi tidak perlu hendak mengadu sangat kepada orang lain kalau ada banyak dugaan kerana memang dunia ini adalah tempat ujian. Maka bersedia sahaja lah.

Lagi satu kita tahu yang ujian bukanlah kerana kesalahan kita sahaja. Orang mukmin dan para Nabi juga diuji kerana dunia adalah tempat ujian. Maka jangan kita kata kepada orang yang ditimpa malang: “ini sebab kau banyak dosa lah ni….” Siapa kita yang boleh kata begitu sedangkan Allah memang akan kenakan ujian kepada semua orang.

 

بِشَيْءٍ

dengan sesuatu;

Allah ‎ﷻ akan uji kita dengan berbagai sahaja cara untuk membezakan mana hamba yang ada sifat sabar dan tidak. Begitulah, macam-macam ujian akan Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia. Sebagai contoh, ada niat sahaja hendak mengikut sunnah, hendak dakwah kepada orang lain, maka akan terus diberikan ujian. Antaranya akan digelar Wahabi, ejen Zionis dan sebagainya. Ejen Coway sahaja mereka tidak tuduh kita lagi.

Macam-macam lagi cara manusia diuji. Ada yang ringan sahaja, dan ada yang agak teruk. Ini adalah rezeki masing-masing. Kalau kita bersabar dengan ujian itu, kita akan mendapat pahala. Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sebut tentang ujian kematian. Kali ini, ujian yang kurang sedikit dari kematian. Kerana itu Allah gunakan kalimah بِشَيْءٍ yang bermaksud sedikit. Kerana kalau diberi lagi dengan ujian yang berat-berat, tentulah jatuh terduduk kita rasa, bukan? Namun ujian hidup itu masih lagi banyak dan ada ramai yang terkandas dengan ujian ini. Dan walaupun ia sedikit, tapi balasan kepada orang yang sabar dengan dugaan itu sangatlah besar.

 

مِّنَ الْخَوْفِ

dari jenis ketakutan;

Antaranya Allah uji kita dengan situasi yang boleh menyebabkan kita jadi takut. Seperti pejuang agama yang diuji bertembung dengan musuh yang boleh menyebabkan kematian. Kalau sedang jihad perang itu, mereka takut dengan musuh yang ramai. Kalau dalam keadaan biasa, ada sahaja takut kita, bukan? Takut dengan isteri, takut dengan bos, takut orang pukul kita, takut penyakit berjangkit dan sebagainya. Yang berlaku di zaman Nabi ialah ancaman orang musyrik dari kota Makkah, ancaman kabilah-kabilah Arab dari luar kota Madinah yang selalu bermaksud hendak menyerang Madinah, ancaman fitnah orang Yahudi yang selalu mengintai kesempatan dan ancaman orang munafik, dan ancaman bangsa Rum yang berkuasa di utara waktu itu.

Bagaimana pula dengan kita sebagai pendakwah dan penegak kalimah Tauhid ini? Dalam situasi kita yang tidak berperang ini, ia boleh bermaksud takut hendak memberitahu kepada orang tentang tauhid ini. Takut orang kata kita gila, kata kita sesat, tidak mahu terima dan sebagainya. Padahal, bukan boleh menyebabkan kematian pun, kudis pun tak jadi. Malangnya ramai yang takut dengan kata-kata manusia, setakat orang gelar kita Wahabi pun sudah kelam kabut, padahal itu kata-kata manusia sahaja. Buat apa hendak kisahkan dengan kata-kata orang jahil? Namun begitulah, hendak cerita dan tegur amalan bid’ah orang pun susah dan berat sangat mulut. Macam rasa hendak mati pun ada. Inilah ujian yang Allah berikan kepada kita.

 

وَالْجُوعِ

dan kelaparan;

Keduanya, ujian dengan lapar. Kadang-kadang kita takut tidak cukup makan. Lapar yang dimaksudkan adalah ketika makanan tidak ada. Setiap hari kita lapar tapi ada sahaja makanan tapi bagaimana kalau makanan tidak ada? Atau makanan ada tapi kita tidak mampu membelinya? Atau kita makanan ada tapi kita tidak boleh makan kerana kesihatan kita tidak baik. Begitulah kelaparan adalah salah satu ujian yang Allah berikan kepada kita. Kalau duduk kampung tempat kita tinggal, memang jarang lapar sebab makanan sentiasa ada. Namun kalau dalam musafir akan selalu bertemu dengan kelaparan. Lebih-lebih kepada para pejuang dan penyebar dakwah. Hendak keluar dari tempat tinggal yang kita selesa untuk berjihad dan menyebarkan dakwah memang mencabar.

Rasulullah dan para sahabat telah mengalami ujian kelaparan ini seperti banyak disebut di dalam hadis, antaranya,

Daripada Aisyah R.anha berkata:

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْذُ قَدِمَ الْمَدِينَةَ مِنْ طَعَامِ الْبُرِّ ثَلَاثَ لَيَالٍ تِبَاعًا حَتَّى قُبِضَ
“Sejak datang ke Madinah sehingga sampai saat Baginda SAW wafat, keluarga Nabi Muhammad SAW tidak pernah memakan roti dari tepung gandum sehingga kenyang selama tiga hari berturut-turut.”
[Riwayat al-Bukhari (5416) dan Muslim (2970)]

Daripada Abu Hurairah RA berkata:

خَرَجَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ – أَوْ لَيْلَةٍ – فَإِذَا هُوَ بِأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ، فَقَالَ: مَا أَخْرَجَكُمَا مِنْ بُيُوتِكُمَا هَذِهِ السَّاعَةَ؟ قَالَا: الْجُوعُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: وَأَنَا، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَأَخْرَجَنِي الَّذِي أَخْرَجَكُمَا، قُومُوا، فَقَامُوا مَعَهُ، فَأَتَى رَجُلًا مِنَ الْأَنْصَارِ فَإِذَا هُوَ لَيْسَ فِي بَيْتِهِ، فَلَمَّا رَأَتْهُ الْمَرْأَةُ، قَالَتْ: مَرْحَبًا وَأَهْلًا، فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيْنَ فُلَانٌ؟ قَالَتْ: ذَهَبَ يَسْتَعْذِبُ لَنَا مِنَ الْمَاءِ، إِذْ جَاءَ الْأَنْصَارِيُّ، فَنَظَرَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَاحِبَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ مَا أَحَدٌ الْيَوْمَ أَكْرَمَ أَضْيَافًا مِنِّي، قَالَ: فَانْطَلَقَ، فَجَاءَهُمْ بِعِذْقٍ فِيهِ بُسْرٌ وَتَمْرٌ وَرُطَبٌ، … قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَبِي بَكْرٍ، وَعُمَرَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتُسْأَلُنَّ عَنْ هَذَا النَّعِيمِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُيُوتِكُمُ الْجُوعُ، ثُمَّ لَمْ تَرْجِعُوا حَتَّى أَصَابَكُمْ هَذَا النَّعِيمُ
“Satu malam Rasulullah SAW keluar dari rumah lalu bertemu dengan Abu Bakar dan Umar. Lalu beliau bertanya: “Mengapa kamu semua keluar dari rumah malam sebegini?.” Mereka menjawab: Kami lapar wahai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku juga keluar disebabkan alasan yang sama seperti kamu. Marilah!” Mereka mengikuti Nabi SAW ke rumah salah seorang sahabat Ansar. Akan tetapi, beliau tiada di rumah pada waktu itu. Apabila isterinya melihat Nabi SAW, dia mengucapkan: Selamat datang. Rasulullah SAW bertanya kepada isterinya: Di manakah fulan (suaminya)? Isterinya menjawab: Sedang keluar mengambil air. Tiba-tiba orang Ansar (suami wanita tersebut) itu muncul sambil berkata: Alhamdulillah, tidak ada pada hari ini yang lebih membahagiakan aku melainkan  disebabkan kedatangan tetamu yang mulia. Beliau terus beredar untuk mengambil setandan kurma, di antaranya ada yang sudah mula masak, telah masak dan muda … (Setelah menikmati hidangan) Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar: “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu akan ditanya tentang hal ini (tentang nikmat pada malam ini) di hari Kiamat kelak, apa yang membuatkan kamu keluar dari rumah adalah disebabkan rasa lapar. Kemudian kamu tidak pulang ke rumah sehinggalah kamu diberikan dengan nikmat ini daripada Allah.”
[Riwayat Muslim (2038)]

Dan jangan lupa kisah kesusahan dan kelaparan para sahabat ketika Perang Khandaq,

أَنَسًا ـ رضى الله عنه ـ يَقُولُ خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْخَنْدَقِ فَإِذَا الْمُهَاجِرُونَ وَالأَنْصَارُ يَحْفِرُونَ فِي غَدَاةٍ بَارِدَةٍ، فَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ عَبِيدٌ يَعْمَلُونَ ذَلِكَ لَهُمْ، فَلَمَّا رَأَى مَا بِهِمْ مِنَ النَّصَبِ وَالْجُوعِ قَالَ اللَّهُمَّ إِنَّ الْعَيْشَ عَيْشُ الآخِرَهْ فَاغْفِرْ لِلأَنْصَارِ وَالْمُهَاجِرَهْ‏.‏ فَقَالُوا مُجِيبِينَ لَهُ نَحْنُ الَّذِينَ بَايَعُوا مُحَمَّدًا عَلَى الْجِهَادِ مَا بَقِينَا أَبَدًا
Anas رضى الله عنه berkata: Dia keluar. Rasulullah صلى الله عليه وسلم pergi ke parit dan melihat Muhajirin dan Ansar sedang menggali pada pagi yang dingin. Mereka tidak mempunyai hamba untuk melakukannya. Apabila baginda melihat kesusahan dan kelaparan mereka, baginda berkata, “Ya Allah, kehidupan ini adalah kehidupan akhirat, maka ampunilah orang-orang Ansar dan Muhajirin.” Mereka berkata, menjawabnya: Kami adalah orang-orang yang membaiat Muhammad untuk berjihad selama kami masih hidup.

Sahih Bukhari (2834)

Kelaparan ini berkait juga dengan kewangan. Ramai yang zaman sekarang takut hendak sebut tentang kesalahan yang masyarakat lakukan. Kalau ustaz yang mengajar, takut sungguh hendak beritahu amalan salah anak murid. Takut anak murid tidak panggil mengajar lagi, hilang punca pendapat (sampul putih). Maka kesilapan dan amalan bid’ah anak murid masyarakat, disenyapkan sahaja.

 

وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوٰلِ

dan kekurangan dari harta benda;

Kalau hendak berjihad zaman dahulu para sahabat kena mengeluarkan duit sendiri. Bukan kerajaan Islam bagi duit untuk mereka berjihad. Mereka bukan kena cari duit untuk pergi berjihad sahaja, tetapi mereka juga kena tinggalkan sedikit duit untuk anak isteri sebagai bekalan. Maka ini memang memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Apabila sudah mula pergi berjihad, hendak berniaga pun sudah tidak boleh. Kalau yang bercucuk tanam, sudah tidak boleh menjaga hasil tanaman lagi sebab kena tumpukan kepada peperangan. Ingatlah betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh para sahabat رضي الله عنهم dahulu.

Bagaimana dengan kita? Kadang-kadang kita diuji dengan ujian infak harta. Infak harta memang dituntut dalam agama. Hendak bina masjid, berdakwah, jihad, musafir, tolong orang lain dan macam-macam lagi memerlukan infak. Tentu berlaku kekurangan harta sekali sekala. Tapi infak perlu juga tetap dijalankan kerana ramai yang memerlukan, dakwah juga perlu terus dijalankan. Namun kerana ujian ini, ramai yang gagal dan simpan duit kerana syaitan akan menakut-nakutkan kita dengan ancaman jatuh miskin kalau infak.

 

وَالْأَنْفُسِ

dan (kekurangan) jiwa-jiwa;

Maksudnya adalah kematian. Ada suami  yang mati, anak mati, kawan-kawan yang rapat kita mati dan lain-lain lagi. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dalam Perang Uhud kehilangan bapa saudara yang dicintainya Hamzah bin Abdul Muthalib. Kematian biasa sahaja sebenarnya tapi ia meninggalkan kesan yang hebat kepada kita kerana kita tahu yang kita tidak akan berjumpa lagi dengan orang itu. Dan kematian yang banyak sekaligus adalah ketika berjihad. Ada sahabat Rasulullah yang mati terbunuh dalam medan jihad. Maknanya, para sahabat رضي الله عنهم dahulu berhadapan dengan ancaman mati dalam menegakkan agama Islam ini. Oleh itu amat malu kalau kita pula takut hendak sebut kesalahan masyarakat hanya kerana takut dikata macam-macam. Padahal, bukan boleh mengancam nyawa pun.

 

وَالثَّمَرٰتِ

dan buah-buahan;

Kerana tidak lagi mempunyai kebun-kebun yang luas, terutama pohon kurma, yang menjadi makanan pokok pada masa itu. Ada pendapat yang mengatakan الثَّمَرٰتِ di sini bermaksud penyakit. Sebagai contoh, penyakit hama kepada pokok-pokok. Mereka takut pokok yang mereka tanam itu akan sakit dan musnah apabila mereka tidak ada dalam berjihad. Madinah waktu itu adalah umat yang berasaskan pertanian jadi pertanian adalah satu industri yang penting bagi kelangsungan hidup mereka. Pernah semasa Perang Tabuk, mereka diduga dengan buah-buahan yang sudah hampir boleh dituai apabila panggilan peperangan sampai. Tiba-tiba mereka telah menerima arahan untuk perang dan ia adalah wajib kepada mereka kecuali orang tua, anak kecil dan wanita. Ia amat menduga kepada mereka kerana kalau mereka keluar berperang, sudah tentu apabila mereka pulang nanti, buah-buahan itu sudah jadi busuk kerana tidak dipetik. Kalau diharap kepada anak isteri pun tidak boleh kerana hanya lelaki sahaja yang boleh menuainya kerana ia adalah kerja berat.

Ada pula yang berpendapat الثَّمَرٰتِ di sini bermaksud ‘anak-anak‘ – kerana ada yang akan kehilangan anak. Anak-anak yang telah dibela sejak kecil dan menjadi pengarang jantung terpaksa dilepaskan untuk menyertai peperangan jihad. Ini bukan keputusan yang senang.

Kalau zaman sekarang, ini bermaksud melepaskan anak-anak untuk belajar agama. Ada yang takut kalau anak belajar agama kerana tidak tahu nanti hendak kerja apa. Kalau lepas untuk belajar ilmu keduniaan, ada kemungkinan akan dapat kerja bagus, bukan? Maka kena berkorban anak juga supaya ada kalangan kita yang pandai agama dan dapat teruskan usaha mendidik masyarakat.

Kemungkinan juga الثَّمَرٰتِ itu adalah isyarat kepada hasil daripada pelaburan mereka. Ini adalah dugaan dari sudut ekonomi. Ini bagi orang yang berniaga. Mereka sibuk menjaga perniagaan dan harta sampai tidak kisahkan agama dan dakwah. Sedangkan kalau kita menjadi pejuang agama, kita kena bahagikan masa untuk agama dan tidak 100% menjaga perniagaan.

 

وَبَشِّرِ الصّٰبِرِينَ

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang bersabar itu.

Ucapan tahniah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang dapat melepasi ujian-ujian yang telah disebut di atas. Telah disebut ujian yang berat-berat di atas kerana Allah ﷻ hendak kita bersedia. Semua itu besar kemungkinan memang akan berlaku maka Allah ‎ﷻ berikan motivasi dan ucapan tahniah kalau sanggup melepasi ujian-ujian itu. Ini adalah ucapan daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Tidakkah kita suka kalau dapat pujian dari Allah ‎ﷻ?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Disember 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment