Tafsir Surah Baqarah Ayat 144 (Kisah pertukaran kiblat)

ARAHAN MENGADAP MEKAH DALAM SOLAT

Baqarah Ayat 144: Ini adalah Ayat Tasliah, ayat untuk memujuk Nabi ﷺ. Nabi ﷺ telah menghadap ke Ka’bah apabila mula kena salat semasa di Mekah (ada pendapat lain yang mengatakan Nabi semasa di Mekah pun terus kena menghadap ke BaitulMaqdis). Tetapi apabila baginda dan para sahabat sudah berhijrah ke Madinah, mereka kena terus menghadap ke BaitulMaqdis. Semasa di Mekah, baginda boleh mengadap BaitulMaqdis dan Ka’bah di dalam masa yang sama. Akan tetapi baginda tidak boleh melakukannya lagi di Madinah kerana kedudukan sudah berlawanan.

Maka baginda taat, akan tetapi dalam hatinya baginda hendak sangat kembali menghadap ke Ka’bah kerana itulah kiblat Nabi Ibrahim عليه السلام. Oleh itu baginda selalu menunggu-nunggu turunnya wahyu memberi arahan untuk menghadap ke Ka’bah.

قَد نَرىٰ تَقَلُّبَ وَجهِكَ فِي السَّماءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبلَةً تَرضَٮٰهَا‌ ۚ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَحَيثُ ما كُنتُم فَوَلّوا وُجوهَكُم شَطرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ لَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّهِم ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمّا يَعمَلونَ

Sahih International

We have certainly seen the turning of your face, [O Muhammad], toward the heaven, and We will surely turn you to a qiblah with which you will be pleased. So turn your face toward al-Masjid al-Haram. And wherever you [believers] are, turn your faces toward it [in prayer]. Indeed, those who have been given the Scripture well know that it is the truth from their Lord. And Allah is not unaware of what they do.

Malay

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Ka’bah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Ka’bah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

 

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ

Sesungguhnya Kami selalu melihat muka kamu mendongak ke langit;

Dalam masa 16 atau 17 bulan yang orang Islam disuruh untuk menghadap BaitulMaqdis di dalam salat semasa di Madinah, Nabi ﷺ selalu mengangkat muka baginda menghadap ke langit. Tetapi baginda tidak bercakap apa-apa pun. Baginda mendongak ke langit itu sebenarnya dalam keadaan mengharap supaya Allah ‎ﷻ mengubah kiblat ke Baitullah. Baginda menunggu-nunggu keputusan dari Allah. Sebelum ini pun kita telah belajar tentang kelebihan Ka’bah, kisah Nabi Ibrahim membina Ka’bah dan sebagainya. Maka sudah ada indikasi untuk mengubah kiblat itu ke Ka’bah semula. Maka kerana itu Nabi berharap sangat supaya disegerakan. Dan mengapa baginda memandang ke langit? Kerana Allah di langit. Inilah akidah kita yang sebenarnya iaitu Allah di langit dan banyak sangat dalil terhadap perkara ini.

Kalimah قد adalah kalimah penekanan bagi perkara yang telah berlaku. Ada yang mentafsir قد di sini sebagai ‘sering’. Jadi قد نرى boleh bermaksud ‘Kami sering melihat’. Tapi ada juga yang menafsirkan قد sebagai ‘sesekali’. Maknanya Allah memberitahu sesekali Dia melihat Nabi Muhammad melihat-lihat ke langit. Apa pun antara dua maksud itu, yang jelasnya Allah memberitahu kita yang Dia tahu keinginan hati Nabi Muhammad tentang hal itu.

Kemudian ada kalimah نَرَىٰ (Kami melihat) iaitu di dalam bentuk fi’il mudhari’. Sedangkan kejadian ini berlaku di zaman dahulu. Allah gunakan kalimah ini di dalam bentuk present continuous tense kerana hendak memberi isyarat yang Allah selalu melihat Nabi Muhammad melihat-lihat ke langit mengharap ada keputusan dari Allah untuk mengubah kiblat ke Ka’bah. Namun baginda tidak berani meminta kepada Allah ‎ﷻ. Baginda tidak tergamak kerana kiblat waktu itu telah disyariatkan oleh Allah ‎ﷻ. Jadi baginda tidak mahu mendesak Allah ﷻ untuk mengubahnya. Tetapi baginda sangat sayangkan Baitullah kerana ia adalah kiblat dari zaman Nabi Ibrahim عليه السلام lagi. Maka baginda hanya memandang ke langit sahaja dengan penuh pengharapan.

Kenapa disebut Allah melihat wajah Nabi, sedangkan kalau melihat tentulah dengan mata, bukan? Ini adalah isyarat kepada keseluruhan diri Nabi Muhammad berharap Allah mengubah kiblat itu termasuk hati baginda sekali. Ini adalah kebiasaan bahasa yang digunakan oleh Al-Qur’an di mana wajah menggambarkan keseluruhan diri seseorang.

Mengikut salah satu pendapat, semasa baginda di Mekah, memang sudah kena menghadap ke BaitulMaqdis dalam salat. Tetapi semasa di sana, boleh lagi baginda menghadap ke arah Ka’bah dan BaitulMaqdis dalam masa yang sama kerana baginda boleh duduk dalam posisi mengadap kedua-duanya. Tetapi apabila berada di Madinah tidak boleh lagi berbuat begitu, maka baginda amat terasa perbezaan itu. Di Madinah, baginda terpaksa membelakangkan Ka’bah dalam salat baginda.

Maka ayat ini menunjukkan hubungan yang rapat antara Allah ‎ﷻ dan Nabi Muhammad ﷺ. Macam emak kita, tengok muka kita pun sudah tahu kita ada masalah. Tentu Allah ﷻ lebih kenal baginda lagi. Nabi ﷺ tidak perlu bercakap apa-apa pun tetapi Allah ‎ﷻ sudah memberikan apa yang baginda hendak. Kalau dibandingkan dengan apa yang diberikan kepada Nabi Musa عليه السلام, ia diberikan selepas Nabi Musa عليه السلام memohon kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi dalam kes Nabi Muhammad ﷺ tentang kiblat ini, Nabi ﷺ tidak memohon dengan lafaz pun, tetapi Allah ‎ﷻ sudah beri.

 

فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرضَٮٰهَا‌ۚ

Maka Kami pindahkan kamu arah kiblat ke arah yang engkau redhai;

Allah ‎ﷻ sempurnakan hajat Nabi Muhammad ﷺ. Dan selepas Allah ‎ﷻ sempurnakan hajat baginda, maka turunlah ayat perlaksanaan pula, iaitu ayat ini. Ulama’ tafsir khilaf bilakah ayat ini diturunkan. Salah satu pendapat adalah ianya turun semasa salat Asar di Masjid Qiblatain (Masjid dengan dua kiblat iaitu Masjid Quba’). Memang masjid itu adalah antara tempat elok untuk diziarahi. Dipanggil Qiblatain kerana ada dua qiblat pada masjid itu. Ada hadith berkenaan penukaran kiblat ini yang kita syarahkan di bawah ini nanti. Malah ada kelebihan solat di Masjid Quba’ itu dan kerana itu kalau ke Madinah, kena cari peluang untuk selalu solat di sana kerana ada kelebihan tertentu.

Sahl ibn Hunaif RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءٍ فَصَلَّى فِيهِ صَلاَةً كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ
Sesiapa yang bersuci di rumahnya, dan datang ke masjid Quba’ kemudian solat, maka pahalanya seumpama pahala mengerjakan umrah.
Riwayat Ibn Majah (1412)

Semasa diberikan arahan tukar kiblat itu, sahabat telah berpusing dalam salat untuk mengubah arah kiblat. Kerana penukaran kiblat itu terjadi semasa mereka sedang salat. Bila turun sahaja ayat mengarahkan untuk menukar kiblat, Nabi ﷺ terus berpusing dan sahabat terus ikut. Nabi ﷺ yang ada di hadapan sebagai imam terus jadi berdiri di belakang setelah terjadi pemusingan itu. Manakala sahabat yang sudah salat itu, pergi ke masjid lain dan laungkan kepada orang lain yang sedang salat bahawa qiblat telah berpindah. Maka, yang dalam masjid dan sedang salat itu pun berpusing juga. Selepas berpusing itu, mereka kena bergerak dalam kadar yang jauh untuk memperbetulkan kembali saf. Ini menjadi dalil bahawa tidak salah kalau bergerak banyak dalam solat jikalau ada keperluan. Tidak terhad kepada tiga pergerakan seperti yang difahami oleh orang kita.

Dalam perkataan فَلَنُوَلِّيَنَّكَ itu, menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ mengubah kiblat itu kerana Nabi ﷺ. Ini kerana amat kasihnya Allah ‎ﷻ kepada baginda. Kerana itu ayat ini Allah berfirman mengadap قِبْلَةً تَرضَٮٰهَا‌ dan bukannya disebut Ka’bah. Kerana kalau sebut Ka’bah sahaja, itu biasa sahaja. Tapi apabila Allah menyebut قِبْلَةً تَرضَٮٰهَا‌, ia menekankan yang Allah memuaskan hati Nabi  yang memang mahukan kiblat ke Ka’bah. Begitulah kalau kita buat apa yang isteri kita suka, itu tanda kita sayang kepada isteri kita itu, bukan? Maka begitulah Allah dengan Nabi Muhammad. Maka kalau kita hendak Allah sayang kita, maka hendaklah kita ikut amalan Nabi Muhammad. Begitulah firman Allah di dalam Ali Imran:31

قُل إِن كُنتُم تُحِبّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعوني يُحبِبكُمُ اللَّهُ وَيَغفِر لَكُم ذُنوبَكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ رَّحيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Maka hadapkanlah wajah kamu (dalam solat) ke arah Masjidilharam;

Ini adalah ayat perintah yang diberikan kepada Nabi Muhammad untuk menukar kiblat. Maka jadilah baginda Nabi yang mempunyai dua kiblat dan tidak akan ada lagi yang sebegitu. Baginda telah bersabda,

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمْ يَبْقَ مِمَّنْ صَلَّى الْقِبْلَتَيْنِ غَيْرِي
Dari Anas radiallahuanhu dia berkata; ‘semua orang yang pernah salat menghadap dua kiblat sudah tiada kecuali aku.’
Sahih Bukhari (4129)

Agama lain kata kita menyembah batu. Jangan kita mengiyakan kata-kata mereka kerana kerana kalau kita buat begitu, kita jadi kufur sebab kita iktikad sembah batu. Padahal kita menghadap ke arah Masjidil Haram itu adalah kerana kita diperintah oleh Allah ‎ﷻ untuk menghadap ke arah itu.

Perhatikan Allah suruh kita mengadap ke arah الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ sedangkan kiblat sebenarnya adalah Ka’bah. Kalau kita berada di hadapan Ka’bah senanglah kita menghadapnya, akan tetapi bagaimana kalau jauh? Kerana itu Allah memudahkan kita dengan tidak menyatakan Ka’bah akan tetapi ke arah الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ. Dan perhatikan juga kalimah شَطْرَ yang digunakan. Ini juga untuk memudahkan umat Islam dalam solat. Kalimah شَطرُ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘ke arah‘. Katadasar: ش ط ر yang bermaksud bahagi dua, arah. Jadi kita tidaklah perlu kena tepat betul-betul ke arah Ka’bah atau الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ itu asalkan ke arahnya sahaja.

Kalimah الْحَرَامِ di dalam الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ini pun perlu dijelaskan, takut ada sangka ia sama dengan istilah haram yang tidak boleh dilakukan. Kalimah الحَرَام adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘suci‘. Ia dari katadasar ح ر م yang bermaksud melarang, menahan, menegah, mengisytiharkan sesuatu sebagai suci (seperti Tanah Haram).

Dalam hukum Feqah, menghadap kiblat adalah syarat sah salat sahaja, bukan rukun salat. Sebab itu ada waktu salat tidak hadap ke kiblat pun, macam salat waktu perang (Solat Khauf). Atau dalam musafir – kita duduk atas sampan, dan mungkin sampan itu berpusing dan kita tidak mengadap kiblat lagi – ini dibenarkan. Tetapi dalam Al-Qur’an banyak disebut tentang kiblat. Kenapa?

Kerana hal kiblat ini perlu diperjelaskan kerana kalau ada yang salah faham, sudah nampak macam sembah selain Allah ‎ﷻ – sembah batu, sembah dinding, sembang tongkat, sembah tiang dan sebagainya. Dan memang ada orang kafir kata kita sembah dinding dan sembah batu Ka’bah. Lalu apa beza kita dengan mereka? Mereka kata mereka hanya sembah patung kecil sahaja, sedangkan kita sembah bangunan yang lebih besar – 30 kaki tingginya Ka’bah itu. Ini adalah hujah dari mereka dan kalau tidak belajar, tidak boleh hendak jawab tuduhan mereka.

Jadi kena beri dua jawapan kepada isu ini. Pertama, kita menghadap kiblat ini adalah kerana arahan dari Allah ‎ﷻ Tuhan kita. Ia ada dalam Al-Qur’an sepertimana ayat yang kita sedang baca ini dan ayat-ayat lain. Kalau Allah ‎ﷻ suruh kita menghadap ke arah yang lain pun kita akan ikut juga kerana kita taat kepada Allah ‎ﷻ.

Dan kita bukannya pernah menyembah Hajarul Aswad itu. Pernah Hajarul Aswad dicuri selama 22 tahun tidak ada di Ka’bah. Ia diambil oleh Puak Qaramitah (salah satu dari mazhab Syiah Ismailiah) pada tahun 317H. Walaupun Hajarul Aswad tidak ada di situ, umat Islam tetap salat mengadap ke arah Ka’bah juga.

Dan tidaklah kita juga menyembah Ka’bah. Kalaulah Ka’bah itu tidak ada (mungkin kena runtuh, kena bom), kita tetap menghadap ke arah itu juga. Kerana kita kena ada arah yang satu. Kalau tidak, dalam salat jemaah kita hendak menghadap ke mana?

Salah satu hikmah Allah ‎ﷻ suruh kita menghadap Mekah kerana ia adalah pusat dunia. Memang kalau buka peta dunia sekarang pun dan tunjuk kedudukan Mekah, ia berada di tengah-tengah peta. Allah ‎ﷻ yang menjadikan bumi dan Dia telah jadikan Mekah sebagai pusat dan Dia telah menentukannya sebagai kiblat kita.

Kedua, kita tidak ada rasa apa-apa dengan Ka’bah itu sepertimana penyembah berhala rasa terhadap berhala dan patung mereka. Mereka semasa seru roh, wali dan dewa mereka, mereka jadikan roh itu dalam bentuk patung sebagai kiblat tawajjuh (tempat menghadap), tetapi kita orang Islam tidak buat begitu. Semasa mereka menghadap kepada patung itu, mereka sembah roh yang mereka iktikad ada dalam patung itu. Mereka pun hanya memandai sahaja, padahal sebenarnya dalam kitab asal mereka pun tidak suruh mereka berbuat begitu. Sedangkan kita menghadap ke arah Ka’bah kerana memang Allah ‎ﷻ yang suruh. Kalau kita rasa yang Ka’bah itu boleh selesaikan masalah, boleh buat itu dan ini, maka itu pun Syirik juga. Tetapi iktikad kita, Ka’bah dan Hajarul Aswad itu tidak mempunyai kuasa apa-apa. Seperti kata Umar رضي الله عنه kepada Hajarul Aswad semasa beliau menciumnya.

عَنْ عَابِسِ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ رَأَيْتُ عُمَرَ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ إِنِّى لأُقَبِّلُكَ وَأَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَلَوْلاَ أَنِّى رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُقَبِّلُكَ لَمْ أُقَبِّلْكَ
“Dari ‘Abis bin Robi’ah, dia berkata, “Aku pernah melihat ‘Umar (bin Al Khottob) mencium Hajar Aswad. Lantas ‘Umar berkata, sesungguhnya aku menciummu dan aku tahu bahawa engkau hanyalah batu. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah ﷺ menciummu, maka tentu aku tidak akan menciummu
(Sahih Bukhari no. 1597, 1605 dan Muslim no. 1270)

Alhamdulillah, dengan kata-kata Umar رضي الله عنه ini, kita dapat faham kedudukan Ka’bah itu.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ia adalah dalam bentuk kebenaran yang diberikan kepada Nabi ﷺ untuk menghadap ke MasjidilHaram sebab Nabi ﷺ hendak begitu. Walaupun Nabi ﷺ tidak berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi Allah ‎ﷻ tahu isi hati baginda.

Bagaimanakah kejadian peristiwa itu? Alhamdulillah ada disebut di dalam satu hadis,

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ أَنْ يُوَجَّهَ إِلَى الْكَعْبَةِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ
{ قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ }
فَتَوَجَّهَ نَحْوَ الْكَعْبَةِ وَقَالَ السُّفَهَاءُ مِنْ النَّاسِ وَهُمْ الْيَهُودُ
{ مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمْ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ }
فَصَلَّى مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلٌ ثُمَّ خَرَجَ بَعْدَ مَا صَلَّى فَمَرَّ عَلَى قَوْمٍ مِنْ الْأَنْصَارِ فِي صَلَاةِ الْعَصْرِ نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ فَقَالَ هُوَ يَشْهَدُ أَنَّهُ صَلَّى مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّهُ تَوَجَّهَ نَحْوَ الْكَعْبَةِ فَتَحَرَّفَ الْقَوْمُ حَتَّى تَوَجَّهُوا نَحْوَ الْكَعْبَةِ
Dari Al Bara’ bin ‘Azib radliallahu ‘anhuma berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam shalat mengadap Baitul Maqdis selama enam belas atau tujuh belas bulan, dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebenarnya suka kalau diperintahkan mengadap ke arah Ka’bah. Selepas itu Allah menurunkan ayat: (“Sungguh Kami melihat mukamu berkali-kali menengadah ke langit) ‘ (Baqarah: 144). Maka kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menghadap ke Ka’bah. Lalu berkatalah orang-orang yang bodoh dari masyarakat, iaitu orang-orang Yahudi: ‘(Apakah yang menyebabkan mereka (umat Islam) berpaling dari kiblat (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?” Katakanlah: “Wahai Muhammad, Kepunyaan Allah-lah jua timur dan barat. Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang betul) ‘ (Baqarah: 144). Kemudian ada seseorang yang ikut salat bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, orang itu kemudian keluar setelah menyelesaikan salatnya. Kemudian orang itu melewati Kaum Ansar yang sedang melaksanakan salat ‘Asar dengan menghadap Baitul Maqdis (di Masjid Bani Haritsah). Lalu orang itu bersaksi bahawa dia telah salat bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan menghadap ke arah Ka’bah. Maka orang-orang itu pun berputar sehingga benar-benar menghadap Ka’bah.“
Sahih Bukhari (384)

Syarah: Kiblat semasa mengadap BaitulMaqdis itu adalah batu yang Nabi pijak semasa Isra’ Mi’raj itu. Itulah pusat tumpuan dan itulah batu yang dianggap suci oleh Kaum Yahudi. Ada orang mendakwa batu itu tergantung tapi tidak sebenarnya. Nabi sebenarnya ingin supaya kiblat ditukar kepada Ka’bah. Nabi tidak berapa suka kiblat ke BaitulMaqdis itu. Kalau kita cari, arahan untuk mengadap Kiblat BaitulMaqdis itu tidak ada dalam Al-Qur’an. Hanya isyarat sahaja yang ada dalam 2:144 itu: “…. yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya…”. Makna ayat itu adalah, sebelum mengadap Ka’bah, ada kiblat lain yang mereka hadapkan. Tapi tidak dinyatakan dengan jelas arahnya. Tapi kita tahu bahawa Kiblat waktu itu adalah BaitulMaqdis dari pembacaan hadis. Maknanya ia adalah ketentuan Allah juga. Para sahabat kena ikut juga kiblat ke BaitulMaqdis itu walaupun tidak ada arahan jelas di dalam Al-Qur’an, ia hanya ada dalam arahan Nabi. Ini menunjukkan hadis itu wahyu dari Allah juga cuba Nabi telah menyampaikannya menggunakan bahasa baginda. Ini seperti orang cerita kepada kita dalam bahasa Inggeris dan kita cerita kepada orang lain dalam bahasa Melayu. Jadi salah kalau ada orang kata hanya kena ikut Al-Qur’an sahaja. Ini adalah ajaran yang sesat kerana kalau tak pakai hadis, bermakna tak ikut Al-Qur’an juga sebenarnya. Kerana dalam Al-Qur’an telah ada arahan kepada umat Islam untuk ikut arahan Nabi.

Selama berada di Madinah, umat Islam mengadap ke arah BaitulMaqdis selama 16 atau 17 bulan. Kenapa tidak pasti adakah 16 bulan atau 17 bulan? Ini adalah kerana Nabi Muhammad sampai ke Madinah dalam bulan Rabiul Awal dan penukaran kiblat itu terjadi dalam pertengahan bulan Rejab. Beza bulan itu adalah kalau hendak diambilkira masa perjalanan baginda ke Madinah atau tidak. Kalau dikira sekali dengan perjalanan baginda, maka 17 bulan, kalau tidak dikira, maka 16 bulan sahaja. Tidak ada masalah di situ sebenarnya. Orang-orang yang tidak faham hadis sahaja yang terkeliru sampai mereka kata sebab hadis tidak tetaplah yang menyebabkan mereka tidak percaya kepada hadis. Kalau mereka belajar dengan cara yang betul, semua kekeliruan itu boleh dileraikan dengan ilmu.

Kalimah السُّفَهاءُ yang digunakan di dalam ayat 142 dan di dalam hadis ini merujuk kepada orang-orang bodoh dari kalangan golongan Yahudi. Dalam riwayat lain dikatakan orang-orang munafik. Jadi kedua-dua mereka boleh dimasukkan sekali kerana dua-dua itu memang bodoh.

Kenapa para sahabat dengan mudah boleh sahaja mengubah kiblat mereka. Ini kerana para sahabat memang sudah tahu kiblat akan bertukar. Sebab itulah apabila ada yang memberitahu kepada mereka, mereka terus terima walaupun seorang sahaja yang beritahu (ini dinamakan khabar ahad). Walaupun ketika itu mereka dalam solat dan kejadian itu terjadi semasa solat Asar. Ini menunjukkan boleh pusing dalam solat. Tidak ada masalah untuk membetulkan kiblat dalam solat kalau sedang solat kita perasan rupanya kiblat kita salah. Dan kalau ada orang yang tahu kiblat kita sedang salah, boleh sahaja dia gerakkan badan kita ke arah kiblat yang betul (janganlah keraskan badan pula). Orang Melayu kita sahaja yang takut sangat bergerak dalam solat kerana jahil. Dan hadis ini juga menunjukkan kena mengadap kiblat yang betul sepanjang solat. Bukan hanya mengadap kiblat ketika takbiratulihram sahaja tapi sepanjang solat kena mengadap ke arah kiblat. Kerana kalau tidak perlu, tidaklah para sahabat membetulkan kedudukan mereka sedangkan semasa mereka angkat takbir di awal solat, mereka telah mengadap ke arah kiblat yang mereka yakin benar. Kalau tidak perlu, tentulah mereka teruskan sahaja solat mereka.

Soalan: Kenapa Nabi tak berapa suka dengan kiblat BaitulMaqdis itu dan berharap supaya ianya bertukar ke Ka’bah?

    1. Kerana Ka’bah adalah kiblat Nabi Ibrahim. Dan Allah pun selalu suruh Nabi ikut ajaran Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim pun bapa kepada Yahudi juga. Jadi sepatutnya golongan Ahli Kitab tidak ada alasan untuk menolak Ka’bah sebagai kiblat. Sampaikan ada bekas tapak kaki Nabi Ibrahim di Ka’bah sebagai isyarat bahawa kita kena ikut jejak baginda. Bukankah kalau kita ikut orang lain, kita kata: ‘ikut jejak langkah’ seseorang?
    2. Ka’bah lebih menarik hati orang Arab. Sampaikan mereka pernah kata kepada Nabi kenapa kena ikut kiblat orang lain? Padahal mereka ada Ka’bah. Sebenarnya mengadap BaitulMaqdis itu adalah untuk menjinakkan hati orang Yahudi. Tapi orang Yahudi pula adalah jenis yang keras hati dan bangga diri sebab mereka sudah lama beragama dan ada kitab. Jadi mereka susah nak mengikut Nabi Muhammad kerana baginda dari bangsa Arab. Jadi Nabi rasa lebih senang dibentuk orang Arab dari orang Yahudi yang memang telah jelas keras kepala. Sedangkan bangsa Arab itu boleh diibaratkan seperti air kosong yang boleh dijadikan air apa sahaja. Kalau kiblat memang ke arah Ka’bah, lagi senang kerja baginda mengajak mereka masuk agama Islam nanti.
    3. Kiblat Ka’bah akan menyalahi agama Yahudi. Memang baginda selalu suruh umat Islam untuk menyalahi perbuatan dan amalan orang Yahudi. Sebagai contoh, pernah Nabi suruh sahabat pakai kasut dalam solat supaya tak serupa dengan orang Yahudi yang melarang pakai kasut dalam sembahyang mereka. Kalau kiblat terus ke BaitulMaqdis maka itu sudah ikut mereka pula. Itulah sebabnya Nabi suka sangat kalau mengadap ke Ka’bah.
    4. Nabi sudah tahu kiblat akan berpindah (maklumat dari wahyu) akan tetapi baginda tidak pasti ke mana. Maka baginda berharap supaya ianya akan jadi Ka’bah.
    5. Yahudi tahu Nabi akhir zaman akan berpindah kiblat dari BaitulMaqdis. Maka Nabi mahu ditukar kiblat dari BaitulMaqdis itu supaya dibuktikan kesahihan kedudukan kenabian akhir zamannya. Supaya ianya menjadi satu tanda lagi untuk mengatakan memang Nabi Muhammad adalah Nabi akhir zaman.
    6. Perubahan kiblat akan menamatkan peranan penting bani Israil dalam agama. Mereka sudah lama dan sudah banyak buat salah. Antaranya mereka sampai sanggup mengubah kitab suci mereka sendiri. Itu adalah salah satu dosa yang maha besar. Penukaran kiblat dari BaitulMaqdis akan menjadi tanda bahawa kepimpinan mereka dalam agama sudah berubah. Kerana lama sangat mereka ada agama, mereka sudah sampai rasa mereka itu ‘anak tuhan’. Dan semua bangsa bagi mereka selain bangsa mereka adalah bangsa yang hina. Itu juga satu kesalahan besar. Dan mereka telah bunuh para Nabi mereka. Padahal nabi-nabi itu datang dari bangsa mereka juga. Sudah tentunya mereka sudah tidak layak memimpin agama. Maka elok sangatlah kalau kiblat ditukar dari kiblat mereka.
    7. Peralihan itu adalah penapis untuk menilai siapakah yang beriman dan tidak. Apabila ada penukaran kiblat ini, Nabi boleh lihat siapakah yang benar-benar beriman atau hanya munafik sahaja.

Ulama’ tidak sepakat tentang kisah penukaran kiblat ini. Antara persoalan yang ditimbulkan adalah: Di mana terjadinya? Waktu itu solat apa? Ulama terbahagi kepada tiga berkenaan dengan fakta penukaran kiblat ini:

1. Kejadian itu terjadi waktu Zuhur di Masjid Nabi. Lepas itu baru sahabat pergi ke Masjid Bani Haritsah (juga dikenali sebagai Masjid Quba’). Kebanyakan ulama mengatakan arahan itu turun dalam solat Zuhur itu. Ini adalah kerana selalunya Nabi akan berada di masjidnya. Tapi kenapa tidak dipanggil Masjid Nabi sebagai Masjid Qiblatain tapi masjid lain yang diberikan gelaran itu? Ini juga menjadi persoalan.

2. Kejadian itu berlaku pada waktu Zuhur tapi di Masjid Bani Salimah. Masjid inilah yang terkenal sebagai Masjid Qiblatain. Dikatakan Nabi telah pergi ke kawasan Bani Salimah kerana baginda telah dijemput untuk melawat jenazah salah seorang sahabat. Sebab itu dikatakan Nabi telah solat di Masjid itu. Dikatakan kejadian turun ayat berkenaan dengan penukaran qiblat itu dalam solat baginda di sana. Iaitu dikatakan terjadi pada rukuk rakaat ketiga. Dan selepas itu solat penuh dengan mengadap Kiblat Ka’bah terjadi pada waktu Asar hari itu di Masjid Nabi. Riwayat ini lemah sebenarnya, tapi inilah riwayat yang masyhur.

3. Kejadian terjadi semasa solat Asar dan ia berlaku di Masjid Nabi. Perintah menukar kiblat telah terjadi sebelum waktu Asar lagi. Selepas itu baru diberitahu kepada makmum di Masjid Bani Haritsah kerana ianya berdekatan. Terdapat tujuh masjid di Madinah masa itu sehinggakan kalau waktu solat, akan kedengaran azan dari tujuh tempat itu. Ini juga pendapat Imam Bukhari kerana beliau tidak sebut pun kisah di masjid lain terutama sekali Masjid Qiblatain. Kisah itu pun tidak terdapat di dalam kitab-kitab yang utama yang dijadikan rujukan umat Islam. Oleh itu ini adalah pendapat yang kita katakan paling kuat.

Yang sebenarnya, Nabi Muhammad tidak terlibat pun menjadi imam dalam solat yang memerlukan berpusing dari arah MasjidilHaram ke Ka’bah itu. Kisah yang masyhur yang selalu kita dengar itu tidak ada di dalam sumber yang kuat. Yang sebenarnya jelas adalah Masjid Bani Haritsah itulah sahaja yang ada kisah pemusingan kiblat dalam solat kerana mereka diberitahu tentangnya ketika mereka dalam solat berjemaah. Oleh kerana Nabi telah terima arahan untuk menukar kiblat itu di luar solat, jadi tidak ada pemusingan dalam solat yang melibatkan Nabi.

Jadi kisah Masjid Qiblatain itu tidaklah kuat. Oleh itu, tidaklah salah Kerajaan Saudi yang menghilangkan tanda kiblat lama pada masjid Qiblatain itu. Ramai yang marah apabila kerajaan Arab Saudi buat begitu. Sebab ada yang bodoh sampai pergi masjid itu dan solat mengadap ke arah BaitulMaqdis kerana mereka kata itu juga adalah kiblat dulu (dan sah). Sebenarnya tidak boleh buat begitu kerana kiblat itu telah dimansukhkan lama. Padahal kisah tentang masjid Qiblatain itu hanya ada dalam Kitab Tabaqat Ibnu Sa’ad sahaja dan riwayat itu masih boleh dipertikaikan. Yang paling sahih pada pendapat kita adalah pendapat ketiga di atas. Iaitu solat pertama mengadap kiblat Ka’bah terjadi di Masjid Nabi dan penukaran itu tidak terjadi dalam solat berjemaah.

Kebarangkalian para sahabat di masjid Bani Qiblatain itu telah berpusing dalam solat kerana mereka perlu memperbetulkan kedudukan mereka supaya mengadap kiblat. Perempuan kena bergerak ke belakang balik dan lelaki kena bergerak ke hadapan. Bermakna mereka bergerak dengan banyak. Ini dijadikan dalil kepada mereka yang mengatakan boleh bergerak banyak dalam solat jikalau ada keperluan.

Pengajaran yang kita boleh ambil dari semua kisah ini:

    1. Hukum agama boleh dimansukhkan dan ditukar dengan hukum yang lain. Kita tak boleh persoalkan kenapa Allah buat macam itu. Orang jahat seperti Syiah pakai hadis inilah untuk mengatakan bahawa Allah tidak tahu mana yang molek pada asalnya, jadi ada perubahan kemudiannya. Seolah-olah Allah tidak tahu dari mula bahawa kiblat BaitulMaqdis yang sesuai atau Ka’bah yang sesuai. Maknanya mereka kata Allah akan lihat dulu sama ada menjadi atau tidak sesuatu hukum yang baru diperkenalkan. Kalau tak menjadi, Allah akan beri hukum yang baru.
      Dan ada pula yang mengatakan hukum mansukh sebenarnya tidak ada langsung. Ini memerlukan penjelasan kenapa boleh ada hukum yang dimansukhkan kerana kalau tidak, hujah orang yang menolak pemansukhan hukum itu jadi kuat pula. Kalau kita lihat zaman sekarang, Doktor akan bagi ubat lain mula-mulanya. Lepas itu tukar kepada ubat lain. Bukan dia tidak tahu ubat apa yang sesuai. Tapi perlu lihat kepada keperluan pada masa tertentu. Mula-mula kena makan ubat lain dulu. Oleh itu, jangan kita kata Tuhan tidak tahu dari awal. Itu sudah menidakkan ilmu Allah.
    2. Hadis ini juga sebagai dalil bahawa pemansuhan hadis boleh dilakukan dengan Al-Qur’an. Padahal hadis itu adalah wahyu juga cuma ianya jenis wahyu yang disampaikan kepada umat dengan bahasa Nabi sendiri. Kalau Al-Qur’an itu, Allah sampaikan kepada Jibril dan Jibril sampaikan dalam bahasa yang ada dalam Al-Qur’an yang kita baca sekarang. Sebab itu kita boleh baca ayat Al-Qur’an dalam solat dan tidak hadis kerana ayat Al-Qur’an adalah kalam Allah.
    3. Kebolehan berpegang dengan hadis Ahad. Sebab sahabat yang sedang solat berjemaah yang menerima berita dari hanya seorang sahaja yang memberitahu berita itu. Dengan syarat hadis Ahad itu disokong dengan sekian banyak bukti sokongan yang lain. Macam dalam kes ini, sahabat-sahabat sudah tahu kiblat itu tunggu masa sahaja untuk ditukar. Jadi, walaupun seorang sahaja sahabat yang datang beritahu bahawa kiblat sudah tukar, mereka terus tukar tanpa solat. Memang banyak hadis Ahad yang kita pakai kerana hadis-hadis itu mempunyai sokongan yang banyak. Macam hadis khatan/sunat. Walaupun hadis Ahad tapi para sahabat semuanya bersunat. Jadi kita pakai.
    4. Sesuatu hukum itu dipakai bila sudah tahu sahaja. Kalau kita tidak tahu, maka kita kita tidak bersalah jikalau kita tidak mengikutinya. Kalau masjid-masjid lain tidak tahu tentang penukaran Kiblat itu pada waktu itu, solat mereka masih sah dan diterima. Macam masjid Quba’, dikatakan mereka hanya tahu tentang penukaran kiblat itu waktu subuh sahaja. Sudah ada beberapa waktu mereka tertinggal mengadap ke Ka’bah walaupun kiblat telah bertukar. Mereka dapat tahu maklumat itu lambat kerana Nabi tidak pun suruh beritahu semua orang ramai-ramai. Maknanya baginda tidak hantar utusan atau sebagainya. Kalau mereka bersalah kerana tidak mengadap kiblat apabila telah ditukar, tentulah mereka kerugian kerana mereka tidak tahu. Allah Maha Pemaaf, Dia tidak menghukum seseorang kerana mereka tidak tahu. Tapi, jangan jadikan ini sebagai dalil untuk jadi orang jahil pula. Jangan ingat selagi kita tidak tahu, kita tak kena hukum. Situasi itu tidak sama dengan situasi penukaran kiblat ini. Ramai orang kita tidak tahu itu adalah kerana mereka tidak belajar dan mereka tetap akan dipersalahkan. Ini kerana mereka sahaja yang culas untuk belajar, bukanlah syariat itu tidak ada lagi.
    5. Bergerak banyak dibolehkan dalam solat. Para sahabat telah bergerak untuk membetulkan kedudukan mereka. Pada waktu itu, perempuan kena pergi ke belakang balik dan lelaki kena ke hadapan. Pergerakan banyak diperbolehkan apabila ada keperluan. Tidaklah perlu bergerak tiga langkah, berhenti, tiga langkah, berhenti.

 

وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Dan di mana sahaja kamu berada, hadapkanlah wajahmu ke arahnya;

Potongan ayat ini pula ditujukan kepada semua umat Islam. Ia adalah dalam bentuk arahan kepada seluruh umat Islam. Kalau sebelum ini kalimat فَوَلِّ وَجْهَكَ ditujukan kepada Rasulullah sahaja. Akan tetapi kalimat فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ ditujukan kepada keseluruhan umat Islam pula. Maknanya, bukan Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang kena menghadap ke MasjidilHaram. Sama ada kita dalam dalam musafir, atau kita berada di mana-mana, kena menghadap ke arah Masjidil Haram.

“Di mana sahaja kamu berada” bermakna, bukan di Masjid Nabi sahaja kena mengadap ke MasjidilHaram. Kalau di mana-mana tempat di dunia ini pun, kena menghadap ke MasjidilHaram.

 

وَإِنَّ الَّذينَ أوتُوا ٱلكِتَـٰبَ لَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَّبِّهِم

Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberi Kitab mereka sesungguhnya sudah tahu bahawasanya kiblat itu adalah benar dari Tuhan mereka;

Iaitu golongan ulama’ dari Bani Israil. Mereka ini ada maklumat wahyu dari kitab wahyu dan dari para Nabi mereka yang ramai. Mereka telah ada banyak maklumat agama. Mereka amat tahu tentang Ka’bah kerana dalam kitab-kitab mereka telah tertulis bahawa Nabi akhir zaman itu akan menghadap ke arah BaitulMaqdis seketika dan kemudian akan menghadap ke Masjidilharam. Jadi mereka telah tahu kejadian ini akan berlaku dan mereka tidak sepatutnya terkejut.

Kalau mereka kembali kepada pokok asal iaitu sejarah perkahwinan Nabi Ibrahim dengan Hajar, dan baginda membawa Hajar ke tempat suci itu, yang dengan beberapa kerat roti dan satu qirbat air sampai Hajar tersesat di Bersyeba, sampai Malaikat Jibril datang memujuk Hajar dan mencegahnya dari rasa takut, sebab budak yang dalam kandungannya itu akan dijadikan Allah suatu bangsa yang besar; kalau semuanya itu mereka ingat kembali, dan itu tertulis di dalam Kitab mereka sendiri (Kitab Kejadian, Pasal2l dari ayat 13 sampai ayat 27), nescaya mereka tidaklah akan hairan jika Nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan mengembalikan kiblat kepada asalnya, kerana mereka memang sudah mengetahui bahawa di sanalah tempatnya. Di ayat 21 Kejadian, Pasal 21 disebutkan nama tempat itu adalah Paran. Dan pembaca kitab Taurat tahu bahawa Paran itu adalah Makkah al-Mukarramah.

 

وَمَا اللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Dan Allah tidak lalai terhadap apa yang mereka lakukan;

Iaitu Allah ‎ﷻ tidak lalai tentang keengkaran mereka berkenaan arah kiblat ini. Juga Allah tahu yang mereka telah menyembunyikan kebenaran yang di sisi mereka. Mereka telah menutup kisah tentang kiblat ini yang ada dalam kitab mereka. Mereka menyorok ilmu sampaikan umat mereka tidak tahu dan menyalahkan apa yang Nabi ﷺ lakukan. Ini Allah tidak akan biarkan. Nanti mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Jadi makna Allah ‎ﷻ ‘tidak lalai’ itu bermaksud Allah ‎ﷻ akan balas kesalahan mereka itu di akhirat kelak. Allah ‎ﷻ bukan buat tidak tahu sahaja. Allah ‎ﷻ tulis dan rekod apa yang mereka lakukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Oktober 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment