Bab 6: Pengaruh Nama-nama Allah ﷻ Dalam Pengabdian
Sesungguhnya nama-nama Allah yang baik (asma’ul husna) dan sifat-sifat-Nya yang mulia memiliki pengaruh dalam pengabdian (manusia) dan dalam penciptaan alam semesta.
[Bila kita kenal nama Allah ﷻ, maka ada kesan pada diri kita. Kita tahu bagaimana kesan nama itu ke atas pemahaman kita tentang Allah ﷻ. Ada yang menjadikan kita redha, ada yang memberikan kita rasa pengharapan dan sebagainya. Ada reaksi kita selepas kita fahami nama-nama itu. Bukannya hanya sekadar hafal kosong sahaja.]
Penjelasan berkaitan dengan pengaruhnya dalam penciptaan alam semesta, telah berlalu. Adapun pembahasan sekarang berkaitan dengan pengaruhnya dalam peribadahan, seperti ketundukan, kerendahan diri, khusyu’, taubat, rasa takut, cinta, tawakal dan bentuk-bentuk ibadah yang lain, yang bersifat lahir maupun yang batin.
[Ibadah memang ada tiga jenis: ibadah hati, ibadah dengan lidah dan ibadah anggota tubuh. Ibadah hati seperti rasa khusyuk, takut dan tunduk kepada Allah ﷻ. Ibadah lisan dan tubuh bermula dengan ibadah hati. Apabila hati telah tunduk, maka lisan dan tubuh akan ikut.]
Kerana setiap nama Allah dan setiap sifat memiliki pengabdian diri yang khusus yang merupakan konsekuensi/reaksi dari nama dan sifat serta ilmu tentangnya. Hal ini terkandung dalam setiap bentuk ibadah, baik yang di dalam hati maupun dalam anggota badan.
Maksudnya bahawa seorang hamba apabila mengetahui tentang keesaan Allah dalam mendatangkan manfaat atau mudharat, pemberian, pencegahan, penciptaan, rezeki, menghidupkan dan mematikan, maka hal tersebut akan membuahkan tawakal kepada Allah Taala lahir dan batin.
[Sebagai contoh, kalau kita tahu kelebihan sesuatu makanan, maka kita tentu akan cari dan makan makanan itu sebagai ubat, tidaklah kita biarkan sahaja, bukan? Kalau tidak ada wang pun kita cuba cari wang untuk membelinya kerana kita sudah tahu kelebihannya dan sepatutnya ada tindakbalas kita terhadap pengetahuan itu.
Satu lagi contoh, kalau kita tahu sesuatu benda itu bahaya seperti racun, tentulah kita akan sorok dan simpan, takut kalau-kalau anak kita termakan pula. Maka inilah kewajipan atas ilmu.
Pengabdian itu adalah dari segi hati dan juga dalam bentuk fizikal. Jangan konon hendak mengenal Allah ﷻ dengan cara hati sahaja, tetapi tidak ditunjukkan dengan cara luaran. Contohnya ada orang yang kononnya belajar ilmu ‘hakikat’ dalam mengenal Allah ﷻ, tetapi tidak ada perubahan dari segi penampilan dirinya. Kalau bersembang hebat, tetapi bab ibadat tidak pula dilakukannya.
Pengetahuan tentang Allah ﷻ akan menyebabkan seseorang itu berserah kepada Allah ﷻ. Bila kita dapat serahkan kepada Allah ﷻ, maka kita senang untuk redha dengan apa sahaja keputusan Allah ﷻ. Kalau sesuatu terjadi, tidaklah kita terkesan sangat. Banyak perkara dalam dunia yang kita tidak suka, rasa seperti hendak diubah, tetapi tidak boleh, bukan? Kalau kita terima semuanya di tangan Allah ﷻ, maka senang sedikit kita hendak terima hal ini. Apa sahaja yang datang dan pergi, hilang atau rosak dan sebagainya adalah dalam urusan Allah ﷻ. Kita boleh berusaha sahaja setakat yang kita mampu. Belajar redha dengan ketentuan Allah ﷻ.
Reaksi pada hati dan hasilnya akan nampak pada zahir diri kita. Mulut kita tidak membebel, tidak berkeluh resah, tidak merungut, tidak menuding jari kepada orang, tidak marah-marah orang lain. Bila sudah terjadi, sudahlah, terima sahaja. Kalau susah hendak dapat sifat dan sikap begini, maka hendaklah diperiksa kembali apakah pemahaman kita tentang Allah ﷻ dan kerja-kerja-Nya di dalam alam ini. Adakah kita sangka kita faham tetapi kita tidak, sebenarnya? Atau adakah setakat tahu sahaja tetapi tidak disematkan ke dalam kehidupan kita?
Kalau ada perkara yang berlaku dan kita tidak suka dan tidak dapat diubah, apa yang kita harus buat? Kenalah dicari apakah hikmah kenapa sesuatu itu berlaku. Bayangkan para sahabat Nabi ﷺ pernah dapat pemimpin yang zalim, tetapi mereka relaks sahaja. Tidaklah mereka memberontak dan melawan khalifah zalim itu.
Imam Ahmad رحمه الله pernah disebat oleh khalifah zamannya tetapi tidaklah dia ajak pengikutnya melawan pemimpin.
Kadang-kadang kita tidak sedar, kita telah menjadi batu api memanaskan suasana. Suka sangat bercerita tentang hal orang dan sibuk sahaja dengan hal orang. Ingat, banyak perkara yang tentu kita tidak suka, tetapi kena belajar untuk redha.]
Allah Ta’ala berfirman,
وَتَوَڪَّلۡ عَلَى ٱلۡحَىِّ ٱلَّذِى لَا يَمُوتُ وَسَبِّحۡ بِحَمۡدِهِۦۚ وَڪَفَىٰ بِهِۦ بِذُنُوبِ عِبَادِهِۦ خَبِيرًا
“Dan bertawakallah kepada Allah Yang Hidup (Kekal) Yang tidak mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui dosa-dosa hamba-hamba-Nya.” (Al-Furqan: 58)
[Tafsir: lihat di dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut sifat-Nya (Hidup, tidak mati-mati, tahu dosa hamba-hamba-Nya) dan di dalamnya juga disebut tuntutan bagi kita (kena bertawakal kepada-Nya, bertasbih kepada-Nya)]
وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱلۡعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ
Dan bertawakallah kepada (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang (Syu’ara’:217)
[Tafsir: sekali lagi Allah ﷻ sebut tuntutan bagi kita kepada Allah ﷻ.]
رَّبُّ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ فَٱتَّخِذۡهُ وَكِيلاً۬
“(Dia-lah) Rabb masyrik dan maghrib, tiada Ilah (yang berhak disembah) melainkan Dia, maka ambillah Dia sebagai pelindung.” (Al-Muzammil: 9)
[Tafsir: sekali lagi Allah ﷻ sebut tuntutan bagi kita kepada Allah ﷻ.]
وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلاً
“Dan bertawakallah kepada Allah. Cukuplah Allah menjadi Pelindung.” (An-Nisa’: 81)
[Tafsir: sekali lagi Allah ﷻ sebut tuntutan bagi kita kepada Allah ﷻ.]
Apabila hamba telah mengetahui bahawa Allah adalah Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, tidak ada yang tersembunyi bagi-Nya sesuatu pun meskipun sekecil zarrah di langit dan di bumi. Bahawasanya Dia mengetahui yang rahsia maupun yang tersembunyi, mengetahui mata-mata yang khianat dan apa yang disembunyikan dalam dada, Ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, Dia menghitung segala sesuatu dengan sebenarnya.
Barangsiapa yang mengetahui akan pengawasan Allah terhadapnya, maka hal tersebut akan membuahkan dalam dirinya penjagaan lidah, berbuat dan membisikkan hati yang tidak diridhai oleh Allah dan akan menjadikan seluruh anggota badannya hanya untuk hal-hal yang dicintai dan diridhai-Nya.
[Ini mengingatkan kita, apabila hendak buat apa-apa fikir dahulu (fikir sepuluh kali buat sekali). Kadang-kadang perbuatan kita memberi kesan yang kita mungkin tidak perasan kalau kita tidak buat. Dan takut kita dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ﷻ nanti. Terutama apabila berkaitan dengan nama orang, maruah orang dan sebagainya. Sememangnya lintasan hati agak susah untuk dijaga tetapi perbuatan kita boleh dijaga.
Kita kena prihatin apa pandangan Allah ﷻ terhadap kita. Bukannya pandangan manusia. Kita mencari redha Allah ﷻ bukannya redha manusia. Allah ﷻ yang sedang menilai kita maka kita kena jaga perbuatan kita supaya tidak diazab di akhirat kelak. Hati pun kena jaga. Selalunya kita hendak jaga pandangan orang terhadap kita, bukannya kerana Allah ﷻ. Kadangkala kita salat kerana orang melihat perbuatan kita. Maka itu akan menyebabkan kita tidak mendapat pahala. Sedangkan Allah ﷻ lebih menilai apa yang kita lakukan. Kita sepatutnya lebih berasa aib terhadap Allah ﷻ kerana Allah ﷻ lebih tahu apa yang kita lakukan, termasuk dalam hati kita. ]
Allah Ta’ala berfirman,
أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ
“Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya?” (QS. Al-‘Alaq: 14)
[Kesedaran tentang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Maka tindakan kita akan lebih berhati-hati]
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ۬
“Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Hujurat: 1)
ٱعۡمَلُواْ مَا شِئۡتُمۡۖ إِنَّهُ ۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ
“Perbuatlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan (Fushshilat: 40)
وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمۡ فَٱحۡذَرُوهُۚ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ۬
Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.” (Al-Baqarah: 235)
Tidak diragukan lagi bahawa ilmu tentang hal ini akan mewariskan dalam diri seorang hamba, rasa takut kepada Allah, merasa selalu diawasi oleh-Nya, senantiasa melakukan ketaatan kepada-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya.
Ibnu Rajab Rahimahullah berkata, “Pernah seorang laki-laki merayu seorang gadis (untuk berzina) di tempat yang sepi pada suatu malam, tetapi sang gadis menolak. Laki-laki tersebut berkata, ‘Tidak ada seorang pun yang melihat kita, kecuali hanya bintang-bintang di langit.” Lalu sang gadis menjawab, “Namun, di manakah Sang Pencipta bintang-bintang itu (di manakah Allah)? Tidakkah Dia melihat kita?” Kemudian laki-laki tersebut membatalkan perbuatan dosa dan kekejian ini disebabkan ilmu yang dimilikinya tentang Allah Ta ala.
[Inilah latihan yang kita lakukan dalam ibadat. Kita tahu Allah ﷻ sedang memerhatikan kita. Siapa tahu kita ada wudhu’ atau tidak sebelum salat? Tetapi kita tetap menjaga wudhu’ itu kerana kita tahu Allah ﷻ tahu kita berwudhu’ atau tidak. Begitulah juga dengan ibadah lain seperti puasa, zakat dan sebagainya. Kalau anda menjaga ibadah anda, maka adalah sedikit taqwa itu.
Nabi ﷺ ajar hidup di dunia ini seperti orang asing. Orang asing kalau duduk di rumah orang dia akan minta kebenaran, bukan? Sentiasa kita akan tanya apa-apa sahaja yang kita hendak buat, bukan? Kita akan tanya mana boleh buat dan mana tidak boleh dibuat. ]
Apabila seorang hamba mengetahui bahawa Allah adalah Yang Maha kaya, Maha mulia, Maha baik, Maha Pengasih, luas kurnia-Nya, dan bahawasanya Allah meskipun tidak memerlukan kepada hamba-hamba-Nya, tetapi Dia selalu mencurahkan kebaikan-Nya kepada mereka, menyayangi mereka, menginginkan kebaikan untuk mereka, menyingkap dari mereka kemudharatan, bukan untuk Diri-Nya, tetapi sebagai bentuk kasih sayang dan kebaikan-Nya kepada hamba-hambaNya.
Allah Ta’ala tidaklah menciptakan mereka agar mereka menambah (kekuasaan-Nya), atau memuliakan Diri-Nya dari kehinaan, dan tidak pula agar mereka memberikan rezeki dan manfaat kepada-Nya atau menolak bahaya dari-Nya. Allah Ta’ala berfirman,
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ (٥٦) مَآ أُرِيدُ مِنۡہُم مِّن رِّزۡقٍ۬ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطۡعِمُونِ (٥٧) إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ (٥٨)
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh. (Adz-Dzariyat: 56-58)
وَقُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدً۬ا وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ شَرِيكٌ۬ فِى ٱلۡمُلۡكِ وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ وَلِىٌّ مِّنَ ٱلذُّلِّۖ وَكَبِّرۡهُ تَكۡبِيرَۢا
“Dan katakanlah: “Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan tidak mempunyai penolong (untuk menjaga-Nya) dari kehinaan dan agungkanlah Dia dengan pengagungan yang sebenar-benarnya” (QS. Al-Isra’: 111)
[Ingatlah yang Allah ﷻ tidak memerlukan kita langsung. Allah ﷻ boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah ﷻ memerintah bersendirian Diri-Nya.]
Allah Ta’ala berfirman dalam hadits qudsi,
“Wahai hamba-hamba-Ku sesungguhnya kalian tidak bisa memberikan manfaat kepada-Ku atau untuk memudharatkan diri-Ku.” (HR. Muslim) no. 2577
[Allah ﷻ memberikan rahmat-Nya kepada kita kerana belas ihsan-Nya kepada kita sahaja, bukan kerana Dia memerlukan kita]
Apabila seorang hamba mengetahui akan hal ini, maka akan membuahkan dalam dirinya, rasa harap kepada Allah dan tamak terhadap apa yang ada di sisi-Nya, meminta semua keperluan kepada-Nya, merasa selalu memerlukan kepada-Nya,
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلۡغَنِىُّ ٱلۡحَمِيدُ
“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dia-lah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (Fathir: 15)
[Lihatlah kesan kepada diri insan itu kalau dia kenal sifat Allah ﷻ. Bukannya setakat tahu sahaja, tetapi ada kesannya iaitu timbul rasa berharap kepada Allah ﷻ.
Bayangkan kalau kita dengar ada seorang kaya di tempat tinggal kita yang sentiasa menolong orang; hendakkan rumah, dia beri; hendakkan kereta dia bayarkan; rumah terbakar, dia ganti….etc. Tiba-tiba ada dikenakan musibah… tidakkah anda teringat kepada lelaki itu? Tentu kerana kita sudah kenal dia dan tahu dia memang sentiasa membantu. Sepatutnya dengan Allah ﷻ lagilah kena dahsyat kita berharap kepada-Nya kerana semua keperluan kita, kita dapat daripada Dia. Adakah ada benda yang bukan Dia yang beri?]
Rasa harap ini membuahkan banyak sekali macam peribadahan yang lahir maupun yang batin sesuai dengan ilmu dan pengenalan bila seorang hamba mengetahui keadilan Allah, kemurkaan, siksa, kemarahan dan azab-Nya, maka hal ini membuahkan rasa takut, berhati-hati dan-menjauhkan diri dari kemurkaan-Nya.
[Semakin banyak seorang hamba itu tahu dan kenal Allah ﷻ, maka semakin tinggi rasa pengharapan kepada Allah ﷻ.
Namun begitu jangan dilihat terhadap yang sedap dan lembut sahaja. Kena juga tahu yang Allah ﷻ boleh membalas dosa yang dilakukan oleh manusia. Jangan ingat yang Allah ﷻ pemurah sahaja.
Kena ingat yang Allah ﷻ Maha Adil. Maka pasti Allah ﷻ akan memberikan pengadilan yang pasti akan ditegakkan. Maka kalau kita terima hal ini, tidaklah kita gelisah sangat kalau ada hak-hak kita yang diambil kerana kita tahu yang Allah ﷻ pasti akan tegakkan keadilan nanti. Kalau tidak di dunia, di akhirat kelak. Sebesar-besarnya dan sekecil-kecilnya. ]
Allah Ta’ala berfirman,
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Dan bertaqwalah kepada Alah dan ketahuilah bahawa Allah sangat keras siksaNya (Al-Baqarah: 196)
[Kenang-kenanglah azab yang Allah ﷻ boleh berikan kepada kita kalau kita ada dosa. Azab paling ringan adalah memakai kasut yang panasnya mampu mencairkan otak. Ketahuilah yang kita tidak akan sanggup untuk menghadapinya. Timbulkanlah rasa takut dalam diri kita. Azab di neraka itu akan meningkat semakin teruk dan semakin teruk.
Puak Muktazilah mengatakan kalau lama-lama dalam neraka, akan rasa biasa (rasa tegal biasa) dengan azab dalam neraka. Ini adalah pendapat yang karut. Ada ayat dalam Al-Qur’an menyebut yang Allah ﷻ akan menggantikan kulit kita yang sudah terbakar untuk terus memberikan rasa sakit kepada ahli neraka. Rujuk ayat Nisa:36]
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّڪُمۡ إِلَيۡهِ تُحۡشَرُونَ
“Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah, bahawa kamu akan dikumpulkan kepada-Nya.” (Al-Baqarah: 203)
[Tidak akan ada sesiapa yang akan terlepas daripada keadilan Allah ﷻ. Tidak akan ada yang dapat melarikan diri.]
فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡڪُمُ ٱلۡبَيِّنَـٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَڪِيمٌ
“Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepada kamu bukti-bukti kebenaran maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah: 209)
[Allah ﷻ tidak memerlukan pun untuk kita dakwah agama-Nya, kerana Dia Maha Perkasa. Jadi kalau kita tidak jalankan dakwah, Allah ﷻ boleh sahaja menggantikan umat yang lain yang akan menjalankan kerja dakwah. Allah al-Hakeem bermaksud Dia akan menghukum kita di atas kesalahan kita. Maka kalau kita dapat sematkan ini ke dalam diri kita, maka kita akan takut untuk membuat dosa.]
Apabila seorang hamba mengetahui kemuliaan, keagungan, dan ketinggian Allah di atas makhluk-Nya serta kekuasaan dan kemuliaanNya, maka ini akan membuahkan rasa ketundukan, ketenangan, kecintaan, dan semua bentuk ibadah. Allah Ta’ala berfirman,
ذَٲلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدۡعُونَ مِن دُونِهِۦ هُوَ ٱلۡبَـٰطِلُ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡڪَبِيرُ
“(Kuasa Allah) yang demikian itu, adalah kerana sesungguhnya Allah, Dialah (Rabb) yang Haq dan sesungguhnya apa saja yang mereka seru selain Allah, itulah yang batil, dan sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Al-Hajj: 62)
[Mesti sedar kedudukan kita sebagai hamba. Apa sahaja yang Allah ﷻ suruh, kita kena tunduk dan mesti buat. Malangnya ada manusia yang tidak sedar dan degil dengan arahan Allah ﷻ. Sebagaimana kita dengan ayah kita, jika kita tidak kenal siapa ayah kita, apa kedudukan dia, maka kita tidak hormati dia. Begitulah juga kalau kita tidak kenal Allah ﷻ.
Ada yang anggap Allah ﷻ sebagai kekasih. Ini pun salah juga walaupun nampak seperti bagus asalnya kerana hubungan kita dengan kekasih lain, hubungan kita dengan Allah ﷻ lain. Kalau dengan kekasih, kedudukan sama rata, ada “give and take” (tolak ansur). Kita dengan Allah ﷻ tidak boleh begitu. Memang Allah ﷻ sayangkan kita, namun tidaklah seperti seorang kekasih pula. Jika dengan seorang kekasih, dia tidak akan menghukum kita. Jadi jika menganggap Allah ﷻ sebagai kekasih, sudah tidak ada takut dengan Allah ﷻ, ada harap sahaja.
Jika kita dengan ayah kita, apabila dia cakap tidak boleh, maka kita kena taat. Kerana dia bapa dan kita tahu kedudukan kita sebagai anak. Maka apatah lagi kalau kita sebagai hamba kepada Allah ﷻ tentulah kena lebih lagi.]
وَهُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡعَظِيمُ
Dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Al-Baqarah: 255)
[Akhir ayat Kursi. Kena harap dapat tunduk kepada Allah ﷻ setelah mengenali sifat-sifat Allah ﷻ ini. Mungkin sebab kita tidak diajar tentang perkara ini. Jika kita dengar ada orang yang pemurah, kelam kabutnya kita mencarinya. Tetapi lupakah kita betapa pemurahnya Allah ﷻ?]
وَمَا قَدَرُواْ ٱللَّهَ حَقَّ قَدۡرِهِۦ وَٱلۡأَرۡضُ جَمِيعً۬ا قَبۡضَتُهُ ۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَٱلسَّمَـٰوَٲتُ مَطۡوِيَّـٰتُۢ بِيَمِينِهِۦۚ سُبۡحَـٰنَهُ ۥ وَتَعَـٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ
“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya pada hal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Suci Dia dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan.” (Az-Zumar: 67)
[Apabila telah salah anggap dengan Allah ﷻ, maka manusia tidak berharap dan bergantung kepada Allah ﷻ. Mulalah mencari pada tempat lain.
Bayangkan apa perasaan Nabi Zakaria عليه السلام apabila melihat Maryam رضي الله عنها mendapat pemberian daripada Allah ﷻ terus dengan makanan. Maka timbul kembali perasaan percayanya baginda terhadap Allah ﷻ. Maka baginda terus berdoa kepada Allah ﷻ meminta anak. Baginda minta di situ juga.
Begitulah apabila kita apabila melihat kesan pemakbulan doa.
Ada yang reka salah faham dengan Allah ﷻ. Ada kononnya kata Allah ﷻ itu sepert kekasih. Sedangkan mana ada persamaan kekasih dengan Allah ﷻ. Tidak akan sama kerana Allah ﷻ lebih mulia dan tinggi daripada itu. Lihat ayat Allah ﷻ ini di mana maha berkuasa-Nya Dia kerana langit pun Dia akan genggam nanti. ]
Apabila seorang hamba mengetahui kesempurnaan dan keindahanNya, maka hal ini akan menimbulkan kecintaan yang khusus kepadaNya, kerinduan yang besar untuk bertemu dengan-Nya, Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,
“Barangsiapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah cinta untuk bertemu dengannya.” (HR. Bukhari dan Muslim) no 6508 dan no 2686
[Tidak mahukah kita bertemu dengan Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita? Katakanlah ada seseorang yang telah menanggung pembelajaran kita di universiti secara rahsia. Dan kemudian kita ada peluang untuk bertemu dengan dia, tidakkah kita mahu berjumpa dengannya, bukan? Apatah lagi dengan Allah ﷻ yang telah memberikan kita segala-galanya?
Allah ﷻ bukan sahaja telah berjasa kepada kita, ditambah pula Dia adalah Maha Cantik! Takkan tidak mahu berjumpa dengan-Nya? Perasaan ini hanya akan timbul kalau ada pemahaman dengan sifat-sifat Allah ﷻ. Kalau hanya ada “surface knowledge” sahaja, maka perasaan ini tidak akan timbul.
Dan ada balasan daripada Allah ﷻ. Hadith Nabi ﷺ memberitahu kepada kita yang kalau ada perasaan rindu hendak berjumpa Allah ﷻ, maka Allah ﷻ pun hendak berjumpa dengan kita. Maknanya ada balasan baik daripada Allah ﷻ. Sebab itulah ada doa orang yang sudah mati, jika dia adalah seorang mukmin, maka dia akan segera minta dia dikuburkan kerana dia sudah berharap mendapat nikmat dalam kubur. Dan di syurga nanti akan mendapat nikmat “ultimate” iaitu bertemu dengan Allah ﷻ.]
Dan tidak diragukan lagi hal ini dapat memberi banyak pengaruh kepada hamba dalam amalan-amalan ibadah. Sehingga Allah ta’ala berfirman:
فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلاً۬ صَـٰلِحً۬ا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦۤ أَحَدَۢا
“Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya.” (Al-Kahfi: 110)
[Jika ingin bertemu Allah ﷻ, maka kenalah jaga bab ibadah dan iman. Maka seseorang itu akan banyak berbuat amal kebaikan. Dia akan membuat persediaan.]
Dari sinilah kita mengetahui bahawa semua bentuk peribadahan itu kembali kepada pengaruh nama dan sifat Allah. Oleh kerana itu, hal ini lebih menekankan kepada setiap muslim untuk mengenal Rabbnya, nama dan sifat-Nya dengan pengenalan yang sebenarnya dan mengenal konsekuensi dan pengaruhnya. Dengan inilah, seorang hamba akan lebih banyak mendapatkan kebaikan.
[Kena kenal Allah ﷻ dengan benar. Jika tidak tahu, mungkin ada salah faham dengan Allah ﷻ, buruk sangka dengan Allah ﷻ pula. Ada hadith yang menyatakan Allah ﷻ ikut sangkaan hamba-Nya. Contohnya ada buruk sangka Allah ﷻ tidak dengar doa dia, Allah ﷻ tidak adil dan sebagainya. Sedangkan ada sebab-sebab yang kita tidak tahu kenapa Allah ﷻ tidak makbulkan. Ini kerana mesti ada kebaikan sebenarnya dalam Allah ﷻ tidak memberi. Ada benda lain yang Allah ﷻ hendak berikan. Kita sahaja tidak nampak perancangan Allah ﷻ.]
Sesungguhnya seorang mukmin yang bertauhid, dia mendapatkan dengan keimanan dan keyakinannya terhadap nama dan sifat Rabbnya yang baik, yang menunjukkan akan keagungan Allah, kebesaran dan keesaan-Nva dalam kemuliaan dan keindahan yang dapat menariknya untuk selalu memfokuskan semua cita-cita dan harapannya kepada Allah dengan penuh kecintaan, pengagungan, kekhusyukan, merendahkan diri, berharap dan takut, dan dia selalu mencari ridhaNya dengan mengerahkan semua daya dan upaya mendekatkan diri kepadaNya dengan melaksanakan hal yang disunnah setelah menjalankan yang diwajibkan.
[Maka ringanlah seseorang itu untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ dengan melakukan ibadah-ibadah sunat dan sebagainya.]
Semua taufik dan petunjuk di tangan Allah, tidak ada yang dapat mencegah apa yang Dia beri dan tidak ada dapat memberi apa yang Dia cegah. Tidak ada daya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah.
[Harus sentiasa mengingat diri sendiri bahawa semuanya dalam tangan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan. Kita kena usaha sebaik mungkin untuk mengenali-Nya. Namun begitu kejayaan itu hanya mengikut kehendak Allah ﷻ.]
Sambung ke bab yang seterusnya
Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna