Tafsir Surah Talaq Ayat 5 – 8 (Bayar susu ibu)

Ayat 5:

ذٰلِكَ أَمرُ اللَّهِ أَنزَلَهُ إِلَيكُم ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّر عَنهُ سَيِّئَاتِهِ وَيُعظِم لَهُ أَجرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is the command of Allāh, which He has sent down to you; and whoever fears Allāh – He will remove for him his misdeeds and make great for him his reward.

(MELAYU)

Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu, dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.

 

ذٰلِكَ أَمرُ اللَّهِ أَنزَلَهُ إِلَيكُم

Itulah perintah Allah yang diturunkan-Nya kepada kamu,

Kena ikutlah hukum Allah ‎ﷻ yang telah ditetapkan oleh-Nya. Kita kena sedar yang kita ini hamba dan kena taat kepada arahan Tuan. Dan kita kena sedar yang segala penetapan hukum dari Allah ‎ﷻ ini ada hikmahnya. Kalau kita dapat terima ini, maka akan mudah bagi kita untuk menerima dengan rela segala hukum yang Dia telah tetapkan. Orang yang berat hati dengan hukum dari Allah ‎ﷻ adalah kerana mereka tidak faham bagusnya hukum-hukum itu untuk mereka.

Maka sebagai suami yang telah menceraikan isterinya, dan isteri yang telah diceraikan oleh suaminya, hendaklah taat kepada hukum-hukum yang telah disebut sebelum ini dan dalam ayat-ayat lain.

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يُكَفِّر عَنهُ سَيِّئَاتِهِ

dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya 

Sekali lagi Allah ‎ﷻ berfirman tentang taqwa. Kalau taqwa kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ akan menghapuskan dosa orang itu. Allah ‎ﷻ boleh mengampunkan semua dosa tidak kira banyaknya. Dan khususnya ayat ini tentang perhubungan antara suami isteri. Maka kerana mereka rapat dan hidup berdekatan, maka tentulah ada salah silap sesama mereka. Maka Allah ‎ﷻ boleh ampunkan kesalahan mereka itu.

Masalah suami itu kadang-kadang boleh berbaik dengan semua orang tetapi kalau dengan isteri, tidak pula begitu. Kerana itu kita ada dengar orang yang baik di luar tetapi garang dengan isterinya sendiri. Kadangkala golongan isteri pun begitu juga. Mereka lebihkan orang lain daripada suami mereka sendiri.

 

وَيُعظِم لَهُ أَجرًا

dan akan menghebatkan pahala baginya.

Bukan sahaja Allah ‎ﷻ akan mengampunkan dosa orang yang bertaqwa itu, malahan Allah ‎ﷻ akan bagi pahala yang berganda-ganda. Ayat sebelum ini disebut kebaikan taqwa untuk kebaikan di dunia dan sekarang dah mula sebut kebaikan di akhirat pula. Maknanya taqwa dapat kebaikan dunia dan akhirat.


 

Ayat 6:

أَسكِنوهُنَّ مِن حَيثُ سَكَنتُم مِّن وُجدِكُم وَلا تُضارّوهُنَّ لِتُضَيِّقوا عَلَيهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ ۚ فَإِن أَرضَعنَ لَكُم فَئآتوهُنَّ أُجورَهُنَّ ۖ وَأتَمِروا بَينَكُم بِمَعروفٍ ۖ وَإِن تَعاسَرتُم فَسَتُرضِعُ لَهُ أُخرىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Lodge them¹ [in a section] of where you dwell out of your means and do not harm them in order to oppress them.² And if they should be pregnant, then spend on them until they give birth. And if they breastfeed for you, then give them their payment and confer among yourselves in the acceptable way; but if you are in discord, then there may breastfeed for him [i.e., the father] another woman.³

  • During their waiting period (referring to wives whose divorce has been pronounced).
  • So that they would be forced to leave or to ransom themselves.
  • See 2:233.

(MELAYU)

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.

أَسكِنوهُنَّ مِن حَيثُ سَكَنتُم مِّن وُجدِكُم

Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu

Jangan keluarkan isteri yang telah dilafazkan talaq itu dari rumah. Mereka masih lagi isteri yang sah. Maka kena benarkan mereka tinggal di tempat biasa mereka tinggal. Iaitu tempat tinggal yang sama dengan suaminya. Maknanya duduk tinggal bersama. Kalimah وُجدِكُم daripada katadasar و ج د yang bermaksud menjumpai sesuatu yang hilang; sesuatu yang didapati. Maksudnya ikut kemampuan suami yang dia boleh dapat.

Beberapa hukum yang telah dibincangkan oleh ulama’ tentang perkara ini:

1. Bagi isteri yang ditalaq dan talaq itu jenis boleh dirujuk, maka isteri itu layak mendapat nafkah dan tempat tinggal dalam masa iddah.

2. Bagi isteri yang ditalaq semasa mengandung, maka suami mesti memberikan tempat tinggal dan nafkah sehinggalah bayi itu dilahirkan. Ini tidak kira sama ada talaq itu boleh dirujuk atau tidak.

3. Ada khilaf jikalau isteri yang ditalaq tanpa rujuk itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah. Ini jika tidak mengandung. Ada tiga pendapat dalam hal ini:

a. Pendapat yang pertama mengatakan isteri itu berhak kepada tempat tinggal dan juga nafkah. Ini adalah pendapat Saidina Umar, ‘Abdullah bin Mas’ud, ‘Ali bin Husain (Imam Zain al-‘Abidin), Qadi Shuraih and Ibrahim Nakha’i. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanafi.

b. Golongan ulama’ kedua berpendapat bahawa para isteri itu berhak kepada tempat tinggal tetapi tidak berhak kepada nafkah. Pendapat ini dipegang oleh Sa’id bin al-Musayyab, Suleman bin Yasar, ‘Ata`, Sha`bi, Auza’i, Laith and Abu ‘Ubaid, dan juga Imam Shafi’ i y dan Imam Malik.

c. Golongan ulama’ ketiga berpendapat yang para isteri yang tidak boleh dirujuk itu tidak layak kepada tempat tinggal dan nafkah. Pendapat ini dipegang oleh Hasan Basri, Hammad Ibn Laila, ‘Amr bin Dinar, Ta’us, Ishaq bin Rahawaih and Abu Thaw.

Hujah kumpulan ini menggunakan dalil hadith riwayat Fatimah bint Qais. رضي الله عنها. Tetapi hadith ini ditolak oleh golongan pertama. Saidina Umar رضي الله عنه menolak pendapat Fatimah bint Qais رضي الله عنها itu. Pendapat Umar رضي الله عنه itu dikeluarkan semasa para sahabat masih ada lagi dan tiada yang menentang beliau.

Dan ada juga pendapat yang mengatakan keluarga bekas suami Fatimah رضي الله عنها tidak membenarkan tempat tinggal kepada beliau kerana masalah yang ada pada Fatimah رضي الله عنها itu sendiri. Ini adalah kerana mulutnya yang jahat. Allahu a’lam.

وَلا تُضارّوهُنَّ لِتُضَيِّقوا عَلَيهِنَّ

dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka

Jangan sakiti mereka semasa dalam menghabiskan iddah itu. Jangan seksa mereka dan gunakan kata-kata yang menyakitkan hati mereka. Kena kawal kata-kata dan jangan pakai lepas sahaja kata-kata dari mulut. Jangan bagi hati mereka sempit dan semput kerana kata-kata suami.

Antaranya perbuatan jahat yang suami biasa lakukan adalah layan isterinya dengan teruk sampaikan isterinya sendiri hendak keluar dari rumah kerana tidak tahan. Dia buat begitu supaya dia boleh kata: “Eh bukan aku halau dia…dia yang nak keluar sendiri la…” Allah ‎ﷻ tahu apa yang terjadi walaupun orang lain tidak tahu.

As-Sauri telah meriwayatkan dari Mansur, dari Abud Duha sehubungan dengan makna firman-Nya: dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan hati mereka. (At-Talaq: 6) Misalnya si suami menceraikan isterinya; dan apabila iddahnya tinggal dua hari, lalu dia merujukinya.

Ini memang memerlukan hati yang baik dan emosi yang terkawal. Kalau tidak pandai hendak jaga hati dan hendak ikut emosi sahaja, maka kata-kata kesat yang akan keluar dari mulut suami atau isteri itu.

Kena sedar yang kata-kata ini boleh menyebabkan sakit hati sampai ke mati. Kesakitan tubuh badan selalunya akan hilang sesudah sekian lama. Tetapi sakit hati disebabkan oleh kata-kata yang dilafazkan akan disimpan dalam hati.

وَإِن كُنَّ أُولٰتِ حَملٍ فَأَنفِقوا عَلَيهِنَّ حَتّىٰ يَضَعنَ حَملَهُنَّ

Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, 

Ini adalah dalil bahawa suami yang telah melafazkan talaq kepada isterinya tetap kena menanggung isterinya itu semasa hamil. Ini kerana wanita itu masih lagi isterinya dan anak dalam perut itu adalah anaknya. Maka kenalah tanggung. Seperti yang kita tahu, iddah bagi wanita mengandung itu adalah setelah dia melahirkan. Maka masa dia mengandung boleh sampai jadi 9 bulan.

Ulama’ menggunakan dalil ini untuk mengatakan bahawa isteri yang telah ditalaq itu berhak kepada tempat tinggal dan nafkah sehinggalah dia bersalin. Dan ini sama ada talaq itu boleh dirujuk atau tidak. Ini adalah ijmak di kalangan ulama’.

فَإِن أَرضَعنَ لَكُم فَئآتوهُنَّ أُجورَهُنَّ

kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya,

Bukan sahaja kena tanggung semasa dalam hamil. Apabila bekas isteri itu sudah melahirkan anak pun masih ada lagi tanggungjawab lelaki itu. Bekas suami masih kena beri upah kepada ibu kepada anaknya itu (bekas isteri dia) walaupun sudah bercerai.

Bekas suami tetap kena bayar upah penyusuan itu kerana anak yang disusui itu adalah anak  lelaki itu. Dan memang bapa kena tanggung anaknya sendiri. Bukannya atas tanggungan ibu. Maka kerana ibu itu susukan, maka kena bayar upah. Kerana kalau tidak, kena cari ibu susu yang lain dan kena bayar upah juga.

Ini juga mengajar kita yang susu itu adalah milik bekas isteri itu. Sebab itu dia berhak mendapat upah apabila menyusukan anaknya sendiri. Kerana walaupun itu anaknya, tetapi tanggungannya nafkah anak itu di atas bapanya. Maka para suami jangan lari daripada tanggungjawab.

Oleh kerana itu, walaupun itu adalah anaknya sendiri, tetapi ibu itu tidak wajib menyusukan anaknya. Maka kalau dia diminta oleh bekas suaminya untuk menyusui anaknya dan dia pun setuju, maka dia perlu dibayar.

وَأتَمِروا بَينَكُم بِمَعروفٍ

dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik;

I’timar adalah berbincang baik-baik. Berbincang seperti orang yang ada tamadun dan ada akal (akal yang sihat, bukan tidak cukup). Perbincangan memang akan jadi susah kalau ada orang yang tidak pakai otak tetapi pakai emosi sahaja. Maka kena ada kawalan emosi antara lelaki dan bekas isterinya itu. Jangan hendak ada maki hamun pula.

Berbincanglah dengan baik supaya tidak ada pihak yang menanggung kerugian. Cari “win-win solution”. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surat Al-Baqarah melalui firman-Nya:

{لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلا مَوْلُودٌ لَهُ بِوَلَدِهِ}

 

Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya. (Al-Baqarah: 233)

Antara perkara yang perlu dibincangkan adalah berapa bayaran upah penyusuan itu kerana agama tidak menetapkan bayaran secara tetap maka kena dibincangkan apakah bayaran yang sesuai dan diterima oleh kedua-dua pihak. Agama hanya menyebut ma’ruf sahaja. Iaitu yang diterima pakai di dalam masyarakat. Maka kena tengok apakah upah yang sesuai.

وَإِن تَعاسَرتُم فَسَتُرضِعُ لَهُ أُخرىٰ

dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.

Kalau tidak berjaya mencapai kata putus daripada perbincangan itu (antara suami dan bekas isteri), maka bolehlah bagi orang lain yang susukan. Ini dinamakan ‘ibu susuan’ dan biasa diamalkan pada zaman dahulu di Tanah Arab.

Ibunya adalah insan yang paling baik untuk menyusukan anak itu. Tetapi kalau tidak dapat mencapai persetujuan maka bolehlah diberikan kepada orang lain untuk menyusukan anak itu. Mungkin kerana ibunya tidak mahu atau minta bayaran yang terlalu banyak.

Apabila beri kepada ibu susuan lain, kena juga bayar upah. Bayaran upah itu kenalah dikeluarkan oleh bapa budak itu. Akan tetapi jikalau tidak dijumpai wanita yang boleh menyusukan anak itu, maka ulama’ mengatakan kewajipan itu jatuh balik kepada ibunya kembali.

Daripada bahasa yang digunakan dalam ayat ini, mengandungi teguran kepada suami dan bekas isteri itu. Kenapalah benda kecil untuk menyusukan anak pun tidak boleh mencapai kata putus? Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, kalau kamu tidak mahu susukan anak itu, ada orang lain yang boleh susukan lah. Bukan kamu seorang sahaja yang boleh susukan. Sepatutnya kamu sebagai ibu dan bapa patut uruskan perkara kecil begini dan jadi manusia yang baik, tetapi kalau kamu tidak ambil peluang, maka kena diberikan kepada orang lain.


Ayat 7:

لِيُنفِق ذو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيهِ رِزقُهُ فَليُنفِق مِمّا ءآتٰهُ اللَّهُ ۚ لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا ما ءآتٰها ۚ سَيَجعَلُ اللَّهُ بَعدَ عُسرٍ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Let a man of wealth spend from his wealth, and he whose provision is restricted – let him spend from what Allāh has given him. Allāh does not charge a soul except [according to] what He has given it. Allāh will bring about, after hardship, ease [i.e., relief].

(MELAYU)

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.

لِيُنفِق ذو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.

Memang tidak ditetapkan jumlah bayaran yang perlu diberikan kepada isteri itu untuk menyusukan anaknya. Allah ‎ﷻ tidak tetapkan supaya tidak menyusahkan bekas suami. Maka pembayaran itu kena ikut kemampuan para suami.  Kalau Allah ‎ﷻ tetapkan jumlah bayaran tertentu, maka tentulah itu akan menyusahkan orang yang tidak berkemampuan.

وَمَن قُدِرَ عَلَيهِ رِزقُهُ فَليُنفِق مِمّا ءآتٰهُ اللَّهُ

Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. 

Maka suami yang tidak berkemampuan kerana miskin (atau sedang susah waktu itu), maka dia kena beri bayaran itu sesuai dengan apa yang dia mampu. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا}
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya: (Al-Baqarah: 286)

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا ما ءآتٰها

Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya.

Allah ‎ﷻ tidak membebani para suami lebih daripada rezeki yang Dia beri. Kalau ada sedikit sahaja harta maka kena beri sedikit sahaja. Islam bukanlah agama yang tidak praktikal. Kalau memang tidak mampu, tidak dipersalahkan, tidak dipaksa untuk melakukan sesuatu yang tidak mampu.

سَيَجعَلُ اللَّهُ بَعدَ عُسرٍ يُسرًا

Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.

Allah ‎ﷻ akan mudahkan urusan kepada mereka yang bertaqwa. Asalkan percaya kepada Allah ‎ﷻ dan serahkan urusan kepada Allah ‎ﷻ. Makna ayat ini sama dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا}

 

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. (Al-Insyirah: 5-6)

Dalam Islam, cerai bukanlah masalah besar. Boleh sahaja ia berlaku dan tidak perlu malu kalau terjadi kepada kita. Maka kenalah kita pandang biasa sahaja perkara ini dan janganlah malukan golongan janda itu. Nabi ﷺ pun banyak menikahi janda.

Dan jangan pandang serong kepada mereka yang bercerai kerana pasangan yang bercerai itu bukanlah mereka orang yang jahat. Kita tidak tahu hal sebenar yang terjadi antara mereka sampai mereka terpaksa bercerai. Mereka pun tidak berniat hendak bercerai semasa mereka menikah dahulu. Sahabat pun banyak yang bercerai. Takkan kita hendak kata mereka itu golongan yang teruk pula. 

Pandangan serong masyarakat yang jahil telah menyebabkan masalah besar terhadap institusi perkahwinan. Ia boleh jadi sampai ke tahap membahayakan jikalau ada yang malu untuk bercerai semata-mata kerana takut apa orang kata.

Mereka terpaksa terus kekal di dalam perkahwinan itu walaupun sudah tidak ada rasa sayang atau mungkin dalam pernikahan yang tidak sihat dan menyeksakan serta menyesakkan di antara kedua-dua belah pihak. Entah suami itu jenis kaki pukul isteri tetapi isteri itu malu hendak melaporkan kepada pihak berwajib kerana takut bercerai dan malu dipandang serong oleh masyarakat.  

Maka jangan susahkan pasangan yang hendak bercerai. Mereka bercerai pun kerana mereka sudah terpaksa melakukannya. Ini nasihat kepada jabatan agama juga. Banyak kita telah dengar mereka telah melambatkan proses perceraian pasangan. Mereka tetap juga hendak kekalkan pasangan itu dalam perkahwinan (“Makcik balik rumah lah… jangan lah bercerai”).

Tidak tahu sama ada mereka malas buat kerja (banyak kertas kerja); atau mereka rasa pasangan itu tidak patut bercerai (kerana bersandarkan hadith palsu yang mengatakan Arasy bergegar kalau bercerai).

تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوْا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

“Kahwinilah dan jangan kamu talaq, kerana talaq itu menggoncang Arasy” adalah sebuah hadith yang palsu. (lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Daifah, 1/278, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif).

Tetapi dalam masa yang sama, jangan memudahkan cerai pula. Kena dipersoalkan juga apakah sebabnya mereka henak bercerai kerana mungkin ada masalah kecil sahaja yang boleh diselesaikan kalau jumpa orangnya. Kadangkala yang berkahwin itu tidak dilengkapi dengan ilmu perkahwinan yang sepatutnya. Maka kena beri nasihat. Kadangkala henfak bercerai hanya kerana suami tidak bawa pergi shopping sahaja.

Masalah dalam perkahwinan dapat dielakkan dengan diberikan pengetahuan yang sepatutnya. Malangnya ramai menikah tanpa ada ilmu perkahwinan, ilmu komunikasi, ilmu agama. Kalau pergi kursus menikah sekarang, banyak melawak sahaja di dalamnya. Maka kena tambah ilmu lagi sebelum berkahwin, atau selepas berkahwin.

Kena diperiksa juga bakal pasangan sebelum mereka berkahwin. Kena kenal sedikit sebanyak tentang bakal pasangan. Jangan sudah kahwin baru hendak kenal kerana kadangkala ada perkara yang pasangan tidak suka. Kalau sudah kahwin baru tahu, maka akan menyusahkan sahaja.

Maka elok tanya kepada orang yang kenal bakal pasangan. Tanya bagaimanakah sifat bakal pasangan itu. Bapa atau ahli keluarga yang lain kena jalankan tugas dengan bertanya kepada orang kampung atau kawan-kawan bakal pasangan. Jangan nanti sudah kahwin baru kelam kabut hendak bercerai. Entah-entah kaki candu, atau kaki rempit.

Oleh itu, jangan ekstrem dalam dua hal ini. Jangan halang perceraian dan jangan mudahkan sangat perceraian. Kena cari pertengahan antara keduanya. Begitulah agama ini, kena cari jalan pertengahan.

Sekian Ruku’ 1 dari 2 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 8: Sekarang Allah ‎ﷻ memberi amaran kepada manusia yang tidak mahu taat kepada arahan Allah ‎ﷻ dan Rasul-Nya. Ayat 8 – 12 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir. Allah ‎ﷻ memberitahu dalam perenggan ini yang pelanggaran syari’at boleh menyebabkan turunnya bala dan azab.

وَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ عَتَت عَن أَمرِ رَبِّها وَرُسُلِهِ فَحاسَبنٰها حِسابًا شَديدًا وَعَذَّبنٰها عَذابًا نُّكرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And how many a city was insolent toward the command of its Lord and His messengers, so We took it to severe account and punished it with a terrible punishment.

(MELAYU)

Dan berapalah banyaknya (penduduk) negeri yang mendurhakai perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasul-Nya, maka Kami hisab penduduk negeri itu dengan hisab yang keras, dan Kami azab mereka dengan azab yang mengerikan.

وَكَأَيِّن مِّن قَريَةٍ عَتَت عَن أَمرِ رَبِّها وَرُسُلِهِ

Dan berapalah banyaknya (penduduk) negeri yang mendurhakai perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasul-Nya,

Kalimah عَتَت dari katadasar ع ت و yang bermaksud menarik dengan kasar, menolak dengan ganas, mengangkat seseorang dengan kasar, kasar dalam tuturkata, jahat, pelahap, hati keras, kejam, tamak, ganas, tercela, akhlak buruk. Bila menjadi عَتَت ia bermaksud derhaka kerana sombong. Mereka tahu kebenaran tetapi mereka pilih untuk tidak taat kerana sombong degil sahaja. 

فَحاسَبنٰها حِسابًا شَديدًا

maka Kami hisab penduduk negeri itu dengan hisab yang keras, 

Kalimah حساب bermaksud ‘kira’ dan kalau dalam zaman moden ini kita boleh katakan ianya adalah ‘audit’.

Kepada mereka yang sombong untuk terima kebenaran telah dikenakan dengan audit yang keras. Maksudnya semua perkara akan dikira dengan ketat. Kalau kita kena audit sekarang pun kita tidak suka, bukan? Kerana kalau diperhatikan dengan terperinci, mesti akan ada masalah yang dijumpai. 

وَعَذَّبنٰها عَذابًا نُّكرًا

dan Kami azab mereka dengan azab yang mengerikan.

Dan selepas itu Allah ‎ﷻ kenakan mereka dengan azab semasa di dunia lagi.

Apabila digunakan kalimah نكر bermaksud azab yang dikenakan itu adalah azab yang tidak tahu bagaimana. Tidak pernah dikenakan kepada orang sebelum mereka. Maka ini adalah ancaman azab yang amat menakutkan. Kita tidak tahu kita akan kena apa, tetapi kita pun tahu yang kita tidak akan suka kalau dikenakan kepada kita. Maka janganlah kita buat pasal.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Tarikh: 17 Disember 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s