Tafsir Surah Talaq Ayat 2 – 4 (Nikah sebelum haid)

Ayat 2: Apakah yang terjadi apabila iddah sudah habis?

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ ۚ ذٰلِكُم يوعَظُ بِهِ مَن كانَ يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they have [nearly] fulfilled their term, either retain them according to acceptable terms or part with them according to acceptable terms. And bring to witness two just men from among you and establish the testimony for [the acceptance of] Allāh. That is instructed to whoever should believe in Allāh and the Last Day. And whoever fears Allāh – He will make for him a way out¹

  • i.e., relief from distress.

(MELAYU)

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمسِكوهُنَّ بِمَعروفٍ

Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik

Apabila waktu iddah itu telah hampir tamat, maka jikalau suami itu buat keputusan untuk memegangnya kembali (rujuk), maka peganglah isterinya itu dengan cara ma’ruf . Maksudnya dengan cara yang semua orang tahu adalah cara yang baik. Tidak perlu hendak diperhalusi apakah ‘ma’ruf’ ini kerana ia adalah perkara yang tidak perlu diajar secara terperinci pun di dalam agama.

Ini kerana semua orang tahu sama ada sesuatu itu baik atau tidak, termasuklah orang yang kafir pun tahu juga kerana ia hanya perlu kepada akal yang sihat sahaja. Jadi ini mengajar kita yang kita kena ikut adat dalam masyarakat dan bukannya ikut kepala otak kita sahaja.

Ini penting kerana kadang-kadang suami ataupun isteri akan buat sesuatu perkara ikut kehendak dia sendiri, sampaikan tidak boleh diterima oleh masyarakat yang sihat. Tetapi ada juga yang masih mahu menegakkan keputusan mereka itu seolah-olah keputusan mereka itulah yang benar.

Maka kalau sudah buat keputusan untuk rujuk, maka ambillah balik isteri itu dengan baik. Jangan lagi buat perkara yang boleh menyebabkan perlafazan cerai itu. Sekali sudah terlepas cakap maka kenalah berhati-hati sekarang. Kenalah ingat yang ada dua peluang sahaja lagi untuk talaq boleh rujuk. Kalau sudah talaq sampai kali ketiga, memang harapan untuk rujuk kembali hampir tidak ada.

Rujuk ini kenalah dilakukan sebelum habis tempoh iddah. Maka jangan tunggu lama-lama. Jangan lepaskan peluang yang ada. Sebab itu Islam mengajar isteri yang telah ditalaq itu terus tinggal di rumah itu jangan keluar.

Selepas ambil balik isteri itu, maka berilah layanan kepadanya dengan baik (ma’ruf). Janganlah ambil balik mereka kerana hendak menyeksa mereka atau jiwa mereka. Pasangan suami isteri kenalah berbaik-baik dalam perhubungan. Yang tidak baik itu adalah kerana salah seorang (atau kedua-duanya sekali) ada masalah komunikasi. Kalau kedua-duanya boleh berkomunikasi dengan baik, boleh sahaja duduk berbincang sesama sendiri. Ini kena belajar teknik-teknik komunikasi.

أَو فارِقوهُنَّ بِمَعروفٍ

atau lepaskanlah mereka dengan baik

Jikalau suami itu telah buat keputusan untuk terus berpisah dengan isterinya maka berpisahlah dengan cara baik. Jangan ada permusuhan antara mereka dan di dalam Surah al-Baqarah (ayat 241) sampai ada disebut untuk kita beri hadiah kepada mereka. Kalau ada mahr yang berhutang lagi, maka bayarlah mahr itu. 

Malangnya di dalam masyarakat kita tidak menjaga perkara ini di mana apabila suami isteri berpisah mereka bermusuhan sehinggakan anak-anak menjadi mangsa. Mereka benci sangat kepada pasangan lama sampaikan mereka tidak boleh melihat pasangan lamanya.

Maka anak itu pun perasan kebencian antara ibu dan bapa mereka sampaikan mereka pun kena pilih untuk setia kepada siapa. Ini kerana kadang-kadang ibu atau bapa itu akan memburukkan pasangan lama mereka kepada anak-anak supaya anak-anak pun benci sekali. Ini amat teruk sekali. Anak itu akan mendapat tekanan jiwa akhirnya dan tidak membesar dengan baik. 

Ingatlah yang bekas pasangan itu adalah ibu ataupun ayah kepada anak-anak kita dan mereka juga hamba Allah ‎ﷻ yang ada masalah dan ada kebaikan mereka. Maka janganlah buat musuh dengan orang yang dahulunya baik dan juga rapat dengan kita. Masalah yang terjadi itu letaklah di tepi sahaja dan jangan libatkan orang luar terutama anak-anak. Jangan simpan kebencian di dalam hati kerana ia akan memakan hati kita dan menyebabkan kita sakit jiwa sahaja. Kena belajar untuk memaafkan orang.

Satu lagi masalah adalah banyak pihak yang terlibat dalam keluarga itu yang cuba untuk beri masalah kepada perhubungan itu. Ini seperti ibubapa, adik beradik, kawan-kawan, pakcik dan makcik, satu kampung, satu bandar dan sebagainya. Mereka itu tidak layak hendak beri nasihat pun kerana tidaklah pandai mana, tetapi biasalah orang bodoh pun teringin juga hendak beri nasihat.

Ini kerana ramai yang perasan mereka pandai. Maka nasihat yang mereka beri itu selalunya nasihat yang seperti tikus membaiki labu. Langsung tidak membawa kepada kebaikan tetapi membawa kepada keburukan. Maka selalunya kita kena tahan diri kita daripada memberi nasihat kalau kita tidak tahu.

وَأَشهِدوا ذَوَي عَدلٍ مِّنكُم

dan persaksikanlah dengan dua orang saksi lelaki yang adil di antara kamu

Kalau boleh, adakan saksi dari kalangan orang-orang yang adil untuk menjadi saksi bahawa memang suami telah melafazkan talak dan juga masa iddah telah habis. Kalimah ذَوَي bermaksud ‘dua orang lelaki’. Ini supaya kalau perkara itu perlu dibawa ke mahkamah maka ada orang adil yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar.

Ini bukanlah wajib, tetapi sunat sahaja. Talaq dan rujuk tetap sah sama ada ada saksi ataupun tidak. Jadi ini adalah arahan irsyadi sahaja sebagai anjuran baik untuk dilakukan. Kerana kalau ada perbicaraan di mahkamah, ada orang yang boleh jadi saksi.

Telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ibnu Majah dari Imran ibnu Husain, bahawa beliau pernah ditanya tentang seorang lelaki yang menceraikan isterinya, kemudian dia menggaulinya, tanpa memakai saksi atas perceraiannya dan juga atas rujuknya itu. Maka Imran ibnu Husain رضي الله عنه menjawab, “Wanita itu diceraikan dengan talak yang bukan talak sunnah dan dirujuk dengan rujuk yang bukan sunnah. Aku bersaksi atas perceraian dan juga rujuknya, tetapi jangan terulang lagi peristiwa ini.”

وَأَقيمُوا الشَّهٰدَةَ لِلَّهِ

dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. 

Apabila orang yang menjadi saksi dipanggil, maka hendaklah mereka datang untuk menegakkan keadilan. Jangan simpan persaksian kerana kalau disimpan, kes tidak dapat diselesaikan.

ذٰلِكُم يوعَظُ بِهِ مَن كانَ يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Begitulah nasihat yang Allah ‎ﷻ berikan kita untuk menjaga perhubungan manusia. Kalau kamu orang yang mengatakan kamu beriman, maka hendaklah kamu ikut undang-undang dan cara-cara yang Allah‎ ﷻ telah ajar ini. Ia adalah untuk kebaikan kita sebenarnya, bukan Allah ‎ﷻ. 

Kalimah يوعَظُ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud anjuran-anjuran dalam ayat ini hendaklah diikuti oleh orang yang beriman. Tetapi kalau ia tidak dijalankan, maka perceraian dan rujuk tetap sah. Jadi kalau,

– suami tidak menceraikan isteri dengan cara sunnah,
– isteri dikeluarkan dari rumah,
– isteri keluar dari rumah,
– suami rujuk isteri hanya untuk menzalimi isteri itu,
– tiada saksi semasa perceraian dan rujuk,

Perceraian dan rujuk tetap sah cuma ia bukanlah cara seorang muslim sejati.

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مَخرَجًا

Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.

Selalunya orang-orang yang baru bercerai akan rasa hidup mereka tunggang-langgang dan masalah itu amat besar kepada mereka tetapi Allah ‎ﷻ memberi nasihat di dalam ayat ini yang jikalau mereka bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ maka Allah akan berikan jalan keluar daripada masalah mereka itu.

Maksud taqwa itu adalah dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ tetapkan untuk kebaikan kita. Dalam semua perkara kena dijaga hukum, terutama sekali tentang cerai. Dan dengan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ tetapkan itu, ia adalah untuk kebaikan kita sebenarnya. Dalam semua perkara kena dijaga hukum, terutama sekali tentang cerai.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Mansur Ar-Ramadi, telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Ubaid, telah menceritakan kepada kami Zakaria, dari Amir, dari Syittir ibnu Syakal yang mengatakan bahawa dia pernah mendengar Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه mengatakan bahawa sesungguhnya ayat yang paling global dalam Al-Qur’an adalah firman-Nya: Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan. (An-Nahl: 90) Dan ayat yang paling besar mengandungi jalan keluar dalam Al-Qur’an adalah firman Allah ‎ﷻ: Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nesaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. (At-Talaq: 2)

Nota: hujung ayat ini adalah sebahagian dari ‘Ayat Seribu Dinar’ yang banyak diamalkan oleh orang yang jahil dalam masyarakat kita. Amalan itu tidak ada dalil, dan mereka yang mengamalkannya pun tidak tahu apa yang mereka baca kerana mereka tidak belajar tafsir ayat ini pun, tetapi ikut orang lain sahaja.

Kerana tidak faham dengan agama, maka mereka mengulang-ulang ayat ini dibaca, malah lebih teruk lagi ditampal dan digantung di rumah, kedai dan pejabat. Mereka sangka itu akan memberikan jalan keluar dari masalah dan dapat memberi rezeki kepada mereka.

Padahal ayat ini dimulakan dengan kalimat ‘barangsiapa bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ’. Maka kalau mereka hendak mendapat manfaat daripada ayat ini, maka yang perlu dilakukan adalah bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ dan bukannya baca sahaja dan tampal ayat ini di mana-mana. Itu bukanlah cara untuk mendapat jalan keluar daripada masalah.

As-Saddi mengatakan bahawa seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah ﷺ yang dikenal dengan nama Auf ibnu Malik Al-Asyja’i mempunyai seorang anak lelaki yang tertawan di kalangan kaum musyrik. Anaknya itu berada di tangan kaum musyrik, sedangkan ayahnya selalu mendatangi Rasulullah ﷺ mengadukan nasib yang dialami oleh anaknya itu dan juga tentang kemiskinan yang menimpa dirinya. Rasulullah ﷺ selalu menganjurkan kepadanya untuk bersabar menghadapi semua musibah itu dan bersabda kepadanya: Sesungguhnya Allah akan menjadikan bagimu jalan keluar. Tidak lama kemudian ternyata anaknya itu dapat meloloskan diri dari tangan musuh dan melarikan diri, kemudian dia bersua dengan ternak kambing milik musuhnya, maka dia menggiring ternak kambing itu dan pulang ke rumah ayahnya dengan membawa ternak kambing hasil rampasannya. Lalu diturunkanlah ayat berikut berkenaan dengan peristiwa ini, iaitu firman-Nya: Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. (At-Talaq: 2-3)


 

Ayat 3:

وَيَرزُقهُ مِن حَيثُ لا يَحتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بٰلِغُ أَمرِهِ ۚ قَد جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيءٍ قَدرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And will provide for him from where he does not expect. And whoever relies upon Allāh – then He is sufficient for him. Indeed, Allāh will accomplish His purpose. Allāh has already set for everything a [decreed] extent.

(MELAYU)

Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

وَيَرزُقهُ مِن حَيثُ لا يَحتَسِبُ

Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.

Ini adalah sambungan dari ayat sebelum ini. Sebelum ini telah disebut yang sesiapa sahaja yang bertaqwa, akan diberikan jalan keluar dari masalah. Sekarang diberitahu yang sesiapa yang bertawakal, Allah ‎ﷻ berjanji akan memberikan rezeki kepadanya.

Sebelum ini disebut tentang perceraian antara suami isteri. Kalau sudah diceraikan isteri itu, tetapi kena lagi diberi nafkah, maka tentulah agak susah bagi para suami. Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa dalam keadaan begitu, kena taqwa sahaja. Serahkan kepada Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ  kan cukupkan bagi suami itu untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Ayat ini juga berbentuk umum dan kerana itu kita boleh faham bahawa kalau kita bertawakal, maka Allah ‎ﷻ akan beri kerja yang memberi pendapatan kepada kita, dan jika kita buka perniagaan dan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka Allah ‎ﷻ akan berikan rezeki kepada kita dan bawa orang datang untuk beli barang-barang kita. Itu adalah contoh bagaimana Allah‎ ﷻ boleh beri rezeki kepada kita. 

Dan yang hebatnya, rezeki itu boleh datang daripada mana-mana arah sahaja yang kita tidak sangka-sangka dan kita tidak dapat bayangkan dan fikirkan. Allah ‎ﷻ boleh datangkan rezeki itu kerana Dia yang menguasai rezeki. 

وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسبُهُ

Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.

Ini pula adalah anjuran bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Jikalau kita bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka kita akan rasa cukup, puas hati dan tenang sahaja dalam kehidupan kita.

Allah ‎ﷻ akan cukupkan kepada kita di mana hati kita akan menjadi tenang-tenang sahaja dan tiada rasa resah gelisah. Ini kerana orang yang bertawakal itu tahu bahawa dia telah serahkan urusan kepada Allah‎ ﷻ dan dia yakin dengan Allah ‎ﷻ. Kerana dia yakin Allah ‎ﷻ boleh buat apa-apa sahaja yang Dia kehendaki. Kalau kita serahkan kepada orang, belum tentu orang itu boleh buat.

Jangan salah faham pula dengan konsep tawakal ini. Ada orang orang terus serahkan kepada Allah ‎ﷻ tanpa usaha apa-apa. Ini adalah salah. Tawakal ini datang setelah usaha. Kena usaha dahulu dan kemudian baru serah kepada Allah ‎ﷻ.

Selepas serah kepada Allah ‎ﷻ, terima sahaja apa keputusan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja dan Allah ‎ﷻ boleh jalankan usaha kita itu membawa kepada kejayaan. Tetapi kalau Allah ‎ﷻ tidak berikan kejayaan kepadanya, maknanya memang Allah ‎ﷻ tidak mahu ia terjadi sebegitu. Maka kena redha sahaja. Terima sahaja apa keputusan yang Allah ‎ﷻ telah buat.

Dan kerana itu kalau orang tawakal, dia akan tenang sahaja. Kalau kita bandingkan dengan orang yang tidak tawakal, ada bezanya kerana jika tidak bertawakal kepada Allah ‎ﷻ maka tidak habis-habis orang itu akan mengadu, menangisi nasib, memikirkan manakah salahnya dalam usaha dia dahulu, marah kepada orang yang tidak tolong dia, dan sebagainya lagi. 

إِنَّ اللَّهَ بٰلِغُ أَمرِهِ

Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya.

Allah ‎ﷻ pasti akan menjadikan perkara yang Dia kehendaki untuk berlaku. Dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang-Nya kalau Dia sudah buat keputusan. Kalau Allah ‎ﷻ hendakkan sesuatu itu terjadi, ia pasti akan terjadi.

Maka orang yang bertawakal kepada Allah ‎ﷻ akan redha sahaja dengan apa keputusan dari Allah ‎ﷻ. Kalau apa-apa sahaja terjadi, itu dalam kehendak Allah ‎ﷻ dan kita kena sedar yang kita ini ‘hamba’ sahaja. Apabila kita hamba, mana mungkin kita persoalkan keputusan yang Allah ‎ﷻ telah buat?

Maka serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja segala urusan kita.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا وَكِيع، حَدَّثَنَا بَشِيرُ بْنُ سَلْمَانَ، عَنْ سَيَّارٍ أَبِي الْحَكَمِ، عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ -هُوَ ابْنُ مَسْعُودٍ-قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنْ نَزَلَ بِهِ حَاجَةٌ فَأَنْزَلَهَا بِالنَّاسِ كَانَ قَمِنًا أَنْ لَا تُسَهَّل حَاجَتُهُ، وَمَنْ أَنْزَلَهَا بِاللَّهِ أَتَاهُ اللَّهُ بِرِزْقٍ عَاجِلٍ، أَوْ بِمَوْتٍ آجِلٍ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Waki’, telah menceritakan kepada kami Basyir ibnu Sulaiman, dari Sayyar Abul Hakam, dari Tariq ibnu Syihab, dari Abdullah ibnu Mas’ud رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda: Barang siapa yang mempunyai suatu keperluan, lalu dia menyerahkannya kepada manusia, maka dapat dipastikan bahawa keperluannya itu tidak dimudahkan baginya. Dan barang siapa yang menyerahkan keperluannya kepada Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ akan mendatangkan kepadanya rezeki yang segera atau memberinya kematian yang ditangguhkan (usia yang diperpanjang).

قَد جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيءٍ قَدرًا

Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Setiap sesuatu itu telah ada qadar yang Allah ‎ﷻ tentukan. Allah ‎ﷻ telah tentukan bila sesuatu perkara itu terjadi dan bagaimana ia akan terjadi. Qadr ini telah tertulis lama di Lauh Mahfuz. Maka tidak ada sesiapa yang dapat mengubahnya. 

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يُونُسُ، حَدَّثَنَا لَيْثٌ، حَدَّثَنَا قَيْسِ بْنِ الْحَجَّاجِ، عَنْ حَنَش الصَّنْعَانِيِّ، عَنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ: أَنَّهُ حَدَّثَهُ أَنَّهُ رَكِبَ خَلْفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “يَا غُلَامُ، إِنِّي مُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، وَإِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ، وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ، لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ، لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الْأَقْلَامُ، وَجَفَّتِ الصُّحُفُ”.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yunus, telah menceritakan kepada kami Lais, telah menceritakan kepada kami Qais ibnu Hajjaj, dari Hanasy As-San’ani, dari Abdullah ibnu Abbas رضي الله عنهما yang telah menceritakan kepadanya bahawa di suatu hari beloau pernah dibonceng di belakang Rasulullah ﷺ, lalu Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya:  Hi para pemudasesungguhnya aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat: Peliharalah (batasan-batasan) Allah ‎ﷻ, nescaya Dia akan memeliharamu. Ingatlah selalu Allah ‎ﷻ, nescaya engkau akan menjumpai-Nya di hadapanmu. Dan apabila kamu memohon, mohonlah kepada Allah ‎ﷻ; dan apabila kamu meminta tolong, maka minta tolonglah kepada Allah ‎ﷻ. Dan ketahuilah bahawa umat ini seandainya bersatu untuk memberimu manfaat, mereka tidak dapat memberimu manfaat kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah ‎ﷻ untukmu. Dan seandainya mereka bersatu untuk menimpakan mudarat terhadap dirimu, nescaya mereka tidak dapat menimpakan mudarat terhadapmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan Allah ‎ﷻ akan menimpa dirimu. Qalam telah diangkat (takdir telah ditetapkan) dan semua lembaran telah kering (telah penuh dengan catatan).


 

Ayat 4: Allah ‎ﷻ memberikan hukum iddah kepada wanita yang tertentu:

وَاللّٰئي يَئِسنَ مِنَ المَحيضِ مِن نِّسائِكُم إِنِ ارتَبتُم فَعِدَّتُهُنَّ ثَلٰثَةُ أَشهُرٍ وَاللّٰئي لَم يَحِضنَ ۚ وَأُولٰتُ الأَحمالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعنَ حَملَهُنَّ ۚ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مِن أَمرِهِ يُسرًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who no longer expect menstruation among your women – if you doubt, then their period is three months, and [also for] those who have not menstruated. And for those who are pregnant, their term is until they give birth.¹ And whoever fears Allāh – He will make for him of his matter ease.

  • The ruling concerning pregnancy applies also in the case of the husband’s death.

(MELAYU)

Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. Dan barang -siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

 

وَاللّٰئي يَئِسنَ مِنَ المَحيضِ مِن نِّسائِكُم

Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) di antara perempuan-perempuanmu

Kalimah يَئِسنَ dari katadasar ي أ س yang bermaksud putus asa, terdesak, putus asa. Dalam ayat ini ia bermaksud wanita yang tidak ada harapan untuk datang haid lagi. Jika ada wanita yang diceraikan tetapi dia tidak ada haid lagi (kerana sudah menopause) ataupun haidnya tidak teratur, maka tentu susah untuk dikira kitaran haid yang biasa (tiga kali suci). Maka Allah ‎ﷻ sekarang memberikan jalan keluar untuk mengira masa iddah mereka.

Ada sebuah hadith yang diriwayatkan dari Abu Kuraib dan Abus Sa’id, keduanya mengatakan bahawa: telah menceritakan kepada kami Ibnu Idris, telah menceritakan kepadaku Mutarrif, dari Amr ibnu Salim yang mengatakan bahawa Ubay ibnu Ka’b رضي الله عنه pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ,

“Wahai Rasulullah ﷺ, sesungguhnya ada beberapa macam wanita yang tidak disebutkan iddahnya di dalam Kitabullah, iaitu perempuan yang belum baligh, perempuan yang telah lanjut usia, dan perempuan yang sedang hamil. Amr ibnu Salim melanjutkan, bahawa lalu Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka iddah mereka adalah tiga bulan, dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. (At-Talaq: 4)

 

إِنِ ارتَبتُم فَعِدَّتُهُنَّ ثَلٰثَةُ أَشهُرٍ

jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya), maka masa iddah mereka adalah tiga bulan;

Pengiraan iddah untuk mereka adalah selama 3 bulan iaitu 90 hari. Maka tidak dikira dari kitaran haid lagi, tapi terus kira ikut hari. Ini lebih mudah untuk mereka yang haid mereka tidak teratur. 

Yang jadi masalah kalau selepas dicerai, baru haidnya tidak teratur. Sebagai contoh, dua bulan pertama dia datang haid tetapi selepas itu haidnya tidak datang pula. Maka ijtihad Saidina Umar رضي الله عنه, wanita itu kena tunggu selama 9 bulan untuk memastikan yang dia mengandung atau tidak. Selepas 9 bulan itu, kena tunggu lagi tiga bulan dan selepas itu barulah dia boleh menikah dengan orang lain.

 

وَاللّٰئي لَم يَحِضنَ

dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. 

Pengiraan 90 hari ini juga untuk mereka yang tidak ada haid dari dahulu lagi. Kerana ada wanita yang dilahirkan tidak ada haid. Ini jarang berlaku tetapi ada juga yang sebegitu.

Atau, mereka menikah sebelum haid mereka datang lagi. Ini menjadi dalil bahawa wanita itu boleh dikahwini walaupun mereka belum lagi datang haid. Bukan sahaja mereka boleh dikahwini, tetapi jimak dengan mereka juga dibenarkan.

 

وَأُولٰتُ الأَحمالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعنَ حَملَهُنَّ

Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.

Dan jikalau seorang perempuan itu diceraikan semasa mengandung, maka masa iddah mereka adalah apabila mereka melahirkan anak. Jadi kelahiran anak itu adalah penentu habisnya masa iddah di mana tidak kira sama ada masa itu sehari ataupun 8 bulan. Jadi bagi mereka, ia boleh jadi panjang atau boleh jadi pendek. 

Imam Bukhari telah meriwayatkan hadith ini di dalam kitab sahihnya, juga Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Nasai, dan Imam Ibnu Majah melalui berbagai jalur dari Subai’ah Al-Aslamiyah. Seperti yang dikatakan oleh Muslim ibnul Hajjaj, bahawa telah menceritakan kepadaku Abut Tahir, telah menceritakan kepadaku Ibnu Wahb, telah menceritakan kepadaku Yunus ibnu Yazid, dari Ibnu Syihab, telah menceritakan kepadaku Ubaidillah ibnu Abdullah ibnu Atabah, bahawa ayahnya pernah berkirim surat kepada Umar ibnu Abdullah ibnul Arqam Az-Zuhri yang memerintahkan kepadanya agar menemui Subai’ah bintil Haris Al-Aslamiyyah dan menanyakan kepadanya mengenai hadith yang dialaminya dan apa yang disabdakan oleh Rasulullah ﷺ kepadanya saat dia meminta fatwa kepadanya.

Maka Umar ibnu Abdullah membalas suratnya yang isinya memberitakan bahawa Subai’ah telah menceritakan kepadanya bahawa dahulu dia menjadi isteri Sa’d ibnu Khaulah, beliau adalah salah seorang yang ikut dalam Perang Badar, Lalu Sa’d meninggal dunia di masa Haji Wada’, sedangkan dia dalam keadaan mengandung. Tidak lama kemudian sepeninggal suaminya, dia melahirkan kandungannya. Setelah habis masa nifasnya, dia merias dirinya dan siap untuk dipinang, lalu Abus Sanabil ibnu Ba’kak masuk menemuinya dan bertanya kepadanya, “Kulihat engkau sekarang telah merias dirimu, rupanya engkau ingin menikah lagi. Demi Allah, sesungguhnya engkau tidak boleh menikah sebelum menjalani masa iddahmu, iaitu empat bulan sepuluh hari.”

Subai’ah melanjutkan kisahnya, bahawa setelah dia mendengar perkataan Abus Sanabil itu, maka pada petang harinya dia mengemasi pakaiannya dan datang menghadap kepada Rasulullah ﷺ, lalu menanyakan kepadanya tentang hal tersebut. Maka Rasulullah ﷺ memberikan fatwa kepadanya bahawa dia telah halal sejak melahirkan kandungannya, dan menganjurkan kepadanya untuk kahwin jika dia menghendakinya. Demikianlah menurut lafaz yang ada pada Imam Muslim. Imam Bukhari meriwayatkannya secara ringkas. Kemudian Imam Bukhari sesudah meriwayatkan hadith yang pertama mengetengahkan hadith ini pada tafsir ayat ini.

Ayat ini juga menjadi perbahasan juga berkenaan wanita yang mengandung kerana anak luar nikah. Dia tidak ada suami, maka bolehlah dia dikahwini pada waktu dia sedang mengandung?

Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama’. Dalam mazhab al-Syafi’iy pernikahan itu sah:

“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak), berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah ‎ﷻ dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda ﷺ bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafi’iy yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.” Rujuk Kitab Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (29/338)

Dalil dalam mazhab as-Syafi’iy ialah berdasarkan firman Allah ‎ﷻ:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَاءَ ذَٰلِكُمْ

Maksudnya: Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya). Nisa:24

Dalam ayat di atas, wanita hamil di luar nikah termasuk kategori wanita yang halal dinikahi kerana tidak termasuk wanita-wanita yang haram dinikahi. Selain itu, tidak ditemukan dalil yang melarang menikahi wanita hamil di luar nikah.

Daripada Ibn Umar رضي الله عنهما, sabda Rasulullah ﷺ:

لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ

Maksudnya: Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal. Riwayat Ibn Majah (2015)

Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana hamil anak luar nikah.

Terdapat riwayat seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina. Maka Saidina Umar al-Khattab رضي الله عنه bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar رضي الله عنه menyebat kedua-duanya. Umar رضي الله عنه bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut, dan Umar رضي الله عنه tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah. Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan, atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung. Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab (16/241-242)

Akan tetapi, ulama’ seperti Ibn Taimiyyah رحمه الله berpendapat yang nikah dengan wanita yang hamil kerana zina tidak sah. Ini adalah kerana ada hadith yang mengatakan:

لاَ تُوطَأُ حَامِلٌ حَتَّى تَضَعَ وَلاَ غَيْرُ ذَاتِ حَمْلٍ حَتَّى تَحِيضَ حَيْضَةً

Wanita hamil tidaklah disetubuhi hingga dia melahirkan dan wanita yang tidak hamil istibro’nya (membuktikan kosongnya rahim) sampai satu kali haid.

HR. Abu Daud no. 2157. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadith ini sahih.

Syarah: hadith ini mewajibkan seorang lelaki memastikan yang wanita yang akan dinikahinya itu kosong rahimnya. Maka kalau sudah diketahui dia sedang hamil, maka pernikahan itu terlarang.

Nota: Hadith ini membicarakan tentang hamba yang sebelumnya disetubuhi tuannya yang pertama, maka tuan yang kedua tidak boleh menyetubuhinya sampai melakukan istibro’ iaitu menunggu sampai satu kali haid atau sampai dia melahirkan anaknya jika dia hamil. Jadi jangan difahami bahawa hadith ini membicarakan larangan untuk menyetubuhi isteri yang sedang hamil.

 

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجعَل لَّهُ مِن أَمرِهِ يُسرًا

Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

Sekali lagi disebut tentang taqwa di dalam ayat ini di mana Allah ‎ﷻ memberitahu yang apa-apa hal pun kena bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ maka Allah ‎ﷻ akan memudahkan penyelesaian masalah dan urusan mereka. Maka kena serahkan kepada Allah ‎ﷻ dan redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ.  

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 17 Disember 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s