Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 6 – 8 (Tabayyun)

Ayat 6: Ayat 6 – 13 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menyebut hak-hak sesama manusia. Disebut undang-undang yang ketiga iaitu tentang berita. Orang fasiq suka hendak sebar berita tidak benar maka kena berhati-hati dengan mereka. Kita kenalah tabayyun.

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, if there comes to you a disobedient one with information, investigate, lest you harm a people out of ignorance and become, over what you have done, regretful.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

 

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا

Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti

Ini adalah apabila ada orang yang fasiq  datang bawa maklumat. Iaitu jenis yang dengar sahaja dan dia sampaikan tanpa memastikan berita itu benar atau tidak..

Ini adalah sifat munafik. Dan ia berlawanan dengan syariat agama. Kerana tidak boleh sampaikan berita kecuali benda itu pasti benar. Telah disebut tentang perkara ini  di dalam Al-Qur’an dan sunnah tentang perkara ini. Sila rujuk ayat Isra:36.

وَلا تَقفُ ما لَيسَ لَكَ بِهِ عِلمٌ ۚ إِنَّ السَّمعَ وَالبَصَرَ وَالفُؤادَ كُلُّ أُولٰئِكَ كانَ عَنهُ مَسئولًا

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.

Maknanya, jangan kita memperkatakan sesuatu tanpa kita ada ilmu – iaitu tanpa kita tahu yang ianya benar atau tidak. Kita kena pastikan ianya benar sebelum kita sampaikan kepada orang lain.

Ada satu hadis yang jelas berkenaan perkara ini juga. Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim bin Al-Hajjaaj رحمه الله dalam kitab Shahiih-nya dengan sanad dan matan lengkapnya :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حَفْصٍ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ، عَنْ خُبَيْبِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، قال : كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا، أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abi Syaibah, telah menceritakan kepada kami ‘Aliy bin Hafsh, telah menceritakan kepada kami Syu’bah, dari Khubaib bin ‘Abdirrahman, dari Hafsh bin ‘Aashim, dari Abu Hurairah, dari Nabi ﷺ, beliau bersabda, “Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta jika dia menceritakan semua yang dia dengar.” [Shahih Muslim no. 6]

Jadi sudah ada dua dalil yang kuat (Al-Qur’an dan hadis) tentang perkara ini. Dan kalau dua dalil ini tidak dipakai, maka orang itu dikira sebagai orang yang fasik kerana tolak hukum. Maka jangan kita jadi seperti mereka. Kalau tidak pasti lagi kesahihan sesuatu perkara, jangan sebarkan. Kalau nak sebarkan, kena periksa dulu.

Ini banyak terjadi dalam zaman sekarang yang semakin teruk. Kerana senang sangat maklumat hendak diforward kepada orang lain. Dengan sekali tekan sahaja, beratus orang boleh terima maklumat yang entah benar entah salah. Yang forward itu pun bukannya pastikan ia benar atau tidak, janji dia forward dulu. Maka ini perlulah diberhentikan serta merta. Jangan lagi jadi ‘kaki forward‘.

Kalau tidak, ia boleh menjadi masalah besar kerana maklumat boleh salah didengari dan kerana itu boleh salah penyampaian kepada orang lain. Kalau tidak percaya, boleh buat eksperimen satu permainan yang dipanggil ‘Chinese Whisper‘.

Beri satu maklumat kepada seorang dan suruh dia sampaikan kepada orang lain. Katakanlah ada 10 orang bermain. Kalau kita lihat balik apakah maklumat yang disampaikan oleh orang yang kesepuluh itu, ia sudah tentu lain dari maklumat yang kita sampaikan kepada orang yang pertama. Ini terjadi kerana kebiasaan manusia yang akan tambah maklumat mereka sendiri (kadangkala tanpa sengaja). Mereka tambah itu sedikit sahaja tetapi ia akan menjadi banyak lama kelamaan.

Ini kerana kita selalunya faham sesuatu perkara itu dan kita simpan maklumat itu menggunakan pemahaman kita sendiri. Dan kemudian kita keluarkan juga ikut pemahaman kita. Dan pemahaman kita tidak semestinya sama dengan orang lain. Orang lain pula, bila dia terima, dia pun akan terima ikut pemahaman dia pula. Jadi boleh nampak bagaimana perkara ini boleh menyebabkan kekeliruan?

Jadi, apabila kita dapat maklumat dari orang-orang yang tidak endahkan tentang hukum penyebaran maklumat, kena pastikan kebenarannya. Mereka kena jelaskan dari mana mereka dapat maklumat itu. Dan kita kena minta bukti dari mereka. Dan kalau mereka tidak ada bukti, jangan dengar. Kena tanya dia balik: “Kau pastikah maklumat ini benar? Kau dapat dari mana?”.

Dan jangan cerita pula kepada orang lain (jangan panjangkan lagi). Ini penting kerana orang beriman kena pastikan maklumat yang dibawa. Orang yang fasiq adalah orang yang tidak memastikan kesahihan maklumat itu.

 

أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهٰلَةٍ

agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan

Maklumat yang salah ada kesannya. Bukan setakat bercakap sahaja, bukan setakat cerita sahaja. Maklumat yang salah akan menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Dan ini akan terjadi kerana kejahilan kita yang tidak memastikan maklumat itu benar atau tidak. Kerana mungkin maklumat yang salah itu menyebabkan jatuhnya nama seseorang, menyebabkan perkelahian, menyebabkan jatuh perniagaan seseorang dan sebagainya.

Kesan yang terkait boleh jadi besar, sedangkan kita cakap senang sahaja masa minum-minum di kedai kopi sahaja. Tetapi pada orang lain, mereka melihat ianya masalah yang besar pada mereka. Kita sendiri pun mungkin pernah kena dengan perkara ini bukan? Kadang-kadang bila dikaji balik, baru nampak bagaimana ianya adalah salah faham sahaja. Dan permasalahan itu boleh dielak jikalau pihak yang mendapat maklumat itu periksa dahulu sama ada berita itu benar atau tidak.

Dan jangan kita lupa bagaimana masalah yang kecil boleh jadi besar. Ia boleh jadi terlalu besar sampai tidak boleh hendak diselamatkan. Mungkin kerana berita palsu, orang akan habiskan duit mereka dan tidak dapat diambil kembali. Maka kena selidiklah dahulu apa yang disampaikan kepada kita. Inilah dinamakan ‘tabayyun‘.

 

فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ

yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

Kalau kita tidak berhati-hati dengan maklumat yang diterima dari orang fasik, kemudian kita sampaikan kepada orang lain, dan ada masalah atau kerugian yang timbul, kita sendiri yang akan menyesal nanti. Jadi Allah ﷻ telah beri nasihat awal-awal supaya jangan lakukan perkara itu.

Maka kena sabar dulu dari sebarkan. Janganlah ikut perangan manusia biasa. Kena ingat yang manusia ini memang ada dua sifat yang susah nak dihilangkan, hendak tahu dan hendak beritahu:

Pertama, dia sibuk hendak tahu tentang orang.

Kedua, dia sibuk nak cerita tentang orang kepada orang lain.


 

Ayat 7: Ayat ini ada hubungan dengan undang-undang pertama (jangan mendahului Allah ﷻ dan Rasul ﷺ). Jadi ini adalah tanwir (tambahan).

وَاعلَموا أَنَّ فيكُم رَسولَ اللهِ ۚ لَو يُطيعُكُم في كَثيرٍ مِّنَ الأَمرِ لَعَنِتُّم وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الرّٰشِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And know that among you is the Messenger of Allāh. If he were to obey you in much of the matter, you would be in difficulty, but Allāh has endeared to you the faith and has made it pleasing in your hearts and has made hateful to you disbelief, defiance and disobedience. Those are the [rightly] guided.

(MELAYU)

Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalanganmu ada Rasulullah. Kalau dia menuruti kemahuanmu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu mendapat kesusahan, tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus,

 

وَاعلَموا أَنَّ فيكُم رَسولَ اللهِ

Dan ketahuilah olehmu bahawa di kalanganmu ada Rasulullah.

Masyarakat Islam waktu itu diingatkan yang mereka kenalah sedar yang di kalangan mereka ada Rasulullah ﷺ. Baginda yang sampaikan wahyu dan cara-cara kehidupan yang berteraskan agama Islam. Maka hormatilah baginda, muliakanlah baginda, bersopan santunlah dalam menghadapinya, dan turutilah perintahnya.

Kerana sesungguhnya baginda lebih mengetahui kemaslahatan kalian dan lebih sayang kepada kalian daripada diri kalian sendiri. Dan pendapatnya untuk kalian lebih sempurna daripada pendapat kalian untuk diri kalian sendiri. Hal yang senada disebutkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:

{النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ}

Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri. (Al-Ahzab: 6)

Maka mereka kena sedar yang mereka ada tempat rujukan dalam segala hal. Maka jangan buat pandai-pandailah, kenalah rujuk baginda, terutama dalam hal agama.

Walaupun kita sekarang pada zaman ini tidak ada di kalangan Rasulullah ﷺ, tetapi kita kena sedar yang hadis dan sunnah-sunnah baginda masih sampai kepada kita. Maka kita kena perhatikan, kena belajar dan kena tanya.

 

لَو يُطيعُكُم في كَثيرٍ مِّنَ الأَمرِ لَعَنِتُّم

Kalau dia menuruti kemahuanmu dalam beberapa urusan benar-benarlah kamu mendapat kesusahan,

Kalau baginda ikut kesemua kehendak para sahabat baginda, mereka akan ada masalah. Kalau Nabi ﷺ ambil semua cadangan para sahabat, mungkin ada masalah. Ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman Allah ﷻ:

{وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَوَاتُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ}

Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka, tetapi mereka berpaling dari kebanggaan. (Al-Mu’minun: 71)

Kadang-kadang memang baginda tanya pendapat sahabat dalam membuat keputusan dalam hal pemerintahan dan peperangan. Sebagai contoh, semasa Perang Uhud, baginda ikut keinginan para sahabat untuk berperang di luar Kota Madinah. Tapi lihatlah apa terjadi (mereka hampir kalah teruk). Maka mereka dinasihatkan kena ikut Nabi ﷺ dan bukan baginda yang kena ikut mereka.

Begitu juga dengan kita, dalam hal kehidupan kita, kita kena cari apakah nasihat dan sunnah Nabi ﷺ dalam perkara itu. Kena cari dulu sebelum kata ‘tidak ada’. Kerana kadang-kadang yang bagi pendapat sendiri itu kerana mereka tidak cari lagi sama ada ada hadis berkenaan sesuatu hal itu (atau mereka tidak bertanya kepada mereka yang tahu). Tambahan pula masyarakat Muslim di negara kita sudah jauh dari ilmu wahyu, maka banyak yang kita tidak tahu dalam hal agama.

 

وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم

tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu

Tetapi Allah ﷻ telah cantikkan iman dalam hati para sahabat. Iman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah iman kepada Rasulullah ﷺ. Maksudnya Allah ﷻ hiasi iman dalam hati mereka. Tetapi dari mulanya kena ada kasih dulu dan kemudian Allah ﷻ akan beri tambahan iman ke dalam hati mereka. Maka kena cari dulu dan cari. Bila kita sudah mencari, Allah ﷻ akan beri.

 

وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ

serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan.

Allah ﷻ jadikan dalam hati mereka ada kebencian kepada perkara yang tidak elok. Iaitu perkara-perkara kufur dan syirik. Sementara الفُسوقَ bermaksud ‘dosa-dosa besar’.

Kalimah العِصيانَ pula adalah dosa-dosa kecil. Bila ada iman maka akan nampak buruknya dosa walaupun kecil. Orang yang ada iman tidak suka melakukan dosa. Mereka akan lebih prihatin terhadap dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia. Mereka tidak mahu melakukan dosa dan akan cuba untuk tidak melakukannya. Tidaklah mereka kata: “alahhh kecil sahaja ni….”.

 

أُولٰئِكَ هُمُ الرّٰشِدونَ

Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus,

Mereka itulah orang terpimpin semasa atas dunia lagi. Mereka hidup atas hidayah yang Allah ﷻ berikan. Inilah sifat-sifat para sahabat. Allah ﷻ suruh kita ikut mereka dan kerana itu kita kena belajar apakah fahaman salafussoleh. Kerana itu kita ambil agama dari mereka.


 

Ayat 8:

فَضلًا مِّنَ اللهِ وَنِعمَةً ۚ وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] as bounty from Allāh and favor. And Allāh is Knowing and Wise.

(MELAYU)

sebagai kurnia dan nikmat dari Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

فَضلًا مِّنَ اللهِ وَنِعمَةً

sebagai kurnia dan nikmat dari Allah.

Jadi Allah ﷻ telah beri berbagai-bagai nikmat kepada para sahabat. Itu adalah nikmat Allah ﷻ atas mereka. Maka Allah ﷻ ingatkan mereka tentang apa yang mereka perlu lakukan.

 

وَاللهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ﷻ tahu apa yang mereka lakukan. Begitu juga Allah ﷻ tahu apa yang kita lakukan.

Segala pemberian Allah ﷻ itu adalah berdasarkan kebijaksanaanNya. Allah ﷻ telah atur semuanya sekali, maka hendaklah kita ikut sahaja arahan Allah ﷻ kepada kita dari wahyu yang telah disampaikan kepada kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah al-Hujurat Ayat 6 – 8 (Tabayyun)”

    1. Kisah beliau disebut sebagai asbabun nuzul ayat 6 ini. Kononnya yang disebut sebgai ‘fasiq’ di dalam ayat itu adalah Walid bin Uqbah inilah.

      Secara ringkasnya, kisah ini tidak benar. Tidak ada fakta yang kukuh dalam hal ini. Ia timbul kerana golongan musuh hendak memburukkan Saidina Uthman kerana Walid ini adalah adik beradik seibu dengan Uthman.

      Like

Leave a comment