Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 2 – 3 (Sejarah Bani Israil)

Isra’ Ayat 2: Dalil naqli (nakalan dari Allah). Oleh kerana surah ini tentang Bani Israil, maka Allah menyebut tentang Nabi Musa dan Kitab Taurat. Selalu Allah menyebut tentang kisah Nabi Musa selepas menyebut tentang Nabi Muhammad. Ini adalah kerana banyak pengajaran yang boleh diambil dari kisah Nabi Musa kerana umat baginda sama sahaja perangai dengan Nabi Muhammad.

وَءآتَينا موسَى الكِتٰبَ وَجَعَلنٰهُ هُدًى لِّبَني إِسرٰءيلَ أَلّا تَتَّخِذوا مِن دوني وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave Moses the Scripture and made it a guidance for the Children of Israel that you not take other than Me as Disposer of affairs,¹

  • i.e., trust in Allāh, knowing that He (subḥānahu wa ta‘ālā) is responsible for every occurrence.

(MELAYU)

Dan Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat) dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil (dengan firman): “Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku,

 

وَءآتَينا موسَى الكِتٰبَ

Dan Kami berikan kepada Musa kitab (Taurat) 

Allah sebut Nabi Bani Israil yang paling utama iaitu Nabi Musa. Sebagaimana Nabi Muhammad telah diangkat ke langit bertemu Allah dan diberikan dengan syariat Solat dan diberikan dengan Al-Qur’an sebelum itu, maka Nabi Musa pun ada sejarahnya juga. Baginda telah bercakap-cakap dengan Allah di Gunung Thur dan baginda telah diberikan juga dengan kitab wahyu iaitu Kitab Taurat.

Siapakah Nabi Musa ini? Dikatakan nama penuh Nabi Musa A.S ialah Musa bin ‘Imran bin Yashar (يَصْهَرَ) bin Qahith bin Lawi bin Ya‘qub bin Ishaq bin Ibrahim. Lawi dilahirkan ketika Ya‘qub berusia 89 tahun, dan Qahith pula dilahirkan ketika Lawi berusia 46 tahun. Qahith mendapat anak yang diberi nama Yashar dan Yashar mendapat anak yang diberi nama ‘Imran ketika berumur 60 tahun. Umurnya keseluruhan adalah seratus tiga puluh tahun.

Seterusnya, para ulama juga berselisih pendapat berkenaan nama ibu Nabi Musa kepada beberapa pendapat. Ibn Athir menyatakan nama ibunya ialah Yukhabid. (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/150). Namun, ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, nama ibunya ialah Mehyanah binti Yashar bin Lawi. Ada yang berpendapat, namanya ialah Yukhabiz binti Lawi bin Ya‘qub. Ada juga yang berpendapat, namanya ialah Yarikha atau Yarikhat dan lain-lain lagi. Ibunya dilahirkan dan tinggal di Mesir. Dia tergolong dalam kalangan wanita yang mulia nasab dan budi pekertinya. Dia berkahwin dengan ‘Imran bin Qahat bin Lawi bin Ya‘qub. Dia dilahirkan dan hidup di Mesir, keturunan yang mulia, keluarga yang terhormat, beriman dan solehah. Dia menikah dengan ‘Imran bin Qahat bin Lawi bin Nabi Ya’qub alaihis salam.

Firaun Mesir pada zamannya ialah Qabus bin Mus‘ab bin Mu‘awiyah. Isteri firaun itu pula bernama Asiyah binti Muzahim bin ‘Ubaid bin al-Rayyan bin al-Walid. Dikatakan, isterinya berasal dari Bani Isra’il.

Apabila Musa dipanggil, dia mengetahui bahawa Qabus Firaun Mesir telah meninggal dunia, dan saudaranya al-Walid bin Mus’ab bangkit menggantikan tempatnya. Dia mempunyai umur yang panjang, lebih kuat dan lebih berani dari Qabus. Musa dan saudaranya Harun diperintahkan untuk pergi bertemunya dengan membawa risalah (tauhid). Dikatakan bahawa al-Walid kemudiannya berkahwin dengan Asiah selepas kematian saudaranya. Kemudian Musa pergi kepada Firaun sebagai seorang rasul bersama Nabi Harun.

Semenjak kelahiran Musa sehingga  Bani Isra’il dikeluarkan dari Mesir adalah lapan puluh tahun. Kemudian dia pergi ke al-Tih setelah menyeberangi laut, dan mereka tinggal  di sana hingga mereka keluar bersama Yusya‘ bin Nun selama empat puluh tahun. Jadi, dari kelahiran Musa hingga wafatnya adalah seratus dua puluh tahun (Lihat al-Kamil fi al-Tarikh, 1/150-151).

Nabi Musa (AS) adalah salah satu nabi yang paling banyak disebutkan dalam Al-Quran. Dalam Al-Qur’an (kitab suci umat Islam), nama Musa disebutkan sebanyak 136 kali, menjadikannya sebagai manusia yang namanya paling banyak disebut dalam Al-Qur’an. Ada beberapa faktor yang mungkin menjadikan Nabi Musa disebutkan lebih banyak dalam Al-Quran daripada nabi-nabi lainnya:

    • Nabi Musa (AS) diutus untuk menegakkan tata cara hidup yang benar dan menegakkan keadilan. Hal ini membuat kisah perjuangannya dengan Fir’aun menjadi sangat penting, dan memberikan banyak pelajaran yang dapat diambil untuk memperbaiki keadaan dunia saat ini.

    • Nabi Musa (AS) dianggap sebagai nabi yang paling penting dalam Islam setelah nabi Muhammad (SAW). Hal ini bisa dilihat dari banyaknya hadis yang menceritakan tentang perjalanan nabi Musa (AS) dan pentingnya mengambil pelajaran dari kehidupannya.

    • Kisah nabi Musa (AS) juga berisi banyak ajaran tentang ketabahan, keberanian, kesabaran, dan kebijaksanaan dalam menghadapi tantangan hidup. Hal ini membuat kisah nabi Musa (AS) menjadi sangat relevan bagi kita yang hidup di zaman moden yang penuh dengan berbagai macam tentangan.
    • Nabi Musa (AS) adalah seorang yang sangat sabar. Dia menghadapi berbagai macam rintangan dan ujian hidup dengan tetap sabar dan tawakkal kepada Allah.
    • Nabi Musa (AS) adalah seorang yang sangat taat kepada Allah. Dia selalu berusaha untuk melaksanakan perintah-perintah Allah dengan baik dan menghindari segala larangan-Nya.
    • Nabi Musa (AS) adalah seorang yang sangat berani dan pemberani. Dia berani menghadapi Fir’aun yang sangat kuat dan memproklamirkan kebenaran meskipun hal itu membawa banyak risiko.
    • Nabi Musa (AS) adalah seorang yang sangat cerdas dan bijaksana. Dia selalu berusaha mencari solusi yang terbaik dalam menghadapi berbagai macam masalah.

    • Baginda menghadapi kaum yang paling degil jadi ia menjadi pelajaran yang amat baik bagi Nabi Muhammad umatnya kerana akan berhadapan dengan golongan yang degil juga di zaman kita.

Baginda telah diberikan dengan Kitab Taurat. Kitab Taurat ( توراة ) ialah salah satu daripada empat buah kitab Islam. Kitab ini mengandungi wahyu Allah Taala kepada Nabi Musa a.s.

Taurat atau Torah berasal dari bahasa Ibrani yakni yarah. Sebagai kata kerja, yarah dapat diertikan sebagai “memberi pengajaran”, “mengajarkan”, atau “menunjukkan”. Dalam konteks agama, Torah boleh bermakna “ajaran atau perintah dari Tuhan”. Kata Torah kemudian dipakai dalam erti yang lebih luas, yakni aturan tertulis mahupun lisan, dan akhirnya mencakup seluruh ajaran Yahudi. Selain itu, tulis Philip Birnbaum dalam Encyclopedia of Jewish Concepts (1964), Taurat juga dimaknai sebagai “pengajaran/petunjuk/perintah” atau “kebiasaan”, bahkan “sistem”. Kitab Taurat memang dikenal sebagai kitab suci umat Yahudi. Dalam Islam, Taurat termasuk salah satu kitab Allah yang wajib diimani dan termaktub dalam rukun iman, yakni Iman Kepada Kitab-Kitab Allah.

Ia diturunkan khusus untuk umat Nabi Musa a.s. Kitab ini merupakan kesinambungan kitab Nabi Allah yang terdahulu iaitu Zabur. Kitab Taurat kemudian diikuti dengan penurunan kitab Injil dan kitab suci yang terakhir iaitu Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad s.a.w, sebagai pelengkap kepada semua kitab-kitab suci yang sebelumnya. Dengan turunnya Al-Quran, secara tidak langsung semua ajaran kitab-kitab yang terdahulu termansuh dengan sendirinya. Dan telah banyak kali disebut di tempat yang lain, Taurat itu sama dengan Al-Qur’an dari segi akidah. Ajaran Tauhid yang ada dalam Al-Qur’an sama sahaja dalam Taurat kerana ajaran Tauhid tidak pernah berubah.

Al-Quran menyatakan bahawa Injil dan Taurat telah ditahrif (diubahsuai iaitu ditokok tambah dan dikurangi) oleh penganut-penganutnya yang menyeleweng selepas Nabi Musa wafat dan Nabi Isa diangkat ke langit. Di dalam Maidah:13, Allah Taala berfirman:

فَبِمَا نَقْضِهِم مِّيثٰقَهُمْ لَعَنّٰهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوبَهُمْ قٰسِيَةً يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَنَسُوا حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُوا بِهِ وَلَا تَزَالُ تَطَّلِعُ عَلَىٰ خَائِنَةٍ مِّنْهُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنْهُمْ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

(Tetapi) kerana mereka melanggar janji mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka merubah perkataan (Allah) dari tempat-tempatnya, dan mereka (sengaja) melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya, dan kamu (Muhammad) senantiasa akan melihat kekhianatan dari mereka kecuali sedikit diantara mereka (yang tidak berkhianat), maka maafkanlah mereka dan biarkan mereka, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

 

وَجَعَلنٰهُ هُدًى لِّبَني إِسرٰءيلَ

dan Kami jadikan kitab Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil

Kitab Taurat itu sebagai pedoman kepada Bani Israil. Bani Israil adalah panggilan bagi kaum keturunan Israil. Kalau ‘Israel’ pula adalah negara yang menjajah Palestin sekarang. Dalam Al-Qur’an, Nabi Ya’qub disebut dengan nama Israil, maka Bani Israil adalah anak-cucu Yaqub. Jadi ‘Bani Israil’ adalah bangsa atau keturunan, sedangkan ‘Yahudi’ adalah agama mereka. Ini seperti kita berbangsa Melayu, sedangkan Islam adalah agama kita.

Dalam Al-Qur’an, sejarah Bani Israil juga banyak diceritakan. Kaum ini disebut sebagai kaum yang diunggulkan dari umat yang lain. Janji Allah ini berlaku selama mereka berpengang kepada ajaran-Nya. Dalam Baqarah:47 Allah berfirman:

يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

Menurut tafsir Ibnu Katsir, alasan kaum ini memiliki keunggulan adalah karena Allah SWT mengutus nabi-nabi dan menurunkan kitab-kitab kepada mereka.

Israil merupakan istilah yang berasal dari Bahasa Ibrani, iaitu isra yang artinya hamba atau kekasih, dan il bermakna Tuhan. Jadi Israil adalah hamba Allah atau kekasih Allah. Dari keempat isterinya, Nabi Ya’qub memiliki 12 anak lelaki, yakni Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Dan, Naftali, Gad, Asyer, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin. Dari mereka inilah umat Bani Israil berkembang biak hingga sekarang.

Oleh itu, kita dapat tahu bahawa Taurat itu hanya kepada Bani Israil sahaja dan dalilnya dalam ayat ini. Sedangkan Al-Qur’an yang diberikan untuk semua umat akhir zaman. Dan kalau Taurat itu petunjuk bagi Bani Israil, maka Al-Qur’an ini adalah petunjuk bagi kita. Maka kita kena pegang Al-Qur’an ini dan kena faham apakah yang disampaikan olehnya dengan mempelajari tafsir Al-Qur’an.

 

أَلّا تَتَّخِذوا مِن دوني وَكيلًا

“Janganlah kamu mengambil penolong selain Aku,

Allah sebut perkara yang penting disebut dalam Taurat. Inilah khulasah (ringkasan) Kitab Taurat. Sememangnya banyak perkara tentang agama yang ada dalam Taurat itu, tetapi Allah berikan patinya: Jangan jadikan pelindung selain Allah. Jangan jadikan selain Allah sebagai ilah yang mereka serahkan urusan kepadanya.

Kalimah وَكيلًا dari katadasar و ك ل yang bermaksud mengamanahkan; mengesahkan; memberi; mewakilkan dengan tugasan; yang menyelesaikan urusan; bersandar kepada sesuatu; bergantung kepada sesuatu; meletakkan kepercayaan; bertanggungjawab dalam hal ehwal; penjaga; saksi; sokongan; kuasa untuk mengawal. Oleh ikut istilah ‘wakil’ adalah seseorang yang dipercayai dalam hal peribadi. Kerana ada benda yang kita mahu lakukan sendiri, susah kita hendak beri kepada orang lain untuk dilakukan bagi pihak kita. Tetapi kalau kita percaya sangat kepada seseorang itu, kita sanggup beri dia buat perkara itu bagi pihak kita. Inilah kepercayaan yang diberikan kepada seorang ‘wakil’.

Allah beritahu mereka jangan percaya orang lain melainkan kepada Dia sahaja. Jangan letak kepercayaan penuh melainkan kepada Allah sahaja. Jangan jadikan pelindung selain Allah. Maksudnya jangan syirikkan Allah dengan sesuatu apa pun. Kerana tidak ada yang setanding dengan Allah sama sekali.


 

Isra’ Ayat 3: Siapakah yang dimaksudkan ‘selain Allah’?

ذُرِّيَّةَ مَن حَمَلنا مَعَ نوحٍ ۚ إِنَّهُ كانَ عَبدًا شَكورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O descendants of those We carried [in the ship] with Noah. Indeed, he was a grateful servant.

(MELAYU)

(Iaitu) anak cucu dari orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. Sesungguhnya dia adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur.

 

ذُرِّيَّةَ مَن حَمَلنا مَعَ نوحٍ

(iaitu) anak cucu dari orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh. 

Kita ini adalah keturunan daripada Nabi Nuh kerana selepas Banjir Besar itu, memang tidak ada manusia lain yang hidup. Yang hidup hanya keturunan dari yang di dalam bahtera Nabi Nuh itu. Ada pendapat yang mengatakan hanya Nabi Nuh sahaja yang mempunyai keturunan (bukannya semua yang ada di atas kapal bahtera itu). Menurut Ibnu Mardawaihi, yang diterimanya daripada Abdullah bin Zaid al-Anshari, Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak ada bersama Nuh a.s. melainkan empat anak; iaitu Ham, Sam, Yufits dan Kusy; dari keempat anak itulah turun sekalian makhluk.”

1. Maka, yang dimaksudkan adalah umat manusia keturunan Nabi Nuh a.s. Jadi, maksud ayat ini: Jangan ambil zuriat manusia sebagai wakil atau sebagai pelindung selain Allah. Kerana mereka itu semua manusia, bukannya ilah. Sebagai contoh, jangan jadikan Nabi Isa sebagai Tuhan.

2. Atau, ayat ini sambung dari ayat sebelum ini, jadi ia berbunyi begini: “jangan ambil wakil selain Allah, wahai zuriat selepas Nabi Nuh”. Kamu janganlah berbuat syirik. Kamu ini keturunan Nabi yang baik, maka jangan kamu cemari namanya.

Siapakah Nabi Nuh? Baginda adalah salah seorang Rasul Ulul Azmi. Allah menceritakan tentang Nabi Nuh a.s. dan kerana itu surah ini adalah ayat-ayat Naqli dari Allah kepada kita. Berdasarkan satu hadis, kita dapat tahu yang baginda adalah Rasul yang pertama. Walaupun sebelum baginda, telah ada Nabi Adam, tapi Nabi Adam tidak dikira sebagai seorang Rasul.

فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ يَا نُوحُ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الْأَرْضِ وَسَمَّاكَ اللَّهُ عَبْدًا شَكُورًا

“Maka manusia pun datang pula kepada Nuh dan mereka berkata: ‘Wahai Nuh, engkau adalah Rasul yang pertama diutus kepada penduduk bumi dan Allah menamakan kamu Hamba yang sangat bersyukur..”

[Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tarmizi, Ahmad].

Berdasarkan hadis ini, sabitlah bahawa Nabi Nuh a.s adalah Rasul pertama yang Allah utuskan kepada manusia selepas mereka menjadi musyrik. Adapun Nabi Adam a.s, baginda adalah Nabi bukan Rasul kerana manusia di zaman baginda semuanya beriman. Dalilnya firman Allah s.w.t:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ

”pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan …” [Baqarah: 213]

Dikatakan Nabi Nuh hidup 10 generasi selepas Nabi Adam. Sebelum Nabi Nuh, manusia tidak ada yang melakukan syirik. Hanya zaman baginda baginda sahaja manusia mula buat syirik. Dan perbuatan paling melampau mereka adalah menyembah berhala (patung). Asalnya manusia hendak mengingati orang alim dari kalangan mereka yang telah mati. Mereka mula dengan gambar sahaja. Lama kelamaan mereka buat patung. Dan akhirnya mereka sembah patung itu. Waktu itulah Nabi Nuh diutuskan.

 

إِنَّهُ كانَ عَبدًا شَكورًا

Sesungguhnya dia adalah hamba yang banyak bersyukur.

Selepas itu disebut pula tentang Nabi Nuh a.s. Baginda adalah seorang Nabi yang banyak bersyukur. Di dalam hadith dan atsar dari ulama Salaf disebutkan bahawa Nabi Nuh a.s. selalu memuji Allah bila makan, minum, berpakaian, dan dalam semua perbuatannya. Kerana itulah maka dia digelar sebagai hamba Allah yang banyak bersyukur.

Seperti yang kita telah tahu, Bani Israil telah diselamatkan dengan menyeberangi air laut apabila mereka lari dari Firaun dan kuncu-kuncunya. Tetapi Allah mahu mengingatkan yang itu bukan kali pertama manusia diselamatkan dengan cara yang melibatkan air. Kali pertama dalam sejarah adalah apabila Nabi Nuh dan pengikut baginda diselamatkan dari Banjir Besar dengan dimasukkan ke dalam bahtera Nabi Nuh. Allah juga mahu mengingatkan yang Bani Israil adalah keturunan Nabi Nuh juga. Iaitu dari anak baginda yang bernama Sam bin Nuh.

Nabi Nuh adalah seorang yang banyak bersyukur. Bila diberitahu begini, kita haruslah ikut baginda juga iaitu dengan banyak mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT. Jangan lupa bersyukur kepada Allah setiap masa.

Pengajaran yang kita boleh ambil dari kisah Nabi Nuh ini adalah baginda dan pengikut baginda diselamatkan oleh kerana baginda banyak bersyukur kepada Allah. Jadi kalau hendak selamat, hendaklah kita selalu mensyukuri nikmat Allah. Di dalam hadis telah diberitahu kepada kita bahawa jikalau kita jaga arahan dari Allah, maka Allah akan menjaga kita,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

Dari [Ibnu Abbas] dia berkata: Aku pernah membonceng di belakang Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ pada suatu hari, baginda bersabda: “Hai anak, sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa kalimat; jagalah Allah nescaya Dia menjagamu, jagalah Allah nescaya kau menemui-Nya di hadapanmu, bila kau meminta, mintalah pada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah, ketahuilah sesungguhnya seandainya ummat bersatu untuk memberimu manfaat, mereka tidak akan memberi manfaat apa pun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan membahayakanmu sama sekali kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu, pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering. (maksudnya takdir telah ditetapkan) ”

(Riwayat Tirmizi (2440) dengan sanad yang Hasan)

Kita juga boleh mengambil sunnah dari Nabi Yunus yang telah diselamatkan dari mati di dalam perut ikan paus. Kalaulah baginda bukan insan yang sentiasa taat kepada Allah, maka sudah tentu baginda tidak akan selamat seperti disebut di dalam Saffat:143-144

فَلَولا أَنَّهُ كانَ مِنَ المُسَبِّحينَ

Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah,

لَلَبِثَ في بَطنِهِ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ

nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.

Tetapi seolah-olah ada teguran Allah dalam ayat ini. Sebagai contoh, kalau diberitahu yang ayah seseorang itu baik secara tiba-tiba, ini seolah-olah mahu beritahu yang anak itu tidak baik (ayah kamu baik, kenapa kamu tidak jadi baik macam dia?) Jadi, seperti ada teguran kepada Bani Israil yang tidak banyak bersyukur atas segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

Maka hendaklah memperbanyakkan syukur kerana Allah telah mudahkan banyak benda untuk kita. Janganlah guna sahaja, tapi haruslah bersyukur kepada Allah. Dan syukur itu bukan hanya menyebut alhamdulillah sahaja, tetapi harus taat kepada Allah. Jangan pula semua nikmat Allah kita mahu gunakan, tetapi hukum Dia kita tidak ikut pula. Ini tidak patut sama sekali.

Ayat yang sama juga telah disebut di dalam Fatir:12

وَما يَستَوِي البَحرانِ هٰذا عَذبٌ فُراتٌ سائِغٌ شَرابُهُ وَهٰذا مِلحٌ أُجاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّ تَأكُلونَ لَحمًا طَرِيًّا وَتَستَخرِجونَ حِليَةً تَلبَسونَها ۖ وَتَرَى الفُلكَ فيهِ مَواخِرَ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Dan tiada sama (antara) dua laut; yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan dari masing-masing laut itu kamu dapat memakan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurnia-Nya dan supaya kamu bersyukur.

Tapi yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu dari orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahanNya? Allah ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah:172

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ڪُلُواْ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقنَـٰكُم وَٱشكُرُواْ لِلَّهِ إِن ڪُنتُم إِيَّاهُ تَعبُدُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

Jadi di dalam ayat ini Allah memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon:51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.

يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا

Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh.

Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah:172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon:51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Jadi ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadis yang masyhur,

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Aisyah r.a. berkata, Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ketika melaksanakan salat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah r.a. bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.

Sahih Muslim (5046)

Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.

Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah telah sebut dalam Baqarah: 152

وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ

dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur

Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah , tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.

Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi.

Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah . Jika Allah yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Mac 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Muatiara al-Qur’an

Tafsir Jalalyn

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 2 – 3 (Sejarah Bani Israil)”

  1. Assalam . JzkAllah dgn perkongsian ilmu. Nak beritahu pembetulan terjemahan melayu bagi Surah Al Isra’ ayat 1 – البَصِيرُ Maha Melihat . ( diterjemahkan Maha Mengetahui)

    Like

Leave a comment