Tafsir Surah an-Nahl Ayat 1 – 3 (Azab yang telah sampai)

Pengenalan:

Dakwa surah ini ada pada ayat 1. iaitu kalimat أَتىٰ أَمرُ اللهِ yang bermaksud telah datang azab kepada Musyrikin Mekah. Iaitu kemarau yang panjang telah menimpa mereka. Kemarau itu sebagai bala kerana mereka menolak ajaran Nabi SAW. Surah ini diturunkan di Mekah untuk memberitahu kepada mereka, azab itu telah pun berlaku kepada mereka.

Khulasah surah ini adalah penafian syirik fi tasarruf (pentadbiran alam). Kuasa Allah sahaja untuk menentukan kehendakNya. Tidak ada yang berkuasa sama seperti Allah untuk menentukan hal ini.

Ia juga menafikan syirik dalam ibadah. Tidak boleh menyembah dan menyeru doa kepada selain Allah.

Surah ini juga menyebut tentang jalan-jalan dakwah. Allah mengajar cara berdakwah kepada golongan yang musyrik.

Surah ini dinamakan sebagai Nahl (madu) kerana ada disebut tentang madu nanti. Satu lagi nama bagi surah ini adalah an-Ni’am (nikmat-nikmat) kerana surah ini banyak menyebut tentang nikmat-nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.

Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

    • Ayat 1 – 112 adalah bahagian pertama. Di dalamnya ada 8 dalil yang diberikan. Bahagian ini membincangkan Tauhid – iaitu menafikan syirik ilmu dan tasarruf. Allah hendak  memberitahu yang kedua-duanya hanya milik Allah sahaja. Oleh kerana ini adalah dalam fikiran, maka yang dinafikan syirik i’tikadi.
    • Ayat 113 – 119 adalah bahagian kedua. Bahagian ini hendak menafikan syirik amali (syirik dalam bentuk perbuatan). Ini adalah kerana ada manusia yang mengharamkan perkara yang Allah telah halalkan. Juga kerana ada melakukan nazar kepada selain Allah.
    • 120 sampai habis adalah bahagian ketiga.

 

Hubungan dengan surah-surah sebelum ini:

    • Surah Ibrahim menunjukkan dalil-dalil peristiwa berkenaan Tauhid. Maka mesti berpegang kepada Tauhid.
    • Surah Hijr selepas itu memberi amaran, kalau tidak berpegang kepada Tauhid, maka seseorang itu akan menyesal apabila berhadapan dengan pembalasan dari Allah.
    • Surah Nahl ini pula memberitahu manusia bahawa jika mereka masih menolak untuk menerima ajaran Tauhid, maka janganlah tergesa-gesa memohon agar diazabkan dengan segera.

Tambahan kaitan dengan Surah Hijr:

1. Surah an-Nahl seperti al-Hijr termasuk surah yang turun di Mekah sebelum Hijrah. Maka ia berisi soal-soal TAUHID, KERASULAN dan HARI AKHIRAT.

2. Pada Bahagian Akhir Surah Al Hijr (Ayat 92, 93), Allah Swt, Menyatakan Bahawa Manusia akan diHISAB pada Hari Kemudian terhadap apa yang telah dikerjakannya di Dunia ini. Maka pada Awal Surah An-Nahl, Allah Swt, Menegaskan Kepastian Datangnya Hari Kiamat itu, dan pada Ayat 93 An-Nahl ditegaskan lagi hari pembalasan tersebut.

3. Pada Bahagian Pertama Surah Al-Hijr, Allah Swt, Menerangkan tentang Kebenaran Al-Qur’an serta Jaminan-Nya untuk Memeliharanya, sedang dalam Surah An-Nahl terdapat ancaman-ancaman terhadap Mereka yang Mendustakan Kebenaran Al-Qur’an itu.


 

Nahl Ayat 1:  Ayat Takhwif Duniawi. Musyrikin Mekah mengejek-ngejek kepada Nabi Muhammad dengan mengatakan kalau benar mereka akan dikenakan azab musibah, mana dia?

Ayat 1 – 2 adalah Perenggan Makro Pertama surah ini. Allah memberitahu yang tujuan penurunan Al-Qur’an adalah untuk  memberi peringatan kepada tauhid dan ajakan untuk bertaqwa kepada Allah sahaja.

أَتىٰ أَمرُ اللهِ فَلا تَستَعجِلوهُ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The command of Allāh is coming,¹ so be not impatient for it. Exalted is He and high above what they associate with Him.

  • Literally, “has come,” indicating the certainty and nearness of the Last Hour.

(MELAYU)

Telah pasti datangnya ketetapan Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

 

أَتىٰ أَمرُ اللهِ

Telah pasti datangnya ketetapan Allah

Apakah أَمرُ اللهِ itu? Ada beberapa pendapat tentang maksudnya. Ada pendapat yang mengatakan ia adalah keputusan Allah untuk memberikan kemenangan kepada umat Islam dan kekalahan kepada Musyrikin Mekah. Mereka sedang kuat waktu itu dan menindas puak Muslim. Akan tetapi akan sampai masanya yang mereka akan dikalahkan dan dihinakan.

Ada juga pendapat yang mengatakan ia bermaksud Hari Kiamat yang akan datang. Iaitu ia akan datang tidak lama lagi. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ، وَيُشِيْرُ بِإِصْبَعَيْهِ فَيَمُدُّ بِهِمَا

“Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” Baginda berisyarat dengan kedua jarinya (jari telunjuk dan jari tengah), lalu merenggangkannya.”

Sahih Bukhari (6022)

Syarah: kenapa pula Rasulullah mengatakan kiamat sudah dekat, sedangkan jarak baginda dengan kita pun sudah 1,400 tahun tapi tidak datang pun kiamat lagi? Apa yang dimaksudkan dekat itu? Ini kerana selepas baginda, tidak ada Nabi lain lagi. Maka kejadian besar yang ditunggu-tunggu selepas baginda adalah kiamat sahaja.

Ia adalah bandingan kepada jarak masa antara baginda dengan masa dunia. Dunia ini telah dicipta entah berapa lama. Maka kalau dibandingkan jarak antara baginda dan kiamat, ia adalah dekat kalau dibandingkan jarak antara baginda dan penciptaan alam.

Maka jangan kita sangka kiamat itu jauh lagi. Yang sangka kiamat itu jauh hanyalah orang kafir sahaja seperti disebut di dalam Ma’arij:6-7

إِنَّهُم يَرَونَهُ بَعيدًا

Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),

وَنَرىٰهُ قَريبًا

Sedang Kami memandangnya dekat,

Ada juga pendapat yang mengatakan ia bermaksud azab yang akan dikenakan kepada Musyrikin Mekah. Tidak lama lagi mereka akan dikenakan dengan azab. Jadi ini adalah Surah Makkiah Peringkat Ketiga (tidak lama sebelum Nabi berhijrah ke Madinah). Ada 4 peringkat penurunan wahyu di Mekah dan surah ini turun di dalam peringkat ketiga.

Pembukaan surah ini agak kasar, tidak seperti surah-surah yang lain. Kerana ayat ini terus menceritakan tentang azab. Ini adalah kerana ayat ini adalah herdikan kepada Musyrikin Mekah. Nabi s.a.w. selalu menyampaikan ancaman bahawa kalau mereka tidak juga taat dan menerima apa yang diperintahkan oleh Tuhan dan tidak juga berhenti menyembah berhala, azab seksaan Tuhan pasti datang, kehendak Allah akan berlaku, perintahnya mesti jadi. Mereka mendesak-desak, kalau memang azab itu mesti datang, datangkanlah sekarang juga.

Oleh kerana azab itu tidak segera datang, mereka pun bertambah mengejek dan bertambah menolak. Dan mereka anggaplah bahawasanya segala yang diancamkan oleh Nabi Muhammad itu adalah omong kosong belaka. Maka Allah terus berikan ancaman di dalam ayat ini. Allah menegur mereka yang tidak mahu memperhatikan Hikmat Allah yang terkandung di dalam perintah-perintah yang datang di dalam wahyu. Mereka tidak mahu merenungkan kejadian alam yang ada di keliling, yang sepatutnya mengetuk hati dan perasaan.

Maksudnya ayat ini, Allah sudah buat keputusan untuk mengenakan azab kepada mereka. Ia ‘pasti’ datang dan sebab itu kalimah أَتىٰ di dalam fi’il madhi (past tense). Ini adalah kerana kalau ianya dalam fi’il madhi, tapi tidak berlaku lagi, ini bermaksud ia pasti akan berlaku. Kenapa? Kerana kalau kita kata kita akan buat sesuatu, belum tentu kita akan berjaya melakukannya, bukan? Tapi kalau kita sudah buat sesuatu, maka pasti ia telah berlaku.

Atau, ada pendapat yang mengatakan ia memang telah terjadi juga kerana mereka telah dikenakan dengan kemarau yang panjang. Mereka minta disegerakan musibah, maka Allah beritahu mereka memang sudah terima azab musibah.

 

فَلا تَستَعجِلوهُ

Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya.

Maka janganlah kamu minta ia dipercepatkan. Tidak ada gunanya kamu minta ia dipercepatkan, kerana ia sudah pun dekat. Dan kerana Allah memang sudah buat keputusan untuk mengazab, maka tidak perlu hendak minta-minta. Kalau sudah ditimpakan azab musibah, kamu sendiri yang akan menyesal. Sepatutnya kamu minta hidayah, bukannya minta azab. Tetapi, kerana mereka itu degil dan tidak percaya dengan ancaman itu, mereka minta disegerakan pula azab itu.

Perihalnya sama dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَوْلا أَجَلٌ مُسَمًّى لَجَاءَهُمُ الْعَذَابُ وَلَيَأْتِيَنَّهُمْ بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ يَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحِيطَةٌ بِالْكَافِرِينَ}

Dan mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab. Kalau tidaklah kerana waktu yang telah ditetapkan, benar-benar telah datang azab kepada mereka, dan azab itu benar-benar akan datang kepada mereka dengan tiba-tiba, sedangkan mereka tidak menyedarinya. Mereka meminta kepadamu supaya segera diturunkan azab. Dan sesungguhnya Jahanam benar-benar meliputi orang-orang kafir. (Al-‘Ankabut: 53-54)

Semua itu kerana mereka jahil. Mereka tidak takut dengan azab itu kerana mereka jahil seperti disebutkan dalam firman-Nya:

{يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ أَلا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ لَفِي ضَلالٍ بَعِيدٍ}

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan, dan orang-orang yang ber­iman merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa kiamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya kiamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh. (Asy-Syura:18)

Jadi tak perlu sibuk minta-minta disegerakan azab itu kerana Allah yang Maha Tinggi tahu bilakah ia patut diberikan kepada mereka. Allah telah berfirman di dalam Hajj:47

وَيَستَعجِلونَكَ بِالعَذابِ وَلَن يُخلِفَ اللهُ وَعدَهُ

Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya.

Bukan orang kafir sahaja ditegur jangan minta azab dipercepatkan. Para pendakwah juga kena ingat ayat ini. Jangan cepat sangat minta Allah beri azab kepada para penentang. Memang ramai yang menentang tapi serahkan sahaja kepada Allah tentang hal mereka dan azab mereka. Jangan kita mendahului takdir.

Ia mengajar kita janganlah tergesa-gesa. Rasulullah telah memberi ingat kepada kita,

الأَنَاةُ مِنَ اللَّهِ وَالعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ

“Kehati-hatian itu daripada Allah dan ketergesa-gesaan itu daripada syaitan.”

Riwayat al-Termizi daripada Sahl bin Sa’ad. Kata al-Termizi (dalam sebahagian manuskrip Sunan al-Termizi): “Hadis hasan gharib.”

 

سُبحٰنَهُ وَتَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

Ini adalah Dakwa Surah ini. Ia adalah kesinambungan dari dua ayat terakhir surah Hijr sebelum ini (ayat 98 – 99) yang mengarahkan kita untuk bertasbih. Maka sucikan Allah dari apa yang manusia samakan dengan sifat makhluk. Allah tidak mungkin sama sifatNya dengan makhluk. Hanya Allah sahaja yang ada sifat ilah dan sifat Tuhan, maka janganlah mengangkat kedudukan makhluk seperti Tuhan pula. Janganlah sembah makhluk dan jangan berdoa kepada makhluk. Jangan melakukan syirik.

Ada dua kalimah yang disebut di dalam ayat ini iaitu Tasbih dan Ta’al. Tasbih itu membersihkan Allah dari sifat-sifat yang tidak patut bagi Allah dan Ta’al. itu pula adalah memuji Allah. Ini dinamakan konsep nafi dan ithbat. Iaitu menafikan dan menetapkan sifat-sifat yang patut bagi Allah. Ia adalah kalimah yang paling kuat, kerana itulah kalimah Syahadah kita pun ada nafi dan ithbat. Kalimah لا اله adalah nafi dan إلا الله adalah ithbat.


 

Nahl Ayat 2: Ini juga adalah Dakwa Surah ini. Dakwa Surah ini berkenaan Tauhid. Hendaklah Nabi Muhammad menyampaikan ajaran Tauhid dan tiada ilah melainkan Allah. 

Ayat ini juga mengandungi bukti yang Nabi Muhammad adalah seorang Rasul kerana baginda telah diturunkan dengan wahyu. Jadi ia juga berkenaan Risalah.

يُنَزِّلُ المَلٰئِكَةَ بِالرّوحِ مِن أَمرِهِ عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ أَن أَنذِروا أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَناْ فَاتَّقونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He sends down the angels, with the inspiration [i.e., revelation] of His command, upon whom He wills of His servants, [telling them], “Warn that there is no deity except Me; so fear Me.”

(MELAYU)

Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya, iaitu: “Peringatkanlah olehmu sekalian, bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku, maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku”.

 

يُنَزِّلُ المَلٰئِكَةَ بِالرّوحِ مِن أَمرِهِ

Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya

Kalimah الرّوحِ dalam ayat ini ditafsirkan sebagai ‘wahyu’ iaitu wahyu Al-Qur’an. Ini adalah kerana wahyu itu adalah roh bagi roh manusia. Kerana jasad kita ada roh, bukan? Dan roh kita ini ada rohnya juga iaitu Al-Qur’an.

Jasad kita memerlukan makanan dari bumi iaitu dari tanah. Manakala, roh kita ini memerlukan makanan dari wahyu. Kalau manusia yang tidak makan menjadi lemah tubuhnya, maka manusia yang jauh dari wahyu itu lemah roh mereka. Kerana itulah manusia kena selalu baca Al-Qur’an untuk memberi makan kepada rohnya. Manusia yang jauh dari Al-Qur’an akan jauh dari kebaikan.

Ia memberi maksud bahawa roh yang tiada Al-Qur’an di dalamnya tidak bermakna. Hidup hanya menunggu mati untuk diseksa sahaja. Mereka itu telah mati sebelum mati. Ma sha Allah! Bagaimanalah cara hidup kita akan selari dengan kehendak Allah kalau kita tidak tahu pun apa yang Allah kehendaki? Dan apa yang Dia kehendaki, Dia telah beritahu di dalam Al-Qur’an. Tapi malangnya ramai yang tidak tahu menahu pun tentang Al-Qur’an, bukan? Mereka setakat baca dan hafal sahaja, tapi apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an itu mereka tidak kisah pun.

Kerana itulah kita pentingkan pembelajaran tafsir Al-Qur’an untuk difahami. Ada banyak kelas pengajian tafsir Al-Qur’an di berbagai tempat. Ada tempat pengajian, ada kelas secara online, ada penulisan seperti di sini. Tidak ada alasan lagi untuk tidak tahu sebenarnya. Yang kata tidak tahu tafsir Al-Qur’an hanya kerana malas atau degil sahaja. Jadi jangan terkejutlah kalau mereka diseksa setelah mereka mati nanti.

Maka jangan kita abaikan Al-Qur’an ini kerana ia adalah roh kepada roh kita. Ianyalah yang menghidupkan kita di dalam kehidupan yang sebenar-benarnya. Ini seperti firman Allah di dalam Anfal:24

يأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَجيبوا لِلَّهِ وَلِلرَّسولِ إِذا دَعاكُم لِما يُحييكُم

Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu,

Hati manusia yang tidak ada pemahaman Al-Qur’an di dalamnya adalah keras seperti disebut dalam Zumar:22

فَوَيلٌ لِّلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِّن ذِكرِ اللهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

Dan sekali lagi Allah berfirman di dalam An’am:122 tentang hati yang mati tanpa wahyu di dalamnya.

أَوَمَن كَانَ مَيتًا فَأَحيَينَـٰهُ وَجَعَلنَا لَهُ ۥ نُورًا يَمشِى بِهِۦ فِى ٱلنَّاسِ

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia,

Seperti yang kita tahu, malaikat yang menurunkan wahyu kepada Rasulullah hanya Malaikat Jibril sahaja. Akan tetapi kalimah yang digunakan di sini adalah المَلٰئِكَةَ iaitu jamak kepada malaikat. Ini adalah kerana semasa Jibril menurunkan wahyu itu, dia ditemani oleh banyak malaikat. Yang menariknya, Malaikat Jibril juga digelar Ar-Ruh kerana beliau menurunkan Al-Qur’an (juga digelar Ar-Ruh) seperti disebut dalam Qadr:4

تَنَزَّلُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذنِ رَبِّہِم مِّن كُلِّ أَمرٍ

Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Bukanlah Jibril yang menentukan penurunan Al-Qur’an itu tetapi Allah. Malaikat Jibril hanya menyampaikan sahaja. Allah berfirman di dalam Syuara’:192-194

وَإِنَّهُ لَتَنزيلُ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan sesungguhnya Al Qur’an ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam,

نَزَلَ بِهِ الرّوحُ الأَمينُ

dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril),

عَلىٰ قَلبِكَ لِتَكونَ مِنَ المُنذِرينَ

ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan,

 

عَلىٰ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ

kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya,

Wahyu itu diturunkan kepada para anbiya’. Allah yang pilih siapakah yang layak menerima wahyu itu. Allah yang pilih sendiri dan tidak ada manusia yang boleh berusaha untuk menjadi Nabi. Maka manusia jangan persoalkan pemilihan Allah itu. Jangan jadi macam Musyrikin Mekah yang mempersoalkan kenapa Muhammad pula yang dapat wahyu, kenapa tidak mereka atau orang-orang yang lebih hebat (pada pandangan mereka) dari kalangan mereka?

Allah mahu memberitahu, tidak perlu sibuk akan hal itu kerana Allah sendiri yang pilih. Jangan jadi macam Syiah juga yang kata Jibril silap bagi wahyu kepada Nabi Muhammad. Mereka kata sepatutnya bagi kepada Saidina Ali, tapi tersilap beri kepada Nabi Muhammad pula. Itu memang fahaman yang amat karut dari golongan yang amat jahil. Allah takkan tersalah pilih kerana Dia yang paling pandai memilih. Ada disebut di dalam satu hadis tentang pemilihan Nabi,

عن عبد الله بن مسعود، قال: ” إن الله نظر في قلوب العباد، فوجد قلب محمد صلى الله عليه وسلم خير قلوب العباد، فاصطفاه لنفسه، فابتعثه برسالته، ثم نظر في قلوب العباد بعد قلب محمد، فوجد قلوب أصحابه خير قلوب العباد، فجعلهم وزراء نبيه، يقاتلون على دينه، فما رأى المسلمون حسنا، فهو عند الله حسن، وما رأوا سيئا فهو عند الله سيئ ”

Dari Abdullah bin Mas’ud, dia berkata: “Allah melihat ke dalam hati para hamba, dan mendapati hati Muhammad صلى الله عليه وسلم sebaik-baik hati para hamba, maka Dia memilihnya untuk DiriNya sendiri dan mengutus baginda dengan risalahNya.Kemudian Dia melihat ke dalam hati hamba-hamba setelah hati Muhammad, dan mendapati hati para sahabatnya sebaik-baik hati hamba, maka dia menjadikan mereka pembantu Nabinya, berperang atas agamanya. Maka apa sahaja yang dilihat oleh orang Islam sebagai baik adalah baik di sisi Allah, dan apa yang mereka lihat buruk adalah buruk di sisi Allah.”

Musnad Ahmad (5/211) dengan sanad yang sahih.

 

أَن أَنذِروا أَنَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا أَناْ

iaitu: “Peringatkanlah olehmu sekalian, bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku, 

Untuk apakah wahyu itu diberikan kepada para Rasul? Tujuannya adalah untuk memberi peringatan kepada manusia. Kalimah أَنذِروا ini adalah arahan kepada semua Rasul. Setiap Rasul yang diberikan wahyu itu dipertanggungjawabkan untuk memberi peringatan kepada umat mereka. Ini sepertimana firman Allah di dalam Furqan:1

تَبارَكَ الَّذي نَزَّلَ الفُرقانَ عَلىٰ عَبدِهِ لِيَكونَ لِلعٰلَمينَ نَذيرًا

Maha berkat Allah yang telah menurunkan Al Furqaan (Al Qur’an) kepada hamba-Nya, agar ia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam,

Dan inzar itu baru bermakna jikalau ada ancaman di dalamnya. Kalau kita suruh anak kita tapi dia tidak ikut dan tidak ada hukuman, maka tentulah peringatan itu tidak bermakna. Maka inzar dari Allah yang disampaikan oleh para Rasul itu ada ancaman. Iaitu kalau tidak ikut, maka azab nerakalah balasan bagi mereka.

Maka wahyu telah diberikan kepada para Rasul untuk disampaikan kepada umat. Dan apakah perkara utama yang mesti disampaikan dan mesti difahami? Iaitu tentang Tauhid. Tentang ilah dan apakah yang kita perlu lakukan dan perlu tinggalkan. Inilah penekanan untuk faham apakah Tauhid dan bersamanya kena faham apa itu syirik. Kerana ramai sudah tahu tentang kepentingan Tauhid, tapi ramai tidak tahu tentang syirik. Maka kerana itu ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedari.

Mereka tidak faham kerana mereka tidak tahu maksud ilah. Mereka sangka syirik itu hanya sujud pada patung berhala sahaja. Jadi mereka sangka mereka telah selamat. Mereka tidak sedar bahawa ada amalan mereka yang sebenarnya termasuk di dalam syirik. Sebagai contoh, mereka berdoa kepada selain Allah. Memang mereka tidak sembah wali, Nabi dan Malaikat, tapi dengan meminta tolong kepada mereka itu, sudah termasuk di dalam syirik.

 

فَاتَّقونِ

maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku”.

Kesimpulan dari wahyu yang disampaikan kepada setiap Rasul itu, termasuk juga Al-Qur’an adalah untuk mengajak manusia supaya bertaqwa kepada Allah. Iaitu dengan menjaga hukum dan sedar yang Allah sentiasa memerhatikan apa sahaja yang kita lakukan. Kita harus taat kepada hukum Allah kerana kita takut dengan balasan yang Allah boleh timpakan kepada mereka yang engkar.

Balaghah: Kalimah فَاتَّقونِ sepatutnya adalah ي tapi dihazafkan. Sepatutnya kalimah ini jadi begini: فَاتَّقونِي kerana ي bermaksud ‘Aku’. Apabila dihazafkan ya’ mutakallim (merujuk kepada yang bercakap), maka ia bermaksud ‘berterusan’ dan ‘sentiasa’.

Oleh itu, ia mengajar kita yang kita kenalah terus sentiasa bertaqwa kepada Allah, bukan sekejap-sekejap sahaja. Tidak ada masa yang kita tidak perlu bertaqwa kepada Allah dan tidak ada masa yang kita boleh berhenti dari bertaqwa kepada Allah.


 

Nahl Ayat 3: Ayat ini sehingga ke ayat 21 adalah Perenggan Makro Pertama juga (bahagian ke dua). Ia berkenaan Tauhid Kholiqiyyah. Allah menegaskan yang Dia yang telah mencipta langit, bumi, manusia, haiwan, tanam-tanaman, mengatur perubahan malam dan siang, lautan dan isinya. dan gunung-ganang.

Seterusnya Allah membidas kenapa pula patung berhala yang dibuat manusia menjadi sembahan?! Maka ini adalah ayat Dalil Aqli Afaqi iaitu Allah jadikan tanda di dalam alam (ufuk). Dengannya Allah memberi hujah kenapa kita harus sembah dan doa hanya kepada Dia sahaja, kerana Dia yang menjadikan alam ini.

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ ۚ تَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He created the heavens and earth in truth. High is He above what they associate with Him.

(MELAYU)

Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak. Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

 

خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ بِالحَقِّ

Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak.

Kena sembah Allah sahaja kerana Dia sahaja yang mencipta, sedangkan makhluk tidak mencipta. Allah telah jadikan langit dan bumi ini dengan bersebab. Bukanlah Allah jadikan alam ini sia-sia sahaja (seperti fahaman sesetengah agama lain). Allah jadikan bumi ini sebagai ‘bekas ujian’ untuk kita. Maka kerana itu kita harus beramal dengan amal kebaikan dan taat kepada Allah selama kita duduk di dunia ini. Allah menciptakan semuanya dengan benar dan tidak sia-sia, bahkan:

{لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى}

supaya Dia memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat jahat terhadap apa yang telah mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga). (An-Najm:31)

Dan Allah jadikan alam ini untuk menzahirkan kebenaran – iaitu Allah Maha Pencipta dan Dialah sahaja yang patut ditaati. Kalau kita tidak mahu taat kepada Allah, maka duduklah di bumi dan langit yang lain kerana langit dan bumi yang ini dijadikan oleh Allah. Kalau Dia yang jadikan alam ini dan kita tidak mahu taat, maka teruk sungguh perangai kita yang tidak mengenang jasa.

Dengan benar juga bermaksud Allah mencipta alam ini menurut peraturan-peraturan yang benar, yang tidak salah sedikit juga. Kalau salah sedikit saja peraturan alam di langit dan bumi ini, hancurlah ia. Kerana itu kajian astronomi mengatakan bahawa kalau berubah sedikit sahaja kedudukan planet ini, maka akan berantakanlah alam ini kerana larinya daya tarikan graviti antara bumi ini. Itulah adanya imbangan daya tarik, penentuan jarak letak di antara bintang dengan bintang, bulan dengan bumi, bumi dengan matahari.

Demikian jua ia bermaksud segala yang benar dalam bumi sendiri, misalnya tentang undang-undang alam, iaitu yang berat akan jatuh ke bawah, yang ringan merapung ke atas, pencampuran kimia dan sebagainya, undang-undang ilmu Matematik, Geometri dan sebagainya. Bertambah direnung maka bertambah dekatlah ke arah kebenaran itu, dan ilmu pengetahuan ialah untuk mendekati kebenaran itu.

 

تَعٰلىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

Sifat-sifat Allah lebih tinggi dari yang manusia musyrikin itu sifatkan. Mereka ada menyamakan kedudukan makhluk dengan kedudukan Allah. Ini tidak mungkin kerana Sifat Allah lebih tinggi lagi dari itu. Yang golongan musyrik sembah itu tidak ciptakan apa-apa pun. Jadi sia-sia sahaja ibadah yang mereka lakukan terhadap selain Allah itu.

Sebagai contoh, ada yang berdoa memohon pertolongan kepada Nabi dan wali. Mereka kata Nabi dan wali itu boleh dengar walaupun mereka telah mati dan walaupun mereka itu tidak ada di depan. Ini tidak ada dalam nas syarak, maka ini adalah rekaan mereka semata.

Mereka yang ada fahaman begitu sebenarnya telah ada iktikad di dalam hati mereka yang makhluk-makhluk itu ada sifat yang sama dengan Allah dan ini adalah syirik. Kerana yang Maha Mendengar adalah sifat Allah, bukan sifat makhluk.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Disember 2023

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an.

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah an-Nahl Ayat 1 – 3 (Azab yang telah sampai)”

Leave a comment