Tafsir Surah al-Hijr Ayat 4 – 11 (Allah berjanji akan memelihara Al-Qur’an)

Hijr Ayat 4: Takhwif duniawi

وَما أَهلَكنا مِن قَريَةٍ إِلّا وَلَها كِتابٌ مَّعلومٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not destroy any city but that for it was a known decree.

(MELAYU)

Dan Kami tiada membinasakan sesuatu negeri pun, melainkan ada baginya ketentuan masa yang telah ditetapkan.

 

Memang Allah ada membinasakan kaum yang menentang Rasul mereka. Bukanlah قَريَةٍ yang dibinasakan akan tetapi penduduknya kerana penduduknya yang bersalah. Itu semua sudah ada masa yang ditentukan. Tidaklah mereka sahaja lawan Rasul mereka, terus mereka dibinasakan. Allah tidak buat begitu, malah akan beri masa untuk mereka bertaubat dan mengubah diri mereka.

Mungkin pada awalnya mereka menentang, tapi mungkin mereka buka hati mereka. Jadi Allah beri mereka buat apa yang mereka hendak buat, sampailah kepada satu tahap yang Allah tentukan, barulah Allah musnahkan mereka. Maknanya, tidaklah mereka buat salah sahaja Allah terus musnahkan mereka.

Ini sebagai ancaman kepada Musyrikin Mekah. Mereka kena tahu yang mereka tak kena azab lagi kerana belum sampai masa sahaja. Kalau sudah sampai masa yang telah ditetapkan, maka akan kenalah mereka. Yang pasti, mereka tidak akan selamat kalau masa itu telah sampai. Maka janganlah mereka tunggu sampai saat itu.

Ia juga bermaksud, mereka itu tidaklah dihancurkan melainkan mereka sudah ada kitab wahyu yang jelas diberikan kepada mereka. Maknanya, dalil dan hujah akan ditegakkan kepada mereka dahulu, barulah mereka dihancurkan. Allah tidak zalim dengan menghancurkan mereka yang tidak dapat dalil lagi.

Maka bukanlah mereka masih selamat itu kerana Allah tak perasan apa yang mereka telah lakukan, Allah tak tahu nak buat apa, Allah takut hendak kenakan apa-apa terhadap mereka, bukan dan bukan. Masa kehancuran mereka itu sudah ditentukan, tapi Allah sahaja yang tahu. Kenapa Allah tangguhkan itu adalah di dalam kebijaksanaan Allah, kita kena redha dan sabar sahaja.

Jadi kalau orang zalim dan para penindas di dunia sekarang masih selamat, jangan kita ribut marahkan Allah. Kerana Allah telah tetapkan masa kehancuran mereka, belum sampai sahaja masanya. Jadi bagi Israel, rejim Asad di Syria dan di mana-mana, mereka masih selamat kerana belum masanya sahaja untuk mereka dihancurkan.


 

Hijr Ayat 5: Kalau Allah sudah tentukan masa kehancuran mereka, tidak boleh diubah lagi.

مّا تَسبِقُ مِن أُمَّةٍ أَجَلَها وَما يَستَأخِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No nation will precede its term, nor will they remain thereafter.

(MELAYU)

Tidak ada suatu umat pun yang dapat mendahului ajalnya, dan tidak (pula) dapat mengundurkan(nya).

 

Kalau mereka buat apa pun, takkan dapat diubah ketentuan dari Allah untuk menghancurkan mereka nanti. Dan masa itu telah ditentukan. Kalimah مِن di dalam ayat ini adalah za’idah (penambahan) maka bukanlah ia bermaksud sebahagian sahaja umat, tapi keseluruhan umat tanpa terkecuali. Tidak ada sesiapa yang dapat mendahului ajal mereka atau memperlewatkannya. Kalau buat macam mana pun tidak boleh hendak memperlewatkan.

Jadi tidaklah boleh kita kata: kalau mereka itu banyak buat dosa, akan dicepatkan azab mereka. Tidak, kerana masa dan bila ianya akan terjadi, semua itu telah ditentukan oleh Allah. Allah tidak akan cepatkan dan tidak akan lambatkan dari masa yang Dia telah tetapkan. Dan hanya Allah sahaja yang tahu bilakah mereka akan dikenakan dengan azab itu. Kita sebagai manusia tidak akan dapat tahu maka tidaklah perlu kita nak tunggu waktu-waktu tertentu.

Maka bagi orang Mukmin, mereka tidak resah gelisah kerana mereka tahu apa sahaja yang Allah tentukan, ia pasti akan terjadi apabila sampai masanya. Kita jalani sahaja kehidupan kita seperti biasa tanpa tertanya-tanya, bilakah agaknya Allah akan hancurkan mereka? Kenapa Allah tak berikan kemenangan kepada umat Islam lagi? Semua ini kita kena redha yang ia adalah di dalam perancangan Allah.


 

Hijr Ayat 6: Ayat Syikayah (pengaduan Allah terhadap golongan kafir). Apakah kata-kata kurang ajar mereka yang Allah ulang semula di dalam Al-Qur’an?

وَقالوا يٰأَيُّهَا الَّذي نُزِّلَ عَلَيهِ الذِّكرُ إِنَّكَ لَمَجنونٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “O you upon whom the message has been sent down, indeed you are mad.¹

  • Literally, “possessed by jinn.”

(MELAYU)

Mereka berkata: “Hai orang yang diturunkan Al Qur’an kepadanya, sesungguhnya kamu benar-benar orang yang gila.

 

Ini adalah kata-kata cemuhan dan ejekan dari mereka yang menentang ajaran wahyu. Mereka kata Nabi Muhammad itu gila, sudah hilang akal. Atau dari segi bahasanya مَجنونٌ itu bermaksud disampuk jin (sampai jadi orang gila). Kononnya mereka amat hairan apa yang terjadi kepada baginda. Mereka kata kenapalah Muhammad itu tiba-tiba jadi begini? Dulu baginda tidaklah begitu tapi tiba-tiba jadi begitu pula. Mereka sampai ada yang tawarkan untuk ubati baginda kalau kena sampuk jin.

Amat teruk sekali apa yang mereka katakan kepada Nabi Muhammad sampai Allah rekodkan kata-kata mereka itu dalam ayat ini. Tujuan mereka adalah hendak menjatuhkan nama baik Nabi Muhammad (character assasination) supaya orang lain takut untuk mendekati baginda tidak belajar dengan baginda. Ini samalah seperti yang dilakukan oleh penentang ajaran Sunnah. Mereka akan tuduh asatizah Sunnah sebagai ‘wahabi’ supaya orang awam takut untuk belajar dengan asatizah Sunnah itu. Mereka akan kata, jangan ambil ilmu dari ustaz itu dan ini, dia Wahabi! Maka orang awam yang tidak tahu apa-apa akan timbul rasa sangsi dalam diri mereka dan menjauhkan diri.

Kenapa tuduhan gila dikenakan kepada Nabi Muhammad? Satu lagi sebab adalah kerana baginda memperkatakan perkara yang tidak pernah disangka oleh masyarakat waktu itu atau pun berlawanan dengan fahaman mereka. Baginda ajak mereka sembah satu Tuhan sahaja, suruh jaga akhlak, beritahu yang apabila sudah mati, nanti akan ada akhirat apabila semua makhluk akan dibangkitkan. Tentulah mereka kata baginda gila! Maka kalau orang tuduh kita berbagai-bagai tuduhan apabila menyampaikan kebenaran, ia tidaklah pelik kerana memang begitulah manusia yang akan pelik dengan perkara yang mereka tidak pernah dengar.

Lihat bagaimana kalimah الذِّكرُ (peringatan) digunakan untuk merujuk kepada Al-Qur’an. Dari dulu lagi sudah digunakan kalimah itu untuk merujuk kepada Al-Qur’an. Bila ianya dikira sebagai ‘peringatan’, ianya untuk perkara yang sudah tahu tapi diingatkan kembali sahaja, bukan? Kerana kalau berita baru, kalimah yang digunakan adalah naba’, atau hadith.

Kenapa dari dulu lagi Al-Qur’an dinamakan الذِّكرُ sedangkan bukankah ianya perkara baru kepada Musyrikin Mekah? Kerana ianya mengingatkan fitrah apa yang telah ada dalam diri manusia. Manusia sudah tahu apa yang benar dan apa yang salah sebenarnya. Kita semua dilahirkan dengan pengetahuan itu. Al-Qur’an ingatkan sahaja.

Al-Qur’an bukan sahaja ingatkan perkara yang manusia sudah tahu, tapi ia juga menegur kesalahan yang manusia sedang lakukan. Maka الذِّكرُ juga bermaksud nasihah. Tapi untuk Al-Qur’an menjadi penasihat kita, kita yang membacanya hendaklah faham, bukan? Kalau baca tapi satu habuk pun tidak tahu apa yang dibaca, peringatan apakah itu? Bukankah itu yang dilakukan oleh kebanyakan Muslim? Ramai yang membacanya tapi tidak faham. Ini kerana mereka tidak teringin pun untuk mempelajari Tafsir Al-Qur’an.


 

Hijr Ayat 7: Dalam ayat sebelum ini, telah dikatakan bagaimana Musyrikin Mekah itu tidak percaya kepada Nabi Muhammad dan menuduh baginda seorang yang gila. Sekarang disebut satu lagi hujah mereka yang bodoh.

لَو ما تَأتينا بِالمَلٰئِكَةِ إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Why do you not bring us the angels, if you should be among the truthful?”

(MELAYU)

Mengapa kamu tidak mendatangkan malaikat kepada kami, jika kamu termasuk orang-orang yang benar?”

 

لَو ما تَأتينا بِالمَلٰئِكَةِ

Mengapa kamu tidak mendatangkan malaikat kepada kami,

Mereka tidak dapat percaya yang Rasulullah boleh dapat wahyu. Mereka kata baginda sahaja cakap ada malaikat yang jumpa baginda dan beri wahyu. Mereka kata kenapa baginda sahaja yang nampak tapi mereka pula tidak nampak? Hal ini juga telah diulang di dalam Furqan:7

وَقالوا مالِ هٰذَا الرَّسولِ يَأكُلُ الطَّعامَ وَيَمشي فِي الأَسواقِ ۙ لَّولا أُنزِلَ إِلَيهِ مَلَكٌ فَيَكونَ مَعَهُ نَذيرًا

Dan mereka berkata: “Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?,

Mereka kata itu karut sahaja dan memang benarlah Nabi Muhammad itu gila. Mereka kata, kalau betul malaikat itu ada, maka mereka cabar tunjukkanlah malaikat itu pada mereka! Bagilah mereka juga nampak! Bukan mereka sahaja yang baru minta nak tengok. Perihalnya sama dengan ucapan Fir’aun seperti yang ada dalam ayat yang lain:

{فَلَوْلا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسَاوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ}

Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang dari emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya? (Az-Zukhruf: 53)

 

إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

jika kamu termasuk orang-orang yang benar?”

Mereka cabar baginda, kalaulah benar baginda benar dapat wahyu, maka turunkanlah juga malaikat kepada mereka. Mereka nak dengar juga kata-kata malaikat itu. Mereka nak malaikat sendiri jumpa mereka dan cakap sendiri dengan mereka.

Atau, mereka tidak mahu bangsa manusia yang beri peringatan kepada mereka, tapi sebaliknya biar malaikat sahaja yang mengajar mereka. Kerana kalau manusia, sama sahaja dengan mereka, jadi tidak ada apa-apa kelebihan. Begitulah sombongnya mereka, memilih siapa yang layak berdakwah dan mengajar mereka.

Ini adalah alasan sahaja dan ada alasan-alasan lain dari mereka untuk menolak Al-Qur’an. Mereka sebenarnya memang tidak mahu belajar, tidak mahu ikut. Orang kita pula, bagaimana? Mereka tidaklah guna alasan yang sama, tapi tetap ada alasan juga, bukan? Apabila diajak belajar tafsir Al-Qur’an mereka beri alasan tidak tahu bahasa Arab, tidak ada masa, tunggu sudah pencen baru ada masa dan sebagainya. Akhirnya sama sahaja macam Musyrikin Mekah yang tidak tahu ajaran dari Al-Qur’an.


 

Hijr Ayat 8: Ini jawapan dari Allah berkenaan kehendak mereka itu.

ما نُنَزِّلُ المَلٰئِكَةَ إِلّا بِالحَقِّ وَما كانوا إِذًا مُّنظَرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We do not send down the angels except with truth;¹ and they [i.e., the disbelievers] would not then be reprieved.

  • i.e., with a message or, as the conclusion of the verse suggests, to carry out a promised punishment.

(MELAYU)

Kami tidak menurunkan malaikat melainkan dengan benar (untuk membawa azab) dan tiadalah mereka ketika itu diberi tangguh.

 

ما نُنَزِّلُ المَلٰئِكَةَ إِلّا بِالحَقِّ

Kami tidak menurunkan malaikat melainkan dengan kebenaran

Maksud بِالحَقِّ dalam ayat ini adalah ‘kemusnahan’. Untuk menjalankan hukum Allah untuk mengazab manusia yang engkar. Bila malaikat datang turun kepada mereka, itu adalah hanya untuk musnahkan mereka sahaja. Kerana tugas malaikat adalah untuk turun bawa risalah dan azab. Maka ini menjawab persoalan ramai orang: “apa Jibril sudah tidak ada kerja kah kerana Rasul sudah tiada?”. Jibril ada kerja lagi dan tugas beliau adalah untuk bawa azab pula.

Kalau mereka nak malaikat turun kepada mereka, itu adalah untuk bawa azab untuk mereka. Adakah mereka hendak begitu? Allah berfirman dalam ayat yang lain:

{وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا لَوْلا أُنزلَ عَلَيْنَا الْمَلائِكَةُ أَوْ نَرَى رَبَّنَا لَقَدْ اسْتَكْبَرُوا فِي أَنْفُسِهِمْ وَعَتَوْا عُتُوًّا كَبِيرًا يَوْمَ يَرَوْنَ الْمَلائِكَةَ لَا بُشْرَى يَوْمَئِذٍ لِلْمُجْرِمِينَ وَيَقُولُونَ حِجْرًا مَحْجُورًا}

Berkatalah orang-orang yang tidak menanti-nanti pertemuannya dengan Kami, “Mengapakah tidak diturunkan kepada kita malaikat atau (mengapa) kita (tidak) melihat Tuhan kita?” Sesungguhnya mereka memandang besar tentang diri mereka dan mereka benar-benar telah melampaui batas (dalam melakukan) kezaliman. Pada hari mereka melihat malaikat di hari itu tidak ada khabar gembira bagi orang-orang yang berdosa dan mereka berkata, “Hijram Mahjura.” (Al-Furqan: 21 -22)

Apa maksud ‘tidak ada khabar gembira’ buat mereka itu? Kerana berita buruk yang mereka akan terima iaitu azab seperti disebut dalam An’am:8

وَقالوا لَولا أُنزِلَ عَلَيهِ مَلَكٌ ۖ وَلَو أَنزَلنا مَلَكًا لَّقُضِيَ الأَمرُ ثُمَّ لا يُنظَرونَ

Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara, kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).

 

وَما كانوا إِذًا مُّنظَرينَ

dan tiadalah mereka ketika itu diberi tangguh.

Dan apabila telah sampai waktu kemusnahan mereka, waktu itu tidak ada masa nak taubat lagi. Bila malaikat sudah turun bawa azab kepada manusia, waktu itu sudah terlambat. Tidak akan diberi masa tangguh walau pun sekejap untuk mereka bertaubat, untuk mereka perbetulkan balik akidah mereka. Waktu itu untuk musnahkan mereka sahaja. Mereka hendak macam itu kah? Jadi jangan memandai minta tengok malaikat pula.


 

Hijr Ayat 9: Walaupun manusia ada yang menolak kebenarna, akan tetapi Allah tetap menurunkan Al-Qur’an untuk beri hidayah kepada mereka.

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, it is We who sent down the message [i.e., the Qur’ān], and indeed, We will be its guardian.

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

 

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al Qur’an, 

Sekali lagi Al-Qur’an disebut sebagai الذِّكرَ dalam ayat ini. Musyrikin Mekah kata jin lah sebenarnya yang bercakap kepada Nabi Muhammad; maka Allah nak tekankan yang Dia sendiri yang sampaikan Al-Qur’an itu kepada Nabi. Ia tidak datang dari yang lain. Ia bukan datang dari jin, bukan dari manusia dan bukan fikiran Nabi Muhammad.

Kerana itu ada penekanan di dalam ayat ini. Sampai tiga kali Allah tekan Kami (Allah). إِنّا (sesungguhnya Kami) نَحنُ (Kami) dan نَزَّلنَا (Kami telah turunkan). Ini kerana Allah hendak beritahu Dia, Dia dan Dia lah juga yang menurunkan Al-Qur’an itu. Maka apa pengajaran kepada kita? Kalau Allah yang turunkan, maka berilah perhatian dan fahamilah apa yang Allah sampaikan itu. Jangan setakat baca sahaja tanpa memahaminya. Maka kenalah belajar tafsir. Sampai bila asyik baca tak faham?

 

وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ

dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Walau apa pun yang mereka nak halang Al-Qur’an dan nak tutup dari Al-Qur’an disampaikan, takkan berlaku kerana Allah yang jaga Al-Qur’an. Sama ada semasa ia diturunkan kepada Rasulullah (supaya tidak dicampur dengan kata-kata makhluk) ataupun setelah ia diturunkan sampai bila-bila.

Dan di sini ini adalah pengkhususan kerana ada penggunaan taqdim dalam ayat ini (iaitu kalimah لَهُ di awalkan). Maknanya Allah sudah berjanji untuk menjaga Al-Qur’an dari diubah-ubah dan hanya Al-Qur’an sahaja. Kerana itulah kitab-kitab sebelum Al-Qur’an seperti Taurat, Injil dan Zabur ditukar teksnya oleh umat mereka kerana Allah tidak berjanji untuk menjaga kitab-kitab itu.

Tapi kenapa Allah tidak jaga juga kitab-kitab itu? Kerana Allah sudah taqdirkan yang kitab-kitab itu tidak kekal digunakan. Kerana selepas Taurat ada Injil dan selepas Injil diganti dengan Al-Qur’an. Apabila Al-Qur’an datang maka ia memansukhkan kandungan kitab Taurat dan Injil dan ia tidak berfungsi lagi untuk manusia gunakan sebagai pedoman kerana sudah ada Al-Qur’an. Akan tetapi selepas Al-Qur’an tidak ada lagi kitab wahyu yang lain, maka kerana itu perlu dijaga sampai ke hari Kiamat kerana ia menjadi kitab panduan manusia sehinggalah tidak ada lagi manusia dan alam ini.

Dan Allah memberitahu yang Dia pasti akan memelihara Al-Qur’an itu kerana ada penekanan dengan penggunaan huruf ل dalam kalimah لَحافِظونَ itu. Jadi ada dua penekanan dalam ayat ini tentang penjagaan Al-Qur’an.

Ini adalah dalil bahawa Al-Qur’an ini akan tetap terpelihara sampai bila-bila. Ianya tidak akan diubah seperti yang terjadi pada kitab-kitab wahyu sebelum ini dimana ianya telah diubah oleh manusia. Kitab-kitab itu dapat diubah oleh manusia kerana Allah tidak berjanji akan menjaganya, seperti yang Allah telah janjikan untuk jaga Al-Qur’an ini. Jadi Al-Qur’an ini adalah unik.

Salah satu cara penjagaan Al-Qur’an adalah penghafalan yang dilakukan oleh penganut agama Islam. Kerana cinta mereka kepada Al-Qur’an, amat ramai yang menghafalnya. Jadi kerana itulah penghafal Al-Qur’an dipanggil حافط (penjaga) dan itulah yang digunakan pada kalimah لَحافِظونَ itu.

Jadi hafiz Al-Qur’an itu adalah satu tugas yang mulia. Dan mereka ada kelebihan yang tinggi kerana mereka selalu baca Al-Qur’an kerana untuk menghafal Al-Qur’an, mereka kena zikir dengan Al-Qur’an selalu. Sewaktu mula hafal mereka kena selalu baca dan selepas sudah hafal pun, mereka kena selalu baca untuk menjaga hafalan itu dalam hati mereka. Semoga kita semua dapat jadi penghafal Al-Qur’an.

Dari mula Al-Qur’an diturunkan sampailah ke hari ini, sentiasa sahaja ada penghafal Al-Qur’an. Dan kerana itu pada saat ini, ada berjuta-juta manusia yang menghafal Al-Qur’an 30 juzuk itu. Kalau dikira mereka yang hafal Al-Qur’an tapi tidak lengkap 30 juzuk, tentulah lagi ramai.

Memang ada usaha untuk merosakkan Al-Qur’an ini dimana ada yang berniat jahat dengan memasukkan ayat-ayat lain atau menukar kalimah-kalimah yang ada dalam Al-Qur’an dan dicetak. Ataupun ada juga kilang pencetak yang tersilap menulis lembaran Al-Qur’an itu. Tapi ia sentiasa sahaja dapat dikesan kerana ramai yang menghafal Al-Qur’an.

Katakanlah semua Al-Qur’an ini dimusnahkan sekarang, kita memang tidak ada masalah untuk menulisnya kembali kerana ada ramai sahaja yang hafal Al-Qur’an dengan tulisannya sekali dan mereka boleh menulis semula Al-Qur’an ini dalam sehari pun. Tidak ada mana-mana kitab dalam dunia lagi yang dihafal sebegini rupa. Memang Allah nak jaga Al-Qur’an ini dari dicemari.

Maka janganlah kita ragu-ragu dengan Al-Qur’an ini. Beginilah Al-Qur’an dari mula ia diturunkan dan sama juga dengan Al-Qur’an yang ada pada kita sekarang. Kalau ada yang berhujah dengan mengatakan Al-Qur’an sekarang ini tidak sama kerana ada lembaran yang tidak dijumpai dan sebagainya, itu adalah mengarut sahaja. Ini tidak benar kerana dari dulu lagi penjagaan Al-Qur’an adalah dengan cara hafalan para sahabat. Dan sekarang ianya dijaga oleh para huffaz yang ada sekarang.

Mana mungkin hendak dikatakan ada kesilapan. Kalau kita ambil Al-Qur’an yang ada di Malaysia ini dan bandingkan dengan Al-Qur’an yang ada di Pakistan, Russia atau China, ianya adalah sama sahaja. Kalau dikatakan ada banyak versi Al-Qur’an, tentulah ada banyak perbezaan antara mushaf yang ada pada tangan kita dan mushaf yang ada di tempat lain, bukan? Tapi tidak begitu.

Ada satu kisah yang menarik terjadi semasa zaman Khalifah Ma’mun, khalifah kerajaan Abbasiyyah. Kisah ini disampaikan oleh Imam Qurtubi. Khalifah Ma’mun selalu menyertai majlis-majlis ilmu dan perdebatan di antara para ilmuwan. Pada satu hari majlis itu disertai oleh seorang lelaki Yahudi dan daripada perawakannya dan cara pakaiannya beliau adalah seorang yang hebat. Dan apabila dia bercakap pun telah menarik perhatian Khalifah Ma’mun.

Khalifah bercakap beberapa ketika dengannya dan akhirnya mengajak lelaki Yahudi itu untuk masuk agama Islam akan tetapi lelaki itu tidak mahu meninggalkan agama tok neneknya. Setelah setahun berlalu dan Khalifah Ma’mun telah berjumpa semula lelaki itu semua dan lelaki itu ternyata telah menjadi seorang Muslim dan pada waktu itu sedang memberikan pendapatnya di dalam hal agama dan diperhatikan oleh sang Khalifah. Khalifah Ma’mun bertanya benarkah dia lelaki yang telah berjumpa dengannya tahun lepas dan lelaki itu berkata benar. Khalifah bertanya apa yang menyebabkan dia masuk Islam akhirnya?

Lelaki itu menceritakan bahawa kerjanya adalah penyalin kitab dan dia mendapat rezeki yang banyak dengan cara itu. Pada satu masa dia telah melakukan satu ujian. Pertama dia menulis tiga naskah Taurat dengan cantik dan dia telah menukar teks kitab itu dengan memadam beberapa ayat dan menambah ayatnya sendiri dan kemudian dia telah menjual kepada orang Yahudi di gereja mereka. Orang-orang Yahudi itu dengan senang hati membelinya dan suka dengan naskah-naskah tersebut.

Kemudian dia telah melakukan perkara yang sama dengan kitab Injil dengan mengubah kandungan kitab Injil itu dan kemudian menjual kepada orang Kristian pula. Ternyata mereka juga gembira dan membeli kitab itu dengan senang hati. Selepas itu lelaki itu buat perkara yang sama dengan menulis tiga naskah Al-Qur’an dan beliau juga telah memadam beberapa ayat dan menambah beberapa ayat. Kemudian beliau cuba menjualnya kepada orang Islam.

Setiap orang Islam yang dia cuba untuk menjualnya akan memeriksa Al-Qur’an itu dan naskah naskah itu akhirnya dipulangkan kepadanya kerana mereka telah mendapati bahawa naskah-naskah itu ada kesilapan ayat. Dari ujian itu maka tahulah lelaki itu bahawa Al-Qur’an itu tentunya daripada Allah dan dipelihara oleh Allah dan akhirnya dia telah membuat keputusan untuk masuk agama Islam.

Maka Allah menjaga Al-Qur’an dengan menjadikan ramai penghafal Al-Qur’an. Dan bukan sahaja dihafal akan tetapi ajaran Tauhid Al-Qur’an disampaikan kepada semua manusia. Sesiapa sahaja yang telah mempelajarinya tentu hendak menyampaikan kepada orang lain, bukan? Cuma bezanya ada yang melakukannya dan ada yang tidak. Maka beruntunglah jikalau kita dipilih oleh Allah untuk menjaga Al-Qur’an ini. Kita berdoa supaya Allah gunakan kita untuk kebaikan dan bukannya untuk keburukan. Contohnya Firaun dijadikan contoh orang yang buruk dan jangan diikuti.

Itu adalah penjagaan dari segi teks Al-Qur’an itu. Selain dari itu, Allah juga menjaga maksud (tafsir) bagi ayat-ayat Al-Qur’an itu. Ini dijaga oleh para alim ulama’ yang memberikan penafsiran yang sebenar. Dan jikalau ada yang memberikan penafsiran yang salah, maka mereka akan tampil untuk memberikan penjelasan. Maka kerana itu kita kena belajar tafsir dari sumber yang boleh dipercayai. Jangan kita pakai terima sahaja tafsiran yang kita jumpa di web. Maka kerana itu kena ada pembelajaran yang berterusan dengan guru yang ramai supaya kita dapat memperbetulkan fahaman kita.


 

Hijr Ayat 10:

وَلَقَد أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في شِيَعِ الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly sent [messengers] before you, [O Muḥammad], among the sects of the former peoples.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus (beberapa rasul) sebelum kamu kepada umat-umat yang terdahulu.

 

Kalimah شِيَعِ adalah jamak untuk ‘golongan-golongan’. Kalau satu kumpulan sahaja, ia adalah شيعة. Ini adalah kalimah lain untuk ‘jemaah’ yang mengikut seseorang atau sesuatu fahaman. Ia merujuk kepada kumpulan manusia yang ada sama pegangan sampaikan kadangkala pakaian mereka pun sama. Dan apabila disertai, mereka akan dapat perlindungan dari kumpulan itu. Persamaan itu sama ada dari segi politik atau agama. Apabila mereka sudah di dalam kumpulan yang sama, maka cara mereka berfikir pun sama juga.

Allah memberitahu bahawa para Nabi dihantar kepada kumpulan manusia yang dia sudah biasa kerana lahir dan membesar di tempat itu. Ini akan memudahkan masyarakat itu untuk menerima para Nabi itu kerana dia datang dari kalangan mereka.

Ini adalah tasliah kepada Nabi. Allah hendak memberitahu baginda, bukan Musyrikin Mekah sahaja yang mula tolak sebegini kerana nak jaga kumpulan dan kepentingan mereka. Dari dulu lagi sudah banyak Nabi-nabi yang menghadapi jenis manusia begini. Begitulah Allah memujuk Rasulullah dan para sahabat. Ini kerana sifat manusia ini apabila ada orang lain yang juga mengalami nasib yang sama, maka musibah yang mereka sedang hadapi itu akan terasa ringan. Jadi diberitahu kepada baginda bahawa apa yang baginda sedang lalui dari penentangan kaumnya itu telah pernah dihadapi juga oleh para Nabi dan Rasul sebelum baginda.


 

Hijr Ayat 11: Apa yang mereka lakukan terhadap para Rasul itu?

وَما يَأتيهِم مِّن رَّسولٍ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِءونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And no messenger would come to them except that they ridiculed him.

(MELAYU)

Dan tidak datang seorang rasul pun kepada mereka, melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya.

 

Kumpulan-kumpulan itu sentiasa akan menentang dan mengejek para Rasul dan para pendakwah. Kalimah يَستَهزِءونَ juga di dalam bentuk fi’il istimrar jadi ini adalah perbuatan yang selalu dilakukan. Begitu juga dengan kalimah يَأتيهِم di dalam bentuk fi’il istimrar jadi ia adalah perkara yang berulang-ulang bagi umat terdahulu. Setiap kali datang Rasul akan ada sahaja yang mempersendakan para Rasul itu. Mereka tidak suka kalau cara hidup mereka dikatakan salah, maka mereka akan cuba sedaya upaya untuk menghalang dakwah itu dari berjalan. Antaranya adalah dengan cara mengejek dan mempersenda. Contoh yang terjadi kepada Nabi Musa adalah seperti disebut dalam Baqarah:67

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

Lihatlah bagaimana arahan dari Nabi mereka pun mereka boleh permainkan. Degil sungguh mereka sampai berani bercakap begitu. Mereka boleh kata Nabi Musa permainkan mereka?

Ini juga adalah tasliah (pujukan) untuk Rasulullah. Sebagaimana Nabi Muhammad dipersendakan, begitulah juga para Rasul dahulu. Allah nak beritahu baginda yang perkara ini biasa sahaja. Akan ada sahaja yang akan menentang kebenaran apabila disampaikan kepada mereka. Jadi janganlah baginda rasa terkilan sangat. Kalau baginda kena tohmah, kena ejek dan kena hina, itu juga telah pernah dilalui oleh Rasul-rasul yang dahulu. Ia pasti berlaku kerana penggunaan kalimah ما dan kemudian ada إِلّا. Maknanya tidak ada pengecualian. Tidak ada Rasul melainkan diperolokkan. Maknanya kalau jadi Rasul sahaja mesti akan diperolokkan. Jadi minda Para Rasul kena bersedia untuk diperolokkan dan ditolak dan dipermainkan.

Lihatlah bagaimana orang yang mulia pula diperolokkan oleh masyarakat yang jahil. Jadi jangan risau kalau kita ditolak dan dipermainkan kerana itu tanda kita orang yang mulia. Ia juga tanda yang kita bawa kebenaran kerana nafsu kebanyakan manusia memang tidak suka kebenaran. Kerana itulah ramai manusia akan menentang. Yang jadi masalah kalau kita cakap, semua orang setuju. Kalau ini yang terjadi, kena nilai balik apa yang kita cakap kerana tidak sepatutnya semua orang suka dengan kata-kata kita. Kerana kita tahu sepatutnya kebanyakan manusia akan menolak apa yang kita sampaikan (jika ia benar).

Dan begitulah juga dengan kita yang menjalankan kerja dakwah. Kalau kita dakwah ajak kepada jalan sunnah, pun akan jadi begitu juga. Akan ada sahaja penentang yang tidak suka dengan kita. Maka kena bersedia dengan minda yang kuat dan tidak kisah apa orang kata. Kerana itulah kita akan dikatakan sebagai Wahabi, Kaum Muda, Golongan tidak habis belajar, pemecah umat, dan macam-macam lagi. Ini adalah kerana kita menegur amalan masyarakat yang tidak benar, maka tentulah mereka marah. Tapi kalau tak buat kerja dakwah, buat senyap sahaja, memang selamatlah dari kata-kata manusia. Tapi dikira tidak menjalankan tugas sebagai Muslim lah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-Hijr Ayat 4 – 11 (Allah berjanji akan memelihara Al-Qur’an)”

Leave a comment