Tafsir Surah Ibrahim Ayat 9 – 10 (Amalan tok nenek)

Ayat 9: Setelah Allah ﷻ buka kisah Nabi Musa عليه السلام , sekarang masuk ke dalam peristiwa pertama. Ayat ini sehingga ke ayat 17 adalah Perenggan Makro ke 3 surah ini.

Ia menukilkan tentang konsep syukur dan kufur dalam nukilan sejarah. Sikap tidak bersyukur ditunjukkan dengan ragu-ragu kepada seruan Rasul, menolak seruan tauhid, tidak bertawakkal kepada Allah ﷻ . Mereka yang bersikap sedemikian diancam dengan azab Jahannam.

أَلَم يَأتِكُم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِكُم قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ ۛ وَالَّذينَ مِن بَعدِهِم ۛ لا يَعلَمُهُم إِلَّا اللهُ ۚ جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ فَرَدّوا أَيدِيَهُم في أَفواهِهِم وَقالوا إِنّا كَفَرنا بِما أُرسِلتُم بِهِ وَإِنّا لَفي شَكٍّ مِمّا تَدعونَنا إِلَيهِ مُريبٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Has there not reached you the news of those before you – the people of Noah and ‘Aad and Thamūd and those after them? No one knows them [i.e., their number] but Allāh. Their messengers brought them clear proofs, but they returned their hands to their mouths¹ and said, “Indeed, we disbelieve in that with which you have been sent, and indeed we are, about that to which you invite us, in disquieting doubt.”

  • Several explanations have been given as to the meaning. Based upon the conclusion of the verse, Ibn Katheer preferred that this was a gesture of denial and rejection.

(MELAYU)

Belumkah sampai kepadamu berita orang-orang sebelum kamu (yaitu) kaum Nuh, ‘Ad, Tsamud dan orang-orang sesudah mereka? Tidak ada yang mengetahui mereka selain Allah. Telah datang rasul-rasul kepada mereka (membawa) bukti-bukti yang nyata lalu mereka menutupkan tangannya ke mulutnya (kerana kebencian), dan berkata: “Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu disuruh menyampaikannya (kepada kami), dan sesungguhnya kami benar-benar dalam keragu-raguan yang menggelisahkan terhadap apa yang kamu ajak kami kepadanya”.

أَلَم يَأتِكُم نَبَأُ الَّذينَ مِن قَبلِكُم

Belumkah sampai kepadamu berita orang-orang sebelum kamu

Allah ﷻ mengingatkan tentang berita orang-orang terdahulu. Kerana kisah para Nabi dan dakwah mereka sama sahaja, tentang tauhid dan mereka juga telah ditentang oleh kaum mereka dan ada balasan buruk yang Allah ﷻ beri kepada mereka. Tidak sampaikah kisah mereka itu? Tidakkah kamu mahu mengambil pengajaran daripada kisah mereka?

قَومِ نوحٍ وَعادٍ وَثَمودَ ۛ وَالَّذينَ مِن بَعدِهِم

(yaitu) kaum Nuh, ‘Ad, Tsamud dan orang-orang sesudah mereka.

Kemudian disebut tentang beberapa kaum yang kisah mereka memang terkenal dalam sejarah. Berkemungkinan besar Musyrikin Mekah itu memang sudah tahu dengan kisah-kisah mereka, cuma hendak diingatkan sahaja. Kaum Nuh, Aad dan Tsamud itu terkenal, kemudian Allah ﷻ sebut وَالَّذينَ مِن بَعدِهِم sebagai merangkumi kaum yang lain-lain, sebab banyak sangat.

لا يَعلَمُهُم إِلَّا اللهُ

Tidak ada yang mengetahui mereka selain Allah. 

Ada banyak lagi Nabi dan kaum yang telah dihantar Rasul kepada mereka. Dan ada banyak lagi kisah tetapi tidak ada dalam sejarah kerana mereka sudah tiada dan kisah mereka tidak ditulis.

Dan dalam Al-Qur’an pun tidak disebut kerana Al-Qur’an bukan buku sejarah sampai perlu menceritakan semua sekali apa yang terjadi dalam sejarah. Allah ﷻ sebut beberapa kisah sahaja sebagai pengajaran bagi pembaca Al-Qur’an. Oleh kerana itu, Allah ﷻ kata tiada siapa yang tahu hal dan sejarah mereka melainkan Allah ﷻ . Ini adalah kerana mereka telah dimusnahkan langsung.

جاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّناتِ

Telah datang rasul-rasul kepada mereka (membawa) bukti-bukti yang nyata

Kisah mereka sama sahaja: mereka telah didatangi dengan Rasul pembawa risalah tauhid. Dan Nabi mereka pun bawa haq juga seperti Nabi Muhammad ﷺ . Para Rasul itu tidak datang berdakwah dan menyampaikan agama kepada kaum mereka dengan tangan kosong tetapi mereka bawa dalil dan bukti.

Ini mengajar kita bahawa dalam kita berdakwah, kita perlu bawakan bukti dan dalil – jangan berhujah sahaja tanpa menyebut ayat Al-Qur’an dan hadis Nabi ﷺ yang sahih. Jangan kita jadi golongan yang suruh sahaja orang ikut kata kita tetapi tidak beri dalil-dalilnya.

فَرَدّوا أَيدِيَهُم في أَفواهِهِم

lalu mereka memulangkan tangan mereka ke mulut mereka

Kalimat فَرَدّوا أَيدِيَهُم في أَفواهِهِم adalah pepatah Arab – maksudnya mereka menutup mulut mereka. Ini bermaksud yang mereka menolak tidak mahu dengar apa yang hendak telah disampaikan. Kenapa tutup mulut pula? Tutup mulut sebab geram dengan apa yang disampaikan oleh para Rasul itu. Juga kerana benci dan kerana itu mereka menahan perasaan mereka sampai menggigit jari tangan mereka.

Atau ia bermaksud, mereka tutup mulut Nabi ﷺ dengan tangan mereka untuk memberhentikan apa yang baginda katakan atau supaya Nabi ﷺ itu tidak meneruskan percakapan baginda. Begitulah teruk sangat apa yang mereka lakukan kerana mereka tidak mahu terima. Sama ada mereka tutup mulut Nabi ﷺ atau tutup mulut mereka sendiri.

وَقالوا إِنّا كَفَرنا بِما أُرسِلتُم بِهِ

dan berkata: “Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu disuruh menyampaikannya

Perbuatan menutup mulut tadi adalah perbuatan fizikal dan sekarang mereka juga cakap dengan mulut mereka sendiri. Mereka bukan sahaja tolak dengan perbuatan, tetapi mereka juga tolak dengan mulut mereka. Yang mereka tolak itu adalah ajakan tauhid daripada Nabi mereka.

وَإِنّا لَفي شَكٍّ مِمّا تَدعونَنا إِلَيهِ مُريبٍ

dan sesungguhnya kami benar-benar dalam keragu-raguan yang menggelisahkan terhadap apa yang kamu ajak kami kepadanya”.

Mereka rasa ragu-ragu sangat kerana mereka tidak mahu percaya. Mereka tidak mahu buka hati mereka kepada kebenaran. Mereka tidak mahu fikirkan pun sama ada apa yang disampaikan oleh Nabi ﷺ itu benar atau tidak.

Dan beginilah yang terjadi kepada ramai orang apabila mereka disampaikan dengan dakwah tauhid. Mereka terus tutup akal dan hati mereka daripada dengar. Sepatutnya mereka dengarlah dahulu apa yang hendak disampaikan oleh pendakwah tauhid. Tetapi malangnya, ramai yang tidak mahu dengar pun.

Ini adalah kerana mereka sudah ada keraguan dalam hati mereka. Dan ini adalah peringkat pertama kepada kekafiran – ragu-ragu. Ragu-ragu itu perlu dihilangkan dengan bertanya dan belajar. Apabila tidak dihilangkan, maka akan pergi ke peringat yang seterusnya (mereka menentang).


Ayat 10: Apakah kata balasan daripada para Rasul itu?

۞ قالَت رُسُلُهُم أَفِي اللهِ شَكٌّ فاطِرِ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۖ يَدعوكُم لِيَغفِرَ لَكُم مِن ذُنوبِكُم وَيُؤَخِّرَكُم إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى ۚ قالوا إِن أَنتُم إِلّا بَشَرٌ مِثلُنا تُريدونَ أَن تَصُدّونا عَمّا كانَ يَعبُدُ آباؤُنا فَأتونا بِسُلطانٍ مُبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their messengers said, “Can there be doubt about Allāh, Creator of the heavens and earth? He invites you that He may forgive you of your sins, and He delays you [i.e., your death] for a specified term.” They said, “You are not but men like us who wish to avert us from what our fathers were worshipping. So bring us a clear authority [i.e., evidence].”

(MELAYU)

Berkata rasul-rasul mereka: “Apakah ada keragu-raguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi? Dia menyeru kamu untuk memberi ampunan kepadamu dari dosa-dosamu dan menangguhkan (seksaan)mu sampai masa yang ditentukan?” Mereka berkata: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga. Kamu menghendaki untuk menghalang-halangi (membelokkan) kami dari apa yang selalu disembah nenek moyang kami, kerana itu datangkanlah kepada kami, bukti yang nyata”.

قالَت رُسُلُهُم أَفِي اللهِ شَكٌّ

Berkata rasul-rasul mereka: “Apakah ada keragu-raguan terhadap Allah,

Kaum mereka kata mereka ragu-ragu dengan apa yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu. Maka Rasul-rasul itu tanya mereka balik: kenapa hendak ragu dengan Allah ﷻ pula? Mereka tidak kenal Allah ﷻ kah? Ini tidak patut kerana setiap manusia telah diberikan dengan fitrah mengenal Allah ﷻ .

فاطِرِ السَّماواتِ وَالأَرضِ

Pencipta langit dan bumi?

Rasul-rasul itu ingatkan mereka kembali dengan Allah ﷻ . Kenapalah mereka boleh ragu dengan Allah ﷻ sedangkan Dia yang mencipta langit dan bumi?

يَدعوكُم لِيَغفِرَ لَكُم مِن ذُنوبِكُم

Dia menyeru kamu untuk memberi ampunan kepadamu daripada dosa-dosa kamu semua

Rasul-rasul itu menyampaikan yang Allah ﷻ mengajak mereka kepada jalan agama yang benar, bukannya para Rasul itu. Para Rasul hanya menyampaikan sahaja. Allah ﷻ ajak kepada tauhid kerana Dia nak ampunkan segala dosa-dosa manusia. Kalau mereka dapat terima ajakan tauhid itu, segala dosa mereka akan terhapus. Begitulah, kalau orang kafir masuk Islam, maka segala dosa-dosa mereka akan terhapus.

وَيُؤَخِّرَكُم إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى

dan menangguhkanmu sampai masa yang ditentukan?”

Walaupun mereka telah melakukan banyak dosa dan menolak ajakan tauhid, tetapi Allah ﷻ tidak terus azab mereka. Allah ﷻ sentiasa beri masa lanjutan sehinggalah sampai masanya mereka dimatikan. Allah ﷻ tangguhkan azab sampai ke waktu yang lain. Selagi mereka masih hidup, mereka ada peluang lagi untuk bertaubat dan baiki diri mereka. Oleh itu, jangan lepaskan peluang itu.

قالوا إِن أَنتُم إِلّا بَشَرٌ مِثلُنا

Mereka berkata: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga. 

Sekarang Allah ﷻ beritahu bagaimana golongan kafir itu berhujah dengan hujah yang bodoh. Mereka kata para Rasul itu manusia biasa, sama macam mereka sahaja. Mereka jadikan itu sebagai alasan. Mereka hendak kata, takkanlah mereka hendak dengar kata daripada manusia biasa? Kalau benda besar macam itu, tentulah sepatutnya disampaikan oleh malaikat, supaya mereka boleh terima.

Hujah ini banyak sekali disebut dalam ayat Al-Qur’an yang lain dan telah dijelaskan apakah hujah balas kepada hujah mereka itu. Hujah yang sama juga digunakan oleh Musyrikin Mekah terhadap Nabi Muhammad ﷺ . Allah ﷻ nak beritahu kepada Nabi Muhammad ﷺ , bukan Musyrikin Mekah sahaja yang minta macam itu, tapi umat-umat Rasul terdahulu dari baginda pun.

Ringkasnya, kepada manusia, tentulah Allah ﷻ turunkan manusia juga sebagai penyampai dakwah, takkan nak hantar makhluk jenis lain pula? Maka hujah mereka itu tidak masuk akal dan hanya sebagai hujah kosong sahaja kerana degil tidak mahu menerima kebenaran.

تُريدونَ أَن تَصُدّونا عَمّا كانَ يَعبُدُ آباؤُنا

Kamu menghendaki untuk menghalang-halangi (membelokkan) kami daripada apa yang selalu disembah nenek moyang kami,

Dan sekarang mereka tuduh Rasul mereka pula. Mereka kata Rasul mereka itu hanya nak halang mereka daripada mengamalkan amalan atok nenek mereka dahulu sahaja. Mereka hendak kata yang mereka sudah biasa dengan amalan itu turun temurun. Pada mereka, kalau atok nenek mereka buat, takkan salah pula?

Begitulah juga masalah masyarakat kita yang menolak ajakan Sunnah. Pegang sangat amalan atok nenek yang telah diturunkan turun temurun tanpa usul periksa. Padahal amalan atok nenek banyak yang tidak ada dalil. Tetapi kerana malas hendak fikir, mereka terus pakai sahaja. Kalau orang sunnah tegur mereka tentang amalan salah mereka itu, mereka marah.

Mereka kata kita bawa ajaran pelik, ajaran yang ‘sesat’. Mereka kata kita hendak memecahkan-belahkan masyarakat pula. Kerana bila kita kata amalan mereka salah, akan ada yang mahu pegang juga amalan itu – maka ada yang terima dan ada yang tidak – jadi masyarakat terpecah dua.

فَأتونا بِسُلطانٍ مُبينٍ

kerana itu datangkanlah kepada kami, bukti yang nyata”.

Kaum yang ingkar itu suruh pula Rasul mereka bawa ‘bukti yang nyata’. Iaitu mereka minta mukjizat ditunjukkan di depan mata mereka. Dan juga mereka minta bukti.

Padahal Rasul-rasul itu sudah bawa bukti pun, tetapi mereka tolak sahaja. Maknanya, kalau bawa bukti nyata pun, mereka tidak akan tinggalkan amalan salah mereka itu. Mereka minta bukti itu sebagai alasan sahaja. Bila diberi, mereka kata itu tidak cukup pula. Ini adalah kerana mereka hendak pakai juga amalan atok nenek mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s