Tafsir Surah Yusuf Ayat 23 – 25 (Ujian digoda wanita)

Ayat 23: Sambungan keadaan ke 5 iaitu kita akan mendengar kisah bagaimana baginda digoda oleh isteri tuannya.

وَرٰوَدَتهُ الَّتي هُوَ في بَيتِها عَن نَّفسِهِ وَغَلَّقَتِ الأَبوٰبَ وَقالَت هَيتَ لَكَ ۚ قالَ مَعاذَ اللهِ ۖ إِنَّهُ رَبّي أَحسَنَ مَثوايَ ۖ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she, in whose house he was, sought to seduce him. She closed the doors and said, “Come, you.” He said, “[I seek] the refuge of Allāh. Indeed, he¹ is my master, who has made good my residence. Indeed, wrongdoers will not succeed.”

  • Her husband, al-‘Azeez.

(MALAY)

Dan wanita  yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: “Marilah ke sini”. Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

 

وَرٰوَدَتهُ الَّتي هُوَ في بَيتِها عَن نَّفسِهِ

Dan wanita yang Yusuf tinggal di rumahnya hendak menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya

Isteri menteri itu telah jatuh hati kepada Nabi Yusuf عليه السلام. Dia sentiasa sahaja mencari peluang untuk menggoda dan mengambil kesempatan ke atas Nabi Yusuf عليه السلام. Kalau kita cari dalam Qur’an, Allah ‎ﷻ tidak sebut pun nama wanita ini. Tetapi orang sahaja kata namanya Zulaikha dan ini tidak benar kerana tidak ada dalil yang sahih tentang nama itu. Oleh itu, nama dia tidak perlu diketahui kerana Allah ‎ﷻ tidak sebut pun (maknanya tidak penting), kerana yang penting hendak disampaikan adalah sifatnya yang buruk.

Kalimah راوَدَت adalah keinginan yang telah menjadi keputusan untuk melakukan sesuatu setelah fikir lama, berjalan mundar mandir memikirkannya. Maknanya lama sudah difikirkan rancangan itu dan bermain di dalam kepalanya.

Di dalam ayat sebelum ini, telah disebut yang Nabi Yusuf عليه السلام ‎kuat berpegang pada prinsipnya. Sekarang kita dapat tahu bahawa perempuan ini hendak baginda meninggalkan prinsipnya dengan menggodanya.

Kalimah هُوَ في بَيتِها (baginda tinggal di rumah perempuan itu) bermaksud Nabi Yusuf عليه السلام tinggal di rumah itu. Allah ‎ﷻ tidak sebut ‘isteri lelaki itu’, tetapi Allah ‎ﷻ sebut ‘rumah wanita’ itu. Allah ‎ﷻ hendak menekankan yang Nabi Yusuf عليه السلام tinggal di bawah bumbung wanita itu. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak beritahu dilema yang dihadapi oleh baginda.

Amat susah keadaan Nabi Yusuf عليه السلام ketika ini kerana wanita itu yang selalu berada di rumah itu. Wanita itulah dia yang menjaga rumah itu kerana suaminya selalu tidak ada di rumah. Maka, bayangkanlah bukan senang baginda hendak menolak apa yang diminta oleh wanita itu. Tambahan pula dikatakan yang adat wanita pada zaman itu dibolehkan mempunyai gundik lelaki juga. Maknanya mereka biasa tidur dengan hamba lelaki.

Kalimah عَن نَفسِهِ (tentang dirinya) maksudnya perempuan itu hendak baginda mengubah pegangannya. Dia tahu yang Nabi Yusuf عليه السلام adalah seorang yang mempunyai prinsip dan seorang yang baik. Tetapi wanita itu hendakkan Nabi Yusuf عليه السلام menggugurkan pegangannya itu.

 

وَغَلَّقَتِ الأَبوٰبَ

dan dia menutup pintu-pintu,

Setelah wanita itu nekad untuk menjalankan rancangannya, maka, pada suatu hari dia telah menutup pintu segala pintu-pintu (kerana الأَبوابَ dalam bentuk jamak). Sudahlah mereka tinggal berdua sahaja pada waktu itu, dan pintu ditutup pula.

Kalimah غَلَّقَ bermaksud mengunci-ngunci – maksudnya banyak pintu yang dikuncinya, bukan satu sahaja – oleh itu, bukan senang Nabi Yusuf عليه السلام hendak lari, kalau baginda hendak melarikan diri. Ini kerana mungkin ada yang fikir, baginda kan muda, kenapa tidak lari sahaja? Jadi kita tahu dari ayat ini yang memang baginda muda tetapi ada masalah kalau hendak lari.

 

وَقالَت هَيتَ لَكَ

seraya berkata: “Marilah ke sini”. 

Kalimat هَيتَ لَكَ bermaksud “datang ke mari” tetapi dari kalimah yang digunakan, ia memberi isyarat bahawa wanita itu tegas dengan arahannya itu. Dia mengarahkan Nabi Yusuf عليه السلام untuk segera datang kepadanya tanpa berlengah lagi.

Ini pun adalah satu kesusahan kepada Nabi Yusuf عليه السلام juga, kerana selalunya baginda akan taat kepada wanita itu semenjak daripada kecil lagi. Maka serba salah jadinya Nabi Yusuf عليه السلام di dalam keadaan ini.

 

قالَ مَعاذَ اللهِ

Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah,

Kalimat مَعاذَ اللَّهِ adalah kalimah menyatakan bergantung kepada Allah ‎ﷻ. Kalimah مَعاذَ adalah isim dzarf (masa dan tempat). Oleh itu, baginda bukan sahaja meminta perlindungan dari Allah ‎ﷻ pada masa itu, tetapi baginda minta Allah ‎ﷻ berikan tempat yang selamat untuk baginda. Baginda minta tempat menyorok, tempat yang selamat.

Ada muqaddar dalam ayat ini: “Aku meminta perlindungan kepada Allah ‎ﷻ daripada keinginan nafsumu terhadapku.”

Maka kita lihat yang Nabi Yusuf عليه السلام ‎keluarkan nama Allah ‎ﷻ kerana baginda seorang yang beriman. Maka kepada kita juga, hendaklah selalu menyebut nama Allah ‎ﷻ. Lazimkan kalimah Allah ‎ﷻ di bibir kita. Jika selalu menyebut nama Allah ‎ﷻ maka itu tanda yang kita rapat dengan Allah ‎ﷻ. Kerana itu kalau kita baca hadith, sahabat sentiasa sahaja sebut nama Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaan.

 

إِنَّهُ رَبّي أَحسَنَ مَثوايَ

sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik”.

Kalimah رَبّ dalam ayat ini boleh jadi merujuk kepada Allah ‎ﷻ ataupun tuan rumah itu. Mungkin Nabi Yusuf عليه السلام menggunakan kalimah itu dalam bentuk yang umum kerana asal maksud ‘rabb’ adalah ‘tuan’. Dan waktu itu boleh lagi panggil tuan sebagai rabb.

Nabi Yusuf عليه السلام mengingatkan wanita itu tuannya (suami wanita itu) telah menjaga dirinya (dan juga wanita itu) dengan baik selama hari ini. Baginda mengingatkan kembali bagaimana tuannya itu memberikan tempat tinggal yang baik dan layanan yang baik.

Walaupun kebaikan itu diberikan kepada diri baginda, tetapi baginda cakap dengan kuat kerana hendak mengingatkan kepada wanita itu (kerana tentu wanita itu pun dapat kebaikan dari suaminya juga). Tidak patut kalau orang yang baik kita buat begitu. Tidak patut Nabi Yusuf عليه السلام berhubungan dengan isteri tuannya, dan tidak patut isteri itu berlaku curang kepada suaminya yang baik itu.

 

إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

Baginda juga mengingatkan yang orang zalim tidak akan berjaya. Allah ‎ﷻ menggunakan ‘zalim’ dalam ayat ini kerana mereka yang melakukan fahsya’ (seperti yang dilakukan oleh wanita itu) sebenarnya mereka melakukan kezaliman terhadap Allah ‎ﷻ.

Kena ingat yang khianat kepada orang yang baik juga adalah satu kezaliman dan orang yang zalim tidak akan selamat. Maka kita kena jaga tingkah laku kita. Jangan kita buat perkara mengikut kehendak kita sahaja tanpa memikirkan sama ada ia menjadi kezaliman kepada orang lain ataupun tidak.


 

Ayat 24:

وَلَقَد هَمَّت بِهِ ۖ وَهَمَّ بِها لَولا أَن رَّأىٰ بُرهٰنَ رَبِّهِ ۚ كَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ السّوءَ وَالفَحشاءَ ۚ إِنَّهُ مِن عِبادِنَا المُخلَصينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she certainly determined [to seduce] him, and he would have inclined to her had he not seen the proof [i.e., sign] of his Lord. And thus [it was] that We should avert from him evil and immorality. Indeed, he was of Our chosen servants.

(MALAY)

Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

 

وَلَقَد هَمَّت بِهِ

Sesungguhnya wanita itu telah bersungguh dengan dengan Yusuf,

Keinginan isteri menteri itu amat tinggi untuk bersama dengan Nabi Yusuf عليه السلام.  Agaknya kenapa wanita itu mahu sangat kepada Nabi Yusuf عليه السلام? Adakah kerana baginda seorang yang teramat tampan seperti yang selalu disebut-sebut?

Sebenarnya bukan kerana baginda tampan sahaja tetapi kerana akhlak baginda sekali. Baginda seorang yang baik dan selalu menemani wanita itu. Sementara suaminya pun selalu tidak ada di rumah dan dia selalu lihat Yusuf عليه السلام di rumah itu. Maka timbullah rasa sayang terhadap Nabi Yusuf عليه السلام.

Begitulah yang terjadi apabila suami selalu tidak ada di rumah. Kalau tidak kuat iman, mulalah hendak mencari orang lain, bukan? Perkara ini biasa kerana seorang wanita memerlukan perhatian daripada seorang lelaki.

Kalau tidak diberikan perhatian oleh lelaki yang sepatutnya, mereka akan mencari orang lain. Sebab itulah seorang isteri hendaklah diberikan perhatian oleh suaminya; seorang anak perempuan kecil juga harus diberi perhatian oleh bapanya – kalau tidak, mereka akan isikan kekosongan itu dengan lelaki lain – sebab itulah kita boleh lihat bagaimana budak-budak perempuan sekarang kecil lagi sudah ada teman lelaki di sekolah.

Ini adalah kerana bapa mereka tidak memberikan perhatian kepada mereka sampaikan mereka mencari-cari perhatian dari lelaki lain – tidak kisahlah kalau yang mengisinya adalah budak hingusan lagi. Asalkan ada lelaki yang beri perhatian kepada mereka, mereka akan tertarik dan rasa selamat.

Suami pun kena faham perkara ini. Jangan sibuk dengan kerja dan hobi main bola dan memancing sahaja. Sekali sekala kena beri perhatian kepada isteri. Ini kerana kalau mereka tidak mendapat perhatian dari suami, akan ada masalah nanti. Ada kemungkinan, mereka akan mencari perhatian daripada orang lain. Maka kena luangkan masa dengan isteri sebelum mereka berasa bosan.

Apabila sudah jadi begitu, mereka akan mula buat perangai. Maka ketahuilah yang para isteri memerlukan masa dan perhatian dari suami mereka. Jadi kalau kita berada di rumah, tanyalah tentang diri mereka, apa mereka buat, apa yang mereka hendak dan sebagainya – janganlah sibuk dengan komputer buat kerja dan main “handphone” sahaja. Sekali sekala bawa mereka jalan berkelah dan berkelana.

Begitulah pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini kerana kisah ini menyentuh juga tentang psikologi manusia. Qur’an bukan sahaja sentuh tentang hukum tetapi juga sentuh tentang kehidupan dan pemikiran manusia. Ini adalah kerana Qur’an memang hebat dan kita akan dapat tahu kalau kita belajar tafsir dan tadabbur Qur’an selalu.

 

وَهَمَّ بِها

dan Yusuf pun berkeinginan dengan wanita itu

Kalimat وَهَمَّ بِها (dan dia pun berkeinginan kepada wanita itu) memberitahu kita yang Nabi Yusuf عليه السلام pun ada perasaan juga terhadap wanita itu. Nabi Yusuf عليه السلام adalah seorang lelaki yang tampan dan wanita itu pun memang mahukan baginda. Tentulah baginda ada nafsu juga kerana baginda juga lelaki, bukan?

Oleh itu, dari ayat ini kita dapat tahu yang baginda pun teringin kepada wanita itu juga, dan ini adalah normal, jadi jangan kita kutuk Nabi Yusuf عليه السلام pula. Rumah itu selamat kalau buat perkara tidak baik kerana tiada orang lain dan semua pintu telah dikunci. Oleh itu, semua keadaan untuk membolehkan perzinaan itu berlaku telah ada.

Akan tetapi, baginda tetap juga melarikan diri dan cuba untuk menyelamatkan diri baginda dari melakukan maksiat itu. Ini kerana baginda ada iman dan dengan iman itu dapat mengekang nafsunya. Tetapi kita kena terima hakikat yang kita sebagai manusia biasa yang ada nafsu, memang susah untuk menjaga perkara ini. Maka kerana itu kita kena bina iman kita.

Kalau hendak menahan diri daripada melakukan perkara keji, kena ingat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Iaitu lebih takut kepada Allah ‎ﷻ daripada sukakan nikmat yang sementara. Kerana itu sahajalah yang boleh menghalang kita daripada membuat benda salah dan dosa keji. Kalau tidak ingat kepada Allah ‎ﷻ dan balasan buruk di akhirat kelak, nafsu kita akan membisikkan keinginannya kepada kita yang akan menyebabkan kita tergelincir.

Inilah yang banyak terjadi di kalangan masyarakat sekarang. Jangan kata orang muda, yang tua pun boleh terbabas juga. Tidak payah kita panjangkan kerana teramat banyak dalam berita di suratkhabar sebagai bukti. Semua sudah tahu yang perkara ini selalu sahaja berlaku.

Seperti yang kita telah sebut tadi, Nabi Yusuf عليه السلام juga tertarik kepada wanita itu. Walaupun memang ada terjemahan yang berlainan kerana hendak menjaga status Nabi Yusuf عليه السلام dengan mengatakan yang baginda tidak teringin dengan perempuan itu. Tetapi dari segi bahasa, ia tidak begitu – memang baginda tertarik juga sebenarnya. Maka kita terima apa yang Al-Qur’an sendiri sebut.

Tetapi baginda setakat ada keinginan sahaja dan tidaklah baginda meneruskan keinginan baginda itu. Ini adalah adalah kerana kalimah هَمَّ walaupun bermaksud ‘mahu’, tetapi mempunyai dua peringkat. Pertama, ada kemahuan yang diteruskan dan kedua, ada keinginan yang belum diteruskan lagi. Perempuan itu berkeinginan dan dia meneruskan keinginannya itu – sedangkan keinginan baginda adalah keinginan normal tetapi tidak diteruskan oleh baginda.

Ia cuma berdetik sahaja di dalam hati baginda. Kita kena sedar, ada keinginan sahaja tidak salah lagi, yang salah adalah kalau terus menjalankannya. Ini macam masa kita puasa – rasa dahaga tidak berdosa – tetapi kalau diteruskan dengan minum air akan menyebabkan berdosa. Keinginan tidak salah kerana keinginan ini Allah ‎ﷻ yang letak ke dalam diri manusia – semua manusia yang normal ada nafsu.

Begitu jugalah kita, tinggi macam mana pun ilmu kita, masih ada nafsu lagi. Nabi Yusuf عليه السلام juga ada nafsu tetapi baginda juga diberi dengan kekuatan iman untuk mengawalnya.

Kalau kita ada keinginan untuk melakukan suatu perkara jahat dan kita tidak meneruskannya kerana takut kepada Allah ‎ﷻ, maka kita ada mendapat pahala, sepertimana disebut dalam hadith Abdur Razzaq, dari Ma’mar, dari Hammam, dari Abu Hurairah رضي الله عنه yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: إِذَا هَمّ عَبْدِي بِحَسَنَةٍ فَاكْتُبُوهَا لَهُ حَسَنَةً، فَإِنَّ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوهَا لَهُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا فَاكْتُبُوهَا حَسَنَةً، فَإِنَّمَا تَرَكَهَا مِنْ جَرّائي، فَإِنْ عَمَلِهَا فَاكْتُبُوهَا بِمِثْلِهَا”

Allah ‎ﷻ berfirman, “Apabila hamba-Ku berniat melakukan suatu amal kebaikan, maka catatlah untuknya pahala satu amal kebaikan. Jika dia mengerjakannya, maka catatkanlah baginya sepuluh kali lipat amal kebaikannya. Dan jika dia berniat hendak melakukan suatu perbuatan buruk (dosa), lalu dia tidak mengerjakannya, maka catatkanlah satu kebaikan. Kerana sesungguhnya dia meninggal­kannya sebab (takut kepada)-Ku, dan jika dia mengerjakannya, maka catatkanlah satu amal keburukan.

Akan tetapi kita tidak nafikan ada tafsiran yang hendak menjaga kemaksuman Nabi Yusuf. Tafsiran itu sampaikan menidakkan keinginan Nabi Yusuf kepada wanita itu. Saya naqalkan di sini pendapat itu:

Susunan ayat ini termasuk dalam bab mendahulukan dan mengemudiankan ayat. Susunan hakiki bagi ayat ini ialah (maksudnya) sekiranya dia (Yusuf) tidak melihat bukti-bukti daripada Tuhannya nescaya dia akan berkeinginan kepada perempuan itu. Allah SWT berfirman ( وَهَمَّ بِہَا ) sebagai jawab kepada ( لَوۡلَآ ) yang diletakkan di hadapan. Memang makruf di dalam Bahasa Arab bahawa ( لَوۡلَآ ) adalah huruf yang menunjukkan jawabnya tidak berlaku kerana telah ada syarat. Maka dengan itu, keinginan adalah terhalang kerana telah melihat bukti-bukti yang telah dijadikan oleh Allah SWT di dalam dirinya. Didahulukan sama ada jawab syarat atau dalil bagi syarat yang diperselisihkan oleh dua aliran nahu. Yang dimaksudkan dengan burhan ialah bukti Allah SWT yang zahir dan menunjukkan kekejian zina. Ia merupakan sesuatu yang telah dipahat di dalam jiwa para nabi. Bagi mereka, mengetahui bukti-bukti itu telah mencapai tahap ainul yakin. Bukti itu ialah yang kita ungkap dengan sifat maksum iaitu sifat yang menghalang para rasul daripada melakukan maksiat. Moga-moga Allah SWT merahmati Imam Jaafar bin Muhammad al-Sadiq r.a  di mana beliau berkata: “Burhan ialah sifat kenabian yang dikurniakan oleh Allah SWT di dalam dada Yusuf a.s. yang telah menghalangnya daripada melakukan sesuatu yang dimurkai oleh Allah SWT.”

Di dalam masa yang sama, terdapat juga tafsiran  yang jelek yang mengatakan Nabi Yusuf sudah bertindak hendak berzina dengan wanita itu. Iaitu sampai sudah buka seluar. Ini adalah tafsiran dari kisah-kisah israiliyyat yang hendaklah ditolak. Golongan Israil memang telah memburukkan Nabi-nabi mereka, maka janganlah kita tersangkut dengan hal ini pula. Malangnya tafsiran sebegitu telah masuk ke dalam kitab-kitab tafsir. Maka kitalah yang kena pandai memilih mana yang hendak dipakai dan mana yang hendak ditolak.

لَولا أَن رَّأىٰ بُرهٰنَ رَبِّهِ

andaikata dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita, kalaulah baginda tidak nampak ‘tanda’ dari Allah ‎ﷻ, tentu baginda pun akan tergelincir juga. Kalimah بُرهانَ (tanda) dalam ayat ini, tidak dapat dipastikan apakah tanda yang dimaksudkan. Kalau dibaca dalam tafsir, memang ada banyak kisah pula tentangnya.

Sebagai contoh, ada yang kata baginda nampak wajah bapanya; ada yang kata bapanya tampar baginda; ada kata baginda dapat wahyu waktu itu (dalam bentuk tangan  yang ada tulisan ayat Al-Qur’an); ada kata pintu semua tertutup sendiri dan sebagainya; memang ada banyak kisah tetapi itu semua tidak kemas hujah dan dalilnya, maka tidak dapat dipastikan yang itu semua adalah benar.

Ada yang kata, بُرهانَ itu merujuk kepada sifat maksum yang Allah ‎ﷻ berikan kepada baginda. Apa yang kita pasti dari ayat ini, baginda nampak sesuatu yang menyebabkan baginda sedar bahawa kalau baginda teruskan, itu akan membahayakannya.

Ada muqaddar dalam ayat ini: “Kalau baginda tidak nampak, tentu baginda sudah berzina dengan perempuan itu”. Allah ‎ﷻ tidak sebut dalam matan ayat ini untuk memelihara nama baginda.

Apabila digunakan kalimah بُرهانَ dalam ayat ini, ia sebenarnya merujuk kepada bukti dengan hati, bukannya zahir. Dengan hati baginda, bagi teringat larangan Allah ‎ﷻ berbuat dosa. Kalau kepada Nabi, ia dipanggil ‘maksum’ dan kalau kepada orang biasa, ia dipanggil ‘ismah’. Iaitu takut derhaka kepada Allah ‎ﷻ.

Ini penting kerana kalau kita katakan Nabi Yusuf عليه السلام dapat بُرهانَ dalam bentuk bapanya menjelma, bapanya tampar, pintu tertutup dan sebagainya, itu seolah-olah baginda sahaja yang boleh selamat daripada berbuat zina. Nanti orang yang membuat zina berkata: “Bolehlah Nabi Yusuf selamat, sebab baginda dapat petunjuk macam itu dan ini… kita manusia biasa mana nak dapat?”

Maka بُرهانَ adalah tanda dalam hati kita yang semua manusia boleh ada, tidak hanya terhad kepada para Nabi sahaja.

 

كَذٰلِكَ لِنَصرِفَ عَنهُ السّوءَ وَالفَحشاءَ

Demikianlah, Kami memalingkan dari padanya kemungkaran dan kekejian. 

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dialah yang menghilangkan kejahatan daripada baginda. Allah ‎ﷻ tidak berkata Dia jauhkan baginda daripada kejahatan (tetapi jauhkan kejahatan dari baginda). Kalau kita hendak bayangkan, seolah-olah kejahatan hendak melekat pada diri baginda dan Allah ‎ﷻ buang jauh-jauh.

Maknanya, Allah ‎ﷻ menjaga nama baik Nabi Yusuf عليه السلام lagi kerana Allah ‎ﷻ membezakan antara Nabi Yusuf عليه السلام dan kejahatan itu. Kejahatan itulah yang hendak mendekati Nabi Yusuf عليه السلام yang mulia – baginda bukanlah seorang yang jahat. Bukanlah baginda yang hendak mendekati kejahatan itu.

Semua yang buruk adalah السّوءَ. Allah ‎ﷻ menjaga baginda daripada السّوءَ. Baginda sudah lama menjaga diri baginda dan sebagaimana seorang yang selalu berlatih lari, kakinya sudah ada otot yang kuat, maka begitulah kekuatan iman baginda sudah mencapai tahap yang tinggi. Baginda menjaga diri baginda daripada melakukan dosa dari dahulu lagi maka sekarang iman bagindalah yang menyelamatkan baginda.

Begitulah juga dengan kita, kenalah jaga daripada membuat dosa apa pun sahaja. Ini kerana kalau sudah mula membuat dosa dalam satu perkara, maka lebih mudah untuk membuat dosa di tempat lain pula. Ini kerana kita sudah tidak sensitif dengan dosa. Ini mungkin kerana ketika kita sering membuat dosa tersebut dan berasa bagaika tiada kesan buruk pun, maka kita tidak rasa bersalah untuk membuat dosa-dosa yang lain. Kita sudah lali membuat dosa dan ini amat bahaya.

Kalimah الفَحشاءَ termasuk dalam dosa juga, tetapi itu lebih khusus kepada dosa yang melibatkan nafsu seks. Contohnya zina, liwat, melihat pornografi, bercakap lucah dan sebagainya.

 

إِنَّهُ مِن عِبادِنَا المُخلَصينَ

Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih.

Kalimah المُخلَصينَ bermaksud seseorang yang dijadikan bersifat ikhlas. Ia adalah isim maf’ul, bukannya isim fa’il (bukan ‘mukhlis’). Maksudnya ‘dijadikan’ sebagai seorang yang mukhlis. Maknanya, Allah ‎ﷻ yang menjadikan baginda dalam keadaan begitu, bukannya Nabi Yusuf عليه السلام ‎jadi sendiri sebagai seorang yang mukhlis.

Begitulah kalau sesiapa jadi baik, jadi mukhlis, beriman, itu semua adalah kurniaan Allah ‎ﷻ. Bukan kita boleh jadi beriman dengan sendiri. Allah ‎ﷻ yang berikan kelebihan itu kepada manusia. Maka, kita kena berharap kepada Allah ‎ﷻ untuk Dia berikan kita dengan sifat itu.

Kita boleh berusaha, tetapi kalau dengan usaha kita sahaja, tidak akan berjaya. Usaha memang kita kena buat, tetapi kerana Allah ‎ﷻ hendak tengok kita ada keinginan sahaja – tidaklah usaha dengan kekuatan dan semangat kita sahaja yang akan membolehkan kita menjadi orang yang beriman – kita kena usaha dan yang paling penting, kita kena doa dan doa. Kena minta Allah ‎ﷻ jadikan kita orang yang ikhlas.


 

Ayat 25:

وَاستَبَقَا البابَ وَقَدَّت قَميصَهُ مِن دُبُرٍ وَأَلفَيا سَيِّدَها لَدَى البابِ ۚ قالَت ما جَزاءُ مَن أَرادَ بِأَهلِكَ سوءًا إِلّا أَن يُسجَنَ أَو عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they both raced to the door, and she tore his shirt from the back, and they found her husband at the door. She said, “What is the recompense of one who intended evil for your wife but that he be imprisoned or a painful punishment?”

(MALAY)

Dan keduanya berlumba-lumba menuju pintu dan wanita itu menarik baju Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?”

 

وَاستَبَقَا البابَ

Dan keduanya berlumba-lumba menuju pintu

Kalimah استَبَقَا bermaksud mereka dua sama-sama berlumba lari ke arah pintu. Nabi Yusuf عليه السلام hendak membuka pintu dan melarikan dirinya daripada wanita itu, manakala wanita itu berlumba kerana hendak mengejar Nabi Yusuf عليه السلام yang menjauhkan diri. Sama-sama berlumba ke arah pintu tetapi bukan untuk tujuan yang sama.

Ini menunjukkan yang Nabi Yusuf عليه السلام bukan sebut sahaja tidak mahu melakukan perkara keji, tetapi baginda juga telah mengambil tindakan. Baginda melarikan diri dan itulah usaha baginda. Maka kita pun jangan pandai cakap sahaja tanpa ambil langkah menyelamatkan diri daripada dosa. Sebagai contoh kalau kita tiba-tiba berada di tempat maksiat, teruslah lari keluar. Janganlah tengok-tengok pula apa yang ada di dalam tempat itu.

 

وَقَدَّت قَميصَهُ مِن دُبُرٍ

dan wanita itu mengoyak baju Yusuf dari belakang 

Nabi Yusuf عليه السلام yang ke hadapan dahulu dan wanita itu menarik baju Yusuf عليه السلام dari arah belakang sampai baju baginda terkoyak.

وَأَلفَيا سَيِّدَها لَدَى البابِ

dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu. 

Kalimah أَلفَيا (mereka berdua mendapati) bermaksud mereka mendapati sesuatu yang tidak dicari. Apabila pintu dibuka, di situ telah berada Menteri, suami wanita itu. Mereka tidak menyangka akan bertemu tuan rumah di pintu itu kerana sepatutnya dia berada di tempat lain dan lambat lagi baru balik. Namun Allah ‎ﷻ takdirkan menteri itu balik awal daripada biasa.

Soalan: siapa yang menteri itu nampak dahulu? Sudah tentu dia nampak Nabi Yusuf عليه السلام kerana baginda yang berada di hadapan dan membuka pintu. Dan sudah sepatutnya menteri itu sudah nampak yang Yusuf عليه السلام yang mahu lari. Ingat fakta ini nanti.

Penduduk atau rakyat Mesir pada ketika itu (Coptic Christian) memanggil suami mereka dengan panggilan سيّد (setelah diterjemah ke dalam Bahasa Arab). Perkataan سيّد disebut SEKALI SAHAJA di dalam seluruh Qur’an, iaitu pada Surah Yusuf. Ini bermaksud Qur’an begitu tepat sehinggakan panggilan secara adat semasa juga direkod dalam teknik penceritaan di mana tidak mungkin diketahui oleh Arab pada ketika itu.

 

قالَت ما جَزاءُ مَن أَرادَ بِأَهلِكَ سوءًا

Wanita itu berkata: “Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu,

Tetapi wanita itu pandai membuat helah. Dia cepat-cepat cakap dahulu untuk membersihkan namanya. Inilah salah satu daripada kelicikan wanita yang Allah ‎ﷻ sebut dalam Qur’an. Yang sebenarnya, dia yang yang menggoda Nabi Yusuf عليه السلام tetapi dia sudah putarbelit cerita. Dia terus tanya suaminya apa yang suaminya akan buat untuk menghukum Yusuf عليه السلام?

Soalan dia seolah-olah dia yang teraniaya dan Nabi Yusuf عليه السلام pula yang bersalah. Dia telah menggunakan teknik mengawal minda. Sebagai contoh, seseorang bertanya kepada orang lain: “Kenapa kau rasa dia buat perkara itu?” Dalam soalan ini, orang yang bertanya itu telah menutup kebarangkalian orang itu tidak buat pun perkara itu. Dia terus buat andaian yang orang itu memang telah membuat perkara itu, cuma sekarang ditanya ‘kenapa’ sahaja. Boleh nampak betapa liciknya soalan wanita ini?

 

إِلّا أَن يُسجَنَ أَو عَذابٌ أَليمٌ

selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?”

Dan yang lebih hebat lagi, dia siap bagi cadangan lagi kepada suaminya itu untuk terus menghukum Nabi Yusuf عليه السلام: sama ada penjarakan Nabi Yusuf عليه السلام atau beri hukuman yang menyakitkan baginda.

Dia bukannya hendakkan Nabi Yusuf عليه السلام masuk penjara. Tetapi dia gunakan gertakan sahaja supaya Nabi Yusuf عليه السلام ikut cakap dia. Buktinya nanti kita akan lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام lebih rela memasuki penjara.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Januari 2022


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s