Tafsir Surah Yusuf Ayat 9 – 14 (Perancangan Jahat)

Ayat 9: Keadaan ke 3. Ini adalah ujian pertama yang dihadapi oleh Nabi Yusuf عليه السلام. Iaitu menerima pakatan jahat dan tipu helah saudara-saudaranya.

اقتُلوا يوسُفَ أَوِ اطرَحوهُ أَرضًا يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبيكُم وَتَكونوا مِن بَعدِهِ قَومًا صٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Kill Joseph or cast him out to [another] land; the countenance [i.e., attention] of your father will [then] be only for you, and you will be after that a righteous people.”¹

  • i.e., You can repent thereafter.

(MALAY)

Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik”.

 

اقتُلوا يوسُفَ

Bunuhlah Yusuf 

Kita boleh agak bahawa kata-kata dalam ayat ini adalah dari hasutan syaitan. Inilah hasutan syaitan dari dahulu lagi – ingat kembali kisah Habil dan Qabil? Bukankah syaitan sentiasa menyuruh manusia membunuh manusia yang lain?

Dan kisah Habil dan Qabil itu adalah kerana berpunca daripada perasaan cemburu juga – sama seperti abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام yang cemburukan baginda. Dalam ayat ini, tidak disebut siapa yang bercakap. Jadi kita boleh agak yang ini adalah perbincangan di antara mereka (setelah dihasut oleh syaitan).

 

أَوِ اطرَحوهُ أَرضًا

atau buanglah dia ke suatu daerah

Walaupun terkeluar cadangan untuk bunuh Nabi Yusuf عليه السلام, tetapi ada yang berasa lembut hati maka tidak jadi pula untuk membunuh. Maka mereka menukar rancangan untuk membuang Nabi Yusuf عليه السلام jauh-jauh (akhirnya nanti mereka letakkan Nabi Yusuf عليه السلام ke dalam telaga).

Kalimah اطرَح bermaksud buang sesuatu yang rasa tidak ada harga, seperti membuang pembalut gula-gula ke dalam tong sampah. Tidak disebut tempat yang khusus (sebab أَرضًا dalam isim nakirah), maksudnya mana-mana pun, asalkan jauh dari mereka.

 

يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبيكُم

supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja,

Kalimah يَخلُ dari kalimah خ ل و yang bermaksud menyendiri. Dari sinilah terjadinya kalimah khalwah (bersendirian dengan Allah ‎ﷻ atau bersendirian lelaki dan wanita). Apabila bersendiri, fikiran kita pun tertumpu kepada Allah ‎ﷻ atau orang yang kita bersendiri itu.

Maksud dalam ayat ini: memberi tumpuan, beri perhatian. Mereka hendakkan perhatian ayah mereka tertumpu kepada mereka sahaja (kerana selama ini mereka rasa ayah mereka hanya memberikan perhatian kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan Bunyamin sahaja). Bila saingan sudah tidak ada, mereka rasa ayah mereka akan sayang kepada mereka dan berikan perhatian kepada mereka.

Rancangan mereka ini memang ekstrim. Begitulah apabila berbuat sesuatu kejahatan, ia menjadi lebih teruk apabila terdapat ramai (seperti abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام ini – mereka kata mereka عُصبَةٌ). Dalam psikologi, ini dipanggil ‘mob mentality’. Bila sudah ramai, mereka menjadi berani dan semua orang terikut-ikut dengan pendapat ramai dan takut untuk melawan.

Katakanlah kalau seorang dari ahli kumpulan itu bersuara melawan apa yang dikatakan oleh semua ahli kumpulan, dia pula yang akan diserang oleh kumpulan itu. Maka walaupun ada yang tidak bersetuju tetapi mereka selalunya akan ikut sahaja kecuali kalau dia seorang yang berani.

 

وَتَكونوا مِن بَعدِهِ قَومًا صٰلِحينَ

dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik”.

Mereka membuat rancangan selepas itu barulah hendak bertaubat dan menjadi orang baik pula. Mereka sangka, bila ayah mereka sudah beri perhatian kepada mereka, tidaklah mereka jadi jahat lagi – ini kerana mereka rasa mereka berperangai teruk hanya kerana ayah mereka tidak berikan perhatian terhadap mereka.

Tambahan pula anak yang baik sudah tidak ada untuk dibandingkan dengan mereka, jadi mereka akan nampak baiklah pula. Mereka lepas itu berhajat akan jadikan ayah mereka berbangga dengan mereka.

Ini adalah satu lagi emosi yang bahaya. Dalam psikologi, ini dipanggil ‘twisted love’. Ada orang yang ada masalah kawal emosi sampai sanggup buat jahat kerana cinta. Sebagai contoh, mereka sanggup membunuh atau mencederakan orang yang mereka sangka menjadi saingan mereka dalam mendapatkan orang yang mereka mahukan. Ini bahaya dan ini boleh menjadi masalah besar dalam diri manusia.

Oleh itu, manusia kenalah belajar mengawal emosi mereka. Masalahnya, pendidikan di dunia sekarang, kebanyakannya tidak menjurus ke arah pengawalan emosi. Sekolah cuma mengajar membaca dan mengira sahaja. Oleh itu, kita sebagai orang yang pandai, jangan ringankan masalah emosi ini – maka kita kena berikan perhatian kepada pengukuhan emosi anak-anak kita. Kena didik mereka untuk pandai kenal emosi mereka kerana kalau tidak dikawal, mereka akan buat benda-benda yang jahat.


 

Ayat 10:

قالَ قائِلٌ مِّنهُم لا تَقتُلوا يوسُفَ وَأَلقوهُ في غَيٰبَتِ الجُبِّ يَلتَقِطهُ بَعضُ السَّيّارَةِ إِن كُنتُم فٰعِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said a speaker among them, “Do not kill Joseph but throw him into the bottom of the well; some travelers will pick him up – if you would do [something].”

(MALAY)

Seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah dia ke dasar sumur supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, jika kamu hendak berbuat”.

 

قالَ قائِلٌ مِّنهُم

Seorang di antara mereka berkata: 

Tidak pasti siapakah yang berkata dalam ayat ini, tetapi dari segi bahasa, kita tahu yang dia adalah seorang yang paling berpengaruh di kalangan mereka. Jadi ada pendapat yang mengatakan (mungkin) yang berkata ini adalah abang mereka yang paling tua. Oleh kerana dia abang besar, maka dia berani untuk memberi pendapatnya yang mungkin tidak popular dengan yang lain.

 

لا تَقتُلوا يوسُفَ

“Janganlah kamu bunuh Yusuf,

Dia berkata jangan bunuh Yusuf عليه السلام sebab bunuh itu benda yang berat. Kalau hendak mendapatkan kasih ayah pun takkanlah sampai hendak kena berbuat begitu sekali.

 

وَأَلقوهُ في غَيٰبَتِ الجُبِّ

tetapi buanglah dia ke dasar sumur

Walaupun dia tidak sampai hati untuk membunuh, tetapi dia masih marah kepada Yusuf عليه السلام kerana dia gunakan وَأَلقوهُ (buangkanlah dia). Maknanya, bukan biarkan sahaja, siap hendak buang lagi.

Kalimah غَيابَة dari kalimah asal غ ي ب yang bermaksud tidak nampak (ghaib). Kerana itulah kubur juga dipanggil غَيابَة kerana tidak nampak apa yang ada di dalam kubur itu. Sementara kalimah الجُبِّ bermaksud ‘telaga’. Iaitu telaga yang besar.

Oleh itu, غَيابَتِ الجُبِّ adalah telaga yang jauh dari pandangan orang lain. Boleh diterjemah sebagai ‘telaga musafir’ – digunakan oleh musafir dalam perjalanan mereka – bukannya telaga di sesuatu tempat tinggal yang banyak digunakan penduduk. Jadi telaga ini adalah jenis telaga yang dikorek dan ia berada dalam perjalanan musafir dan ia jauh dari orang. Ini kerana sekali sekala sahaja orang datang ke telaga sebegitu.

Maknanya telaga ini bukan telaga yang biasa kerana ada nama lain bagi telaga iaitu بئر (bi’ir). Kalau telaga yang ada binaan di sekelilingnya, itu adalah بئر. Dan kalau tidak ada, cuma ada lubang sahaja, ia adalah الجُبِّ. Maknanya telaga ini tidak terjaga sangat kerana ia digunakan sekali sekala sahaja.

 

يَلتَقِطهُ بَعضُ السَّيّارَةِ

supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir,

Kalimah لقط maksudnya diambil dan digunakan untuk budak yang diambil di perjalanan. Iaitu budak-budak yang hilang dari kumpulan dan diambil oleh orang yang jahat. Dan لقطة adalah sesuatu yang kita jumpa di tengah jalan, contohnya kita terjumpa beg duit, dan kita ambil. Jadi, التقط adalah sesuatu yang kita terjumpa.

Jadi ini adalah harapan mereka kalau mereka buang Nabi Yusuf عليه السلام ke telaga yang jauh. Sebenarnya memang susah pun rancangan mereka ini kerana mereka hendak meletakkan Nabi Yusuf عليه السلام di telaga yang jauh dari orang – kebarangkalian ada orang datang ke situ adalah tipis sebenarnya.

Mereka berfikiran, tentu ada kafilah yang akan datang ke telaga itu dalam perjalanan mereka dan nanti akan terjumpa Nabi Yusuf عليه السلام di situ. Dalam riwayat, ada disebut semasa Nabi Yusuf عليه السلام hendak dibuang ke dalam telaga itu, baginda cuba berpegang kepada baju abangnya – sampaikan bajunya tercabut dan baginda terlepas ke dalam telaga akhirnya. Disebutkan bahawa sebelum jatuh ke dasar, Jibrail عليه السلام menahan dan sambut baginda dan meletakkan baginda di atas batu dalam telaga itu.

 

إِن كُنتُم فٰعِلينَ

jika kamu hendak berbuat”.

Yang berkata itu telah memberikan cadangannya dan dia sambung: kalau hendak buat juga. Ini adalah kata-kata untuk menyedapkan hati sahaja. Mereka itu sebenarnya buat perkara yang jahat, tetapi konon hendak berbuat baik (tidak bunuh sudah dikira baik bagi mereka). Oleh itu, perbuatan mereka itu memang tidak baik langsung.

Ini kerana mereka hendak tinggalkan Nabi Yusuf عليه السلام di kawasan yang tidak ada orang, jadi yang jumpa itu pun adalah kafilah yang sesat sampai ke situ. Dalam riwayat disebutkan bagaimana mereka itu sepatutnya tidak sampai pun di situ kalau bukan Allah ‎ﷻ yang bawa mereka ke situ. Maknanya, semua itu adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ.

Setelah mendengar cadangan dari abang mereka itu, adik beradik yang lain pun setuju dengan cadangan tersebut.


 

Ayat 11: Tapi untuk menjayakan rancangan mereka, mereka kena pujuk dahulu ayah mereka. Lihat bagaimana cara mereka pujuk.

قالوا يٰأَبانا ما لَكَ لا تَأمَنّا عَلىٰ يوسُفَ وَإِنّا لَهُ لَنٰصِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O our father, why do you not entrust us with Joseph while indeed, we are to him sincere counselors?

(MALAY)

Mereka berkata: “Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf, padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya.

 

قالوا يٰأَبانا

Mereka berkata: “Wahai ayah kami,

Ini adalah rancangan mereka untuk memujuk bapa mereka untuk melepaskan Nabi Yusuf عليه السلام untuk mengikuti mereka supaya mereka dapat menjalankan rancangan jahat mereka itu. Mereka tahu yang Nabi Yaaqob عليه السلام sangat sayangkan Nabi Yusuf عليه السلام dan tidak mahu berenggang dengan beliau. Maka mereka kena ada rancangan untuk memujuk ayah mereka.

 

ما لَكَ لا تَأمَنّا عَلىٰ يوسُفَ

apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf,

Kalimat ما لَكَ bermaksud: “Apa tak kena dengan kau?” Lihatlah bagaimana kurang ajarnya mereka bercakap dengan ayah mereka. Awal-awal lagi mereka telah mempersoalkan bapa mereka, seorang Nabi.  Mereka mempersoalkan Nabi Ya’qub عليه السلام kenapa tidak percayakan mereka.

Kalimah لا تَأمَنّا (tidak percaya kami) adalah satu tuduhan yang tidak patut diberikan kepada seorang ayah, apatah lagi seorang Nabi. Mereka kata begini kerana mereka nampak Nabi Ya’qub عليه السلام tidak melepaskan Yusuf عليه السلام dari pandangan. Ke mana sahaja Nabi Ya’qub عليه السلام pergi, Nabi Yusuf عليه السلام sentiasa ada bersama. Nabi Y’aqub عليه السلام tidak membiarkan Nabi Yusuf عليه السلام bersendirian bersama dengan abang-abang baginda.

Nota Tajwid: Asal perkataan لا تَأمَنّا ialah لا تَأمَنُنَا ‘Laa tak-ma-nu-na‘, yang bermaksud, “Engkau tidak percayakan kami.” Tetapi telah digabungkan kedua-dua ن itu menjadi satu ن sahaja yang ada syaddah.

Sebab itulah ketika membaca, kita perlu memuncungkan bibir sewaktu nun sabdu (macam hendak cium orang), seolah-olah kita hendak sebut ‘tak-ma-nu-na’ tetapi ‘nu’ itu tidak disebut. Ia digantikan dengan muncung.

Maka jadilah Laa Tak-man(muncung)na. Dari segi bacaan tiada beza. Cuma perlu buat isyarat mulut muncung tu. Kaedah ini dipanggil Al-Isymam الإشمام.

 

وَإِنّا لَهُ لَنٰصِحونَ

padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya.

Mereka sekarang mengaku yang mereka berniat baik terhadap Nabi Yusuf عليه السلام, adik mereka. Apabila ada takdim pada kalimah لَهُ (didahulukan dan bukan dalam format bahasa Arab yang biasa), ia hendak menekankan yang kononnya mereka mengatakan Nabi Yusuf عليه السلام itu seorang yang rapat dengan mereka yang mereka sayang dan kononnya hendak mengatakan yang mereka sebenarnya prihatin dengan Nabi Yusuf عليه السلام. Kita tahu dari kisah mereka yang sebenarnya mereka tidak begitu, bukan?


 

Ayat 12: Sekarang mereka menyatakan apa yang mereka hendak Nabi Ya’qub lakukan.

أَرسِلهُ مَعَنا غَدًا يَرتَع وَيَلعَب وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Send him with us tomorrow that he may eat well and play. And indeed, we will be his guardians.”

(MALAY)

Biarkanlah dia pergi bersama kami besok pagi, agar dia (dapat) makan-makan dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya”.

 

أَرسِلهُ مَعَنا غَدًا

Biarkanlah dia pergi bersama kami esok pagi,

Ini adalah dialog Nabi Ya’qub عليه السلام dan anak-anaknya. Mereka meminta Nabi Ya’qub عليه السلام biarkan Nabi Yusuf عليه السلام bermain dengan mereka esok. Mereka hendak keluar dari rumah dan bergembira dan mereka kata, biarlah Nabi Yusuf عليه السلام ikut mereka kali ini.

 

يَرتَع وَيَلعَب

agar dia (dapat) makan-makan dan (dapat) bermain-main,

Kalimah يَرتَع digunakan apabila binatang ternak makan. Binatang ternak makan dengan enak dan banyak. Digunakan di sini kerana mereka hendak berkata yang esok Nabi Yusuf عليه السلام dapat makan sedap-sedap dengan mereka. Mereka akan gembirakan Nabi Yusuf عليه السلام dengan makanan.

Bukan itu sahaja, Nabi Yusuf عليه السلام akan dapat bermain dan bergembira dengan mereka. Maknanya mereka hendak bawa Nabi Yusuf عليه السلام berkelah dengan mereka. Ini adalah rancangan mereka untuk membawa Nabi Yusuf عليه السلام jauh daripada Nabi Ya’qub عليه السلام.

 

وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ

dan sesungguhnya kami pasti menjaganya”.

Dan untuk melembutkan hati Nabi Ya’qub عليه السلام, mereka berjanji akan menjaga Nabi Yusuf عليه السلام dengan baik – Sekali lagi kita lihat ada takdim pada kalimah لَهُ. Ini kerana mereka hendak menekankan yang mereka akan jaga dia dengan baik-baik sangat, kononnya.

Mereka cakap begini supaya dapat menenangkan hati Nabi Ya’qub عليه السلام supaya baginda membenarkan Nabi Yusuf عليه السلام mengikut mereka dalam rancangan mereka itu.


 

Ayat 13:   Ayat ini merupakan balasan jawapan daripada Nabi Ya’qub عليه السلام. Hebat jawapan daripada Nabi Ya’qub عليه السلام ini. Kita akan lihat bagaimana ada dua emosi di dalam ayat ini.

قالَ إِنّي لَيَحزُنُني أَن تَذهَبوا بِهِ وَأَخافُ أَن يَأكُلَهُ الذِّئبُ وَأَنتُم عَنهُ غٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Jacob] said, “Indeed, it saddens me that you should take him, and I fear that a wolf would eat him while you are of him unaware.”

(MALAY)

Berkata Ya’qub: “Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu lengah dari padanya”.

 

قالَ إِنّي لَيَحزُنُني أَن تَذهَبوا بِهِ

Berkata Ya’qub: “Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku

Emosi yang pertama yang disebut oleh Nabi Ya’qub عليه السلام adalah kesedihan.

Kenapa baginda kata baginda ‘sedih’? Ini agak pelik kerana sedih itu selalunya untuk perkara yang telah berlaku. Pada waktu dialog ini berlaku, Nabi Yusuf عليه السلام belum lagi pergi bersama mereka. Ini kerana baginda sudah tahu yang perkara ini tidak dapat dielakkan dari berlaku dan baginda sudah siap sedia sedih kerana Nabi Yusuf عليه السلام tidak akan bersamanya lagi.

Walaupun mereka belum buat lagi, tetapi baginda sudah tahu niat mereka. Ini menunjukkan kebijaksanaan baginda yang dapat baca apa kehendak anak-anaknya itu. Manakan tidak baginda sangsi, sedangkan dahulu tidak pernah pun mereka hendak berbuat baik dan sekarang tiba-tiba hendak buat baik pula – mesti ada udang di sebalik batu; dan nampak sangat mereka beriya-iya hendak bawa Nabi Yusuf عليه السلام. Ini menunjukkan mesti ada rancangan mereka yang tidak baik.

 

وَأَخافُ أَن يَأكُلَهُ الذِّئبُ

dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala,

Ini adalah emosi baginda yang kedua: takut. Takut adalah untuk perkara yang belum berlaku lagi.

Lihat kalimah yang digunakan: apabila digunakan الذِّئبُ, dengan alif lam makrifah, ia bermakna Ya’qub عليه السلام kenal serigala itu (kerana alif lam makrifah digunakan untuk sesuatu yang dikenali – spesifik). Ini mungkin kerana Nabi Ya’kub عليه السلام tahu yang kawasan yang mereka hendak bawa itu ada banyak serigala. Seolah-olah baginda sudah tahu tetapi baginda tidak bercakap dengan jelas kepada mereka.

Boleh juga bermakna الذِّئبُ itu ditujukan sebagai isyarat kepada mereka kerana baginda tahu yang abang-abangnya itu akan jadi seperti ‘serigala’ untuk membaham dan menyakiti Nabi Yusuf عليه السلام.

Kalau ikutkan, baginda tidak mahu mereka ambil Nabi Yusuf عليه السلام pergi bersama mereka, tetapi kita telah baca dari kalimah لَيَحزُنُني itu yang Nabi Ya’qub عليه السلام sudah dapat agak. Tetapi tidaklah baginda tahu dengan pasti kerana baginda tidak tahu perkara ghaib. Walaupun baginda Nabi, tapi baginda tidak tahu perkara ghaib. Ini kerana kalau baginda tahu dengan pasti apakah yang mereka akan lakukan, tentu baginda tidak membenarkan mereka bawa Yusuf عليه السلام bersama.

Anak-anaknya itu menangkap kata-kata Nabi Ya’qub عليه السلام ini dan mereka akan menggunakannya sebagai alasan kehilangan Nabi Yusuf عليه السلام nanti.

 

وَأَنتُم عَنهُ غٰفِلونَ

sedang kamu lengah dari padanya”.

Kalimah غافِلونَ bermaksud tidak tahu apa yang terjadi – ghaflah, tidak beri perhatian. Iaitu mereka tidak jaga Nabi Yusuf عليه السلام dengan sebenarnya.

Sememangnya mereka tidak akan tahu apa yang terjadi kepada Nabi Yusuf عليه السلام nanti. Ini kerana selepas mereka tinggalkan baginda dalam telaga itu, mereka tidak tahu dengan nasib Nabi Yusuf عليه السلام, bukan? Mereka tidak sangka yang Nabi Yusuf عليه السلام nanti akan menjadi pembesar dan mereka datang berjumpa dengan baginda dan mereka tidak kenal baginda.


 

Ayat 14: Nabi Ya’qub عليه السلام telah menyebut kerisauan baginda, tetapi anak-anaknya itu tidak mahu mengalah. Mereka tetap berhujah lagi. Sememangnya mereka beriya-iya sungguh.

قالوا لَئِن أَكَلَهُ الذِّئبُ وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنّا إِذًا لَّخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “If a wolf should eat him while we are a [strong] clan, indeed, we would then be losers.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Jika dia benar-benar dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), sesungguhnya kami kalau demikian adalah orang-orang yang merugi”.

 

قالوا لَئِن أَكَلَهُ الذِّئبُ وَنَحنُ عُصبَةٌ

Mereka berkata: “Jika dia benar-benar dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), 

Nabi Ya’qub عليه السلام cakap tentang kesedihan baginda dan ketakutan kalau Nabi Yusuf عليه السلام dimakan serigala. Tetapi anak-anaknya itu cuma dapat jawab bahagian serigala sahaja; kerana mereka tentu tidak boleh hendak halang baginda daripada merasa sedih.

Mereka hendak berkata, tidak mungkin serigala hendak makan sedangkan mereka ramai dan kuat. Memang tidak patut kalau serigala dapat mencederakan Nabi Yusuf عليه السلام sedangkan mereka ramai.

 

إِنّا إِذًا لَّخٰسِرونَ

sesungguhnya kami kalau demikian adalah orang-orang yang merugi”.

Dan kalau benar terjadinya sebegitu, tentu mereka jadi orang yang rugi. Tentu mereka lemah sangat. Maksud mereka: tidak mungkin ia akan jadi begitu, wahai ayahanda.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s