Tafsir Surah Yusuf Ayat 5 – 8 (Hubungan anak dan bapa)

Ayat 5:

قالَ يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا ۖ إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my son, do not relate your vision to your brothers or they will contrive against you a plan. Indeed Satan, to man, is a manifest enemy.

(MALAY)

Ayahnya berkata: “Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka merancang rancangan terhadapmu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”.

 

Lihatlah apa kata Nabi Ya’qub عليه السلام dalam ayat ini. Kita selalunya tidak layan sangat mimpi budak-budak, bukan? Tetapi lihatlah bagaimana Nabi Ya’qub عليه السلام melayan dan mendengar apa yang disampaikan oleh anaknya itu. Ini menunjukkan yang baginda adalah seorang ayah yang baik dan kita kena perhatikan dan cuba untuk menirunya dengan melayan anak-anak kita dengan sebaik mungkin.

Ini penting kerana kalau dari waktu mereka kecil kita tidak layan mereka, nanti bila mereka sudah besar, jangan hairan dan mengeluh kalau mereka tidak mahu bercakap dengan kita lagi. Ini kerana semasa mereka memerlukan kita, kita tidak layan mereka sebaik-baiknya, maka balasannya nanti, apabila kita memerlukan mereka, mereka sudah tidak mahu melayan kita lagi.

Ini kerana mereka berasa jauh sahaja dengan kita kerana semasa mereka kecil, kita tidak ambil perhatian dengan perasaan dan kehendak mereka. Ini adalah pengajaran yang amat penting untuk kita perhatikan.

Dan lihatlah juga Nabi Yusuf عليه السلام ini, baginda terus pergi kepada ayahnya untuk menceritakan apa yang telah berlaku untuk mendapatkan nasihat baginda. Ini juga hebat kerana selalunya kalau kita lihat, perkara ini tidak berlaku sekarang. Selalunya seorang anak itu tidak mengadu kepada ayahnya kerana selalunya mereka akan pergi mengadu kepada emak mereka. Kerana selalunya ayah garang dan tidak melayan anaknya, bukan?

Ini menunjukkan kepada kita, Nabi Ya’qub عليه السلام adalah seorang yang pandai menjaga anaknya sampai anaknya sendiri rasa senang dan selesa untuk berjumpa dan mengadu dengannya. Oleh itu Nabi Ya’qub ini adalah ‘model contoh’ untuk seorang ayah. Kita kena belajar apa yang baginda lakukan dan cuba mencontohi baginda.

 

قالَ يٰبُنَيَّ

Ayahnya berkata: “Hai anakku, 

Lihatlah kalimah yang Nabi Ya’qub gunakan untuk memanggil anaknya: يا بُنَيَّ (wahai anakku yang tercinta). Ini adalah panggilan lembut seorang ayah kepada anaknya – panggilan manja. Maka begitulah kita juga kena gunakan kalimah yang lebih kurang sama dengan anak kita. Cakap dengan lembut, dengan penuh kasih sayang dengan mereka.

Jangan mengeluh kalau anak mengganggu kita – mungkin kita sedang bercakap waktu itu, sedang menyelesaikan pekerjaan penting, sedang kepenatan, sedang menonton TV, sedang kepeningan dengan entah apa masalah, sedang kepenatan – apa sahaja, tetaplah panggil anak kita dengan panggilan sayang dan kasih. Jangan tengking dan marahkan mereka.

 

لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ

janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, 

Nabi Ya’qub عليه السلام menasihati Nabi Yusuf عليه السلام supaya jangan beritahu kepada adik beradiknya kerana takut mereka akan dengki. Takut mereka akan buat rancangan yang akan menyusahkan Nabi Yusuf عليه السلام.

Maknanya, Nabi Ya’qub عليه السلام sudah tahu sebelum adanya mimpi itu, abang-abangnya sudah mengganggu Nabi Yusuf عليه السلام kerana tidak suka kepadanya. Kalau mereka tahu baginda dapat mimpi seperti itu, maka lagilah mereka akan bertambah dengki lagi dengan baginda. Tentu akan bertambah-tambah kebencian mereka terhadapnya.

 

فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا

maka mereka merancang rancangan terhadapmu.

Allah ‎ﷻ menggunakan ‘كيد’ dalam ayat ini dan bukan ‘مكر’. Keduua-duanya digunakan dalam bahasa Arab sebagai ‘rancangan’, tetapi tidak sama di antara keduanya. Kalimah مكر adalah rancangan jahat untuk merosakkan seseorang. Dan kalau كيد pula, ia boleh digunakan mungkin rancangan untuk kebaikan ataupun untuk kejahatan.

Ini menunjukkan  yang Nabi Ya’qub عليه السلام tidak pasti apa yang abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام itu akan buat. Cuma baginda suruh Nabi Yusuf عليه السلام berjaga-jaga sahaja. Ini menunjukkan kebijaksanaan baginda.

Mimpi itu bererti bahawa kelak semua saudara Yusuf عليه السلام akan tunduk dan menghormatinya dengan penghormatan yang sangat besar; kerana kelak mereka akan bersujud kepadanya demi menghormati, mengagungkan, dan memuliakannya.

Maka Ya’qub عليه السلام merasa khawatir jika Yusuf عليه السلام menceritakan mimpinya itu kepada saudara-saudaranya, kerana mereka pasti akan merasa dengki terhadapnya, lalu mereka akan membuat tipu daya untuk membinasakannya.

Tentang mimpi, Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

Dari Abu Qatadah رضي الله عنه, dari Rasulullah ﷺ sabdanya: 

“Mimpi yang baik datang dari Allah ‎ﷻ, dan mimpi yang buruk dari syaitan. Maka siapa bermimpi yang dibencinya, hendaklah dia meludah ke kiri, kemudian berlindung kepada Allah ‎ﷻ dari kejahatan syaitan, nescaya tidak akan membahayakannya. Dan jangan menceritakan mimpi itu kepada siapa pun. Maka siapa bermimpi dengan mimpi yang baik, bergembiralah dan jangan mencerita-ceritakannya kecuali kepada orang yang dikasihi.”

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2109.

Ia menunjukkan yang baginda sedar dengan realiti semasa. Baginda sedar yang tidak semestinya anak-anaknya itu walaupun anak seorang Nabi, mereka itu semuanya baik sahaja. Ini mengajar kita yang kalau kita sudah cuba mendidik anak kita dengan ajaran baik pun, tidak semestinya mereka akan menjadi baik.

Lihatlah Nabi Ya’qub عليه السلام ini – baginda adalah seorang Nabi namun anak baginda ada yang tidak baik. Begitu juga Nabi Nuh عليه السلام yang ada anak yang tidak mahu ikut baginda. Kalau tidak sedar tentang perkara inilah yang menyebabkan ramai ibubapa marah kalau guru di sekolah marahkan anak mereka. Mereka kata anak mereka baik, di rumah senyap sahaja, tidak mungkin di sekolah berperangai buruk pula? Itu adalah perasan mereka sahaja.

Ini juga mengajar bahawa kita tidak boleh mengawal orang lain dan kita kenalah bersabar sahaja dengan mereka. Memang kita tidak dapat kawal segala apa yang orang di bawah kita lakukan, bukan? Masa anak kita kecil, bolehlah kalau kita hukum mereka, tahan mereka, paksa mereka, tetapi kalau mereka sudah besar sedikit, bagaimana?

Nanti apabila mereka sudah besar, kita akan sedar yang kita hanya boleh nasihatkan mereka sahaja dan berikan ajaran sebaik mungkin, tetapi hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu menjaga mereka dan berikan hidayah kepada mereka, bukan kita. Maka terimalah hakikat yang kita memang tidak boleh kawal mereka dan ini kadang-kadang susah untuk kita terima.

Ayat ini ada kaitan dengan dugaan Nabi Muhammad ﷺ. Baginda juga diganggu oleh kaum keluarga baginda semasa berdakwah di Mekah. Ini kerana yang menentang baginda termasuk ahli keluarga baginda sendiri. Jadi biasa sahaja kalau adik beradik dan ahli keluarga kita sendiri tidak bersama dengan kita dan tidak suka dengan dakwah kita. Ini adalah dugaan.

 

إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُبينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia

Nabi Ya’qub عليه السلام takut syaitan akan mengambil kesempatan dengan mimpi itu pula nanti. Ini kerana syaitan akan membisikkan cadangan-cadangan jahat ke dalam hati abang-abangnya nanti. Syaitan tidak akan melepaskan peluang kerana dia memang amat memusuhi keturunan Bani Adam dan akan berbuat apa sahaja untuk menyesatkan manusia.


 

Ayat 6:

وَكَذٰلِكَ يَجتَبيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰ آلِ يَعقوبَ كَما أَتَمَّها عَلىٰ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus will your Lord choose you and teach you the interpretation of narratives [i.e., events or dreams] and complete His favor upon you and upon the family of Jacob, as He completed it upon your fathers before, Abraham and Isaac. Indeed, your Lord is Knowing and Wise.”

(MALAY)

Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian dari ta’bir mimpi-mimpi dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَكَذٰلِكَ يَجتَبيكَ رَبُّكَ

Dan kerana kesempurnaan inilah, Tuhanmu telah memilihmu

Kalimah كَذٰلِكَ dalam ayat ini diterjemahkan: ‘kerana kesempurnaan inilah’, kerana ia bukanlah ayat perbandingan kerana tidak ada apa yang hendak dibandingkan.

Nabi Ya’qub menggunakan kalimah يَجتَبيكَ (memilihmu). Ada maksud tertentu kenapa ijtiba’ ini berbeza dengan kalimah lain yang digunakan untuk ‘pemilihan’. Memang ada lagi kalimah-kalimah lain. Sebagai contoh, kalimah ‘ikthiar’ itu digunakan kalau memilih berdasarkan kebaikan. Tetapi kalau digunakan kalimah ijtiba’, ia bermaksud pemilihan berdasarkan kepada kebolehan.

Ini seperti mengambil orang untuk bekerja dengan kita – ini kerana mereka ada kelebihan dan kebolehan untuk melakukan kerja itu. Akan tetapi, apa yang Nabi Yusuf عليه السلام telah lakukan sampai baginda dikatakan ada kebolehan itu? Kalau hendak kirakan, baginda tidak berbuat apa-apa pun lagi. Memang baginda akan ada kelebihan dan itu bukan setakat dapat mimpi sahaja kerana dalam surah ini nanti kita akan lihat bagaimana orang kafir pun mendapat mimpi yang benar juga.

Walaupun baginda belum lagi mendapat kelebihan-kelebihan itu tetapi sebenarnya Nabi Ya’qub عليه السلام dapat lihat yang anaknya itu ada kelebihan kerana akhlaknya baik. Jadi baginda dapat memahami tentang mimpinya itu. Maknanya baginda telah nampak kebijaksanaan pada anaknya itu.

Dalam ayat ini tentang mimpi yang pertama. Nanti akan ada dua kisah lagi tentang mimpi. Iaitu mimpi raja dan mimpi dua orang banduan dalam penjara. Kedua mereka itu nanti akan tanya apakah maksud mimpi mereka itu. Tetapi lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام tidak minta ditadbir mimpinya sendiri dan ini menunjukkan yang baginda tahu apakah maksud mimpinya itu. Maknanya, baginda sudah ada kelebihan mentadbir mimpi walaupun baginda masih kecil lagi.

 

وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ

dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian dari ta’wil kata-kata 

Selalu apabila digunakan kalimah تَأويلِ untuk Nabi Yusuf عليه السلام ini dikatakan tentang kelebihan baginda meramal maksud mimpi. Tetapi cuba lihat kembali bagaimana kalimah yang digunakan adalah الأَحاديثِ (kata-kata). Oleh itu, baginda boleh mengetahui maksud bagi sesuatu peristiwa, sesuatu perkara yang berlaku – bukan setakat mimpi sahaja. Kalau ada orang bercakap dengan baginda, baginda boleh tahu apakah maksud yang disampaikan. Dan ini adalah mukjizat Nabi Yusuf عليه السلام.

Dari segi bahasa, ada 3 jenis kalimah yang digunakan untuk interpretasi sesuatu yang susah dan kompleks untuk difahami:

  • takwil – digunakan dalam bentuk umum.
  • ifta’ (dari sinilah menjadi kalimah ‘mufti’ iaitu orang yang ada ilmu untuk mengambil hukum dari persoalan manusia)
  • tadbir – Ini digunakan khusus untuk mimpi.

Kita lihat bagaimana Nabi Ya’qub عليه السلام menggunakan kalimah تَأويلِ, maknanya bukan tadbir mimpi sahaja, tetapi Nabi Yusuf عليه السلام boleh tahu mem’baca manusia’ – kerana الأَحاديثِ tidak bermaksud mimpi sahaja, tetapi termasuk dengan percakapan juga. Maksudnya apabila baginda jumpa orang dan tengok sedikit sahaja, baginda akan tahu apakah yang tersembunyi dan yang tersirat. Bukanlah baginda boleh membaca hati orang pula, tetapi dari tanda-tanda yang ada, baginda boleh agak.

Tentang mimpi yang benar, orang Islam pun boleh dapat mimpi yang benar. Iaitu akan diberikan kepada mereka yang benar dan jujur dalam kehidupan mereka. Tetapi kena berhati-hatilah kerana ramai yang menyalahgunakan mimpi ini. Ada golongan tarekat dan sufi yang menggunakan mimpi untuk membenarkan ajaran sesat mereka.

Mereka reka amalan dan kata mereka dapat dalam mimpi. Entah jin mana yang datang dalam mimpi mereka tetapi mereka kata itu adalah wali. Atau mereka kata Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang ajar sesuatu amalan dalam mimpi mereka. Padahal yang ajarkan kepada mereka adalah syaitan yang menjelma dalam bentuk orang alim atau Nabi Muhammad ﷺ. Bagaimana mereka boleh mendapat mimpi yang benar, sedangkan amalan mereka banyak yang syirik dan bidaah?

 

وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰ آلِ يَعقوبَ

dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub,

Kalimat يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ (disempurnakan nikmat-Nya atasmu) maksudnya Allah ‎ﷻ akan menyempurnakan nikmat dengan melantik Nabi Yusuf عليه السلام menjadi Nabi.

Kalimat عَلىٰ آلِ يَعقوبَ (atas keluarga Ya’qub عليه السلام) bermaksud keluarga mereka pun akan mendapat berkat. Ini kerana kejadian yang terjadi itu bukan untuk Nabi Yusuf عليه السلام sahaja tetapi untuk keluarga mereka juga. Ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عليه السلام berbangga dengan anaknya itu. Dan baginda sudah nampak yang masa hadapan Nabi Yusuf عليه السلام akan cerah.

 

كَما أَتَمَّها عَلىٰ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ ۚ

sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak.

Kelebihan yang diberikan kepada baginda itu adalah kesinambungan dari kelebihan yang telah diberikan kepada keluarga mereka dari zaman Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام lagi. Mereka turun temurun mendapat pangkat kenabian itu.

Oleh itu, dalam ayat ini, Nabi Ya’qub عليه السلام memberi amaran dan dalam masa yang sama, memberi berita gembira kepada Nabi Yusuf عليه السلام. Ini mengajar kita supaya jangan bagi amaran dan marah sahaja kepada anak kita. Kita janganlah negatif sangat dengan anak-anak. Dan dalam perkara ini ada kesilapan dalam cara didikan ramai ibubapa.

Kalau kita perhatikan, ramai yang selalu merungut sahaja tentang anak-anak mereka: “Kenapa kamu tak jadi macam anak orang sebelah?”, “Kenapa kamu tak jadi pandai macam sepupu kamu?” dan sebagainya. Kata-kata seperti ini semua akan memusnahkan jati-diri budak itu. Sepatutnya kalau kita hendakkan anak kita menjadi seseorang yang yakin dengan diri dia sendiri dan menjadi lebih baik, kenalah bagi semangat kepada mereka.

Kita dahulu pun bukannya hebat sangat, bukan? Semua daripada kita memerlukan masa untuk meningkat naik dari kecil menuju ke usia remaja. Dalam meningkat naik itu, memang kita amat memerlukan sokongan dari orang-orang yang kita hormati seperti ibubapa kita. Maka ibubapa kenalah belajar cara-cara psikologi dengan anak-anak supaya didikan yang diberikan lebih baik.

 

إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha tahu apakah yang akan diberikan kepada Yusuf عليه السلام. Allah ‎ﷻ dengan kebijaksaan-Nya akan melakukan sesuatu yang baik bagi baginda.

Habis Ruku’ 1 dari 12 ruku’ surah ini.


 

Ayat 7:  Jadi inilah ringkasan permulaan kisah Nabi Yusuf عليه السلام dalam surah ini. Surah Yusuf mengandungi 4 Dakwa penting:

1. Tauhid – Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Surah ini adalah kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan perkara tauhid yang kita kena pegang dalam kisah ini adalah: Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Dari kisah yang panjang itu, kita dapat tahu yang Nabi Yusuf عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام pun tidak mengetahui tentang perkara ghaib walaupun mereka itu para Nabi.

2. Tauhid – Allah ‎ﷻ sahaja yang ada kuasa mengurus. Hanya Allah ‎ﷻ yang mengurus dan mentadbir segala sesuatu dan Dia tidak memberi kepada selain-Nya kuasa mengurus itu melainkan dalam asbab yang dibenarkan.

Dalam surah ini kita akan baca pelbagai ikhtiar dilakukan oleh Nabi Ya’qub عليه السلام dan lain-lain karektor dalam surah ini tetapi yang berlaku hanyalah dalam kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam surah ini ada 15 keadaan yang berlaku pada Nabi Yusuf عليه السلام dalam keadaan yang berbeza-beza untuk menceritakan dua perkara ini – iaitu Allah ‎ﷻ yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan Dialah sahaja yang Maha Berkuasa.

3. Risalah – Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi benar yang dipilih oleh Allah ‎ﷻ. Bukti baginda adalah Nabi, baginda dapat memberitahu kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini kerana baginda menerima wahyu dari Allah ‎ﷻ.

4. Akhirat – Tentang orang yang menderita untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Untuk mereka itu akhirnya akan berjaya. Walaupun mereka susah dalam kehidupan mereka, tetapi kesudahannya mereka akan berjaya di akhirat kelak.

لَقَد كانَ في يوسُفَ وَإِخوَتِهِ آيٰتٌ لِّلسّائِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly were there in Joseph and his brothers signs for those who ask, [such as]

(MALAY)

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

 

لَقَد كانَ في يوسُفَ وَإِخوَتِهِ آيٰتٌ

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya

Dalam ayat ini, ada dua karektor sedang disebut: Nabi Yusuf عليه السلام dan adik beradiknya. Abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام tidak suka kepada baginda. Mereka tidak suka Yusuf عليه السلام pergi kepada bapa mereka dan rapat sangat. Dari sini, kita dapat agak yang mereka pun nampaknya tidak baik dengan bapa mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak suka cara bapanya melayan Yusuf عليه السلام.

Dan beginilah masalah yang dihadapi oleh masyarakat: kadang-kadang mereka menyalahkan adik beradik yang tidak ada masalah dalam keluarga. Mereka merungut dan berkata adik itu yang disayangi, bukannya mereka. Dan mereka jadikan itu sebagai alasan untuk mereka menjadi jahat, nakal dan pemberontak (dengan alasan kerana mak ayah aku tidak sayangkan aku).

Fikiran mereka keliru sangat sampaikan mereka berasa masalah mereka bermula dengan anak yang seorang itu. Mereka jadikan adik beradik mereka sebagai ‘kambing hitam’ untuk kesilapan dalam kehidupan mereka sendiri.

Akan tetapi, tidak dinafikan yang kadang-kadang benar juga ada ibubapa yang pilih kasih. Ini pun tidak dapat dipersalahkan kerana perangai anak-anak pun lain-lain – ada banyak jenis anak-anak kita ini. Dan normal kalau anak itu baik, tentu mak ayah akan sayang kepada anak itu lebih lagi.

Maka kenalah pandai ambil hati emak dan ayah – ikutkan kata mereka kalau nak disayangi oleh mereka. Yang jadi masalahnya kalau menyalahkan orang lain sahaja di atas kekurangan kita. Kalau seorang yang baik, dia akan lihat kepada dirinya sendiri dulu, sebelum hendak menyalahkan orang lain.

Jadi ada tanda pada kisah mereka ini. Bukan sahaja dari Nabi Yusuf عليه السلام tetapi juga dari adik beradiknya sekali. Dalam kisah mereka terdapat pengajaran yang kita kena ambil tahu. Apakah tanda itu? Itulah tanda bahawa Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dalam setiap perkara.

 

لِّلسّائِلينَ

bagi orang-orang yang bertanya.

Yang dimaksudkan ‘bertanya’ dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Mereka yang menimbulkan persoalan tentang Bani Israil dan Allah ‎ﷻ sedang jawab kepada mereka. Kepada mereka pun akan mendapat pengajaran – tentang bagaimana Bani Israil dapat berada di Mesir (sedangkan mereka asalnya dari tempat lain) dan kisah ini sepatutnya cukup bagi mereka untuk masuk Islam, kerana kisah ini hebat.

Kisah dan kandungan surah ini menjawab persoalan yang dikemukakan untuk golongan Yahudi pada waktu itu untuk membantah kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Musyrikin Mekah telah bertanya kepada puak Yahudi bagaimana hendak berhujah dan menolak Nabi Muhammad ﷺ. Maka puak Yahudi suruh tanya tentang kisah Nabi Yusuf عليه السلام kerana kisah itu mereka tahu ada dalam kitab mereka sahaja – orang Arab tentu tidak tahu.

Dan apabila Nabi Muhammad ﷺ boleh menceritakan tentang Nabi Yusuf عليه السلام, maka ini menjadi hujah dan dalil bahawa baginda memang seorang Rasul – kerana kisah ini bukanlah dari sejarah bangsa Arab, maka tentu Nabi Muhammad ﷺ mendapat dari wahyu Allah ‎ﷻ. Maka tentulah Nabi Muhammad ﷺ itu menjadi dalil bahawa memang benar baginda seorang Rasul.


 

Ayat 8: Ini adalah keadaan ke 2. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa apa yang Nabi Ya’qub عليه السلام bimbangkan itu tetap tidak dapat disekat. Walaupun baginda sudah memberikan nasihat kepada Yusuf عليه السلام supaya jangan menyebut apa yang baginda mimpikan itu kerana takut adik beradiknya tahu dan ambil tindakan, perkara itu tetap juga terjadi. Kerana itu semua ada dalam taqdir Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ yang mahukan ia terjadi begitu.

إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they said, “Joseph and his brother¹ are more beloved to our father than we, while we are a clan. Indeed, our father is in clear error.

  • Benjamin, who was born of the same mother as Joseph.

(MALAY)

(Iaitu) ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita dari pada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

 

إِذ قالوا لَيوسُفُ

ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf

Dalam ayat ini, ada tawkid (huruf ل pada لَيوسُفُ) pada Nabi Yusuf عليه السلام, menunjukkan penekanan dari mereka – kerana mereka benci sungguh kepadanya. Mereka memang ada iri hati terhadapnya. Memang selalunya kalau anak kesayangan emak atau ayah tidak akan disenangi oleh adik beradik yang lain.

 

وَأَخوهُ

dan saudara kandungnya

Yang dimaksudkan adalah adiknya yang bernama Bunyamin. Mereka ada 12 adik beradik. Tetapi mereka datang dari berlainan emak. 10 dari mereka dari satu emak manakala Nabi Yusuf عليه السلام adalah satu emak dengan adiknya Bunyamin.

 

أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا

lebih dicintai oleh ayah kita dari pada kita sendiri,

Mereka sudah tahu yang bapa mereka lebih sayangkan Nabi Yusuf عليه السلام dan Bunyamin. Tetapi lihat bagaimana susunan ayat ini: ‘Yusuf dan adiknya lebih disayangi’, bukannya: ‘ayah kita lebih sayang mereka lagi’.  Ini menunjukkan ada penekanan pada Yusuf عليه السلام dan adiknya, bukannya Nabi Ya’qub عليه السلام.

Maknanya mereka lebih marah kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan Bunyamin kerana mereka berdua adalah anak yang baik dan menjadikan mereka nampak teruk (bila ada yang baik, nampaklah mereka jadi teruk). Mereka lebih marah kepada Yusuf عليه السلام dan Bunyamin daripada mereka marah kepada Nabi Ya’qub عليه السلام.

Adakah Nabi Ya’qub عليه السلام bersalah kerana terlebih sayang kepada dua anaknya itu? Kita kena faham bahawa perasaan kasih Nabi Ya’qub عليه السلام itu adalah secara naluri biasa dan bukan kerana syar’i. Memang perasaan baginda sayang kepada dua beradik itu bukan dibuat-buat. Dan oleh kerana begitu, maka Nabi Ya’qub عليه السلام tidak bersalah. Kesalahan hanya berlaku apabila tidak berlaku adil dari segi pemberian.

Kenapa Nabi Ya’qub عليه السلام menyayangi Nabi Yusuf عليه السلام dan adiknya Bunyamin?

  1. Kerana keduanya masih kecil berbanding abang-abang tirinya. Mengikut sesetengah riwayat, ibu mereka berdua telah meninggal sewaktu mereka kecil lagi.
  2. Tambahan pula, Nabi Ya’qub عليه السلام telah mengetahui kedudukan Nabi Yusuf عليه السلام yang gemilang sama ada melalui ilham atau melalui wahyu.
  3. Di samping itu, kecantikan dan perwarakan Nabi Yusuf عليه السلام telah menarik perhatian Nabi Ya’qub عليه السلام.

 

وَنَحنُ عُصبَةٌ

padahal kita (ini) adalah satu golongan

Kalimah عُصبَةٌ bermaksud kumpulan yang kuat yang terdiri dari 5 – 10 orang. Dari kalimah inilah jadi asabiyyah – yang bermaksud perkauman yang melebihkan keturunan dan puak sendiri.

Abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام berasakan mereka lebih kuat kerana mereka lebih ramai dari Yusuf عليه السلام dan Bunyamin. Mereka rasa kekuatan kekeluargaan 10 orang mereka itu lebih kuat dan mereka rasa berlagak dengan kumpulan sendiri. Mereka rasa mereka patut lebih disayangi oleh bapa mereka.

Padahal Nabi Ya’qub عليه السلام lebih sayangkan dua adik beradik itu kerana memang bersifat dan berakhlak baik kalau dibandingkan dengan abang-abang mereka. Terutama sekali Nabi Yusuf عليه السلام yang bakal menjadi Nabi, maka tentu Nabi Ya’qub عليه السلام sayangkannya lebih lagi kerana akan meneruskan perjuangannya nanti.

 

إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

Sekarang mereka mengutuk ayah mereka pula. Mereka rasa ayahnya buat silap dengan lebih sayang kepada dua beradik itu. Begitulah sifat dengki manusia tidak ada batasan. Sudahlah mereka bencikan dua beradik itu, sekarang mereka salahkan ayah mereka pula.

Kalimah ضَلالٍ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘sesat’, tetapi ‘silap’. Jangan kita silap terjemah pula kerana dalam ayat Qur’an yang lain, ada digunakan kalimah ضَلالٍ untuk membawa maksud ‘sesat’. Jadi kita kena pandai lihat kepada konteks ayat.

Begitulah bahayanya perasaan dengki dalam hati. Ia sampai boleh membawa kepada pembunuhan. Dengki juga menghilangkan pahala amal kebaikan seperti api memakan kayu api seperti disebut dalam hadith.

Nabi Muhammad ﷺ diriwayatkan bersabda: “Kedengkian memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud)

Alamat dengki:

  1. Tidak boleh melihat orang lain mendapat kesenangan.
  2. Merasa suka apabila melihat orang lain mendapat kesusahan, di mana mereka yang dengki akan berkata: “Padan muka dia”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 5 – 8 (Hubungan anak dan bapa)”

  1. Assalamualaikum ustaz. Terima kasih atas perkongsian ilmu.

    Maafkan saya, saya rasa ada kesilapan taip dalam huraian ayat ke5, dalam maksud hadis tentang mimpi. Ayat terakhir “mimpi buruk” adakah sepatutnya “mimpi baik”?

    Satu lagi, saya ada kemusykilan. Dalan huraian ayat ke 6 ada dinyatakan mengenai orang yang mengaku bermimpikan Nabi Muhammad padahal mungkin syaitan yang menjelma menyerupai Nabi Muhammad. Saya ada terdengar satu hadis yang maksudnya lebih kurang syaitan boleh menjelma dalam mimpi menyerupai sesiapa kecuali Nabi Muhammad. Boleh ustaz perincikan? Terima kasih.

    Like

    1. 1. Ya terima kasih. mungkin terjemahan itu tersilap. saya sudah betulkan.
      2. Benar syaitan tidak dapat menyerupai Nabi Muhammad. Tapi kita tahu kah rupa Nabi bagaimana? Kalau syaitan dalam dalam rupa orang lain dan mengaku Nabi, bagaimana kita nak tahu?

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s