Tafsir Surah al-Ma’un Ayat 1 – 4 (Celaka orang yang solat)

Pengenalan:

Surah ini juga dikenali sebagai Surah ad-Deen dan ada nama-nama lain lagi. Surah ini berkait rapat dengan surah sebelumnya, Surah Quraish:

Dalam Surah Quraish telah diberikan arahan kepada Musyrikin Mekah untuk menghambakan diri mereka kepada Tuhan Baitullah. Inilah yang sepatutnya dilakukan setelah Allah beri segala kelebihan kepada mereka.

Dalam surah ini pula, Allah menceritakan apakah yang mereka sedang lakukan. Sepatutnya mereka menghambakan diri kepada Allah, tapi mereka sebaliknya meninggalkan iman. Ianya amat berlawanan dengan apa yang mereka sepatutnya lakukan.

Rasulullah telah menyampaikan kutukan Allah terhadap mereka dalam surah ini. Kita kena ingat yang baginda tidak ada kuasa dan seorang yang lemah kalau dibandingkan dengan mereka. Oleh itu, apabila baginda menyampaikan juga apa yang disebut dalam surah ini, ini menunjukkan yang baginda mempunyai kepercayaan yang penuh terhadap janji Allah. Kerana apa yang disampaikan dalam surah ini adalah amat berat sekali dan tentunya pemuka Mekah tidak suka.

Salah satu golongan yang ditindas di Mekah waktu itu adalah anak yatim. Mereka tidak ada kuasa, mereka tidak ada pembantu dan penolong mereka. Mereka berkeseorangan dan lemah sekali. Sampaikan orang yang jahat hatinya boleh sahaja suka-suka menindas, memukul, mengambil kesempatan atas mereka dan mereka tidak dapat mempertahankan diri mereka kerana mereka tidak ada penaung di dalam masyarakat. Pada masa itulah, Allah berikan surah ini.

Ada yang berpendapat yang surah ini memperkatakan tentang dua golongan yang berbeza. Akan tetapi, sebenarnya ianya merujuk kepada satu golongan sahaja. Kita akan bincangkan perkara ini nanti. Memang kalau dilihat sekali imbas, nampak macam surah ini terbahagi kepada dua bahagian, tapi tidak sebenarnya.

Yang mengatakan surah ini terbahagi kepada dua bahagian, mereka mengatakan bahagian kedua surah ini dari ayat 4 itu memperkatakan tentang golongan munafik dan bahagian kedua ini diturunkan di Madinah sedangkan bahagian pertama diturunkan di Mekah. Tapi nanti kita akan jelaskan bagaimana ia masih memperkatakan tentang golongan yang satu juga.

Dalam surah-surah sebelum ini telah diberikan dengan banyak sekali hujah-hujah tentang kebenaran agama Islam. Tapi manusia masih ramai lagi yang menolaknya. Maka dalam ayat pertama surah ini Allah sudah merungut: أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ (tidakkah engkau melihat (orang) yang mendustakan agama?). Dalam ayat itu, Allah sedang bercakap dengan Rasulullah kerana Allah gunakan ‘ت’ dalam kalimah أَرَأَيتَ.

Ini seolah-olah Allah mengadu dengan Nabi Muhammad. Allah merungut tentang perangai puak Quraish yang amat teruk sekali. Dan kerana perangai mereka dan ketiadaan iman mereka, mereka menjadi makhluk yang paling rendah sekali seperti yang disebut dalam Teen:5 ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ (Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya). Surah Ma’un ini akan menyebut beberapa sifat buruk mereka itu.

Surah at-Teen telah menyebut tentang ‘insan’ – iaitu manusia secara umum. Tapi Surah Al-Ma’un ini datang selepas sahaja Surah Quraysh, jadi kita boleh katakan yang ianya sedang memperkatakan tentang Musyrikin Quraysh. Pendapat ini dikuatkan kerana kalimah أَرَأَيتَ (adakah engkau melihat) yang merujuk kepada Nabi Muhammad – dan Nabi Muhammad sedang melihat apa yang dilakukan oleh puak Quraish itu di hadapan mata baginda.

Baginda dapat melihat sendiri dengan mata baginda bagaimana mereka itu melakukan keburukan dalam hal agama dan hal kemanusiaan. Mereka menipu dalam agama dan mereka mengherdik anak yatim yang akan disebutkan dalam ayat-ayat selepas ini.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 2 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia memberitahu kita yang pendusta Hari Pembalasan tidak akan peduli hak sosial. Mereka hidup menindas orang lain demi kesenangan diri sendiri.

Jadi ayat ini adalah ayat zajrun. Allah menegur perbuatan mereka yang mendustakan ajaran-ajaran agama. Ini berlaku apabila agama beritahu ada kebaikan, mereka tidak kejar kebaikan itu dan bila agama beritahu ada bahaya dalam sesuatu perkara itu, mereka langgar dan lakukannya juga.

أَرَأَيتَ الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Al-Mā‘ūn: Assistance.

Have you seen the one who denies the Recompense?

(MALAY)

Adakah kamu lihat (orang) yang mendustakan agama?

 

Dari bahasa yang Allah gunakan, Allah sedang memuji Rasulullah dan akhlak baginda, dibandingkan dengan Musyrikin Mekah itu yang telah merendah diri mereka serendah-rendahnya. Allah mengutuk mereka sambil Allah memuliakan baginda. Bagaimana kita tahu?

Kerana cara Allah tanya baginda itu adalah seumpama seorang guru yang berkata kepada anak muridnya yang terbaik: “lihatlah mereka itu semua yang telah gagal” – ini adalah cara guru itu mengutuk mereka yang gagal kerana tidak berusaha dan memuliakan anak muridnya yang terbaik itu. Maknanya Rasulullah tidak termasuk golongan mereka yang buruk itu.

Dalam Surah al-Feel sebelum ini, Allah menggunakan kalimah أَلَم تَرَ (tidakkah engkau lihat?) Kalimah ini Allah gunakan semasa Rasulullah berasa di dalam keadaan lemah kerana waktu itu baginda rasa baginda tidak mempunyai kuasa untuk bersuara, sedangkan musuh-musuh baginda dari kalangan Musyirikin Mekah itu mempunyai kedudukan untuk mempengaruhi masyarakat.

Maka Allah tanya: أَلَم تَرَ (tidakkah engkau lihat) bagaimana Dia telah memusnahkan Tentera Abrahah, dengan kaum Aad, kaum Tsamud dan semua musuhNya yang lain? Allah boleh buat apa sahaja terhadap mereka maka janganlah baginda rasa lemah kerana Allah menyokong baginda. Kalau Allah yang sokong, maka tidak ada apa yang perlu ditakuti lagi.

Sedangkan kalimah أَرَأَيتَ (adakah engkah lihat?) dalam Surah Al-Ma’un ini digunakan oleh Allah untuk menetapkan keyakinan kepada baginda, memberi semangat kepada baginda, memuji usaha baginda dan akhlak baginda.

Allah selalu menggunakan soalan dalam Al-Qur’an untuk mengulang-ulang soalan itu untuk melibatkan pendengar, supaya mereka berfikir – ini seperti seorang guru yang selalu bertanya kepada anak muridnya – walaupun guru itu tahu yang anak muridnya itu sudah tahu pun jawapannya. Ini adalah supaya pelajarnya itu terus mendengar, terus terjaga dan untuk menekankan pembelajaran kepada mereka. Guru itu hendak melibatkan anak muridnya itu dalam perbincangan dalam kelas. Supaya tidaklah pengajaran itu pasif (satu hala) sahaja. Oleh itu, ini selalu digunakan dalam pengajaran dan memang Allah sedang mengajar kita semua.

Allah juga sedang bertanya kepada mereka yang ada akal: أَرَأَيتَ (adakah engkau lihat?). Kerana ayat ini bukan dibaca oleh Rasulullah sahaja, ia dibaca oleh kita dan sekarang ‘engkau’ itu adalah kita yang sedang membacanya, bukan? Maka kita kenalah berfikir sejenak, adalah kita pernah lihat orang yang mendustakan agama? Siapakah orang yang dimaksudkan? Ada dua pendapat tentang siapakah mereka:

1 – Ianya merujuk kepada seseorang yang spesifik, (mungkin ‘Aas bin Wa’il, Akhnas bin Shuraiq. Ada juga yang mengatakan ia berkenaan Abu Lahab). Selepas ini pun akan disebut tentang Abu Lahab. Dan Abu Lahab juga adalah penjaga harta baitulmal dan sepatutnya dialah yang mengeluarkan wang untuk membantu orang yang lemah.

2 – Ianya disebut secara umum, bukan orang yang tertentu. Sesiapa sahaja yang ada sifat itu, merekalah yang dimaksudkan. Apabila Allah sebut secara umum dan pukal sahaja, sesiapa sahaja boleh terkena dengan kecaman Allah itu. Maka sesiapa sahaja yang ada sifat itu, mereka sendiri akan terasa.

Mereka sendiri akan terasa yang Allah sedang memperkatakan tentang mereka. Apabila disebut sifat-sifat buruk mereka, mereka akan terasa yang merekalah yang dimaksudkan. Allah mahu mereka sendiri berfikir supaya mereka tersentak dan mengubah keadaan diri mereka. Masih ada peluang lagi untuk mengubah.

Oleh itu, ini menyebabkan ada orang yang marah kerana sifat mereka disentuh (tentu ada yang marah dan tidak suka). Mereka marah kerana mereka sedang dihina oleh Al-Qur’an. Ini macam kalau dalam majlis kita kata: “ada orang yang menyusahkan keluarga dia”. Kita cakap itu sahaja, tapi orang yang benar-benar melakukan perkara itu akan terasa. Inilah realiti yang berlaku dan Allah tegur mereka dengan cara begini. Kalau mereka terasa, nasib merekalah. Silalah jemput terasa.

Dalam ayat ini, Allah berfirman: الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ (dia yang ‘mendustakan’ agama). Ini tidak sama kalau Allah sebut: الّذي يَكفُر بِالدّينِ (dia yang ‘kufur’ dengan agama). Apakah beza antara dua jenis kalimat itu?

– kalau Allah gunakan الّذي يَكفُر بِالدّينِ, ia bermaksud mereka menolak agama itu dengan terus, dengan terang, dengan terbuka.

– tapi bila Allah gunakan الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ, ia bermaksud mereka mengatakan yang agama itu satu satu pembohongan. Maknanya mereka kata Nabi menipu, Al-Qur’an menipu. Tapi mereka yang melakukannya, tahu yang semua itu benar, tapi mereka tetap menolaknya dan mengatakan ianya adalah penipuan.

Kerana itulah mereka dikatakan: menipu tentang agama (dan bukan kufur dengan agama). Mereka menolak apa kata hati mereka dan tetap juga menolak kebenaran. Ini amat teruk sekali. Kerana kalau mereka tidak tahu pun salah, dan kalau mereka tahu, tapi mereka kata juga yang semua itu satu penipuan, mereka sebenarnya lebih teruk lagi.

Kenapa mereka kata agama itu satu penipuan? Kerana mereka nak tolak dan mereka kena kata agama itu tidak benar, kerana itu mereka tidak terima. Maknanya, dia tahu yang dia sedang menipu kerana dia tahu yang agama itu benar. Oleh itu, Allah sekarang sedang membuka pekung mereka. Mereka cuba sorok apa yang ada dalam hati mereka, tapi Allah beritahu kepada semua orang dalam Al-Qur’an tentang sifat mereka itu.

Dan kalimah يُكَذِّبُ adalah dalam fi’il mudhari’ (present tense). Dari segi balaghah, ini bermaksud orang itu sentiasa sahaja menipu tentang agama, kerana apabila dalam bentuk fi’il mudhari’, ia memberi isyarat ‘berterusan’. Maknanya setiap hari mereka akan tolak agama itu.

Ini berbeza kalau kalimah َكَذَّب yang digunakan, yang bermakna dia menipu sekali sahaja. Sedangkan mereka akan menipu setiap kali – maknanya mereka ada juga mendengar ayat Al-Qur’an yang mereka percaya sebagai benar, tapi mereka tetap juga tolak supaya mereka tidak perlu nak amalkan agama.

Kalimah الدّينِ pun boleh jadi dalam dua makna dalam ayat ini: sama ada dalam bentuk umum atau dalam bentuk spesifik.

– Kalau dalam bentuk spesifik, ia sebenarnya sudah menjadi satu istilah. Istilah membawa maksud yang khusus. Sebagai contoh, kalau kita gunakan maksud ‘journal’ dalam bentuk umum, ia bermaksud diari. Tapi kalau digunakan oleh mereka yang bekerja dalam bidang akauntan, ia membawa maksud istilah tertentu – iaitu membawa maksud satu bahagian dalam bidang akauntan yang bermaksud ‘untung dan rugi’. Ini para akauntan akan faham.

Begitu juga dalam Islam. Ada perkataan yang asalnya berbentuk umum tapi telah menjadi istilah tertentu. Sebagai contoh, kalimah ‘solat’ bermaksud sembahyang/doa/permintaan. Akan tetapi kita pun tahu yang ianya adalah satu istilah khusus dalam agama kita – perbuatan yang ada rukun dan syarat dan dilakukan sekurang-kurangnya 5 kali sehari semalam. Dan cara mengerjakannya ada tertib-tertib tertentu.

Jadi, mari kita lihat kalimah الدّينِ itu. Kalau kita mentafsirnya dalam bentuk khusus, ia bermaksud ‘agama Islam’. Memang asalnya ia ada maksud lain dalam bahasa Arab, tapi selepas Islam bangkit dengan Nabi Muhammad, kalau kita sebut الدّينِ sekarang, ia bermaksud ‘agama Islam’. Oleh itu, kalau kita tafsirkan ayat الَّذي يُكَذِّبُ بِالدّينِ, ia bermaksud ‘orang yang mendustakan agama Islam’. Dan agama Islam itu adalah perkara yang khusus, seperti Tauhid, Risalah, Hari akhirat dan macam-macam lagi.

– Akan tetapi, ada juga yang mengatakan yang الدّينِ itu merujuk kepada sesuatu yang umum. Dari segi bahasa, maksud دين adalah ‘memberi pinjaman’. Apabila kita beri pinjaman, kita mahukan pinjaman itu dipulangkan balik, bukan? Dan pulangan balik itu adalah الدّينِ.

Dan pulangan balik yang dimaksudkan adalah di akhirat kelak. Iaitu apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini, akan mendapat balasannya di akhirat kelak. Kita kena bertanggungjawab atas perbuatan kita, sama juga macam kita bertanggungjawab atas pinjaman kita – apabila sudah pinjam, kenalah bayar balik. Oleh itu, kalau kita pakai pendapat ini, ayat 1 ini berbunyi: adakah kamu lihat mereka yang mendustakan hari pembalasan?

Surah ini tentang kesalahan dan kezaliman yang dilakukan oleh Quraish. Dan sekarang Allah hendak memberitahu kita, apakah punca dari masalah mereka itu. Mereka jadi teruk itu kerana mereka tidak percaya kepada Hari Pembalasan di akhirat kelak. Mereka tidak percaya yang segala perbuatan mereka di dunia ini akan dibalas di akhirat kelak. Oleh itu mereka tidak takut melakukan kekejaman dan dosa mereka kerana mereka tidak rasa yang ianya akan dibalas di akhirat kelak.

Maka bebaslah mereka nak buat apa pun. Orang jahat cuma takut dengan balasan sahaja. Sebagai contoh, penjenayah tidak akan lakukan jenayah kalau mereka tahu yang polis sedang memerhatikan mereka. Kalau orang yang bawa kereta dengan bahaya pun, kalau polis trafik ada, mereka akan bawa kereta dengan berhemah sangat. Kerana mereka takut mereka akan ditangkap dan dibalas dengan dimasukkan ke dalam penjara atau kena saman. Jadi, perasaan takut itu akan menghalang mereka dari melakukan kesalahan.

Oleh itu, orang mukmin adalah mereka yang percaya dengan perkara ghaib seperti Allah dan akhirat. Walaupun tidak ada manusia yang memerhatikan mereka, mereka tetap beramal dengan perbuatan yang baik. Ini disebut dalam Baqarah:3

الَّذينَ يُؤمِنونَ بِالغَيبِ 

mereka yang beriman kepada yang ghaib,

Kalau mereka takut dengan Allah yang mereka tidak nampak, mereka tidak akan melakukan dosa. Tapi mereka yang jahat itu mendustakan perasaan ini. Mereka tolak jauh-jauh. Walaupun jauh di sudut hati mereka, mereka percaya yang akhirat itu ada, tapi mereka buat tak tahu sahaja. Mereka benamkan perasaan itu jauh di sudut hati mereka. Inilah sifat mereka yang disebut dalam Surah ini – mereka itu jenis tidak kisah.

Ulama tafsir ada mengatakan yang ada sambungan dari ayat ini yang dihazafkan (ditiadakan). Ayat penuhnya adalah: “Adakah engkau melihat orang yang mendustakan agama/hari pembalasan? Adakah orang itu benar atau tidak?”

Siapakah mereka itu dan bagaimanakah sifat mereka? Allah beritahu dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 2: Sepatutnya mereka tolong anak yatim, tapi sebaliknya mereka halau.

فَذٰلِكَ الَّذي يَدُعُّ اليَتيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For that is the one who drives away the orphan

(MALAY)

Itulah orang yang mengherdik anak yatim,

 

Kalimah فَذٰلِكَ – maka tanda kekufuran mereka itu adalah…. Allah akan terangkan selepas ini. Iaitu mereka menghalau, mengherdik anak yatim.

Kalimah اليَتيمَseseorang yang kehilangan ibubapa mereka. Mereka itu dalam kesedihan, harapan mereka nampak gelap, mereka rasa mereka sudah tidak ada tempat bergantung lagi. Kalau orang sudah dewasa pun kehilangan ibubapa mereka, mereka pun sudah rasa payah, tambahan pula kalau dia seorang anak yang masih memerlukan belaian kasih sayang dan sokongan? ma sha Allah…. Anak yatim memerlukan kasihan dan layanan baik, tapi manusia jenis apa yang sanggup mengherdik dan menghalau mereka?

Dalam Ayat 1 telah disebut bagaimana mereka itu mendustakan hari pembalasan. Apabila seseorang itu tidak mahu mengakui Hari Kiamat dan pembalasan yang datang dengannya, mereka telah menolak fitrah yang sudah sedia ada dalam dirinya.

Dan apabila menolak fitrah, maka hati akan jadi keras dan tertutup. Apabila hati sudah keras, maka sudah tidak ada belas kasihan lagi. Bila tidak ada belas kasihan, itulah yang sampai boleh menindas orang yang lemah.  Kerana orang yang beriman, pasti ada rahmah dalam dirinya. Dan orang yang menolak fitrah akan hilang sifat rahmahnya seperti yang disebut dalam Balad:17

ثُمَّ كانَ مِنَ الَّذينَ آمَنوا وَتَواصَوا بِالصَّبرِ وَتَواصَوا بِالمَرحَمَةِ

Dan dia (tidak pula) termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.

Kalimah يَدُعُّ dari د ع ع yang bermaksud menolak jauh seseorang, dengan tidak takut orang itu boleh tolak balik. Oleh kerana itu mereka ambil kesempatan kerana mereka tidak takut kepada balasan balas. Mereka buli orang lain dengan tidak rasa takut pun. Mereka berani buat kerana mereka orang itu tidak boleh balas balik.

Maka mereka herdik dan halau orang lain dan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah anak yatim. Alangkah teruk sekali apa yang mereka lakukan terhadap anak yatim.

Mereka itu sanggup lakukan begitu sedangkan Allah amat menekankan tentang anak yatim dalam Al-Qur’an. Berkali-kali Allah suruh kita menghargai dan bertindak baik dengan mereka. Antaranya:

1 – Surah an-Nisa – surah ini maksudnya ‘perempuan’ dan tentu kita sangka Allah akan bercakap tentang mereka; tapi sebaliknya yang dibincangkan dahulu adalah anak-anak yatim dan bagaimana kita kena menjaga mereka dan berurusan dengan mereka dan menjaga hak-hak mereka. Hanya selepas itu baru disebut tentang wanita.

2 – Dalam Surah Dhuha, Allah berfirman فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر [Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang] melarang kita berlaku tidak patut kepada mereka. Selepas itu baru Allah sebut tentang para peminta.

3 – Dalam Fajr:17 Allah berfirman كَلّا ۖ بَل لا تُكرِمونَ اليَتيمَ [Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim], Allah menegur manusia yang tidak memuliakan anak-anak yatim.

4 – Dalam ayat-ayat di atas, kita disuruh untuk bermuamalah dengan baik dengan anak yatim. Tapi perbuatan buruk yang disebut dalam surah Al-Ma’un ini lebih keras lagi. Mereka bukan sahaja tidak melayan anak yatim dengan baik, malah mereka menyakiti anak-anak yatim itu! Mereka herdik, tolak dan halau anak-anak yatim itu!

Dan Nabi Muhammad SAW itu sendiri adalah anak yatim dan Allah telah menjaga baginda, beri kemuliaan kepada baginda. Maka tentu kalau ada yang menindas anak yatim, Allah amat murka sekali.

Allah amat murka kepada mereka dan kerana itulah Allah gunakan kalimah فَذٰلِكَ kerana kalimah ذٰلِكَ bermaksud ‘demikian itu’ kerana Allah hendak menjauhkan DiriNya dari mereka kerana Allah amat murka kepada mereka. Kerana kalau normal sahaja, Allah boleh sahaja guna kalimah هذا (ini).

Ulama juga membincangkan tentang huruf ف pada kalimah فَذٰلِكَ ini. Ia menghubungkan antara ayat 1 dan 2 ini. Maknanya, sifat orang itu berkait. Kerana dia mendustakan agama (atau mendustakan hari pembalasan), maka dia akan menolak anak yatim.

Maknanya, pertama sekali dia telah buat dosa kepada Allah dan itu membawa kepada buat dosa berkenaan manusia pula. Apabila berdosa kepada Al-Khaaliq, maka akan buat dosa berkenaan makhluk pula. Inilah bahayanya kalau melakukan dosa. Kerana ia menyebabkan dosa di dalam perkara lain pula.

Oleh kerana mereka tidak kisah tentang hubungannya dengan Allah, maka mereka pun tentu tidak kisah tentang hubungannya dengan makhluk. Cuma dalam ayat ini disebut tentang perbuatan buruk mereka terhadap anak yatim, tapi bukanlah itu sahaja dosa mereka. Ada banyak lagi dosa lain yang mereka lakukan. Tapi inilah perkara yang ditekankan di dalam surah ini. Maka kena baca juga surah-surah yang lain.

Kalimah يَدُعُّ itu juga bermaksud menolak seseorang dengan ganas dengan perasaan marah dan menekan. Mereka bukan sahaja menghina anak yatim itu, tapi mereka menolak anak-anak yatim itu dari hak mereka. Sebagai contoh, ada anak yatim yang ditinggalkan harta oleh ibubapa mereka. Tapi orang-orang yang jahat itu mengambil harta-harta itu.

Ini amat buruk sekali. Kerana itu adalah hak anak yatim itu! Begitu teruk sekali apa yang dilakukan oleh puak Quraish itu. Mereka tidak memberi harta pusaka kepada perempuan dan anak-anak yatim. Dan kalau perempuan dan anak yatim itu meminta, mereka akan tolak! Mereka berhujah, kenapa harta itu perlu diberi kepada perempuan dan anak yatim, sedangkan mereka itu tidak memerlukan? (mereka kata lelaki memerlukan harta untuk perang, perempuan dan budak-budak tidak perlukan).

Untuk menjaga hak perempuan dan anak yatim, Allah telah meletakkan hukum harta pusaka kepada mereka. Sebelum Islam, mereka tidak ada hak, tapi dengan Islam, hak mereka dijaga. Maka Islam telah lama menjaga hak asasi manusia. Maka amat malang kalau ada yang kata agama Islam menindas hak-hak kebebasan manusia.


 

Ayat 3:  Apa lagi sifat mereka?

وَلا يَحُضُّ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And does not encourage the feeding of the poor.

(MALAY)

dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.

 

Dalam ayat sebelum ini disebut perbuatan buruk mereka dengan anak yatim. Sepatutnya mereka kena bantu anak-anak yatim itu. Dan kalau mereka sendiri tidak ada harta, sekurang-kurangnya mereka kena minta orang lain tolong. Sekurang-kurangnya mereka minta orang lain bantu anak-anak yatim itu dan orang yang susah. Kerana kita kenalah ada sifat kasihan belas. Memang ada orang yang tidak ada apa, tapi mereka ada kasihan belas dalam hati mereka.

Ada yang mengatakan ayat sebelum ini adalah tentang perbuatan sebagai seorang individu dan ayat 3 ini dalam konteks mereka sebagai pemimpin masyarakat yang ada kedudukan untuk membantu orang dan ada kedudukan untuk mempengaruhi orang lain.

Oleh itu, dikatakan yang ditegur dalam ayat ini adalah pemimpin Quraish (sebagai contoh, Abu Lahab yang pangkatnya menjaga Baitulmal). Mereka sepatutnya berada dalam kedudukan yang amat sesuai untuk membantu dan memberi makan kepada orang yang lemah. Mereka juga sepatutnya menganjurkan masyarakat membantu anak-anak yatim.

Tetapi mereka tidak jalankan tanggungjawab itu. Ini mengajar kita bahawa pemimpin sepatutnya duduk di depan, menganjurkan untuk memberi makan kepada orang miskin dan orang susah. Tapi sebaliknya, ada pemimpin yang membazirkan wang untuk diberi kepada orang yang kaya pula, sedangkan wang itu sepatutnya untuk masyarakat.

Mereka jenis ini memang tidak patut jadi pemimpin. Mereka layan orang kaya sahaja. Kalau pemimpin lagi besar datang, lihatlah bagaimana layanan mereka terhadap orang itu. Ini kerana mereka jaga orang-orang kaya sahaja kerana mereka sangka orang yang lebih tinggi itu boleh jaga kedudukan mereka untuk lebih naik lagi. Mereka rasa, kalau tolong orang miskin, bukan dapat apa pun.

Jadi mereka tidak tolong pun orang susah, malah mereka tidak menggalakkan pun orang lain untuk tolong orang susah. Tapi kalau mereka sendiri tidak tolong, kenapa mereka tidak galakkan orang lain pula untuk tolong?

Mereka tidak galakkan kerana kalau mereka suruh orang lain bantu, mereka takut orang lain akan tanya balik kepada mereka: “kau suruh kami tolong ni, engkau pula macam mana? Kenapa kamu sendiri tak tolong?” Begitulah Allah buka akal dan buka rahsia dalam hati mereka – mereka tidak galakkan orang lain menolong kerana mereka sendiri tidak mahu menolong kerana mereka nak gunakan duit itu untuk kepentingan diri sendiri. Dan perkara ini bukan terjadi di dalam kalangan pemimpin Quraish sahaja, tapi di  mana-mana dalam dunia.

Kalimah يَحُضُّ dari katadasar ح ض ض yang bermaksud ‘menggalakkan’. Macam kalau kita naik kuda, kita kata “hiyah, hiyah”, itu adalah يَحُضُّ. Kalau dengan manusia, bermaksud kita menggalakkan mereka untuk melakukan sesuatu.

Oleh itu, apabila dikatakan لا يَحُضُّ, ia bermaksud mereka itu tidak menggalakkan orang lain. Dan dalam ayat ini, mereka tidak menggalakkan orang lain untuk memberi makan kepada fakir miskin. Kalau mereka tidak menggalakkan orang lain beri makan, ia bermaksud mereka pun tentu tidak beri orang miskin makan (tidak perlu disebut dalam ayat ini kerana boleh difahami).

Allah gunakan kalimah المِسكينِ (orang miskin) dalam bentuk mufrad (satu). Ianya adalah orang-orang yang tidak dapat membantu diri mereka untuk keluar dari kesusahan mereka. Dari katadasar س ك ن (tidak bergerak) kerana mereka tidak dapat nak keluar dari tempat itu, tidak dapat tolong diri mereka sendiri – memerlukan orang untuk bantu mereka.

Kalau ramai, kalimah المساكين yang digunakan. Kenapa digunakan seorang miskin sahaja? Ia boleh bermaksud, jangan kata ramai orang miskin, seorang miskin pun mereka tidak bantu dan beri makan. Maka ini lebih mengutuk mereka – seorang miskin pun mereka tak mahu nak bantu, apatah lagi kalau ramai?

Atau satu lagi maksud, kerana ada ال dalam kalimah المِسكينِ itu, ia boleh bermaksud mengingatkan mereka kepada seorang individu tertentu yang mereka tidak beri makan dan tidak layan dengan baik. Ini untuk menekan perasaan mereka. Allah hendak memberitahu mereka bahawa Allah tahu perbuatan mereka terhadap individu itu. Allah hendak mereka teringat kepada seorang miskin yang baru mereka tidak bantu, bukan kepada orang miskin secara umum. Ini lebih memberi kesan kepada mereka. Kerana mereka terus teringat orang tertentu yang baru mereka tolak dari dibantu.

Seperti yang kita telah sebut, yang disentuh dalam ayat ini adalah para pemimpin masyarakat yang sepatutnya berada pada kedudukan untuk membantu mereka yang susah, tapi mereka tidak lakukannya. Bukan sahaja mereka tidak bantu, mereka tidak galakkan pun orang lain untuk bantu. Mereka tidak galakkan orang lain kerana kalau mereka suruh orang lain bantu, orang lain akan kata: “kenapa suruh kami pula, kamu bagaimana? Kenapa kamu sendiri tidak bantu?”. Kerana mereka takut mereka akan ditegur begitu, maka mereka senyapkan sahaja tentang orang lain.

Kalimah yang digunakan dalam ayat ini adalah طَعامِ المِسكينِ – ‘makanan orang miskin’. Ia dalam bentuk mudhaf dan mudhaff ilaih – ini bermaksud makanan itu adalah hak mereka mereka, kepunyaan mereka. Maksudnya, dari segi bahasa, Allah tidak kata beri makanan kepada orang miskin (طَعامِ لالمِسكينِ), tapi Allah kata: beri makanan orang miskin itu (memang itu makanan mereka).

Ini adalah hebat kerana Allah hendak memberi isyarat bahawa memang makanan itu hak orang-orang miskin itu. Makanan yang dihalang untuk disampaikan itu sepatutnya hak mereka dan kena diberikan kepada mereka. Ia memang ada pada tangan kita, tapi Allah salurkan rezeki mereka melalui kita sahaja. Maka kalau kita tidak beri, maka sudah zalim.

Allah gunakan kalimat طَعامِ المِسكينِ (makanan orang miskin), bukan dalam bentuk fi’il amar (kata arahan) اِطْعَم المِسكينِ (berilah makan kepada orang miskin). Ini menguatkan lagi isyarat bahawa makanan itu adalah hak orang-orang miskin itu. Orang yang sepatutnya membahagi-bahagikan hak-hak orang miskin itu, mereka pula sebaliknya yang mengambil untuk diri mereka. Ini banyak terjadi dalam hak pengagihan sumbangan masyarakat. Ada yang tolong kutip, tapi mereka pula yang makan sendiri.

Jadi, ini adalah peringatan yang teramat penting untuk ahli politik – sepatutnya orang mukmin berkecimpung dalam politik adalah untuk mendapat kedudukan dalam masyarakat supaya boleh memberi sumbangan kepada masyarakat – bukannya untuk menambah harta sendiri dan mendapat sanjungan dari orang lain. Dan bila sudah jadi pemimpin, kenalah cari jalan untuk tolong orang – bukannya makan hasil sumbangan orang!


 

Ayat 4: Ayat 4 – 7 adalah Perenggan Makro Kedua dan terakhir. Allah memberitahu yang ibadat yang tidak ikhlas bukan merupakan sikap seorang hamba.

Ayat-ayat sebelum ini adalah tentang sifat buruk manusia dengan manusia yang lain. Sekarang Allah sebut tentang sifat mereka dengan Allah pula, iaitu dalam solat.

فَوَيلٌ لِلمُصَلّينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So woe to those who pray

(MALAY)

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat,

 

Ramai yang hafal ayat ini rasanya. Kerana selalu digunakan sebagai hujah. Mari kita lihat apakah maksudnya. Apabila Allah gunakan huruf ف dalam ayat ini, ianya adalah kesinambungan dari ayat yang sebelumnya. Maka ini adalah sambungan cerita dari awal surah, bukan cerita yang baru.

Allah sedang mencelakakan mereka yang solat. Ini agak pelik, maka kita kena berhati-hati dengan ayat ini. Kena faham dengan kemas, kalau tidak, boleh salah faham dan jadi sesat.

Banyak ayat-ayat dalam Al-Qur’an di mana Allah menyebut tentang kecelakaan. Sebagai contoh, dalam Tur:11

فَوَيلٌ يَومَئِذٍ لِلمُكَذِّبينَ

Maka kecelakaan yang besarlah di hari itu bagi orang-orang yang mendustakan,

Apabila Allah sudah kata ‘celaka’, maka malanglah nasib mereka yang dicelakakan itu. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut يَومَئِذٍ (hari itu) yang bermaksud hari akhirat. Tapi kecelakaan yang disebut dalam Surah Ma’un ini tidak disebut يَومَئِذٍ, tapi dalam bentuk umum sahaja. Maknanya, yang dimaksudkan bukanlah di akhirat sahaja, tapi sekarang juga! Mereka akan musnah dan tidak perlu tunggu akhirat pun.

Tapi kecelakaan yang dimaksudkan adalah untuk ‘mereka yang solat’. Kenapa Allah marah kepada mereka yang solat? Bukankah solat itu perbuatan yang baik?

Jadi, ayat ini menarik perhatian dan menyebabkan orang-orang yang solat terkejut. Tapi ini akan dijelaskan dalam ayat seterusnya. Allah boleh sahaja nak sambung dengan ayat selepas ini (jadikan dalam satu ayat), tapi Allah tidak buat begitu. Ini kerana Allah hendak menarik perhatian semua orang. Begitulah, Allah pecahkan ayatNya satu persatu supaya kita tadabbur setiap satu ayat.

Kalimah ‘solah’ sudah digunakan sebelum Al-Qur’an diturunkan pun oleh masyarakat Arab Jahiliyah. Kepada masyarakat Arab waktu itu, ia sudah bermaksud ‘sembahyang’ dan ‘doa’. Jadi ayat ini menarik perhatian Musyrikin Mekah dan juga orang Islam sendiri. Kedua-duanya terkesan dengan ayat ini. Ia memberi ‘dramatic effect’.

Dan kita pun terkesan juga dengan ayat ini, kerana kita pun solat juga, bukan? Maka berikan perhatian sekarang. Kerana yang datang selepas ini amat penting untuk diberi perhatian.

Kalimah مُصَلّينَ bukan sahaja bermaksud ‘orang yang solat’, tapi ia bermaksud ‘orang yang selalu solat’. Kerana ianya dalam isim fa’il (pembuat). Jadi, ini menyebabkan semua mereka yang solat akan takut dan tertanya-tanya: “aku pun solat juga, adakah aku termasuk dalam ayat ini? Apa Allah nak cakap selepas ini?”

Ayat ini memang tidak boleh dibaca setakat ini sahaja – kalau kita baca dalam solat, jangan baca setakat ayat ini sahaja. Takkan orang yang selalu solat pula dicelakakan dalam ayat ini? Oleh itu, memang kita kena baca dengan ayat seterusnya juga.

Allah boleh sahaja kata Dia mengutuk orang ‘munafik’, (kerana orang munafik pun ada masalah dengan solat mereka) tapi tidak begitu, Allah beritahu kita yang Dia sedang mengutuk ‘orang yang solat’. Jadi kita kena takut yang kita termasuk dalam golongan orang yang munafik juga kerana sifat orang munafik itu mereka tidak menjaga solat. Allah Swt. telah berfirman:

إِنَّ الْمُنافِقِينَ يُخادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خادِعُهُمْ وَإِذا قامُوا إِلَى الصَّلاةِ قامُوا كُسالى يُراؤُنَ النَّاسَ وَلا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk salat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ (dengan salat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. (An-Nisa: 142)

Apa kaitan ayat ini dengan ayat sebelum ini? Kita dapat tahu, kalau sudah ada masalah dengan menzalimi manusia, selalunya orang itu juga akan ada masalah dengan kewajipan dengan Allah. Itulah yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Jadi ianya tentang orang yang sama sahaja. Mereka itu solat pun tidak bagus, sampaikan solat mereka itu tidak pun mengubah dirinya. Kita pun tahu yang sepatutnya solat mengubah diri kita menjadi baik. tapi tidak pada orang itu. Kerana mereka tidak menjaga solat mereka seperti yang sepatutnya mereka lakukan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s