Tafsir Surah al-Fajr Ayat 15 – 21 (Jiwa yang tenang)

Ayat 15: Ayat 15 – 16 adalah Perenggan Makro Ketiga. Allah ﷻ memberitahu yang jiwa yang tenang itu dapat bersabar dan bersyukur dalam kesusahan dan kesenangan dunia.

Dalam ayat 15 ini Allah ﷻ menceritakan kenapa manusia rosak dalam hal agama.

فَأَمَّا الإِنسٰنُ إِذا مَا ابتَلٰهُ رَبُّهُ فَأَكرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقولُ رَبّي أَكرَمَنِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And as for man, when his Lord tries him and [thus] is generous to him and favors him, he says, “My Lord has honored me.”¹

  • He is proud rather than grateful, attributing the favor to his own merit.

(MALAY)

Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.

 

Apabila ada huruf ف dalam kalimah فَأَمَّا ini, maksudnya ada kaitan dengan ayat sebelum ini. Sebelum ini telah disebut tentang mereka yang melampau dan memberontak dalam agama. Allah ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini, sebelum masyarakat itu jadi rosak keseluruhannya, yang rosak dahulu adalah individu dalam masyarakat itu.

Kerana masyarakat tidak terus rosak sekali harung tetapi rosak sedikit demi sedikit bermula dari individu di dalamnya. Sekarang Allah ﷻ hendak menceritakan permulaan kejadian itu. Kenapakah agaknya mereka boleh jadi begitu?

Kalimah ابتَلا bermaksud pengujian dengan ujian yang paling teruk sekali. Kalimah yang sama digunakan untuk ujian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام (Baqarah:124) kerana Nabi Ibrahim عليه السلام telah dikenakan dengan ujian-ujian yang amat berat. Sekarang Allah ﷻ gunakan kalimah yang sama juga dalam ayat ini.

Kalimah مَا dalam مَا ابتَلاهُ pula ditambah dalam ayat ini sebagai ta’jub.

Allah ﷻ hendak menceritakan beberapa jenis manusia, apabila Allah ﷻ menduganya dengan dugaan yang hebat, iaitu apabila Allah ﷻ memuliakannya dan memberinya nikmat yang banyak, dia akan berkata: “Allah memuliakan aku”.

Kalimah أَكرَمَ adalah apabila seseorang itu diberikan kedudukan dalam masyarakat. Kenapakah Allah ﷻ kata ini sebagai ujian yang hebat pula? Kenapa lain dari ujian yang lain (malapetaka, kemiskinan dan sebagainya)?

Sudahlah diberikan dengan أَكرَمَ – kedudukan yang tinggi, kemudian ditambah dengan نَعَّمَ yang bermaksud kesenangan yang besar pula. Kalau begini, sudah nampak macam rahmat yang banyak diberikan kepada orang itu. Tentu kehidupannya sedang amat bagus sekali. Akan tetapi Allah ﷻ kata ini adalah ujian yang berat. Kita mungkin rasa kalau sakit, hilang pekerjaan dan sebagainya, barulah dikira sebagai ujian. Lalu bagaimana ini boleh dikira sebagai ujian yang berat?

Semua itu dikira sebagai ujian yang berat, kerana kalau manusia dikenakan dengan ujian yang sebegini, dia tak sangka dia sekarang sedang diduga. Dia sangka dia sedang mendapat nikmat. Maka kerana itu dia senang lupa diri.

Dan beginilah banyak orang-orang dahulu yang diberikan nikmat dan akhirnya mereka melampau. Ini adalah kerana mereka sangka Tuhan telah memilih mereka untuk diberikan segala kemewahan dan posisi yang ada. Dan mereka sangka, Tuhan memang patut beri kepada mereka. Dan mereka sangka kerana mereka mendapat kedudukan di dunia, mereka sangka Allah ﷻ sudah sayang mereka dan mereka orang yang terpilih dan tentu mendapat kebaikan di sisi Allah ﷻ juga.

Kita pun tahu bagaimana Musyrikin Mekah telah diberikan kedudukan dan kesenangan dalam hidup mereka. Oleh kerana itulah mereka rasa mereka ada kedudukan di sisi Allah ﷻ. Tambahan pula, mereka itu penjaga Kaabah, lagilah mereka rasa mereka itu orang terpilih oleh Tuhan.

Dan mereka juga tidak sangka ini adalah ujian sebenarnya, sebab mereka tidak rasa diuji langsung. Ianya memang adalah ujian sebagaimana yang disebutkan di dalam firman-Nya:

أَيَحْسَبُونَ أَنَّما نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مالٍ وَبَنِينَ نُسارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْراتِ بَلْ لَا يَشْعُرُونَ

Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sadar. (Al-Mu’minun: 55-56)

Lalu apa yang mereka kata? رَبّي أَكرَمَنِ “Tuhanku telah memuliakanku”. Bukannya mereka cakap begini dalam sifat bersyukur, tidak sangat. Mereka sebenarnya rasa bangga, bukan rasa bersyukur. Memang ada sebut رَبّي (Tuhanku) dalam kata-kata mereka, tetapi bukan dengan rasa rendah diri.

Dan lihatlah bagaimana Allah ﷻ beri kedudukan dan nikmat, tetapi mereka sebut tentang ‘kedudukan’ sahaja. Mereka tidak cakap pun pasal nikmat yang mereka dapat. Inilah yang banyak terjadi dalam kaum-kaum terdahulu, mereka sangka bila mereka mendapat kuasa, mereka sangka mereka layak dan disayangi oleh Tuhan. Mereka sangka Tuhan di sebelah mereka.

Firaun, Hindu, Yahudi, Kristian semua sangka mereka itu pilihan tuhan. Mereka sangka mereka lebih dari orang lain, dan kerana itu mereka sangka mereka layak untuk dapat kedudukan itu. Inilah penyakit yang teruk sekali. Dan penyakit ini pun sampai bila-bila akan ada sahaja.

Balaghah: hazf wa zikru – Allah ﷻ gunakan kalimah أَكرَمَنِ. Allah ﷻ hazafkan ya’ mutakallimin dalam ayat ini. Sepatutnya kalimah yang digunakan adalah أَكرَمَنِي. kenapa begitu? Akan diterangkan dalam ayat seterusnya kerana ada elemen hazf juga dalam ayat seterusnya nanti.


 

Ayat 16: Ini sambungan ayat sebelum ini.

وَأَمّا إِذا مَا ابتَلٰهُ فَقَدَرَ عَلَيهِ رِزقَهُ فَيَقولُ رَبّي أَهٰنَنِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when He tries him and restricts his provision, he says, “My Lord has humiliated me.”

(MALAY)

Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”.

 

Dan apabila Allah ﷻ menduganya dengan menyempitkan rezekinya, dia merepek dengan berkata bahawa Allah ﷻ telah menghinanya. Apabila Allah ﷻ memberinya apa yang telah ditetapkan di dalam qadr Allah ﷻ, maka dia rasa Allah ﷻ tidak suka kepadanya dan telah menghinanya.

Mereka kata begini kerana mereka merasakan bahawa kemuliaan hanyalah di dalam mempunyai harta benda. Kalau orang miskin, pada mereka itu adalah satu kehinaan. Itulah sebabnya mereka pandang hina orang-orang yang miskin, dan mereka tidak mahu jadi miskin.

Padahal, tidak ada salahnya menjadi miskin. Mereka meletakkan kemuliaan dan kehinaan pada harta. Jadi apabila harta ada, jadi mulia dan apabila tidak ada, itu hina. Begitulah manusia dan sekarang pun, masyarakat kita sudah rasa macam itu. Ini termasuk anak kita pun. Mereka hendak pakai pakaian yang baru dan ada jenama. Kalau ayah mereka pakai kereta buruk, mereka rasa malu dengan kawan-kawan mereka.

Jangan kata orang kafir, orang Islam pun buat begitu juga. Ini adalah kerana orang kita sendiri tidak mengajar anak-anak kita bahaya kalau hanya melihat nilai seseorang kepada harta dan status seseorang dalam masyarakat.

Apabila Allah ﷻ gunakan lafaz قَدَرَ, itu bermaksud memang itu dalam perancangan Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan bahawa dia akan dapat banyak mana sepanjang hidupnya. Itu semua telah ditetapkan 50 ribu tahun sebelum kita dilahirkan pun dalam Lauh Mahfuz. Kita hanya dapat apa yang kita telah ditetapkan akan dapat, bukan? Allah ﷻ mempunyai segalanya dan tidaklah wajib bagi Dia untuk memberi kepada insan. Ikut Allah ﷻlah berapa yang Dia hendak bagi.

Tetapi apabila mereka dapat kurang dari yang biasa mereka dapat, mereka kata Allah ﷻ hina mereka kerana Allah ﷻ benci kepada mereka, tidak suka kepada mereka. Mereka tidak tanya pun kenapa mereka dibenci tetapi mereka kata begitu seolah-olah Allah ﷻ telah buat onar kepada mereka.

Dan kalau insan tidak mendapat dari Allah ﷻ, langkah seterusnya adalah mereka akan memberontak kepada Allah ﷻ. Itulah sebabnya mereka memberontak. Sebagai contoh, mereka kata: “kalau aku cuba dapatkan harta cara halal, Allah tak beri aku, maka aku nak dapatkan harta cara haram pula!”

Balaghah: hazf wa zikru – Allah ﷻ gunakan kalimah أَهانَنِ dalam ayat ini. Allah ﷻ hazafkan ya’ mutakallimin dalam ayat ini seperti dalam ayat sebelumnya. Selalunya kalimah yang digunakan adalah أَهانَنِي. Persoalannya, kenapa begitu?

Inilah salah satu keindahan bahasa Arab dan bahasa Al-Qur’an yang tidak akan dapat diketahui kalau tidak belajar balaghah. Kalau tahu bahasa Arab pun tidak nampak. Sebenarnya ya’ dihazafkan dalam ayat ini kerana hendak menceritakan apakah perasaan mereka.

Mereka hendak kata sesuatu dan tidak mahu dengar apa hujah selain darinya. Mereka telah tetap dalam pendapat mereka dan mereka tidak terbuka lagi kepada pendapat orang lain. Kalau ada orang lain beri pendapat apa-apa pun, mereka sudah tidak mahu dengar.

a. “Allah telah muliakan aku, cukup, aku tak mahu dengar lain.”
b. “Allah telah hinakan aku, cukup, aku tak mahu dengar hujah lain.”

Jadi kalau ada orang yang hendak nasihat mereka, mereka tidak mahu dengar hujah-hujah itu. Mereka telah buat keputusan mereka.

Allah ﷻ mengingatkan kita yang inilah sifat ‘insan’. Bukan orang kafir atau Muslim sahaja. Kerana semuanya adalah ‘insan’, bersifat pelupa. Iaitu lupa asal mereka, lupa siapa Allah ﷻ dan lupa tentang agama. Mereka lupa yang Allah ﷻ itu rabb dan Allah ﷻ itu berhak untuk beri berapa banyak kepada hambaNya.

Syaitan yang bisikkan dalam telinga mereka bahawa Allah ﷻ yang hinakan mereka. Dan kerana itu mereka rasa mereka sepatutnya dapatkan harta dengan cara haram kerana Allah ﷻ tidak beri harta dari cara halal – maknanya mereka sudah mula memberontak.

Pengajaran dari dua ayat ini: janganlah kita letakkan kemuliaan dan kekayaan itu sebagai tanda Allah ﷻ sayang kita, dan jangan kita letakkan kemiskinan dan kesusahan itu sebagai tanda yang Allah ﷻ benci kepada kita. Kesenangan dan kesusahan kedua-duanya adalah ujian semata.

Allah ﷻ kadang-kadang beri kesenangan sebagai ujian dan kadang-kadang Allah ﷻ beri kesusahan sebagai ujian. Sebagai seorang mukmin, kalau dapat kesenangan, maka kita bersyukur dan tetap menjalankan ketaatan kepada Allah ﷻ; dan kalau dapat kesusahan, kita bersabar dan tetap menjalankan ketaatan kepada Allah ﷻ.


 

Ayat 17: Ayat 17 – 20 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia tentang orang yang menzalimi hak-hak anak yatim, orang miskin, orang yang lemah. Mereka yang buat begitu adalah orang yang mempunyai jiwa yang sakit.

كَلّا ۖ بَل لّا تُكرِمونَ اليَتيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No!¹ But you do not honor the orphan

  • It is not like you imagine. Rather, Allāh tries people through prosperity and hardship and rewards both gratitude and patience with honor in the Hereafter.

(MALAY)

Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim,

 

Kalimah كَلّا maksudnya: janganlah kamu berfikir begitu lagi. Ketahuilah yang kemuliaan dan kehinaan bukan kena mengena dengan pangkat dan harta.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ sudah mula bercakap terus dengan Musyrikin Mekah kerana sekarang digunakan kalimah تُكرِمونَ dalam bentuk pihak kedua – maknanya Allah ﷻ sedang bercakap dengan mereka (dan mereka yang bersifat seperti Musyrikin Mekah itu dari mana-mana zaman pun). Allah ﷻ beritahu kerana perangai mereka yang tidak memuliakan dan  menghormati orang yatim, maka Allah ﷻ hinakan mereka.

Memang mereka tidak memuliakan anak yatim. Anak yatim adalah mereka yang tidak mempunyai pembantu di dunia ini. Jadi, ini bukan hanya anak yang tiada ibu bapa tetapi juga boleh termasuk ibu tunggal dan anak-anak yang ditinggalkan sebab telah masuk Islam. Kerana ada individu yang dibuang oleh keluarga mereka setelah mereka masuk Islam, dan mereka tidak ada tempat untuk ke mana-mana lagi.

Musyrikin Mekah pandang hina anak yatim, tetapi malangnya kita pun tidak kenal siapakah orang yatim dalam kalangan kita. Apabila kita tidak kenal, macam mana hendak tolong mereka?

Mudah untuk kita memuliakan mereka yang mempunyai kedudukan, ada harta, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak berada dan lemah? Allah ﷻ menempelak mereka yang tidak memuliakan golongan yatim dan memerlukan bantuan ini. Kadang-kadang kita sendiri pun pandang sebelah mata kepada mereka yang lemah dalam masyarakat.

Sebagai contoh, kita mungkin rasa orang-orang yang buat kerja kasar tidak patut dihormati. Kita layan mereka seolah-olah mereka itu satu kasta bawah kita. Ini merebak dalam masyarakat, sebab itu kita lihat budak-budak kita kurang ajar dengan pekerja kedai, pembantu rumah mereka, tukang sapu dan sebagainya. Kita pun kadang-kadang kalau orang-orang seperti ini lalu sebelah kita, kita buat tidak kenal sahaja, sedangkan mereka itu juga manusia, bukan? Subhanallah!

Dalam ayat ini, yang disentuh adalah tentang perhubungan manusia dan manusia yang lain. Allah ﷻ hendak ajar kita untuk menghormati orang lain dan menjaga serta tolong menolong sesama kita. Agama Islam waktu surah ini diturunkan masih baru lagi di Mekah, maka perkara ibadah belum lagi tertegak seperti zakat, haji dan sebagainya.

Tetapi Islam mengajar supaya berbuat baik dengan orang, jangan zalim, tolong menolong sesama manusia dan sebagainya. Kerana ini adalah perkara yang penting. Kerana tidak faham perkara inilah, maka ramai dari kalangan orang Muslim kita yang kuat buat ibadah seperti solat dan puasa, tetapi tidak menghormati orang lain, berlaku kurang ajar dengan orang lain.

Maka hendaklah kita mencari peluang untuk memuliakan dan membantu anak yatim. Kerana ada banyak sekali kelebihan di dalamnya dan ini adalah tuntutan agama yang amat besar. Seperti telah disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnul Mubarak, dari Sa’id ibnu Ayyub, dari Yahya ibnu Sulaiman, dari Yazid ibnu Abu Gayyas, dari Abu Hurairah, dari Nabi ﷺ yang telah bersabda:

«خَيْرُ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُحْسَنُ إِلَيْهِ، وَشَرُّ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُسَاءُ إِلَيْهِ- ثُمَّ قَالَ بِأُصْبُعِهِ- أَنَا وَكَافِلُ الْيَتِيمِ فِي الْجَنَّةِ هَكَذَا»

Sebaik-baik rumah di kalangan kaum Muslim adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang diperlakukan dengan baik, dan seburuk-buruk rumah di kalangan kaum Muslim adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang diperlakukan dengan buruk. Kemudian Nabi ﷺ berisyarat dengan kedua jari tangannya, lalu bersabda: Aku dan orang yang menjamin anak yatim berada di dalam syurga seperti ini.


 

Ayat 18: Selepas memuliakan atau menghormati orang lain, baru Allah ﷻ sebut tentang menolong mereka. Sebelum tolong, kenalah hormat dahulu kepada mereka.

وَلا تَحٰضّونَ عَلىٰ طَعامِ المِسكينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not encourage one another to feed the poor.

(MALAY)

dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin,

 

Allah menegur mereka yang tidak menggalakkan sesama mereka untuk memberi makan kepada fakir miskin. Oleh kerana itu, maka kenapa mereka patut dimuliakan? Sedangkan mereka itu ada harta dan boleh tolong mereka yang miskin, tapi mereka tak tolong pun. Bukan sahaja mereka tidak menolong orang lain, mereka juga tidak mengajak orang untuk tolong orang lain.

Kenapa disebut mengajak orang lain menolong? Kerana kadang-kadang seseorang itu tidak ada benda nak beri, tapi dia ada jiwa untuk memberi, maka dia boleh ajak orang lain untuk beri. Dia boleh beri motivasi orang lain untuk menolong.

Sebab itulah mulianya hati mereka yang mempromosikan berita-berita kesusahan orang lain ke dalam media dan sebagainya, supaya orang lain boleh tolong sekali. Kerana kita mungkin boleh tolong sedikit sahaja, tapi kalau kita ajak orang lain, tentulah pertolongan yang diberikan lebih banyak lagi.


 

Ayat 19: Apalagi sifat Musyrikin Mekah yang ditegur oleh Allah? Kita kena tahu sifat mereka supaya kita tidak jadi seperti mereka. Kena belajar kesalahan-kesalahan Musyrikin Mekah kerana takut kalau kita tak tengok, kita pula ada sifat seperti mereka.

وَتَأكُلونَ التُّراثَ أَكلًا لَمًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you consume inheritance, devouring [it] altogether,¹

  • Not caring whether it is lawful or unlawful.

(MALAY)

dan kamu memakan harta pusaka dengan cara rakus

 

Dan mereka sentiasa makan harta pusaka secara rakus. التُّراثَ boleh bermaksud harta pusaka atau harta yang tidak perlu ada usaha kepadanya. Iaitu harta yang didapati dengan senang. Macam harta pusaka itu kita dapat dengan percuma sahaja, bukan?

Allah tegur mereka yang sudah kaya, tapi masih lagi mahukan duit lagi dan lagi. Asal nampak peluang untuk dapat duit percuma sahaja, mereka akan terus mengejarnya.

Kalimat أَكلًا لَمًّا maksudnya memakan sambil mengaut, dan dalam masa yang sama tahan dengan tangan supaya orang lain tidak boleh makan sekali. Maksudnya seseorang itu nak makan dengan banyak dan dalam masa yang sama, tak mahu orang lain makan sekali. Dia nak makan habis licin seorang diri dan tidak mahu kongsi dengan orang lain. Begitulah tamaknya orang itu.

Memang ayat ini disebut tentang Kafir Mekah, tapi dalam zaman sekarang ada mereka yang tidak memberikan hak harta pusaka kepada mereka yang sepatutnya. Mereka akan buat macam-macam untuk menidakkan harta pusaka kepada adik beradik dan keluarga sendiri.

Mereka ini jenis teruk sampai sanggup naik turun mahkamah, burukkan orang itu dan ini kerana nak bolot harta itu sendiri. Begitulah manusia ini, kalau tentang harta, orang kita sanggup berkelahi, turun naik mahkamah, sampai sanggup membuang keluarga. Mereka hanya nampak kekayaan di dunia sahaja. Padahal itu adalah ‘harta percuma’ sahaja, bukannya mereka ada usaha pun untuk dapatkan.


 

Ayat 20: Apa lagi perangai mereka?

وَتُحِبّونَ المالَ حُبًّا جَمًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you love wealth with immense love.

(MALAY)

dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.

 

Dan mereka pula terlalu sayangkan harta. Iaitu kasih yang berlebihan, lebih dari yang sepatutnya. Kalau setakat suka sahaja tidak mengapa lagi tapi yang merosakkan diri adalah kalau cinta berlebihan sampai merosakkan diri dan agama. Iaitu sibuk mengumpul-ngumpul harta dan suka melihat hartanya bertambah, dikira-kira setiap hari.

Mereka sibuk mengumpul harta itu sampai tidak bersedia untuk menghadapi akhirat. Dan mereka sayangkan harta sampai mereka tidak menjalankan perintah agama. Sebagai contoh, dalam Tawbah:24 telah disebut tentang mereka yang terlalu cintakan lapan perkara sampai ianya menghalang mereka dari menjalankan jihad.

‎قُل إِن كانَ آباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوانُكُم وَأَزواجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموالٌ اقتَرَفتُموها وَتِجارَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَساكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفاسِقينَ

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Kalimah جَمًّا bermaksud ‘isi sampai penuh’, bukan nak sikit-sikit, tapi nak membondong banyaknya. Begitulah sifat manusia yang malang yang terlalu sayangkan harta dan dunia. Mereka terkejar-kejar dunia itu, padahal harta semua akan dimusnahkan nanti akhirnya.


 

Ayat 21: Ayat 21 – 26 adalah Perenggan Makro Kelima. Allah memberitahu yang jiwa yang sakit akan menyesal dan akan diazab pada Hari Pembalasan.

Maka sekarang baru nak masuk kepada kisah kiamat. Kalau surah-surah sebelum ini dalam Juz Amma, disebut tentang neraka dahulu, tapi terbalik di dalam surah ini.

كَلّا إِذا دُكَّتِ الأَرضُ دَكًّا دَكًّا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

No! When the earth has been leveled – pounded and crushed –

(MALAY)

Jangan (berbuat demikian). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut,

 

Kalimah كَلّا bermaksud: Janganlah kamu berbuat seperti sifat-sifat yang disebut sebelum ini.

Cuba bayangkan keadaannya apabila bumi dipukul dengan kuat sehingga jadi rata serata ratanya atau jadi habuk kerana hancur segalanya. Apa saja yang ada di dunia akan hancur belaka sehingga tidak tinggal apa-apa pun. Termasuklah harta yang kamu sayang sangat tadi. Kamu sibuk simpan dan kumpul, tapi segala itu akan hancur sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Oktober 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah al-Fajr Ayat 15 – 21 (Jiwa yang tenang)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s