Tafsir Surah Hud Ayat 86 – 88 (Jujur dalam perniagaan)

Ayat 86:

بَقِيَّتُ اللَّهِ خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم مُؤمِنينَ ۚ وَما أَنا عَلَيكُم بِحَفيظٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

What remains [lawful] from Allāh is best for you, if you would be believers. But I am not a guardian over you.”

(MALAY)

Sisa (keuntungan) dari Allah adalah lebih baik bagimu jika kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu”

 

بَقِيَّتُ اللَّهِ خَيرٌ لَكُم إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

Sisa (keuntungan) dari Allah adalah lebih baik bagimu jika kamu orang-orang yang beriman. 

Maksudnya, pahala-pahala yang dijanjikan oleh Allah lebih baik untuk mereka. Atau, rezeki yang baik itu lebih baik dari rezeki yang haram. Memang kalau jujur dalam perniagaan, ada benda yang kita tidak dapat, tidak dapat untung lebih.

Memang akan ada orang yang rasa, rugilah kalau tidak ambil kesempatan itu. Tapi Allah nak beritahu, itulah yang terbaik untuk kita. Ambil mana yang boleh ambil dengan cara jujur sahaja. Jangan ambil lebih dari yang sepatutnya kerana itu amatlah bahaya. Kalau sedikit pun keuntungan, tapi keuntungan yang sedikit dan ada berkat lebih baik dari keuntungan banyak yang tanpa berkat.

 

وَما أَنا عَلَيكُم بِحَفيظٍ

Dan aku bukanlah seorang penjaga atas dirimu”

Tapi baginda ingatkan mereka yang baginda tidak jaga amalan mereka. Maksudnya, baginda tidak boleh paksa mereka, baginda cuma boleh nasihat sahaja.

Ini adalah kerana tugas baginda adalah menyampaikan, dan baginda tidak mampu untuk periksa sama ada mereka benar atau tidak dalam perniagaan mereka – mereka kena periksa sendiri, kena nilai sendiri. Baginda bukannya polis nak periksa satu persatu apa yang mereka lakukan.


 

Ayat 87:

قالوا يا شُعَيبُ أَصَلاتُكَ تَأمُرُكَ أَن نَترُكَ ما يَعبُدُ آباؤُنا أَو أَن نَفعَلَ في أَموالِنا ما نَشاءُ ۖ إِنَّكَ لَأَنتَ الحَليمُ الرَّشيدُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Shu‘ayb, does your prayer [i.e., religion] command you that we should leave what our fathers worship or not do with our wealth what we please? Indeed, you are the forbearing, the discerning!”¹

  • This is a sarcastic description implying the opposite.

(MALAY)

Mereka berkata: “Hai Syu’aib, apakah sembahyangmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki dengan harta kami? Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal”.

 

قالوا يا شُعَيبُ

Mereka berkata: “Hai Syu’aib,

Ini adalah balasan dari kaum Nabi Syuaib kepada baginda. Mereka kata dengan nada memperolok-olok apa yang baginda nasihat mereka.

 

أَصَلاتُكَ تَأمُرُكَ أَن نَترُكَ ما يَعبُدُ آباؤُنا

apakah sembahyangmu menyuruh kamu agar kami meninggalkan apa yang disembah oleh bapa-bapa kami?

Mereka ejek: “adakah ibadat yang kamu lakukan itu yang suruh kamu supaya suruh kami tinggalkan apa yang kami pernah buat selama ini?” Mereka nak kata: “Adakah kamu nak tukar apa sembahan yang selama ni kami buat? Kamu nak kata selama ini, apa yang kami sembah ini salah?” Iaitu berhala-berhala dan apa-apa sahaja selain Allah.

Persoalan mereka ini adalah satu ejekan. Mereka nak kata, kalau nak solat tu solatlah, tapi jangan campur urusan mereka, dan apa yang mereka nak buat dengan kehendak mereka. Jangan kacau amalan-amalan yang telah lama diamalkan oleh mereka, oleh tok nenek mereka. Benda sudah lama dilakukan, tiba-tiba datang, nak kata salah pula…

Begitulah juga yang dikatakan oleh ahli-ahli bidaah di negara kita, bukan? Marah betul mereka apabila dikatakan amalan yang telah lama dilakukan selama hari ini salah; seperti Solat Hajat, Majlis Tahlil, Jaga Kubur selepas kematian, doa selamat dan macam-macam lagi. Mereka marah kerana amalan itu sudah lama diamalkan di negara ini, jadi mereka sangka takkan salah?

Ada yang kononnya boleh terima perbezaan pendapat antara golongan sunnah dan mereka, tapi mereka kata janganlah kata perbuatan mereka itu salah. Kerana pada mereka, ada pendapat yang mengatakan amalan mereka itu adalah benar.

Mereka tidak perasan yang komen mereka itu sama sahaja dengan komen-komen yang dikeluarkan oleh umat-umat Rasul dahulu. Mereka tidak perasan kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an. Mereka hanya rajin baca Qur’an sahaja, tapi tidak faham apa yang mereka bacakan.

Kita hanya menegur sahaja dengan ilmu yang ada pada kita. Kalau mereka rasa amalan mereka benar, silalah terus lakukan. Tapi janganlah halang kalau kita beri pendapat kita yang mengatakan amalan itu salah. Kerana yang salah tetap salah.

 

أَو أَن نَفعَلَ في أَموالِنا ما نَشاءُ

atau melarang kami memperbuat apa yang kami kehendaki dengan harta kami?

Mereka marah apabila nampak macam mereka tak bebas buat apa sahaja terhadap harta benda mereka. Mereka nak kata, jangan babitkan urusan agama dengan urusan perniagaan.

Inilah fahaman sekularisme – dari dulu lagi sudah ada. Urusan agama diasingkan dari urusan keduniaan. Begitulah manusia, mereka kadang tidak kisah dengan ibadat, tapi mereka bezakan antara ibadat dengan kehidupan. Mereka tidak suka kalau agama dimasukkan dalam kehidupan. Mereka rasa, itu adalah wang mereka, harta mereka, jadi mereka bolehlah nak buat apa sahaja dengan harta mereka.

Begitulah yang terjadi kalau manusia tidak rasa yang segala apa yang mereka ada adalah haq Allah sebenarnya. Mereka lupa yang segala harta yang mereka ada itu adalah pemberian dari Allah dan mestilah digunakan dengan cara yang Allah kehendaki. Tidak boleh buat sewenang-wenangnya.

 

إِنَّكَ لَأَنتَ الحَليمُ الرَّشيدُ

Sesungguhnya kamu adalah orang yang sangat penyantun lagi berakal”.

Ini bukanlah mereka puji Syuaib tapi sebenarnya mereka ejek lagi: “kamu sangat lembut lagi sangat jujur”. Ini bukanlah pujian, tapi ejekan dan kutukan. Mereka nak kata: “jadi kamu rasa kamu lagi bagus dari kami lah? Kamu rasa kamu santun, lagi baik, lagi berakal dari kamilah?”.

Ini macam orang kita yang ejek orang yang belajar agama: “owh, baru setahun dua belajar agama sudah jadi ustaz… sudah boleh tegur kami yer…?” Ini adalah kerana manusia memang susah untuk terima teguran. Kalau boleh, mereka nak buat apa sahaja tanpa teguran dari orang lain.


 

Ayat 88:

قالَ يا قَومِ أَرَأَيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبّي وَرَزَقَني مِنهُ رِزقًا حَسَنًا ۚ وَما أُريدُ أَن أُخالِفَكُم إِلىٰ ما أَنهاكُم عَنهُ ۚ إِن أُريدُ إِلَّا الإِصلاحَ مَا استَطَعتُ ۚ وَما تَوفيقي إِلّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ أُنيبُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my people, have you considered: if I am upon clear evidence from my Lord and He has provided me with a good provision from Him…?¹ And I do not intend to differ from you in that which I have forbidden you; I only intend reform as much as I am able. And my success is not but through Allāh. Upon Him I have relied, and to Him I return.¹

  • The conclusion of the sentence is estimated as “…would it not be my duty to warn you against corruption and disobedience?”
  • i.e., I turn to Allāh frequently in supplication and repentance.

(MALAY)

Syu’aib berkata: “Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku daripada-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) kebaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.

 

قالَ يا قَومِ أَرَأَيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبّي

Syu’aib berkata: “Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku

Baginda suruh mereka berfikir, gunakan fikiran: bagaimana nanti keadaan mereka kalau apa yang baginda bawa dan ajak mereka itu adalah benar-benar dari Tuhan. Kalau ia benar dari Tuhan, tidak susahkah diri mereka kalau mereka tolak begitu sahaja?

 

وَرَزَقَني مِنهُ رِزقًا حَسَنًا

dan dianugerahi-Nya aku dari pada-Nya rezeki yang baik

Dan bagaimana pula kalau benar baginda telah diberi dengan rezeki kenabian? Itulah maksud ‘rezeki’ dalam ayat ini. Kalau baginda memang seorang Nabi dan mereka tolak, bagaimana nanti nasib mereka di akhirat kelak? Tidakkah mereka akan susah kerana telah menolak Nabi mereka sendiri?

 

وَما أُريدُ أَن أُخالِفَكُم إِلىٰ ما أَنهاكُم عَنهُ

Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu dengan apa yang aku larang. 

Baginda beritahu mereka yang tidaklah baginda ingin menentang mereka dengan memberitahu tentang larangan itu. Bukannya baginda suka-suka nak halang mereka, jadi lain dengan mereka, bezakan diri dengan mereka. Tapi baginda kena beritahu kerana semua itu adalah arahan dari Allah belaka. Dan baginda kena sampaikan kerana itu adalah tugas baginda.

Begitu juga kita yang menjalankan dakwah Sunnah sekarang. Bukannya senang kita nak lakukan, nak tegur amalan yang telah lama dilakukan oleh masyarakat. Kita pun tahu yang kita akan kena pandang serong, kita kena tegur, kita kena pulau, kena tuduh ‘wahabi’ dan macam-macam lagi. Kita pun dengan kawan boleh bermasam muka, dengan ahli keluarga pun boleh jadi renggang.

Kita tahu itu semua tapi kita tetap tegur amalan salah kerana itu adalah kewajipan kita. Kerana kita sudah tahu kebenaran dan kalau kita tidak beritahu, kita sendiri yang akan susah di hadapan Allah taala nanti.

 

إِن أُريدُ إِلَّا الإِصلاحَ مَا استَطَعتُ

Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan.

Baginda memberitahu yang baginda hanya ingin melakukan ‘islah’. ‘Islah’ maksudnya melakukan pembaikan, baiki sebaik mungkin. Baginda cuba untuk memperbaiki semampu yang baginda boleh lakukan. Baginda ingin menebarkan kebaikan setakat yang boleh. Kita yang menegur amalan salah masyarakat pun adalah kerana hendakkan kebaikan untuk mereka.

 

وَما تَوفيقي إِلّا بِاللَّهِ

Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah.

Baginda hanya boleh berusaha sahaja, tapi kejayaan tidak pasti lagi kerana tidak ada yang boleh buka hati melainkan Allah. Baginda hanya boleh sampaikan sahaja.

Inilah konsep dakwah yang kita kena faham. Kita hanya boleh sampaikan sahaja kepada orang lain. Sama ada mereka terima atau tidak, berubah atau tidak, itu terpulang kepada Allah. Hanya Allah sahaja yang boleh menggerakkan hati (beri taufik) manusia untuk berubah.

 

عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ أُنيبُ

Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.

Kita kena berharap kepada Allah sahaja; letakkan segala pengharapan kita kepada Allah. Kerana Allah sahaja tempat berharap.

Dalam setiap hal, kita kena rujuk kembali kepada Allah. Letakkan hati kita kepada Allah. Maka selesai kita dakwah dan tegur amalan salah masyarakat, kita terus berdoa kepada Allah semoga beri hidayah kepada mereka, buka hati mereka dan beri taufik kepada mereka untuk ikut kebenaran.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s