Tafsir Surah Tawbah Ayat 21 – 24 (Keluarga bukan penghalang jihad)

Tawbah Ayat 21: Ayat tabshir (berita gembira). Inilah huraian bagi maksud ‘kejayaan’ yang disebut dalam ayat sebelum ini. Mereka yang berhijrah, berjihad di jalan Allah ﷻ dengan harta dan nyawa mereka akan mendapat rahmat khas daripada Allah ﷻ.

يُبَشِّرُهُم رَبُّهُم بِرَحمَةٍ مِّنهُ وَرِضوٰنٍ وَجَنّٰتٍ لَّهُم فيها نَعيمٌ مُّقيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Their Lord gives them good tidings of mercy from Him and approval and of gardens for them wherein is enduring pleasure.

(MALAY)

Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat dari pada-Nya, keredhaan dan syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal,

 

يُبَشِّرُهُم رَبُّهُم بِرَحمَةٍ مِّنهُ

Tuhan mereka menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat daripada-Nya, 

Allah ﷻ menjanjikan ‘rahmat khas’ daripada-Nya, kepada mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah ﷻ. Lihatlah Allah ﷻ sendiri yang menjanjikan pemberian rahmat itu. Kalau hadiah daripada boss kita pun kita sudah suka, apatah lagi daripada Allah ﷻ sendiri. Kita sebagai hamba Allah ﷻ, tentulah berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Kerana kalau tanpa rahmat-Nya, apalah kita?

 

وَرِضوٰنٍ

dan keredhaan

Selain daripada rahmat khas, mereka juga akan mendapat keredhaan Allah ﷻ. Ini adalah nikmat yang amat besar, di mana Allah ﷻ sendiri redha kita menjadi hamba-Nya. Kalau emak dan ayah kita redha dengan kita pun kita sudah gembira kerana daripada mereka berdualah kita dijadikan. Akan tetapi sekiranya Allah ﷻ yang sebenar-benarnya pencipta yang menjadikan kita, tentulah kita lebih gembira lagi. Iaitu kita masuk ke dalam syurga dan Allah ﷻ kata Dia redha dengan kita. Wah, alangkah gembiranya hati kita waktu itu. Ini adalah nikmat yang lebih tinggi daripada nikmat-nikmat lain.

Namun begitu bagaimanakah caranya untuk mendapatkan redha Allah ﷻ? Ini adalah jawapan daripada Imam Syafi’iy رحمه الله.

Diceritakan suatu hari seorang lelaki tawaf mengelilingi Kaabah sambil berkata, “Wahai Tuhanku adakah Engkau redha kepadaku?” Kebetulannya di belakangnya, Imam Syafi’iy رحمه الله yang bertanya semula kepada lelaki itu, “Adakah kamu redha dengan segala diberikan Allah ﷻ sehingga Allah ﷻ juga boleh redha kepada engkau?” Lelaki itu menjawab, “Subhanallah, aku redha apa yang datang daripada-Nya dan aku mengharapkan redha-Nya. Apa maksud kamu sebenarnya?” tanya lelaki itu kepada Imam Syafi’iy رحمه الله. Imam Syafi’iy رحمه الله menjawab, “Jika kamu bergembira mendapat ujian sama seperti kamu gembira mendapat nikmat itulah maksud kamu redha sesuatu yang didatangkan oleh Allah ﷻ kepada kamu.”

Oleh itu, telah disebut dua nikmat rohani (rahmat dan redha Allah ﷻ). Selepas ini akan disebut nikmat jasmani pula.

 

وَجَنّٰتٍ لَّهُم فيها نَعيمٌ مُّقيمٌ

dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang kekal,

Ini adalah nikmat jasmani pula, di mana mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan di sana mereka akan mendapat nikmat berkekalan. Mereka tidak perlu risau apabila mereka dimasukkan ke dalam syurga nanti kerana tidak ada kematian lagi selepas itu. Kerja tidak perlu buat, malah ibadah pun sudah tidak ada lagi. Yang mereka kena buat hanyalah menikmati segala nikmat dan nikmat itu akan kekal selama-lamanya.

Ini kerana disebut di sini yang di dalam syurga-syurga itu ada نَعيمٌ مُّقيمٌ iaitu nikmat-nikmat yang berkekalan. Di dunia ini juga kita sudah dapat nikmat, tetapi tentulah tidak berkekalan. Kalau sihat pun, tentu sekali sekala datang sakit; kalau kaya, tidaklah pasti selama-lamanya; kalau sekarang gembira, nanti akan datang masa untuk sedih pula. Akan tetapi di syurga nanti adalah نَعيمٌ مُّقيمٌ di mana segala nikmat itu berkekalan dan tidak akan diselangi dengan kesedihan malah sedikit pun.

Malah setiap ahli syurga bukan dapat satu syurga sahaja, tetapi banyak. Kerana kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah جَنّٰتٍ yang bermaksud ‘kebun-kebun’. Allah ﷻ boleh sahaja beri entah berapa banyak syurga kepada hamba-Nya yang disayangi itu.

Ini adalah berita gembira bagi para sahabat yang sedang memperjuangkan Islam kerana sewaktu mereka berjuang itu, mereka tidak tahu sama ada mereka akan menang atau kalah, hidup atau mati. Namun di sini Allah ﷻ beritahu mereka, mereka akan tetap mendapat kebaikan kalau mereka kalah dan mati pun kerana mereka telah berjuang di jalan Allah ﷻ.


 

Tawbah Ayat 22:

‎خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They will be] abiding therein forever. Indeed, Allāh has with Him a great reward.

(MALAY)

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

 

خٰلِدينَ فيها أَبَدًا

mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

Kalau dapat masuk syurga tetapi ada kemungkinan kena keluar, itu pun tidak seronok. Sebagaimana kita menginap di hotel paling mahal dan selesa di dunia sekalipun, tetapi kita tahu yang kita akan keluar juga akhirnya dari hotel itu, maka ada kekurangan dari segi nikmat yang sedang kita dapat padawaktu itu.

Maka Allah ﷻ beritahu awal-awal yang kalau mereka masuk ke dalam syurga, mereka tidak akan keluar-keluar sampai bila-bila. Ini akan memberi ketenangan kepada penghuni syurga dan mereka boleh menikmati nikmat syurga itu tanpa ada rasa risau langsung. Ini kerana Allah ﷻ tahu manusia suka tempat tinggal yang tetap. Sebab itulah seseorang yang menyewa rumah mengimpikan suatu hari di mana dia dapat memiliki rumah sendiri. Sekiranya dia menyewa rumah sahaja, kebiasaannya hanya untuk tempoh masa tertentu. Lambat laun dia kena keluar juga dari rumah sewa itu dan terpaksa berpindah ke rumah lain pula.

 

 

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ

Sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.

Allah ﷻ mempunyai terlalu banyak pahala dan nikmat yang besar-besar untuk diberikan kepada manusia. Tiada penghujungnya, tinggal tunggu kita untuk berbuat amal kebaikan sahaja. Maka jangan lepaskan peluang ini.


 

Tawbah Ayat 23: Ini adalah hujah penghalang ketiga yang digunakan oleh mereka yang mempersoalkan peperangan dengan Quraish Mekah itu. Ia nampak seolah-olah seperti penghalang, namun tidak menjadi penghalang sebenarnya.

Ada yang berhujah, perang itu nanti akan memutuskan pertalian kaum kerabat dan sememangnya memutuskan hubungan kaum kerabat itu zalim dalam Islam pun. Memang baik jika menjaga hubungan silaturahim dan tidak memutuskannya, tetapi ia adalah untuk sesama Islam sahaja. Perhubungan baik itu ada had. Kalau mereka itu menentang Islam, maka sudah tidak ada lagi perhubungan baik dengan mereka. Tidak ada hubungan yang lebih hebat daripada hubungan dengan Allah ﷻ dan Rasul-Nya.

Oleh itu, jangan jadikan alasan musuh itu kaum kerabat untuk tidak berperang. Kita belajar daripada sirah bagaimana para sahabat itu berperang dengan adik beradik, anak beranak dan sepupu sepapat pun. Allah ﷻ mengingatkan mereka yang itu adalah keluarga di dunia sahaja dan Allah ﷻ mengingatkan kita yang kita memerangi mereka bukan kerana dunia, tetapi kerana akhirat.

‎يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَّخِذوا ءآباءَكُم وَإِخوٰنَكُم أَولِياءَ إِنِ استَحَبُّوا الكُفرَ عَلَى الإيمٰنِ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not take your fathers or your brothers as allies if they have preferred disbelief over belief. And whoever does so among you – then it is those who are the wrongdoers.

(MALAY)

Hai orang-orang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

 

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang beriman,

Wahai orang-orang yang telah beriman, dengar baik-baik arahan ini kerana ini adalah arahan dari Allah ﷻ kepada anda. Itu pun kalau anda mengaku orang beriman. Memang semua ayat Al-Qur’an adalah untuk kita ikuti. Namun apabila ada panggilan awal sebegini, maka ada penekanan di dalamnya maka perhatian yang lebih diperlukan di sini.

Oleh itu kenalah faham apa yang disampaikan, bukan? Kalau arahan sebegini dibaca sahaja, tetapi kemudian tidak faham, apakah gunanya? Berapa ramai yang selalu baca arahan daripada Allah ﷻ namun malangnya satu habuk pun dia tidak faham? Alangkah ruginya hidup sebagai seorang Muslim!

 

 

لا تَتَّخِذوا ءآباءَكُم وَإِخوٰنَكُم أَولِياءَ إِنِ استَحَبُّوا الكُفرَ عَلَى الإيمٰنِ

janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu menjadi wali(mu), jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan

Apabila kamu sudah beriman, jangan kamu lagi mengambil ayah, adik beradik, atau mana-mana saudara mara kamu sebagai teman rapat taat setia untuk dilindungi dan tidak diperangi sekiranya mereka memilih jalan kafir.

Mereka itu bukan lagi teman rapat kamu, bukan lagi wali yang perlu dilindungi dan tempat untuk berlindung lagi, sekiranya mereka itu lebih minat kepada kufur syirik daripada iman. Jika mereka menentang Islam, maka kita mesti perangi mereka. Mereka itu bukannya tidak sampai dakwah kepada mereka, tetapi mereka sendiri yang telah membuat pilihan mereka – mereka telah memilih kufur dan syirik.

 

 

وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka wali, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Allah ﷻ mengingatkan dengan keras, sekiranya berbaik lagi dengan mereka, masih lagi menjadikan mereka sebagai wali, sebagai teman rapat, maka kamu adalah golongan yang zalim.

Ayat ini kenalah dibaca dalam konteks penurunan ayat ini. Islam tidak suruh kita meninggalkan ahli keluarga kita, atau terus membunuh mereka kalau mereka tidak mahu beriman masuk Islam. Ayat ini adalah khitab kepada para sahabat. Mereka itu berlawan dengan saudara mereka yang memang menentang Islam. Kita kena lihat juga ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an.

Lihatlah juga bagaimana Nabi Nuh عليه السلام itu Allah ﷻ memerintahkan untuk meninggalkan anaknya yang kufur hanya apabila azab banjir telah diturunkan. Sepanjang masa itu, Nabi Nuh عليه السلام tidak pun disuruh meninggalkan anaknya walaupun Allah ﷻ tahu yang dia tidak beriman dan tidak akan beriman. Hanya apabila Allah ﷻ suruh baginda tinggalkan anaknya, barulah baginda tinggalkan.

Begitu juga dengan para sahabat, hanya apabila Allah ﷻ memerintahkan untuk memutuskan hubungan, barulah hubungan kekeluargaan diputuskan. Ini adalah apabila mereka terus menentang Islam. Selain daripada itu, hendaklah kita mengekalkan perhubungan kekeluargaan dengan mereka.


 

Tawbah Ayat 24: Ayat takhwif dunia (penakutan tentang azab di dunia). Allah ﷻ memerintahkan kepada Rasul-Nya untuk mengancam orang yang lebih mementingkan keluarga, kerabat, dan sanak saudaranya daripada Allah ﷻ dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya. Ada pendapat yang mengatakan teguran ini diberikan kepada mereka yang telah beriman di Mekah tetapi tidak sanggup berhijrah kerana sayangkan keluarga dan harta.

Akan tetapi ayat ini menyebut tentang ‘jihad’ dan bukannya hijrah. Ini kerana hijrah itu adalah permulaan kepada jihad. Seandainya hijrah pun tidak sanggup, tentulah jihad pun mereka tidak sanggup kerana jihad itu lebih berat lagi kerana bukan sahaja kena sanggup tinggalkan kesenangan dan keluarga, malah nyawa pun boleh melayang.

Kenapa hijrah itu penting? Kerana ia adalah tanda seseorang itu adalah seorang Muslim sejati. Untuk zaman Nabi itu, ia adalah satu kewajipan tetapi untuk di zaman kita ini pun tetap ada hijrah yang wajib jikalau tempat tinggal kita sekarang menghalang kita daripada mengamalkan agama dengan sempurna. Contohnya kalau tempat tinggal kita ini ada undang-undang menghalang kita untuk salat dan berpuasa. Maka dalam kes ini hendaklah berpindah ke tempat lain yang lebih baik.

Ada juga ketikanya ia tidaklah wajib tetapi ia adalah sesuatu yang sebaiknya dilakukan. Iaitu jikalau tempat tinggal kita itu tempat yang teruk di mana maksiat berleluasa dan dosa diamalkan secara terang-terangan. Ini kerana cara hidup begini boleh mempengaruhi kita dan keluarga kita. Sebaiknya kita tinggalkan tempat itu untuk menjaga agama kita walaupun kita mungkin masih boleh lagi menjaga iman kita walaupun duduk di situ lagi.

‎قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ وَجِهادٍ في سَبيلِهِ فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “If your fathers, your sons, your brothers, your wives, your relatives, wealth which you have obtained, commerce wherein you fear decline, and dwellings with which you are pleased are more beloved to you than Allāh and His Messenger and jihād [i.e., striving] in His cause, then wait until Allāh executes His command. And Allāh does not guide the defiantly disobedient people.”

(MALAY)

Katakanlah: “jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu dapati, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

 

 

قُل إِن كانَ ءآباؤُكُم وَأَبناؤُكُم

Katakanlah: “jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu,

Nabi Muhammad ﷺ diperintahkan untuk menyampaikan kepada umat baginda tentang perkara ini. Ini menunjukkan bahawa ini adalah perkara penting. Ini kerana memang semua ayat dalam Al-Qur’an baginda kena sampaikan, bukan? Namun sekiranya Allah ‎ﷻ ada titah khas untuk baginda sampaikan, itu maknanya ia amat penting sekali.

Tentulah kita amat sayangkan bapa kita dan anak-anak kita. Merekalah yang kita kena jaga dan eratkan silaturahim. Dalam keadaan normal, kita tidak berperang dengan mereka ini. Namun begitu, dalam menegakkan agama Allah ﷻ, mereka ini tidak boleh dijadikan sebagai penghalang dalam jihad. Jihad tetap dijalankan.

Malah, sekiranya mereka yang menentang Islam, maka mereka itu yang mesti diperangi. Kita teringat tentang kisah Saidina Abu Bakr رضي الله عنه dengan putera sulungnya bernama Abdurrahman. Ketika masih bukan Islam, Abdurrahman رضي الله عنه berperang bersama sebelah pihak Quraisy dalam peperangan Badar dan Uhud. Dalam Perang Badar, beliau mempunyai peluang untuk membunuh bapanya, Abu Bakar رضي الله عنه, tetapi beliau sering mengelak. Beberapa tahun kemudian, selepas menjadi Muslim, beliau memberitahu bapanya mengenai hal ini. Abu Bakar رضي الله عنه menjawab: “Seandainya aku mempunyai peluang itu, aku tidak akan melepaskan kamu.” Begitulah hebatnya seorang manusia yang bernama Saidina Abu Bakr رضي الله عنه yang lebih cintakan agamanya daripada anaknya sendiri!

 

 

وَإِخوٰنُكُم وَأَزوٰجُكُم وَعَشيرَتُكُم

dan saudara-saudara kamu, pasangan-pasangan kamu, kaum keluargamu, 

Selain daripada bapa dan anak, kaum keluarga yang dekat dengan kita adalah adik beradik kita sendiri. Kemudian kaum kerabat kita seperti pakcik makcik dan lain-lain. Kita membesar bersama dengan mereka, kita rapat dengan mereka, takkan kita hendak bunuh mereka pula, bukan? Namun begitu, mereka itu juga tidak boleh menjadi penghalang dalam menegakkan jihad. Sekiranya mereka menentang Islam, maka mereka pun mesti diperangi.

Bukan sahaja adik beradik, malah pasangan kita sekali pun. Jangan kerana takut berpisah dengan mereka, kita tidak pergi berjihad apabila ia diwajibkan kepada kita. Bukan adik beradik dan pasangan sahaja yang boleh menghalang, tetapi ahli keluarga kita yang lebih besar, segala kaum kerabat, pakcik atau sepupu dan sebagainya. Maka ini adalah sebahagian daripada keluarga kita yang selalunya kita rapat dengan mereka. Jangan kerana mereka, kita tidak menjalankan kewajipan berjihad.

 

 

وَأَموٰلٌ اقتَرَفتُموها

harta kekayaan yang kamu dapati,

Sekarang berkenaan dengan harta pula. Ada harta yang dicari atau didapati sama ada dengan hasil usaha sendiri atau orang lain. Contohnya ada harta pusaka yang kita dapat tanpa usaha pun. Akan tetapi manusia lebih sayangkan harta yang dia telah usaha sekian lama dan berpenat lelah. Itulah harta yang bertumpuk-tumpuk sama ada simpan di rumah atau dalam bank, yang selalu diperiksa buku akaun untuk dilihat berapa banyak sudah bertambah. Ramai yang akan periksa akaun banknya dari masa ke semasa.

Ada yang takut habis harta dia kalau dia pergi berperang. Dia juga sibuk memikirkan: siapalah nanti yang akan menjaga hartanya kalau dia pergi berjihad? Bagaimana dengan segala harta-harta yang dia telah lama kumpulkan itu?

Bukan sahaja harta boleh menghalang jihad, tetapi menghalang orang kaya daripada beramal dan belajar. Berapa ramai orang kaya yang disibukkan oleh hartanya yang banyak? Bila banyak harta, maka panjanglah langkahnya untuk buat berbagai-bagai aktiviti dan pergi melancong ke sana sini. Maka amal pun menjadi kurang, hendak belajar pun tidak ada masa.

Nota: potongan ayat ini adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita.

 

 

وَتِجٰرَةٌ تَخشَونَ كَسادَها

perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya,

Ada peniaga yang takut untuk meninggalkan perniagaannya. Masanya banyak dihabiskan dengan perniagaan untung ruginya. Dia selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk menaikkan keuntungan perniagaan. Sentiasa sibuk dengan uruasan perniagaan seperti membuat pengiraan inventori kedainya dan sebagainya. Yang dia paling takut adalah kalau jatuh rugi.

Kesibukan ini juga boleh menjadi penghalang kepada usaha jihad. Dia fikir, kalau dia pergi keluar berjihad, siapa yang akan meneruskan perniagaannya? Tentulah dia rugi, bukan? Seperti harta juga, perniagaan seringkali menyibukkan manusia.

 

 

وَمَسٰكِنُ تَرضَونَها

dan tempat tinggal yang kamu sukai,

Ada orang yang memiliki rumah atau tempat tinggal yang dia amat sayangi. Rumah itu susah payah dia bina hasil daripada titik peluh dia. Dia pun selalu membuat renovasi kepada rumahnya itu untuk memastikan rumahnya sentiasa cantik, sentiasa kemas serta rumput sentiasa dipotong, laman rumah dilengkapi tumbuhan pelbagai jenis. Sekali sekala dia akan pergi ke IKEA untuk melihat apakah perabot atau perhiasan yang dia boleh tambah bagi mencantikkan lagi rumahnya itu. Menyertai kelab dekorasi sana sini semata-mata menambah idea untuk menghias rumah yang sudah sedia cantik itu.

Sudah banyak modal dia telah keluarkan untuk rumah itu dan dia amat selesa duduk di rumah itu. Maka tentu ramai yang rasa ralat untuk meninggalkan keselesaan rumahnya untuk berjihad di medan dakwah. Malah ramai disibukkan dengan hal rumah sampaikan tidak beramal dan tidak belajar agama.

Lihatlah bagaimana Allah ﷻ senaraikan satu persatu perkara yang manusia cintai yang kalau tidak berjaga-jaga, akan menyebabkan jihad terabai, malah agama juga terabai.

 

أَحَبَّ إِلَيكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya

Telah disebut tentang ahli keluarga dan jenis keduniaan yang berbagai-bagai. Tentulah kita sayang semuanya itu bukan? Sememangnya tidaklah salah untuk sayang dan cintakan semua itu kerana itu adalah sifat semulajadi manusia yang Allah ﷻ telah letakkan di dalam hati kita dan tidak boleh dihapuskan.

Akan tetapi apa akan berlaku jika kita sayangkan semua itu lebih daripada Allah ﷻ dan Rasul-Nya? Bagaimana kalau semua itu menghalang kita sampai tidak berjihad untuk memperkenalkan Allah ﷻ, mempertahankan nama Rasul-Nya? Maka masalahnya timbul hanya apabila ada pertembungan antara semua cinta itu dengan cinta kepada Allah ﷻ dan Rasul. Bila bertembung, cinta mana satukah yang akan lebih kuat dan menang?

Oleh itu, kena ada tingkatan yang perlu kita perhatikan seperti yang disebut di dalam hadith ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعَةَ، عَنْ زُهْرَةَ بْنِ مَعْبَدٍ، عَنْ جَدِّهِ قَالَ: كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ: وَاللَّهِ لَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ”. فَقَالَ عُمَرُ: فَأَنْتَ الْآنَ وَاللَّهِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ: “الْآنَ يَا عُمَرُ”

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Ibnu Luhai’ah, dari Zahrah ibnu Ma bad, daripada datuknya yang mengatakan bahawa kami bersama Rasulullah ﷺ, pada saat itu baginda ﷺ sedang memegang tangan Umar ibnul Khattab رضي الله عنه. Umar ibnul Khattab رضي الله عنه berkata, “Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku sukai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Tidaklah beriman (dengan iman yang sempurna) seseorang di antara kalian sebelum aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri. Lalu Umar ibnul Khattab berkata, “Sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Dan Rasulullah ﷺ bersabda, “Memang begitulah seharusnya, hai Umar.”

(Riwayat Ahmad (18193))
Sahih menurut Syu’aib al-Arnauth

Manakala di dalam hadith yang lain Rasulullah ﷺ telah bersabda:

“وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ”
Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, tidaklah beriman seseorang di antara kalian sebelum diriku ini lebih dicintai olehnya daripada orang tuanya, anak-anaknya, dan semua orang.

(Sahih Bukhari (14))

Akan tetapi malangnya ada yang kalah dengan keluarga. Ada yang ikut pandangan bapanya dalam hal agama walaupun ia salah. Ada yang hendak solat berjemaah tetapi anak ajak main bola dan dia layan anaknya itu. Ada yang tidak berani tegur kesalahan adik beradik dan kerabat yang lain kerana takut mereka tidak cinta lagi kepada kita. Ada yang melayan isteri sampai terabai agamanya, tidak sempat untuk menghadiri kelas agama kerana sibuk melayan kehendak isteri pergi shopping.

Ada yang sibuk dengan perniagaan yang semakin maju dan maju dan tidak sanggup ditinggalkan untuk beramal dan belajar agama. Ada yang sibuk mengemas rumah di luar dan di dalam, renovate sana dan sini, tetapi bab ilmu agama tidak dikemaskan sedikit pun. Semua ini adalah contoh manusia yang kalah dengan perkara keduniaan yang lebih mereka cintai daripada Allah ﷻ dan Rasul.

Sedangkan kalau mereka mereka dapat memupuk cinta kepada Allah ﷻ dan Rasul, mereka akan mendapat halawatul iman (kemanisan iman). Kerana iman itu ada manisnya, ada lazatnya. Yang mempunyainya sahaja yang dapat merasakannya. Cara untuk mendapatnya adalah dengan mencintai Allah ﷻ dan Rasul seperti disebut di dalam sebuah hadith:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, dia akan mendapat manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain keduanya. Jika dia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci dilempar ke dalam neraka”
(Sahih Bukhari No. 15)

 

وَجِهادٍ في سَبيلِهِ

dan dari berjihad di jalan-Nya,

Apakah yang akan berlaku sekiranya ahli keluarga dan harta kekayaan dan kesenangan itu lebih kita sayang daripada melakukan jihad di jalan-Nya? Kita mungkin boleh kata yang kita sayang Allah ﷻ dan Rasul-Nya, tetapi bagaimana pula kalau jihad diwajibkan ke atas kita?

Bagaimana keadaan agaknya kalau khalifah sudah kata yang kita wajib untuk keluar berjihad memerangi kuffar? Cakap sayang Allah ﷻ dan Rasul memang senang, tetapi apabila diberikan dengan perintah berjihad, baru tahu siapa yang benar-benar beriman atau tidak.

 

فَتَرَبَّصوا حَتّىٰ يَأتِيَ اللَّهُ بِأَمرِهِ

maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya

Sekiranya kita tidak keluar berjihad setelah diwajibkan ke atas kita, maka tunggulah, sehingga Allah ﷻ datang dengan keputusan-Nya. Hasan al-Basri رحمه الله mengatakan yang dimaksudkan adalah tunggulah Allah ﷻ hukum kamu. Sama ada hukuman itu di dunia ini lagi atau di akhirat yang pasti akan datang.

Mujahid رحمه الله pula mengatakan yang dimaksudkan yang ditunggu itu adalah ketetapan jihad daripada Allah ﷻ untuk menyerang dan menakluk Mekah. Pada waktu itu mereka akan dihinakan dan segala perkara yang mereka sayang seperti keluarga dan harta. Kesemua itu tidak berguna pun kepada mereka.

Lafaz yang digunakan dalam ayat ini adalah تَرَبَّص – lain dengan lafaz انتظر yang juga bermaksud ‘tunggu’. Lafaz تَرَبَّص bermaksud menunggu-nunggu sambil menunda-nunda: contohnya tunggu selesai kerja dulu, selepas kahwin, selepas dapat anak, setelah anak besar sedikit baru hendak beramal dan belajar agama. Ketahuilah yang segala perkara itu tidak akan pernah selesai.

Ini kerana akan ada sahaja perkara yang akan menyebabkan kita sibuk. Begitu jugalah dengan orang yang tidak datang belajar agama – ada sahaja perkara yang menyebabkan mereka tidak dapat datang kelas – anak ada kelas tambahan yang kena dihantar dan diambil, kerja tidak habis, kerja siang, kerja malam – macam-macam. Akhirnya tidak belajar dan terus menjadi jahil dalam agama.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ cuma kata “kau tunggulah…” tanpa disebut tunggu apa. Ini sebagaimana kita berbuat salah di rumah, dan emak kita kata: “kau tunggulah ayah kau balik nanti..” Bukankah itu menakutkan sekali? Sepanjang masa kita tunggu ayah balik itu, dalam fikiran kita bermacam-macam perkara timbul. Kita memikirkan apakah hukuman yang ayah kita akan kenakan kepada kita bukan? Tetapi tentunya ia adalah berat, cuma kita tidak tahu sahaja.

Begitu jugalah ancaman Allah ﷻ ini – Allah ﷻ tidak beritahu tetapi kalau tidak diberitahu itu, kita sudah tentu tahu yang ia pasti berat. Kita lebih takut sambil tertanya-tanya apalah yang akan dikenakan kepada kita?

Ramai daripada kita tidak terasa pun balasan daripada Allah ﷻ ini semasa di dunia. Kita rasa biasa sahaja, tidak ada apa-apa kesan pun. Maka kita rasa Allah ﷻ tidak marah dengan kita, tidak menghukum kita. Padahal kesan-kesan daripada dosa kita itu sebenarnya telah ada pun.

Ibn Qayyim رحمه الله ada menjelaskan antara kesan dosa dan maksiat di dalam kitabnya Ad-Daa’ wa Dawaa’:

1. Ilmu susah untuk masuk ke dalam benak kita
2. Rezeki terhalang
3. Susah untuk ingat Allah ﷻ
4. Rasa asing untuk duduk dengan orang baik-baik. Akhirnya duduk dengan kutu berahak sahaja
5. Urusan kehidupan menjadi sulit
6. Hati menjadi gelap
7. Lemah hati dan badan
8. Menghalang ketaatan kepada Allah ﷻ
9. Umur pendek dan tiada berkat dalam umur yang pendek itu
10. Dosa menyebabkan dosa lain. Bertambah-tambah dosa yang dia akan buat.
11. Jiwa menjadi lemah
12. Hati tidak memandang dosa itu berat, menjadi biasa sahaja dengan dosa
13. Orang itu menjadi hina
14. Dosa menyebabkan kesialan
15. Kehinaan diwariskan kepada keturunan
16. Akal menjadi lemah
17. Hati terkunci mati
18. Mendapat laknat daripada Allah ﷻ
19. Tidak mendapat doa Nabi dan para malaikat
20. Mendapat hukuman
21. Dosa menyebabkan kerosakan
22. Mematikan kecemburuan hati
23. Menghilangkan rasa malu
24. Tidak berasa agung terhadap Allah ﷻ
25. Allah ﷻ akan abaikan
26. Terkeluar daripada wilayah ihsan
27. Menghilangkan kebaikan
28. Menghalang perjalanan hati menuju kepada Allah ﷻ
29. Menghilangkan nikmat dan mendatang azab
30. Rasa khuatir dan hati menjadi takut sentiasa
31. Memalingkan hati daripada istiqamah
32. Membutakan pandangan hati
33. Mengecilkan dan menghinakan jiwa
34. Menjadi tawanan syaitan dan penjara syahwat
35. Menjatuhkan darjat dan kedudukan di sisi Allah ﷻ dan juga makhluk
36. Hilang gelaran terpuji dan sebaliknya mendapat gelaran kehinaan pula
37. Melemahkan fungsi akal
38. Terputus hubungan dengan Allah ﷻ
39. Hilang keberkahan dalam kehidupan
40. Mendapat kerendahan, kehinaan dan kekurangan
41. Makhluk yang lain senang mengganggu dirinya
42. Dikhianati
43. Hati menjadi buta dan akal jadi lemah
44. Musuh akan dikuatkan terhadapnya
45. Telinga tidak terjaga daripada perkara haram
46. Lidah tidak terjaga daripada perkara haram
47. Lupa diri
48. Menghilangkan nikmat
49. Jauh daripada para malaikat
50. Kebinasaan di dunia dan akhirat
51. Boleh dikenakan hukum syarak

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ

Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Orang yang fasik dalam konteks ayat ini adalah mereka yang berhenti jihad untuk menyebarkan agama. Orang yang fasik adalah orang yang berdosa dan dosa mereka adalah melebihkan perkara lain daripada Allah ﷻ dan Rasul sampai mengabaikan jihad. Mereka yang tidak kisah pun sama ada agama Islam ini tersebar atau tidak. Mereka selesa sahaja melihat ramai orang yang kufur, ramai orang yang tidak tahu tentang agama.

Kepada mereka yang sebegini, Allah ﷻ tidak memberikan petunjuk kepada mereka. Kalau mereka tidak mendapat petunjuk, tentu mereka akan membuat kesalahan dalam agama, dan kerana kesalahan mereka itu, mereka akan terpesong daripada kebenaran dan akhirnya mereka akan dihukum.

Oleh itu, ingatlah, kita mesti meluangkan masa untuk menyebarkan agama dengan menjalankan dakwah. Memang sekarang bukanlah masa untuk berperang dengan orang kafir, tetapi kita kena jalankan ‘jihad lisan’ – kena sampaikan tentang tauhid kepada manusia. Supaya mereka pun kenal Allah ﷻ dan beribadat kepada Allah ﷻ dalam rangka tauhid.

Kita hidup di dunia ini sekejap sahaja, untuk membuat amal sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat. Bukannya kita hidup di dunia ini untuk buat anak ramai-ramai, buat duit banyak-banyak dan bina rumah satu persatu. Segala itu semua, yang kita sibukkan siang dan malam itu, semuanya akan hilang daripada kita. Akan tetapi amalan yang baik, akan kekal sehingga ke alam akhirat. Maka kena lebihkan perkara yang kekal abadi.

Kalau anak pun kita tidak didik dengan didikan agama, mereka pun tidak kisah untuk kita. Sepatutnya mereka itu menjadi saham untuk kita supaya dapatlah mengalir pahala daripada mereka kepada kita setelah kita tiada, namun jikalau mereka pun jahil juga, bagaimana? Maka jangan wariskan kejahilan kepada anak beranak.

Habis Ruku’ 3 dari 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Februari 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment