Tafsir Surah Naba’ Ayat 1 – 16 (Qudrat Allah)

Pengenalan:

Ada pertalian antara surah ini dengan surah sebelum an-Naba’ ini. Memang begitulah cara Al-Qur’an. Ada pertalian antara hujung surah sebelum itu dan permulaan surah yang selepasnya.

Sebelum ini adalah Surah Mursalat. Surah itu ada mengatakan tentang orang yang menipu dalam agama. Mereka bukan sahaja menipu tetapi mereka mengatakan orang yang menyebar agama itu menipu. Mereka menidakkan ajaran yang dibawa oleh orang yang menyebar agama itu. Maka dalam ayat ini dibawakan juga tentang hal mereka. Iaitu bagaimanakah cara mereka menidakkan ajaran penyebar agama itu.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia memberitahu kita yang Musyrikin Mekah berbantah-bantah kerana ragu kepada Hari Akhirat.

عَمَّ يَتَساءَلونَ

Sahih International

About what are they asking one another?

Malay

Tentang apakah mereka bertanya-tanya?

 

Salah satu yang terjadi kepada orang Mekah zaman Nabi Muhammad ﷺ, apabila mereka mendengar daripada Nabi ﷺ kisah-kisah tentang akhirat, perkara-perkara ghaib dan tentang agama secara keseluruhannya, ianya asing sekali bagi mereka kerana  baru pertama kali mereka mendengar perkara itu. Mereka telah lama tidak ada Rasul dan mereka tidak ada Kitab untuk menjadi rujukan mereka.

Oleh itu, mereka tidak ada maklumat tentang agama melainkan andaian dan rekaan mereka sahaja. Mereka itu jahil tentang agama, dan kerana itulah mereka telah melakukan banyak kesalahan dalam agama, walaupun mereka mengaku bahawa mereka itu pengikut Nabi Ibrahim عليه السلام.

Sepatutnya, jika mereka tidak pernah dengar, tidak ada maklumat, kenalah mereka dengar dulu. Tetapi tidak, mereka sebaliknya menentang terus apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Begitulah, kalau jahil tetapi sedar diri itu jahil, maka masih boleh diajar lagi; akan tetapi jika jahil dan sombong pula untuk terima nasihat dari orang lain, itu yang susah.

Begitulah sifat kebanyakan orang Mekah yang dihadapi oleh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat. Sepatutnya mereka sedarlah diri itu jahil, apabila ada yang memberitahu, maka terimalah. Malangnya, begitu jugalah dengan kebanyakan dari masyarakat Muslim negara kita – ilmu tidak ada, tetapi apabila disampaikan dengan perkara yang mereka tidak pernah dengar, lain dengan apa yang mereka biasa dengar, mereka melenting. Sepatutnya dengarlah dahulu dan lihatlah apakah hujah yang disampaikan oleh pendakwah dan guru yang mengajar.

Oleh itu, surah ini dimulai tentang apa yang kaum kafir Quraish itu bertanya-tanya sesama sendiri tentang dakwah Nabi ﷺ. Mereka itu bertanya bukan kerana hendak tahu, tetapi hendak merendahkan apa yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Mereka merendahkan dakwah Nabi  ﷺ dengan cara soalan bodoh.  Mereka mengejek-ngejek ajaran Nabi ﷺ yang pada penilaian mereka, tidak masuk akal. Walhal akal merekalah sebenarnya yang cetek. Mereka omokkan Allah ﷻ dan Al-Qur’an.

Lain caranya bertanya sekiranya benar hendak mengetahui kebenaran berbanding cara bertanya dengan cara bertujuan mengejek. Cara mereka bertanya itu contohnya adalah semacam ini: “eh, kau ada dengar tak apa yang mereka cakapkan itu? Apa maksud mereka agaknya ha? Dari mana agaknya mereka dapat? Ajaran salah manalah mereka dapat ni? Kau boleh percayakah cerita macam itu?”. Mereka berkata begitu kerana hendak mengejek apa yang dibawa oleh Nabi  ﷺ dan begitulah cara orang-orang jahil mengejek ajaran yang dibawa oleh pendakwah tauhid.

Soalan dan cemuhan itu didengar juga oleh Nabi ﷺ dan para sahabat. Tetapi lihatlah, Allah ﷻ sendiri telah menjawab kata-kata mereka itu. Allah ﷻ hendak memberitahu yang Dia ﷻ juga mendengar dan Dia tidak suka dengan kata-kata mereka itu. Antara persoalan yang mereka tanyakan sesama mereka adalah hal ‘kebangkitan semula’, iaitu tentang Kiamat. Kerana itulah dalam ayat ini akan dijelaskan kepada mereka satu persatu hujah tentang Hari Kiamat itu.

Walaupun asbabun nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah, tetapi pada zaman sekarang pun terjadi juga perkara ini setiap hari di laman web dan merata-rata tempat: kita boleh lihat persoalan tentang agama ditanya dengan cara ejekan oleh ramai orang dan kadangkala kita cuba hendak menjawab tohmahan orang kafir itu (dan orang Islam juga).

Adakalanya mungkin membuang masa untuk menjawab mereka kerana bukan sekarang sahaja mereka bertanya. Dari dahulu lagi sudah ada orang kafir yang berbuat seperti ini. Mereka sentiasa akan cuba menimbulkan isu yang hendak merendahkan ajaran Islam. Kalau kita beritahu pun, mereka bukannya hendak mendengar.

Oleh itu, kenalah kita pandai memilih manakah soalan yang hendak dilayan. Kerana kalau kita pakai layan sahaja, kita akan membuang masa kita sahaja.


 

Ayat 2: Berita apakah yang mereka tertanya-tanyakan sangat itu?

عَنِ النَّبَإِ العَظيمِ

Sahih International

About the great news –

Malay

Tentang berita yang besar, (berita kebangkitan manusia hidup semula menerima balasannya).

 

Lafaz النَّبَإِ bermaksud ‘berita yang besar’. Bukan setakat khabar biasa sahaja. Kalau khabar (berita biasa) itu, digunakan lafaz ‘khabar’ sahaja. Sebagai contoh, berita biasa (khabar) itu adalah berita pukul 8 yang kita tengok setiap hari dalam berita di TV.

Tetapi berita besar adalah berita tentang kejadian tsunami contohnya. Jadi, berita-berita besar dalam Al-Qur’an ini bukanlah untuk kita baca sahaja, sebaliknya ada tindakan yang kita kena lakukan – sama ada kita kena berhenti melakukannya kerana ianya salah, atau kita kena lakukannya kerana Allah ﷻ suruh kita buat.

Lafaz ‘Nabi’ juga diambil dari kata yang sama, kerana para Nabi itu membawa berita besar kepada umat mereka.

Kemudian Allah ﷻ tambah lafaz العَظيمِ pula untuk menambah kekuatan tentang berita itu. Lafaz النَّبَإِ itu sendiri sudah satu tanda yang ianya adalah berita besar, ditambah lagi dengan lafaz penguat, العَظيمِ. Maka ini adalah satu perkara yang amat-amat besar dan perlu diberi perhatian oleh manusia.

Ia juga memberi satu lagi kesan kepada kita, apabila kita mendengar berita jenis النَّبَإِ, ianya memerlukan kita untuk berbuat sesuatu. Bukanlah selepas mendengar itu, kita buat biasa seolah-olah tiada apa-apa yang perlu kita buat, seperti yang kita tengok dalam berita jam 8 itu.

Sebagai contohnya, andainya ada berita yang memberitahu bangunan kita sedang terbakar, tempat kita tinggal akan dilanda tsunami, takkan kita hendak duduk diam sahaja, bukan?

Dan ia juga bermaksud perkara yang disebutkan itu benar-benar akan terjadi, bukan kejadian abstrak. Hari Kiamat dan Kebangkitan Semula adalah suatu perkara yang benar-benar akan berlaku secara nyata, bukan secara spiritual. Syurga dan neraka itu nyata benar, bukan dalam fikiran sahaja.

Ini kita sebut kerana ada agama yang tidak terima kejadian kebangkitan semula, syurga dan neraka. Mereka kata itu semua dalam minda sahaja. Itu adalah pandangan yang salah kerana memang kiamat, syurga dan neraka akan terjadi, tidak syak lagi. Kalau kita berdegil dari menerimanya, kita akan ada masalah besar nanti dan akan rugi dengan sebesar-besar kerugian.


 

Ayat 3: Hingga ke hari ini puak kafir masih lagi berselisih, masih lagi tertanya-tanya.

الَّذي هُم فيهِ مُختَلِفونَ

Sahih International

That over which they are in disagreement.

Malay

Yang mereka (ragu-ragu dan) berselisihan mengenainya.

 

Mereka yang kufur tidak bersetuju sesama mereka. Lafaz مُختَلِفونَ  dalam bentuk isim (kata kerja) itu memberi isyarat yang mereka ‘sentiasa’ tidak bersetuju. Bukan pada zaman Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Ini adalah salah satu dari keindahan bahasa Arab yang memberi isyarat dengan cara yang unik.

Mereka sendiri tidak pasti sama ada berita itu benar atau tidak. Ada yang rasa ianya benar, dan ada yang tidak percaya langsung. Mereka tidak yakin. Yang menolak pun tidak pasti yang ia tidak akan terjadi. Jadi mereka terus dalam keraguan.

Ataupun maksud ikhtilaf itu, selain tidak bersetuju, mereka ada idea mereka sendiri tentang apakah yang akan terjadi. Mereka reka fahaman mereka sendiri, walaupun tidak ada dalil. Oleh itu, ada yang kata mereka boleh menggunakan perantaraan (tawassul) atau mendapat syafaat untuk menyelamatkan mereka di hari kebangkitan nanti.

Mereka rasa mereka selamat kerana mereka sangka akan ada yang akan menyelamatkan mereka. Penyelamat mereka itu mereka sangka boleh jadi wali, Nabi atau malaikat. Sebab itulah, mereka selalu sembah dan buat ibadat kepada Nabi, wali dan malaikat itu. Malangnya, hingga sekarang fahaman ini masih ada di kalangan masyarakat Islam yang jahil tentang tauhid dan agama.

Kerana itu, ramai dari kalangan orang Islam sendiri yang pergi ke kubur wali dan malaikat; untuk memberi salam kepada Nabi, wali dan malaikat; mengirim bacaan al-Fatihah kepada Nabi dan wali. Itu adalah amalan-amalan yang salah dan syirik. Mereka buat semua itu, antara lain adalah untuk mendapat syafaat (pertolongan) dari Nabi, wali dan malaikat itu.

Selain itu, ada juga yang membawa fahaman bahawa semua makhluk akan pergi ke syurga. Asalkan mereka itu orang yang ‘baik’. Tidak kisah kalau tidak ikut amalan agama pun, asalkan ‘baik’. Definisi ‘baik’ pun mereka reka sendiri.

Ada yang kata mereka ramai dan Allah ﷻ tidak akan sempat hendak menghukum semua makhluk. Dan macam-macam lagi fahaman yang mengarut-ngarut. Semuanya adalah atas andaian mereka sendiri.


 

Ayat 4:

كَلّا سَيَعلَمونَ

Sahih International

No! They are going to know.

Malay

Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu).

 

كَلّا

Jangan!

Allah ﷻ berkata dengan tegas: jangan lagilah berselisih. Ini adalah kerana maklumat itu datangnya dari Allah ﷻ dan disampaikan oleh RasulNya. Sekiranya tidak tahu, hendaklah belajar dan fahamkan apakah yang disampaikan dalam wahyu Allah ﷻ.

Penggunaan lafaz كَلّا juga boleh difahamkan sebagai ‘berhentilah’ atau ‘janganlah’. Arahan ‘berhentilah’ itu adalah untuk menyuruh kaum kafir ini berhenti dari bercakap benda-benda yang mengarut lagi. Contohnya mereka kata Allah ﷻ ada anak; takkan Allah ﷻ ada masa hendak kawal manusia dan sebagainya lagi fahaman yang karut tanpa dalil.

Juga Allah ﷻ menidakkan fahaman salah mereka itu. Fahaman-fahaman salah itu jangan digunakan lagi. Itu semua adalah fahaman mengarut sahaja yang direka-reka yang entah datang dari mana.

Ataupun lafaz كَلّا itu sebagai penekanan. Allah ﷻ hendak tekankan apa yang hendak disampaikan selepas itu: *pasti* kamu akan mengetahui. Macam kita kalau bercakap dengan orang lain dan kita hendak tekankan sesuatu, kita cakap, “tak, kau kena buat juga…”. Padahal, penggunaan kata ‘tak’ itu, tidak ada makna dalam ayat itu. Cuma digunakan sebagai penekanan sahaja.

 

سَيَعلَمونَ

Mereka akan mengetahui 

Berhentilah buat bising lagi menolak kebenaran, kerana pasti mereka akan tahu juga akhirnya nanti. Jika tidak terima sekarang, mereka akan tahu apabila sudah mati nanti. Bila mati sahaja, baru akan tahu yang kehidupan selepas mati itu ada, dan kalau waktu itu baru hendak terima, maka sudah terlambat.

Huruf س dalam lafaz سَيَعلَمونَ itu menunjukkan yang ianya sudah sangat dekat. Jangan kita sangka ianya lama lagi. Kita sangka kita hidup lama lagi? Sedarlah, dalam kita sibuk ke sana dan ke mari, tiba-tiba sudah sampai masa untuk mati.


 

Ayat 5:

ثُمَّ كَلّا سَيَعلَمونَ

Sahih International

Then, no! They are going to know.

Malay

Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).

 

Allah ﷻ ulang sekali lagi ayat yang sama. Pengulangan ayat yang lebih kurang sama juga ada dua pengertian:

1. Ianya bermaksud penekanan dari Allah ﷻ. Iaitu mubalaghah (bersangatan). Allah ﷻ hendak tekankan kemarahanNya kerana mereka tidak percaya. Kalau orang tidak percaya kepada kita, kadang-kadang kita akan cakap lagi dan lagi untuk tekankan kepada dia.

2. Kaum kafir akan tahu dua kali. Satu, pada kebangkitan semula (Kiamat) dan kedua, pada hari mereka melihat neraka. Maknanya, dua kali akan ditunjukkan kepada mereka tentang kebenaran yang telah dibawa oleh Nabi ﷺ itu. Kedua-dua waktu itu akan menyebabkan mereka menyesal sangat.

3. Atau, dua kali yang dimaksudkan adalah: ‘kiamat kecil’ dan ‘kiamat besar’. Kerana mati kita adalah ‘kiamat kecil’. Waktu itu sudah tahu bahawa apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah benar. Dan sekali lagi mereka akan tahu, apabila dibangkitkan semula pada hari kiamat besar.


 

Ayat 6: Ayat 6 – 16 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia mengandungi dalil-dalil afaqi adanya Kiamat. Di sini juga kita boleh melihat bagaimana Al-Qur’an membahagikan bahagian-bahagian dalam Al-Qur’an. Dalam Al-Qur’an, tidak ada perenggan. Kita boleh tahu sesuatu kisah itu berpindah ke topik yang baharu dengan perbezaan ritma di hujung ayat.

Kalau kita lihat dari ayat 1 sampai ayat 5, hujungnya sama sahaja semua ada ون di hujung ayat. Kecuali pada ayat ke 2, hujungnya lain sedikit. Itu pun kita boleh lihat kesinambungan antara ayat 2 dan ayat 3. Kedua ayat itu bersambung sebenarnya.

Dan sekarang, dalam ayat 6, kita akan lihat ritma yang digunakan akan berubah. Menunjukkan masuk ke bahagian perbincangan yang baru.

 

أَلَم نَجعَلِ الأَرضَ مِهادًا

Sahih International

Have We not made the earth a resting place?

Malay

(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan?

 

Akhirat itu akan terjadi dari Qudrat Allah ﷻ. Allah ﷻ berkuasa untuk buat, sebab Dia memang berkuasa. Dia boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki.

Tetapi puak Musyrikin Mekah tidak percaya ada entiti yang boleh buat semua itu. Nabi ﷺ kata semua akan dibangkitkan sekali, semua akan dibuat perkiraan hisab, syurga begitu besar, neraka begitu besar. Tetapi Musyrikin Mekah rasa takkanlah ada yang boleh buat begitu.

Maka Allah ﷻ memberitahu mereka, QudratNya yang telah melakukan macam-macam sebelum ini pun. Pertama sekali Allah ﷻ memberitahu yang Dialah yang menjadikan bumi yang besar ini. Bumi bukan terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan. Allah ﷻ memberitahu yang bumi begini punya besar pun Dia boleh jadikan.

Tidakkah Allah ﷻ telah menjadikan keseluruhan bumi ini sebagai hamparan? Lafaz مِهادًا ada persamaan dengan مهد iaitu ‘buaian’. Buaian itu jadi tempat istirehat dan rasa senang kita tidur di atasnya (tidak kira kecil atau besar). Allah beri isyarat yang Dia telah jadikan bumi ini selesa, mudah supaya senanglah kita hidup atas dunia ini. Maka sekarang Allah  ﷻ beritahu sifat dunia ini yang selesa buat kita.

Ayat-ayat sebelumnya dalam surah-surah yang lain menceritakan tentang kejadian hari Kiamat seperti bumi terbelah dan sebagainya. Orang kafir (terutama yang tidak percaya kepada Tuhan) mengatakan Tuhan jenis apa ini, kenapa ganas sangat? Tetapi Allah ﷻ menjawab dengan mengatakan Allah ﷻ telah memberikan segalanya kepada manusia. Kesenangan Allah ﷻ telah beri pun kepada manusia di dunia ini. Lihatlah dunia ini yang menjadi buaian untuk kita, selesa untuk kita.

Mungkin kita tidak nampak pertalian antara topik ini dengan topik sebelum ini. Tetapi sebenarnya ada. Topik yang baru dimasuki ini adalah juga untuk menjelaskan tentang apakah yang telah disebutkan sebelum ini.

Allah ﷻ menceritakan tentang perbuatanNya dan jasaNya kepada manusia. Antara sebab orang kafir tidak boleh percaya tentang hari Kiamat adalah kerana akal fikiran mereka tidak dapat terima akan kejadian semacam itu. Mereka tidak dapat terima ada satu kuasa yang cukup besar sampai boleh menjadikan hari kiamat itu satu kenyataan. Kerana benda semua itu besar-besar belaka – langit hancur, bumi terbelah, gunung menjadi debu dan sebagainya.

Semua itu menyebabkan mereka tidak dapat hendak terima. Itu adalah kerana mereka menggunakan akal mereka yang cetek. Dan mereka lihat kepada diri mereka sendiri, yang memangnya tidak akan mampu hendak buat semua itu. Tentulah mereka dan Allah ﷻ tidak sama. Kalau mereka tidak mampu buat, tidaklah boleh kata Allah ﷻ tidak mampu buat pula sebab Allah ﷻ itu lain dari manusia.

Jadi dalam ayat ini dan ayat-ayat seterusnya, Allah ﷻ membandingkan perbuatan manusia dan perbuatan Allah ﷻ. Pertama, tentang bumi. Bandingkan bumi ini dengan rumah kita. Manusia boleh membuat rumah untuk didiami, bukan? Macam-macam jenis rumah kita boleh buat.

Tetapi Allah ﷻ hendak bandingkan, kalau manusia buat rumah sebagai tempat istirehat, Allah ﷻ jadikan seluruh bumi ini sebagai tempat istirehat! Rumah kita mungkin ramai boleh duduk, tetapi bumi ini seluruh makhluk bumi boleh duduk! Sekarang bandingkan usaha manusia dan perbuatan Allah ﷻ. Tentu tidak sama langsung.


 

Ayat 7:

وَالجِبالَ أَوتادًا

Sahih International

And the mountains as stakes?

Malay

Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?

 

Sekarang Allah ﷻ gunakan perbandingan gunung ganang pula. Bangsa Arab pun biasa tengok bukit dan gunung dan mereka terpesona dengan kebesaran dan kekuatan gunung ganang itu. Sekarang Allah ﷻ bandingkan gunung ganang dengan pasak pula.

Pasak itu adalah bahagian terpenting dalam khemah, bukan? Allah ﷻ menjadikan perumpamaan khemah kepada manusia Arab kerana mereka biasa pakai khemah dalam kehidupan mereka kerana mereka duduk di padang pasir. Mereka selalu pasang khemah dan mereka pun tahu yang pasak itu amat penting kepada khemah itu.

Kalau khemah memerlukan peg (pasak), maka bumi juga memerlukan pasak. Dan pasak untuk bumi adalah gunung ganang! Ini boleh melihat proses alam yang dinamakan ‘isostasi‘ dan boleh dijelaskan dalam bentuk sains. Apabila kerak bumi ada pasak, maka tegaplah kedudukan hamparan bumi dan bolehlah kita hidup di atasnya. Kalau tidak, tentulah pasak bumi ini sentiasa bergerak dan apabila bergerak sahaja, tentu kita susah.

Proses Isostasi

Bandingkan perbuatan manusia dan perbuatan Allah ﷻ, tentu tidak sama. Manusia pasakkan kayu pada khemah kecil sahaja, sedangkan Allah pasakkan gunung pada bumi! Jadi macam mana mereka hendak kata Allah ﷻ tidak mampu hendak buat semua apa yang telah disebut dalam Al-Qur’an itu?


 

Ayat 8:

وَخَلَقناكُم أَزواجًا

Sahih International

And We created you in pairs

Malay

Dan Kami telah menciptakan kamu berpasang-pasang?

 

Dan Allahﷻlah yang menjadikan semua makhlukNya berpasangan. Termasuklah manusia ada pasangannya – ada lelaki dan perempuan. Kita semua ada pasangan kita masing-masing. Sekarang kenangkan: siapakah yang menjadikan pasangan itu buat kita? Memang kita cari pasangan kita, kemudian berkahwin, tetapi siapakah yang jadikan pasangan itu untuk kita? Tentulah Allah ﷻ, bukan?

Dalam alam juga begitu – ada matahari dan ada bulan; ada atas dan bawah; kiri dan kanan; dan semuanya sekali ada pasangan. Kita tidak mampu hendak buat apa-apa dalam hal ini. Kalau kita telah dijadikan sebagai lelaki oleh Allah ﷻ, kita tidak boleh hendak ubah apa yang telah ditakdirkan. Allah ﷻ yang jadikan kita berpasangan. Kita tidak mampu hendak buat sendiri.

Jantina kita pun kita tidak dapat hendak tentukan kerana kita makhluk yang lemah. Allah ﷻ yang jadikan kita, dan pasangan buat kita, tentulah Dia mampu untuk menjadikan hari pembalasan, bangunkan kembali semua makhlukNya. Kalau Dia boleh jadikan dari tidak ada kepada ada, kemudian matikan makhluk itu, tentulah Dia ﷻ juga boleh jadikan semula.


 

Ayat 9:

وَجَعَلنا نَومَكُم سُباتًا

Sahih International

And made your sleep [a means for] rest

Malay

Dan Kami telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?

 

Dan Allah ﷻ telah menjadikan malam untuk kita berehat. Lafaz سُباتًا asalnya bermaksud ‘memotong’. Maksudnya kita ‘dipotong’ dari nyawa kita semasa kita tidur. Waktu kita tidur, roh kita keluar dan kita sudah tidak dapat kawal lagi kerana telah ‘terputus’ dari kita. Sebab itu merata roh kita pergi dalam mimpi. Dan terputus antara otak dan tubuh kita – kerana itu kalau kita mimpi berlari, tidaklah kita berlari waktu kita tidur!

Ia juga bermaksud seseorang yang tidur itu ‘terputus’ dari kehidupan pada ketika itu. Seolah-olah kita sudah mati. Orang panggil kita pun mungkin kita tidak dengar lagi kerana roh kita sudah keluar dari tubuh kita. Orang melompat dan buat muka lawak depan kita pun kita tak perasan.

Nanti apabila kita mati, kita pun akan jadi begitu juga. Tetapi pemotongan roh dari tubuh itu kekal selepas mati. Masa tidur bolehlah roh itu masuk balik. Maka kerana itu Allah ﷻ selalu gunakan contoh tidur sebagai perbandingan bagi mati. Setiap hari Allah ﷻ beri peringatan kepada kita tentang mati. Kerana setiap kali kita tidur, itu pun satu tahap ‘mati’ juga sebenarnya.

Tiada siapa yang dapat kawal roh kita hendak keluar atau tidak. Kita tidak ada kuasa apabila sudah sampai masa roh kita keluar. Kalau orang kafir pun kena terima perkara ini. Mereka pun tahu yang mereka tidak boleh kawal perkara itu dan apabila mereka mati, malah mereka tidak boleh kawal tidur pun.

Berapa ramai yang tahan tidur, sengkang mata, tetapi kalau sudah penat sangat, dia tertidur juga? Ini dinamakan ‘micro sleep’. Perkara ini selalu terjadi semasa memandu di lebuhraya (highway effect). Semasa memandu dan kalau mengantuk sangat, kita selalunya cuba untuk tahan dari tidur. Tetapi otak kita akan ambil keputusan untuk tidur sendiri kerana badan sudah sangat penat. Maka kerana itulah kalau sedang memandu dan penat, dinasihatkan untuk berhenti dahulu dan rehat kerana ia amat merbahaya bagi kita dan keluarga kita.


 

Ayat 10: 

وَجَعَلنَا اللَّيلَ لِباسًا

Sahih International

And made the night as clothing

Malay

Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)?

 

Allah ﷻ menjadikan malam itu dan tutup pandangan mata kita untuk kita rehat. Malam seperti ‘pakaian’ yang menyeliputi manusia. Banyak kejadian berlaku di malam hari dan kita tidak nampak. Ramai yang mengambil peluang untuk menyorok di malam hari kerana pandangan mata sedang dilindungi, susah orang hendak nampak. Kerana kegelapan itulah juga penyamun dan kecurian bermaharajalela dengan banyak kalau dibandingkan dengan siang.

Allah ﷻ menjadikan gelap malam itu sebagai satu suasana di mana manusia berasa tenang semasa malam. Dengan ini membolehkan kita tidur dengan tenang, bukan? Apabila cahaya tidak ada, maka badan akan merembeskan melatonin yang menyebabkan kita senang tidur

Dan seperti juga siang, kita tidak dapat kawal bila datangnya malam. Allah ﷻ yang kawal. Malam itu bukannya terjadi sendiri, bukan bergerak sendiri kerana tiadanya matahari. Buktinya, nanti ada masa apabila hari lebih panjang dari biasa. Kerana Allah ﷻ kawal siang itu supaya malam tidak datang seperti yang biasa. Maknanya, memang kita boleh jelaskan kedatangan malam dan siang itu kerana peredaran matahari, tetapi kalau Allah ﷻ tahan, bagaimana?


 

Ayat 11: Tadi cerita tentang malam, sekarang Allah ﷻ ceritakan tentang siang pula. Ayat sebelum itu telah disebut tentang ‘pasangan’. Dan pasangan bagi malam adalah siang, bukan?

وَجَعَلنَا النَّهارَ مَعاشًا

Sahih International

And made the day for livelihood

Malay

Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) – masa untuk mencari rezeki?

 

Sebelum ini Allah ﷻ sebut gunanya malam – untuk berehat. Dan siang pula secara umumnya masa untuk manusia mencari rezeki untuk kehidupan. Petani memang perlukan matahari untuk tanaman mereka tumbuh subur. Dan mereka yang bekerja pun selalunya bekerja di siang hari kerana senang nampak apa yang dilakukan. Walaupun memang ada orang yang kerja malam, tetapi Allah ﷻ menyebut kebiasaan yang dilakukan oleh manusia.


 

Ayat 12: Ayat-ayat sebelum ini tentang benda-benda yang Allah ﷻ jadikan untuk kita gunakan. Sekarang Allah ﷻ sebut tentang alam atas pula.

وَبَنَينا فَوقَكُم سَبعًا شِدادًا

Sahih International

And constructed above you seven strong [heavens]

Malay

Dan Kami telah membina di atas kamu tujuh petala (langit) yang kuat kukuh?

 

Dan Allah ﷻ menjadikan di atas manusia tujuh langit yang kukuh. Allah ﷻ suruh kita tengok alam langit, tengok bintang, tengok matahari, dan cari jika ada kerosakan padanya. Tentu tidak ada. Begitu kukuh sekali binaan yang Allah ﷻ buat.

Bandingkan dengan binaan kita. Kita pun ada bina seperti bangunan, rumah dan sebagainya, tetapi tidak sama macam binaan yang Allah ﷻ jadikan. Binaan kita tidak sempurna dan tentu ada kerosakan di mana-mana, retak di sana sini. Tetapi binaan Allah ﷻ langsung tidak ada perkara itu. Maka sedarlah beza kita dengan Allah ﷻ.

Allah ﷻ boleh jadikan langit itu dengan sebegitu benar dan indah, dan tentu juga Allah ﷻ mampu untuk menjadikan alam kiamat nanti. Allah ﷻ boleh jadikan Mahsyar sebagai tempat untuk semua makhlukNya dari yang mula dicipta sampai yang terakhir sekali dimatikan untuk berkumpul. Tidak ada masalah untuk Allah ﷻ.


 

Ayat 13: Selepas disebutkan tentang langit, Allah ﷻ terus menyebut antara benda yang ada di langit itu. Pertamanya adalah matahari.

وَجَعَلنا سِراجًا وَهّاجًا

Sahih International

And made [therein] a burning lamp

Malay

Dan Kami telah mengadakan matahari menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya?

 

Lafaz سِراجًا asalnya adalah apa sahaja yang mengeluarkan cahaya termasuk lampu pelita. Lafaz وَهّاجًا pula bermaksud sesuatu yang membakar. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah matahari. Allah ﷻlah yang menjadikan matahari yang bersinar itu.

Bandingkan dengan api yang kita nyalakan. Kita pun ada juga nyalakan api tetapi tidak sama dengan matahari. Api pada matahari itu telah lama menyala dan entah bila akan padam. Dan matahari itu memberi sinaran kepada semua makhlukNya yang memerlukan.

Terlalu banyak gunanya sinaran matahari itu. Siang hari yang disebut dalam ayat sebelum ini memerlukan matahari untuk membolehkan kita nampak di siang hari itu. Kalau tidak ada matahari, susah kita hendak buat kerja. Nanti akan disebutkan tentang tumbuh-tumbuhan, yang tidak dapat hidup kalau tidak mendapat pancaran sinar matahari.


 

Ayat 14: Dari atas juga, ada awan yang darinya diturunkan air, yang juga diperlukan oleh kita untuk hidup.

وَأَنزَلنا مِنَ المُعصِراتِ ماءً ثَجّاجًا

Sahih International

And sent down, from the rain clouds, pouring water

Malay

Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah, –

 

Lafaz المُعصِراتِ diambil dari katadasar ع ص ر yang bermaksud ‘perah’. Jadi lafaz المُعصِراتِ bermaksud ‘yang diperah’. Macam kita perah baju basah untuk mengeluarkan air dari baju. Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa awan itu seolah-olah diperah untuk mengeluarkan air.

Kalau awan dalam bahasa Arab adalah سحابة. Allah ﷻ hendak memberitahu, bahawa Dia lah yang menjadikan awan yang mengandungi air. Awan itu Allah ﷻ juga yang kawal. Dia lah yang menentukan manakah tempat air hujan akan diturunkan dan berapa banyak.

Allah ﷻ memberi air yang berlimpah ruah untuk manusia. Air itu untuk kebaikan manusia dan kadangkala boleh juga menyusahkan manusia. Kerana kalau banyak sangat, sampai boleh banjir dan merosakkan tanaman dan kehidupan di dunia.

Ini menunjukkan yang kita bergantung kepada Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ tidak beri air kita susah, dan kalau Dia beri banyak sangat pun susah. Tetapi sebagai hamba, memang kita bergantung kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia hendak.


 

Ayat 15:

لِنُخرِجَ بِهِ حَبًّا وَنَباتًا

Sahih International

That We may bring forth thereby grain and vegetation

Malay

Untuk Kami mengeluarkan dengan air itu, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, –

 

Dengan air itu dapat mengeluarkan segala bentuk tanaman. Lafaz حَبًّا digunakan untuk segala bentuk tanaman yang bijirin. Sedangkan lafaz نَباتًا pula untuk segala jenis tanaman yang jenis lain seperti rumput dan sayur-sayuran. Kedua-duanya menjadi sumber makanan kita.


 

Ayat 16:

وَجَنّاتٍ أَلفافًا

Sahih International

And gardens of entwined growth.

Malay

Serta kebun-kebun yang subur bertaut-taut pokoknya?

 

Dengan air hujan itu juga dapat menumbuhkan taman-taman dan kebun dengan segala jenis tumbuhan yang lebat. Lafaz أَلفافًا bermaksud ‘menyeliputi sekelilingnya’. Kalau kita lihat tanaman dan kebun yang lebat, memang tanaman itu bertaut antara satu sama lain.

Allah ﷻlah yang boleh menjadikan semua itu dengan QudratNya. Dengan Qudrat yang sama akan menghidupkan yang telah mati. Dan dengan Qudrat yang sama juga akan buat hari perhitungan. Kalau Allah ﷻ boleh jadikan segala itu untuk keperluan kita, takkan Allah ﷻ tidak boleh jadikan Hari Pembalasan itu?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 24 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah Naba’ Ayat 1 – 16 (Qudrat Allah)”

  1. Assalamualaikum, penulis dapatkan sumber dari kitab ataupun hanya dari internet? Adakah penulis dapatkan ini dari talaqqi jugak? maaf nak kepastian.

    Like

      1. oh baik jzkk akhi, insya Allah semoga ilmu yg akhi curahkan ini menajdi bekalan amal di akhirat sana amin

        Like

Leave a comment