A’raf Ayat 184: Ayat Zajrun (Teguran dari Allah)
أَوَلَم يَتَفَكَّروا ۗ ما بِصاحِبِهِم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then do they not give thought? There is in their companion [i.e., Muḥammad (ṣ)] no madness. He is not but a clear warner.
MALAY
Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan (dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali menghidap penyakit gila (sebagaimana yang mereka tuduh itu), bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.
أَوَلَم يَتَفَكَّروا
Kenapakah mereka tidak memikirkan?
Ini adalah tempelak Allah ke atas kekarutan tuduhan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW. Mereka mengatakan yang Nabi Muhammad itu adalah seorang gila. Ini adalah kerana mereka sudah tidak dapat menolak dakwah yang disampaikan oleh baginda. Apabila berlawan hujah tidak boleh, maka mereka kata baginda gila sahaja.
Tapi Allah kata hujah mereka itu karut. Mereka tidak pakai otakkah? Kalaulah mereka fikir sedikit, mereka pun sedar yang hujah mereka ini tidak masuk akal.
ما بِصاحِبِهِم مِّن جِنَّةٍ
sahabat mereka (Muhammad) tidak sekali-kali menghidap penyakit gila
Allah menegaskan dalam ayat ini, tidak ada sifat gila pada Nabi Muhammad. Apabila digunakan lafaz ما dalam ayat ini, menunjukkan penolakan kepada kata-kata Musyrikin Mekah itu. Kerana memang antara tuduhan mereka kepada baginda adalah baginda itu seorang gila.
Allah guna lafaz ‘sahabat’ kerana Nabi Muhammad sentiasa ada bersama dengan mereka, tidak pernah pergi ke mana-mana negara lain, duduk dengan mereka sahaja. Baginda bersama dengan mereka dari kecil sampai ke tua. Maksudnya, mereka kenal baginda dan baginda tidaklah berubah perangai. Allah perli mereka, takkan mereka tidak tahu ‘sahabat’ mereka itu.
Jadi, yang mereka kata baginda gila itu adalah sebagai tuduhan palsu sahaja. Kerana sebelum baginda menyampaikan ajaran tauhid, bagindalah orang yang paling dipercayai dalam kalangan mereka. Tapi kerana baginda menyampaikan kebenaran yang tidak selari dengan fahaman dan kebiasaan mereka, terus mereka berubah pandangan terhadap baginda.
Begitu jugalah orang kita apabila diberi dakwah. Kadangkala yang diberi dakwah itu adalah dari kalangan ahli keluarga, dari kenalan yang sudah bertahun-tahun kenal. Selama hari itu kenal baik, makan bersama, makan bersama, boleh sahaja bertegur sapa dan berbaik dalam segala hal. Tapi apabila orang itu sudah belajar dan menyampaikan dakwah sunnah kepada ahli keluarga dan kenalan itu, mereka tiba-tiba berubah sikap pula. Kawan sekarang sudah jadi lawan, sudah tidak mahu berjumpa dan bertegur sapa. Hanya kerana kawan itu menyampaikan kebenaran yang mereka tidak mahu terima.
Lafaz جِنَّةٍ dari katadasar ج ن ن yang bermaksud ‘tertutup’. Lafaz jin juga diambil dari katadasar ini, kerana jin itu tertutup dari pandangan kita. Dan ada kaitan antara gila dan jin kerana pada orang Arab Mekah, orang yang gila itu adalah kerana disampuk jin. Allah menidakkan fahaman salah mereka terhadap Nabi Muhammad. Tidaklah baginda gila dan tidaklah baginda disampuk jin.
Qatadah ibnu Di’amah telah mengatakan, telah diceritakan kepada kami bahawa Nabi Allah Saw. pada suatu ketika sedang berada di atas Bukit Safa. Lalu beliau menyeru kaum Quraisy, dalam seruannya itu beliau menyebutkan nama-nama pemimpin mereka seorang demi seorang. Beliau mengatakan, “Hai Fulan bin Fulan.” Beliau Saw. memperingatkan mereka akan seksa Allah dan hari kiamat. Maka ada salah seorang di antara mereka yang mengatakan, “Sesungguhnya teman kalian ini benar-benar gila, dia terus berkobar-kobar semalaman hingga pagi hari, atau hingga waktu subuh.” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya:
{أَوَلَمْ يَتَفَكَّرُوا مَا بِصَاحِبِهِمْ مِنْ جِنَّةٍ إِنْ هُوَ إِلا نَذِيرٌ مُبِينٌ}
Apakah (mereka lalai) dan tidak memikirkan bahawa teman mereka (Muhammad) tidak berpenyakit gila. Dia (Muhammad itu) tidak lain hanyalah seorang pemberi peringatan lagi pemberi penjelasan. (Al-A’raf: 184)
إِن هُوَ إِلّا نَذيرٌ مُّبينٌ
bahkan dia hanyalah seorang (Pesuruh Allah) yang memberi amaran yang jelas.
Nabi Muhammad itu bukanlah seorang gila, bahkan baginda telah terpilih untuk beri peringatan kepada manusia menggunakan wahyu dari Allah.
Dan peringatan yang diberikan itu disampaikan dengan cara yang jelas nyata, bahasa yang digunakan mudah difahami. Tidaklah kata-kata baginda berpusing-pusing. Begitu jugalah kita dalam menyampaikan ajaran tauhid kepada manusia lain – hendaklah dengan jelas, jangan gunakan bahasa yang susah difahami.
A’raf Ayat 185: Ayat Zajrun. Allah menegur para penentang wahyu. Sebelum ini disebut yang Musyrikin Mekah menuduh Nabi Musa sebagai gila. Itu adalah tuduhan yang tidak masuk akal kerana yang baginda ajak adalah menyembah Allah, Tuhan yang menjadikan segala-galanya. Lainlah kalau baginda ajak sembah baginda, barulah gila, bukan? Yang gilanya mereka, kerana sembah berhala yang mereka buat sendiri!
أَوَلَم يَنظُروا في مَلَكوتِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما خَلَقَ اللَّهُ مِن شَيءٍ وَأَن عَسىٰ أَن يَكونَ قَدِ اقتَرَبَ أَجَلُهُم ۖ فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَهُ يُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Do they not look into the realm of the heavens and the earth and everything that Allāh has created and [think] that perhaps their appointed time has come near? So in what statement [i.e., message] hereafter will they believe?
MALAY
Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Qur’an) itu mereka mahu beriman?
أَوَلَم يَنظُروا في مَلَكوتِ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Tidakkah mereka mahu memperhatikan alam langit dan bumi
Allah suruh kita tengok kejadian langit dan bumi yang boleh dilihat dengan mata kasar kita. Renunglah alam ini dan fikir-fikirkan. Kalimah yang digunakan adalah مَلَكوتِ iaitu kerajaan yang agung, bukan kerajaan dunia (ملك). Kerajaan Allah ini adalah luas meliputi langit dan bumi, yang kita nampak dan kita tidak nampak. Tapi Allah suruh kita lihat yang kita nampak sahaja. Itu pun sudah hebat tidak terhingga.
وَما خَلَقَ اللَّهُ مِن شَيءٍ
dan segala yang diciptakan oleh Allah,
Dan Allah suruh kita lihat apa sahaja yang Allah ciptakan dalam alam ini. Apa-apa sahaja perkara sama ada besar atau kecil. Kalau yang paling kecil kita boleh lihat adalah zarah debu itu. Itu pun Allah yang buat. Semua itu menjadi tanda kepada mereka yang mempunyai mata hati.
وَأَن عَسىٰ أَن يَكونَ قَدِ اقتَرَبَ أَجَلُهُم
bahawa mungkin telah dekat ajal kebinasaan mereka?
Perkara pertama tadi Allah suruh lihat alam ini. Perkara kedua yang Allah suruh fikirkan sekarang adalah ajal mereka pula. Tidakkah mereka memikirkan boleh jadi tempoh masa mereka di dunia sudah nak tamat? Alam ini nanti akan hancur juga akhirnya, sama juga seperti mereka. Ingatlah bahawa tempoh untuk memikirkan sudah nak habis. Ingatlah yang peluang mungkin sudah nak habis untuk bertaubat. Maka cepat-cepatlah bertaubat, cepat-cepatlah ubah sikap supaya ikut syariat dan wahyu.
Allah selalu menyebut tentang kematian di dalam Al-Qur’an. Kerana mengingat mati itu juga adalah satu ibadah sebenarnya. Kematian adalah sesuatu yang pasti dilalui oleh semua makhluk yang hidup tanpa terkecuali. Bahkan saban hari, kita akan dikejutkan dengan pelbagai berita kematian yang tidak kita sangkakan. Tanpa kita sedar, sebenarnya kematian semakin hari, semakin menghampiri kita.
Orang yang paling cerdik adalah orang yang banyak mengingat mati. Ini disebut sendiri oleh baginda Rasulullah,
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ : كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- ثُمَّ قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ : « أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا ». قَالَ فَأَىُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ : « أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًاوَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الأَكْيَاسُ ».
Dari Ibnu ‘Umar, dia berkata, “Aku pernah bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, lalu seorang Anshor mendatangi baginda, dia memberi salam dan bertanya, “Wahai Rasulullah, mukmin manakah yang paling baik?” Baginda bersabda, “Yang paling baik akhlaknya.” “Lalu mukmin manakah yang paling cerdas?”, dia kembali bertanya. Baginda bersabda, “Yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling baik dalam mempersiapkan diri untuk alam berikutnya, itulah mereka yang paling cerdas.”
(Riwayat Ibnu Majah- Hasan).
Dengan mengingat mati, antaranya
1. Ia akan menjauhkan kita dari melakukan kezaliman
2. Ia akan menggerakkan kita untuk buat persediaan bertemu Allah
فَبِأَيِّ حَديثٍ بَعدَهُ يُؤمِنونَ
Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah Al-Qur’an) itu mereka mahu beriman?
Maka kalau mereka tidak juga mahu beriman dengan wahyu, perkataan apa lagi yang mereka hendak pakai? Sebagai manusia, cara fikir kita sepatutnya adalah dengan wahyu yang Allah sampaikan. Kita kena pegang dengan wahyu dari Al-Qur’an dan Hadis kerana tidak ada lagi kitab atau perkataan yang lain yang boleh dipakai dengan tanpa ragu lagi. Semua kitab-kitab tulisan manusia kena dinilai kesahihannya supaya selaras dengan wahyu dari Al-Qur’an atau Hadis (yang sahih).
Jadi, tidak mahu lagikah kita meluangkan masa untuk belajar maksud wahyu Allah ini? Supaya kita jadikan ianya sebagai peringatan dan amalan untuk kita. Belajarlah tafsir Al-Qur’an dan amalkan membaca Al-Qur’an setiap hari. Kalau kita faham apa yang kita baca, ia lebih memberi nikmat kepada kita. Lihat apa firman Allah dalam Zumar:23. Ini kesan apabila faham apa yang dibaca. Cuma orang kita bukannya ‘baca’ Al-Qur’an, tapi setakat ‘sebut’ sahaja.
اللَهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتٰبًا مُّتَشٰبِهًا مَّثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللهِ
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Qur’an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.
Malangnya ramai dari kalangan ahli agama, para pelajar, para asatizah dari kalangan masyarakat kita rajin menekuni kitab-kitab tulisan manusia yang pelbagai, akan tetapi mereka masih belum lagi habis belajar tafsir Al-Qur’an dan juga mempelajari syarahan kitab-kitab Hadis. Amat malang sekali apabila ilmu wahyu dipinggirkan.
A’raf Ayat 186: Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang golongan penentang yang tetap menentang walaupun telah diberikan dengan berbagai hujah dan dalil. Ini telah menyebabkan Rasulullah jadi resah kerana baginda amat prihatin dengan nasib umat baginda. Maka sekarang Allah beritahu yang baginda tidak boleh buat apa-apa kerana memang ada yang Allah tentukan mereka itu kekal sesat sampai bila-bila.
مَن يُضلِلِ اللَّهُ فَلا هادِيَ لَهُ ۚ وَيَذَرُهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Whoever Allāh sends astray – there is no guide for him. And He leaves them in their transgression, wandering blindly.
MALAY
Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.
مَن يُضلِلِ اللَّهُ فَلا هادِيَ لَهُ
Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya;
Kalau sesiapa yang Allah telah buat keputusan untuk sesatkan dia, tidak ada sesiapa yang boleh beri hidayah kepadanya lagi. Ini adalah sesat jenis peringkat Khatmul Qalbi – penutupan hati. Ini disebut dalam banyak ayat, antaranya Jathiya:23
أَفَرَءيتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلٰهَهُ هَوىٰهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلىٰ عِلمٍ وَخَتَمَ عَلىٰ سَمعِهِ وَقَلبِهِ وَجَعَلَ عَلىٰ بَصَرِهِ غِشٰوَةً فَمَن يَهديهِ مِن بَعدِ اللهِ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar), dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
Iaitu apabila orang itu telah sampai kepada satu tahap, Allah marah sangat kepada dia kerana telah lama menentang dan mendustakan ayat-ayat Allah. Maka Allah tutup hatinya dari menerima kebenaran sampai bila-bila. Semoga kita dan orang-orang kenalan kita, tidak sampai kepada tahap ini. Kerana ini adalah tahap yang paling teruk sekali, sudah pasti dia menjadi ahli neraka selama-lamanya.
Maka kita kena berdoa untuk mendapat hidayah dari Allah kerana hidayah itu dari Allah. Allah sebut di dalam Layl:12
إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ
Sesungguhnya kewajipan Kamilah memberi petunjuk,
Kita memang kena berusaha bersungguh-sungguh tapi akhirnya hidayah itu tetap milik Allah. Maka kita hendaklah juga berharap hidayah itu dari Allah. Kena selalu minta dan kita pun setiap hari meminta kepada Allah di dalam Fatihah:6 iaitu di dalam solat kita,
اهدِنَا الصِّرٰطَ المُستَقيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus;
وَيَذَرُهُم في طُغيٰنِهِم يَعمَهونَ
dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.
Mereka yang telah diberi keputusan akan dibiarkan sesat sampai bila-bila, Allah akan biarkan mereka dalam يَعمَهونَ (kebingungan) dan di dalam kesesatan. Mereka itu berada dalam keadaan buta hati.
Jadi, mungkin kita akan berjumpa dengan orang sebegini, maka tidak hairanlah pada kita lagi. Kerana kita sudah tahu memang akan ada sahaja orang yang akan menentang kebenaran. Dan kalau kita cakap macam mana pun, mereka tidak akan mahu beriman.
A’raf Ayat 187:
يَسئلونَكَ عَنِ السّاعَةِ أَيّانَ مُرسٰها ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ رَبّي ۖ لا يُجَلّيها لِوَقتِها إِلّا هُوَ ۚ ثَقُلَت فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ لا تَأتيكُم إِلّا بَغتَةً ۗ يَسئلونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنها ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللَّهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They ask you, [O Muḥammad], about the Hour: when is its arrival?¹ Say, “Its knowledge is only with my Lord. None will reveal its time except Him. It lays heavily² upon the heavens and the earth. It will not come upon you except unexpectedly.” They ask you as if you are familiar with it. Say, “Its knowledge is only with Allāh, but most of the people do not know.”
- Literally, “resting” or “establishment.”
- i.e., it is a source of concern, worry or fear.
MALAY
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. Hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu hanyalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
يَسئَلونَكَ عَنِ السّاعَةِ أَيّانَ مُرسٰها
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”
Ayat ini berkenaan Dakwa Ketiga. Ulangkaji: Dakwa Pertama – Kena berani menyampaikan wahyu; Dakwa Kedua – kena ikut syariat yang Allah; Dakwa Ketiga – Hanya Allah sahaja yang mempunyai sifat yang sempurna, jadi kena seru dan buat ibadat kepada Allah sahaja.
Salah satu perkara yang selalu ditanya oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad adalah bilakah akan terjadi Hari Kiamat. Ini adalah kerana Nabi banyak memberitahu dan mengingatkan mereka tentang akhirat dan tentunya permulaan akhirat adalah dengan terjadi hari kiamat. Oleh kerana itu, mereka tanya kepada Nabi, bilakah akan terjadi perkara itu? Mereka tanya Nabi dalam perkara yang bukan hak Nabi untuk beritahu. Kerana memang Nabi tidak tahu pun bila akan terjadinya hari kiamat itu.
Lafaz مُرساها dari katadasar ر س و yang bermaksud ‘tetap’. Lafaz مُرساها selalunya digunakan apabila dipasakkan kayu pasak kepada khemah. Jadi, lafaz مُرساها dalam ayat ini sebagai isyarat kepada penetapan. Iaitu, bilakah Kiamat itu telah ditetapkan? Bilakah yang pasti ianya akan terjadi?
قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ رَبّي
Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku,
Ini berkenaan dengan Dakwah Ketiga – Allah sahaja yang ada sifat sempurna, dan salah satunya mengetahui bilakah terjadinya Hari Kiamat itu. Hanya Allah sahaja yang ada maklumat ini dan tidak ada makhluk mana-mana pun yang tahu, termasuk malaikat yang paling tinggi pun. Maka Nabi disuruh sahaja untuk beritahu yang maklumat itu hanya ada pada Allah, bukan di sisi baginda.
لا يُجَلّيها لِوَقتِها إِلّا هُوَ
tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia.
Allah tidak menzahirkan, tidak menjelaskan kepada sesiapa pun tentang tarikh bila berlakunya Kiamat itu. Tidak mungkin sesiapa pun yang tahu maklumat itu, termasuk para malaikat yang paling dekat dengan Allah pun. Maka, tidaklah malu kalau kita beritahu yang kita tidak ada maklumat itu. Rasulullah pun tidak perlu malu untuk beritahu yang baginda tidak tahu.
ثَقُلَت فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi;
Amatlah berat keadaan langit dan bumi untuk menghadapi kiamat. Lafaz ثَقُلَت biasanya digunakan kepada wanita yang mengandung dan hendak melahirkan anaknya, tinggal tunggu masa sahaja.
Begitulah juga dengan Kiamat nanti. Kejadian Kiamat itu tunggu masa sahaja, dan segala keperluan untuk Kiamat itu Allah sudah sediakan di langit dan di bumi. Langit dan bumi sedang menanggung makhluk di dalamnya dan sebagaimana wanita mengandung sarat menanggung anaknya itu, beratlah juga langit dan bumi menanggung tanggungjawab mereka.
Ia juga bermaksud, apabila kiamat itu datang, ianya amat berat walaupun kepada langit dan bumi. Ia juga berat kepada penduduk bumi dan juga penduduk langit. Kalau mereka pun rasa berat dengan Kiamat itu, maka apatah lagi kepada kita?
لا تَأتيكُم إِلّا بَغتَةً
ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”
Inilah maklumat yang menakutkan kita: Kiamat tidak datang melainkan dengan tiba-tiba. Apabila ia hendak datang, ia tak beritahu sebelum itu yang ia akan datang. Tiba-tiba sahaja sudah muncul sewaktu manusia tidak teringat pun tentang Kiamat itu.
Cuma ada disebut dalam hadis, diberitahu yang kiamat hanya berlaku kepada orang kafir sahaja. Waktu itu hanya ada orang kafir sahaja yang hidup kerana orang beriman telah dimatikan dahulu dengan sejenis angin lembut. Ini adalah kerana Kiamat itu amat berat sampaikan Allah tidak mahu ada orang beriman yang merasainya.
Walaupun begitu, kita tahu yang Allah itu maha berkuasa. Dan salah satu faham kita tentang kuasa Allah ini, Allah berhak dan boleh sahaja untuk buat apa sahaja yang Dia hendak, termasuk menjadikan Kiamat itu bila-bila masa sahaja. Allah tidak tertakluk dengan apa-apa undang-undang pun.
يَسئَلونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنها
Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau mengetahuinya.
Musyrikin Mekah itu tanya dan tanya kepada Nabi Muhammad berkali-kali tentang bila kejadian Kiamat itu, seolah-olah Nabi ada maklumat itu. Sedangkan baginda tidak pernah pun kata yang baginda bilakah ia akan terjadi. Sebenarnya, mereka tanya pun untuk persenda Nabi sahaja, bukan nak tahu betul pun, kerana mereka tidak percaya kepada kejadian itu.
Qur’an mempunyai segala maklumat yang diperlukan untuk kita. Dan memang tidak ada diberitahu bilakah Kiamat akan terjadi, maka ianya bukanlah tarikh yang kita perlu ketahui. Kerana kalau perlu, Allah sudah beritahu kita. Tetapi yang ada banyak disebut dalam Qur’an tentang persiapan untuk menghadapi hari kiamat. Jadi, itulah perkara yang lebih penting untuk diketahui; bukan bila hari Kiamat itu, tapi apa persediaan kamu?
Lafaz حَفِيٌّ digunakan untuk orang yang selalu bertanya berkali-kali. Mereka sangka Nabi berperangai macam itu, bertanya berkali-kali kepada Allah sampai baginda dapat maklumat itu dari Allah. Sedangkan Nabi tidak begitu. Nabi pun tidak bertanya bilakah terjadinya hari kiamat itu kerana ianya adalah perkara yang menakutkan sangat.
قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللَّهِ
Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu hanyalah di sisi Allah,
Allah ulang lagi suruh Nabi beri jawapan yang sama: hanya Allah sahaja yang tahu bilakah terjadi Kiamat. Maka jangan sibuk lagi nak tanya kepada sesiapa pun.
وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Tapi, kebanyakan manusia tidak tahu. Tidak tahu apa? Mereka tidak tahu yang ilmu itu hanya ada pada Allah sahaja. Mereka tidak puas hati dengan jawapan ini dan mereka sibuk mencari-cari dan bertanya bilakah ianya akan berlaku.
Sampai ada ustaz-ustaz di negara kita pun ada yang mengagak bilakah akan terjadinya Kiamat sedangkan jelas dalam Qur’an yang hanya Allah sahaja yang tahu. Mereka pun mulakan buat kira-kira begitu dan begini untuk berceramah mengatakan Kiamat akan terjadi bila dan bila. Tapi maklumat itu bukannya dari dalil yang sahih. Lalu bagaimana mereka boleh buat anggaran bilakah kiamat akan terjadi? Mereka tidak belajar Qur’an kah?
Pernah sekali Malaikat Jibril a.s. datang dalam rupa seorang Arab Badwi untuk mengajarkan kepada manusia perkara agama mereka, lalu dia duduk di hadapan Rasulullah Saw. seperti duduknya orang yang mahu bertanya, kemudian memohon petunjuk. Maka Jibril a.s bertanya kepada Nabi Saw. tentang Islam, lalu tentang iman dan ihsan, kemudian dia bertanya, “Bilakah hari kiamat itu?” Maka Rasulullah Saw. menjawabnya melalui sabdanya:
“مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ”
Orang yang ditanya mengenainya tidaklah lebih mengetahui daripada yang bertanya.
Dengan kata lain, aku bukanlah orang yang lebih mengetahui tentangnya daripada engkau; dan tidak ada seorang pun yang lebih mengetahui tentangnya daripada orang lain. Kemudian Nabi Saw. membacakan firman-Nya: Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat. (Luqman: 34), hingga akhir ayat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 1 Jun 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan