Tafsir Surah al-A’raf Ayat 59 – 70 (Kaum Nabi Hud minta bala)

A’raf Ayat 59: Sekarang kita masuk kepada Makro kedua surah ini iaitu kisah Nabi Nuh a.s. pula. Sebelum ini kita telah dengar kisah Nabi Adam a.s. Allah menyusun kisah para Rasul dalam surah ini berturutan.

Banyak kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah sebut di dalam Yusuf:111 لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ (Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal).

Keduanya kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan belajar kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah sebut di dalam Hud:120 وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ (Dan semua kisah dari rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu).

Dan ketiga disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ (dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.)

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We had certainly sent Noah to his people, and he said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. Indeed, I fear for you the punishment of a tremendous Day.”

MALAY

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat)”

لَقَد أَرسَلنا نوحًا إِلىٰ قَومِهِ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya,

Kisah Nabi Nuh ini adalah kisah pertama dari enam kisah. Kisah pertama sampai yang ke tiga (Nabi Nuh, Hud dan Saleh) hendak menghuraikan Dakwa Ketiga: hanya Allah sahaja yang layak disembah dan dipuja kerana Dia sahaja yang memiliki sifat yang sempurna.

Selepas Nabi Adam, Rasul yang mula-mula sekali diangkat menjadi Rasul adalah Nabi Nuh a.s (Nabi Adam bukan Rasul tapi hanya sebagai Nabi sahaja). Mungkin ada yang kehairanan apa pula beza antara Nabi dan Rasul? Ini menjadi perbincangan di kalangan ulama’.

1. Ulama’ sepakat ada beza antara Nabi dan Rasul. Semua Rasul adalah Nabi, tapi bukan semua Nabi adalah Rasul. Jadi pangkat Rasul lebih tinggi lagi.

Memang ada yang kata sama sahaja Rasul dan Nabi (boleh pakai interchangeably). Tapi pendapat ini lemah kerana ada dalil-dalil dalam Al-Qu’ran dan Hadis yang memberi maksud tidak sama Rasul dan Nabi. Jadi boleh lupakan pendapat ini. Yang kata begini antaranya adalah golongan Mu’tazilah.

Di antara dalil yang menunjukkan adanya perbedaan antara nabi dan rasul adalah firman Allah Ta’ala,

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ
“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu seorang rasul pun dan tidak (pula) seorang nabi.” (Hajj:52)

nota: Lihat bagaimana Allah sebut Rasul dan kemudian sebut Nabi. Kalau sama sahaja, kenapa nak kena sebut berasingan?

2. Apakah beza antara keduanya? Tidak ada ketetapan di kalangan ulama’ tentang hal ini. Saya cuba ringkaskan di sini beberapa pendapat:

a. Rasul dan Nabi diberikan wahyu dan syariat. Tapi Rasul wajib sampaikan, Nabi tidak wajib sampaikan. Akan tetapi pandangan ini dikritik kerana sesiapa yang dapat wahyu, kena sampaikan. Lihat Ali Imran: 187

b. Rasul dapat wahyu melalui perantaraan Jibril, sedangkan Nabi hanya dapat melalui cara ilham atau mimpi sahaja.

c. Rasul dapat syariat baru, Nabi hanya teruskan syariat yang sudah ada. Tapi pandangan ini juga dikritik. Kerana Nabi Nuh adalah Rasul pertama. Kalau begitu, Nabi Adam pakai syariat apa pula? Takkan tidak ada syariat?
Begitu juga Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dua-dua Rasul, tapi mereka pakai syariat dari Taurat sahaja, tidak bawa syariat baru.

d. Rasul dapat kitab dan syariat baru; Nabi pula tidak dapat kitab dan ikut syariat sebelumnya sahaja. Ini dibantah sama dengan item c.

e. Rasul diutuskan kepada kaum yang engkar, sedangkan Nabi diutuskan kepada kaum yang sudah beriman. Jadi tugas Rasul lebih berat, sedangkan tugas Nabi hanya terus mengajarkan perkara yang sudah diterima. Ini adalah pandangan Ibnu Taimiyah dan kita kira inilah pandangan yang lebih kuat.
Contohnya Nabi Adam hanya seorang Nabi kerana umat baginda sikit sahaja dan semuanya beriman. Tapi Nabi Nuh adalah Rasul kerana zaman baginda, umat sudah engkar dan perlu diperbetulkan. Dalilnya:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ: يَا نُوحُ، إِنَّكَ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ
“Mereka pun mendatangi Nuh, dan berkata, ‘Wahai Nuh, sesunggguhnya Engkau adalah rasul pertama bagi manusia.’” (Bukhari no. 4712)

فَقالَ يٰقَومِ اعبُدُوا اللَّهَ

lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah,

Ini adalah perkara paling penting yang diingatkan oleh Nabi Nuh kepada kaumnya: Nabi Nuh telah suruh kaumnya itu sembah Allah sahaja. Jangan pula sembah Allah dan dalam masa yang sama sembah pula selain Allah. Ini dinamakan syirik.

Ini adalah kerana mereka telah menyembah patung-patung berhala yang asalnya dijadikan untuk mengingatkan manusia kepada orang-orang yang saleh di kalangan mereka. Maknanya yang perlu diajar dan ditegur adalah tentang akidah umat. Kena ajar ajaran tauhid kepada mereka.

Lihatlah cara dakwah Nabi Nuh di dalam ayat ini. Baginda memanggil mereka dengan panggil baik يٰقَومِ. Inilah cara dakwah yang bagus. Kena gunakan bahasa yang baik dengan mad’u (orang yang hendak didakwah). Jangan pakai panggilan kasar seperti “hoi setan”, “woi bodoh” dan sebagainya.

ما لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيرُهُ

tidak ada ilah lain bagi kamu selain daripadaNya.

Kena sembah Allah sahaja kerana tidak ada ilah lain yang boleh selesaikan masalah selain Allah. Ilah hanyalah Allah sahaja dan itulah maksud la ilaaha illallah. Malangnya perkara tauhid sebegini jarang diajar dan dipelajari oleh umat manusia termasuk umat Islam pun.

Maka ramai yang keliru dengan tauhid kerana mereka tidak belajar sekali dengan syirik. Mereka tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan syirik dan contoh-contohnya sampaikan mereka melakukan syirik tanpa mereka sedari. Lihatlah sekarang, meminta dengan pokok pun ada yang kata tidak salah! Memang ke laut dalam sungguh fahaman mereka ini.

Begitulah yang terjadi kepada Kaum Nabi Nuh. Pada mulanya berhala-berhala disembah ialah kerana di masa lalu ada suatu kaum yang saleh telah meninggal dunia. Kemudian kaum mereka membangun masjid-masjid di atas kuburan mereka dan membuat gambar-gambar mereka di dalamnya untuk mengingatkan orang-orang akan tingkah laku dan ibadah mereka, dengan tujuan agar kaum mereka meniru jejak mereka.

Tetapi setelah zaman berlalu cukup lama, mereka (kaumnya) mem­buat patung-patung dalam bentuk gambar-gambar tersebut orang soleh tersebut. Setelah berlalunya masa yang cukup lama lagi, maka mereka mulai menyembah patung-patung tersebut dan menamakannya dengan nama orang-orang saleh itu, seperti Wad, Suwa’, Yagus, Ya’uq, dan Nasr. Ini disebut dalam Nuh:23.

Inilah bahayanya apabila mengagungkan orang-orang yang sebelum kita berlebihan. Mula-mula dengan gambar, kemudian mula nak tawasul dengan mereka, kemudian buat patung, kemudian puja. Kemudian dijadikan sebagai tuhan. Sebab itu kena berhati-hati meninggalkan segala perkara yang boleh membawa ke arah syirik.

Kalau tak berhati-hati, syaitan akan racun fikiran orang yang leka. Dan itulah yang terjadi dengan kaum Nabi Nuh. Setelah hal ter­sebut kian parah, Allah mengutus Nabi Nuh a.s. Nabi Nuh a.s. memerintahkan kepada mereka agar menyembah Allah semata, tiada sekutu bagi-Nya.

إِنّي أَخافُ عَلَيكُم عَذابَ يَومٍ عَظيمٍ

Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar

Ini adalah balasan yang Nabi Nuh takut akan dikenakan kepada kaumnya itu kalau mereka tidak sembah Allah sahaja sebagai ilah. Kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan menerima azab yang amat besar. Dan azab yang dikenakan kepada mereka yang melakukan syirik adalah kekal dalam neraka, tidak keluar sampai bila-bila.


 

A’raf Ayat 60: Apakah hujah dari kaum Nabi Nuh itu?

قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ إِنّا لَنَرىٰكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent among his people, “Indeed, we see you in clear error.”

MALAY

Ketua-ketua dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.

قالَ المَلَأُ مِن قَومِهِ

Ketua-ketua dari kaumnya berkata: 

Ini adalah tentang pembesar kaum Nabi Nuh. Selalu yang buat masalah dari dulu sampai sekarang adalah golongan yang kaya dan yang ada kuasa. Mereka itu sudah besar dan sombong diri dan rasa diri mereka sahaja yang betul. Maka merekalah yang selalunya yang menentang kebenaran dari sampai kepada masyarakat.

Selalunya mereka akan menentang kebenaran yang dibawa kerana kebenaran itu akan menyusahkan mereka, akan menyebabkan pengaruh mereka berkurangan atau hilang terus, atau akan menyebabkan mereka kehilangan peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan mudah lagi.

إِنّا لَنَرىٰكَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

“Sesungguhnya kami nampak kamu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata”.

Mereka kata Nabi Nuh itu sesat kerana baginda bawa ajaran lain dari orang lain. Mereka telah lama menyembah patung-patung berhala itu sampaikan mereka sangka yang mereka itu yang berada atas agama yang benar. Mereka yang sesat, tapi mereka kata Nabi Nuh pula yang sesat.

Beginilah masalah yang dihadapi oleh mereka yang ada kuasa dan sombong untuk terima kebenaran. Mereka ada kekuatan pengaruh dan kekuatan kewangan sampai membolehkan mereka tolak Nabi Nuh di khalayak ramai. Mereka buat begitu supaya mereka boleh mengawal masyarakat. Kerana mereka mahu orang ramai yang tidak menggunakan akal sendiri, rasa dalam diri mereka: “kalau pemimpin aku yang kaya raya ini pun tidak terima dia ni, bagaimana pula dengan aku? Takkan aku nak terima dia pula?”

Begitulah, zaman sekarang pun ramai yang berkuasa yang menentang dan menghalang dakwah dari golongan yang sunnah. Mereka kata berbagai-bagai cemuhan dan dalil yang bathil untuk menghalang gerakan sunnah. Mereka kata gerakan sunnah ini yang sesat, yang memecah belahkan masyarakat, yang suka mengkafirkan orang dan sebagainya. Itu semua tohmahan sahaja yang tiada asasnya.

Maka kita berhati-hatilah dengan apa yang diperkatakan oleh pemimpin kita. Janganlah kita terus terima apa yang mereka katakan. Allah telah berikan kita akal dan kebolehan untuk mendapatkan ilmu supaya kita boleh gunakan akal yang waras untuk melihat manakah kebenaran.

Banyak sekali ayat-ayat Qur’an yang menceritakan bagaimana sesalan yang akan dihadapi oleh mereka yang ikut membuta sahaja apa yang dikatakan oleh para pemimpin mereka. Jangan kita menyesal macam mereka nanti.


 

A’raf Ayat 61:

قالَ يا قَومِ لَيسَ بي ضَلالَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِن رَبِّ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Noah] said, “O my people, there is not error in me, but I am a messenger from the Lord of the worlds.

MALAY

Nabi Nuh menjawab: “Wahai KaumKu! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

قالَ يا قَومِ لَيسَ بي ضَلالَةٌ

Nabi Nuh menjawab: “Wahai KaumKu! Tidak ada padaku sebarang kesesatan,

Ini adalah jawapan dari Nabi Nuh. Baginda kata yang baginda tidak sesat sedikit pun. Lihatlah bahawa lafaz baginda ini disampaikan terus kepada kaumnya, bukan kepada ketua-ketua itu. Kerana para pemimpin itu berhujah kepada rakyat dan masyarakat, maka baginda menjelaskan kedudukan baginda terus kepada masyarakat juga.

وَلٰكِنّي رَسولٌ مِن رَبِّ العالَمينَ

tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

Baginda menegaskan bahawa baginda adalah rasul yang diutus oleh Allah, Tuhan sekalian alam. Baginda memperkenalkan diri baginda dan kedudukan yang telah diberikan oleh Allah. Maka mereka kena ikut kepada baginda, tidak ada pilihan lain lagi kalau mahu selamat.


A’raf Ayat 62: Apakah tugas Nabi Nuh?

أُبَلِّغُكُم رِسالاتِ رَبّي وَأَنصَحُ لَكُم وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I convey to you the messages of my Lord and advise you; and I know from Allāh what you do not know.

MALAY

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

أُبَلِّغُكُم رِسالاتِ رَبّي

“Aku menyampaikan kepada kamu perintah-perintah yang (diutuskan oleh) Tuhanku,

Kemudian baginda memberitahu tugas baginda, iaitu menyampaikan wahyu Tuhan. Semua yang baginda sampaikan itu bukan dari dirinya sendiri, tapi dari Allah. Inilah tugas utama baginda, menyampaikan risalah Allah.

وَأَنصَحُ لَكُم

serta aku memberi nasihat kepada kamu,

Dan baginda memberitahu yang baginda hanya memberi nasihat – tidak memaksa. Ianya adalah nasihat yang patut dan ikhlas sekali. Baginda beri nasihat itu kerana arahan dari Allah dan kerana baginda risaukan kaum baginda.

وَأَعلَمُ مِنَ اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Baginda layak untuk memberi nasihat kepada mereka kerana baginda mengetahui dari Allah perkara yang kaumnya tidak tahu kerana mereka tidak mendapat wahyu. Baginda dapat ilmu itu pun dari wahyu dan kerana itulah baginda sampaikan kepada kaum baginda.

Macam kita yang telah belajar wahyu, maka bolehlah kita menyampaikan kepada manusia perkara yang orang lain tidak tahu lagi. Memang kita kena sampaikan kerana kalau tidak sampaikan, maka umat akan jauh dari wahyu dan jauh dari agama.


 

A’raf Ayat 63: Sambungan dari kata-kata Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya yang menolak dakwah baginda.

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِن رَبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِنكُم لِيُنذِرَكُم وَلِتَتَّقوا وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do you wonder that there has come to you a reminder from your Lord through a man from among you, that he may warn you and that you may fear Allāh so you might receive mercy?”

MALAY

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”.

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِن رَبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِنكُم

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, 

Nabi Nuh sambung lagi dakwah baginda: adakah kamu rasa hairan datang wahyu dari Tuhan melalui lelaki yang manusia dari kalangan kamu? Baginda cakap begini kerana umat baginda tidak percayakan baginda kerana baginda manusia sama macam mereka juga. Beginilah alasan yang diberikan kepada Nabi Muhammad apabila baginda berdakwah kepada Musyrikin Mekah.

Adakah mereka nak malaikat turun baru mereka nak dengar? Tentulah tidak menghairankan kalau pembawa utusan itu dari kalangan manusia kerana kaum yang akan didakwahkan itu adalah dari kalangan manusia juga. Kalau manusia, kenalah manusia juga yang ajar kepada mereka. Kalaulah malaikat yang diturunkan, tentu susah hendak diikuti kerana malaikat lain dengan manusia.

لِيُنذِرَكُم

untuk memberi peringatan kepada kamu, 

Tujuan pemberi dakwah itu adalah untuk memberi peringatan dan ancaman. Apakah ancaman itu? Iaitu kalau tidak taat dan tidak sembah kepada Allah sahaja, akan dimasukkan ke dalam neraka.

وَلِتَتَّقوا

dan supaya kamu bertaqwa

Dan penyebar tauhid itu datang untuk mengingatkan umatnya untuk bertaqwa. Taqwa itu adalah dengan jaga hukum yang telah disampaikan oleh Allah. Dalam setiap perbuatan kita, kita kena sedar yang Allah sedang memerhatikan kita. Kerana kita sedar Allah sedang memerhatikan kita, maka kita akan jaga hukum. Kita akan tanya diri sendiri: “Allah mahu aku buat macam mana dalam hal ini? Apakah hukum perbuatan ini?”

وَلَعَلَّكُم تُرحَمونَ

dan juga supaya kamu beroleh rahmat”

Dan tujuan dakwah itu disampaikan adalah supaya manusia dapat rahmat dari Allah. Allah akan beri rahmat kepada mereka yang taqwa dan jaga hukum dalam kehidupan mereka. Mereka yang mendapat rahmat dari Allah akan mendapat kehidupan yang baik di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Ini penting kerana untuk masuk syurga memerlukan rahmat dari Allah. Tanpa rahmat, kita pasti tidak dapat masuk ke dalam syurga.


 

A’raf Ayat 64:

فَكَذَّبوهُ فَأَنجَيناهُ وَالَّذينَ مَعَهُ فِي الفُلكِ وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِآياتِنا ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا عَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they denied him, so We saved him and those who were with him in the ship. And We drowned those who denied Our signs. Indeed, they were a blind people.

MALAY

Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran)

فَكَذَّبوهُ

Mereka terus mendustakannya,

Maka mereka telah mendustakan Nabi Nuh dan tidak mengikut ajaran dan amaran dari baginda. Mereka tidak menerima ajaran Nabi Nuh itu dan mengatakan yang baginda sebenarnya seorang pendusta, sebab itu mereka tidak ikut.

فَأَنجَيناهُ وَالَّذينَ مَعَهُ فِي الفُلكِ

lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera,

Kerana mereka telah mendustakan baginda, maka mereka telah diberikan dengan azab banjir besar yang telah membunuh mereka semua. Tapi banjir besar itu tidak memusnahkan Nabi Nuh dan mereka-mereka yang beriman kepada baginda. Allah selamatkan mereka yang beriman.

وَأَغرَقنَا الَّذينَ كَذَّبوا بِآياتِنا

dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami.

Balasan kepada mereka yang menolak wahyu dari Allah itu adalah mereka ditenggelamkan dalam banjir besar. Ini adalah azab yang dikenakan kepada mereka semasa mereka di dunia lagi. Dan mereka terus dikenakan azab dalam Alam Barzakh dan nanti di neraka kelak.

إِنَّهُم كانوا قَومًا عَمينَ

Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta

Mereka adalah kaum yang buta hati. Mata fizikal mereka memang boleh nampak, tapi mata hati mereka tidak nampak kebenaran yang ada dalam wahyu itu. Kebenaran depan mata mereka pun mereka tidak nampak kerana mata hati mereka buka.

Habis Ruku’ 8 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


A’raf Ayat 65: Setelah disebut secara ringkas kisah Nabi Nuh secara ringkas, sekarang disebut Rasul yang seterusnya, iaitu Nabi Hud yang telah diutus kepada bangsa Aad.

Setelah banjir besar Nabi Nuh itu, yang tinggal dari kalangan manusia hanyalah mereka yang beriman sahaja. Tapi keturunan manusia selepas itu telah ada yang mengamalkan syirik juga. Maka dibangkitkan Nabi Hud dari kalangan mereka untuk mengingatkan mereka dan mengajak mereka ke arah agama Tauhid.

۞ وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا ۗ قالَ يا قَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِن إِلٰهٍ غَيرُهُ ۚ أَفَلا تَتَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to the ‘Aad [We sent] their brother Hūd. He said, “O my people, worship Allāh; you have no deity other than Him. Then will you not fear Him?”

MALAY

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? “

وَإِلىٰ عادٍ أَخاهُم هودًا

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud.

Ini adalah kisah kedua dalam Surah A’raf ini: Kisah Nabi Hud. Nabi Hud itu dari bangsa mereka juga. Memang selalunya Allah bangkitkan Rasul dan Nabi dari kalangan bangsa itu. Tujuannya adalah supaya mereka senang untuk menerima Rasul itu kerana datang dari bangsa mereka sendiri. Apabila dari bangsa mereka sendiri, tentulah Nabi itu kenal mereka dan tahu apakah masalah dan perangai mereka.

قالَ يا قَومِ اعبُدُوا اللَّهَ ما لَكُم مِن إِلٰهٍ غَيرُهُ

Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada ilah bagi kamu selain daripadaNya.

Lihatlah perkara yang sama dengan apa yang disebut Nabi Nuh. Ini adalah kerana mesej yang diberikan oleh para Rasul adalah sama sahaja. Begitu juga dengan Nabi Muhammad. Maka kita pun bawa mesej yang sama kepada masyarakat kita: kena amalkan tauhid dan jangan melakukan syirik kepada Allah.

أَفَلا تَتَّقونَ

Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya? “

Oleh kerana tidak ada ilah lain selain Allah, kenapa tidak taat kepada Allah sahaja? Kenapa masih lagi hendak mengamalkan syirik?

Manusia kena diingatkan dengan larangan syirik kerana kalau tidak, memang manusia akan senang ditipu dengan syaitan untuk mengamalkan syirik. Kita pun tahu bagaimana banyaknya amalan syirik dalam masyarakat sekarang. Ini adalah kerana ramai tidak faham bab syirik dan mereka tidak sangka yang amalan mereka itu adalah amalan syirik.


A’raf Ayat 66:

قالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ إِنّا لَنَراكَ في سَفاهَةٍ وَإِنّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الكاذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said the eminent ones who disbelieved among his people, “Indeed, we see you in foolishness, and indeed, we think you are of the liars.”

MALAY

Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampak kamu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta”.

قالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ إِنّا لَنَراكَ في سَفاهَةٍ

Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampak kamu berada dalam kebodohan,

Sekali lagi disebut tentang ketua kaum yang tidak beriman yang menolak ajaran dari Rasul mereka. Mereka kata mereka tengok baginda berada dalam keadaan kurang waras, bodoh. Mereka kata begitu kerana mereka lihat baginda telah meninggalkan resam tok nenek mereka yang telah diamalkan telah sekian lama. Bagi kaum dia, Nabi Hud itu bodoh kerana buat begitu.

وَإِنّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الكاذِبينَ

dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta”.

Dan mereka kata mereka baginda itu seorang pendusta. Mereka kata Nabi Hud itu menipu sahaja dengan mengatakan yang baginda dapat wahyu dari Allah tapi tidak pun sebenarnya. Ini semua adalah hujah untuk menjatuhkan kedudukan Nabi Hud. Mereka nak jatuhkan status Nabi Hud supaya orang tidak dengar ajaran dari baginda.

Begitulah juga yang dilakukan oleh puak Quraish kepada Nabi Muhammad. Mereka menyerang peribadi baginda setelah mereka tidak dapat berhujah dengan baginda kerana baginda menggunakan wahyu. Segala hujah yang digunakan kepada para Nabi yang terdahulu yang disebut itu sebenarnya telah digunakan kepada Nabi Muhammad juga. Allah nak beritahu yang bukan baginda sahaja yang dituduh sebegitu tapi Nabi-nabi yang lain juga.


A’raf Ayat 67:

قالَ يا قَومِ لَيسَ بي سَفاهَةٌ وَلٰكِنّي رَسولٌ مِن رَبِّ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Hūd] said, “O my people, there is not foolishness in me, but I am a messenger from the Lord of the worlds.

MALAY

Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

قالَ يا قَومِ لَيسَ بي سَفاهَةٌ

Nabi Hud menjawab: “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, 

Nabi Hud jawab yang baginda tidak bodoh walau sedikit pun. Akal baginda waras. Mana mungkin seorang Rasul itu dari kalangan orang yang bodoh. Allah memilih para Nabi dari kalangan mereka yang otak waras dan cerdik.

وَلٰكِنّي رَسولٌ مِن رَبِّ العالَمينَ

tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.

Nabi Hud mengingatkan mereka bahawa baginda adalah utusan dari Allah. Dan baginda hanya menyampaikan mesej dan wahyu dari Allah sahaja. Bukannya kata-kata itu dari baginda sendiri.


A’raf Ayat 68:

أُبَلِّغُكُم رِسالاتِ رَبّي وَأَنا لَكُم ناصِحٌ أَمينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

I convey to you the messages of my Lord, and I am to you a trustworthy adviser.

MALAY

“(Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.

أُبَلِّغُكُم رِسالاتِ رَبّي

Aku menyampaikan kepada kamu akan perintah-perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, 

Baginda beritahu yang tugas baginda adalah untuk sampaikan wahyu dari Allah. Ini sama seperti yang diberitahu oleh Nabi Nuh sebelum ini. Memang para Nabi bawa perintah dari Allah melalui wahyuNya. Maka kita pun kenalah begitu juga.

Kerana itulah pelajaran utama yang kena disampaikan kepada masyarakat adalah pengajian Tafsir Qur’an. Malangnya, inilah yang jarang diajar kepada masyarakat. Kerana itu masyarakat sekarang amat jauh dengan wahyu Allah.

وَأَنا لَكُم ناصِحٌ أَمينٌ

dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah, bagi kamu.

Dan baginda menegaskan yang baginda adalah pemberi nasihat yang jujur. Maksudnya baginda tidak tambah dan tidak kurangkan dari wahyu yang Allah telah sampaikan kepada baginda. Apa sahaja yang Allah suruh sampaikan, baginda akan sampaikan.

Kita pun begitu juga, jangan kita simpan dan sorok ajaran dari Qur’an ini. Jangan ada rasa perkara yang terlalu berat yang masyarakat tidak dapat terima. Malangnya ada guru agama yang takut nak sampaikan semuanya kepada masyarakat.

Mereka takut kalau mereka sampaikan, masyarakat akan marah. Kerana itulah pengajaran tentang syirik tidak diajar dan pengajaran tentang bidaah juga jarang diajar. Guru agama banyak biarkan sahaja amalan anak murid kerana mereka takut nak sampaikan.


A’raf Ayat 69:

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِن رَبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِنكُم لِيُنذِرَكُم ۚ وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً ۖ فَاذكُروا آلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do you wonder that there has come to you a reminder from your Lord through a man from among you, that he may warn you? And remember when He made you successors after the people of Noah and increased you in stature extensively. So remember the favors of Allāh that you might succeed.”

MALAY

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

أَوَعَجِبتُم أَن جاءَكُم ذِكرٌ مِن رَبِّكُم عَلىٰ رَجُلٍ مِنكُم لِيُنذِرَكُم

“Adakah kamu merasa hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, 

Kata-kata yang sama yang telah disampaikan oleh Nabi Nuh kepada kaumnya. Adakah kaum Aad itu hairan yang penyampai wahyu ini adalah seorang manusia? Penyampai wahyu kepada manusia mestilah dari kalangan manusia juga, bukan malaikat.

Ini menyentuh secara langsung hujah dari Musyrikin Mekah yang mempersoalkan kenapa tidak malaikat yang mengajar mereka wahyu dari Allah.

وَاذكُروا إِذ جَعَلَكُم خُلَفاءَ مِن بَعدِ قَومِ نوحٍ

Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh,

Dan baginda suruh mereka ingat yang Allah telah jadikan mereka sebagai keturunan baru setelah hancurnya kaum Nabi Nuh. Mereka datang selepas kaum Nabi Nuh. Ini dalil yang kaum Aad itu adalah kaum selepas Banjir Besar. Selepas Banjir Besar itu tidak ramai manusia yang masih hidup.

Semua mereka itu adalah beriman belaka kerana mereka sanggup ikut Nabi Nuh. Tapi lama kelamaan anak cucu keturunan mereka telah menjadi sesat. Kerana itulah Nabi Hud dibangkitkan untuk memberi peringatan kepada mereka. Maka Nabi Hud ingatkan mereka, mereka baru sahaja berkembang biak setelah Banjir Besar itu. Takkan nak amalkan balik amalan salah manusia yang menyebabkan mereka semua dilemaskan?

وَزادَكُم فِي الخَلقِ بَسطَةً

dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu.

Dan mereka disuruh untuk ingat bagaimana Allah telah tambah satu kelebihan kepada mereka melebihi orang lain, iaitu kekuatan tubuh badan. Mereka amat kuat sampaikan mereka boleh cabut pokok tamar dengan sebelah tangan sahaja.

فَاذكُروا آلاءَ اللَّهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya”.

Dan hendaklah mereka ingat akan nikmat-nikmat Allah yang lain yang telah diberikan kepada mereka. Kalau kita kenang segala kelebihan dan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita, maka kita akan senang untuk taat kepada Allah. Kalau sesiapa sahaja yang telah banyak jasa kepada kita, tentulah kita mahu taat kepada mereka, dan mahu menggembirakan hati mereka, bukan?


A’raf Ayat 70:

قالوا أَجِئتَنا لِنَعبُدَ اللَّهَ وَحدَهُ وَنَذَرَ ما كانَ يَعبُدُ آباؤُنا ۖ فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّادِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Have you come to us that we should worship Allāh alone and leave what our fathers have worshipped? Then bring us what you promise us,1 if you should be of the truthful.”

  • i.e., Allāh’s punishment.

MALAY

Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

قالوا أَجِئتَنا لِنَعبُدَ اللَّهَ وَحدَهُ

Mereka berkata: “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, 

Mereka hairan dengan ajaran tauhid dari baginda. Mereka tidak dapat terima yang mereka hanya boleh puja dan sembah Allah sahaja, tidak boleh tawasul (menggunakan perantaraan dalam doa) dan tidak boleh syirik. Ini menunjukkan bahawa mereka kenal Allah. Cuma mereka menyembah ilah-ilah lain selain Allah juga.

Begitu juga dengan masyarakat Arab yang kenal Allah tapi mereka sembah Allah bersama dengan ilah-ilah dan pujaan yang lain. Ini juga sama dengan kebanyakan dari masyarakat kita yang tidak faham tauhid dan tidak faham maksud ilah. Mereka sangka mereka orang Islam dan beriman tapi sebenarnya mereka berbuat syirik.

Begitu jugalah dengan masyarakat kita yang jahil bab tauhid dan syirik. Mereka tidak kenal apakah ilah itu. Kerana itu ramai yang berdoa menggunakan perantaraan seperti Nabi, wali dan malaikat. Mereka tidak tahu yang perkara itu dilarang dalam Qur’an. Ini adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an.

وَنَذَرَ ما كانَ يَعبُدُ آباؤُنا

dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami?

Dan mereka tidak dapat terima ajaran Nabi Hud yang mengajak mereka meninggalkan amalan dan ajaran tok nenek mereka yang dahulu. Kerana mereka sudah lama mengamalkannya dan mereka yakin bahawa ajaran tok nenek itu adalah benar.

Begitulah juga yang dikatakan oleh Musyrikin Mekah, dan begitulah juga yang dikatakan oleh masyarakat kita. Apabila kita ajar ajaran tauhid kepada mereka, mereka bawa hujah yang amalan-amalan yang mereka amalkan itu sudah lama diamalkan oleh golongan terdahulu, jadi takkan salah?

Ini semua terjadi oleh kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an, hanya tahu baca sahaja macam burung belatok. Mereka sampai tidak sedar yang hujah mereka itu sama sahaja dengan hujah kaum-kaum yang syirik yang menentang Rasul-rasul mereka.

فَأتِنا بِما تَعِدُنا إِن كُنتَ مِنَ الصّادِقينَ

maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.

Ini adakah kata-kata manusia yang amat bodoh sekali. Mereka tidak percaya dengan ancaman yang dibawa oleh Nabi Hud, maka mereka kata: “kalau benarlah kami akan kena azab kalau kami buat syirik ini, maka bawa marilah azab yang dijanjikan itu”

Ini adalah kata-kata engkar yang amat bahaya sekali. Sepatutnya mereka minta diselamatkan tapi sekarang mereka minta azab diturunkan terus atas mereka? Dan memang ada juga manusia yang kata begini sekarang pun, kerana Allah telah letak dalam Qur’an. Cuma mungkin jarang didengari kerana ianya adalah kata-kata yang amat bodoh dan amat bahaya sekali.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Februari 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s