Tafsir Surah al-A’raf Ayat 52 – 54 (Hanya Allah layak disembah)

Ayat 52: Sebelum ini telah disebut tentang golongan yang masuk neraka. Allah memberitahu bukanlah Dia zalim kerana memasukkan mereka ke dalam neraka, kerana Dia telah memberikan wahyu kepada mereka, telah membangkitkan para Rasul untuk memperjelaskan tentang wahyu itu. Maka tidak ada alasan lagi atas mereka kerana Allah telah patahkan alasan mereka itu.

وَلَقَد جِئناهُم بِكِتابٍ فَصَّلناهُ عَلىٰ عِلمٍ هُدًى وَرَحمَةً لِقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had certainly brought them a Book which We detailed by knowledge – as guidance and mercy to a people who believe.

MALAY

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

وَلَقَد جِئناهُم بِكِتابٍ فَصَّلناهُ عَلىٰ عِلمٍ

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Qur’an) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan

Allah telah sampaikan kepada mereka wahyu Qur’an. Dalam Qur’an itu telah jelas memperkatakan tentang agama terutama tentang aqidah yang telah diterangkan dengan jelas.

Dan Allah telah huraikan Qur’an yang betul-betul kuat dalilnya. Allah telah bangkitkan Nabi Muhammad untuk memperjelaskan bagaimana beramal dengan Qur’an. Itulah maksud ‘ilmu’ dalam ayat ini. Ianya berdasarkan ilmu Allah yang maha luas.

هُدًى وَرَحمَةً لِقَومٍ يُؤمِنونَ

untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

Qur’an itu memberi petunjuk dan orang yang mempelajari dan mengamalkannya akan mendapat rahmat bila diamalkan. Ianya diberikan kepada semua orang, tapi yang dapat mengambil manfaat darinya adalah orang mahu beriman.

Kerana mereka mahu beriman, mereka menjadikan Qur’an itu sebagai sumber petunjuk dan sumber rahmat. Itulah sebabnya kita mesti mempelajari Qur’an ini dengan belajar tafsir, dan bukan setakat membacanya sahaja tanpa memahaminya.


Ayat 53: Takhwif ukhrawi

هَل يَنظُرونَ إِلّا تَأويلَهُ ۚ يَومَ يَأتي تَأويلُهُ يَقولُ الَّذينَ نَسوهُ مِن قَبلُ قَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ فَهَل لَنا مِن شُفَعاءَ فَيَشفَعوا لَنا أَو نُرَدُّ فَنَعمَلَ غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ ۚ قَد خَسِروا أَنفُسَهُم وَضَلَّ عَنهُم ما كانوا يَفتَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they await except its result?¹ The Day its result comes those who had ignored it before will say, “The messengers of our Lord had come with the truth, so are there [now] any intercessors to intercede for us or could we be sent back to do other than what we used to do?” They will have lost themselves, and lost from them is what they used to invent.

  • The fulfillment of what is promised in the Qur’ān.

MALAY

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Qur’an), pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu: “Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.

هَل يَنظُرونَ إِلّا تَأويلَهُ

Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibatnya

Mereka tidak tunggu melainkan hukuman Allah hasil dari makna Qur’an itu. Iaitu tafsiran Allah dari ayat Qur’an untuk mengazab mereka. Iaitu janji-janji Allah dalam Qur’an. Mungkin susah sedikit untuk faham ayat ini. Kita cuba jelaskan.

Takwil dari ayat Qur’an itu akan jelas apabila ianya benar-benar terjadi. Kita selalu cuba memberi penjelasan tentang ayat-ayat Qur’an itu. Tapi itu sebagai cubaan pemahaman dari kita sahaja. Sebagai contoh, kita cuba menjelaskan tentang azab neraka itu. Tapi, ianya menjadi amat jelas, apabila ianya berlaku betul-betul depan mata. Itu adalah takwil yang amat jelas sekali. Tidak ada takwil yang lebih jelas dari itu.

Jadi, dalam ayat ini, Allah tanya: adakah mereka nak tunggu sampai azab yang dijanjikan itu betul-betul telah ada depan mata mereka? Kenapa bodoh sangat sampai nak tunggu ianya benar-benar terjadi baru nak percaya? Waktu itu sudah terlambat – kalau waktu itu baru nak beriman, susah tidak diterima lagi iman mereka.

يَومَ يَأتي تَأويلُهُ يَقولُ الَّذينَ نَسوهُ مِن قَبلُ

pada hari datangnya apa yang telah dijanjikan dalam Al-Qur’an itu (pada hari kiamat kelak), berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak menghiraukannya dalam dunia) dahulu:

Bila azab sudah ada depan mata mereka, barulah orang yang tidak hiraukan ayat-ayat Qur’an itu dulu, nak percaya. Dan waktu itu baru mereka menyesal amat-amat menyesal. Apa yang mereka akan kata sebagai alasan dari mereka?

قَد جاءَت رُسُلُ رَبِّنا بِالحَقِّ

“Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran,

Bila sudah nampak apa yang telah dijanjikan dalam Qur’an itu nyata di depan mata mereka, baru mereka nak mengaku yang memang telah datang Rasul kepada mereka yang bawa kebenaran. Tidak ada alasan lagi yang mereka boleh keluarkan, maka mereka mengaku sahaja.

Memang setiap kaum telah diberikan dengan Rasul penyebar tauhid. Kalau kita yang tidak ada rasul ini, ia merujuk kepada penyebar tauhid yang telah datang kepada kita. Waktu itu baru mereka nampak bahawa apa yang disampaikan oleh Rasul itu atau penyebar tauhid itu adalah benar belaka.

فَهَل لَنا مِن شُفَعاءَ فَيَشفَعوا لَنا

maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami 

Waktu itu, mereka sungguh-sungguh mengharap ada pemberi syafaat yang boleh memberi sokongan kepada mereka, yang boleh rekomen tentang mereka kepada Allah. Kerana mereka tahu yang mereka dalam masalah yang amat besar dan mereka tidak akan dapat menyelamatkan diri mereka sendiri. Mereka mengharapkan sangat kepada bantuan luar. Maka sekarang mereka tanya adakah bagi mereka pemberi syafaat?

أَو نُرَدُّ فَنَعمَلَ غَيرَ الَّذي كُنّا نَعمَلُ

atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?”

Atau mereka minta supaya mereka diberi peluang untuk balik ke dunia untuk buat amalan lain dari amalan mereka dahulu. Dulu mereka buat amalan yang salah – amalan syirik dan bidaah. Mereka mengaku yang amalan mereka dulu salah.

Jadi, mereka hendak sangat supaya mereka dikembalikan ke dunia supaya mereka nak buat amalan yang lain – amalan yang baik, yang tauhid. Permintaan sebegini amat banyak diceritakan dalam Qur’an. Maka, hendaklah kita ambil pengajaran, supaya kita jangan jadi macam mereka. Buatlah amal kebaikan semasa kita ada kesempatan di dunia ini lagi. Kerana kita tidak ada peluang kedua. Peluang kita sekali sahaja semasa kita hidup di dunia ini.

قَد خَسِروا أَنفُسَهُم

Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri,

Allah beritahu jawapan kepada permintaan mereka: mereka telah merugikan diri mereka kerana tidak ambil peluang semasa hidup dulu supaya beramal yang soleh.

Sekarang peluang sudah tidak ada kerana mereka telah mati, dan bumi telah dihancurkan sehancur-hancurnya, jadi tidak akan dipulangkan ke dunia lagi. Permintaan mereka itu sia-sia sahaja. Jadi, janganlah kita rugikan diri kita sekarang.

وَضَلَّ عَنهُم ما كانوا يَفتَرونَ

dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.

Segala benda yang mereka reka tentang agama, tidak ada. Sebagai contoh, mereka reka kata wali dan Nabi yang mereka sembah dan seru itu akan beri bantuan dan syafaat kepada mereka. Tetapi bantuan yang mereka kata ada itu, tidak sampai-sampai. Kerana memang tidak ada pun, mereka sahaja yang reka pemahaman tiada asas itu.

Habis Ruku’ 6 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


Ayat 54: Ini adalah Dakwa yang ketiga. Allah sahaja yang berhak disembah dan dipuja kerana Dia sahaja yang ada sifat kesempurnaan. Maka kerana itu Allah menceritakan sifatNya dalam ayat ini:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ يُغشِي اللَّيلَ النَّهارَ يَطلُبُهُ حَثيثًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ وَالنُّجومَ مُسَخَّراتٍ بِأَمرِهِ ۗ أَلا لَهُ الخَلقُ وَالأَمرُ ۗ تَبارَكَ اللَّهُ رَبُّ العالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord is Allāh, who created the heavens and earth in six days and then established Himself above the Throne. He covers the night with the day, [another night] chasing it rapidly; and [He created] the sun, the moon, and the stars, subjected by His command. Unquestionably, His is the creation and the command; blessed is Allāh, Lord of the worlds.

MALAY

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Berkat Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa

Allah lah sahaja yang mencipta alam ini tanpa ada pertolongan dari sesiapa. Dan bukan sahaja Allah ingatkan Dia yang menjadikan alam ini, dalam ayat ini Allah memberi maklumat perkara ghaib kepada kita. Iaitu Allah memberitahu yang Dia mencipta alam ini dalam enam ‘masa’.

Kalau Allah tidak beritahu hal ini, kita tidak akan tahu kerana kita tidak ada semasa penciptaan alam ini. Apakah maksud ‘enam masa’ itu? Penjelasan tentang perkara ini dijelaskan dalam ayat-ayat yang lain.

ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ

lalu Dia bersemayam di atas Arasy;

Setelah Dia mencipta alam ini, Dia kemudian telah bersemayam di atas Arash. Perkara ini pun menjadi satu perbalahan yang membuang masa di kalangan masyarakat Islam kita zaman berzaman, tentang kedudukan Allah.

Oleh kerana itu, kita pun tidak mahu buang masa membincangkan perkara itu. Ini adalah ayat Mutashabihat yang kita tidak tahu maksud sebenarnya. Ubat kepada segala permasalahan ini adalah firman Allah dalam ayat yang lain:

{لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ}

Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat, (Asy-Syura: 11)

Apabila Allah beritahu yang Dia bersemayam di Arash, maka kita kena terima. Tapi tidaklah kita dapat bayangkan bagaimana kedudukan Allah di atas Arash. Yang pasti, kalau Allah berfirman yang Dia bersemayam, duduk atau berada di Arash, itu tidaklah sama dengan duduknya makhlukNya kerana Dia sama sekali tidak ada sama dengan makhlukNya.

يُغشِي اللَّيلَ النَّهارَ يَطلُبُهُ حَثيثًا

Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti)

Allah lah yang menutup malam ke atas siang. Apabila siang datang, ia menutup malam dan kejadian itu berlaku dengan cepat sekali. Apabila fajar menyinsing, maka hilanglah malam.

Ianya berlaku setiap hari, tapi kita sahaja yang tidak perasan yang kejadian itu semua dalam perancangan dan kuasa Allah. Kerana ianya berlaku setiap hari, kita macam tidak perasan yang itu adalah manifestasi kepada kuasa Allah. Nanti apabila malam berlaku lagi, ingatlah bahawa Qudrat Allah sedang berjalan.

وَالقَمَرَ وَالنُّجومَ مُسَخَّراتٍ بِأَمرِهِ

dan matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya.

Bulan dan bintang dan segala planet-planet bergerak atas perintahNya. Semua itu tidak bergerak tanpa kebenaran dari Allah. Allah yang mengatur perjalanan planet-planet dan segala yang berada di langit dan di bumi. Dan perancangan Allah amat rapi sekali. Kajian sains telah memberitahu kita yang kalaulah ada sedikit sahaja perubahan dalam kedudukan planet-planet itu, maka akan habis bertempiaranlah alam ini.

أَلا لَهُ الخَلقُ وَالأَمرُ

Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. 

Tidakkah Allah memiliki segala benda yang diciptaNya? Setelah Dia cipta, tentulah Dia juga yang menguruskan alam ini. Dan Dialah juga yang membuat keputusan dan memberi arahan terhadap setiap perkara. Hanya Dia sahaja yang layak dan ada kuasa itu. Tidak ada entiti lain yang ada kuasa ini.

تَبارَكَ اللَّهُ رَبُّ العالَمينَ

Maha Berkat Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Hanya Allah sahaja yang mempunyai berkat dan buat keputusan dimana berkat itu akan diturunkan. Maka kerana itu kenalah kita minta berkat dari Allah, bukannya dari wali dan dari tok guru. Bab syirik dalam berkat ini disebut dalam ayat-ayat yang lain.

Dialah Rabb – yang mencipta dan kemudian Dia yang memelihara alam ini dan menguruskannya. Tidak ada berlaku tanpa urusan dariNya. Setelah Allah cipta kita semua, Allah terus mengurus kita dan keperluan hidup kita.

Oleh itu, hanya sembah dan seru Dia sahaja. Kerana perkara-perkara yang disebut di atas, adalah sifat yang Dia sahaja yang ada. Maka jangan kita mengambil ilah-ilah yang lain seperti Nabi, wali dan juga malaikat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Februari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s