Tafsir Surah al-A’raf Ayat 24 – 29 (Ikut amalan tok nenek)

A’raf Ayat 24:

قالَ اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Descend, being to one another enemies. And for you on the earth is a place of settlement and enjoyment [i.e., provision] for a time.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.

قالَ اهبِطوا

Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian

Allah berfirman: turunlah kamu semua. Dikatakan ‘semua’, kerana yang turun ke dunia itu termasuk juga zuriat mereka berdua. Dan maksudnya ‘semuanya’, kerana termasuk iblis diturunkan juga dari syurga ke dunia.

بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ

sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. 

Setengah mereka akan jadi musuh setengah yang lain. Inilah perangai manusia apabila duduk di dunia. Kalau semuanya duduk syurga tidak ada masalah kerana tiada permusuhan di syurga.

Tetapi bila manusia duduk di dunia, macam-macam masalah ada. Lelaki jadi musuh kepada wanita, wanita jadi musuh kepada lelaki, manusia jadi musuh kepada syaitan dan sebaliknya. Dan permusuhan sesama manusia pun sudah banyak. Itu semua kita akan tempuhi selama mana kita hidup di dunia ini.

وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتٰعٌ إِلىٰ حينٍ

Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.

Bagi kita semua di dunia ini, telah ada satu tempoh yang ditetapkan untuk kita tinggal di dunia ini. Di dunia ini kita boleh nikmati segala nikmat yang Allah telah sediakan untuk kita. Tapi ingatlah yang tempat tinggal di dunia ini untuk sementara waktu sahaja. Sampai masa kita akan dimatikan dan sampai masa, dunia akan kiamat dan semua akan mengadap Allah nanti. Maka kena ingat yang dunia ini tidak kekal, maka jangan kita lebihkan sangat dunia ini berbanding akhirat.


 

A’raf Ayat 25:

قالَ فيها تَحيَونَ وَفيها تَموتونَ وَمِنها تُخرَجونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Therein you will live, and therein you will die, and from it you will be brought forth.”

(MALAY)

Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.

قالَ فيها تَحيَونَ

Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup

Allah kata: kamu akan hidup di dunia. Di sinilah tempat kita cari kehidupan kita, dari kita lahir, sampai kita menghembuskan nafas terakhir. Di sinilah juga tempat yang kita gunakan untuk mengumpul pahala untuk dibawa ke akhirat kelak. Maknanya, jangan ingat makan sahaja tapi hendaklah beringat untuk mengumpul amal dan pahala.

وَفيها تَموتونَ

dan di bumi itu kamu mati,

Dan selepas menjalani kehidupan sekian lama, kita akan mati dan mati itu pun semasa di dunia. Kita kena sentiasa ingat tentang kematian. Ini penting kerana dengan ingat kematian lah yang menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa.

وَمِنها تُخرَجونَ

dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.

Dan dari dunia inilah nanti kita semua akan dihidupkan kembali. Kita akan dikuburkan dan kita akan dibangkitkan dari kubur yang dalam tanah itu juga nanti.

Habis Ruku’ 2 dari 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 26: Allah beri nasihat kepada anak Adam dengan empat nasihat. Setiap satu ayat itu dimulai dengan lafaz ‘Wahai anak Adam’.

Ini adalah ayat sokongan kepada Dakwa kedua: ikut wahyu yang Allah sampaikan dan jaga hukum Allah.

Ini adalah nasihat pertama:

يا بَني آدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا يُواري سَوآتِكُم وَريشًا ۖ وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ ۚ ذٰلِكَ مِن آياتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, We have bestowed upon you clothing to conceal your private parts and as adornment. But the clothing of righteousness – that is best. That is from the signs of Allāh that perhaps they will remember.

(MALAY)

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

يا بَني آدَمَ قَد أَنزَلنا عَلَيكُم لِباسًا

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian

Selepas dengar kisah datuk kamu dan apa yang telah terjadi kepada mereka berdua, maka dengarlah nasihat dalam ayat ini. Sebelum ini Allah telah menceritakan bagaimana Nabi Adam dan Hawa telah diberi hukuman semasa di syurga di atas kesalahan mereka, dimana mereka telah dinampakkan dengan aurat mereka, apabila pakaian mereka dicabut.

Dan sekarang dalam ayat ini pula, Allah beritahu yang Dia telah menurunkan pakaian untuk kita. Ini menunjukkan yang kita tidak salah (tidak mewarisi dosa Nabi Adam dan Hawa). Kerana kalau kita salah, kita pun mewarisi hukuman yang dikenakan kepada mereka berdua (terus ditelanjangkan). Tapi nampaknya tidaklah begitu.

Jadi ini menolak fahaman sesat ‘dosa warisan’ (Original Sin) yang dipegang oleh puak Kristian. Mereka kata kita manusia adalah makhluk yang disumpah, lahir-lahir terus ada dosa. Itu adalah fahaman yang karut sekali kerana bersangka buruk dengan Allah dan alasan itu tidak ada dalilnya.

يُواري سَوآتِكُم

untuk menutup auratmu

Tujuan pakaian pakaian itu diturunkan untuk kita adalah untuk menutup aurat. Jadi, kalau pakai pakaian, tapi tidak menutup aurat, itu tidaklah seperti yang dikehendaki oleh Allah. Itu maknanya tidak pakai pakaian sebenarnya.

وَريشًا

dan untuk perhiasan. 

Jadi, pakaian itu diberikan kepada kita untuk menutup aurat dan juga sebagai perhiasan. Tutup aurat itu wajib dan memakai perhiasan itu hukumnya harus. Dibolehkan asalkan tidak melakukan perkara yang haram.

Ini adalah kerana lafaz ريشًا bermaksud ‘keindahan pada pakaian’. Jadi, kita bukan sahaja disuruh untuk menutup aurat kita tapi kita juga digalakkan untuk memakai pakaian yang cantik. Nabi pun dalam sirah dan hadis, disebut selalu memakai pakaian yang cantik-cantik. Ada pakaian yang diberi kepada baginda sebagai hadiah oleh para sahabat.

Oleh itu, berpakaianlah dengan kemas dan cantik. Allah mahu supaya kita cantik dengan pakaian kita. Kerana itu Dia telah menurunkan kepada kita pakaian yang cantik-cantik. Cuma bagi wanita, janganlah pakai pakaian yang menarik perhatian lelaki.

وَلِباسُ التَّقوىٰ ذٰلِكَ خَيرٌ

Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.

Tapi dalam menyebut tentang pakaian yang zahir, Allah menyebut bahawa pakaian taqwa lebih baik lagi. Itu adalah pakaian rohani iaitu ketaatan kepada Allah. Oleh kerana taqwa itu dalam hati, jadi kita perlu mencantikkan hati kita sepertimana kita juga disuruh mencantikkan pakaian kita.

Juga ia bermaksud pakaian yang dipakai itu hendaklah pakaian yang menunjukkan taqwa. Bukannya pakaian yang ketat dan menunjukkan bentuk badan. Ramai antara kita yang pakai pakaian yang sudah tutup aurat kononnya, tapi kalau pakaian itu ketat, ia tidak sesuai dan tidak menepati syarak lagi. Jangan juga pakai pakaian yang menunjukkan kesombongan kerana Allah tidak suka orang yang sombong.

ذٰلِكَ مِن آياتِ اللَّهِ لَعَلَّهُم يَذَّكَّرونَ

Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Allah mahu kita ingat kepadaNya. Oleh itu, hendaklah kita memakai pakaian dan dalam masa yang sama, dengan pakaian itu kita boleh ingat kepada Allah.

Ini menunjukkan segala apa yang kita lakukan adalah dalam rangka untuk mengingatkan kepada Allah. Dalam pakai baju pun boleh ingat kepada Allah. Semasa pakai baju, ingatlah yang baju itu diberi oleh Allah. Dan kita pakai baju itu kerana mengikut arahan Allah untuk menutup aurat kita. Dan kita seboleh mungkin pakai pakaian yang menunjukkan ketaqwaan kita.

Ini penting untuk diingati dan kerana itu ada doa yang Nabi ajar semasa pakai baju. Kita diingatkan sentiasa yang baju itu diberi oleh Allah, Allah telah beri nikmat kepada kita supaya dapat pakai baju yang cantik.

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ، حَدَّثَنَا أصْبَغُ، عَنْ أَبِي الْعَلَاءِ الشَّامِيِّ قَالَ: لَبِسَ أَبُو أُمَامَةَ ثَوْبًا جَدِيدًا، فَلَمَّا بَلَغَ تَرْقُوَتَه قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي، وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي. ثُمَّ قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “مَنِ اسْتَجَدَّ ثَوْبًا فَلَبِسَهُ فَقَالَ حِينَ يَبْلُغُ تَرْقُوَتَهُ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي مَا أُوَارِي بِهِ عَوْرَتِي، وَأَتَجَمَّلُ بِهِ فِي حَيَاتِي ثُمَّ عَمَدَ إِلَى الثَّوْبِ الَّذِي خَلُقَ أَوْ: أَلْقَى فَتَصَدَّقَ بِهِ، كَانَ فِي ذِمَّةِ اللَّهِ، وَفِي جِوَارِ اللَّهِ، وَفِي كَنَفِ اللَّهِ حَيًّا وَمَيِّتًا، [حَيًّا وَمَيِّتًا، حَيًّا وَمَيِّتًا] “

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Yazid ibnu Harun, telah menceritakan kepada kami Asbag, dari Abul Ala Asy-Syami yang menceritakan bahawa Abu Umamah memakai pakaian baru, ketika pakaiannya sampai pada tenggorokannya, dia mengucapkan doa berikut: Segala puji bagi Allah yang telah memberi saya pakaian untuk menutupi aurat saya dan untuk memperindah penampilan dalam hidup saya. Kemudian Abu Umamah mengatakan, dia pernah mendengar Umar ibnul Khattab bercerita bahawa dia pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Barang siapa memakai pakaian baru dan di saat memakainya hingga sampai pada tenggorokannya dia mengucapkan doa berikut, “Segala puji bagi Allah yang telah memberi saya pakaian untuk menutupi aurat saya dan untuk memperindah penampilan dalam hidup saya,” kemudian dia menuju ke pakaian bekasnya dan menyedekahkannya, maka dia berada di dalam jaminan Allah dan berada di sisi Allah serta berada di dalam pemeliharaan Allah selama hidup dan mati(nya).

Doa Ketika Memakai Pakaian 

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ كَسَانِىْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِحَوْلٍ مِنِّىْ وَلاَقُوَّةٍ

Segala puji bagi Allah yang memberi aku pakaian ini dan memberi rizqi dengan tiada upaya dan kekuatan dariku


 

A’raf Ayat 27: Ini nasihat kedua.

يا بَني آدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطانُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِنَ الجَنَّةِ يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوآتِهِما ۗ إِنَّهُ يَراكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم ۗ إِنّا جَعَلنَا الشَّياطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, let not Satan tempt you as he removed your parents from Paradise, stripping them of their clothing¹ to show them their private parts. Indeed, he sees you, he and his tribe, from where you do not see them. Indeed, We have made the devils allies to those who do not believe.

  • The garments of Paradise.

(MALAY)

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

يا بَني آدَمَ لا يَفتِنَنَّكُمُ الشَّيطانُ كَما أَخرَجَ أَبَوَيكُم مِنَ الجَنَّةِ

Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga,

Jangan lagi kamu ditipu oleh syaitan seperti datuk nenek kamu telah dikeluarkan dari syurga. Jangan biarkan mereka datang kepada kamu pun. Kamu patut benci kepada syaitan kerana segala keburukan yang ada pada mereka, termasuklah kerana mereka telah menyebabkan Datuk dan Nenek kita yang telah susah kerana dikeluarkan dari syurga kerana tipu daya mereka.

Macam juga kalau ada orang yang kacau ahli keluarga kita, kita pun marah kepada mereka, bukan? Maka kenalah kita benci kepada syaitan. Tapi adakah kita rasa begitu? Adakah kita rasa yang Nabi Adam dan Hawa itu sebagai orang yang tidak ada kena mengena dengan kita, sampaikan kita tidak rasa sakit hati pun apabila mereka diperlakukan sedemikian oleh Iblis?

Jangan begitu, hendaklah kita sayang kepada mereka berdua seperti juga kita sayang kepada ibubapa kita sendiri. Musuh kepada mereka, juga musuh kepada kita. Maka sebagai musuh kita, kita hendaklah tahu bagaimana cara mereka menipu manusia, iaitu dengan belajar ilmu Talbis Iblis (Belitan Iblis) supaya kita tahu dengan jelas bagaimana untuk mempertahankan diri kita dari tipuan syaitan dan iblis.

يَنزِعُ عَنهُما لِباسَهُما لِيُرِيَهُما سَوآتِهِما

ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.

Lihatlah apa yang telah syaitan lakukan, dia telah menyebabkan tercabut pakaian Nabi Adam dan Hawa yang akibatnya ternampak aurat mereka. Tidakkah kita rasa marah dengan perbuatan syaitan itu? Oleh itu, jangan ikut syaitan. Jangan termakan dengan pujukan dan bisikan mereka, dan kenalah kita belajar bagaimanakah cara-cara mereka menipu.

Dalam sejarah bangsa Arab, sebelum kedatangan Islam, golongan Jahiliyyah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Ini pun adalah dari tipu daya syaitan juga. Mereka beri hujah, kena berbogel sebab semasa mereka dijadikan oleh Allah taala, dalam keadaan bogel juga. Ini adalah kerana mereka telah berjaya menelanjangkan tok nenek kita, maka sentiasa sahaja mereka berusaha untuk menelanjangkan anak cucunya.

إِنَّهُ يَراكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم

Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. 

Ayat ini memberitahu kita yang syaitan boleh tengok kita, dia dan anak keturunan dia – dari kalangan jin. Dan bukan itu sahaja, Allah beritahu juga yang kita sendiri tidak boleh nampak mereka.

Perkara ini penting untuk diketahui kerana ada ramai yang ada masalah dengan perkara ini. Ramai yang kata mereka boleh nampak jin, nampak hantu, boleh rasa jin ada berapa ekor dalam bilik, boleh nampak bayangan jin, boleh scan jin dan sebagainya. Ini tidak patut berlaku kerana yang sepatutnya kita tidak boleh langsung nampak mereka.

Dan kalau kisah yang manusia boleh nampak, itu ada dua kemungkinan: mungkin kerana seseorang itu ada karomah atau kerana memang orang itu memang rapat dengan syaitan. Kerana rapat dengan jin sampai boleh nampak dan rasa kehadiran jin.

Adat kebiasaannya, manusia memang tidak boleh nampak syaitan. Rupa asal syaitan tidak boleh tengok, tapi yang biasa nampak itu hanya jelmaan dia sahaja. Ini boleh terjadi kalau mereka menjelma macam rupa manusia (atau hantu). Seperti juga macam malaikat, kalau mereka menjelma jadi manusia pun boleh tengok. Tapi itu jarang berlaku. Kalau dapat karomah pun, tidaklah sentiasa boleh nampak jin syaitan itu.

Jadi, kalau ada orang yang kata mereka boleh nampak atau scan jin, itu ada masalah. Berkemungkinan besar, mereka boleh rasa kehadiran jin itu kerana mereka sendiri ada amalan salah yang mereka selalu beramal, yang telah mendekatkan jin dengan mereka. Ini termasuklah mereka yang banyak mengamalkan ‘perubatan Islam’ yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Islam.

Amalan mereka banyak yang syirik dan bidaah, sampaikan jin suka duduk dengan mereka. Kerana amalan mereka sebenarnya memanggil jin sahaja. Jadi kalau berubat dengan mereka, kerana nanti bukannya buang jin, tapi tambah jin lagi.

Ayat ini juga memberitahu kita, jin syaitan itu sentiasa sahaja memerhatikan kita, kerana tugas mereka memang untuk menyesatkan kita dengan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik. Ini adalah kelebihan sementara yang Allah berikan kepada mereka, dalam rangka mereka hendak menyesatkan kita.

إِنّا جَعَلنَا الشَّياطينَ أَولِياءَ لِلَّذينَ لا يُؤمِنونَ

Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.

Allah telah beritahu yang Dia jadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman. Itulah sebabnya, kalau ada fahaman dan amalan syirik, syaitan akan jadi teman rapat dia. Selalu duduk dekat dengan dia, selalu menampakkan diri kepada mereka yang mengamalkan amalan syirik itu.

Syaitan akan sentiasa hendak membogelkan manusia. Sebab itu kalau kita lihat orang yang tidak beriman, bagaimana pakaian mereka? Mereka berpakaian yang tidak sesuai – pakai baju, tapi sebenarnya berbogel. Maka, kita jangan jadi macam mereka. Selalu kita risaukan tentang pakaian perempuan, tapi bagaimana dengan lelaki? Lelaki pun kena jaga juga bab pakaian. Pakailah pakaian yang tutup seluruh tubuh kita, pakai baju yang labuh sikit. Jangan pakaian yang ketat yang boleh menarik perhatian wanita.

Untuk wanita pula, janganlah sangka tutup aurat itu dengan pakai pakaian yang setakat menutup sahaja. Tapi hendaklah dijaga perawakan juga. Kadangkala, ada yang sudah tutup aurat dari segi pakaian, tapi cara cakap mereka, cara jalan mereka, cara mereka bergaul, tidak sesuai dengan cara Islam. Ini kerana mereka tidak jaga pergaulan mereka dengan lelaki. Kita nampak senang sahaja mereka bercakap-cakap dan berinteraksi dengan orang bukan mahram mereka. Ini tidak patut.


A’raf Ayat 28:

وَإِذا فَعَلوا فاحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها آباءَنا وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها ۗ قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ ۖ أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they commit an immorality, they say, “We found our fathers doing it, and Allāh has ordered us to do it.” Say, “Indeed, Allāh does not order immorality. Do you say about Allāh that which you do not know?”

(MALAY)

Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya”. Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”. Adakah kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?

وَإِذا فَعَلوا فاحِشَةً قالوا وَجَدنا عَلَيها آباءَنا

Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: “Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu,

Lafaz فاحِشَةً bermaksud penderhakaan yang memalukan, yang terjadi kerana telah dibisik oleh syaitan. Malangnya ramai yang tidak sedar kesalahan yang mereka telah lakukan. Apabila mereka ditegur kerana melakukan perkara فاحِشَةً, mereka akan berkata – “kami dapati amalan ini datuk nenek kami dulu dah lama buat dah. Kami ikut sahaja, takkan salah? Kalau salah, tentu mereka tidak buat.”

Seperti kita telah sebut, Musyrikin Mekah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang. Mereka kata amalan itu telah lama dilakukan oleh tok nenek mereka. Mereka ikut sahaja. Dan mereka jadikan hujah tok nenek itu sebagai alasan untuk membenarkan apa yang mereka lakukan.

Jadi kalau orang kita pun kata mereka ikut amalan tok nenek, sudah lama dilakukan di negara ini, maka alasan mereka itu sama sahaja dengan alasan Musyrikin Mekah. Ianya sama kerana akidah mereka pun sama sahaja macam Musyrikin Mekah itu. Mereka sahaja yang tidak perasan kerana tidak belajar dengan benar.

Itulah akidah ikut-ikutan sahaja, tidak mahu nak fikirkan adakah ianya benar ada dalam agama atau tidak.  Mereka tidak terfikir untuk tanya apakah dalil dari perbuatan itu.

Oleh kerana surah ini diturunkan di Mekah, maka dari segi asbabun nuzul, ada dua kemungkinan apakah yang dimaksudkan dengan lafaz فاحِشَةً itu dari ayat ini:

  1. tawaf sambil telanjang.
  2. lafaz labbaikallah mereka tambah dengan kalimah syirik – “tidak ada syirik kecuali yang tuhan setuju”. Mereka sanggup sebut begitu kerana syaitan telah bisikkan kepada mereka untuk campur kalimah yang lain. Iaitu mereka nak kata, ada perbuatan syirik yang Allah benarkan.

Orang-orang Arab di masa lalu selain kabilah Quraisy, bila mereka melakukan tawaf, mereka melakukannya tanpa berpakaian (telanjang bulat). Mereka andaikan yang mereka tidak mahu melakukan tawaf dengan memakai pakaian yang biasa mereka pakai untuk bermaksiat kepada Allah. Sedangkan orang-orang Quraisy yang dikenal dengan sebutan Al-Hamas selalu melakukan tawaf mereka dengan memakai pakaian mereka. Orang Arab lain bila diberi pinjaman pakaian oleh orang Hamas, maka mereka memakainya untuk bertawaf; dan orang yang mempunyai pakaian baru, maka dipakainya untuk bertawaf, lalu ia membuangnya tanpa ada seorang pun yang mahu mengambil­nya.

Barang siapa yang tidak mempunyai pakaian baru, tidak pula ada seorang Hamas yang mahu meminjamkan pakaian kepadanya, maka ia tawaf dengan telanjang bulat. Adakalanya terdapat seorang wanita melakukan tawaf dengan telanjang bulat, kemudian dia menjadikan sesuatu pada kemaluannya guna menutupi apa yang dapat ditutupinya, lalu dia berkata: Hari ini kelihatan sebahagian atau seluruhnya; dan apa yang tampak darinya, maka saya tidak akan menghalalkannya.

Tetapi kebanyakan yang dilakukan oleh kaum wanita bila bertawaf di malam hari adalah telanjang. Hal ini merupakan suatu tradisi yang mereka buat-buat sendiri yang mereka warisi dari nenek moyang mereka. Mereka mempunyai keyakinan bahwa perbuatan nenek moyang mereka itu bersandarkan kepada perintah Allah dan syariat-Nya.

Begitulah manusia, akan menggunakan berbagai-bagai alasan dan hujah untuk bagi nampak amalan mereka benar juga. Kalau mereka sudah mengamalkan amalan syirik dan bidaah dari keturunan yang dulu, mereka masih nak amalkan juga.

Kalau ditegur, mereka ada yang beri alasan macam dalam ayat ini. Mereka tak mahu nak kalah, tak mahu nak tinggalkan juga. Maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh cari alasan, tak kiralah dari mana alasan itu datang, masuk akal atau tidak. Janji mereka nak cakap juga yang amalan mereka itu tidak salah. Kalau dengan beri alasan itu mereka nampak bodoh, mereka tidak kisah pun. Janji mereka nak cakap juga.

Maka, kita jangan terkeliru dengan jawapan sebegini. Allah telah berikan terus apakah jawapan yang diberikan oleh Musyrikin Mekah ini supaya kita tahu alasan itu kerana alasan itu akan diulang-ulang sampai kiamat pun. Sekarang memang ramai yang cakap macam itu, tidak kiralah sama ada orang itu adalah orang awam atau pun ustaz.

Memang amat menghairannya, yang dikatakan ‘ustaz’ pun bagi alasan yang sama juga. Mereka tidak perasan yang alasan mereka itu sama sahaja dengan alasan Musyrikin Mekah. Ini menunjukkan mereka sendiri tidak belajar tafsir Qur’an, mereka tahu baca sahaja tapi tak faham maksud. Malang sekali kalau masyarakat belajar dengan mereka.

Maka, jangan kita terima alasan macam ini. Ini alasan puak jahiliyah. Alasan ini tidak ada nilai. Allah sebutkan alasan mereka kerana Allah tahu memang mereka akan kata macam itu. Jadi, kalau sesiapa beri alasan ini, beritahu mereka yang alasan mereka sama dengan alasan Musyrikin Mekah, maka tinggalkanlah alasan itu, carilah alasan lain.

Kita kena tetap dengan pendirian dan manhaj kita, iaitu kena ikut Qur’an dan Sunnah, bukannya ikut amalan tok nenek yang tidak sama dengan amalan sunnah. Segala amalan orang-orang dahulu, kena periksa balik sama ada selari atau tidak dengan agama, jangan pakai ambil dan amalkan sahaja. Kalau ia sama dengan sunnah, maka boleh amalkan. Kalau tidak selari maka kita wajib tinggalkan.

وَاللَّهُ أَمَرَنا بِها

dan Allah menyuruh kami mengerjakannya”. 

Dan mereka tambah dengan kata, Allah lah yang menyuruh mereka buat, kerana tok nenek mereka pun buat juga. Mereka sangka, ‘takkan’ salah amalan tok nenek mereka itu pula. Inilah yang dinamakan dalil ‘takkan’. Mereka kata: ‘takkan’ tok nenek mereka tak tahu mana yang salah, mana yang betul. Atau ada yang kata: “Takkan ustaz mereka tidak tahu agama”. Entah berapa ramai yang sesat, kerana menggunakan dalil ‘takkan’ ini.

Memang tok nenek mereka buat dan mereka ikut, tapi lihatlah bagaimana mereka kata Allah pula yang suruh, padahal mana ada Allah suruh. Kalau nak ikut tok nenek, kata tok nenek sahajalah yang mereka ikut, jangan kata Allah pula yang suruh. Kerana itu adalah satu penipuan yang besar kerana menggunakan nama Allah. Kerana kalau Allah yang suruh, mana dia dalil yang kata Allah suruh itu?

Oleh itu, ringkasnya mereka buat perkara yang keji itu tapi mereka kata Allah yang suruh mereka buat begitu. Kerana tok nenek mereka sudah lama buat dan mereka kata takkan tok nenek buat perkara yang salah. Mereka sangka, kalau keturunan mereka dahulu ada buat, tentulah Allah yang suruh mereka buat.

قُل إِنَّ اللَّهَ لا يَأمُرُ بِالفَحشاءِ

Katakanlah: “Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji”.

Allah suruh kita jawab kepada mereka: Allah tidak buat arahan untuk buat فاحِشَةً’. Kenapa Allah nak suruh buat benda yang tidak patut sedangkan ada banyak lagi amalan yang halal lain yang ada? Banyak lagi amalan sunnah yang lain, belum dibuat lagi pun, tapi kenapa nak buat juga amalan yang tidak ada dalil itu?

أَتَقولونَ عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Adakah kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?

Adakah kamu bercakap tanpa ilmu? Adakah patutkah kamu kata tentang Allah dalam perkara yang kamu tidak tahu dengan sebenarnya? Mereka yang beri alasan dan hujah yang tidak boleh dijadikan sebagai dalil itu adalah mereka yang tidak mempunyai ilmu sebenarnya.


A’raf Ayat 29:

قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ ۖ وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ ۚ كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “My Lord has ordered justice and that you direct yourselves [to the Qiblah] at every place [or time] of prostration, and invoke Him, sincere to Him in religion.” Just as He originated you, you will return [to life] –

(MALAY)

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. Dan (katakanlah): “Luruskanlah mukamu di setiap sembahyang dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepada-Nya)”.

قُل أَمَرَ رَبّي بِالقِسطِ

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh menjalankan keadilan”. 

Beritahu mereka: Tuhan aku memerintahkan aku untuk melakukan perkara yang adil. Apakah yang dimaksudkan dengan perkara yang adil itu? Itulah kalimah la ilaaha illallah. Iaitu kita adil dengan Allah dengan meletakkan kedudukanNya di tempat yang sepatutnya.

Juga boleh juga bermaksud asalnya iaitu berlaku adil dalam setiap perkara.

وَأَقيموا وُجوهَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ

Dan (katakanlah): “Luruskanlah mukamu di setiap sembahyang

Dan Allah arahkan kita supaya kita semua dirikan solat di setiap tempat sujud (masjid). Maksud ‘lurus’ itu adalah ikhlaskan diri kita dalam sujud kita itu. Begitulah, dalam setiap perbuatan taat kita kepada Allah, kena buat dalam ikhlas. Kerana Allah tidak akan menerima amal kebaikan yang tidak ikhlas.

Jadi, kena amalkan tauhid (adil) dan kena ikhlas. Kalau kita buat amal kebaikan banyak mana pun, tapi ada fahaman syirik dalam diri kita, segala amal kebaikan itu tidak ada nilai langsung. Jadi, kena belajar tentang tauhid supaya kita tidak melakukan kesalahan dalam tauhid. Takut sia-sia sahaja segala solat, puasa dan zakat yang kita keluarkan.

وَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ

dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatanmu kepada-Nya. 

Dan hendaklah kita seru Allah hanya kepada Dia sahaja tidak dicampur dengan seru kepada yang lain. Waktu solat itu kena ingat kepada Allah, maka kena cari jalan macam mana boleh dapat solat dengan khusyuk.

كَما بَدَأَكُم تَعودونَ

Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan (demikian pulalah kamu akan kembali kepada-Nya)”.

Seperti mana kamu mula dijadikan, kamu akan kembali begitu juga di akhirat nanti. Sekarang Allah masukkan tentang akhirat dalam ayat ini. Kamu lahir tanpa pakaian dan kamu akan mati pun tanpa pakaian juga.

Di awal dan hujung tidak berpakaian, maka di tengah kehidupan kita, hendaklah kita berpakaian. Maka kena perhatikan betul-betul tentang pakaian kita. Jagalah pakaian kita selagi kita boleh menjaganya kerana nanti akan sampai satu masa yang kita tidak ada pakaian nanti.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Februari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s