Tafsir Surah Ali Imran Ayat 189 – 200 (Bersedia untuk berperang)

Ayat 189: i’adah (kembali) tajuk tauhid. Iaitu kembali kepada kesimpulan surah ini. Inilah perkara yang paling penting, dan kerana itu Quran akan selalu kembali kepada topik ini.

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth, and Allāh is over all things competent.

MALAY

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dan kepuyaan Allah jualah langit dan bumi,

Oleh kerana itu Dia sahaja yang wajib dipuja dan disembah. Tidak boleh sembah yang lain selain Allah. Kenapa nak sembah dan buat ibadat kepada selain dari Allah sedangkan mereka tidak mempunyai kekuasaan di langit dan di bumi?

وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Dan kerana kekuasaan dan kepunyaan alam ini adalah hakNya semata-mata, maka Dia boleh apa yang Dia hendak buat.

Allah puji DiriNya dalam ayat ini. Ayat sebelum ini tentang pujian, bukan? Diberi contoh bagaimana puak Yahudi suka dipuji. Oleh itu, Allah beritahu dalam ayat ini, kalau nak puji, pujilah Allah banyak-banyak kerana Dia yang paling layak dipuji. Siapalah kita yang suka dipuji? Kita tidak ada apa-apa. Apa sahaja kelebihan yang kita ada, semua datang dari Allah, bukan?


 

Ayat 190: Ini adalah dalil kenapa Dia sahaja layak disembah.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, in the creation of the heavens and the earth and the alternation of the night and the day are signs for those of understanding –

MALAY

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, adalah tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi,

Segala apa yang terjadi adalah atas kehendak Allah.

وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ

dan pada pertukaran malam dan siang,

Hari-hari kita dapat tengok siang berganti malam dan malam berganti siang. Itu semua adalah dalam perancangan Allah dan kita tidak boleh buat apa-apa pun.

لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

adalah tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal;

Semua itu adalah tanda-tanda yang boleh difahami oleh mereka berfikiran waras. Kita hari-hari tengok perkara ini tapi mungkin tidak terfikir bahawa itu adalah tanda kepada kekuasaan Allah. Kerana kita sudah biasa tengok dan fikiran kita tidak jernih. Yang boleh nampak adalah mereka yang fikiran mereka bebas dari benda yang remeh. Masalahnya zaman sekarang, macam-maacam benda yang kita fikirkan dan kebanyakannya adalah benda yang remeh.

Ayat yang lebih panjang tentang perkara ini ada dalam Surah Baqarah. Dalam ini pendek sahaja kerana akal yang bersih akan dapat fikir panjang. Dah lama dah belajar surah Baqarah, maka sepatutnya tidak perlu disebut dengan panjang lagi.

Fikiran kita banyak benda kosong yang kita fikir. Sampaikan benda yang bagus susah nak masuk. Sebagai contoh, kita selalu sangat tengok filem-filem dan rancangan TV yang entah apa-apa. Macam orang dah biasa makanan junk, tak dapat nak hargai makanan berkhasiat macam sayuran.


 

Ayat 191: Ayat sebelum ini tentang mereka yang berfikiran waras. Maka, siapakah yang berfikiran waras? Apakah ciri-ciri mereka? Apa yang mereka fikirkan?

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who remember Allāh while standing or sitting or [lying] on their sides and give thought to the creation of the heavens and the earth, [saying], “Our Lord, You did not create this aimlessly; exalted are You [above such a thing]; then protect us from the punishment of the Fire.

MALAY

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,

Maknanya, mereka ingat kepada Allah dalam semua keadaan. Maksud ‘ingat Allah’ adalah dengan jaga hukum. Iaitu mereka akan sentiasa jaga hukum syariat dalam semua keadaan. Setiap ketaatan yang kita buat, adalah dikira ‘zikir’ kepada Allah. Macam kalau kita sedang puasa, kita tak buat apa pun, tapi dikira zikir kepada Allah. Kerana kita sedang tunaikan hukum Allah.

Maknanya, bukanlah berzikir itu adalah zikir meratib sahaja. Zikr dalam Qur’an disebut sebagai amalan hati. Yang penting, kita ingat siapa Allah dan kita taat kepadanya. Ini penting, kerana ada pihak-pihak yang salah faham, hanya menghadkan zikir kepada ‘ratiban’. Mereka sangka ayat ini adalah dalil bahawa boleh buat amalan zikir waktu duduk, waktu baring dan waktu diri. Sampaikan digunakan ayat ini digunakan sebagai dalil untuk membolehkan zikir menari! Kita pun tidak tahulah dari mana mereka boleh dapat dalil yang mengarut sebegini. Sudahlah amalan itu adalah amalan yang bidaah, mereka pakai dalil yang tidak kena mengena langsung. Begitulah kalau ada puak yang jahil, tidak belajar tafsir, maka mereka akan pakai sahaja ayat mana-mana yang ‘agak-agak’ kena.

Oleh itu, tinggalkan mereka dan jangan buang masa lagi dengan mereka. Kalau ada kesempatan, ajak mereka belajar agama dengan benar. Masalahnya, mereka itu telah disibukkan oleh syaitan dengan amalan-amalan salah, sampaikan tidak ada masa nak belajar. Jadi, mereka terus melakukan amalan salah tanpa ilmu. Mereka sangka mereka ada banyak ilmu, padahal, mereka itu dapat ilmu khayalan sahaja.

Makna lafaz ‘Zikr’ adalah ‘ingat’, dan ingat itu adalah perkara yang kita sudah tahu. Bukan benda baru. Sebab itu kita selalu melakukan tazkirah, iaitu mengingatkan perkara yang kita sudah tahu pun. Oleh itu, janganlah kisah kalau kita diberitahu perkara yang sama berulang-ulang kerana itu adalah untuk megingatkan kita dengan perkara yang kita sudah tahu. Kerana kita manusia adalah jenis pelupa, maka kita kena diingatkan selalu.

Amalan zikir paling baik dilakukan dengan cara yang Nabi ajar. Yang pertama, solat itu pun adalah zikir. Begitu juga dengan membaca Quran. Ini dua zikir yang paling baik. Dan selain dari itu, kita boleh amalkan zikir masnun. Iaitu lafaz-lafaz zikir dan doa yang Nabi Muhammad sendiri sudah ajar kita. Boleh dikatakan ada lafaz-lafaz doa untuk setiap keadaan. Ini akan mendekatkan kita dengan Allah. Kerana dalam setiap keadaan, ada doa yang tertentu. Dan zikir-zikir itu mempunyai elemen tauhid jadi selalu mengingatkan kita kepada tauhid.

Jangan amalkan zikir yang tidak datang dari Nabi. Atau dengan cara yang bukan ajaran dari Nabi. Pertamanya, janganlah cuba untuk menyertai pergerakan tarekat langsung. Kalau ada saudara mara kita yang baru nak belajar pun, larang mereka dan tegah mereka. Kerana kalau sudah masuk dalam tarekat, sudah pasti akan ada amalan zikir yang bukan dari ajaran Nabi. Kalau sudah mula belajar, akan terbelenggu dengan amalan-amalan yang salah.

وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi

Mereka juga sentiasa berfikir menggunakan panduan dari kitab Allah, dengan melihat kepada kejadian langit dan bumi. Kena pakai panduan dari Quran, kerana kalau kita lihat sendiri, jarang seseorang akan capai kepada Allah. Tapi apabila kita diberitahu yang Allah lah yang menjadikan alam ini, maka kita terpimpin membawa kepada terfikir kepada Allah. Apabila lihat alam, kita teringat bahawa Allah lah yang menjadikannya. Apa-apa terjadi kita akan teringat ayat-ayat Qur’an. Kerana akan ada sahaja perkara yang berkenaan dengan Qur’an. Tengok gunung, ada ayat tentang gunung. Tengok langit, ada ayat tentang langit; hujan; orang sedang marah; dan macam-macam lagi. Quran telah sentuh semua perkara.

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, 

Apabila dia sudah fikir tentang alam dan kaitannya dengan Allah, dia akan kata begini. Tidaklah Allah jadikan alam ini sia-sia kerana langit dan bumi adalah bekas atau tempat untuk uji kami semua. Maknanya, ada tujuan alam ini dijadikan. Allah yang mempunyai sifat yang maha mulia tidak akan buat sesuatu yang sia-sia. Kita akan dapat pemahaman ini apabila kita telah kenal Allah dari apa yang kita belajar dari Quran.

Lihatlah bagaimana Islam mengimbang antara ‘zikir’ dan ‘fikir’. Tidaklah kita disuruh terlalu banyak berzikir sampai jadi macam tarekat. Tidaklah juga disuruh hanya berfikir sahaja tanpa ada zikir seperti golongan intelektual yang tiada roh agama. Itulah antara maksud Islam itu adalah ‘umat pertengahan’.

سُبْحَانَكَ

Maha Suci Engkau,

Orang itu membenarkan yang Allah suci dari segala cacat cela dan suci dari perlu kepada perantara dalam permohonan doa.

فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

maka peliharalah kami dari azab neraka.

Akhir sekali dia akan meminta supaya dijauhkan dari neraka. Kerana apabila sudah belajar dan tahu apakah sifat neraka itu, tidak ada sesiapa yang mahu untuk masuk neraka. Langsung tidak mahu dengar, lihat atau dengar bunyi neraka pun.


 

Ayat 192: Sekarang diberitahu kenapa kita tidak mahu masuk ke dalam neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed whoever You admit to the Fire – You have disgraced him, and for the wrongdoers there are no helpers.

MALAY

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, 

Sesiapa yang dimasukkan ke dalam neraka adalah dihina. أَخْزَيْتَهُ dari kalimah أخزي yang maksudnya buka kesalahan seorang di hadapan orang lain (memalukan orang). Walaupun mereka mulia semasa di dunia, tapi di neraka, mereka akan dihinakan dengan teruk sekali.

وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ

dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun;

Ayat ini memberitahu kepada kita yang tidak ada syafaat yang akan membantu mereka yang zalim. Banyak agama salah faham tentang perkara ini. Mereka sangka tuhan-tuhan selain Allah yang mereka sembah itu akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Allah tolak pemahaman mereka.

Begitu juga, dengan sembahan-sembahan orang kita yang memuja ilah-ilah yang lain seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani dan sebagainya. Mereka itu sangka dengan memuja-muja para wali, Nabi dan malaikat, mereka akan diselamatkan di akhirat kelak, tapi tidak sebenarnya.


Ayat 193: Ini adalah sambungan kata-kata mereka. Ayat ini tentang risalah (kenabian). Ingatlah bahawa kita hanya dapat faham agama melalui Nabi dan ajaran yang disampaikan olehnya.

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed we have heard a caller [i.e., Prophet Muḥammad ()] calling to faith, [saying], ‘Believe in your Lord,’ and we have believed. Our Lord, so forgive us our sins and remove from us our misdeeds and cause us to die among the righteous.

MALAY

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ

Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru yang menyeru kepada iman, 

Mereka mengaku yang telah sampai penyeru tauhid kepada mereka. Penyeru tauhid itu adalah Nabi dan para pengikut Nabi. مُنَادِيًا bermaksud seseorang yang menyeru dari jauh. Memang Nabi Muhammad itu jauh dari kita. Tapi kita masih dengar seruan Nabi kerana disampaikan oleh penyeru tauhid yang meneruskan dakwah baginda.

أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ

katanya: `Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘,

Inilah apa yang disampaikan oleh Nabi dan penyeru tauhid itu – mengajak kepada beriman dengan Allah. Ini adalah ringkasan dakwah mereka. Tentunya banyak lagi seruan dan ajaran dari mereka. Tapi diringkas keseluruhan ajakan itu terletak dalam beriman kepada Allah.

فَآمَنَّا

maka kami pun beriman. 

Mereka mengaku telah beriman dan ikuti seruan. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan.

رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا

Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami,

Walaupun mereka telah mengaku beriman, tapi mereka masih lagi memohon keampunan kepada Allah. Orang yang beriman memang kena sentiasa merisaukan tentang dosa-dosa mereka dan sentiasa kena meminta ampun di atas dosa-dosa mereka. Kerana kalau namanya manusia, tentulah ada sahaja dosanya.

وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا

dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami,

Dan mereka minta supaya Allah tutup segala kesalahan mereka beri hilang, jangan ditunjukkan kepada sesiapa pun. Kerana amat malu sekali jikalau segala kesalahan itu dipertontonkan di khalayak ramai di akhirat kelak.

وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti;

Mereka minta supaya dimatikan mereka bersama orang-orang yang baik iaitu ahli syurga. Ia juga juga bermaksud mereka minta supaya mereka dimasuk dalam golongan mereka yang baik dan berbakti itu. Ataupun ia bermaksud supaya mereka diambil nyawa mereka semasa mereka bersama dengan golongan itu.


Ayat 194:

رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, and grant us what You promised us through Your messengers and do not disgrace us on the Day of Resurrection. Indeed, You do not fail in [Your] promise.”

MALAY

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَىٰ رُسُلِكَ

Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu,

Mereka memohon supaya diberikan mereka dengan apa yang dijanjikan olehNya melalui Rasul-rasulNya. Ia bermaksud syurga yang dijanjikan. Janji itu adalah, sesiapa yang ikut ajaran kitab akan diberi syurga dan siapa yang melanggar, akan diberi neraka.

Ini mengajar kita, tidak salah kalau mengharap syurga. Kerana syurga itu sendiri dijanjikan oleh Allah dan disampaikan janji itu oleh Nabi Muhammad. Janganlah jadi seperti golongan tarekat yang kononnya buat ibadah bukan kerana syurga. Kononnya mereka ikhlas sampaikan tidak mengharap syurga. Mereka kata, kalau Allah masukkan mereka ke dalam neraka pun, mereka redha. Itu semua adalah kata-kata khalayan sahaja dari guru mereka yang khayal juga.

وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; 

Jangan malukan kami. Kami tak mahu dosa-dosa kami ditunjukkan kepada khalayak ramai.

إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.

Allah pasti tidak memungkiri janjiNya.


 

Ayat 195: Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang ulul albab dan apakah kata-kata dan doa mereka. Sekarang adalah sambungan dari ayat-ayat itu.

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ثَوَابًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And their Lord responded to them, “Never will I allow to be lost the work of [any] worker among you, whether male or female; you are of one another. So those who emigrated or were evicted from their homes or were harmed in My cause or fought or were killed – I will surely remove from them their misdeeds, and I will surely admit them to gardens beneath which rivers flow as reward from Allāh, and Allāh has with Him the best reward.”

MALAY

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai ganjaran dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah ganjaran yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

 

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka

Allah terima doa mereka. Mereka telah berdoa supaya:

  • Allah ampunkan dosa mereka
  • Tutup dosa-dosa mereka
  • Matikan mereka bersama dengan orang-orang yang berbakti
  • Masukkan mereka ke dalam syurga seperti yang pernah dijanjikan oleh Allah
  • Jangan hina mereka di akhirat kelak

Sudah sememangnya kita kena berdoa kepada Allah. Tapi kita tidak pasti samada Allah makbulkan doa kita atau tidak. Dalam ayat ini, alangkah beruntungnya mereka, kerana Allah telah kata yang Dia makbulkan doa mereka.

 

أَنِّي لَا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ

“Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan,

Segala amal kebaikan yang kita lakukan di dunia tidak sia-sia. Kadang-kadang kita tidak ingat pun amal kebaikan yang kita lakukan. Entah ianya sekecil memberi senyuman kepada orang lain, dan benda itu sekejap sangat, tapi Allah akan balas juga dengan kebaikan.

Allah akan balas, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini menunjukkan persamaan taraf antara lelaki dan wanita. Sama-sama mudah untuk mendapatkan pahala. Islam tidak bezakan amal lelaki dan wanita. Maka, janganlah kita kata sebab ada yang dilahirkan sebagai perempuan, susah nak buat pahala, susah nak buat kebaikan – kerana tidak dapat keluar rumah selalu, tidak dapat nak ke masjid selalu, kekuatan tubuh yang kurang, kekuatan kewangan yang kurang, atau apa-apa lagi. Allah Maha Adil. Dia tidak tarik atau kurangkan peluang sesiapa sahaja. Sesiapa sahaja ada peluang untuk mendapatkan pahala, asalkan mereka mahu berusaha. Kalau lelaki dengan cara lelaki, kalau perempuan dengan cara perempuan. Kita cuma dapatkan ilmu sebanyak mungkin supaya kita tahu apakah yang patut kita lakukan, dan bagaimana melakukannya dengan cara terbaik.

 

بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ

setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; 

Kenapa Allah nak bezakan antara lelaki dan perempuan sedangkan kita semuanya dari golongan manusia juga. Walaupun seseorang itu lelaki, tapi dia pasti anak dari seorang emak dan seorang ayah.

 

فَالَّذِينَ هَاجَرُوا

maka orang-orang yang berhijrah

Ada orang yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka untuk menjaga agama mereka. Walaupun mereka sayang dengan tempat tinggal mereka yang asal, tapi mereka tahu mana yang lebih penting. Kerana kalau kita duduk di dalam kawasan yang tidak sesuai untuk agama kita, maka eloklah kita tinggalkan sahaja. Mereka yang meninggalkan tempat tinggal mereka kerana hendak menjaga agama, telah melakukan satu tindakan yang berani dan besar sekali.

 

وَأُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ

dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, 

Ada juga yang sampai dihalau dari tempat tinggal mereka kerana mereka telah berkata benar. Memang berkata benar adalah satu perkara yang payah dilakukan. Kalau masyarakat itu tidak dapat terima, dan mempunyai sifat-sifat yang buruk, sampai ada yang sanggup menghalau orang-orang yang menyampaikan ajaran yang benar dari kampung halaman.

Zaman kita pun ada juga. Ada mereka yang hendak mengamalkan sunnah sampai kena pindah keluar kampung. Antaranya kerana tidak baca qunut subuh sahaja, dah kena pulau dengan masyarakat kampung.

 

وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي

dan juga yang disakiti kerana menjalankan ugamaKu, 

Mereka disakiti dengan berbagai-bagai cara. Sekurang-kurangnya disakiti dengan mulut dengan diberikan cemuhan dan sebagainya. Begitulah apabila telah buat keputusan untuk menjalankan agama dengan benar. Kalau buat biasa, buat tak kisah tentang agama, tidak ada orang nak kacau pun.

 

وَقَاتَلُوا

dan yang berperang

Ini adalah ayat tentang jihad. Mereka sanggup untuk menyabung nyawa mereka untuk menegakkan agama Allah di atas mukabumi. Telah banyak ayat-ayat tentang jihad yang kita telah belajar. Jihad ini perlu dijalankan.

 

وَقُتِلُوا

dan yang terbunuh

Apabila berperang di jalan Allah, tentunya ada kemungkinan ramai yang terbunuh. Itulah bayaran yang mereka bayar. Tapi setiap manusia akan tetap mati, maka mati apakah yang paling baik daripada mati di jalan Allah? Mereka yang mati di Jalan Allah, tentunya mati syahid dan itu adalah jalan pintas ke syurga. Mereka terus dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka mati dan tidak perlu menunggu sekian lama di Mahsyar.

 

لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ

sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, 

Inilah janji Allah kepada mereka-mereka yang yang bersifat di atas tadi. Allah akan tutup dan hilangkan kesalahan mereka. Tidak disebutkan langsung di khalayak ramai, maka tidak dimalukan.

 

وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Allah janjikan syurga kepada mereka. Dan Allah beritahu yang syurga-syurga itu akan ada sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. Kerana hendak memberi gambaran kehebatan syurga-syurga itu. Syurga itu tidak dapat dibayangkan dengan akal tapi Allah telah memberi beberapa sifat Syurga itu, ditambah dengan hadis-hadis Nabi. Semua itu untuk memberi motivasi kepada kita untuk memasukinya. Tentunya nikmat itu lebih lagi dari apa yang digambarkan.

 

ثَوَابًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ

sebagai ganjaran dari sisi Allah. 

Ganjaran itu semua adalah dari ‘sisi Allah’. Kalau dari Allah, tentunya hebat. Kehebatan sesuatu hadiah itu boleh dilihat dari siapakah yang memberinya. Jikalau yang memberi itu orang yang hebat, tentunya hadiah itu pun hebat. Dan siapakah yang hebat dari Allah?

 

وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ

Dan di sisi Allah jualah ganjaran yang sebaik-baiknya

Tentulah Allah sebaik-baik pemberi ganjaran. Allah yang menjadikan kita maka Dia tahu apakah yang kita mahu.


 

Ayat 196: Ayat tentang infak pula. Kerana infak itu amat penting untuk menjalankan jihad di jalan Allah. Kita kena ingat yang infak ini adalah untuk kebaikan kita. Kerana infak itu akan menjadi harta kita yang sebenar. Cuma mungkin kita lihat mereka yang tidak infak itu banyak harta kerana mereka kumpul sahaja harta mereka tanpa diinfakkan dan kerana itu tidak berkurangan harta mereka. Mungkin pada fikiran kita, itu adalah baik, tapi tidak sebenarnya. Mereka yang tidak infak itu nampak hanya kepentingan dunia sahaja dan kerana itu mereka tumpukan usaha mereka untuk dapatkan kelebihan dunia sahaja. Mereka takut untuk infak kerana mereka takut mereka akan jatuh miskin kalau beri duit pada orang lain. Allah ingatkan kita supaya jangan terpikat dengan cara-cara mereka itu. Kerana hujung nasib mereka adalah sengsara.

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي الْبِلَادِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Be not deceived by the [uninhibited] movement of the disbelievers throughout the land.

MALAY

Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

 

Jangan terpesona dengan bebasnya mereka bergerak di dunia. Mereka tidak infak dan kerana itu mereka nampak macam banyak harta. Jangan terpesona dengan apa yang mereka ada. Kerana mereka tidak akan berjaya. Jangan kita terpesona sampai kita nak jadi macam mereka pula. Kita sebagai orang Islam, hendaklah melakukan infak.

Atau ayat ini tentang Ahli Kitab. Mereka memang nampak macam senang sahaja di dunia ini. Mereka ada kekayaan, ada kuasa, ada kesenangan hidup dan sebagainyanya. Dan kita telah bincangkan bagaimana mereka ada yang tidak suka dengan pencapaian orang Islam. Dan mungkin ada perancangan untuk menjatuhkan kita. Allah nak beritahu dalam ayat ini, jangan risau sangat. Musuh memang buat rancangan untuk menjatuhkan kita, tapi kita kena serahkan kepada Allah.

Tapi dalam masa yang sama, kita kena berhati-hati. ‘Ghurur’ maksudnya menipu seseorang yang tidak beri perhatian. Maknanya, kita kena tengok juga apa yang mereka rancang. Kena perhatikan dan bersedia untuk bertindak. Dan bersedia supaya jangan tertipu dengan perancangan mereka. Jangan kita leka sampaikan mereka boleh buat apa sahaja.


 

Ayat 197:

مَتَاعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is but] a small enjoyment; then their [final] refuge is Hell, and wretched is the resting place.

MALAY

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

 

مَتَاعٌ قَلِيلٌ

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit,

Jangan kita terpedaya dengan kesenangan yang mereka ada kerana kesenangan yang mereka ada itu hanya sementara sahaja. Sudahlah sementara, ianya sikit sahaja. Allah beritahu kita yang apa sahaja kesenangan yang mereka ada itu sikit sahaja kerana Allah tahu. Mungkin kita nampak mereka senang kerana tidak infak, tapi kesenangan yang mereka rasa itu hanya sementara sahaja.

 

ثُمَّ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ

kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

Akhirnya, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka juga akhirnya. Lafaz الْمِهَادُ asalnya bermaksud pelukan ibu. Sepatutnya pelukan ibu adalah tempat yang amat menyenangkan bagi seorang bayi, dia akan rasa tenang dan dapat tidur dengan nyenyak dalam pelukan ibunya. Tapi Allah gunakan perkataan itu dalam nada mengejek dalam ayat ini. Kerana sebenarnya, mereka tidak akan tenang langsung di neraka nanti.

Apa guna kesenangan yang sementara di dunia kalau akhirnya akan kekal di neraka selama-lamanya?


 

Ayat 198:

لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا نُزُلًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ لِّلْأَبْرَارِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But those who feared their Lord will have gardens beneath which rivers flow, abiding eternally therein, as accommodation from Allāh. And that which is with Allāh is best for the righteous.

MALAY

Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).

 

لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ

Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, 

Tapi sebaliknya, orang yang bertaqwa tidak begitu. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang jaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Dalam segenap hal kehidupan mereka, mereka akan memikirkan apakah hukuman dan syariat Allah dalam hal itu?

 

لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Balasan kepada mereka yang bertaqwa adalah mereka akan diberikan dengan syurga. Dan Allah sebut tentang sungai-sungai yang mengalir dalam syurga itu sebagai penaik semangat untuk manusia memasukinya.

 

خَالِدِينَ فِيهَا

mereka kekal di dalamnya,

Kalau duduk sekejap sahaja di tempat yang baik macam mana pun, itu bukan nikmat sebenar. Sebab kita tahu yang kita tidak akan kekal di dalamnya. Tetapi, Allah memberitahu kita yang penghuni syurga akan kekal di dalamnya. Jadi, penghuni syurga akan rasa tenang menikmati segala nikmat di dalam syurga itu, tanpa perlu risau yang mereka akan dikeluarkan dari tempat itu.

 

نُزُلًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ

sebagai sambutan tetamu dari Allah.

نُزُلًا bermaksud ‘hadiah tetamu’. Macam kita kalau layan tetamu tentu akan lebih sikit dari hari-hari biasa. Allah akan layan kita macam layan tetamu istimewa. Kalau kita pergi rumah orang-orang besar sebagai tetamu, tentulah layanan mereka akan hebat, bukan? Sekarang Allah kata, Dia yang akan menjadi tuan rumah. Kalau Dia yang jadi tuan rumah, tentulah layanan kepada tetamuNya itu amat hebat sekali, tidak dapat dibayangkan.

Dan نُزُلًا bermaksud appetizers sahaja. Macam ada tetamu datang rumah kita dan kita sudah sediakan makanan yang istimewa untuk mereka. Tapi sebelum mereka dihidangkan dengan hidangan yang utama, kita berikan makanan ringan dulu kepada mereka, bukan? Begitulah juga dalam ayat ini. Apa-apa sahaja yang Allah sebutkan tentang syurga, adalah makanan ringan sahaja dulu sebelum diberikan dengan hidangan utama. Kerana hidangan utama itu tidak boleh hendak dijelaskan dalam kata-kata. Kena pergi ke sana baru boleh tahu.

 

وَمَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ لِّلْأَبْرَارِ

Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti 

Apa yang Allah ada di sisiNya tentulah amat hebat sekali. Dan Allah telah berjanji untuk memberikan kepada mereka yang memiliki hati yang baik, yang berbakti selama mereka hidup di dunia.


 

Ayat 199: Ini adalah ayat tabshir lagi.

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَمَن يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِمْ خَاشِعِينَ لِلَّهِ لَا يَشْتَرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَٰئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, among the People of the Scripture are those who believe in Allāh and what was revealed to you and what was revealed to them, [being] humbly submissive to Allāh. They do not exchange the verses of Allāh for a small price. Those will have their reward with their Lord. Indeed, Allāh is swift in account.

MALAY

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

 

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَمَن يُؤْمِنُ بِاللَّهِ

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah

Ada antara golongan Ahli Kitab itu yang beriman. Allah ingatkan tentang ada ahli kitab yang baik supaya kita tidak lupa. Bukanlah semua mereka orang yang jahat. Jangan kita pukul mereka semua sama rata. Memang telah banyak disebut bagaimana ramai dari kalangan mereka yang cuba hendak menjatuhkan Islam. Tapi secara umum, mereka bukanlah musuh. Pintu untuk mereka masuk Islam masih terbuka lagi. Asalkan mereka mahu beriman. Bukanlah asal nama Ahli Kitab, terus mereka semua dimurkai.

 

وَمَا أُنزِلَ إِلَيْكُمْ

dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu

Walaupun mereka Ahli Kitab, tapi ada dari kalangan mereka yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad – iaitu Quran. Dari zaman Nabi, sampailah kepada zaman sekarang, ada sahaja mereka dari golongan Ahli Kitab yang beriman dengan Quran. Selalunya mereka itu mengkaji agama kerana mereka tercari-cari agama apakah yang sebenar. Akhirnya, kerana mereka memang mahukan kebenaran, maka Allah telah temukan mereka dengan Quran. Dan setelah mereka mengkaji Quran, barulah mereka tahu bahawa ianya bukanlah kitab biasa, tapi ia mempunyai banyak pengajaran-pengajaran penting dan tidak mungkin ianya dari manusia. Maka, mereka akhirnya mencapai keputusan bahawa itu adalah kata-kata dari Allah, Tuhan sekelian alam.

 

وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِمْ

dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka,

Sebelum itu mereka telah beriman dengan Kitab-kitab Suci yang diturunkan untuk mereka. Iaitu mereka telah membaca kitab suci mereka dan mereka telah beriman dengan perkara-perkara akidah yang disampaikan di dalamnya.

Inilah kelebihan Ahli Kitab. Mereka beriman dengan dua Kitab dan kerana itu mereka jikalau mereka masuk Islam, mereka akan mendapat pahala dua kali ganda. Kelebihan ini tidak ada pada kita, kerana kita hanya beriman dengan satu kitab sahaja. Oleh kerana itu, mereka tidak akan rugi kalau mereka memeluk agama Islam. Malah mereka akan dapat lebih lagi dari orang-orang lain.

 

خَاشِعِينَ لِلَّهِ

mereka khusyuk kepada Allah

Mereka merendahkan diri tunduk kepada Allah. Maknanya, mereka tidak sombong untuk beriman dengan Allah.

 

لَا يَشْتَرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit.

Mereka tidak seperti Ahli Kitab yang lain yang jual ayat-ayat Allah. Kita telah belajar bagaimana ada para pendeta yang menjual ayat-ayat dari Kalam Allah yang suci untuk mendapatkan habuan dunia. Mereka beri fatwa yang dikehendaki oleh pengikut mereka, walaupun ianya berlawanan dengan apa yang ada dalam Kitab. Tetapi mereka yang akhirnya beriman dan masuk Islam, tidak melakukan perkara itu. Mereka jujur dengan apa yang tertulis dalam kitab suci mereka.

 

أُولَٰئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ

Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. 

Dari amal kebaikan yang mereka lakukan, Allah akan beri balasan kepada mereka. Allah tidak kira samada dari Ahli Kitab atau tidak. Asalkan kalau beriman dan berbuat kebaikan, Allah akan beri balasan yang baik.

 

إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

Allah buat kiraan amal manusia dengan cepat. Masa menunggu di Mahsyar memang lama tapi apabila Allah dah mula buat pengiraan audit segala amalan manusia, ia sekejap sahaja. Dalam riwayat hadis ada disebut bagaimana penghakiman akan dijalankan selama setengah hari sahaja.


 

Ayat 200: Ini adalah ringkasan kepada keseluruhan pengajaran yang ada dalam Surah Ali Imran ini.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, persevere¹ and endure² and remain stationed³ and fear Allāh that you may be successful.

  • In your religion and in the face of your enemies.
  • In patience, outlasting your enemies, and against your own evil inclinations.
  • Posted at your positions against the enemy or in the mosques, awaiting prayers.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu

Sabar dalam taat kepada perintah yang Allah berikan. Segala perintah yang diberikan oleh Allah dan disampaikan oleh NabiNya.

 

وَصَابِرُوا

dan kuatkanlah kesabaran kamu

Sekali lagi disebut arahan untuk sabar. Ini adalah suruhan untuk lawan dengan sabar puak kuffar. Hendaklah tambah lebih sabar dari orang kafir dalam kesabaran. Orang kafir pun sabar juga, dan kita hendaklah lebih sabar dari mereka. Mereka berusaha untuk jatuhkan Islam, mereka pun sabar juga. Tapi kita kena lebih lagi dari mereka. Kita kena bertahan lebih lama dari mereka. Usaha kita kena lebih. Jangan kita kalah dengan mereka.

 

وَرَابِطُوا

dan bersedialah

Lafaz وَرَابِطُوا dari katadar ربط yang bermaksud ‘ikat’. Kalau zaman dahulu, perkataan ini digunakan kepada kuda yang diikat, yang sudah sedia untuk berperang. Ayat ini memberi isyarat bahawa kita kena sentiasa bersedia untuk berperang dengan musuh kita. Hendaklah sentiasa berada di perbatasan untuk meneruskan perjuangan. Jangan kita duduk rehat-rehat sahaja. Kerana kita bila-bila masa sahaja boleh dipanggil untuk menegakkan jihad.

 

وَاتَّقُوا اللَّهَ

serta bertaqwalah kamu kepada Allah

Taqwa banyak disebut sebab ia adalah perkara penting. Yang bertaqwa sahaja yang boleh buat segala yang disuruh. Telah banyak arahan-arahan dan saranan yang kita telah belajar dalam surah ini. Mereka yang bertaqwa sahaja yang mampu menjalankannya.

 

لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

mudah-mudahan kamu berjaya

Mudah mudahan kita berjaya di akhirat kelak. Perkataan إفلح bermaksud ‘kejayaan’ tapi ianya merujuk kepada kejayaan yang khusus di akhirat. Kerana ada kejayaan di dunia dan ada kejayaan di akhirat. Yang kita paling kehendaki adalah kejayaan di akhirat kelak.

Habislah sudah tafsir Surah Ali Imran dan sebelum ini surah Baqarah. Kedua-duanya adalah surah yang panjang. Kedua-duanya penting sebagai asas kepada pembinaan masyarakat Islam.

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Nisa.

Kemaskini: 28 Februari 2021


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

5 thoughts on “Tafsir Surah Ali Imran Ayat 189 – 200 (Bersedia untuk berperang)”

  1. Assalamualaikum wbt.

    Saya ingin respon pada ayat ke 200. Spesifiknya lagi pada perkataan falah. Dalam al-Quran juga Allah ada sebut “Fauzan” yang bermaksud kejayaan juga. Perbezaan dua perkataan ini adalah fauzan kejayaan output contoh nya kejayaan masuk ke syurga. Jika falah adalah cara menuju kejayaan.

    Bolehkah tuan berikan penjelasan dan rujukan dua perkataan ini?

    Like

    1. Assalamualaikum. Terima kasih kerana bertanya soalan yang bagus. Ada saya jelaskan dalam posting yang lain tentang perbezaan ini. Untuk mudahkan saya jelaskan di sini sahaja.

      Falah adalah jenis kejayaan yang didapati setelah berusaha. Umpamanya seorang petani yang telah mengusahakan tanahnya dan akhirnya dia dapat menuai. Sebab itulah petani juga dikenali sebagai falah.

      Dalam konteks Qur’an, ianya memperkatakan tentang mereka yang mendapat kejayaan di akhirat setelah berusaha melakukan amal kenaikan semasa di dunia.

      Fauzan pula adalah kejayaan yang selamat dari bahaya. Macam selamat dari kena tembak – maka dia telah berjaya dari kena tembak.

      Dalam konteks Qur’an, ianya tentang mereka yang selamat dari neraka dan dapat masuk syurga. Ini adalah kejayaan yang amat besar sekali dan amat bermakna. Kerana kadangkala orang berjaya juga setelah berusaha tapi kalau kejayaan itu adalah lepas dari bahaya, ianya lebih hebat lagi.

      Ini seperti yang diterangkan oleh Nouman Ali Khan dalam syarahan dia.

      Allahu a’lam

      Like

  2. Alhamdulillah….semoga Pengarang dan semua yg berusaha fii hifzillah wa fii ri’aayatillah dan tergolong dlm ” mukhlisin”…..tksh kerana tlh sediakan ilmu tadabbur utk kami…jazaakumullah khairan kathiraa….aamiiiin

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s