Tafsir Surah Ali Imran Ayat 112 – 121 (Perang Uhud)

Ayat 112: Ini adalah ayat ta’liliyah. Allah memberitahu kenapa Puak Ahli Kitab itu ditimpa kehinaan.

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They have been put under humiliation [by Allāh] wherever they are overtaken, except for a rope [i.e., covenant] from Allāh and a rope [i.e., treaty] from the people [i.e., the Muslims].¹ And they have drawn upon themselves anger from Allāh and have been put under destitution. That is because they disbelieved in [i.e., rejected] the verses of Allāh and killed the prophets without right. That is because they disobeyed and [habitually] transgressed.

  • Once they have surrendered, the People of the Scripture retain their rights and honor (in spite of their refusal of Islām) through payment of the jizyah tax in place of zakāh and military service due from Muslims. They are then under the protection of the Islāmic state.

MALAY

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa melampau (hukum-hukum Allah).

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا

Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada,

Mereka tidak dihormati walau kaya macam mana pun. Mereka dihina walau dimana sahaja mereka berada. Kalau orang nampak macam hormat kepada mereka pun, kerana mereka ada kuasa kekayaan dan terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ

kecuali dengan adanya sebab tali Allah

Kecuali kerana syariat Allah yang tahan mereka dari dibunuh atau diperangi. Macam kalau perang dengan mereka, tidak boleh bunuh ahli ibadat mereka. Atau Allah ada tolong mereka sedikit sebanyak.

وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ

dan adanya sebab tali dengan manusia. 

Atau kerana mereka ada perjanjian perdamaian sesama manusia. Ada juga yang bantu mereka. Mereka dibantu, tapi sebenarnya mereka bukan dihormati.

وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ

Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, 

Mereka akan mati dalam kemurkaan dari Allah kalau mereka tidak beriman.

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ

dan mereka ditimpakan kemiskinan

Lafaz الْمَسْكَنَةُ yang dimaksudkan dalam ayat ini, bukanlah kemiskinan dari segi harta, tapi mereka ditimpa hilang semangat untuk agama. Tidak ada Yahudi dijadikan contoh dalam hal agama.

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ

Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah

Kenapa mereka dikenakan dengan balasan yang buruk-buruk itu? Inilah yang dimaksudkan dengan ayat ta’liliyah itu. Allah hendak memberitahu sebab. Kerana mereka sentiasa kufur dengan ayat-ayat Allah. Mereka bukan sahaja engkar dengan ayat dari Quran, tapi dari Kitab Suci mereka pun mereka engkar juga.

وَيَقْتُلُونَ الْأَنبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ

dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar.

Dan kerana mereka bunuh Nabi. Ramai dari kalangan Nabi mereka yang mereka bunuh. Teruk sekali perbuatan mereka itu. Kalau bunuh orang biasa pun sudah teruk, tambahan pula kalau bunuh Nabi. Tentulah tidak ada sebab yang benar untuk bunuh mana-mana Nabi pun. Kalau ada orang yang buat kesalahan yang layak mereka dibunuh, barulah ada sebab yang benar untuk membunuh orang itu. Tapi takkan Nabi ada buat benda yang salah pula sampai boleh mereka dibunuh?

ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا

Semuanya itu disebabkan mereka derhaka

Ayat ta’liliyah lagi. Kenapa mereka sampai sanggup bunuh para Nabi? Sebab sebelum itu mereka sudah banyak langgar hukum dari Allah.

وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ

dan mereka sentiasa melampau

Mereka selalu melakukan perkara yang melampau batas-batas agama.


Ayat 113:

لَيْسُوا سَوَاءً مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ يَتْلُونَ آيَاتِ اللَّهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They are not [all] the same; among the People of the Scripture is a community¹ standing [in obedience], reciting the verses of Allāh during periods of the night and prostrating [in prayer].

  • Of people who accepted Islām.

MALAY

Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

لَيْسُوا سَوَاءً

Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama semuanya.

Tidak sama mereka semuanya. Oleh itu, jangan kita pukul rata mereka semuanya. Ada yang masuk Islam dan masuk menjadi umat yang baik. Ada yang memang menanti Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi kerana mereka tahu dari kitab-kitab mereka yang mengatakan Nabi akhir zaman akan datang ke Madinah. Antara mereka itu, macam Waraqah bin Naufal, Salman al Farisi, Abdullah bin Salam dan banyak lagi. Zaman sekarang pun masih ada orang Yahudi yang masuk Islam dan selalunya, kalau mereka masuk Islam, mereka akan jadi umat Islam yang baik, kerana mereka memang jenis manusia yang bijak dan pandai.

Begitulah, yang dikutuk dalam ayat-ayat Quran ini adalah sifat-sifat Yahudi itu, bukan mereka sendiri. Kalau ada orang yang sifat macam sifat-sifat Yahudi itu, mereka pun dikutuk juga, bukanlah kerana bangsa mereka itu. Ini kena tahu bezakan. Jangan kita tengok Bani Israil sahaja, terus kita kutuk mereka. Kerana ada antara mereka yang memang baik. Dan ingatlah, ada isteri Nabi yang dari Bani Israil itu. Takkan kita nak kutuk ummul mukminin pula?

مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ أُمَّةٌ قَائِمَةٌ

Di antaranya ada golongan yang tetap tegak dalam taat

Ada antara mereka yang menegakkan kebenaran. Mereka masuk Islam dan menjadi insan yang baik.

يَتْلُونَ آيَاتِ اللَّهِ آنَاءَ اللَّيْلِ

mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam,

Lihatlah bagaimana mereka membaca ayat-ayat Allah di malam hari. Mereka itu kalau masuk Islam, memang menjadi insan yang taat.

وَهُمْ يَسْجُدُونَ

dan mereka sujud

Maksudnya, mereka mendirikan Solat. Sebenarnya, dalam syariat mereka pun ada sujud juga kerana mereka juga asalnya mendirikan solat. Cuma zaman sekarang sahaja mereka sudah tidak solat kerana mereka telah tukar agama mereka. Cuma cara solat mereka lain sedikit dari syariat Islam. Antaranya, dikatakan yang mereka akan sujud dulu, baru rukuk sedangkan dalam syariat kita, akan rukuk dulu.


 

Ayat 114: Apakah lagi sifat-sifat mereka?

يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَأُولَٰئِكَ مِنَ الصَّالِحِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They believe in Allāh and the Last Day, and they enjoin what is right and forbid what is wrong and hasten to good deeds. And those are among the righteous.

MALAY

Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.

يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat,

Ada juga dari kalangan mereka dahulu yang tak buat syirik walaupun Nabi Muhammad belum naik menjadi Nabi. Iaitu mereka yang meneruskan amalan agama mereka tanpa ditokok tambah. Contohnya, ada antara mereka yang tidak sembah Isa sebagai ilah dan tidak menganggap Nabi Isa sebagai ‘Anak Tuhan’.

Mereka beriman dengan Allah dan juga dengan Hari Akhirat – Ini adalah kerana maklumat tentang hari akhirat telah diberi kepada semua Nabi. Umat mereka sepatutnya tahu. Sampai sekarang pun, kita boleh lihat bagaimana dalam agama mereka pun masih perkara kepada kehidupan selepas mati. Cuma maklumat yang ada pada mereka sekarang tidaklah banyak. Mereka tidak tahu bagaimana keadaan di akhirat kelak sampaikan mereka mengagak-agak sahaja. Lihatlah bagaimana dalam filem-filem mereka tentang syurga dan neraka, macam-macam cara mereka persembahkan. Antaranya, mereka bayangkan bagaimana di syurga nanti, semuanya akan pakai baju putih, jalan-jalan dengan gembira dan sebagainya. Lain filem, lain cara mereka persembahkan. Oleh kerana tidak ada maklumat, maka setiap orang dari mereka akan membayangkan cara syurga dan neraka yang berlainan.

وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah

Dulu dah ada puak yang dah menjalankan amar makruf nahi mungkar dah.

وَيُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ

dan mereka pula bersegera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan.

Ini adalah tambahan yang ada pada golongan mereka: mereka bersegera kepada melakukan kebajikan.

وَأُولَٰئِكَ مِنَ الصَّالِحِينَ

Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.

Mereka itulah orang-orang yang soleh. Malangnya, banyak dari ajaran yang benar dalam agama mereka telah ditukar dan kerana itu agama mereka telah rosak. Mereka kemudian tidak lagi menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar, maka mereka telah ditukar dengan umat Islam yang lain.

Kita kena jadikan mereka sebagai peringatan untuk kita. Kalau kita pun meninggalkan tanggungjawab kita sebagai umat Islam, maka Allah boleh tukar kita dengan puak yang lain yang akan menjalankan tugas itu. Tidak payah untuk Allah untuk menukarkan kita dengan umat yang lain. Jangan ingat kita istimewa sangat.

ali-imran-96-114


Ayat 115: Sebelum ini ada disebut tentang ahli kitab yang beriman dan beramal soleh. Kepada mereka itu, tidak perlu bimbang, kerana tidak hilang penghargaan dari Allah. Tidak sia-sia amalan mereka itu. Asalkan baik, mereka akan dibalas oleh Allah di akhirat kelak.

وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whatever good they do – never will it be removed from them. And Allāh is Knowing of the righteous.

MALAY

Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.

 

 

وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ

Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari 

Maksudnya, amalan ahli-ahli kitab itu diterima oleh Allah. Ini adalah tentang mereka yang mengamalkan ajaran agama mereka dengan benar, walaupun Nabi Muhammad telah naik menjadi Nabi. Mereka tidak mengamalkan syirik, tapi mereka tidak bertemu dengan Nabi Muhammad kerana maklumat tidak sampai kepada mereka. Ini munasabah kerana maklumat zaman itu tidaklah selaju zaman sekarang. Ayat ini memberitahu, bahawa amalan mereka diterima asalkan mereka tidak bertemu dengan Nabi Muhammad. Ini adalah syarat, kerana kalau mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi Muhammad telah sampai, mereka tidak ada pilihan lain selain daripada beriman dengan Nabi Muhammad.

وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.

Selalu ada persoalan, bagaimana dengan mereka yang tidak sampai kepada mereka ajaran Nabi Muhammad? Mungkin mereka tinggal di kawasan pendalaman yang tidak memungkinkan mereka tahu tentang Islam? Pertamanya, ini bukan perkara yang patut kita bimbangkan, kerana yang kita kena bimbangkan adalah hal diri kita, bukan diri orang lain.

Keduanya, kita kena yakin yang Allah itu adil. Apa-apa sahaja yang Allah buat, Allah tidak akan berlaku zalim. Bagaimana cara Allah buat pun.

Ada satu riwayat hadis, bagaimana ada manusia yang tidak berpeluang sampai kepada mereka dakwah Islam. Di akhirat nanti, mereka pun kata bahawa kalaulah sampai dakwah  kepada mereka, mereka tentunya akan masuk Islam. Maka Allah arahkan mereka lompat ke dalam neraka. Ada yang lompat dan ada yang berhujah lagi dengan Allah. Maka, kepada mereka yang berhujah itu, Allah akan kata bagaimana mereka kata mereka akan percaya kepada Dia, sedangkan arahan Dia pun mereka tak ikut? Maksud dari riwayat ini, itu adalah ujian dari Allah. Mereka yang taat kepada Allah dengan melompat ke dalam neraka sebenarnya melompat masuk ke dalam syurga. Mereka yang tetap berhujah itu, mereka itu telah gagal dalam ujian itu. Maksudnya, Allah tetap akan uji dan Allah tidak zalim, percayalah.


 

Ayat 116: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allāh at all, and those are the companions of the Fire; they will abide therein eternally.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.

 

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَن تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيْئًا

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun,

Kerana mahukan harta dan pengaruhlah yang boleh menyebabkan seseorang itu kufur. Sedangkan harta dan anak pinak mereka itu tidak dapat menolong mereka pun. Di dunia lagi pun sudah tidak dapat tolong mereka, apatah lagi di akhirat.

 

وَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ

dan mereka itu ialah ahli neraka;

Di akhirat nanti akan masuk neraka. Mereka pegang geran Neraka.

 

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

mereka kekal di dalamnya.

Mereka bukan duduk tinggal di neraka sekejap sahaja, tapi mereka akan kekal selama-lamanya di sana. Kerana mereka pegang geran Neraka. Kalau orang mukmin, tapi ada dosa, dia akan masuk neraka dan akan masuk ke syurga akhirnya, kerana dia pegang geran Syurga.


 

Ayat 117: Mereka sesat dengan korbankan harta mereka untuk menentang Islam. Infak mereka itu akan memberi musibah kepada mereka.

مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The example of what they spend in this worldly life is like that of a wind containing frost which strikes the harvest of a people who have wronged themselves [i.e., sinned] and destroys it. And Allāh has not wronged them, but they wrong themselves.

MALAY

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

 

مَثَلُ مَا يُنفِقُونَ فِي هَٰذِهِ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini 

Dalam tafsir disebut infak dalam ayat ini adalah apabila orang bawahan bayar kepada orang atasan. Iaitu anak murid bayar kepada guru ulama su’ mereka. Sebagai contoh, kalau dalam kumpulan tarekat, anak-anak murid akan beri banyak duit kepada guru mereka kerana mengharapkan guru mereka itu akan menyelamatkan mereka.

Atau ia juga boleh dikatakan tentang musyrikin Mekah yang kumpul duit untuk menyerang kembali umat Islam selepas mereka kalah di Badr. Mereka ramai-ramai kumpul duit keuntungan mereka tahun itu untuk membiayai peperangan menentang umat Islam di Madinah. Mereka infak tapi infak itu akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Jadi, infak yang diterima hanyalah infak dalam perkara yang baik. Kita pun selalu keluar duit juga, tapi persoalannya, ke manakah kita infak duit kita itu? Adakah ke tempat hiburan? Buat majlis bidaah? Itu semua tidak akan memberi pulangan baik kepada diri kita.

 

كَمَثَلِ رِيحٍ فِيهَا صِرٌّ أَصَابَتْ حَرْثَ قَوْمٍ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَأَهْلَكَتْهُ

samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya; 

Seperti angin yang sangat kuat, dalamnya ada udara yang sangat sejuk. Angin dan udara itu sampai membinasakan tanaman. Lafaz حَرْثَ bermaksud tanaman yang sudah sedia untuk dituai. Kalau tanaman yang sudah boleh dituai, tentunya amat bernilai sekali, dan tuan punya tanaman itu mengharapkan kepada tuaian itu. Tapi ianya dibinasakan. Maka amatlah malang sekali. Bayangkan perasaan tuan tanaman itu apabila melihat tanaman yang dijaganya setelah sekian lama, dibaja, dipelihara, tapi musnah begitu sahaja. Tentu dia sedih. Dia akan lebih lebih menyesal lagi apabila melihat bagaimana infaknya yang diberi kepada tempat yang tidak patut, akan menjadi sia-sia sahaja.

 

وَمَا ظَلَمَهُمُ اللَّهُ وَلَٰكِنْ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Allah tidak menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri.

Bukanlah Allah zalim tapi mereka dikenakan dengan balasan itu kerana mereka abaikan arahan Allah. Kita kena ingat yang Allah tidak pernah zalim. Segala perbuatan Allah tidak pernah dan tidak akan zalim.


 

Ayat 118: Untuk mengelak Yahudi Nasara membinasakan umat Islam, kita kena bersatu dalam dakwah kepada makruf dan nahi mungkar. Itu baru dapat menjaga agama kita. Ini satu lagi nasihat yang Allah berikan kepada kita supaya kita jaga betul-betul.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not take as intimates those other than yourselves [i.e., believers], for they will not spare you [any] ruin. They wish you would have hardship. Hatred has already appeared from their mouths, and what their breasts conceal is greater. We have certainly made clear to you the signs, if you will use reason.

MALAY

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam”

Jangan ambil bukan orang Islam sebagai rapat dengan kita. Maksudnya, jangan jadikan mereka teman rapat, penasihat, setiausaha kita dan sebagainya. Maksudnya, jangan jadikan mereka sebagai orang yang dipercayai. بِطَانَةً ada kena mengena dengan ‘perut’ kerana بَطنٌ adalah perut. Ianya adalah istilah dalam bahasa Arab mengenai kawan yang boleh simpan rahsia kita dalam perut. Tempat kita mengadu dan kita ceritakan kepada mereka rahsia yang kita tidak cerita kepada orang biasa. Allah ingatkan umat Islam supaya jangan beritahu rahsia tentang Islam kepada orang bukan Islam.

Kita kena faham bahawa Arab Madinah banyak kawan-kawan dari kalangan Yahudi dan Nasara yang mereka telah kenal lama, sebelum masuk Islam lagi. Mereka berkongsi kehidupan, berkongsi cerita dan berkongsi rahsia sebelum itu. Tapi apabila mereka sudah masuk Islam, persahabatan dengan mereka tidak sama lagi dah. Kerana sudah berlainan agama. Boleh lagi berkawan dengan mereka, tapi berkawan biasa sahaja lah. Jangan sampai menceritakan berita-berita rahsia dalam perancangan Islam. Lebih-lebih lagi waktu-waktu peperangan. Kerana rahsia peperangan adalah rahsia yang amat besar. Kita tidak tahu kalau kita beritahu kepada seorang luar dari Islam, kepada siapakah lagi yang mereka akan beritahu. Entah-entah mereka akan sampaikan kepada musuh kita pula. Maka, Allah beri peringatan kepada orang Islam dalam ayat ini.

Kita mungkin sangka mereka itu masih rapat dan baik lagi dengan kita, tapi perbezaan agama bukanlah perkara mudah. Sebagai satu kisah, ada yang masih ingat lagi bagaimana kehidupan di Palestin sebelum Israel mengambil alih. Orang Islam, orang Kristian dan Yahudi hidup bersama-sama dan bercampur gaul. Mereka duduk berjiran dan boleh bergelak ketawa, anak-anak mereka main bersama-sama, membesar bersama-sama. Tetapi, sebaik sahaja Israil mengambil alih Palestin, mereka tiba-tiba sudah jadi lain. Mereka tutup pintu rumah mereka, tidak bertegur sapa malah mengambil alih tanah kawan-kawan mereka yang muslim.

 

لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا

Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu.

Mereka tidak putus menimbulkan kesusahan kepada kamu. Mereka sentiasa berusaha. Mereka akan buat macam-macam untuk menyusahkan umat Islam. Kita mungkin tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka, tapi sekarang Allah beritahu kita.

 

وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ

Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. 

Mereka suka kalau kita ditimpa bencana. Sebab mereka memang benci kepada kita. Dalam hati mereka berkeinginan hendak menyusahkan kita, baik dunia atau akhirat. Jadi jangan ambil mereka rapat dengan kita. Bukan jangan kawan langsung, tapi jangan kongsi rahsia dengan mereka. Kerana kita diajar untuk berbaik dengan semua orang, jangan caci maki orang lain walaupun berlainan agama. Kita diajar untuk hidup harmoni dengan semua agama. Tapi kita kena tahu batas-batas kita.

 

قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ

Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya,

Dengan lidah mereka telah zahirkan kebencian mereka. Lihatlah di media massa sekarang, bagaimana mereka kata kita adalah agama yang menyebabkan teroris, agama yang menekan orang perempuan, mereka ada yang suruh bakar Quran, mereka ada yang tak suka orang Islam duduk negara mereka sampaikan mereka nak halau orang Islam, ada yang haramkan pakai tudung kepada orang perempuan, dan macam-macam lagi. Ini baru yang kita dengar di media massa.

Kalau kita tak amalkan Islam, mereka tak kisah kepada kita, tak kacau kita, malah mereka suka kalau ada orang Islam yang tak amalkan agama Islam. Tapi kalau kita amalkan agama Islam seperti yang sepatutnya, mereka akan benci kita. Dalam percakapan mereka pun mereka sudah zahirkan. Dari kata mereka pun kita dah tahu.

 

وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ

dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.

Apa yang dalam hati mereka lagi teruk. Selalunya orang tidak akan keluarkan apa yang dalam hati mereka di khalayak ramai. Tapi bayangkan kalau sudah terkeluar di media massa, tentu dalam hati mereka lebih teruk lagi. Kerana apa yang mereka keluarkan di media tentulah mereka dah tahan dah, mereka tak keluarkan semua kerana mereka segan juga dengan masyarakat dunia. Tapi Allah beritahu kita, dalam hati mereka, lebih teruk lagi benci mereka kepada kita. Kalau boleh mereka nak bunuh kita. Kita tak tahu kerana kita tidak boleh baca hati mereka, tapi Allah tahu dan sekarang Allah telah beritahu kepada kita.

 

قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Alamat kebencian mereka kepada kita, Allah dah tunjukkan dalam ayat-ayat ini. Maka kitalah kena fikir-fikirkan sendiri. Allah suruh kita gunakan akal kita.


Ayat 119:

هَا أَنتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Here you are loving them but they are not loving you, while you believe in the Scripture – all of it.¹ And when they meet you, they say, “We believe.” But when they are alone, they bite their fingertips at you in rage. Say, “Die in your rage. Indeed, Allāh is Knowing of that within the breasts.”

  • That of it revealed by Allāh, not what was subsequently altered by men.

MALAY

Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

 

هَا أَنتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ

Kamu ini adalah orang-orang, kamu sahajalah yang suka mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu.

Allah tegur kita dalam ayat ini. Kamu sahaja yang kasih kepada mereka. Tapi mereka tak kasih pun kepada kita. Kita sahaja yang tergila-gilakan kepada mereka, tiru cara hidup mereka, cara pakaian mereka, cara pemikiran mereka dan sebagainya. Tapi mereka benci kita.

 

وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ

kamu beriman kepada segala Kitab Allah

Kamu beriman kepada semua kitab suci, asalkan daripada Allah. Tapi mereka pakai kitab mereka sahaja dan yang lain mereka tolak. Yahudi terima Taurat dan tolak Injil dan Nasara terima Taurat dan Injil, tapi tolak Quran. Antara lain, sebab kita beriman kepada semua kitablah yang mereka benci kita.

 

وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا

Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, 

Cuma mereka itu pandai berkawan. Bila dengan kita, mereka kata mereka suka agama Islam, agama Islam ada persamaan dengan mereka, agama Islam dan agama mereka lebih kurang sahaja, sama-sama mengajak kepada kebaikan, dan macam-macam lagi mereka kata supaya kita lembut kepada mereka. Mulut mereka manis sahaja kalau depan kita.

 

وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ

tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah

Tapi kalau sesama mereka, mereka akan kutuk kita. Entah apalah mereka akan katakan dan gelakkan tentang kita, kita pun tidak tahu. Kadang-kadang kita terdengar juga sebab mereka sangka kita tidak dengar apa yang mereka kata. Mereka tengok kita dengan geram sahaja. ‘Gigit hujung jari’ itu adalah perumpamaan marah sangat dengan kita.

 

قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ

katakanlah: “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. 

Kita disuruh cakap kepada mereka begini: Kamu semua pergi matilah dengan kebencian kamu itu.

Keras sekali apa yang Allah katakan ini.

 

إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Allah tahu apa yang dalam hati mereka, dan sekarang Allah telah beritahu kita.


 

Ayat 120: Kalau tidak jelas kebencian mereka kepada kita orang Islam, maka Allah berikan lagi alamat tanda kebencian mereka.

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

If good touches you, it distresses them; but if harm strikes you, they rejoice at it. And if you are patient and fear Allāh, their plot will not harm you at all. Indeed, Allāh is encompassing of what they do.

MALAY

Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

 

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ

Kalau kamu beroleh kebaikan, ianya akan menyakitkan hati mereka; 

Jika kamu dapat kebaikan, mereka akan sakit hati. Kebaikan itu boleh jadi macam-macam. Antaranya kalau umat Islam memang, atau bersatu hati dan bekerjasama. Mereka berbulu sahaja mata mereka bila nampak kita maju atau semakin ramai dan kuat.

 

وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُوا بِهَا

dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.

Kalau kita dapat musibah, mereka akan gembira. Ini adalah kerana kebencian mereka yang amat sangat kepada kita. Katakanlah kita dapat bencana alam contohnya, mereka akan suka, mereka akan kata padan muka orang Islam itu. Kalau orang Islam ramai mati mereka tak kisah pun. Tengoklah bagaimana kalau penduduk Islam mati di Palestin entah berapa ramai yang sudah mati, mereka buat tak kisah sahaja. Tapi kalaulah ada seorang sahaja mati dari kalangan orang Israel itu, mereka akan bising satu dunia.

 

وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا

Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun.

Kalau kita sudah tidak baik dengan mereka, mereka tentu tidak suka dan mungkin akan melakukan sesuatu seperti boikot kita dan sebagainya. Kalau jadi begitu, Allah suruh kita bersabar. Maksud sabar adalah ikut syariat. Biar sahaja dengan apa yang mereka lakukan. Serahkan segalanya kepada Allah. Kerana apa sahaja yang berlaku, bukan atas tangan mereka tetapi Allah yang tentukan apa yang akan terjadi. Sebab kita ikut syariat. Kena ingat yang sabar itu dengan ikut syariat.

Dan dari ayat ini, kita kena yakin yang apa-apa sahaja tindakan mereka tidak akan membahayakan kita. Jadi tidak perlu bimbang.

 

إِنَّ اللَّهَ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

Allah tahu apa mereka yang buat, bukannya Allah tak tahu. Kita sendiri jangan risau. Allah akan uruskan, bukan Allah tidak boleh buat apa, bukannya Allah sengaja nak biarkan kita dalam kesusahan. Ini adalah ujian dari Allah cuma beritahu sahaja bahawa Dia mengepung mereka. Mereka tidak akan ke mana. Ke mana lagi mereka nak pergi?


 

KISAH PERANG UHUD

Ayat 121: Ayat ini adalah jawapan kepada syubhat (persoalan) kenapa kadang-kadang umat Islam kalah perang. Allah hendak memberitahu bahawa kekalahan itu adalah kerana kecuaian umat Islam sendiri. Bukan kerana Allah tidak mahu bantu. Allah tentu akan bantu umat Islam tapi umat Islam sendiri kenalah memenuhi syarat. Jadi, ini mengajar kita bahawa bila perang, kena ikut syarat.

Salah satu yang kena diikuti adalah: taat kepada Nabi dan pemimpin. Dalam perang Uhud, Nabi dah susun dah kedudukan tentera dengan secara spesifik. Ada yang jaga kedudukan yang strategik, antaranya Nabi letakkan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat mengawal medan peperangan. Tapi ada yang tidak taat dan tidak tetap di kedudukan yang telah diletakkan oleh Nabi itu. Nabi Muhammad sudah pesan kepada pasukan pemanah yang di atas bukit, jangan tinggalkan tempat itu walau apa yang terjadi. Dalam riwayat disebut ‘walaupun burung mematuk mayat orang Islam’. Tetapi apabila pihak musuh lari bertempiaran, mereka telah turun untuk tolong kumpul harta yang ditinggalkan pihak musuh. Padahal bukan boleh ambil terus pun harta itu kerana hanya Nabi sahaja boleh bahagikan. Mereka langgar pesanan Nabi kerana mereka sangka mereka sudah menang. Antara hujah mereka, Nabi larang turun kalau mereka kalah, tapi sekarang mereka sedang menang, jadi tidaklah salah kalau mereka turun. Mereka pakai akal mereka dan langgar arahan Nabi. Dari segi teknikal, bolehlah dikatakan yang mereka tidak salah… tapi sebenarnya mereka salah fikir juga. Inilah bahaya kalau guna akal. Macam puak Muktazilah juga yang menggunakan akal dalam hal agama.

Jadi ada yang langgar arahan Nabi waktu itu. Memang mereka melakukan kesalahan. Tapi Allah sudah maafkan mereka seperti yang disebut dalam Qur’an. Allah taqdirkan mereka melakukan kesalahan supaya menjadi contoh kepada kita. Dan Allah dah maafkan pun. Maka janganlah kita ikut macam golongan yang benci kepada para sahabat sampai mencaci mereka disebabkan perkara ini. Siapa kita nak hina sahabat Nabi?

Jadi sekarang kita akan masuk kepada kisah Perang Uhud yang terjadi pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah. Tahun sebelumnya puak Musyrikin Mekah telah kalah dalam perang Uhud. Jadi kali ini mereka datang dengan lebih ramai lagi untuk balas dendam. Semasa Badr, mereka seramai seribu orang dan kali ini yang datang adalah seramai tiga ribu orang. Tahun lepas, ketua perang mereka adalah Abu Jahal dan dia telah mati. Tahun ini, pasukan tentera diketuai oleh antaranya Abu Sufyan dan Khalid al Walid. Mereka berduanya akhirnya masuk Islam.

 

وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقَاعِدَ لِلْقِتَالِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [remember] when you, [O Muḥammad], left your family in the morning to post the believers at their stations for the battle [of Uḥud] – and Allāh is Hearing and Knowing –

MALAY

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu

Ketika keluar dari rumah isteri baginda Aisyah pada pagi hari.

 

تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقَاعِدَ لِلْقِتَالِ

dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang

Tujuannya adalah untuk mengatur tentera Islam. Untuk meletakkan mereka di tempat yang strategik untuk berperang dengan musuh. Nabi susun mereka satu persatu. Arahan yang diberikan kepada mereka adalah mereka kena tetap duduk di situ.

Dari sejarah, kita dapat tahu bahawa perletakan kedudukan itu amat penting. Yang paling terkenal adalah kedudukan pemanah. Nabi telah letak kedudukan pasukan pemanah di atas bukit yang dapat memanah musuh dari kedudukan tinggi itu. Nabi sudah pesan, walaupun nampak burung mematuk mayat tentera Islam, mereka tidak dibenarkan meninggalkan tempat itu. Maknanya, walaupun umat Islam kalah, mereka tidak boleh tinggalkan tempat itu sebelum mendapat arahan dari Nabi.

Pertempuran awalnya telah menyebelahi tentera Islam. Walaupun mereka sedikit, tapi mereka sedang memenangi pertempuran itu. Mereka telah membunuh seorang demi seorang tentera musuh dengan mudah. Sampaikan tentera bertempiaran lari dan mula meninggalkan medan peperangan.

Waktu itulah sebahagian dari pasukan pemanah telah membuat kesalahan besar meninggalkan kedudukan strategik mereka untuk membantu mengumpulkan harta rampasan perang. Alasan mereka adalah kerana tentera Islam telah menang. Mereka lupa pesanan Nabi. Mereka juga telah engkar kepada arahan ketua mereka yang berada di atas bukit sekali. Sampaikan hanya beliau seorang sahaja yang tinggal kerana orang bawahannya telah turun mengumpul harta di medan perang.

Malangnya semasa musuh Islam melarikan diri, panglima perang musuh, Khalid al Walid nampak dari ekor matanya yang pasukan pemanah telah meninggalkan tempat mereka. Dia telah nampak peluang keemasan untuk menukar nasib mereka. Maka dia telah mengumpulkan semula tentera musyrikin Mekah dan telah pusing kembali dan menyerang dari belakang dan mengambil tempat pasukan pemanah.

Keadaan telah beralih. Sekarang tentera Islam pula yang digasak oleh pihak Musyrikin Mekah. Sampaikan Nabi Muhammad sendiri tercedera dan patah gigi baginda (walaupun perkara ini ada dikritik juga kerana dalam Hadis Syamail Nabi, tidak disebut gigi Nabi rongak). Sampai keluar khabar angin yang mengatakan Nabi Muhammad telah terbunuh. Ia memberi kesan negatif kepada tentera Islam. Sampaikan Umar sendiri telah patah semangat untuk terus berjuang.

 

وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah mendengar apa yang mereka sedang katakan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s