Tafsir Surah Ali Imran Ayat 103 – 111 (Amar makruf Nahi mungkar)

Ayat 103: Allah beritahu yang kita kena buat seperti yang disuruh dalam ayat ini. Kalau kita lakukan, barulah kita akan capai apa yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And hold firmly to the rope¹ of Allāh all together and do not become divided. And remember the favor of Allāh upon you – when you were enemies and He brought your hearts together and you became, by His favor, brothers. And you were on the edge of a pit of the Fire, and He saved you from it. Thus does Allāh make clear to you His verses that you may be guided.

  • Referring either to His covenant or the Qur’ān.

MALAY

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

 

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah

Ulama sepakat mengatakan yang dimaksudkan dengan حَبْلِ اللَّهِ (Tali Allah) adalah Al-Qur’an.

Dan lafaz جَمِيعًا bermaksud ‘semua sekali’. Maksudnya, semua ayat-ayat Al-Qur’an itu. Jangan tolak walau satu pun ayat Al-Qur’an. Maka, kenalah belajar tafsir semua sekali ayat Al-Qur’an itu 30 juzuk. Jangan pilih-pilih pula mana yang kita suka. Kena luangkan masa dalam hayat kita ini supaya dapat belajar tafsir keseluruhan ayat Al-Qur’an.

Kata جَمِيعًا juga bermaksud ‘berjemaah’. Hendaklah kita bersama-sama dengan orang lain berpegang dengan Al-Qur’an. Oleh itu, hendaklah kita ramai-ramai kena belajar dan sebarkan Al-Qur’an ini. Janganlah kita faham sendiri sahaja dan biarkan orang lain terkontang-kanting tidak tahu hal agama ini.

Tapi belajar mestilah dengan cara yang benar. Kenalah talaqqi belajar dengan guru dan kemudian tambah dengan membaca kitab-kitab tafsir yang banyak ada di pasaran. Memang ada banyak tafsir dengan berbagai kitab tapi secara dasarnya banyak persamaan antara tafsir itu. Itu sebagai penambahan maklumat kerana setiap kitab ada perkara khusus yang disentuh.

 

وَلَا تَفَرَّقُوا

dan janganlah kamu bercerai-berai;

Jangan kamu berpecah belah tentang Al-Qur’an. Kalau kita tidak pegang Al-Qur’an semua sekali, akan rosak agama dan umat pun akan pecah belah. Untuk umat bersatu, bukan dengan menggunakan hadis, tapi dengan Al-Qur’an. Kerana dengan hadis, manusia boleh lagi berpecah jadi mazhab – kita pun lihatlah sekurang-kurangnya ada empat mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah pun. Bukanlah saya kata salah mazhab itu pula.

Tapi kita sekarang hendak bincang tentang perpaduan. Hanya dengan Al-Qur’an, baru boleh bersatu. Ini adalah kerana Al-Qur’an mengajak kepada akidah tauhid dan hal akidah ini mazhab yang empat pun sama sahaja pendapat mereka. Kalau perbezaan bab fekah, zaman sahabat pun sudah ada perbezaan pendapat dan tidak membahayakan pun.

Dalam hal feqah, kita boleh bertolak ansur kerana ada banyak pendapat, tapi dengan hal akidah, kena pegang satu pendapat sahaja, iaitu yang disampaikan oleh Al-Qur’an. Terutama tentang tauhid dan furu’ aqidah. Oleh itu, janganlah ada yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an kalau prihatin dengan agama dan pengakhiran kita di akhirat kelak.

Semua sekali umat Islam kena belajar. Tapi diingatkan sekali lagi untuk belajar dengan benar. Jangan gunakan ayat-ayat Al-Qur’an pula untuk tafsirkan dengan cara yang salah, yang menyebabkan perpecahan dalam umat pula. Ini pun ada juga terjadi dalam kalangan umat Islam di dunia. Sebagai contoh, ada yang gunakan ayat Al-Qur’an untuk berbunuhan pula.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita supaya jangan berpecah buat kumpulan lain selain dari kumpulan Muslim. Memang akan ada sahaja perbezaan pendapat, ini perkara biasa kerana kita semua manusia, pendidikan berbeza dan pemahaman pun berbeza. Tapi kena tetap duduk dalam jemaah Islam.

Memang sebagai manusia akan ada sahaja perbezaan pendapat dan fahaman, tapi jangan besarkan perbezaan itu. Kita sekarang sudah banyak sangat kumpulan dan persatuan. Semua dengan niat yang baik, tapi janganlah kita taksub dengan kumpulan kita. Kerana kita semua bekerja untuk Allah. Walaupun banyak kumpulan kecil, tapi kumpulan yang terbesar adalah kumpulan jemaah Islam.

Dan kena pandai menangani perbezaan pendapat (ikhtilaf). Janganlah kerja nak mencari salah orang sahaja. Ramai yang terbelit dengan masalah ini kerana tidak tahu menahu langsung tentang ikhtilaf. Yang kita kena buat selalu adalah ingat nikmat Allah beri kepada kita (nikmat Islam dan dijadikan kita sebagai Muslim). Bayangkan kalau Dia masukkan kita dalam agama kafir, macam mana?

 

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ

dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu

Ini adalah nikmat yang khusus diberikan kepada Arab Madinah yang dulunya berperang sesama mereka. Dengan nikmat Al-Qur’an, mereka jadi seperti adik beradik. Ini adalah contoh bagaimana Al-Qur’an dapat menyatukan manusia. Apabila tauhid kepada Allah, Allah boleh satukan hati. Oleh itu, perkara yang besar yang penting dijaga adalah akidah.

Memang kita sendiri boleh rasa bagaimana Al-Qur’an dapat menyatukan manusia. Cara paling senang kita tengok adalah kalau kita lihat orang yang selalu baca Al-Qur’an, kita akan hormat dia. Ini terjadi secara semulajadi. Apatah lagi kalau seorang yang hafiz Al-Qur’an, lagi kita akan hormat dia. Allah yang timbulkan perasaan sayang dan hormat itu dalam hati kita kerana Al-Qur’an.

Perkataan فَأَلَّفَ digunakan yang bermaksud ‘seribu’ secara literal. Ia bermaksud benda yang pecah seribu dan dijadikan satu balik dan lekat balik. Pelekat itu adalah Al-Qur’an.

 

فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوٰنًا

maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu, orang-orang Islam yang bersaudara.

Kerana Al-Qur’an manusia boleh menjadi saudara seagama dan berpegang kepada satu sumber pegangan yang menyatukan kita. Ada beza antara ‘ikhwah’ dan ‘ikhwan’. Dua-dua perkataan ini kita selalu dengar tapi apakah bezanya?

Ikhwah adalah talian persaudaraan kekeluargaan. Ikhwan pula adalah pertautan antara mereka yang mempunyai matlamat yang sama walaupun bukan keluarga darah daging. Tetapi apabila orang mukmin, walaupun bukan adik beradik, tapi mereka seperti ikhwah sesama sendiri. Sudah jadi macam adik beradik. Tapi dalam ayat ini digunakan lafaz إِخْوَانًا kerana masih pada peringkat awal.

Oleh itu, jagalah persaudaraan Islam sesama kita. Lihatlah orang Islam yang lain sebagai orang yang sama sahaja dengan kita, sama-sama dalam akidah yang satu dan Tuhan yang satu. Janganlah pandang sangat perbezaan antara kita. Perbezaan memang akan tentu ada. Tapi carilah apa perkara yang menyatukan kita. Pandanglah manusia lain dengan pandangan rahmah.

 

وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu.

Allah ingatkan Arab Madinah bagaimana mereka dahulu sudah duduk tepi jurang Neraka, tunggu mati sahaja untuk dimasukkan terus ke dalam neraka. Tapi Allah selamatkan mereka dengan beri fahaman tauhid kepada mereka.

Begitu juga, ramai dari kita yang hanya tahu tauhid dengan sebenar selepas belajar tafsir Al-Qur’an. Ada yang menangis kerana mengenangkan apa yang mereka lakukan semasa mereka belum belajar tafsir, kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan dulu, akan menyebabkan mereka masuk terus ke dalam neraka kalau tidak bertaubat.

Tapi, untuk bertaubat, hanya selepas mengetahui yang perbuatan itu salah dahulu. Berapa ramai lagi yang masih mengamalkan amalan syirik tanpa mereka sedari kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an?

 

كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ ءآيٰتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Allah menceritakan semua ini adalah untuk memberi hidayah kepada kita. Maka kita kenalah ambil pengajaran dari ayat-ayat Allah ini. Jangan kita baca begitu sahaja, hafal begitu sahaja tapi tidak difahami apakah yang Allah sampaikan.

 

Balaghah: Hazfu wa zikru. Jenis الإختزال (al-ikhtizal)

Ini adalah apabila ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Al-Qur’an. Ini seumpama penggunaan shorthand (trengkas). Dalam ayat ini, ada hazaf dari fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf n dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Dan kalau tambah huruf jadi ‘makang’, itu bermaksud makan dengan banyak. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu.

Lihat kalimah تَفَرَّقُوا yang dalam bentuk ikhtizal. Iaitu telah dihazafkan satu huruf ت dalam ayat ini. Sepatutnya kalimah yang biasa digunakan adalah تَتَفَرَّقُوا. Sekarang bandingkan pula dengan ayat Syura:13 

شَرَعَ لَكُم مِّنَ الدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰ أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ كَبُرَ عَلَى الْمُشْرِكِينَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ اللَّهُ يَجْتَبِي إِلَيْهِ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي إِلَيْهِ مَن يُنِيبُ

Allah telah menerangkan kepada kamu – di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya – apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: “Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya”. Berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).

Lafaz yang digunakan dalam ayat ini adalah تَتَفَرَّقُوا dalam wazan yang penuh. Tapi kenapa ada ikhtizal dalam ayat Ali Imran:103? Sedangkan kedua-dua ayat ini tentang larangan berpecah belah tetapi kenapa ada perbezaan kalimah yang digunakan?

Perbezaan itu adalah kerana ayat Ali Imran:103 ini ditujukan kepada puak Muhajirin dan Ansar sahaja. Bilangan mereka itu terhad kalau dibandingkan dengan tujuan ayat dalam Syura:13 itu. Dalam Syura:13 digunakan kalimah تَتَفَرَّقُوا dalam wazan yang penuh kerana ayat itu ditujukan kepada semua orang.


 

Ayat 104: Apabila umat Islam sudah bersatu, dan supaya kekal bersatu, kena ada sifat-sifat yang akan disebutkan:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And let there be [arising] from you a nation inviting to [all that is] good, enjoining what is right and forbidding what is wrong,¹ and those will be the successful.

  • According to the laws of Allāh.

ABDULLAH BASMEIH

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

 

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak

Ada dua tafsir kepada potongan ayat ini:

1. Semua kita umat Islam kena ada sifat-sifat ini. Setelah kita belajar tafsir Al-Qur’an dan tauhid, tahu apa yang perlu dilakukan, maka kita hendaklah menjadi seperti sifat-sifat yang disebut dalam ayat ini.

2. Kena ada satu umat yang mempunyai sifat-sifat ini. Maknanya bukanlah semua umat Islam.

Kalimah أُمَّةٌ bermaksud satu kumpulan yang tidak dibatasi oleh bangsa, bahasa dan negara. Tidak asabiyyah (sifat kepuakan). Dan yang menyatukan mereka adalah kalimah tauhid.

 

يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ

yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan

Sifat mereka adalah mereka mengajak (dakwah) sesiapa sahaja ke arah kebenaran Islam. Mereka mencari peluang di mana sahaja untuk berdakwah kepada manusia.

Mereka mengajak kepada apa? إِلَى الْخَيْرِ (ke arah kebaikan). ‘Kebaikan’ adalah apa-apa yang tsabit datang dari wahyu. Banyaklah perkara yang termasuk dalam perkara ini. Perkara ini kena belajar. Seorang yang hendak mencari kebenaran dalam agama, kenalah melazimi majlis ilmu dan belajar segala perkara yang perlu diketahui oleh seorang Muslim. Kalau diri sendiri tidak belajar, maka kepada apa yang kita hendak ajak manusia?

 

وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ

dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, 

Makruf adalah sesuatu yang telah diketahui secara umum. Tak payah ajar pun orang sudah tahu. Cuma nak kena ingatkan sahaja. Maknanya ini adalah kebaikan universal – contohnya seperti adab, cakap benar, tolong menolong, jangan ganggu orang lain dan sebagainya.

Kena ajak dengan cara baik. Ini adalah cara dakwah. Dan dakwah kena dengan dijalankan dengan cara yang baik. Kalau kita ajak orang lain, tapi dengan cara yang mereka tidak suka, ianya tidak berjaya. Ini pun kena belajar dan kena sabar dalam menjalankannya. Kerana bukanlah semua yang kita ajak akan terima. Kena ada cara-caranya.

 

وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

serta melarang daripada segala yang salah

Dan mereka menghalang orang lain dari melakukan perkara mungkar. Mungkar adalah lawan kepada makruf. Benda yang semua orang tahu sebagai tidak baik. Asal bahasa, ia bermaksud ‘asing’.

Nak nasihat orang yang buat salah pun kena berhemah juga. Kalau kita terus kata mereka teruk, tentulah mereka akan marah dan tak mahu ikut nasihat kita lagi. Untuk orang terima nasihat kita, hendaklah ada pertalian antara yang memberi nasihat dan yang diberi nasihat itu. Kalau tidak, susah untuk yang dinasihati untuk terima. Orang akan selalu percaya dan terima cakap orang yang mereka selesa.

Oleh itu, amar makruf adalah Jihad menggunakan lisan. Jangan berat mulut untuk beri nasihat dan tegur orang lain.

Nahi mungkar pula boleh sampai naik pedang untuk menegakkannya. Iaitu kepada mereka yang masih tetap berdegil dan sampai melakukan kezaliman kepada orang lain, kenalah kita berkeras sampai kadang-kadang kena hunuskan pedang. Tapi jihad dengan pedang ini, hanya kepada sesiapa yang ada kemampuan. Tak semua orang boleh buat.

 

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Maksud الْمُفْلِحُونَ adalah mereka yang berjaya setelah melakukan usaha, bukannya dengan goyang kaki sagaja. Memang menjalankan amar makruf dan nahi mungkar memerlukan usaha.


 

Ayat 105: Bani Israil tidak ada buat amar makruf nahi mungkar, maka kerana itu agama mereka rosak.

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not be like the ones who became divided and differed after the clear proofs had come to them. And those will have a great punishment

MALAY

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

 

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan

Mereka bermusuh dari segi fizikal (تَفَرَّقُوا) dan berselisih dalam fahaman agama (وَاخْتَلَفُوا). Mereka berbalah hal agama sampai ke tahap berperang sesama mereka. Mereka berbalah itu selepas mereka berpecah belah.

Sebenarnya tidak salah kalau ada perbezaan pendapat. Tapi jangan kerana hanya mahu pertahan kumpulan mereka sahaja. Yang penting adalah kebenaran (walaupun tidak berpihak kepada puak kita). Yang bahayanya, kalau sudah mula berpecah belah dan berbeza pendapat sampai memudharatkan diri. Ada yang sudah tidak kisah mana benar dan tidak, mereka hanya nak pertahankan kedudukan kumpulan mereka sahaja.

 

مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنٰتُ

sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata

Perpecahan itu terjadi selepas mereka jelas tentang agama. Mereka telah tahu kebenaran dari nas-nas agama. Tapi mereka masih tetap lagi berpecah belah. Malangnya, inilah yang terjadi dalam masyarakat Islam sekarang. Kita sedang menuju kepada apa yang dilakukan oleh Yahudi dan Nasara dahulu.

Saban hari kita dapat melihat perpecahan dan perdebatan di kalangan orang kita. Malangnya, kadang-kadang kita lihat perkara ini berlaku di kalangan agamawan juga. Sampai pening orang awam nak pilih mana satu.

 

وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

Inilah ancaman Allah, tentang apa yang boleh terjadi kerana tiada amar makruf nahi mungkar. Apabila tiada amar makruf nahi mungkar, akan terjadi perpecahan dan perbalahan akhirnya membaca kepada azab dari Allah.


 

Ayat 106: Allah beritahu kepada kita yang ada dua jenis manusia di akhirat nanti.

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

On the Day [some] faces will turn white and [some] faces will turn black. As for those whose faces turn black, [to them it will be said], “Did you disbelieve [i.e., reject faith] after your belief? Then taste the punishment for what you used to reject.”

MALAY

(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.

 

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ

hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. 

Di akhirat nanti, manusia boleh cam mana ahli syurga dan ahli neraka. Ahli syurga akan berwarna putih cerah wajahnya dan ahli neraka akan hitam legam wajah mereka.

 

فَأَمَّا الَّذِينَ اسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ

Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, 

Muka ahli neraka akan hitam legam. Semua orang akan tahu yang mereka itu adalah bakal ahli neraka.

 

أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمٰنِكُمْ

“Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman?

Dikatakan kepada mereka oleh malaikat: kenapa kamu murtad setelah kamu beriman?

Termasuk dalam mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang-orang munafik dan ahli bidaah. Mereka itu dikira murtad kerana telah tolak syariat. Inilah bahayanya melakukan amalan bidaah. Kerana amalan bidaah itu melawan sunnah.

Ingatlah yang bidaah itu hasil dari penipuan syaitan (talbis iblis). Syaitan mulanya akan suruh buat perkara bidaah dulu, tapi sebenarnya dia nak kita murtad, sebenarnya. Kalau bidaah tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa, maka kita akan menuju ke arah kesesatan. Mungkin bidaah nampak tidak bahaya pada awalnya kerana kecil sahaja, tapi kesannya dalam jangka panjang adalah sesat.

 

فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.

Kalau kufur, manusia akan menerima azab yang menyebabkan mereka akan kekal dalam neraka. Semoga kita diselamatkan dari termasuk ke dalam golongan ini.


 

Ayat 107:

وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for those whose faces turn white, [they will be] within the mercy of Allāh. They will abide therein eternally.

MALAY

Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.

وَأَمَّا الَّذِينَ ابْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ

Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya,

Nasib kepada mereka yang putih wajahnya kerana iman mereka, tidaklah sama.

فَفِي رَحْمَةِ اللَّهِ

maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah

Rahmat yang dimaksudkan itu adalah syurga. Kerana kita kena ingat yang kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah, bukan dengan usaha dan amalan kita.

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

mereka kekal di dalamnya.

Kalau sekejap sahaja tinggal di syurga, itu tidak lah hebat mana, kerana kita tidak akan dapat merasai nikmat itu sepenuhnya kerana kita tahu yang kita akan keluar dari tempat itu akhirnya. Jadi, Allah beritahu yang penghuni syurga akan kekal di dalam syurga selama-lamanya.


Ayat 108:

تِلْكَ آيَاتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعَالَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

These are the verses of Allāh. We recite them to you, [O Muḥammad], in truth; and Allāh wants no injustice to the worlds [i.e., His creatures].

MALAY

Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.

تِلْكَ آيَاتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan haq. 

Allah hendak menegaskan bahawa ada sebab ayat-ayat ini dikhabarkan. Ianya dijelaskan untuk menceritakan kebenaran.

وَمَا اللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعَالَمِينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.

Tidaklah Allah mahu kezaliman kepada hambaNya. Tapi yang mahukan begitu adalah syaitan. Sebab ada perkataan مَا disitu. Maksudnya, ada yang hendak melakukan kezaliman kepada manusia.


 

Ayat 109: Ini adalah dalil aqli kelima.

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

To Allāh belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. And to Allāh will [all] matters be returned.

MALAY

Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

 

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ

Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,

Kita kena rasa diri rendah diri bila baca ayat-ayat macam ini.

 

وَإِلَى اللَّهِ تُرْجَعُ الْأُمُورُ

dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

Semua perkara kembali kepada Allah. Allah yang akan buat keputusan. Oleh itu, kita sebagai makhluk yang hina, yang menjadi hambaNya, hendaklah belajar untuk redha dengan apa sahaja yang terjadi. Kerana semua perkara yang terjadi adalah dalam penentuanNya, dalam hikmahNya.


 

Ayat 110: Umat Islam kena jadi umat seperti sahabat Nabi. Kerana ayat ini tentang sahabat. Kita boleh masuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini kalau kita buat sama seperti apa yang mereka lakukan.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You are the best nation produced [as an example] for mankind. You enjoin what is right and forbid what is wrong and believe in Allāh. If only the People of the Scripture had believed, it would have been better for them. Among them are believers, but most of them are defiantly disobedient.

MALAY

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

 

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, 

Ayat ini ditujukan kepada para sahabat. Kita belum tentu lagi seperti mereka. Sahabat adalah sebaik-baik umat yang boleh dijadikan sebagai contoh. Mereka terbaik dari segi akidah dan amalan. Oleh itu, neraca kita adalah sahabat. Oleh sebab itu, dalam amalan agama, kita kena selalu tanya, adakah sahabat buat amalan-amalan sebegitu? Kerana mereka belajar sendiri dari Nabi dan mereka lebih faham agama dari kita. Oleh itu, kalau ada amalan-amalan, kita kena periksa. Adakah mereka melakukan Solat Hajat berjemaah? Adakah mereka buat Majlis Tahlil, Talqin, berdoa di kubur dan sebagainya? Kalau tidak ada, maka ada masalah kalau masyarakat kita ada mengamalkan amalan-amalan sebegitu.

Para sahabat telah diberi kedudukan yang tinggi kerana Allah pilih mereka untuk jadi sahabat. Perkataan ‘dikeluarkan’ dalam ayat ini maksudnya ‘dipilih’. Dalam banyak-banyak manusia dalam alam ini, mereka yang diberi peluang untuk duduk berjuang dan berdakwah bersama dengan Nabi. Lalu, kalau kedudukan mereka tinggi sebegitu sampai dipuji oleh Allah, bagaimana mungkin ada golongan seperti Syiah yang sanggup untuk mengatakan mereka murtad setelah Nabi wafat? Bagaimana puak-puak Syiah ini boleh dapat tempat di negara kita yang kita cintai ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kelemahan ilmu agama masyarakat kita. Mereka sampai senang ditipu dan diperdaya oleh diayah-diayah golongan sesat sebegitu. Mereka pandai memutar belitkan fakta agama dan kerana orang kita sendiri tidak ada pengetahun agama, mereka sedang terpedaya. Oleh itu, tingkatkanlah ilmu agama tuan-tuan.

 

تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ

kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah

Para sabahat itu sebar agama. Mereka telah mengembara ke serata dunia untuk menyampaikan agama Islam ini kepada umat manusia. Sampaikan ramai sahabat yang mati di negara yang jauh dari Mekah dan Madinah itu.

Kita pun kenalah juga buat apa yang mereka lakukan juga. Kena jalankan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat kita. Kena tegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat sekarang kerana memang banyak yang ada masalah. Kita tidak boleh biarkan sahaja kerana kalau kita biarkan, mereka sangka apa yang mereka lakukan itu tidaklah salah. Malangnya, ustaz-ustaz di negara kita memang segan nak tegur anak murid kerana takut mereka lari dari belajar. Mereka jaga sangat hati anak-anak murid. Bila tidak dijalankan amar makruf nahi mungkar, maka anak murid akan rasa: takkan salah, kerana kalau salah tentu ustaz aku dah tegur!

 

وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

serta kamu pula beriman kepada Allah

Para sahabat itu benar-benar beriman dengan Allah dengan sebenar-benar iman. Iman yang sempurna adalah tidak melakukan syirik atau mempunyai fahaman yang syirik. Kerana ada orang yang beriman dengan Allah, dengan Rasul dan lengkap Rukun Iman mereka, tapi dalam masa yang sama, mereka ada kepercayaan kepada fahaman syirik.

 

وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم

Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah itu baik bagi mereka. 

Kalau mereka beriman, mereka akan dapat dua ganjaran. Ganjaran pertama kerana mereka percaya kepada Kitab Suci mereka. Dan kedua, ganjaran kerana beriman dengan Nabi Muhammad. Ini adalah kelebihan mereka, yang tidak ada pada Bangsa Arab kerana mereka tidak ada kepercayaan kepada Kitab Suci sebelum itu. Kita pun tidak ada kelebihan itu kerana kita lahir-lahir sudah beragama Islam.

 

مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ

di antara mereka ada yang beriman

Ada yang baik dari kalangan mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad

 

وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Tetapi majoriti dari mereka adalah yang fasik. Fasik itu bermaksud tidak taat kepada arahan Allah.

Amar makruf nahi munkar ini kena mulakan dengan diri sendiri, kemudian kepada keluarga kita sendiri. Sebelum kita nasihat kepada orang lain, kena mula dengan diri kita sendiri dulu. Dan kena ingat yang kita nasihat orang lain adalah kerana kita sayang kepada mereka, bukannya kerana kita lebih baik dari mereka. Jangan ada perasaan tak elok macam itu. Jangan simpan perasaan kita lebih baik dari orang lain. Begitu juga kalau kita sudah terima sunnah – alhamdulillah. Tapi jangan kutuk orang lain yang belum terima. Kerana kita dulu pun macam mereka juga, buat syirik, buat bidaah. Cuma kita dapat hidayah dahulu dari mereka.


 

Ayat 111:

لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى وَإِن يُقَاتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will not harm you except for [some] annoyance. And if they fight you, they will show you their backs [i.e., retreat]; then they will not be aided.

MALAY

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan dibantu.

 

لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّا أَذًى

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti

Apabila mereka majoritinya fasik, mereka ada kemungkinan akan buat perkara yang jahat. Kerana yang pasti akan buat perkara yang baik adalah orang beriman sahaja kerana  mereka dipandu oleh iman mereka. Kalau fasik, mereka dipandu oleh hati mereka. Walaupun mereka akan buat jahat kepada kita, Allah nak beritahu kita dalam ayat ini, jangan takut dan risau. Kerana mereka tidak akan dapat beri mudharat kepada kita melainkan dari segi kata-kata sahaja. Seperti menyakitkan hati kita, buat propaganda buruk dan sebagainya. Jangan risau kerana Allah janji akan jaga. Tapi janji itu syaratnya adalah sekiranya ikut cara sahabat.

 

وَإِن يُقَاتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ الْأَدْبَارَ

Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu

Mereka tidak akan sanggup memerangi orang mukmin. Kalau mereka ada niat nak perang pun, mereka sudah akan ada rasa takut dan akan lari.

 

ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

sesudah itu mereka tidak akan dibantu

Mereka tidak dibantu kerana Allah murka dengan mereka.

Ayat ini diturunkan sebelum orang Islam berperang dengan ahli kitab. Allah dah bagitahu siap-siap apa yang akan jadi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 November 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s