Tafsir Surah Ali Imran Ayat 64 – 77 (Ahli kitab masuk Islam olok-olok)

Ayat 64:

Ayat ini menyuruh kita ajak Ahli Kitab kepada Kitab yang sebenarnya iaitu Qur’an. Dan ajak mereka kepada perkara yang tidak ada perselisihan antara kita dan mereka. Oleh itu kena ajak kepada tauhid, kerana kalau lihat kepada syariat, Taurat lain, Injil lain dan Qur’an pun lain. Tapi ketiga-tiga kitab ini mempunyai persamaan dari segi akidah.

Dan kena ajak mereka jangan pakai fatwa ulama mereka yang salah. Kerana salah mereka bukanlah pada kitab itu, kerana kitab itu benar. Tapi ulama mereka yang telah seleweng agama dengan beri syarah yang lain dari yang sepatutnya. Oleh itu, jangan pakai fatwa yang lawan wahyu. Begitu juga dengan masyarakat kita, kena pakai fatwa yang selari dengan wahyu.

 

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “O People of the Scripture, come to a word that is equitable between us and you – that we will not worship except Allah and not associate anything with Him and not take one another as lords instead of Allah .” But if they turn away, then say, “Bear witness that we are Muslims [submitting to Him].”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,

Ajak mereka kepada kalimah akidah yang sama. Kerana sebenarnya akidah kita sepatutnya sama sahaja dengan mereka. Walaupun bangsa Arab dari keturunan Nabi Ismail dan mereka dari keturunan Nabi Ishak, tapi akidah Nabi-Nabi mereka dan Nabi Muhammad sama sahaja. Kalau dilihat dalam ajaran Nabi mereka dan dalam kitab-kitab suci mereka, pun ada perkara yang sama dalam hal akidah. Nabi Muhammad tidaklah pernah tahu atau pernah baca apa yang ada dalam kitab-kitab mereka, tapi Allah telah beritahu baginda bahawa ada persamaan dalam hal akidah antara kita dan mereka. Dan alhamdulillah, ulama-ulama kita yang mengkaji kitab-kitab suci mereka, walaupun yang ada sekarang, masih ada lagi lafaz-lafaz ajaran tauhid di dalamnya.

Kalaulah mereka boleh menerima ajakan ini, maka tidaklah ada permusuhan antara agama lagi.

Lafaz ‘Ahli Kitab’ juga boleh dikatakan mereka yang ada pengetahuan agama. Bukan sahaja Yahudi dan Kristian. Oleh itu, ia boleh merujuk kepada ustaz-ustaz dan ulama Islam di negara kita juga. Mereka pun kita kena ajak juga.

Apakah perkara-perkara yang sama dalam agama kita dan mereka?

أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ

iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, 

Apa yang sama? Iaitu kita semuanya sepatutnya hanya sembah Allah sahaja. Kalau kepada Yahudi dan Nasara, ingatkan mereka supaya jangan puja Nabi Uzair dan Nabi Isa. Jangan seru dan minta pertolongan dengan mereka.

Ia juga boleh didakwah kepada Musyrikin Mekah juga kerana nama Allah ini sudah lama digunakan oleh orang Arab dahulu. Sampai sekarang, orang Arab Kristian menggunakan nama Allah untuk Tuhan mereka juga (God the Father).

وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا

dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; 

Jangan campur pujaan kepada Allah dengan pujaan kepada yang lain. Jangan syirik kepada Allah. Oleh itu, kita sendiri kena faham apa tauhid dan syirik, baru boleh dakwah kepada mereka. Ramai orang Islam sendiri yang tak faham tauhid dan apakah syirik itu. Kerana itulah ramai yang melakukan perbuatan dan mempunyai fahaman syirik kerana mereka tidak faham.

وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ

dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain sebagai rabb-rabb selain dari Allah”.

Jangan sembah dan puja makhluk-makhluk Allah sebagai rabb. Jangan jadikan mereka sebagai wakil Tuhan. Mereka pun manusia macam kita juga. Itulah maksud ‘sebahagian dari kita’ – merujuk kepada makhluk-makhluk Allah.

Mereka kata mereka tak jadikan selain Allah itu, tuhan yang lain. Maksud أَرْبَابًا dalam ayat ini adalah ulama dan ahli ibadat. Mereka kata mereka tak sujud pun kepada ulama-ulama mereka itu. Inilah hujah yang diberikan oleh Adi bin Hatim, seorang sahabat yang asalnya adalah Kristian. Beliau kata, dalam agama Nasara, mereka tidak menjadikan rahib dan pendeta mereka sebagai tuhan. Tapi Nabi kata mereka ikut fatwa yang dikeluarkan oleh mereka, dan fatwa itu tidak sama dengan kitab suci mereka. Barulah Adi bin Hatim faham dan bersetuju masuk agama Islam.

Begitulah penganut agama mereka susah nak dibaiki sebab mereka pegang kata ulama mereka dan tidak belajar sendiri kitab suci mereka sendiri. Sama jugalah dengan orang kita yang tak belajar tafsir Qur’an dan Sunnah. Apa-apa sahaja yang dikatakan oleh ulama dan ustaz, mereka terima bulat-bulat dan tidak periksa dengan apa yang disampaikan oleh Quran kerana mereka sendiri tidak faham kerana tidak belajar tafsir Quran.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentang kaum nasrani dan yahudi,

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah” (QS. At Taubah : 31)

Ayat ini ditafsirkan dengan hadits Adi bin Hatim Ath Thoo-i radhiyallahu ‘anhu dimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam membacakan ayat tersebut kepada beliau. Kemudian beliau berkata : “Wahai Rasulullah, kami tidaklah beribadah kepada mereka”. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

أليس يحلون لكم ما حرم الله فتحلونه، ويحرمون ما أحل الله فتحرمونه؟

Bukankah mereka menghalalkan untuk kalian apa yang Allah haramkan sehingga kalianpun menghalalkannya, dan mereka mengharamkan apa yang Allah halalkan sehingga kalian mengharamkannya?”. Beliau (Adi bin Hatim) berkata : “Benar”. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

فتلك عبادتهم

Itulah (yang dimaksud) beribadah kepada mereka

Mereka sampai sekarang mengambil saints yang mereka kata menyelamatkan mereka. Mereka ada saints untuk jaga keselamatan mereka, saints macam-macam. Mereka percaya yang saints-saints itu menjaga mereka kalau mereka puja kepada mereka.

Kalau pada zaman dahulu, kekuatan institusi keagamaan mereka amat kuat sampaikan Paus (Pope) boleh mengampunkan dosa orang lain. Dan mereka mempunyai tanah dan seperti ada kerajaan sendiri. Mereka sampai menindas orang-orang yang memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan gereja sampaikan menyebabkan terjadinya revolusi yang menyebabkan kuasa mereka telah dikurangkan. Itu semua asalnya kerana mereka meletakkan kuasa ketua agama mereka terlalu tinggi sampaikan menyebabkan perubahan kepada agama. Kita juga kena berhati-hati dengan apa yang terjadi kepada mereka, supaya kita pun tidak terjadi seperti mereka. Kata-kata ulama tidak bernilai sama sekali kalau ianya bercanggah dengan nas dari Quran dan Sunnah.

فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam”.

Kalau mereka tolak juga, suruh mereka bersaksi yang kita adalah muslimin. Iaitu kita muwahhidun – yang jaga tauhid. Kita tidak sama dengan mereka. Maknanya, kita tetapkan pendirian kita, kalau mereka tidak mahu ikut, itu terpulang kepada mereka.

Ini adalah peringatan kepada kita, jangan terima langsung agama mereka. Kalau mereka tidak terima, janganlah kita pula yang cuba nak bersama dengan mereka. Kerana sekarang sudah ada gerakan yang hendak menyatukan agama Islam, Kristian dan Yahudi. Bukan begitu cara yang Allah mahu. Kita ajak mereka, tapi kalau mereka tidak mahu, tidaklah kita kena cari persamaan dengan agama mereka dan duduk bersama dengan mereka. Selama-lamanya agama mereka tidak akan dapat diterima oleh kita.


 

Ayat 65: Ayat-ayat seterusnya akan menyebut lima kedegilan Ahli Kitab yang menghalang mereka untuk menerima tauhid setelah diajak kepada tauhid. Selepas diberitahu dengan dalil-dalil yang sah, mereka masih berdegil juga. Antara sebab mereka sudah nak ikut itu adalah kerana lima kemusykilan ini.

Pertama, mereka kata agama Islam ini adalah agama rekaan Nabi Muhammad. Mereka susah untuk menerima Nabi Muhammad dan memperkecilkan baginda kerana mereka melihat bangsa Arab Mekah sebagai bangsa yang buta huruf, tidak tahu membaca, tidak ada Kitab suci dan tidak ada agama sebelum itu. Mereka rasa mereka sudah pandai dan tak pandang apa-apa sahaja yang datang dari orang Arab.

Allah beritahu yang agama Nabi Muhammad bawa inilah yang sama dengan agama Nabi Ibrahim. Mereka pun terima Nabi Ibrahim juga. Bangsa Arab itu tidaklah hina kerana orang Arab pun keturunan Nabi Ibrahim juga dari jaluran Nabi Ismail.

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ وَمَا أُنزِلَتِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

O People of the Scripture, why do you argue about Abraham while the Torah and the Gospel were not revealed until after him? Then will you not reason?

MALAY

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?

 

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تُحَاجُّونَ فِي إِبْرَاهِيمَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang Nabi Ibrahim, 

Teguran pertama kepada mereka adalah: kenapa berdalil dengan menggunakan Nabi Ibrahim? Ini adalah kerana masing-masing Yahudi dan Nasara kata yang Nabi Ibrahim itu agama Yahudi atau Nasara. Mereka berbantah sesama mereka.

Dikatakan bahawa ayat ini diturunkan ketika terjadi pertemuan antara tiga pihak – Islam, Nasrani dan Yahudi ketika kedatangan puak Nasrani dari Najran itu. Puak Yahudi kata Nabi Ibrahim itu Yahudi dan puak Nasrani Najran pula kata yang Nabi Ibrahim itu Nasrani. Masing-masing nak mengaku pula.

 

وَمَا أُنزِلَتِ التَّوْرَاةُ وَالْإِنجِيلُ إِلَّا مِن بَعْدِهِ

padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan selepasnya; 

Macam mana mereka nak berhujah yang Nabi Ibrahim itu Yahudi atau Nasara, sedangkan Taurat dan Injil turun selepas matinya Nabi Ibrahim. Macam mana nak kata baginda ikut Taurat atau Injil?

 

 أَفَلَا تَعْقِلُونَ

kenapa kamu tidak mahu menggunakan akal?

Mereka itu tidak fikir dan menggunakan akalkah? Dalam ayat ini, Allah minta mereka tolonglah guna akal.


 

Ayat 66:

هَا أَنتُمْ هَٰؤُلَاءِ حَاجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Here you are – those who have argued about that of which you have [some] knowledge, but why do you argue about that of which you have no knowledge? And Allah knows, while you know not.

MALAY

Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

هَا أَنتُمْ هَٰؤُلَاءِ حَاجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِ عِلْمٌ

Kamu semua telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya

Tolong dengar wahai Ahli Kitab semua. Sepatutnya kamu semua berhujah pada perkara yang kamu tahu. Itu pun kamu dah berbantah-bantah dah sesama kamu.

 

فَلِمَ تُحَاجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِ عِلْمٌ

maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun dengannya? 

Kenapa berhujah pada perkara yang kamu tidak ada ilmu? Antaranya mereka berbantah tentang Nabi Ibrahim seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini.

Ini mengajar kita supaya apabila nak berhujah, kena ada dalil, kena pada perkara yang kita ada ilmu tentangnya.

Apakah hujah mereka? Mereka kata Nabi Isa boleh diseru dan ia adalah ajaran Nabi Ibrahim. Yahudi kata begitu juga tentang Nabi Uzair. Masing-masing pakai hujah Nabi Ibrahim untuk membolehkan amalan salah mereka. Mereka memandai sahaja reka dalil.

 

وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah nak beritahu yang mereka itu sebenarnya tak tahu mazhab Nabi Ibrahim macam mana. Mereka hanya memandai sahaja memperkatakan sesuatu yang mereka tidak ada ilmu tentangnya.

Mereka fitnah Nabi Ibrahim dengan mengatakan yang Nabi Ibrahim buat sama macam apa yang mereka lakukan.


 

Ayat 67:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Abraham was neither a Jew nor a Christian, but he was one inclining toward truth, a Muslim [submitting to Allah ]. And he was not of the polytheists.

MALAY

Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا

Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, 

Allah jawap salah faham mereka itu. Allah beritahu yang baginda bukan Yahudi dan bukan juga Nasara. Takkanlah baginda itu Yahudi sedangkan nama Yahudi itu sendiri diambil dari keturunan Nabi Yaakob yang datang jauh selepas Nabi Ibrahim. Dan takkanlah Nabi Ibrahim itu Kristian sedangkan Nabi Isa datang lama selepas baginda.

وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا

tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim

Allah kata Dia tahu lebih tahu tentang Nabi Ibrahim dan apakah pegangan baginda. Maka Allah beritahu dalam ayat ini. Allah beritahu yang Nabi Ibrahim itu mengamalkan tauhid. Lafaz  حَنِيفًا maknanya meninggalkan syirik menuju kepada tauhid. Allah memberitahu bahawa Nabi Ibrahim itu fokus, tumpu kepada Allah. Walaupun masyarakat baginda waktu itu mengamalkan syirik, tapi baginda tetap dengan pendirian tauhid.

Lafaz  مُّسْلِمًا pula diterjemah oleh ulama sebagai muwahhidah – yang mengamalkan tauhid.

وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Allah menambah dengan mengatakan yang Nabi Ibrahim itu tidaklah syirik. Ini semua kita tahu, tapi ianya ditekankan supaya jangan orang Arab ingat mereka itu ikut Nabi Ibrahim kerana mereka juga ada gelar diri mereka ‘hanif’ kerana kononnya mereka ikut Nabi Ibrahim. Allah tekankan bahawa baginda hanif yang tidak syirik.


Ayat 68:

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, the most worthy of Abraham among the people are those who followed him [in submission to Allah ] and this prophet, and those who believe [in his message]. And Allah is the ally of the believers.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya – umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.

إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ

Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya

Allah kata yang paling dekat dari segi fahaman dan cara hidup Nabi Ibrahim adalah mereka yang ikut cara baginda dulu. Zaman baginda, itu adalah anak-anak baginda. Kita dapat tahu dari hadis bahawa tidak ramai yang mengikut ajaran tauhid Nabi Ibrahim.

وَهَٰذَا النَّبِيُّ

dan juga Nabi (Muhammad) ini 

Dan Allah menekankan yang Nabi yang sama dengan amalan dan fahaman Ibrahim adalah Nabi Muhammad. Kerana Nabi Muhammad juga menegakkan fahaman tauhid.

وَالَّذِينَ آمَنُوا

serta orang-orang yang beriman

Dan selain Nabi Muhammad, tentulah kita sebagai umat Nabi Muhammad. Kerana orang beriman akan mengamalkan amalan dan fahaman tauhid. Jadi, yang rapat dengan Nabi Ibrahim adalah Nabi Muhammad dan pengikut-pengikut Nabi Muhammad, orang yang beriman sempurna, bukannya Ahli Kitab itu, seperti dakwaan mereka.

وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ

Dan Allah ialah Pelindung sekalian orang-orang yang beriman.

Allah memberitahu yang Allah hanya memberi perlindungan kepada mereka yang beriman yang sebenar, bukannya seperti iman Ahli Kitab itu. Mereka sangka mereka yang beriman, tapi mereka salah sebenarnya.

Allah memberi jaminan kepada mereka, kalau mereka ikut mahu beriman kepada dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu, maka Allah akan menjadi pelindung mereka. Maka, hendaklah mereka meninggalkan agama mereka yang salah itu dan masuk Islam kerana Islamlah agama yang benar. Ajakan dan janji Allah ini masih tertegak sampai ke hari ini. Siapakah yang akan memberitahu janji Allah ini kalau bukan kita? Tapi bagaimana kita nak sampaikan kepada mereka kalau kita sendiri tidak belajar Quran?


 

Ayat 69: Ini pula adalah sifat degil kedua golongan ahli kitab. Ini adalah Ayat Syikayah Allah kepada mereka. Mereka berhujah dengan umat Islam bukannya nak mencari kebenaran tetapi nak menyesatkan dan merosakkan agama. Kalau nak cari kebenaran, itu bagus. Tapi mereka bukannya begitu.

وَدَّت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

A faction of the people of the Scripture wish they could mislead you. But they do not mislead except themselves, and they perceive [it] not.

MALAY

Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).

وَدَّت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ

Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu;

Allah memberitahu kita yang satu puak dari mereka hendak menyesatkan kita. Sebab itu mereka soal macam-macam tentang agama Islam kepada orang Islam. Tujuannya hendak mengelirukan dan hendak menyesatkan umat Islam. Mereka timbulkan persoalan-persoalan untuk menyebabkan umat Islam ragu dengan agama sendiri.

وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّا أَنفُسَهُمْ

padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri,

Sebenarnya mereka tidak menyesatkan sesiapa melainkan mereka menyesatkan diri mereka sendiri.

وَمَا يَشْعُرُونَ

dan mereka pula tidak menyedari

Tetapi mereka sendiri tak sedar. Mereka sangka mereka benar tetapi mereka tidak tahu mereka yang sesat.


Ayat 70:

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

O People of the Scripture, why do you disbelieve in the verses of Allah while you witness [to their truth]?

MALAY

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah

Kenapa kamu engkar semua kitab dari Allah? Bukan Qur’an sahaja yang mereka tolak. Taurat dan Injil pun mereka tolak begitu sahaja. Setengah hukum Taurat dan setengah hukum Injil mereka tolak walaupun mereka kata itu kitab mereka.

وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ

padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?

Sedangkan kamu telah berikrar yang itu semua adalah ayat yang benar.

Dan kamu telah bersaksi bahawa itu kitab kamu sendiri.

Kamu tak bacakah kitab kamu sendiri? Bukankah di dalam Kitab Suci kamu sendiri kamu boleh saksikan bagaimana ia membenarkan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu?
Perkara yang sama boleh dikatakan kepada umat Islam yang tidak belajar tafsir Qur’an dan kerana tidak belajar, mereka langgar arahan Allah. Padahal semua Umat Islam kata Qur’an adalah Kitab Suci dan pegangan mereka. Tapi mereka baca sahaja tanpa faham.


 

Ayat 71: Allah beritahu lagi bahawa mereka itu nak menyesatkan orang lain dengan mencampuradukkan kebenaran dan kebathilan dan menyembunyikan kebenaran.

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

O People of the Scripture, why do you confuse the truth with falsehood and conceal the truth while you know [it]?

MALAY

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

 

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, 

Allah tegur mereka kerana mencampur adukkan yang haq (benar) dan batil (salah). Matan kitab suci itu tentunya haq tapi syarah mereka berkenaan ayat-ayat itu bathil. Sudah bercampur baur antara yang benar dan yang bathil, sampaikan sudah tidak tahu manakah yang benar dan manakah yang salah.

Macam juga ulama-ulama su’ (ulama-ulama jahat) di dunia sekarang – mereka tidak boleh nak ubah ayat-ayat Quran, tapi mereka syarah sampai maksud lari dari maksud yang difahami oleh salafussoleh.

 

وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?

Allah tegur mereka kerana sengaja menyembunyikan kebenaran walaupun mereka tahu. Bila tafsir ayat-ayat dari Kitab suci, mereka tafsir dengan cara yang salah. Dan selalunya, mereka tak keluarkan pun matan kitab yang asal. Ini adalah kerana pemuka-pemuka agama Yahudi dan Kristian, merekalah yang memegang kitab Taurat dan Injil yang asli dan mereka tidak berikan kepada masyarakat umum. Ini telah menyebabkan orang lain sesat.

Maksudnya mereka tahu bahawa mereka telah menipu kerana mereka ada kitab di tangan mereka.


 

Ayat 72: Ini adalah Ayat Syikayah (rungutan) yang ketiga. Allah menceritakan ikhtiar mereka yang sentiasa hendak menyesatkan manusia. Ada sahaja idea-idea jahat mereka. Macam mubaligh Kristian sekarang, macam-macam cara mereka lakukan untuk menyesatkan umat Islam. Mereka buat komiklah, keluarkan tohmahan-tohmahan, buat-buat sengaja nak belajar Islam dengan orang Islam lah dan macam-macam lagi.

وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمِنُوا بِالَّذِي أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا آخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And a faction of the People of the Scripture say [to each other], “Believe in that which was revealed to the believers at the beginning of the day and reject it at its end that perhaps they will abandon their religion,

MALAY

Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): “Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula”.

 

وَقَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ

Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab

Dikatakan ini adalah perkataan pendita-pendita Yahudi kepada anak murid mereka. Mereka risau kerana semakin ramai dari orang Yahudi yang masuk Islam. Jadi mereka buat perancangan jahat untuk melemahkan agama Islam.

 

آمِنُوا بِالَّذِي أُنزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ

“Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi,

Ini adalah salah satu dari rancangan jahat mereka. Mereka ajak puak-puak mereka masuk Islam ramai-ramai, tapi sekejap sahaja. Digunakan lafaz وَجْهَ النَّهَارِ, maksudnya buat benda tu terang-terang waktu siang supaya semua nampak wajah mereka. Semua manusia nampak yang mereka telah masuk Islam beramai-ramai.

 

وَاكْفُرُوا آخِرَهُ

dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, 

Dan selepas itu mereka merancang untuk keluar dari Islam ramai-ramai dan supaya orangramai nampak apa yang mereka lakukan.

 

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

supaya mereka kembali menjadi kafir semula”.

Supaya orang Islam yang jahil pun akan keliru dan mereka pun keluar Islam juga. Mereka akan masuk sekejap dan selepas sehari dalam agama Islam, mereka akan kata mereka dah rasa dah agama Islam, tapi tidak ada apa-apa. Mereka mahu supaya yang jahil dari agama Islam akan kata, tengoklah puak yang tahu agama itu dah masuk Islam dah pun, tapi sebab Islam tak benar, mereka pun keluar Islam.


 

Ayat 73: Tapi mereka pesan juga kepada puak dia supaya jangan percaya betul-betul dengan agama Islam. Mereka diingatkan supaya tunjuk beriman secara zahir sahaja. Takut juga mereka kalau orang yang mereka hantar itu beriman betul-betul pula. Kerana ramai yang sudah tengok-tengok agama Islam dan telah masuk terus. Teringat bagaimana ada orang bukan Islam yang mahu tahu tentang agama Islam selepas kejadian pengeboman 9-11 Twin Tower di America. Mereka tergerak untuk mengatahui apakah agama Islam yang selalu diperkatakan itu. Selepas mereka mengkaji, ramai yang masuk Islam kerana mereka nampak kebenaran dalam Islam itu. Oleh itu, rancangan jahat orang kafir untuk memburukkan Islam telah memakan diri mereka, kerana bukannya orang semakin takut kepada Islam, tapi orang semakin tahu kepada agama Islam dan mereka telah memeluk agama Islam.

وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ أَن يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And do not trust except those who follow your religion.” Say, “Indeed, the [true] guidance is the guidance of Allah . [Do you fear] lest someone be given [knowledge] like you were given or that they would [thereby] argue with you before your Lord?” Say, “Indeed, [all] bounty is in the hand of Allah – He grants it to whom He wills. And Allah is all-Encompassing and Wise.”

MALAY

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah”. bahawa diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.

 

وَلَا تُؤْمِنُوا إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ

Dan (mereka berkata lagi): “Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu”.

Mereka pesan kepada pengikut mereka yang disuruh untuk masuk Islam olok-olok itu, untuk hanya ikut orang yang seperti agama mereka sahaja. Takut benar mereka kalau orang-orang muda yang mereka hantar itu akan masuk benar-benar dalam agama Islam.

 

قُلْ إِنَّ الْهُدَىٰ هُدَى اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk yang sebenar benarnya ialah petunjuk Allah”.

Allah suruh Nabi beritahu hidayah yang ada pada orang Islam itu adalah diberi oleh Allah, bukan datang dari tempat lain. Allah sahaja yang boleh beri hidayah dan tarik hidayah. Manusia tak boleh nak paksa beri hidayah. Dan tidak boleh menarik hidayah dari orang lain. Kalau mereka buat perancangan pun, tapi Allah tak benarkan, ianya tidak akan terjadi.

 

أَن يُؤْتَىٰ أَحَدٌ مِّثْلَ مَا أُوتِيتُمْ

bahawa diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu,

Allah buka pekung mereka: Rancangan mereka ini semua kerana mereka dengki ada orang lain dapat kitab suci dari Allah juga. Mereka tak puas hati.

 

أَوْ يُحَاجُّوكُمْ عِندَ رَبِّكُمْ

atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”.

Atau kerana kamu bimbang mereka yang dapat kitab itu juga berhujah dengan kamu nanti di hadapan Allah dengan dalil dan bukti.

 

قُلْ إِنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ

Katakanlah: “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah,

Allah boleh pilih sesiapa sahaja yang hendak diberikan hidayah atau kitab suci. Manusia tidak boleh pertikaikan apa yang Allah lakukan. Ahli kitab tidak boleh nak pertikaikan kenapa orang bangsa Arab pula yang dapat kitab. Dulu memang mereka dapat kelebihan itu. Mereka dulunya pegang agama dan Allah beri banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi apabila mereka telah menyalahgunakan kelebihan mereka itu, mereka dah rosakkan agama, maka Allah tarik balik kelebihan mereka itu.

 

يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ

diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;

Allah boleh beri apa sahaja yang Allah mahu kepada sesiapa sahaja yang Allah mahu. Orang Yahudi tidak dapat terima ada Nabi dari kalangan Bani  Ismail. Maka Allah beritahu dalam ayat ini yang terpulang kepada Allah siapa yang hendak diberinya wahyu dan kenabian..

 

وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya.

Allah ada banyak kelebihan yang Allah telah berikan dan yang Allah akan berikan. Ianya amat luas.

Dan Allah maha mengetahui siapa yang patut dapat wahyu. Sepatutnya puak Bani Israil kena periksa diri kenapa kenabian ditarik dari mereka, bukannya menolak pilihan Allah hendak memberikannya kepada bangsa lain.


 

Ayat 74:

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

SAHIH INTERNATIONAL

He selects for His mercy whom He wills. And Allah is the possessor of great bounty.

MALAY

Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

 

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ

Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; 

Allah beri secara rahmat secara khusus kepada orang yang tertentu. Rahmat yang khusus iaitu rahmat yang sampai boleh masuk syurga. Kita kena ingat yang kita hanya dapat masuk syurga Allah dengan rahmatNya sahaja. Bukannya dengan amalan kita.

 

وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.

Allah ada banyak limpah kurnia yang boleh diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ianya adalah haq Allah sahaja. Dia sahaja yang boleh tentukan siapa yang akan dapat.

Walaupun pangkat kenabian diberikan kepada Bani Ismail, tetapi Nabi Muhammad bukanlah untuk Bani Ismail sahaja, tapi kepada seluruh dunia. Maka, ianya adalah rahmat yang luas dari Allah. Kalau mereka mahu, mereka masih lagi boleh mendapatnya. Asalkan mahu terima ajaran dari Nabi Muhammad, iaitu ajaran Tauhid.


 

Ayat 75: Ini adalah ayat syikayah keempat. Ahli Kitab itu kata mereka belajar kitab suci tapi dalam masa yang sama, mereka khianat dalam harta. Mereka tidak ikut syariat apabila berurusan dengan harta. Pada mereka, asal untung sahaja, mereka akan ambil peluang.

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And among the People of the Scripture is he who, if you entrust him with a great amount [of wealth], he will return it to you. And among them is he who, if you entrust him with a [single] silver coin, he will not return it to you unless you are constantly standing over him [demanding it]. That is because they say, “There is no blame upon us concerning the unlearned.” And they speak untruth about Allah while they know [it].

MALAY

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

 

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِن تَأْمَنْهُ بِقِنطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ

Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya kepadamu, 

Banyak juga dari kalangan mereka yang jujur. Maka kita kena ingat yang ada kalangan mereka yang baik. Kalau kita amanahkan banyak pun harta kepada mereka untuk mereka simpan, mereka akan amanah dan akan pulangkan kembali.

Bangsa Arab dan Yahudi banyak melakukan perniagaan dan urusan sesama mereka, maka adalah kadangkala ada benda yang diamanahkan kepada mereka. Ada yang amanah dan jujur yang akan mengembalikan kepada tuannya.

 

وَمِنْهُم مَّنْ إِن تَأْمَنْهُ بِدِينَارٍ لَّا يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ إِلَّا مَا دُمْتَ عَلَيْهِ قَائِمًا

dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau berdiri selalu menuntutnya.

Tapi ada dari kalangan mereka yang tidak jujur. Kalau beri sedikit wang kepada mereka untuk mereka simpan pun, mereka tidak mahu pulangkan apabila kita minta. Kalau nak dapatkan juga, kena diri depan mereka dan minta banyak kali kepada mereka.

 

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا لَيْسَ عَلَيْنَا فِي الْأُمِّيِّينَ سَبِيلٌ

Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi 

Kenapa mereka sanggup buat begitu? Kerana mereka kata tidak ada dosa atas mereka kalau tipu orang buta huruf dari bangsa Arab. سَبِيلٌ itu bermaksud ‘dosa yang ditanggung’. Mereka takkan didakwa di hadapan Allah pada pandangan mereka. Sebab pada mereka, yang mereka tipu itu berada pada kedudukan yang rendah, kedudukan mereka yang tidak agama. Kerana pada mereka, orang-orang Arab yang tidak ada agama ini pun akan masuk neraka pun nanti, jadi mereka tak boleh nak dakwa nanti di hadapan Allah.

Orang Islam pun malangnya, ada yang guna hujah ini sampai berani tipu dan curi dari orang kafir. Ini adalah salah faham kerana tidak faham agama. Takkan kita sama macam mereka?

 

وَيَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah

Mereka kata yang itu ada perintah Allah dalam kitab. Ini adalah kerana mereka ada kelebihan sampai boleh tipu bangsa yang ummiy. Umat mereka tidak tahu membaca kitab, dan mereka pun tidak beri semua kitab kepada umat mereka. Jadi senang mereka nak tipu.

Mereka sanggup menipu atas nama Allah. Padahal tidak ada pun sebagaimana yang mereka katakan itu. Sanggup mereka kata Allah benarkan berlaku zalim kepada orang lain?

 

وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedang mereka mengetahui 

Sedangkan mereka tahu apa yang mereka kata itu adalah tipu belaka.

Lihatlah bagaimana ada orang Yahudi lain yang berhubungan baik dan jujur amanah kepada bangsa Arab seperti yang disebut di awal ayat ini. Maknanya yang mereka kata boleh tipu bangsa yang ummiy itu bukanlah benar kerana kalau ianya benar, tentulah semua Yahudi akan buat begitu.


 

Ayat 76: Ini yang sepatutnya dipegang. Sama sahaja layanan yang kena diberikan kepada semua orang.

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ وَاتَّقَىٰ فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

SAHIH INTERNATIONAL

But yes, whoever fulfills his commitment and fears Allah – then indeed, Allah loves those who fear Him.

MALAY

Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

 

بَلَىٰ مَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ

Bahkan, sesiapa yang menyempurnakan janjinya

Kita kena menyempurnakan janji. Ini adalah ringkasan agama Islam. Kerana dalam kehidupan kita, ada macam-macam janji. Sebab Allah tak sebut janji apa dalam ayat ini, janji ia boleh dipakai untuk semua jenis janji. Bukankah kita selalu ada janji? Janji dengan Allah, dengan Nabi, dengan kerajaan, syarikat, sesama manusia, sesiapa sahaja. Asalkan janji, kena dipenuhi. Walaupun kepada orang sesama Islam, atau dengan orang kafir.

Maka, kalau kita berjanji dengan orang kafir pun, kita kena tunaikan janji kita. Jangan pula beri alasan yang boleh menipu orang kafir kerana mereka itu kafir. Itu adalah fahaman yang salah.

Kita hidup dalam dunia ini dipegang pada janji kita, tidak kisah dengan siapa sahaja. Kalau janji tidak dijaga, akan kecoh kehidupan dunia ini. Kerana kalau kita memungkiri janji, orang yang dimungkiri akan marah dan boleh sampai menyebabkan permusuhan dan peperangan. Takkan kita mahu hidup di dunia yang sebegitu?

 

وَاتَّقَىٰ

dan bertaqwa,

Dan kena bertaqwa iaitu jaga hukum syariat. Termasuk dalam taqwa itu adalah takut kepada Allah. Iaitu kita penuhi janji kita kerana takut kepada Allah. Kita tahu yang Allah akan balas kesalahan tidak jaga amanah dan tidak penuhi janji ini di akhirat nanti.

Allah mengaitkan memenuhi janji dengan  taqwa.Maksudnya orang yang tidak memenuhi janjinya, bukan orang yang bertaqwa.

 

فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ

sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Ayat ini menunjukkan yang orang taqwa adalah yang penuhi janji. Allah kasih kepada orang yang bertaqwa. Maka kalau mahu kasih Allah, maka kenalah penuhi janji kita.


 

Ayat 77: Ini adalah ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمانِهِم ثَمَنًا قَليلًا أُولٰئِكَ لا خَلاقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيامَةِ وَلا يُزَكّيهِم وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who exchange the covenant of Allah and their [own] oaths for a small price will have no share in the Hereafter, and Allah will not speak to them or look at them on the Day of Resurrection, nor will He purify them; and they will have a painful punishment.

MALAY

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

إِنَّ الَّذينَ يَشتَرونَ بِعَهدِ اللَّهِ وَأَيمانِهِم ثَمَنًا قَليلًا

Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji dengan Allah dan mencabuli sumpah mereka, untuk keuntungan dunia yang sedikit 

Ini adalah tentang mereka yang sanggup tukar fahaman tauhid dengan mengambil fahaman syirik. Mereka jual janji yang telah dibuat dengan Allah untuk mentauhidkanNya. Ini termasuk bomoh-bomoh atau guru yang mengajar ajaran yang berlandaskan syirik kepada manusia. Kerana mereka boleh mendapat upah dari manusia dari ajaran mereka itu.

Atau mereka sanggup jual sumpahan mereka dalam berurusan dengan manusia. Sanggup guna sumpah dalam menipu.

Golongan Yahudi ada yang sanggup menipu tentang isi Kitab Taurat dan mereka sanggup bersumpah untuk mengatakan yang mereka tidak menipu.

Ayat ini juga menempelak mereka yang ringan sahaja mulut mereka mengucapkan sumpah dengan nama Allah. Mereka bersumpah dengan nama Allah kerana nak orang senang percaya kepada mereka maka senanglah mereka menipu. Ini adalah amat buruk sekali kerana kesannya, manusia sudah tidak akan percaya kepada orang lain lagi, kerana sudah murah sumpah atas nama Allah.

Menggunakan nama Allah sebagai sumpah tapi menipu adalah amat buruk sekali kerana merendahkan nilai nama Allah.

Semua itu sanggup mereka lakukan untuk ambil harta yang sedikit. Walau banyak mana pun keuntungan yang diperoleh hasil dari sumpah palsu itu, ianya masih kecil dan sedikit sekali kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan perolehi di akhirat kelak.

 

أُولٰئِكَ لا خَلاقَ لَهُم فِي الآخِرَةِ

mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat,

Tidak dapat apa pun bahagian yang baik di akhirat. Mereka akan dapat dosa sahaja.

 

وَلا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ

dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka 

Allah tidak akan berkata-kata dengan cara baik kepada mereka. Allah hanya akan berkata-kata dalam nada yang amat murka kepada mereka.

 

وَلا يَنظُرُ إِلَيهِم يَومَ القِيامَةِ

dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat,

Allah tidak akan melihat mereka dengan pandangan rahmat. Dan mereka pun akan dibangkitkan dalam keadaan buta. Ini menunjukkan betapa hinanya mereka.

Ini adalah satu hukuman yang amat berat yang Allah sebut di sini. Kerana ada dosa-dosa besar yang lain seperti minum arak dan berzina. Tetapi Allah tidak kata pun yang Dia tidak akan bercakap atau memandang mereka.

 

وَلا يُزَكّيهِم

dan tidak akan membersihkan mereka 

Mereka tidak akan dibersihkan dari dosa mereka.

 

وَلَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Yang mereka dapat hanyalah azab yang amat pedih dari Allah. Azab itu tidak berkurangan sedikit pun dari mula mereka masuk.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 20 September 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar – Hamka

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s