Tafsir Surah Ali Imran Ayat 8 – 15 (Kehendak syahwat manusia)

Ayat 8: Ini adalah sifat kedua mereka yang berilmu, iaitu doa mereka.

رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

SAHIH INTERNATIONAL

[Who say], “Our Lord, let not our hearts deviate after You have guided us and grant us from Yourself mercy. Indeed, You are the Bestower.

MALAY

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,

Ini adalah tentang ketetapan hati. Kalau kita hendak bincang dan cuba hendak tahu juga perkara yang tidak perlu diketahui, lama-lama hati kita akan punah.

Mereka yang dalam ilmu mereka, akan doa begini. Mereka minta jangan palingkan hati mereka. Mereka minta ditetapkan hati mereka. Ini kerana Allah ﷻ boleh palingkan hati manusia kalau Dia mahu. Walaupun sudah berilmu, masalah boleh juga ada  kerana orang berilmu juga ada penyakit iaitu mereka hendak nampak mereka tahu semua benda, malu untuk kata mereka ada benda yang mereka tidak tahu. Jadi, ada antara mereka yang cuba sedaya upaya akan cakap juga tentang perkara yang tidak perlu diketahui.

Allah ﷻ sudah kata jangan masuk bincang perkara-perkara yang samar, kalau kamu masuk juga – Allah ﷻ  boleh memalingkan hati kita. Oleh itu, kita kena doa supaya Allah ﷻ  menjaga hati kita daripada masuk membincangkan perkara-perkara sebegitu. Kita minta Allah ﷻ tetapkan hati kita.

وَهَب لَنا مِن لَدُنكَ رَحمَةً

dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu;

Minta rahmat yang khas, iaitu keyakinan kepada janji Allah ﷻ; Keyakinan kepada hukum Allah ﷻ seperti keyakinan yang ada pada Nabi dan sahabat.

Sebenarnya, semua rahmat datang daripada Allah ﷻ, bukan? Tidak ada manusia atau makhluk lain yang boleh memberi rahmat. Jadi kenapa dimasukkan dalam ayat ini ‘Rahmat dari sisi Engkau’? Ia adalah untuk mengingatkan kita – bahawa Rahmat itu daripada Allah ﷻ sahaja, bukan daripada entiti lain.

إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ

sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.

Ini adalah cara untuk berdoa kepada Allah ﷻ, iaitu dengan memuji-Nya. Jadi, ini adalah doa yang bagus untuk dibaca oleh kita semua.


Ayat 9: Selain daripada doa di atas, mereka juga doa begini.

رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لا رَيبَ فيهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

SAHIH INTERNATIONAL

Our Lord, surely You will gather the people for a Day about which there is no doubt. Indeed, Allah does not fail in His promise.”

MALAY

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لا رَيبَ فيهِ

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, pada suatu hari yang tidak ada syak padanya”.

Kita mengiyakan yang Allah ﷻ akan menghimpun semua makhluk-Nya termasuk manusia pada Hari Kiamat nanti. Hari itu tidak syak lagi akan berlaku.

Manusia berpecah belah dalam bermacam-macam fahaman, tetapi akan datang suatu masa yang semuanya akan duduk berhimpun di satu tempat menunggu pengadilan daripada Allah ﷻ .

Entah apalah nasib kita di sana nanti. Kita hendaklah doa dan berharap yang ia adalah baik untuk kita. Kenalah kita berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini supaya harapan kita itu ada asasnya kerana tidaklah boleh hanya berharap sahaja, namun usaha juga kena ada.

إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ

Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.

Allah ﷻ tidak akan memungkiri janji. Hari kebangkitan itu pasti akan berlaku, pada waktu yang Allah ﷻ telah tentukan, dan pasti semua makhluk akan dikumpulkan di tempat yang Allah ﷻ telah tentukan.

Kita kena ingat janji Allah ﷻ untuk membalas dengan kebaikan mereka yang berbuat baik dan janji Allah ﷻ juga untuk mengazab mereka yang lalai dan ingkar. Oleh sebab kerana kita tahu Allah ﷻ  tidak mungkin mungkir janji inilah yang kita mesti memastikan yang akidah dan amalan kita sentiasa terjaga.

Jadi, itulah doa-doa yang dibaca oleh mereka yang rasikh ilmu mereka.


Ayat 10:

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموالُهُم وَلا أَولادُهُم مِنَ اللَّهِ شَيئًا ۖ وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

SAHIH INTERNATIONAL

Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allah at all. And it is they who are fuel for the Fire.

MALAY

Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموالُهُم

Sesungguhnya orang-orang kafir, tidaklah dapat menyelamatkan mereka harta benda mereka

Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang kafir kerana degil. Harta mereka tidak boleh membantu mereka langsung, tidak kira walau kaya macam mana sekalipun.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang semua manusia akan dikumpulkan di Mahsyar kelak. Apa yang bernilai pada waktu itu adalah akidah dan amal kita. Harta-benda tidak akan mempunyai nilai langsung. Maka kalau orang ingkar yang kaya, kekayaan mereka itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka. Maka, janganlah kita hanya asyik mengumpulkan harta sahaja. Hendaklah kita beramal dengan kebaikan dan harta itu hendaklah kita infakkan.

وَلا أَولادُهُم مِنَ اللَّهِ شَيئً

dan juga anak pinak mereka dari Allah sedikit pun

Juga anak atau pengaruh untuk menyelamatkan mereka daripada azab Allah ﷻ tidak akan berguna sedikit pun.

Dua perkara yang menyibukkan manusia adalah harta dan anak pinak. Ramai yang sibuk mengumpul harta kerana mereka hendak simpan untuk kegunaan anak pinak. Ilmu agama dan akhlak tidak diajar kepada anak pinak itu, tetapi harta yang disibukkan untuk mereka. Padahal, harta itu anak pinak boleh cari sendiri apabila mereka sudah dewasa nanti, bukan? Yang penting untuk mereka di waktu kecil adalah pendidikan agama. Malangnya, ramai ibubapa tidak ambil peduli. Alangkah ruginya!

Puak Yahudi telah mainkan perasaan para sahabat yang baru pulang daripada kemenangan Badr. Yahudi kata apa yang mereka baru hadapi itu tidak ada apa-apa sebenarnya dan nanti mereka kata puak Islam akan menghadapi masalah dan tentangan yang lebih besar. Mereka kata orang Mekah itu tidaklah hebat mana. Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini untuk memberitahu yang harta dan anak pinak puak kafir itu tidak akan dapat membantu mereka apa-apa pun. Jangan mereka sangka mereka akan selamat.

وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ

dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.

Takhwif Ukhrawi. Mereka akan jadi bahan bakar api neraka. Api neraka sampai takut dengan penambahan ahli neraka sebab neraka akan jadi semakin panas apabila bertambah ramainya ahli neraka. Ini kerana semakin ramai ahli neraka, semakin menyebabkan neraka itu sendiri menjadi sakit disebabkan bertambah kepanasannya. Bayangkan neraka yang memang kerjanya bakar orang pun rasa panas dengan penambahan ahli neraka. Setiap kali masuk seorang ahli baru, semakin naik suhu kepanasan.


Ayat 11:

كَدَأبِ آلِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِآياتِنا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

SAHIH INTERNATIONAL

[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and those before them. They denied Our signs, so Allah seized them for their sins. And Allah is severe in penalty.

MALAY

(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.

كَدَأبِ آلِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم

sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka;

Allah ﷻ hendak beritahu yang kekufuran orang kafir itu kerana ada bersangkutan dengan harta. Ini seperti yang berlaku kepada Firaun juga. Disebabkan dia kaya dan ada pengaruh besar, maka, dia tidak mahu mendengar dakwah Nabi Musa عليه السلام.

Bukan hanyaFiraun sahaja, malah kaum terdahulu pun menentang Nabi mereka kerana sebab yang sama.

Kerana sayangkan keduniaanlah, Musyrikin Mekah melawan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda merupakan seorang anak yatim dan miskin. Mereka amat berbangga dengan harta dan pengaruh yang ada pada mereka. Puak kafir yang menentang Islam akan mendapat nasib yang sama macam yang telah dikenakan kepada Firaun.

كَذَّبوا بِآياتِنا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم

mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. 

Kerana mereka tidak mahu juga pakai ayat Allah ﷻ , maka Allah ﷻ akan azab mereka.

وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ

Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.

Allah ﷻ mengingatkan kita betapa beratnya azab dari-Nya. Tidak dapat dibayangkan dengan akal.


Ayat 12: Azab itu bukan hanya di akhirat sahaja. Dunia lagi Allah ﷻ sudah boleh tunjuk.

قُل لِلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئسَ المِهادُ

SAHIH INTERNATIONAL

Say to those who disbelieve, “You will be overcome and gathered together to Hell, and wretched is the resting place.”

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

قُل لِلَّذينَ كَفَروا

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: 

Allah ﷻ suruh beri ancaman kepada orang-orang kafir itu. Orang Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh jadi sama ada musyrikin Mekah, Nasara atau Yahudi.

سَتُغلَبونَ

Kamu akan dikalahkan

Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka akan dikalahkan. Memang sekarang mereka nampak mereka kuat, tetapi nanti mereka akan dikalahkan.

وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ

dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahannam,

Di dunia lagi kamu akan dikalahkan dan di akhirat kelak kamu akan dimasukkan ke dalam neraka.

وَبِئسَ المِهادُ

dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

Neraka itu bukanlah tempat berehat tetapi tempat dikenakan azab. Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada neraka itu. Maka takutlah kita dan orang kafir pun sepatutnya takut dengan ancaman ini.


Ayat 13:

قَد كانَ لَكُم آيَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا ۖ فِئَةٌ تُقاتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ وَأُخرىٰ كافِرَةٌ يَرَونَهُم مِثلَيهِم رَأيَ العَينِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِأُولِي الأَبصارِ

SAHIH INTERNATIONAL

Already there has been for you a sign in the two armies which met – one fighting in the cause of Allah and another of disbelievers. They saw them [to be] twice their [own] number by [their] eyesight. But Allah supports with His victory whom He wills. Indeed in that is a lesson for those of vision.

MALAY

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).

قَد كانَ لَكُم آيَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu

Allah ﷻ bukan sekadar memberi ancaman kosong sahaja, malah Allah ﷻ memberikan contoh perkara yang telah berlaku. Allah ﷻ berikan contoh bagaimana Dia telah menolong golongan yang benar dan mengalahkan golongan sesat. Yang dimaksudkan adalah Perang Badr. Surah Ali Imran ini memang ada menyebut tentang Perang Badr dan Perang Uhud.

فِئَةٌ تُقاتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ

satu pasukan berperang pada jalan Allah

Yang dimaksudkan adalah tentera Islam. Mereka waktu itu seramai 313 orang sahaja. Perjuangan mereka adalah kerana hendak menegakkan kalimah Allah ﷻ. Musuh mereka yang kafir itu pula berjuang kerana menjaga harta mereka. Jadi, walaupun mereka sedikit, tetapi oleh kerana yakin dengan Allah ﷻ, maka mereka berani menghadapi pihak musuh yang lebih ramai dan lebih lengkap daripada mereka.

Balaghah: kita tahu yang pihak yang berperang pada jalan Allah ﷻ ini adalah pihak mukmin. Memang tidak dilafazkan dalam ayat ini kerana ia dihazafkan untuk mencantikkan bahasa. Ini kerana kalau disebut akan menyebabkan panjang dan ia tidak perlu kerana dapat difahami apabila kita melihat kepada bahagian yang lain iaitu dalam bahagian ayat selepas ini disebut yang pihak yang lagi satu adalah pihak ‘kafir’. Jadi, Allah ﷻ tidak menyebut pihak mukmin kerana telah disebut lawannya, iaitu pihak kafir itu. Kita dapat ambil pemahaman daripada lawannya. Apabila telah disebut lawannya, tidak perlu lagi disebutkan dengan panjang lagi.

وَأُخرىٰ كافِرَةٌ

dan yang satu lagi dari golongan kafir 

Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Bilangan mereka waktu itu seramai seribu orang. Mereka tiga kali ganda lebih ramai daripada puak Islam.

Dalam potongan ayat ini juga ada balaghahnya. Tidak disebut yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut tetapi kita dapat faham bahawa mereka berperang di atas jalan taghut kerana dalam potongan ayat sebelum ini telah disebut bagaimana pihak yang lagi satu (tentera Mukmin) berperang pada jalan Allah ﷻ. Maka dihazafkan maklumat yang pihak kafir ini berperang atas jalan Allah ﷻ kerana telah disebut lawannya.

يَرَونَهُم مِثلَيهِم رَأيَ العَينِ

Mereka melihat lawan dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya 

Waktu itu kumpulan kafir nampak puak mereka berkali-kali ganda lebih ramai daripada puak Islam padahal bilangan mereka sebenarnya tiga kali ganda lebih ramai.

Ataupun boleh juga bermaksud, mereka nampak puak Islam itu yang berkali-kali ganda lebih ramai daripada mereka, walaupun realitinya, mereka yang lebih ramai.

وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ

Dan Allah sentiasa menolong dengan pertolongan-Nya, sesiapa yang dikehendaki-Nya,

Walaupun kafir waktu itu lebih ramai daripada orang Islam, tetapi Allah ﷻ tolong orang beriman dan beri kemenangan kepada umat Islam dalam Perang Badr itu. Ramainya orang bukanlah alamat yang mereka pasti akan dapat kemenangan.

إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِأُولِي الأَبصارِ

Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang melihat

Ini adalah satu pengajaran sampai bila-bila masa.

Yang melihat adalah mereka yang kuat pemikiran sampai mendapat natijah kesudahan sesuatu perkara. Yang boleh nampak realiti sesuatu perkara. Mereka tidak hanya melihat sahaja tetapi mereka memikirkan sekali apakah kesudahan yang boleh terjadi.


Ayat 14: Allah ﷻ beritahu kenapa musyrikin menjadi degil – kerana kelebihan keduniaan yang ada pada mereka.

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ الشَّهَواتِ مِنَ النِّساءِ وَالبَنينَ وَالقَناطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ وَالأَنعامِ وَالحَرثِ ۗ ذٰلِكَ مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

SAHIH INTERNATIONAL

Beautified for people is the love of that which they desire – of women and sons, heaped-up sums of gold and silver, fine branded horses, and cattle and tilled land. That is the enjoyment of worldly life, but Allah has with Him the best return.

MALAY

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

زُيِّنَ لِلنّاسِ حُبُّ الشَّهَواتِ

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu syahwat, 

Segala nikmat yang ada dalam dunia ini hanyalah sampel sahaja, bukan yang “original” (asli). Sebagaimana handphone sampel tentunya tidak sama dengan handphone yang sebenar, bukan? Di syurga, nikmat yang ada nanti adalah yang asli. Contohnya madu di dunia adalah sampel kepada madu di syurga. Begitu juga dengan sutera, emas, perak dan macam-macam lagi.

Sampel itu nilainya tidak sama dengan yang asli, namun dinampakkan cantik sahaja di mata orang kafir itu. Yang sampel mereka nampak macam asli. Mereka nampak sampel itu cantik sahaja dan kerana itu mereka kejar sampai bersungguh-sungguh. Apabila sampel itu digugat, mereka sanggup buat apa sahaja untuk menentang mereka yang menggugatnya. Oleh itu, apabila Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran yang mereka nampak boleh menggugat keduniaan mereka, maka mereka lawan Nabi ﷺ habis-habisan.

Senarai yang diberikan dalam Al-Qur’an ini adalah untuk lelaki sahaja. Allah ﷻ tidak berikan senarai untuk perempuan kerana kehendak perempuan amat kompleks. Kemahuan lelaki senang sahaja untuk disenaraikan.

Mereka hendak memuaskan nafsu syahawat kesemua sekali. Mereka cinta dan hendak sangat untuk memuaskan nafsu. Bukannya kita tidak boleh memenuhi nafsu kita itu, tetapi yang salahnya adalah jika tidak ikut tertib yang diajar oleh Nabi ﷺ. Sebagai contoh, tidak salah kalau kita hendak memenuhi nafsu makan, tetapi kenalah makan makanan yang halal; tidak salah untuk kita memuaskan nafsu hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan asalkan ia dilakukan dengan cara yang halal iaitu dengan pernikahan. Islam adalah agama yang praktikal dan tidak menolak kemahuan nafsu.

Jadi, nafsu itu ada banyak jenis, yang pertama sekali adalah kehendak kepada wanita, kemudian anak, dan kemudian harta yang bertimbun dan seterusnya.

مِنَ النِّساءِ

iaitu perempuan-perempuan

Yang pertama sekali, mereka mahukan wanita. Sebanyak mungkin yang boleh mereka dapati. Tanyalah kepada semua lelaki yang normal, inilah perkara pertama yang mereka kejar. Kalau zaman kuno dahulu, kedudukan wanita adalah rendah daripada lelaki, maka mereka jadikan wanita itu sebagai pemuas nafsu mereka sahaja.

Zaman sekarang, hubungan sesama lelaki dan perempuan sudah seperti tidak ada batasnya. Di mana-mana sahaja boleh nampak wanita yang cantik-cantik dan dihiasi dengan bermacam perkara yang menambahkan kecantikan mereka. Maka dugaan nafsu kepada wanita itu amatlah tinggi sekali.

Maka, dengan dugaan hebat seperti itu, adakah lelaki mampu untuk menahan dirinya? Ramai yang tergelincir.

وَالبَنينَ

dan anak-pinak

Yang kedua, mereka mahukan pengaruh. Anak-anak adalah lambang pengaruh, terutama sekali kalau anak lelaki. Ini adalah normal. Anak-anak memang menjadi kebanggaan kepada para bapa. Mereka mungkin tidak cakap kepada anak itu, tetapi mereka amat berbangga dengan kejayaan anak. Allah ‎ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini. Kalau jumpa kawan-kawan dia, mesti dia akan cerita anak dia buat ini, buat itu.

Ada “instinct” (naluri) dalam diri seorang bapa untuk kelangsungan hidupnya. Dia tahu yang dia akan mati. Namun kalau dia ada anak, anaknya itulah yang akan meneruskan keturunannya.

Seorang ayah juga ada keinginan mahukan anaknya menjaganya nanti di hari tuanya. Dia tahu dia akan tua dan akan lemah. Waktu itu, dia akan bergantung kepada anaknya itu.

وَالقَناطيرِ المُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ

dan harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; 

Harta yang berlonggok-longgok. Manusia memang suka mengumpul harta. Kalau sudah ada sejuta, mereka hendakkan sejuta lagi. Kalau sudah menjadi millionaire, dia hendak menjadi billionaire pula.

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekai tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 6439 dan Muslim no. 1048)

 

Disebut dalam ayat ini adalah ’emas dan perak’. Zaman sekarang kita tidak memegang emas dan perak lagi sebagai wang tukaran tetapi wang kertas kita sebenarnya adalah tersandar kepada emas dan perak dalam simpanan di dalam bank simpanan. Kita membawa wang kertas itu sebagai sandaran emas dan perak sahaja.

وَالخَيلِ المُسَوَّمَةِ

kuda peliharaan yang diasuh

Ini adalah isyarat kepada kenderaan. Zaman ketika ayat Al-Qur’an ini diturunkan, kuda adalah tunggangan dan kenderaan yang terpakai waktu itu. Sekarang tentunya tidak ramai yang menggunakan kuda lagi.

Digunakan dalam ayat ini: Kuda yang terpilih. Ini adalah kerana kenderaan pun ada banyak jenis. Tidak sama kereta Proton dan kereta BMW dan tidak sama kereta BMW dan kereta Rolls Royce. Manusia mahukan kenderaan yang terbaik sekali iaitu yang laju, yang mewah dan yang cantik.

Walaupun manusia sudah tidak menaiki kuda lagi, tetapi elemen kuda masih ada lagi. Lihatlah logo kereta-kereta mewah itu, banyak yang menggunakan lambang kuda, bukan? Kalau tidak ada lambang kuda pun, bukankah semua kereta dikira kekuatannya dengan ‘kuasa kuda’? Kalau kawan beli kereta baru, kita tanya dia : berapa “horsepower” kereta ini?

وَالأَنعامِ

dan binatang-binatang ternak

Ini merujuk kepada aset kekal. Kalau zaman Nabi ﷺ, ia adalah binatang ternakan. Zaman sekarang, ia merujuk kepada aset-aset dalam simpanan kita. Kepada barangan kedai kita, simpanan dalam gudang dan macam-macam lagi. Manusia akan kumpul aset dunia sebanyak mungkin.

وَالحَرثِ

serta tanaman yang dituai

Hasil yang dituai. Segala usaha manusia pada ternakan dan tanaman adalah untuk mendapatkan hasilnya di hujungnya. Kalau zaman sekarang, dalam perniagaan, yang ditunggu adalah keuntungan di hujung tahun. Itulah yang ditunggu-tunggu oleh manusia.

ذٰلِكَ مَتاعُ الحَياةِ الدُّنيا

Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia yang sementara.

Semua yang mereka kejar itu adalah kesenangan sementara sahaja semasa mereka hidup di dunia. Sampai saat kematian, mereka akan tinggalkan semuanya sekali.

Bukan tidak boleh digunakan dan diambil manfaatnya daripada semua perkara yang telah disebutkan itu, namun kenalah mengikut tertib Nabi ﷺ. Kena buat dengan cara yang halal dan jangan sampai menolak agama. Musyrikin Mekah menolak dan melawan Nabi ﷺ sebab semua perkara ini.

Puak Islam pun suka juga kepada keindahan dunia tetapi mereka tidak menjadikan dunia itu sebagai penyebab untuk mereka hanyut. Mereka tetap meninggalkan segala keindahan dunia itu untuk pergi berjihad juga.

وَاللَّهُ عِندَهُ حُسنُ المَآبِ

Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya

Semua perkara itu tidak akan memuaskan kita. Kalau sudah mendapat apa yang mereka kejar, mereka tidak rasa puas pun. Ada sahaja yang lebih baik, bukan? Kalau sudah ada isteri cantik, nanti akan nampak wanita yang lebih cantik daripada isteri kita; kalau sudah kaya, akan ada sahaja orang yang lebih kaya dan sudah timbul rasa tidak puas.

Kepuasan yang sebenar hanya ada di syurga sahaja. Inilah salah satu dalil yang mengatakan adanya syurga itu kerana apa-apa sahaja di dunia ini tidak akan memuaskan kita, maka tahulah kita bahawa akan ada tempat yang kita akan rasa puas – itulah di syurga. Itulah sebaik-baik tempat kembali.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa utusan dari Najran itu datang ke Madinah dengan segala kemewahan, sampaikan salib yang mereka pakai pun diperbuat daripada emas. Mereka keberatan untuk menerima Islam kerana mereka takut kemewahan mereka itu akan ditarik balik.

Juga dikatakan ada sahabat yang terpesona dengan kemewahan yang ada pada utusan Najran itu, maka diturunkan ayat ini.

Juga ada orang yang nampak kebenaran Islam, tetapi tidak mahu masuk Islam kerana takut kemewahan mereka ditarik.


Ayat 15: Ayat ini adalah bayangan kepada maksud husnul ma’ab yang disebut dalam ayat sebelum ini.

۞ قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِن ذٰلِكُم ۚ لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّاتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ خالِدينَ فيها وَأَزواجٌ مُطَهَّرَةٌ وَرِضوانٌ مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “Shall I inform you of [something] better than that? For those who fear Allah will be gardens in the presence of their Lord beneath which rivers flow, wherein they abide eternally, and purified spouses and approval from Allah . And Allah is Seeing of [His] servants –

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

قُل أَؤُنَبِّئُكُم بِخَيرٍ مِن ذٰلِكُم

Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? 

Mahukah kalau Allah ‎ﷻ beritahu yang lebih baik daripada nikmat-nikmat dunia yang disebut dalam ayat sebelum ini? Allah ‎ﷻ suruh tanya dalam bentuk soalan supaya menarik minat manusia untuk tahu jawapannya.

 لِلَّذينَ اتَّقَوا عِندَ رَبِّهِم جَنّاتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ

Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,

Hanya bagi orang yang bertaqwa iaitu mereka yang boleh jaga hukum semasa mereka hidup di dunia. Mereka boleh bersabar daripada tergoda dengan pujukan nikmat dunia. Mereka nampak nikmat-nikmat itu di hadapan mereka tetapi mereka tidak terpengaruh.

Yang Allah ‎ﷻ akan sebut ini beribu juta kali lebih bagus daripada perhiasan dunia yang telah disebut dalam ayat sebelum ini. Mula sekali Allah ‎ﷻ sebut nikmat dalam bentuk jasmaniah fizikal. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir sungai di bawahnya. Allah ‎ﷻ selalu menyebut sungai di bawah syurga kerana itulah yang disukai oleh manusia. Kalau dapat duduk di rumah yang ada air sungai, air laut, itu memang kesukaan manusia.

خالِدينَ فيها

mereka kekal di dalamnya. 

Kalau tinggal di tempat yang menyenangkan, tetapi sekejap sahaja, itu bukan nikmat sebenar. Macam kita kalau duduk di hotel yang beribu ringgit semalam pun, tetapi dalam hati kita, kita tahu yang kita hanya duduk sekejap sahaja di situ. Esok lusa kena keluar juga tetapi syurga itu duduknya adalah selama-lamanya. Maka kita akan tenang sahaja di sana kerana kita tidak takut yang kita akan dikeluarkan.

وَأَزواجٌ مُطَهَّرَةٌ

Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, 

Kalau duduk tempat nikmat, duduk pula selama-lamanya, tetapi kalau duduk seorang sahaja pun, tidak menggembirakan kerana kita manusia memang tidak suka tinggal berseorangan. Maka Allah ‎ﷻ berikan teman hidup untuk kita.

Pasangan itu yang suci daripada segi fizikal dan akhlak. Daripada segi jasmani, mereka tidak ada kekotoran najis dan bau yang tidak enak. Daripada segi akhlak, mereka tidak ada langsung sifat buruk.

وَرِضوانٌ مِنَ اللَّهِ ۗ

serta keredhaan daripada Allah

Setelah disebut contoh-contoh nikmat jasmani, Allah ‎ﷻ sebut pula nikmat rohani. Nikmat rohani yang akan diberikan adalah keredhaan daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah nikmat yang paling hebat sebenarnya. Tidak ada yang lebih hebat daripada nikmat ini.

Kalau ayah kita kata dia bangga dengan kita pun, kita sudah suka. Bagaimana kalau majikan kita bangga dan puji kita? Pun kita suka, bukan? Bagaimana kalau Perdana Menteri bangga dengan kita? Lagi besar, bukan? Namun adakah yang lebih besar daripada Allah ‎ﷻ? Tidak ada lagi. Bayangkan Allah ‎ﷻ beritahu kita yang Dia redha dengan kita, dengan apa yang kita telah lakukan semasa di dunia, tidak terbayang nikmat itu.

Kalau nikmat dunia, banyak mana pun kita tidak akan rasa puas tetapi kalau nikmat syurga, ditambah dengan redha Allah ‎ﷻ, kita akan puas.

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;

Allah ‎ﷻ sedang melihat kita daripada segi jasmani dan rohani, ke manakah kita akan pergi, dan Allah ‎ﷻ melihat tempat yang sedang kita tuju, sama ada ke syurga atau neraka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

 

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s