Tafsir Surah Jin Ayat 8 – 13 (Ada jin Islam)

Pengenalan:

1. Janganlah kita membesarkan jin. Sedangkan kedudukan mereka itu lebih rendah dari kita sebenarnya. Jangan kita ada sangkaan dalam hati kita yang mereka ada kuasa lebih. Dalam satu hadis riwayat Abi Dawud:

كُنْتُ رَدِيفَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَعَثَرَتْ دَابَّتُهُ فَقُلْتُ تَعِسَ الشَّيْطَانُ . فَقَالَ لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولَ بِقُوَّتِى وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ

Ketika aku dibonceng Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tiba-tiba unta beliau tergelincir. Serta merta aku berkata, “Celakalah syaitan.” Maka beliau bersabda, “Jangan kamu katakan, ‘celakalah syaitan,’ sebab jika kamu katakan seperti itu maka syaitan akan membesar sebesar rumah dan dengan sombongnya syaitan akan berkata; ‘Itu terjadi kerana kekuatanku’. Akan tetapi, ucapkanlah ‘Bismillah’ sebab jika engkau mengucapkan basmalah syaitan akan mengecil hingga sebesar lalat. “(HR. Abu Dawud)

Malangnya, orang kita takut dengan jin dan rasa jin boleh buat sesuatu kepada mereka. Maka, itulah sebabnya jin itu lagi mengganas.

2. Jangan juga kita terpesona dengan ada golongan yang boleh scan dan nampak jin. Contohnya mereka boleh kata ada dua tiga ekor dalam badan seseorang. Siap boleh sebut nama jin itu. Ataupun siap ada yang boleh bercakap dengan jin itu.

Itu bukan satu kelebihan sebenarnya. Itu adalah satu kekurangan. Kalau kita atau anak-anak kita boleh nampak jin, itu menandakan ada masalah di mana-mana dan kena belajar lagi tentang jin. Sebagai contoh, kalau mereka yang ada beramal dengan wirid-wirid khas, salah satu masalah yang mereka akan hadapi adalah mereka boleh nampak dan diganggu oleh jin. Kerana amalan mereka itu sebenarnya adalah sihir dan mereka memanggil jin sebenarnya untuk datang dan rapat dengan mereka.

Maka, tinggalkanlah amalan-amalan yang tidak tsabit dari Nabi. Termasuklah amalan-amalan yang ustaz beri, yang ayah kita beri, kawan-kawan kita beri. Termasuklah kalau amalan itu membaca potongan ayat-ayat Al-Qur’an pun. Bukan begitu cara amalan yang diajar oleh Nabi dan Islam. Selalunya kalau ada yang kena gangguan jin, kita akan tanya dia dulu tentang amalan dia satu persatu.

3. Tidak ada kelebihan kalau boleh nampak jin sebenarnya. Sampaikan Imam Syafie telah berfatwa bahawa mereka yang nampak jin tidak boleh dijadikan saksi. Kerana mereka nampak benda yang tidak sepatutnya mereka nampak. Apa yang mereka nampak sudah tidak boleh dipercayai lagi.

Jadi mereka itu pun sudah tidak boleh dipercayai lagi. Takut mereka memberi persaksian yang salah. Mereka tidak diterima sebagai saksi sama ada sebagai saksi di mahkamah atau saksi nampak anak bulan.


 

Ayat 8: Ini adalah kisah yang disampaikan sendiri oleh jin, diulang semula oleh Allah dalam Surah Jin ini, bagaimana mereka dulu boleh naik ke langit tapi tidak boleh lagi selepas Nabi diangkat menjadi Rasul.

وَأَنّا لَمَسنَا السَّماءَ فَوَجَدنٰها مُلِئَت حَرَسًا شَديدًا وَشُهُبًا

Sahih International

And we have sought [to reach] the heaven but found it filled with powerful guards and burning flames.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

 

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ

Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit,

Perkataan لَمَسْنَا dari katadasar ل م س yang bermaksud ‘sentuh dengan tangan’ atau ‘mencari-cari sesuatu dengan tangan’. Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud mereka mencari-cari maklumat di langit.

Dulunya, jin-jin itu boleh naik ke langit dan mendengar berita dari langit (dari perbuatan malaikat) dan kemudian mereka akan menyampaikan berita dari langit itu kepada ahli nujum (dipanggil: kaahin). Memang ada berita yang benar yang mereka sampaikan, tapi mereka akan tambah dengan beratus penipuan. Tetapi masalahnya apabila ada satu sahaja berita yang benar, maka manusia terus terima pembohongan-pembohongan jin itu sebagai benar belaka. Ini adalah kerana manusia jahil senang ditipu.

 

فَوَجَدْنٰهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا

lalu kami dapati langit itu dipenuhi dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

Kalimah حَرَسًا bermaksud ‘pengawal’. Mereka itu adalah para malaikat yang ditugaskan untuk menjaga Al-Qur’an. Supaya jin-jin itu tidak dapat dekat dengan Al-Qur’an walau sedikit pun. Dan supaya mereka menjaga langit dari dicuri maklumat oleh jin-jin.

Apabila jin-jin naik sahaja ke langit, mereka terus nampak malaikat yang menjaga langit itu kerana mereka dijadikan dari api dan malaikat dijadikan dari cahaya. Kerana mereka dijadikan dari bahan yang hampir sama, jadi mereka boleh melihat malaikat. Allahu a’lam, kerana kita tidak tahu setakat mana hal ini.

Al-Qur’an dijaga supaya tidaklah ada jin yang dengar Al-Qur’an dulu sebelum Nabi Muhammad mendengarnya dahulu. Kalau jin yang dengar dahulu, nanti mereka boleh buat penipuan pula dengan Al-Qur’an itu. Maka Allah jaga langit dari mereka. Dan selepas Al-Qur’an tidak lagi diturunkan, langit tetap dijaga supaya jin tidak dapat curi maklumat langit.

Jadi, memang tidak pernah ada sesiapa yang mendengar Al-Qur’an sebelum Nabi Muhammad. Oleh itu, tidaklah benar hujah yang kononnya ada yang kata ada syair Arab yang bunyi macam Al-Qur’an. Mereka seperti hendak mengatakan yang Nabi Muhammad cedok Al-Qur’an ini dari syair-syair itu. Hujah ini malangnya datang dari kalangan masyarakat kita.

Padahal, tidak pernah diberikan hujah ini oleh Musyrikin Mekah sendiri. Arab Mekah sendiri pun terpesona dengan Al-Qur’an. Tiba-tiba zaman sekarang timbul kisah mengarut macam ini. Kalaulah ada syair Arab yang bunyi macam Al-Qur’an, Abu Lahab dan Abu Jahal sudah lama pakai hujah itu, tapi kita tidak pernah dengar pun mereka mengatakan sedemikian. Jadi, tidak tahu dari sumber mana mereka dapat hujah karut itu.

Ayat ini amat penting kerana salah satu tohmahan Musyrikin Mekah, mereka kata Nabi mendapat ayat-ayat Al-Qur’an itu dari jin. Mereka nak kata bahawa jinlah yang mengajar Nabi Muhammad. Ini ditolak dengan ayat ini. Kerana jin-jin itu sendiri sudah tidak dapat lagi naik ke langit untuk mendengar-dengar berita dari langit. Lalu mana mungkin mereka boleh kata yang jin yang memberikan ayat-ayat Al-Qur’an itu kepada Nabi?

Perkara itu tidak akan terjadi. Allah sebut dalam Syua’ra:210-212

وَمَا تَنَزَّلَتْ بِهِ الشَّيَاطِينُ

Dan Al-Qur’an itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh Syaitan-syaitan.

وَمَا يَنبَغِي لَهُمْ وَمَا يَسْتَطِيعُونَ

Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.

إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.

Tidak ada campuran atau gangguan pada ayat Al-Quran kerana Allah sudah berjanji yang Dia sendiri akan menjaga Al-Qur’an itu seperti yang Allah firmankan dalam Hijr:9

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Bukan hanya malaikat yang menanti mereka tetapi ada api yang terbakar. Api itu akan mengejar mereka kalau mereka mendekati langit. Lihat ayat Mulk:5.

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِّلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

Dalam ayat ini, jelas diterangkan bagaimana salah satu tujuan dijadikan bintang-bintang itu adalah sebagai perejam kepada jin syaitan.


 

Ayat 9: Jin menceritakan dulu bagaimana cara mereka mencuri berita dari langit.

وَأَنّا كُنّا نَقعُدُ مِنها مَقٰعِدَ لِلسَّمعِ ۖ فَمَن يَستَمِعِ الآنَ يَجِد لَهُ شِهابًا رَّصَدًا

Sahih International

And we used to sit therein in positions for hearing, but whoever listens now will find a burning flame lying in wait for him.

Malay

Dan sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

 

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقٰعِدَ لِلسَّمْعِ

Dan sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat di langit untuk mendengar;

Dahulunya, mereka dapat naik sampai ke langit, iaitu langit dunia sahaja. Mereka akan bertimpa-timpa atas satu sama lain supaya dapat mencapai kedudukan tinggi di langit.

Mereka akan duduk di tempat yang rendah sedikit supaya mereka boleh mendengar-dengar perbualan malaikat sesama malaikat. Tempat itu malaikat tak nampak. Dari tempat-tempat itu, dapatlah mereka mendengar sedikit perbualan malaikat.

Bukan semua mereka dengar pun. Dengan modal yang sedikit itu itulah mereka menipu manusia. Mereka akan sampaikan kepada kawan-kawan mereka dari kalangan ahli nujum.

 

فَمَن يَسْتَمِعِ الْآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَّصَدًا

maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu.

Api itu dalam bentuk tahi bintang atau meteor yang akan dilemparkan kepada jin-jin yang cuba mendengar itu dan ianya akan mengejar syaitan. Ini berlaku apabila wahyu mula diturunkan kepada Nabi Muhammad. Api itu macam heat seeking missile – ianya akan ikut jin sampai dapat tembak, jadi jin-jin itu tidak boleh elak.

Dulu sebelum Nabi Muhammad mendapat wahyu, memang ada tahi bintang tapi ianya melintas sahaja. Tapi apabila wahyu sudah diturunkan, ianya akan mengejar jin yang naik ke langit. Ianya jadi paling banyak semasa Nabi Muhammad baru dinaikkan menjadi Rasul. Kalau zaman sekarang, masih ada lagi sekali sekala kerana itu adalah tanda yang ada jin yang masih lagi cuba naik ke langit. Mereka adalah makhluk yang bodoh, jadi walaupun mereka tahu apa yang akan dikenakan kepada mereka, mereka masih nak cuba-cuba juga.

Oleh itu, tahi bintang yang jatuh ke bumi itu adalah bekas rejaman jin. Jadi jangan pergi cari ‘batu petir’, sebab itu adalah bekas azab dari Allah. Sepertimana juga Nabi larang duduk di tempat azab Allah diturunkan. Apabila Nabi lalu di kawasan bekas Tentera Bergajah Abrahah dilontar dengan azab batu dengan Burung Abaabil, baginda akan bergerak dengan laju.

Contoh Batu Petir

Oleh itu, jin-jin tidak boleh elak rejaman api itu kepada mereka. Apabila mereka naik sahaja, mereka akan kena tembak. Mereka tak boleh melarikan diri pun. Maka jangan salah sangka dengan tahi bintang itu. Macam orang kita, ada yang wishing upon the stars – nampak tahu bintang jatuh, mereka buat wish, kononnya makbul – ini adalah salah sama sekali!

Memang dari dulu lagi manusia ada pemikiran yang salah tentang tahi bintang itu. Ada satu hadis berkenaan perkara ini:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم جالسا في نفر من أصحابه قال عبد الرزاق من الأنصار فرمي بنجم فاستنار فقال صلى الله عليه وسلم ” ما كنتم تقولون إذا كان مثل هذا فى الجاهلية ؟ ” قالوا كنا نقول يولد عظيم أو يموت عظيم .قلت للزهري أكان يرمى بها في الجاهلية ؟ قال نعم ولقد غلظت حين بعث النبي صلى الله عليه وسلم قال: فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ” فإنها لا يرمى بهـا لموت أحد ولا لحياته ولكن ربنا تبارك وتعالى إذا قضى أمرا سبح حملة العرش ثم سبح أهل السماء الذين يلونهم حتى يبلغ التسبيح السماء الدنيا ثم يستخبر أهل السماء الذين يلون حملة العرش فيقول الذين يلون حملة العرش لحملة العرش ماذا قال ربكم ؟ فيخبرونهم ويخبر أهل كل سماء سماء حتى ينتهي الخبر إلى هذه السماء وتخطف الجن السمع فيرمون فما جاءوا به على وجهه فهو حق ولكنهم يفرقون فيه ويزيدون “

Pada suatu hari, ketika duduk bersama Nabi Muhammad SAW dengan beberapa sahabat, berjaya ibn Razzak, daripada kaum Ansar, tiba-tiba mereka melihat tahi bintang jatuh, kemudian Rasulullah SAW bertanya: “Apakah yang kalian katakan kalau jadi begini pada masa Jahiliyah? Mereka menjawab: “Kami dahulu kata bahawa ianya merupakan tanda lahir orang yang besar atau matinya seorang besar.

Perawi bertanya: adakah tahi bintang jatuh pada zaman jahiliyah? Zuhri kata: ya. Tetapi ianya makin banyak apabila diutuskan Nabi SAW.

Mendengar jawapan itu, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya tidaklah dilemparkan tahi bintang itu kerana kematian seseorang atau kehidupan seseorang, akan tetapi apabila Allah taala yang Maha Berkat dan Maha Tinggi memutuskan sesuatu, maka para pembawa Arsy (para malaikat) pada bertasbih, kemudian bertasbihlah penduduk langit yang di bawah pemikul Arash itu, hingga sampai tasbih itu pada langit dunia kemudian penduduk langit bertanya kepada yang di bawah pemikul Arash dan mereka pun bertanya kepada pemikul Arash – Apa kata Tuhanmu?

Pemikul Arash menceritakan kepada mereka dan penghuni langit beritahu kepada yang di bawahnya sehingga berhenti khabar itu kepada langit ini. Jin akan cuba mendengar dan mereka akan dilemparkan. Apa yang mereka sampaikan adalah kebenaran tetapi mereka memecah-mecahkan di dalamnya dan menambah-nambah” (Riwayat Muslim)

Kalau kita lihat tilikan yang dilakukan oleh Nostradamus, memang ada yang betulnya. Tapi lihatlah bagaimana dia telah memecah-mecahkan dan menambah-nambah. Dia tidak cakap terus terang apakah sebenarnya akan terjadi. Jadi, ini mungkin kerana dia telah mendapat maklumat dari jin yang telah mendengar percakapan malaikat.

Tapi itu zaman dahulu, sekarang mereka tak dapat naik lagi. Dulu sahaja yang mereka boleh dengar. Selepas Nabi dinaikkan menjadi Rasul, mereka tidak boleh lagi untuk naik ke langit. Ada juga yang mencuba dan dapat juga maklumat sedikit sebanyak. Maka, kalau ada yang kata mereka boleh tilik nasib sekarang, itu adalah penipu sahaja.

Jin sekarang tak dapat maklumat apa lagi. Maklumat yang mereka dapat dulu pun bukan ada guna pun, mereka tak dapat buat apa-apa sebab bukan boleh tukar pun. Apa yang ditetapkan akan terjadi, akan tetap terjadi. Tidak ada sesiapa yang boleh menolak qadar Allah.

Kalau zaman sekarang, kadang-kadang kita keliru macam mana seseorang bomoh itu tahu apa yang kita lakukan sebelum itu. Ini tidak perlu pelik, kerana setiap orang ada qarin (jin) bersamanya. Qarin itu tahu apa yang kita telah lakukan kerana qarin itu sentiasa ada bersama kita. Bomoh itu boleh tahu apa yang kita lakukan kerana jin belaan bomoh itu telah tanya kepada qarin seseorang itu. Qarin itulah yang memberitahu bahawa lelaki itu makan apa, apa dia buat semalam dan sebagainya. Setiap manusia diberikan dengan qarin, termasuk Nabi Muhammad sendiri. Dan qarin itu akan membisikkan perkara yang tidak baik kepada manusia.

٤١٦٠ – حَدَّثَنَا زِيَادُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْبَكَّائِيُّ حَدَّثَنَا مَنْصُورٌ عَنْ سَالِمٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ وُكِّلَ بِهِ قَرِينُهُ مِنْ الْجِنِّ قَالُوا وَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَأَنَا إِلَّا أَنَّ اللَّهَ أَعَانَنِي عَلَيْهِ فَأَسْلَمَ فَلَيْسَ يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

4160. Telah menceritakan kepada kami Ziyad bin Abdullah Al Bakka`i telah menceritakan kepada kami Manshur dari Salim dari Ayahnya dari Abdullah ia berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak seorang pun dari kalian melainkan telah disertakan untuknya satu qarin (pendamping) dari jin.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana denganmu?” Beliau menjawab: “Demikian pula denganku, namun Allah menolongku atasnya sehingga ia masuk Islam dan tidak menyuruhku selain terhadap kebenaran.” Musnad Ahmad.

Kembali kepada pembicaraan ayat dari Surah Jin ini: Sebab mereka tak boleh naik ke langitlah yang menyebabkan mereka mencari serata dunia kenapa mereka tidak boleh naik lagi. Mereka amat terkejut apabila mereka tak dapat naik. Maka mereka telah melaporkan perkara itu kepada iblis. Iblis suruh mereka ambil tanah dari setiap tempat supaya dia hidu. Selepas dia hidu semua tanah itu, dia kata orang yang mereka cari itu ada di kawasan Tihamah (kawasan tengah Semenanjung Tanah Arab. Mekah di dalam kawasan ini). Itulah sebabnya dia mengutuskan tujuh jin ke sana. Dan jin-jin itulah yang mendengar bacaan Al-Qur’an Nabi dalam surah ini.

Selepas mereka dengar Nabi Muhammad baca Al-Qur’an, barulah mereka tahu kebenaran. Selepas itu, ada jin yang beriman dan ada yang tidak beriman.


 

Ayat 10:

وَأَنّا لا نَدري أَشَرٌّ أُريدَ بِمَن فِي الأَرضِ أَم أَرادَ بِهِم رَبُّهُم رَشَدًا

Sahih International

And we do not know [therefore] whether evil is intended for those on earth or whether their Lord intends for them a right course.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah hendak ditimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka.

 

وَأَنّا لا نَدري أَشَرٌّ أُريدَ بِمَن فِي الأَرضِ

`Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah bala bencana hendak ditimpakan kepada penduduk bumi,

Mereka tidak tahu apakah sebabnya mereka tidak boleh lagi naik ke langit untuk mendengar-dengar berita langit. Adakah keburukan hendak ditimpakan kepada penduduk bumi?

 

أَمْ أَرَادَ بِهِمْ رَبُّهُمْ رَشَدًا

atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan petunjuk kepada mereka.

Ataukah kebaikan yang dikehendaki oleh Allah kepada penduduk dunia? Jin-jin tidak tahu kerana memang mereka tidak tahu perkara ghaib. Ini juga adalah penekanan kepada kita, jin tidak tahu perkara ghaib.

Ada mufassir mengatakan: inilah dua perkara yang menyebabkan langit ditahan dari jin. Iaitu sama ada Allah nak kenakan azab kepada sesuatu tempat dan jikalau Allah hendak menaikkan seorang Rasul. Jin-jin sudah tahu yang hanya ada salah satu sahaja dari kemungkinan ini. Maka kerana langit telah ditutup, mereka tahulah ia adalah salah satu dari perkara ini.

Allah tahan maklumat dari sampai kepada jin kerana kalau mereka tahu tempat manakah azab akan turun, nanti mereka beritahu pula kepada kawan-kawan mereka di dunia. Dan kalau mereka tahu ada Rasul yang akan dilantik, maka nanti mereka akan mengganggu wahyu yang disampaikan kepada Rasul itu.

Maka kerana langit telah ditutup dari mereka, maka jin nak tahu, antara dua perkara ini, mana satukah yang sedang berlaku? Maka kerana itu mereka berkeliaran di serata bumi untuk melihat kejadian di bumi, dan waktu itulah mereka mendengar bacaan ayat suci Al-Qur’an dari Nabi Muhammad.

Lihatlah, apabila kebaikan, disandarkan kepada Allah {أَرَادَ بِهِمْ}. Tetapi, apabila bala bencana disebut, ianya hanya dalam bentuk majhul (tidak disebut siapakah yang akan memberikan azab itu) dalam kalimat أَشَرٌّ أُريدَ kerana kalimah أُريدَ itu dalam bentuk majhul, maksudnya tidak disebut siapakah yang memberikan bala itu {أُرِيدَ}. Ini adalah adab mereka kepada Allah. Walaupun pada hakikatnya, baik dan buruk pun datang dari Allah juga. Tapi tidak dinisbahkan perkara yang buruk kepada Allah.

Begitu jugalah adab kita dengan Allah. Kerana itu dalam ceramah, selalunya di hujung ceramah penceramah akan kata: “yang baik dari Allah dan yang buruk dari kelemahan saya.”

Sekali lagi kita ingatkan yang ayat ini menunjukkan yang jin tidak tahu apakah maksud kejadian itu. Mereka tidak tahu perkara ghaib.

Tafsir ke 2: Atau pun ayat ini bermaksud, jin-jin sudah tak boleh tahu tentang berita buruk atau tidak apabila mereka sudah tidak dapat naik ke langit. Dulu boleh lagi kerana dulu mereka dapat tahu kalau-kalau ada azab yang akan diturunkan kepada manusia, dan kalau mereka dapat tahu, mereka boleh beritahu kepada kawan-kawan mereka dari manusia (tukang nujum atau kaahin).

Ini tandanya yang jin tidak tahu perkara ghaib. Yang mereka tahu dulu sebab mereka dulu curi dengar percakapan malaikat. Ingatlah bahawa mereka tak boleh baca hati kita. Bacalah kisah bagaimana jin-jin yang jadi jadi kuli kepada Nabi Sulaiman (untuk bina BaitulMaqdis) tidak tahu pun yang baginda sudah mati. Kalau mereka tahu, tidaklah mereka terus buat kerja atas arahan Nabi Sulaiman. Ini disebut dalam Saba:14

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ

Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.


 

Ayat 11: Sekarang jin-jin itu memberitahu tentang diri mereka. Ayat ini masih tentang percakapan sesama jin lagi.

وَأَنّا مِنَّا الصّٰلِحونَ وَمِنّا دونَ ذٰلِكَ ۖ كُنّا طَرائِقَ قِدَدًا

Sahih International

And among us are the righteous, and among us are [others] not so; we were [of] divided ways.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.

 

وَأَنَّا مِنَّا الصّٰلِحُونَ

Dan bahawa sesungguhnya ada dari kalangan kita, ada golongan yang soleh,

1. Iaitu, ada yang telah menjadi soleh dan beriman selepas mendengar ayat-ayat Al-Qur’an itu. Memang mereka dulu telah buat perkara yang salah dahulu, tapi sekarang, tidak lagi.

2. Atau, mereka merujuk kepada kalangan mereka yang memang telah beriman dengan Nabi-nabi dan kitab-kitab terdahulu. Maknanya, ada kalangan mereka yang beriman dengan agama yang lurus sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Memang ada, tapi tidaklah ramai. Yang lebih banyaknya adalah mereka yang tidak beriman.

Secara umumnya, golongan jin boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

      1. Muslim
      2. Muslim tapi fasiq
      3. Kafir

 

وَمِنَّا دُونَ ذَٰلِكَ

dan ada di antara kita yang lain dari itu;

Mereka cuma kata: ‘lain dari itu’. Mereka tidak cakap yang mereka yang dimaksudkan itu adalah kafir, musyrik, fasik dan sebagainya. Maknanya, mereka bercakap dengan nada yang baik dan bahasa yang molek. Mereka tidak bercakap dengan kasar.

Kerana mereka masih hendak berdakwah kepada kaum mereka, maka mereka tidak mahu menyakitkan hati para pendengar. Kita kena ingat yang mereka sedang berdakwah kepada bangsa mereka sekarang. Kerana kalau mereka kata yang tidak beriman itu ‘kafir’, ‘musyrik’, mungkin mereka akan marah tidak mahu mendengar dakwah lagi.

Maka ini juga mengajar kita cara berdakwah kepada orang lain. Janganlah kita kata orang lain ‘kafir’, ‘munafik’, ‘mubtadi’ (pengamal bidaah)’ dan sebagainya. Cakaplah dengan bahasa yang molek dan baik.

 

كُنَّا طَرَائِقَ قِدَدًا

adalah kita masing-masing menurut jalan yang berlainan.

Perkataan قِدَدًا dari segi bermaksud ‘koyak’. Dalam ayat ini, ia bermaksud agama, perangai dan pendapat mereka berbeza-beza. Macam-macam jenis, macam kita juga. Cuma jalan-jalan mereka lagi banyak dari kita sebab mereka bilangan mereka lebih ramai dari manusia.

Maka ini adalah dakwah dari jin yang telah mendengar Al-Qur’an dari Nabi. Mereka kata kepada kawan-kawan mereka yang mereka itu ada yang baik dan ada yang tidak. Maka sekarang sudah ada wahyu dan agama yang benar, marilah ikut ramai-ramai.


 

Ayat 12:

وَأَنّا ظَنَنّا أَن لَّن نُّعجِزَ اللهَ فِي الأَرضِ وَلَن نُّعجِزَهُ هَرَبًا

Sahih International

And we have become certain that we will never cause failure to Allah upon earth, nor can we escape Him by flight.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekali pun).

 

وَأَنَّا ظَنَنَّا أَن لَّن نُّعْجِزَ اللهَ فِي الْأَرْضِ

Dan bahawa sesungguhnya kita yakin, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melemahkan Allah di bumi,

Mereka tahu mereka tidak boleh melawan Qadar Allah. Kita pun kena tahu sepertimana yang mereka katakan ini – itu sebab ianya diulang oleh Allah dalam ayat ini. Kita memang tidak dapat lari dari qadar Allah. Banyak sangat perkara yang di luar kawalan kita. Sel badan kita pun tak taat dengan kita – kita tak boleh pun nak suruh ianya jangan jadi tua, sebagai contoh. Apatah lagi benda lain. Jin pun sudah tahu hal.

Malangnya, ramai yang tidak sedar tentang perkara ini. Kalau terjadi sesuatu perkara yang mereka tidak suka, mereka menyalahkan takdir. Padahal sepatutnya mereka tahu yang mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Kita sebagai hamba, kena belajar untuk redha dengan apa yang terjadi. Kena sedarlah yang diri kita ini adalah hamba sahaja.

Tidak ada yang dapat halang kehendak Allah. Kalau Allah hendak menjatuhkan azab kepada kita, ianya pasti akan terjadi. Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang. Kalau ada orang soleh kalangan kita pun, tidak selamat. Inilah salah faham puak tarekat yang kata bala tidak turun sebab mereka kata ‘ada wali’ yang tinggal di kawasan itu. Kalau Allah nak turunkan musibah, Allah boleh turunkan sahaja.

Ayat ini juga bermaksud mereka mengatakan yang mereka tidak dapat menghalang Allah untuk menyampaikan agamaNya di dunia. Kita pun kena tahu yang Allah akan menegakkan agamaNya. Macam mana pun usaha keras iblis hendak menjatuhkan Islam, Islam tetap akan tertegak. Walau bagaimana usaha orang kafir hendak memburukkan Islam, semakin ramai orang yang masuk Islam.

 

وَلَن نُّعْجِزَهُ هَرَبًا

dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya dengan cara terbang.

Kalau lari di dunia tidak boleh, nak lari ke langit pun tidak boleh. Kalau Allah nak beri azab kepada mereka, mereka tidak dapat lari ke mana-mana termasuk ke langit. Sama ada di dunia atau di akhirat kelak. Seperti yang disebut dalam Rahman:33

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانفُذُوا لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!

Disebut tentang terbang, kerana ada jin yang boleh terbang.

Maknanya, golongan jin itu juga kenal Allah. Mereka sudah tahu yang mereka tidak akan dapat lepas dari azab Allah kalau Allah kehendaki. Maka sekarang sudah ada wahyu yang baru, maka kenalah beriman sama-sama.


 

Ayat 13: Jin beriman dengan wahyu Al-Qur’an.

وَأَنّا لَمّا سَمِعنَا الهُدىٰ ءآمَنّا بِهِ ۖ فَمَن يُؤمِن بِرَبِّهِ فَلا يَخافُ بَخسًا وَلا رَهَقًا

Sahih International

And when we heard the guidance, we believed in it. And whoever believes in his Lord will not fear deprivation or burden.

Malay

Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Qur’an), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

 

وَأَنَّا لَمَّا سَمِعْنَا الْهُدَىٰ

Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran),

Iaitu apabila mereka mendengar bacaan Al-Qur’an dari Nabi Muhammad. Mereka dengar itu pun tidak sengaja. Tapi Allah telah takdirkan mereka dapat mendengar Al-Qur’an dan kenal Al-Qur’an.

 

آمَنَّا بِهِ

kami beriman kepadanya

Lihatlah mereka selepas dengar Al-Qur’an, terus beriman. Mereka berbangga kerana terus beriman selepas dengar Al-Qur’an. Ini adalah perkara yang amat elok sampaikan Allah masukkan kata-kata mereka dalam Al-Qur’an.

Lalu bagaimana dengan orang-orang kita sudah mendengar, malah membaca Al-Qur’an, tapi tidak beriman-iman lagi? Maksudnya tidak beriman dengan sempurna. Masih banyak lagi yang tolak apa yang ada dalam Al-Qur’an. Ini buat malu dengan jin sahaja.

Ramai yang masih tidak beriman sempurna adalah kerana mereka dengar tapi tak faham. Tak faham kerana tak belajar. Tak belajar kerana tidak mementingkan agama. Bila ada orang ajak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak mahu nak ikut.

 

فَمَن يُؤْمِن بِرَبِّهِ فَلَا يَخَافُ بَخْسًا

kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah dia akan merasa bimbang menanggung kerugian

Tidak akan dikurangkan kebaikan yang mereka patut dapat. Tak bimbang yang Allah akan beri kurang dari yang sepatutnya. Mereka yakin yang mereka akan dapat pahala sebanyak mana yang mereka layak dapat. Allah tidak akan berlaku zalim dengan beri kurang dari yang sepatutnya. Malah Allah akan beri lebih lagi.

Ini berbeza kita dengan di dunia. Kadang-kadang kita kerja lebih, tapi majikan beri tidak setimpal. Allah tidak akan merugikan kita.

 

وَلَا رَهَقًا

dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

Mereka yakin yang mereka tidak akan dihukum kalau bukan salah mereka. Tidak bimbang takut tanggung dosa orang lain. Tidak bimbang kalau-kalau Allah salah hukum mereka. Tidaklah kita kena tanggung dosa orang lain. Tidaklah benar ajaran Kristian yang mengatakan kita semua berdosa kerana menanggung ‘dosa warisan’.

Dalam ayat ini, menunjukkan sangka baik mereka kepada Allah. Kita pun kena macam itu juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 12 September 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Adli Yayasan Ta’lim

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah Jin Ayat 8 – 13 (Ada jin Islam)”

  1. Assalamualaikum ustaz,
    Apa yang saya faham, sebelum Adam diciptakan, malaikat ni risau manusia akan sama je perangai macam jin nanti yang banyak lakukan kerosakan di bumi.
    Dalam cerita yang lain pula mengatakan yang iblis ini merupakan ketua malaikat sebelum Adam diciptakan.

    Soalan saya…adakah jin, iblis dan syaitan ini merupakan spesis yang berbeza? Terima kasih

    Like

    1. Jin, syaitan dan iblis adalah spesis yang sama: jin.

      Dari jin, yang jahat hendak menyesatkan manusia adalah ‘syaitan.
      Dan Iblis itu adalah ketua besar mereka. Jadi semuanya adalah golongan ‘jin’.

      Kerana makhluk yang ada akal ada tiga sahaja yang kita perlu tahu: manusia, malaikat dan jin.

      Like

  2. Alhamdulillah saya bersyukur pada AllahSWT terimakasih Ya Allah terima kasih kpd penulis berkongsi ilmu, saya baru nak memahami tafsiran al quran

    Like

Leave a comment