Tafsir Surah Maarij Ayat 1 – 10 (Laluan di Langit)

Pengenalan

Tauhid dalam berkat surah mulk
Dakwa Surah Maarij ialah menafikan syirik dalam mencari berkat.

Surah ini menceritakan tentang kepentingan ibadah dan kepentingan mengerjakannya. Dalam kita berdakwah dan menjalani kehidupan dunia, jangan tinggalkan ibadah kepada Allah. Ada orang yang tekankan kepentingan akhlak sahaja tanpa mementingkan ibadah. Ada yang kata, ‘tidak mengapa, asalkan hati baik’. Itu tidak cukup. Kena ada keseimbangan antara akhlak dan ibadah kita.

Ia juga menekankan kepentingan melakukan dakwah. Ada yang sangka apabila sudah cukup ilmu baru nak menjalankan dakwah. Tapi itu tidak akan terjadi – tidak ada orang yang akan ada rasa ‘cukup ilmu’. Kita kena mencari ilmu sentiasa, kerana ilmu tidak akan habis dipelajari. Kita kena berusaha untuk tingkatkan diri kita.

Tapi jangan tunggu kita sudah tahu semua baru nak dakwah. Nabi tak tunggu semua ayat Al-Qur’an turun baru baginda ajak umat kepada Islam, bukan? Apa sahaja yang kita sudah tahu, kita kena terus beritahu kepada orang lain. Tidak ada manusia yang sempurna. Oleh itu, jangan salah faham yang kita kena tunggu sudah sempurna habis belajar baru boleh ajak orang lain kepada agama.

Surah ini juga mengingatkan kita supaya jangan tinggalkan Al-Qur’an. Kena tautkan diri kita dengan Al-Qur’an sentiasa. Sentiasalah membaca dan mengkajinya (tadabbur) dan dalam masa yang sama, terus melakukan ibadah.

Kita yang sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an ini pun, tentulah tidak boleh mengaku yang kita telah sempurna atau kita telah melakukan semua ajaran dan anjuran dalam Al-Qur’an ini. Kita amalkan sebanyak mungkin yang kita mampu dan terus berusaha untuk mengamalkan mana yang kita tidak amalkan lagi. Kerana kita ini semuanya manusia dan memang akan ada perkara yang kita lalai dan lupa untuk lakukan.

Tapi, kalau kita sentiasa membaca dan tadabbur Al-Qur’an, Al-Qur’an ini akan sentiasa mengingatkan kita dengan perkara-perkara yang kita perlu lakukan. Kalau kita selalu baca, barulah perasan ada perkara yang kita tertinggal atau terlupa lakukan. Kalau sekali sekala sahaja baca, macam mana nak tahu?

Maka surah ini mengandungi banyak ayat-ayat Takhwif Ukhrawi untuk menakutkan kita melakukan syirik dan dosa. Maka kena selalu baca ayat-ayat sebegini untuk menjauhkan kita dari melakukan dosa.

Dan syirik yang disentuh dalam surah ini adalah Syirik dalam Berkat. Ini adalah kerana ada salah faham manusia yang besar tentang Berkat. Dan yang salah faham ini termasuklah umat Islam yang jauh dari ajaran wahyu. Allah hendak tekankan bahawa berkat itu milik Allah sahaja dan hanya boleh diminta dariNya sahaja.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Allah memberitahu bahawa Kiamat semakin mendekat. Ayat 1 ini adalah Ayat Takhwif Ukhrawi.

سَأَلَ سائِلٌ بِعَذابٍ واقِعٍ

Sahih International

A supplicant asked for a punishment bound to happen

Malay

Salah seorang (dari kalangan orang-orang kafir Makkah, secara mengejek-ejek) meminta kedatangan azab yang (dijanjikan) akan berlaku,

 

Kalimah سَأَلَ dari segi bahasa boleh bermaksud ‘tanya’ atau ‘minta’. Bila ditambah dengan huruf jarr ba’ seperti dalam ayat ini – بِعَذَابٍ – ia membawa maksud ‘meminta’. Begitulah bahasa Arab, apabila terdapat huruf jarr, ia akan menjadikan sesuatu perkataan itu membawa peranan lain.

Orang yang meminta itu adalah orang kafir. Kerana mereka bodoh, maka mereka minta azab dipercepatkan. Itu adalah sifat mereka dan ayat ini mengingatkan kita supaya jangan bersifat macam mereka. Jangan kita meminta dipercepatkan azab yang Allah telah janjikan.

Ada juga yang mentafsirkan سَائِلٌ (yang meminta) dalam ayat ini sebagai Nabi Muhammad. Iaitu baginda telah memohon dipercepatkan azab kepada orang kafir. Itu terjadi setelah lama baginda ditolak. Dan doa baginda itu dimakbulkan apabila Mekah dikenakan dengan kemarau yang lama. Sampaikan Abu Sufyan telah datang menemui Nabi supaya berdoa kepada Allah untuk menamatkan kemarau itu. Ini adalah satu pendapat.

Seperti yang kita telah sebut, kebanyakan tafsir menyatakan orang yang meminta disegerakan azab dalam ayat ini adalah orang kafir Mekah. Dalam ayat ini, orang yang meminta itu telah meminta dipercepatkan Hari Kiamat atau azab yang telah dijanjikan oleh Nabi Muhammad kepada mereka kalau mereka menolak agama Islam.

Permintaan mereka telah Allah nukilkan dalam ayat Anfal:32. Orang itu berani minta dipercepatkan Hari Kiamat itu sebab dia sendiri tidak percaya dengan adanya Hari Kiamat dan azab itu. Maka kononnya, dia minta nak lihat sendiri kejadian Hari Kiamat itu dengan matanya sendiri baru dia nak percaya.

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِن كَانَ هَٰذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِندِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِّنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Qur’an) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Maksudnya, mereka seperti berkata: “Kalau betul Hari Kiamat itu ada, kau bawalah Hari Kiamat itu sekarang, aku nak tengok betul ke tidak.” Begitulah kurang ajarnya mereka.

Kenapakah mereka berkata begitu? Sebab mereka sudah tiada hujah nak lawan dengan hujah yang Nabi bawakan. Mereka nak serang Nabi, akhlak Nabi memang sudah mulia dari dahulu. Nak serang Al-Qur’an, mereka sendiri boleh baca bagaimana hebatnya Al-Qur’an ini. Maka, ini adalah hujah terakhir mereka.

Mereka sangka, tentunya Nabi Muhammad tidak boleh membawakan azab itu, maka pada mereka, kalahlah hujah Nabi nanti. Inilah perangai buruk orang kafir. Oleh itu, janganlah kita minta perkara sebegini. Katakanlah kalau ada orang tegur kita – contohnya, dia kata, kalau kita tidak buat yang benar, nanti Allah akan turunkan azab pula nanti. Jangan pula kita minta supaya ditunjukkan azab itu. Bahaya kalau kita minta macam ini. Bagaimana kalau Allah terus beri azab itu?

Allah tidak semestinya beri apa yang diminta oleh manusia. Ini adalah kerana tidak semestinya kalau kita nampak kebenaran, kita akan terus beriman. Lihatlah bagaimana Iblis yang melihat sendiri kehebatan Allah dan kerajaan Allah yang agung, nampak malaikat dan nampak sekian banyak alam, tapi dia akhirnya jatuh kufur. Sebab itulah Iblis dikira sebagai kufur yang amat teruk kerana dia nampak sendiri kebenaran, tapi masih lagi kufur.

Tidak elok kalau kita hendak melihat sendiri kebenaran atau mukjizat dengan mata kita sendiri. Macam juga permintaan Nasrani yang minta diturunkan makanan dari langit. Allah boleh turunkan, tapi kalau selepas itu tidak beriman juga, amat bahaya untuk mereka.

Kerana tidak sama orang yang kufur tanpa melihat kebenaran dengan orang yang kufur apabila telah melihat kebenaran. Balasan azab yang dikenakan tidak sama. Kalau sudah nampak kebenaran, tapi masih tolak lagi, itu lebih teruk dan akan dikenakan dengan azab yang lebih berat.

Allah akan berikan dan tunjukkan kebenaran, tapi bukanlah atas permintaan manusia. Allah bukan boleh dipaksa-paksa. Oleh itu, kalau diminta kepada Nabi untuk ditunjukkan kebenaran, tapi Nabi tidak boleh tunjukkan, tidaklah merendahkan martabat Nabi atau Allah.

Makhluk tidak layak nak paksa Allah. Tak sesuai langsung kalau makhluk buat begitu. Takkan kita layak untuk minta Allah buktikan kekuasaanNya. Kalau dalam dunia, ini seumpama macam seorang pelajar suruh gurunya buktikan yang guru itu seorang guru. Tentulah tidak sesuai sama sekali.

Kalimah وَاقِعٍ bermaksud sesuatu yang pasti akan berlaku. Musyrikin Mekah telah meminta sesuatu yang akan berlaku pun kalau mereka tak minta. Tapi tidaklah azab itu akan diberikan di dunia, tetapi ianya akan diberikan di akhirat nanti.

Asbabun Nuzul ayat ini:

(An-Nadr ibn al-Harith was a famed poet of the Quraysh. In the early days of Islam, the leaders of the Quraysh tribe asked him to ridicule Muhammad whenever he was preaching in the public square. When the Prophet began to speak of God and His ancient prophets, an-Nadr would follow him and speak about the heroes and kings of Persia, saying, “By God, Muhammad can’’t tell a better story than I, and his talk is only of old fables that he’s copied, as have I.” An-Nadr’s harassment became so intense that the Prophet engaged some of his followers to recite poetry back at him. An-Nadr was unfazed and continued to ridicule the Prophet, even to the point of inciting people to do him and his followers physical harm. Many Muslims were tortured, and a few were killed partly due to an-Nadr’s prodding. He is the one mentioned here in this passage, having asked for the punishment of God in a mocking way. (Asbab ul-Nuzul) His actual statement is recorded in verse 8:32. When the pagans and Muslims fought at Badr in the year 624, two years after this revelation, an-Nadr was among those captured from the Meccans. Although the Muslims eventually freed their Meccan prisoners on payment of ransom or by letting literate pagans earn their way free by teaching people to read, an-Nadr was one of two men executed for their cruel incitement of the Meccans to harm the believers who were living among them. (Some reports say he was killed in the battle itself.) (Ibn Abi Hatim))


 

Ayat 2: Ini balasan kepada mereka yang ada fahaman syirik dalam berkat.

لِلكٰفِرينَ لَيسَ لَهُ دافِعٌ

Sahih International

To the disbelievers; of it there is no preventer.

Malay

Azab yang disediakan untuk orang-orang yang kafir, yang tidak ada sesiapa pun dapat menolak kedatangannya –

 

Tiada siapa boleh sekat azab itu apabila telah datang azab itu atau Hari Kiamat itu. Walau pun ada orang yang alim dalam kalangan manusia waktu itu, ia tetap akan berlaku. Kita katakan begini kerana sekarang ada yang kata, sebab wali itu dan ini, azab tak kena kepada negara kita atau sesuatu tempat itu.

Ketahuilah yang tidaklah Allah kena tahan azab kalau ada orang alim atau orang warak yang ada di kalangan manusia waktu itu. Kalau Allah hendak melambatkan, itu terpulang kepada Allah. Dan kalau Allah nak kenakan juga, maka tetap Allah akan kenakan.

Azab yang dijanjikan ini adalah kepada mereka yang mengamalkan syirik, terutama sekali syirik dalam berkat. Ada yang minta berkat daripada selain Allah. Ini syirik kerana meletakkan kedudukan makhluk seolah-olah seperti Allah pula.

Azab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah untuk orang kafir, tapi kalau ada orang yang beriman di kalangan mereka, pun boleh kena azab itu juga. Tapi orang yang beriman itu akan terkena azab yang di dunia sahaja. Di akhirat mereka akan terselamat. Sedangkan orang kafir akan berterusan menerima azab di akhirat kelak. Sudahlah kena azab di dunia, di akhirat pun mereka akan dikenakan dengan azab juga.


 

Ayat 3:

مِنَ اللَّهِ ذِي المَعارِجِ

Sahih International

[It is] from Allah , owner of the ways of ascent.

Malay

Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik –

 

Azab yang dimaksudkan itu adalah dari Allah. Maka ianya bukan azab yang main-main. Ianya bukan boleh dihalang atau dikurangkan.

Allah menyebut salah satu SifatNya dalam ayat ini. Iaitu Dia menguasai الْمَعَارِجِ. Apakah pula الْمَعَارِجِ itu? Kalimah الْمَعَارِجِ bermaksud ‘tempat naik’. Perkataan الْمَعَارِجِ adalah jamak kepada perkataan mi’raj yang rasanya semua kita tahu apakah maksudnya. Ia merujuk kepada ‘masa’ dan ‘tempat’ naik. Ia juga boleh merujuk kepada ‘cara’ dan ‘alat’ untuk naik ke atas.

Ada ‘laluan’ untuk naik menembus langit yang tujuh. Seperti yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad semasa baginda mi’raj ke langit. Begitu juga, laluan inilah yang digunakan oleh para malaikat untuk turun dan naik ke langit dari dunia. Siapakah yang memiliki dan menguasai ‘laluan’ ini? Itulah Allah.

Kita manusia tidak tahu tentang kewujudan laluan ini kalau Allah tidak beritahu. Dan kita setelah diberitahu pun, tidak dapat nak bayangkan bagaimana laluan itu.

Selain daripada digunakan oleh malaikat, amal manusia dan roh juga akan melaluinya. Iaitu roh manusia yang telah mati. Sampaikan ada riwayat menyebut bagaimana Malaikat akan sebut busuk atau wangi roh seseorang yang melepasi mereka.

Ada juga yang mentafsirkan perkataan الْمَعَارِجِ bermaksud ‘ketinggian’. Allahlah yang memiliki ketinggian yang tiada bandingan. Allahlah yang berada di kedudukan yang paling tinggi. Oleh itu, apabila Allah mengenakan azab, tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang. Kerana Allah memberi arahan itu dari kedudukan yang paling atas.


 

Ayat 4:

تَعرُجُ المَلٰئِكَةُ وَالرّوحُ إِلَيهِ في يَومٍ كانَ مِقدارُهُ خَمسينَ أَلفَ سَنَةٍ

Sahih International

The angels and the Spirit will ascend to Him during a Day the extent of which is fifty thousand years.

Malay

Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

 

تَعْرُجُ الْمَلٰئِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ

Yang dinaiki oleh malaikat-malaikat dan Roh kepadaNya

‘Roh’ yang dimaksudkan itu adalah Jibrail. Kenapa pula Jibrail, bukankah malaikat telah disebut dan bukankah Jibrail itu salah seorang dari Malaikat? Ini adalah kerana kedudukan istimewa Jibrail. Iaitu Al-Qur’an telah mengkhususkan yang am. ‘Para Malaikat’ adalah am dan Allah khususkan nama Jibrail. Khusus sebab dia adalah makhluk yang hebat dan kerana kedudukan Jibrail amat tinggi.

Atau dalam ayat ini juga boleh bermaksud roh manusia yang telah mati. Roh manusia memang akan naik ke langit. Roh manusia yang baik akan kekal di langit dan kalau roh yang jahat akan dimasukkan balik ke dunia untuk menerima azab dalam kubur.

Kenapa para malaikat naik menemui Allah? Mereka naik untuk menerima arahan dan tugasan dari Allah. Selepas menerima arahan, mereka akan menjalankan tugas yang telah diberikan itu.

Inilah arahan-arahan dari Allah kepada malaikat yang cuba dicuri dengar oleh jin. Kerana selepas menerima arahan itu, para malaikat akan bertanya sama sendiri apakah perintah yang telah diberi kepada mereka masing-masing. Iaitu malaikat yang di bawah akan bertanya kepada para malaikat yang di atas. Mereka bertanya untuk memastikan arahan itu, kerana mereka begitu takut setelah menerima arahan dari Allah. Waktu para malaikat bercakap sesama mereka itulah jin memasang telinga mendengar perbualan para malaikat.

 

فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

dalam satu masa yang adalah tempohnya kadar selama lima puluh ribu tahun.

‘Lima puluh ribu tahun’ adalah untuk memberitahu kepada kita betapa jauh jarak laluan itu. Itulah jarak antara dunia dan langit ke tujuh. Begitu tinggi sekali. Dan Allah lebih tinggi kerana Allah di kedudukanNya yang lebih tinggi lagi dari langit.

Ayat ini menggunakan bilangan masa sahaja kerana kalau kita bincangkan jarak antara planet pun sudah tak pakai jarak kilometer tapi pakai berapa lama cahaya untuk sampai ke satu-satu planet.

Ayat ini juga boleh bermaksud hendak memberitahu kita bahawa satu hari di akhirat itu adalah selama lima puluh ribu tahun kalau menggunakan kiraan dunia. Kerana ‘hari’ di akhirat tidak sama dengan ‘hari’ di dunia. Hari di dunia menggunakan kiraan putaran matahari, dan matahari sudah tidak ada di akhirat nanti.

Jadi, berapa lamakah sebenarnya satu ‘hari’ di akhirat? Kalau dibandingkan kadarnya dengan hari-hari di dunia, satu hari akhirat bersamaan dengan lima puluh ribu tahun kiraan dunia.

Terdapat banyak pendapat tentang perkataan ’50 ribu tahun’ ini. Ini adalah antara beberapa pendapat tersebut:

1. Ianya adalah jarak antara Arash dan makhluk Allah yang paling rendah.

2. Tempoh kehidupan di dunia semenjak Allah cipta alam ini sampailah ke hari kiamat. Maknanya, usia alam ini adalah 50 ribu tahun.

3. Hari pemisah antara dunia dan akhirat. Walau bagaimana pun, ini adalah pendapat yang lemah.

4. Tempoh menunggu hisab nanti adalah selama 50 ribu tahun. Itulah lamanya kita kena menunggu di Mahsyar nanti sebelum mahkamah Allah dimulakan. Masa menghisab tidak lama, tapi masa menunggu permulaan hisab itu yang lama.

5. Tempoh menerima seksaan di Mahsyar. Iaitu kepada mereka yang dikenakan dengan seksaan. Sebagai contoh, ada riwayat dari hadis yang menyatakan, jikalau kita tidak memberikan zakat binatang ternak, binatang ternak itu akan memijak-mijak kita di akhirat kelak dan lamanya kejadian berlaku adalah selama 50 ribu tahun. Ayat sebelum ini pun tentang azab yang akan dikenakan kepada mereka yang kufur, jadi dalam ayat ini diberitahukan berapa lamakah masa itu.

Tapi yang akan rasa susah dan lama itu adalah orang kafir dan engkar sahaja. Sedangkan orang yang beriman akan dimudahkan bagi mereka. Ada satu hadis tentang perkara ini:

حَدَّثَنَا دَرَّاج، عَنْ أَبِي الْهَيْثَمِ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخدري قال: قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ: {يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ} مَا أَطْوَلَ هَذَا الْيَوْمَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، إِنَّهُ لِيُخَفَّفُ عَلَى الْمُؤْمِنِ حتى يكون أَخَفَّ عَلَيْهِ مِنْ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ يُصَلِّيهَا فِي الدُّنْيَا”

Imam Ahmad meriwayatkan, telah menceritakan kepada kami Husain ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Ibnu Lahi’ah, telah menceritakan kepada kami Darraj, dari Abul Haisam, dari Abu Sa’id Al-Khudri yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah ditanya mengenai makna firman-Nya: dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun. (Al-Ma’arij: 4) “Wahai Rasulullah, betapa lamanya hari tersebut.” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sungguh akan diringankan bagi orang mukmin (lamanya hari tersebut) sehingga terasa lebih cepat baginya dari suatu salat fardu yang dikerjakannya di bumi.


 

Ayat 5: Ayat tasliah (pujukan).

فَاصبِر صَبرًا جَميلًا

Sahih International

So be patient with gracious patience.

Malay

Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.

 

Dalam ayat ini, Nabi Muhammad disuruh bersabar. Tujuan ayat ini untuk pujuk Nabi kerana Nabi sedang menerima tentangan dari kaumnya yang tidak mahu menerima Islam. Ini adalah peringkat awal semasa baginda mula berdakwah secara terang-terangan (4-6 Tahun Kenabian). Mereka telah tolak dan cabar baginda macam-macam, termasuk bertanya perkara yang baginda sendiri tidak boleh nak jawab. Ini merujuk kepada ayat pertama di mana mereka meminta dipercepatkan azab kepada mereka.

Dalam ayat pertama, telah disebut bagaimana orang-orang kafir tidak percaya kepada dakwah Nabi dan mereka mengejek dengan berkata: kalau Nabi benar, percepatkan azab yang baginda janjikan itu. Mereka sebenarnya sudah tiada hujah lain lagi, maka mereka guna cara ini.

Allah nak tekankan kepada baginda bahawa baginda berada dalam kebenaran. Dan hendaklah baginda bersabar dengan kata-kata jahil mereka yang menentang itu. Bukan sahaja Nabi Muhammad disuruh bersabar, tapi orang mukmin yang menyampaikan dakwah juga diajak untuk sabar. Ini adalah tasliah (pujukan) kepada semua orang mukmin dulu dan sekarang yang menjalankan kerja dakwah.

Disebut juga bagaimana orang kafir minta dipercepatkan azab dalam ayat Shura:18

يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا وَالَّذِينَ آمَنُوا مُشْفِقُونَ مِنْهَا وَيَعْلَمُونَ أَنَّهَا الْحَقُّ أَلَا إِنَّ الَّذِينَ يُمَارُونَ فِي السَّاعَةِ لَفِي ضَلَالٍ بَعِيدٍ

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

Ayat Shura:18 ini memberitahu kita bahawa orang mukmin sepatutnya takut dengan kedatangan kiamat itu. Tetapi, orang-orang kafir, kerana tidak percaya dengannya, meminta-minta supaya ianya dipercepatkan. Kalau mereka percaya, mereka tidak akan minta begitu.

Jadi ayat ke-5 Surah Ma’arij ini memujuk Nabi dan memberitahu yang hari akhirat akan datang tidak lama lagi, maka bersabarlah. Dan sabar yang dikehendaki dari adalah sabar yang جَمِيلًا – cantik. Apakah maksud ‘sabar yang cantik’?

Kecantikan adalah sesuatu perkara luaran yang apabila kita tengok sahaja, kita sudah tahu yang ianya memang cantik. Ini bermakna kesabaran yang dikehendaki adalah dari luaran lagi, sudah tidak nampak ketidaksabaran. Maknanya, jangan tunjukkan perasaan tidak sabar. Biar kalau orang lain nampak, mereka lihat kita biasa sahaja. Kita tidak merungut, tidak menangis dan sebagainya. Maka kalau kita sedang sedih, dan kita menangis, tidaklah boleh dikatakan itu sebagai صَبْرًا جَمِيلًا.

Ini mengajar kita bahawa seorang pendakwah memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Kerana banyak dugaan yang akan dihadapi dari orang-orang yang tidak mahu terima. Mereka ada yang buat tidak tahu dengan kata-kata kita, mengejek kita, mengutuk kita, cari salah kita, mencebik mulut kepada kita, memburukkan kita kepada orang lain, dan macam-macam lagi.

Semua itu memerlukan kesabaran yang tinggi untuk dihadapi. Kalau kita tidak boleh sabar, kita tidak sepatutnya berdakwah. Kerana kerja dakwah ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang boleh bersabar. Maka kena latih diri kita untuk sabar sahaja terima dugaan dari orang yang menentang. Mereka tolak, kita tetap senyum dan dakwah di hari lain pula.

Nabi Muhammad telah menerima tasliah dari Allah ini. Maka kerana itulah baginda terus melakukan dakwah kepada umat baginda. Kalaulah baginda makan hati dengan perbuatan umat baginda dan berhenti dari dakwah, apa jadi dengan kita?

Maka kita pun kena ikut contoh Nabi Muhammad dan para Nabi yang lain. Kalau dapat tentangan, jangan melawan, jangan tunjuk kita terkesan. Sebaliknya kita mengadu sahaja kepada Allah sebagaimana Nabi Nuh a.s. mengadu kepada Allah yang kita akan baca dalam Surah Nuh nanti. Dan buat banyak-banyak latihan senyum. Kalau orang kata apa-apa sahaja, lontarkan senyuman walaupun dalam hati sakit.

Dengan dapat bersabar, Allah akan bina sifat baik yang lain dalam diri kita. Allah akan tanamkan kekuatan istiqamah dalam diri kita. Ini dapat berlaku apabila kita mengadu kepada Allah sahaja.


 

Ayat 6: Bagaimanakah sifat orang kafir terhadap Hari Kiamat?

إِنَّهُم يَرَونَهُ بَعيدًا

Sahih International

Indeed, they see it [as] distant,

Malay

Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),

 

Manusia tidak tahu langsung bilakah akan terjadinya kiamat. Dan begitu juga, manusia tidak tahu bilakah azab akan dikenakan kepada mereka. Kerana kalau azab datang, ianya akan datang dengan tiba-tiba.

Maka jangan terpedaya dengan sesiapa yang kata mereka tahu bilakah ianya akan terjadi. Macam kes Kalendar Maya dulu, sampai ada pula yang rasa mana tahu, kot-kot betul kiamat hari itu jatuh pada tahun 2012. Kemudian, ada juga ‘ustaz-ustaz’ yang entah dari mana, boleh pula buat agak-agak bilakan terjadinya kiamat itu. Itu adalah perbuatan orang kafir sahaja yang meneka-neka kiamat, bukannya orang Islam.

Kalau kita tidak tahu bilakah terjadinya Kiamat itu, apa yang kita kena buat? Kita kena taubat setiap hari. Maka kena bersedia bila-bila sahaja terjadinya Kiamat itu. Jangan kita tangguh untuk bertaubat, tangguh nak buat kebaikan (dalam talbis iblis dipanggil taswif), tangguh nak buat amal ibadat.

Maka kita kena sedar yang Kiamat boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Itulah pegangan orang Mukmin. Tapi orang kafir rasa macam Kiamat tidak akan terjadi dengan segera. Mereka rasa jauh sangat Kiamat itu. Seolah-olah Kiamat itu macam tidak ada kena mengena dengan mereka. Sampaikan mereka tak nampak yang ianya akan terjadi, maka mereka tidak fikirkan hari kiamat itu. Sama ada mereka tidak percaya langsung atau mereka tidak yakin.

Mereka kononnya belajar sains dan melihat dunia ini dalam bentuk kajian yang telah dijalankan. Mereka kata alam ini akan hidup lama lagi. Tapi bukankah semakin kita belajar sains, semakin kita tahu yang dunia ini memang akan hancur akhirnya. Dunia tidak akan kekal sampai bila-bila. Ianya pasti akan hancur.

Sebagai contoh, kajian sains akan menunjukkan bagaimana matahari yang menyala terang itu tidak akan kekal sebegitu. Lama kelamaan ianya akan habis tenaga dan akan malap juga.


 

Ayat 7:

وَنَرىٰهُ قَريبًا

Sahih International

But We see it [as] near.

Malay

Sedang Kami memandangnya dekat,

 

Allah sendiri kata yang Kiamat itu adalah dekat. Memang ada tempoh tapi Allah sahaja yang tahu. Yang pasti ia akan berlalu dan kita cuma kena bersiap sahaja. Kepada orang kafir, diingatkan yang tidak lama lagi mereka akan kena azab. Azab itu tunggu mereka mati sahaja. Kerana apabila mati sahaja, maka ‘Kiamat Kecil’ telah bermula dan mereka akan mula dikenakan dengan azab kubur.

Kalau kita dalam kesedihan tetapi kita tahu yang perkara yang kita lalui itu tidak lama, maka tentu lebih mudah untuk kita bersabar bukan? Sebagai contoh, kalau kita sakit, memang kita akan lemah dan sukar. Tapi kalau kita tahu yang sakit kita itu jenis sehari dua sahaja, tentu kita tidak kisah sangat, bukan?

Sebab itulah Nabi Muhammad dan kita disuruh bersabar. Kerana bukanlah selama-lamanya kita kena sabar. Akan sampai satu masa di mana penderitaan kita semua akan berakhir. Dan masa itu tidak lama. Akan sampai masa nanti di mana keadilan akan ditegakkan dan kita akan dapat yang dijanjikan kepada kita dan mereka akan dapat apa yang dijanjikan kepada mereka.


 

Ayat 8: Ini adalah jawapan kepada soalan: bilakah Hari Kiamat itu? Tidak dijawab ‘bila’, tapi sebaliknya diberitahu bagaimanakah keadaan pada Hari Kiamat itu. Keadaan di sana lebih penting dari bilakah ia akan terjadi. Kerana ia tetap akan terjadi, cepat atau lewat.

Ayat 8 – 14 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia memberi gambaran kejadian Hari Kiamat. Pada hari itu, Allah memberitahu yang manusia akan membawa diri masing-masing.

يَومَ تَكونُ السَّماءُ كَالمُهلِ

Sahih International

On the Day the sky will be like murky oil,

Malay

(Iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair,

 

Ayat ini menceritakan kepada kita keadaan pada hari kiamat itu. Tentulah kita tidak dapat membayangkan dengan tepat bagaimana hari itu tapi sekurang-kurangnya kita dapat sedikit idea macam mana rupanya. Cuba bayangkan supaya kita hadirkan ketakutan dalam diri kita. Bila kita takut, maka kita takut nak buat dosa.

Langit akan menjadi seperti mendapan minyak atau tembaga yang cair. Ini juga memberi isyarat kepada bahawa langit akan cair. Langit akan gugur dari kedudukannya sekarang. Tembaga selalunya keras, tetapi kalau ianya dipanaskan dengan kepanasan yang tinggi, ianya boleh jadi cair sampaikan boleh dituang-tuang.

Begitulah juga langit nanti, selalunya kita lihat ianya tegak kukuh sahaja, tapi pada hari Kiamat nanti, ianya akan hancur. Oleh itu, Allah memberitahu kita keadaan hari Kiamat di mana langit tidak akan sama lagi. Begitu juga, dalam Rahman:37 Allah ada memberikan contoh lagi:

فَإِذَا انشَقَّتِ السَّمَاءُ فَكَانَتْ وَرْدَةً كَالدِّهَانِ

Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;

Tujuan Allah memberikan gambaran Hari Kiamat itu adalah untuk menakutkan kita. Supaya kita beringat-ingat dan takut dengan Hari itu. Supaya kita takut untuk buat syirik (terutama syirik tentang berkat) dan buat dosa. Inilah kesan yang dikehendaki dari membaca ayat-ayat sebegini. Bukanlah baca kosong sahaja dan tidak ada rasa apa-apa.


 

Ayat 9:

وَتَكونُ الجِبالُ كَالعِهنِ

Sahih International

And the mountains will be like wool,

Malay

Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)

 

Gunung ganang yang kukuh sekarang ini akan jadi seperti bulu biri-biri yang halus. Ianya akan berterbangan macam bulu itu dihembus. Bolehkah anda bayangkan gunung ganang yang kukuh sekarang ini akan berterbangan?

Bayangkan macam bulu biri-biri. Gunung ganang akan jadi lembut walaupun sekarang ianya keras kukuh. Jadi orang Arab faham bagaimana keadaan gunung ganang sekarang. Mereka selalu tengok gunung dan terpesona dengan gunung. Maka Allah berikan satu gambaran baru bagi mereka. Nanti bila tengok gunung lagi, bayangkan ia hancur dan berterbangan.

Kalimah الْعِهْنِ bermaksud benang bulu yang berwarna. Macam-macam warna ada. Begitulah nanti yang akan terjadi apabila Kiamat nanti. Macam-macam warna akan bercampur, berselerakan dan bertempiaran.


 

Ayat 10:

وَلا يَسأَلُ حَميمٌ حَميمًا

Sahih International

And no friend will ask [anything of] a friend,

Malay

Dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri),

 

Kalimah حَمِيمٌ adalah kawan atau kenalan kita yang kita amat rapat. Kadangkala mereka ini lebih rapat dari ahli keluarga kita sendiri. Asal perkataan ini adalah ‘panas menggelegak’, menggambarkan kehebatan persahabatan itu. Ia bermaksud sahabat yang memang rapat sungguh. Sampaikan kalau kawan kita itu kena kacau, kita akan bertindak balas dan takkan duduk diam. Kita selalu bertanya khabar dan tolong menolong sesama kenalan kita itu.

Di akhirat nanti, tidak ditanya lagi tentang orang yang dulu mereka sayangi semasa di dunia. Masa di dunia dulu, mereka sayang sangat kawan mereka, tapi di akhirat nanti, mereka tak kisah langsung. Waktu itu semua lari dari kenalan masing-masing. Semua akan berada dalam keadaan kelam kabut.

Mereka tidak kisah dengan orang lain walaupun mereka kenal masing-masing. Mereka nampak kenalan mereka itu tapi mereka sudah tidak hirau orang lain sebab mereka sibuk dengan hal diri sendiri. Bila nampak sahaja orang yang mereka kenal, sebaliknya mereka akan lari. Ini seperti yang Allah sebut dalam Abasa 34-37.

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ

Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,

وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ

Dan ibunya serta bapanya,

وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ

Dan isterinya serta anak-anaknya; –

لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ

Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikan mereka sibuk dengan hal dirinya sahaja.

Waktu itu tiada masa nak hiraukan orang lain. Tidak ada yang akan tolong orang lain. Lain sangat dengan kalau kita di dunia. Kalau ada bala di dunia, gempa bumi atau apa-apa perkara mudharat, kita akan cari saudara mara, anak beranak kita, bukan? Tapi perkara itu tidak terjadi pada akhirat nanti, kerana kejadian pada hari akhirat itu akan lebih menyesakkan diri.

Oleh itu, kita tidak boleh harapkan kepada orang lain untuk tolong kita nanti. Kita kena bergantung dengan amalan dan iman kita sendiri. Maka kalau tidak mahu kepayahan di sana, kita kena buat kerja di dunia lagi. Buat kerja masing-masing, kena kumpul ibadat sebanyak mungkin.

Allah jelaskan lagi dalam Luqman: 33

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَّا يَجْزِي وَالِدٌ عَن وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِ شَيْئًا

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun.

Begitu juga dalam Mukminoon: 101

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلَا أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَاءَلُونَ

Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.

Waktu itu, sudah tiada saudara mara lagi yang akan datang bertanya dan menolong. Waktu itu, sampai ada yang akan menyalahkan sesama sendiri. Pada hari itu, anak akan kata ayah dia tak ajar dia agama semasa di dunia dan ayah pula akan kata anak itu yang degil tak mahu belajar.

Bukan itu sahaja, ayah sanggup nak ‘jual’ anaknya di akhirat kelak (sebagai tebusan) asalkan boleh menyelamatkan dirinya. Ayah akan kata: “ambillah anak aku ini, asalkan aku diselamatkan”. Ini akan disebutkan dalam ayat seterusnya.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 September 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Adli

Nouman Ali Khan

Taimiyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah Maarij Ayat 1 – 10 (Laluan di Langit)”

    1. boleh rujuk kepada kitab-kitab muktabar.
      dan dengar kepada ustaz-ustaz yang berilmu dan telah belajar sendiri tafsir Quran.
      Ref saya buat masa ini adalah
      Ustaz Adli
      Nouman Ali Khan
      Taimiyah Zubair

      Anda boleh google mereka ini dan dengar sendiri kuliah-kuliah tafsir mereka. In sha Allah saya akan tambah lagi dari masa ke semasa rujukan-rujukan yang lain. Cuma kalau banyak sangat rujukan, akan jadi lagi banyak dan lagi lambat nak tulis.

      Like

  1. Salam tuan yang budiman, izinkan saya gunakan penulisan tuan ini untuk nota saya dan rakan-rakan dalam usrah tadabbur, tazakkur dan tafakkur. Saya masukkan sebahagian kandungan tuan ini dalam canva dan jadikan manual bersama dengan nota saya yang lain.

    Like

  2. Salam tuan.

    Ayat ke 5

    Kita tidak merungut, tidak menangis dan sebagainya. Maka kalau kita sedang sedih, dan kita menangis, tidaklah boleh dikatakan itu sebagai صَبْرًا جَمِيلًا.

    Kisah Nabi Yaakub yang menangis hingga buta tapi tetap juga baginda katakan fasobrun jamil.

    Kerana kita juga manusia ada perasaan kan.

    Mohon pencerahan.

    Like

    1. Maksudnya tidak menangis dan meraung kerana menidakkan qada qadar Allah. Nabi Muhammad pun ada menangis juga bila anaknya meninggal. Ada beza antara menangis kerana sedih dan menangis kerana tidak menerima takdir.

      Like

Leave a comment