Ayat 107:
وَإِن يَمسَسكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلا كاشِفَ لَهُ إِلّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدكَ بِخَيرٍ فَلا رادَّ لِفَضلِهِ ۚ يُصيبُ بِهِ مَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ ۚ وَهُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ
And if Allah should touch you with adversity, there is no remover of it except Him; and if He intends for you good, then there is no repeller of His bounty. He causes it to reach whom He wills of His servants. And He is the Forgiving, the Merciful
Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ
Dan jika Allah menyentuh engkau dengan sesuatu mudharat,
Mudharat itu ada banyak jenis. Ianya merangkumi semua perkara yang kita tidak suka. Sama ada dari segi fizikal atau mental. Yang berbentuk fizikal, contohnya kita sakit, hutang banyak, duit tak cukup dan sebagainya. Yang berbentuk mental atau emosi, seperti ketakutan, tekanan, resah gelisah, tiada barakah dalam kehidupan dan sebagainya.
Ada mudharat yang boleh nampak dengan mata, ada yang tak nampak kerana ianya dalam hati. Kita nampak seseorang itu biasa sahaja, padahal, dia sedang menanggung mudharat yang besar.
Mudharat itu boleh jadi kerana kesalahan kita atau sebagai ujian dari Allah.
Kadang-kadang kita tidak berjaga-jaga, wang kita boleh hilang. Atau kalau seseorang memandu dengan lalai, dia boleh kemalangan. Atau, kerana kesalahan kita mengamalkan amalan yang salah, atau banyak dosa, Allah ingatkan kita dengan beri mudharat kepada kita.
Kadang-kadang Allah uji kita dengan mudharat. Setelah berusaha sekian lama, masih tidak dapat kerja. Atau dia sudah jaga kesihatannya, tapi masih jatuh sakit juga. Itu kena redha kerana itu semua adalah ujian.
Hidup ini memang tempat ujian dan Allah akan menguji hambaNya dengan bermacam-macam cara. Memang tak boleh nak elak dari diuji. Kalau kita menerima ujian, maka kita hendaklah berdoa kepada Allah kalau ada masalah. Bayangkan Nabi Muhammad yang amat disayangi Allah pun diberikan dengan ujian, apatah lagi kita?
فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ
maka tiada sesiapa pun yang akan dapat mengangkatnya melainkan Dia;
Kalau kita kena mudharat, tiada siapa yang boleh mengangkat mudharat itu melainkan Allah sahaja.
Kalau kita sakit contohnya, Allah sahaja yang boleh menyembuhkan kita. Begitu juga dengan masalah-masalah yang lain. Allah sahaja yang boleh menyelesaikan masalah itu. Maka, kepada siapa lagi kita kena mengharap? Kepada Allah sahaja. Maka, jangan berdoa kepada yang lain.
Malangnya, ada kalangan masyarakat kita yang beriktikad bahawa apabila bala datang, ada guru agama dan orang alim di negara ini yang boleh mengangkat bala itu. Mereka itu telah bohong dan telah menyebut sesuatu yang berlawanan dengan ayat ini. Akidah mereka telah rosak.
Bala hanya boleh diangkat oleh Allah dan kita hendaklah berdoa terus kepada Allah untuk memohon supaya diangkat sesuatu bala itu. Dan ada bala itu yang dikenakan kepada kita kerana dosa-dosa yang kita lakukan. Oleh itu, kita kenalah memohon ampun kepada Allah SWT. Amatlah tidak kena, kalau kita minta diselamatkan, tapi dosa kita yang bertindih tidak kita mohon ampun lagi.
Malangnya, yang diajar oleh puak yang sesat dan jahil agama: kalau kena bala, kena ada amalan yang khurafat, seperti ‘Mandi Bunga’. Mereka kata, kalau mandi bunga, bala akan diangkat. Ini bukan selesai masalah, tapi ‘tambah’ masalah.
Perkara-perkara begini yang kita tegur inilah yang menyebabkan orang marah kepada kita. Kalau kita tak tegur dan buat senyap sahaja (tengok sahaja dosa yang mereka lakukan), kita selamat dari mulut jahat mereka. Tapi bila tegur, mereka akan lawan kita. Tapi tegur tetap kita kena lakukan dan buat pekak sahaja dengan kata-kata marah mereka itu.
Kalau kita perhatikan perkataan كَشِفَ itu, selalu berulang-ulang di dalam surah ini. Ianya seperti satu ‘tema’ yang Allah letakkan dalam surah ini. Setiap surah ada temanya tersendiri.
وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ
dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan,
Dalam Allah sebut tentang mudharat yang diberikanNya kepada manusia, perkataan يَمْسَسْ (dikenakan) yang digunakan. Tetapi dalam Allah menceritakan tentang kebaikan yang diberikan, perkataan يُرِدْ (menghendaki) yang digunakan.
Bermakna Allah hendak memberitahu kita bahawa jikalau Allah *berkehendak* untuk memberi kebaikan kepada kita sahaja, ianya terus terjadi. Tidak sama apabila Allah mengenakan kesusahan kepada kita. Maknanya, Allah lebih cepat memberi kebaikan kepada kita berbanding keburukan.
فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ
maka tiada sesiapapun yang akan dapat memulangkan limpah kurniaNya.
Kalimah رَادَّ bermaksud ‘memulangkan sesuatu’. Maknanya, kalau Allah hendakkan kebaikan untuk kita, tidak ada sesiapa yang boleh menghalangnya dan memulangkannya kembali kepada Allah.
Inilah dua pegangan yang kita kena pegang kuat-kuat. Kalau ada mudharat, Allah sahaja boleh angkat; kalau Allah hendak beri kebaikan, tidak ada sesiapa boleh halang.
يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ
Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya,
Allah sahaja yang buat keputusan siapakah yang dapat keburukan dan kebaikan, tidak ada yang lain.
وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Kenapa Allah menyebut tentang sifat Maha PengampunNya di hujung ayat? Kerana jikalau manusia mendapat musibah atau dalam kesusahan, selalunya kita akan berkata sesuatu atau melakukan sesuatu yang menyebabkan kita menyesal akhirnya dan kita perlu meminta ampun kepada Allah. Allah siap-siap beritahu kepada kita bahawa sifatNya adalah Maha Pengampun.
Dan Allah ingatkan kita dengan sifatNya yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani kerana selepas diberikan dengan musibah, Allah akan memberi kebaikan kepada manusia. Dan Allah sentiasa memberi kebaikan kepada manusia setiap masa.
Ayat 108:
قُل يا أَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَكُمُ الحَقُّ مِن رَبِّكُم ۖ فَمَنِ اهتَدىٰ فَإِنَّما يَهتَدي لِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها ۖ وَما أَنا عَلَيكُم بِوَكيلٍ
Say, “O mankind, the truth has come to you from your Lord, so whoever is guided is only guided for [the benefit of] his soul, and whoever goes astray only goes astray [in violation] against it. And I am not over you a manager.”
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Qur’an) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”.
قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia!
Nabi Muhammad disuruh memberitahu kepada sekalian manusia. Maka, kita pun kena sampaikan kepada semua manusia, sama ada Muslim ataupun kafir. Kena sampaikan kepada manusia mesej Qur’an ini.
Masalahnya, yang Muslim sekarang pun, ramai yang tidak beriman dengan Qur’an. Mereka tidak tahu apakah mesej Qur’an itu kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an dan tidak teringin pun nak belajar. Maka mereka baca, tapi mereka tak faham.
قَدْ جَاءَكُمُ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ
Telah datang kepada kebenaran (Al-Qur’an) dari Tuhan kamu.
Kebenaran yang dimaksudkan adalah Al-Qur’an ini. Surah ini bermula dengan menyebut tentang Qur’an dan diakhiri dihujungnya dengan menyebut tentang Qur’an juga.
فَمَنِ اهْتَدَىٰ
Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk
Iaitu mereka yang beriman kepada Qur’an, dengan membacanya, memahaminya dan mengamalkannya. Maknanya, bukan setakat baca sahaja seperti kebanyakan orang kita. Bukan setakat percaya bahawa ianya dari Allah sahaja tapi tak buat apa-apa. Itu belum beriman lagi sebenarnya.
فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ
maka hidayah itu kepada dirinya sendiri;
Hidayah yang diterimanya itu akan membawa kebaikan dan faedah kepada dirinya. Faedah itu bukan untuk Allah, kerana Allah tidak memerlukan imannya itu. Begitu juga, tidaklah faedah itu kepada Nabi dan orang lain, tetapi kepada dirinya sendiri.
Yang beriman sahaja akan dapat kebaikan itu. Tidaklah dia boleh memanjangkan kebaikan itu kepada orang lain, walaupun kepada anaknya sendiri, walaupun kepada isterinya sendiri. Masing-masing kena beriman sendiri. Masing-masing kena belajar tafsir Qur’an.
وَمَن ضَلَ
dan sesiapa yang sesat
Mereka jadi sesat itu kerana tidak mahu beriman dengan Qur’an. Mereka juga tidak mahu belajar tafsir Qur’an. Kalau tak belajar tafsir Qur’an, seseorang itu tidak akan tahu apakah kehendak Allah, maka dia akan sesat. Seperti yang Allah telah sebut dalam Zukhruf:36-37
وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ
Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.
وَإِنَّهُمْ لَيَصُدُّونَهُمْ عَنِ السَّبِيلِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ
Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Jelas dalam ayat ini, mereka yang tidak kisah dengan Qur’an, tidak belajar untuk memahaminya, akan sesat dari jalan yang benar.
فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا
maka kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri
Maknanya, apabila seseorang itu sesat, siapakah yang akan menanggung akibatnya? Tentulah dirinya sendiri, bukan orang lain. Dia sendiri yang menimpakan akibat buruk itu kepada dirinya, bukan orang lain.
وَمَا أَنَا عَلَيْكُم بِوَكِيلٍ
dan aku bukanlah menjadi wakil ke atas kamu”.
Maksudnya, Nabi Muhammad tidak boleh memaksa manusia untuk beriman. Baginda dan kita hanya boleh sampaikan sahaja kepada manusia lain, tapi untuk memaksa sesiapa beriman, tidak boleh.
Wakil juga bermaksud bertanggungjawab kepada seseorang. Nabi tidak bertanggungjawab kepada mereka yang tidak mahu beriman, tidak mahu belajar Qur’an. Maka kita pun kalau sudah sampaikan dakwah Qur’an kepada manusia lain, maka kita sudah tidak bertanggungjawab atas mereka.
Ayat 109: Inilah kesimpulan agama.
وَاتَّبِع ما يوحىٰ إِلَيكَ وَاصبِر حَتّىٰ يَحكُمَ اللَّهُ ۚ وَهُوَ خَيرُ الحاكِمينَ
And follow what is revealed to you, [O Muhammad], and be patient until Allah will judge. And He is the best of judges.
Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah sebaik-baik Hakim.
وَاتَّبِعْ مَا يُوحَىٰ إِلَيْكَ
Dan ikut apa yang diwahyukan kepadamu
Ayat ini adalah konklusi kepada seluruh surah ini. Buatlah apa sahaja yang telah diberikan oleh Allah. Ikut sahaja, jangan tambah, jangan kurang. Kalau tambah, itu adalah bidaah. Kalau kurang dari yang sepatutnya, sudah dikira berdosa.
Ikutlah wahyu yang Allah telah berikan ini. Agama ini memerlukan wahyu. Bukan kata-kata tok guru, bukan hujah akal, bukan dari nafsu, bukan dari kitab yang tidak bersandarkan Qur’an dan sunnah.
Ayat di atas, disentuh bagaimana kalau kita ditimpa musibah, Allah sahaja yang boleh melepaskannya. Jadi sepatutnya kita kena kembali kepada Allah, ikut apa yang Allah telah ajar bagaimana untuk menjalani kehidupan dalam dunia ini.
Dan Allah telah ajar juga bagaimana hendak berdoa kepadaNya. Tetapi malangnya kebanyakan manusia, apabila ditimpa musibah, fikiran mereka akan fokus hanya kepada masalah itu tanpa merujuk kepada Allah SWT. Mereka lupa yang Allah sahaja yang boleh selesaikan masalah yang mereka ada itu. Maka mereka banyak minta tolong kepada makhluk, tidak minta tolong terus kepada Allah.
وَاصْبِرْ
serta bersabarlah
Dan apabila kita mengikut perintah Allah, kita kena bersabar. Kerana apabila kita beriman, manusia lain ada yang tidak senang dengan iman kita. Mereka ada yang ejek kita dan menyusahkan hidup kita.
Dan bersabarlah dalam perjuangan mengembangkan Islam, dalam berdakwah. Selalunya, apabila kita dakwah, ramai tak mahu dengar dan mereka tolak kita, maka bersabarlah. Kerja dakwah ini memanglah susah. Sebagaimana Nabi juga mengalami kesusahan. Kadang-kadang kita kena hadapi ejekan, tohmahan, marah dari orang lain dan sebagainya.
Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada.
حَتَّىٰ يَحْكُمَ اللَّهُ
sehingga Allah menjalankan hukumNya
Sehingga Allah menjalankan apa yang Allah hendak lakukan. Sama ada Allah hendak memenangkan kita atau sebaliknya.
Maksudnya, kita kena sabar sampai mati. Sepanjang hidup kita adalah melakukan sabar sepanjang masa. Sabarlah dalam menunggu apakah keputusan yang Allah hendak lakukan. Kita usaha dengan sedaya upaya kita untuk menyelesaikan masalah itu. Dan dalam masa yang sama, hendaklah kita bersabar sambil menunggu apakah yang Allah akan lakukan. Kerana usaha kita tidak akan membuahkan hasil apa apa kalau tanpa izin dan dari Allah.
Yang penting sabar dalam menjalankan kerja-kerja dakwah ini. Kita tidak tahu apakah keputusan Allah, dan kita serahkan kepadaNya. Memang kita telah belajar sirah dan kita tahu bagaimana sahabat dan Nabi dikeji malah ada yang diseksa, kemudian mereka berhijrah, berperang dan sebagainya.
Kita tahu itu semua, tapi bayangkan apakah yang Nabi dan sahabat lalui. Mereka tidak tahu apakah yang terjadi minggu depan, bulan depan, tahun depan dan sebagainya. Lalu apakah yang mereka lakukan? Mereka terus lakukan kerja dakwah mereka sambil bersabar. Bersabar dan tunggu apa yang Allah akan lakukan.
Bukanlah ayat ini bermaksud kita duduk senyap tunggu apa Allah nak buat. Para sahabat jalankan kerja dakwah mereka. Maka kita pun kena juga berbuat begitu. Kerana kita tidak tahu apa yang Allah telah tetapkan untuk kita.
وَهُوَ خَيْرُ الْحَاكِمِينَ
kerana Dia lah sebaik-baik Hakim.
Apa sahaja keputusan yang Allah buat, ianya adalah yang terbaik. Kerana keputusan Allah itu adalah kerana kebijaksanaan Allah yang tahu segalanya. Kita tidak tahu apakah yang terbaik untuk kita, jadi kita terima sahaja keputusan Allah.
Allahu a’lam. Tamat sudah tafsir Surah Yunus ini. Alhamdulillah.
Sambung ke surah seterusnya, Surah Hud.
Kemaskini: 13 Mac 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Reblogged this on walkingonathread.
LikeLike