Ayat 98:
فَلَولا كانَت قَريَةٌ آمَنَت فَنَفَعَها إيمانُها إِلّا قَومَ يونُسَ لَمّا آمَنوا كَشَفنا عَنهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَياةِ الدُّنيا وَمَتَّعناهُم إِلىٰ حينٍ
Then has there not been a [single] city that believed so its faith benefited it except the people of Jonah? When they believed, We removed from them the punishment of disgrace in worldly life and gave them enjoyment for a time.
(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).
فَلَوْلَا كَانَتْ قَرْيَةٌ آمَنَتْ
Kenapakah tidak (penduduk) sesebuah desa beriman
Kenapakah penduduk setiap negeri beriman pada masa yang sepatutnya? Kenapakah penduduk setiap negara, setiap negeri, setiap pekan tidak beriman awal-awal lagi? Kenapakah mereka nak tangguh untuk beriman?
فَنَفَعَهَا إِيمَانُهَا
supaya imannya itu mendatangkan manfaat.
Kalau penduduk sesebuah negeri itu beriman awal-awal lagi, maka sudah tentu iman mereka itu akan dapat memberi manfaat kepada mereka. Kerana bila dia telah beriman, maka imannya itu akan mendidik orang itu untuk hidup dengan cara Islam. Barulah perjalanan hidupnya menjadi mulia, jadi molek. Kerana orang yang beriman akan hidup dengan cara yang seperti yang Allah kehendaki, yang Allah telah susun dengan baik. Apabila ianya baik, maka ianya akan memberi manfaat. Bukan hanya kepada orang itu sahaja, tetapi kepada mereka yang di sekelilingnya juga.
Setiap orang hendaklah beriman sebelum nyawa mereka sampai ke halqum. Ataupun sebelum mereka dinampakkan dengan azab. Kerana kalau nyawa sudah sampai ke halqum, atau telah nampak azab, dan baru waktu itu hendak beriman, iman mereka tidak akan diterima.
Itu adalah hukum yang umum. Hanya ada satu pelepasan sahaja yang Allah telah berikan:
إِلَّا قَوْمَ يُونُسَ
Kecuali kaum Nabi Yunus sahaja
Iman kaum yang terbit hanya apabila telah melihat azab yang Allah telah turunkan kepada mereka tidak akan diterima, kecuali sekali sahaja – Kaum Nabi Yunus. Hanya kepada mereka sahaja ada pengecualian dan tidak ada lagi selepas itu.
Surah ini dinamakan Surah Yunus dan nama Yunus hanya disebut dalam ayat ini sahaja. Siapakah Nabi Yunus a.s. ini? Secara ringkasnya, baginda hidup 800 tahun sebelum datangnya Nabi Isa a.s. Kaum Nabi Yunus ini hidup di kawasan yang sekarang ini negara Iraq. Kisah baginda banyak disebut dalam ayat lain.
لَمَّا آمَنُوا
ketika mereka beriman,
Hanya iman kaum Nabi Yunus sahaja yang diterima apabila mereka melihat azab. Apabila mereka telah melihat azab dan mereka beriman, iman mereka telah diterima. Tetapi kepada kaum-kaum lain yang telah diberikan azab oleh Allah, iman mereka tidak diterima.
Apakah kamu sangka yang kaum-kaum yang ditimpakan azab itu tidak beriman apabila mereka nampak azab sampai di depan mata? Apabila mereka sudah melihat azab di depan mata mereka, tentulah mereka sudah beriman. Iman mereka pula amat ikhlas waktu itu. Memang mereka sungguh-sungguh beriman. Tetapi iman mereka pada waktu itu sudah tidak diterima lagi. Sama seperti iman Firaun apabila dia hampir mati.
كَشَفْنَا عَنْهُمْ عَذَابَ الْخِزْيِ
Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dari menimpa mereka,
Kenapakah Allah terima iman kaum Nabi Yunus walaupun mereka telah melihat azab itu hampir dikenakan kepada mereka itu? Akan disebutkan selepas ini nanti.
فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
dalam kehidupan dunia
Nabi Yunus telah berdakwah setelah sekian lama kepada kaum baginda. Tetapi tidak ada yang mahu beriman. Nabi Yunus merasakan yang mereka tidak akan beriman sampai bila-bila dan baginda tahu yang azab akan diturunkan kepada kaumnya itu.
Maka baginda pun meninggalkan kaumnya itu sebelum mendapat arahan daripada Allah yang menyuruhnya untuk meninggalkan kaumnya. Ini adalah kerana baginda telah merajuk. Maknanya, Nabi Yunus keluar tanpa perintah. Ini menjadi salah satu dalil bahawa para Nabi itu pun manusia biasa sahaja, ada kesilapan yang mereka lakukan. Tapi kesilapan mereka tidaklah sama dengan kita, kerana mereka itu maksum.
Dalam riwayat ada disebutkan bahawa baginda berpesan kepada kaumnya yang mereka akan menerima azab dalam masa tiga hari. Nabi Yunus meninggalkan kaumnya dalam perasaan marah sebagaimana Allah telah berfirman di dalam Anbiya:87
وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.
Zun Nun dalam ayat di atas adalah Nabi Yunus. Baginda digelar demikian kerana baginda telah dimasukkan ke dalam perut ikan Nun.
Azab dunia memang sudah ditetapkan untuk kaum Nabi Yunus itu. Selepas tiga hari Nabi Yunus meninggalkan mereka, mereka sudah nampak azab itu mendatang kepada mereka. Waktu itu mereka baru sedar kesalahan mereka dan mereka telah beriman dan bertaubat. Sepatutnya, iman mereka waktu itu tidak diterima lagi kerana azab sudah datang, sudah terlambat.
Tetapi oleh kerana Nabi Yunus telah meninggalkan mereka sebelum mendapat arahan dari Allah, maka Allah telah menahan azab itu daripada mengenai mereka. Oleh kerana rasul mereka telah meninggalkan mereka maka hujah ke atas mereka sudah tidak lengkap lagi. Mereka boleh menggunakan hujah dengan mengatakan yang Rasul mereka telah meninggalkan mereka.
Keduanya, apabila mereka tahu azab sudah datang, mereka cepat-cepat telah bertaubat kepada Allah. Mereka telah bertaubat dan menyesali perbuatan mereka selama 40 hari. Allah Maha Tahu bahawa mereka benar-benar bertaubat, maka kerana itulah Allah telah menarik balik azab itu.
Ketiganya kes kaum Nabi Yunus ini tidak sama dengan kes Firaun. Pertamanya, Allah tahu yang Firaun bukan benar-benar bertaubat pun. Lihatlah penggunaan perkataan yang digunakan oleh Firaun sewaktu dia mengucapkannya (Firaun menggunakan perkataan ‘Tuhan Bani Israil’, bukan ‘Allah’).
Keduanya, Firaun hanya mengucapkan imannya apabila nyawa sudah sampai ke halqum. Sedangkan kaum Nabi Yunus belum lagi ke tahap itu. Mereka baru nampak azab itu, tapi azab itu belum kena kepada mereka lagi. Seumpama mereka orang yang sakit tapi belum sakaratul maut lagi. Taubat waktu itu masih diterima lagi. Seperti sabda Nabi:
”Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Riwayat At-Tirmizi)
Oleh kerana mereka telah nampak azab yang telah pernah dijanjikan oleh Nabi Yunus itu kepada mereka, mereka pun beramai-ramai bertaubat dan beriman kepada Allah. Bilangan mereka seramai 120,000 orang. Mereka semuanya telah diselamatkan.
Pada waktu itu Nabi Yunus telah dimasukkan ke dalam perut ikan Nun. Selepas 40 hari berada di dalam perut ikan itu, Nabi Yunus telah dilempar keluar ke pantai. Kaum baginda telah mencari-cari baginda dan akhirnya menjumpai baginda di tepi pantai itu. Mereka pun telah meminta Nabi Yunus untuk kembali dan mengajar agama kepada mereka.
وَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَىٰ حِينٍ
dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa yang telah ditetapkan.
Oleh kerana mereka telah beriman, maka Allah telah melimpahkan rahmatNya kepada mereka. Mereka telah menikmati kehidupan yang senang sehinggalah sampai ajal mereka yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka hidup dalam iman.
Ayat 99: Ayat ini memberitahu kita bahawa Allah boleh sahaja hendak menjadikan semua makhlukNya beriman. Tapi Allah bukan nak buat macam itu. Allah telah beri pilihan kepada manusia sama ada hendak beriman atau tidak.
وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الأَرضِ كُلُّهُم جَميعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكرِهُ النّاسَ حَتّىٰ يَكونوا مُؤمِنينَ
And had your Lord willed, those on earth would have believed – all of them entirely. Then, [O Muhammad], would you compel the people in order that they become believers?
Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ
Dan jika Tuhanmu menghendaki
Allah boleh buat apa sahaja yang dikehendakiNya, tidak ada yang boleh menghalang.
لَآمَنَ مَن فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا
nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi.
Allah boleh sahaja hendak menjadikan SEMUA makhluk di bumi beriman. Allah boleh buat supaya tidak ada seorang pun makhlukNya yang kufur. Allah boleh jadikan semua makhlukNya itu taat dan baik-baik belaka. Mudah sahaja bagi Allah untuk melakukan demikian. Lihatlah bagaimana Allah menjadikan para malaikatNya taat dan patuh kepadaNya sahaja.
Tetapi Allah tidak mahu memaksa manusia untuk beriman. Kerana kehidupan dunia ini adalah ujian. Kalau makhluk itu dipaksa untuk beriman, maka di manakah ujiannya? Kerana kalau seseorang itu dipaksa untuk melakukan sesuatu itu, adakah dia benar-benar hendak melakukannya? Iman dalam paksaan bukanlah iman yang sebenarnya.
Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah mampu memaksa semua manusia dan jin untuk semuanya beriman. Allah berkemampuan buat begitu, tapi adakah Nabi mampu berbuat begitu?
أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ
Adakah engkau hendak memaksa manusia
Kalau Allah pun tidak memaksa manusia untuk beriman. adakah Nabi Muhammad boleh memaksa? Adakah kita layak untuk memaksa orang lain beriman?
Kita tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman. Ingatlah bahawa tidak ada paksaan dalam agama, seperti yang disebut dalam Baqarah:256
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
Tidak ada paksaan dalam ugama
Oleh itu jelas bahawa kita tidak boleh memaksa manusia untuk beriman. Apa yang kita boleh lakukan hanyalah berdakwah kepada mereka dan memberi peringatan kepada mereka.
حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ
sehingga mereka menjadi orang-orang yang beriman?
Kalau kita nak paksa sesiapa untuk beriman, kita tidak akan berjaya. Bayangkan, kalau anak kita sendiri pun kita tidak boleh paksa, apatah lagi orang lain?
Ayat 100:
وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تُؤمِنَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ وَيَجعَلُ الرِّجسَ عَلَى الَّذينَ لا يَعقِلونَ
And it is not for a soul to believe except by permission of Allah , and He will place defilement upon those who will not use reason.
Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah; dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).
وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تُؤْمِنَ
Dan tiadalah seseorang itu boleh beriman
Ramai manusia yang beriman, tapi bolehkah seseorang itu beriman dengan sendirinya?
إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ
melainkan dengan izin Allah
Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa nak beriman pun sudah kena dapat izin dari Allah. Kalau Allah tak izinkan, tidak ada peluang seorang manusia itu untuk beriman. Sebab itulah ada orang yang lahir dalam Islam tapi bila mati, dia mati dalam kufur. Ada juga yang lahir dalam keluarga yang kafir, tapi dia alhamdulillah mati dalam Islam.
Oleh itu jikalau kita alhamdulillah seorang yang beriman, jangan kita sangka bahawa kita beriman kerana usaha kita dan kerana kebaikan atau kelebihan kita, tetapi ingatlah bahawa kita beriman kerana Allah yang izinkan kita beriman. Oleh itu, hendaklah kita bersyukur kepada Allah banyak-banyak jikalau kita orang beriman.
Semoga Allah izinkan kita untuk mati di dalam iman. Tanda seseorang itu beriman, dia mudah sahaja untuk menjalankan perintah agama. Sebagai contoh, ringan sahaja nak solat. Tapi kalau liat sahaja, itu ada masalah. Kena belajar lagi untuk meningkatkan iman. Kerana iman boleh ditingkatkan dengan ilmu.
وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ
dan Allah menjadikan kekotoran ke atas orang-orang yang tidak mahu menggunakan akalnya.
Kalimah الرِّجْسَ bermaksud ‘kekotoran’. Kekotoran dalam ayat ini bermaksud ‘kekotoran kekufuran’. Bukanlah kekotoran fizikal.
Mungkin ada yang menyalahkan Allah apabila seseorang itu tidak beriman. Berdasarkan kepada potongan ayat di atas, mereka mungkin berhujah yang seseorang itu tidak beriman kerana Allah yang tidak mengizinkan. Nauzu billah min zaalik! Jangan kita salah anggap kepada Allah sampai begitu sekali.
Tetapi di dalam potongan ayat ini, Allah memberitahu kepada kita bahawa mereka yang tidak beriman itu adalah kerana mereka sendiri yang tidak menggunakan akal fikiran mereka. Walaupun mereka telah diberi dengan berbagai hujah dan dalil, tetapi mereka masih tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memikirkannya. Mereka buat tak tahu sahaja. Kepada mereka yang seperti itulah yang Allah tidak beri izin kepada mereka untuk beriman.
Oleh itu dari keseluruhan ayat ini, kita boleh tahu bahawa ada dua faktor untuk membolehkan seseorang itu untuk beriman:
– Keinginan seorang manusia itu sendiri untuk beriman, dan
– Izin Allah.
Hanya apabila ada kedua-dua faktor ini barulah seseorang itu boleh beriman.
Ayat 101: Dalam ayat sebelum ini, kita diberitahu bahawa kita perlu menggunakan akal untuk beriman. Maka dalam ayat ini, Allah mengajar kita bagaimana menggunakan akal kita.
قُلِ انظُروا ماذا فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ ۚ وَما تُغنِي الآياتُ وَالنُّذُرُ عَن قَومٍ لا يُؤمِنونَ
Say, “Observe what is in the heavens and earth.” But of no avail will be signs or warners to a people who do not believe
Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.
قُلِ انظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan apa yang ada di langit dan di bumi
Lihatlah keindahan alam ini dan bagaimana alam ini bergerak kerana taat kepada perintah Allah. Ianya akan meningkatkan takjub kita kepada Allah. Alam sebegini besar, tentunya ada yang menjadikannya dan menguruskannya.
Mustahil semuanya bergerak sendiri. Mustahil juga ianya terjadi sendiri. Lihatlah juga bagaimana sempurnanya alam ini. Kalau makhluk pun sudah sempurna, apatah lagi Dzat yang menjadikannya, bukan?
Kalau alam yang sebegini besar pun taat kepada Allah kenapa kita tidak buat begitu juga?
وَمَا تُغْنِي الْآيَاتُ وَالنُّذُرُ
tidak akan memberi faedah segala tanda dan bukti, dan segala peringatan
Seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, mereka yang tidak beriman tidak menggunakan akal mereka. Walaupun begitu banyak tanda dalam alam ini, mereka yang tidak beriman, masih juga tidak nampak tanda-tanda itu.
عَن قَوْمٍ لَّا يُؤْمِنُونَ
kepada orang-orang yang tidak beriman.
Mereka nampak tanda dalam alam itu, ayat-ayat Quran yang tepat dan indah, tapi mereka masih juga tidak mahu beriman. Mereka tidak beriman kerana mereka sendiri yang tidak mahu beriman.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 13 Mac 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair