Tafsir Surah Yunus Ayat 74 – 78 (Tetap nak amalkan amalan tok nenek)

Ayat 74:

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِ رُسُلًا إِلىٰ قَومِهِم فَجاءوهُم بِالبَيِّناتِ فَما كانوا لِيُؤمِنوا بِما كَذَّبوا بِهِ مِن قَبلُ ۚ كَذٰلِكَ نَطبَعُ عَلىٰ قُلوبِ المُعتَدينَ

Sahih International

Then We sent after him messengers to their peoples, and they came to them with clear proofs. But they were not to believe in that which they had denied before. Thus We seal over the hearts of the transgressors

Malay

Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meterikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.

ثُمَّ بَعَثْنَا مِن بَعْدِهِ رُسُلًا

Kemudian Kami utuskan sesudahnya (Nabi Nuh), Rasul-rasul

Banyak Rasul-Rasul telah diturunkan seperti Nabi Luth, Nabi Ibrahim, Nabi Saleh dan banyak lagi.

Kaum Nabi Nuh dihancurkan semua sekali maka yang tinggal adalah pengikut-pengikut baginda yang beriman sahaja. Tetapi lama kelamaan keturunan mereka telah melakukan kesyirikan yang sama juga. Mereka telah melakukan tawassul dengan berleluasa.

Macam masyarakat sekarang ni pun melakukan tawasul dengan berleluasa. Kenapakah begitu? Bukankah mereka yang melakukan tawassul itu telah dihancurkan semuanya sekali? Ini adalah kerana walaupun mereka telah mati, tetapi yang mengajar mereka melakukan tawassul itu masih hidup lagi. Guru itu adalah iblis dan syaitan. Maka, Allah turunkan Rasul-rasul bersilih ganti selepas itu untuk memperbetulkan tauhid makhlukNya.

إِلَىٰ قَوْمِهِمْ

kepada kaum masing-masing;

Setiap kaum akan mendapat Rasul mereka. Rasul-rasul itulah yang menyampaikan ilmu tauhid kepada kaum mereka. Kalau tidak kerana mereka itu diturunkan, memang tidak akan sampai ajakan tauhid kepada manusia. Kerana ilmu tauhid ini tidak akan dapat dicapai dengan menggunakan akal. Maka, itu memerlukan pendakwah-pendakwah untuk menyampaikan kepada mereka.

Kepada kita, tidak diturunkan Rasul lagi. Allah buat keputusan yang bersesuaian dengan zaman. Kalau zaman dulu, media untuk menyampaikan maklumat tidak ada, jadi kena diturunkan Rasul kepada setiap kaum. Tapi, kepada kita yang hidup di zaman moden ini, banyak sekali cara untuk menyampaikan dakwah. Maka, tidak ada lagi Rasul. Tapi kita masih ada pendakwah-pendakwah yang meneruskan tugas-tugas Rasul itu.

فَجَاءُوهُم بِالْبَيِّنَاتِ

Apabila Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata;

Para-para Rasul itu datang bertemu kaum mereka membawa kebenaran dengan memberikan dalil-dalil yang jelas nyata. Bukan dalil yang samar-samar. Termasuklah juga, mereka membawa mukjizat.

Ini mengajar kita bahawa ajaran agama ini kena jelas. Jangan kabur macam yang diajar oleh golongan sesat seperti golongan tarekat itu. Pengajaran mereka sampaikan mengelirukan manusia, bukan mendekatkan mereka kepada agama. Tanyalah kepada penganut-penganut tarekat itu tentang agama – mereka keliru dan bermacam-macam pandangan agama yang sampai dari mereka. Kerana memang apa yang diajar oleh guru tarekat mereka itu bukan dari agama yang jelas nyata, melainkan dari khayalan guru mereka sahaja.

فَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا بِمَا كَذَّبُوا بِهِ مِن قَبْلُ

mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah dustakan sebelum itu.

Bilakah mereka dustakan Rasul-Rasul itu? Maksud ayat ini, apabila para Rasul itu datang kepada mereka dan menyampaikan ajakan tauhid pada mulanya, mereka terus menolak dakwah para Rasul itu. Mereka tidak dengar betul-betul dan buka hati mereka, tapi mereka tolak terus. Mereka kata ini adalah ajaran yang karut kerana lain dengan apa yang mereka faham.

Selepas itu, setelah sekian lama, apa sahaja yang disampaikan oleh Rasul itu, mereka akan tolak. Mereka tidak akan berganjak dari keputusan asal mereka yang mula-mula telah menolak itu. Sebagai contoh, selepas ini akan dibawakan kisah Nabi Musa dan Firaun. Daripada mula lagi Firaun tidak mahu beriman walau apa pun hujah dan dalil termasuk mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa dan Firaun tidak beriman sehingga ke hujung hayatnya.

Walaupun para rasul itu telah membawa bukti-bukti dan dalil-dalil yang jelas pun, mereka tetap tidak mahu beriman. Ini mengajar kita, kalau kita tolak dakwah dari awal-awal lagi, ianya susah untuk kita menerima dakwah itu kemudiannya. Kalau ditolak dan ditolak lagi, akhirnya hatinya akan tertutup terus untuk menerima tauhid.

Inilah bahayanya masyarakat kita. Apabila kita membawakan ajaran sunnah, mereka terus tolak tanpa usul periksa. Mereka akan kata ini adalah ajaran karut sebelum mereka dengar pun apa yang kita hendak sampaikan. Kebanyakan mereka tidak mahu menerimanya.

Yang terima adalah sikit sahaja. Iaitu mereka yang tidak tolak terus. Walaupun mungkin pada awalnya, mereka hairan kenapa ajaran sunnah ini lain dengan apa yang mereka tahu, tapi mereka masih membuka minda mereka untuk mendengar lagi. Maka Allah tarik mereka kepada kebenaran akhirnya.

كَذَٰلِكَ نَطْبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِ الْمُعْتَدِينَ

Demikianlah, Kami meterikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.

Melampaui batas itu bermaksud melakukan syirik dan mengerjakan amalan yang bidaah. Dan kerana ayat ini bermula tentang kaum Nabi Nuh yang melakukan tawasul, maka ‘melampaui batas’ yang dimaksudkan adalah melakukan tawasul dalam berdoa. Ada tawasul yang digalakkan, tapi mereka masih juga hendak melakukan tawasul yang dilarang.

Tindakan melampau itu juga adalah tindakan mereka menolak para Rasul itu dari awal-awal lagi. Begitulah juga yang terjadi kepada Nabi Muhammad. Ada Musyrikin Mekah yang terus menolak baginda dari awal-awal lagi walaupun mereka tahu bahawa apa yang baginda bawa itu adalah kebenaran. Mereka tolak kerana mereka sombong dan takut kedudukan mereka dalam masyarakat akan jatuh.

Begitu juga dengan zaman sekarang. Ada golongan agama yang telah ada kedudukan agama di dalam masyarakat yang tidak mahu mendengar dan mengikut dakwah sunnah kerana mereka telah ada kedudukan di dalam agama. Merekalah yang diminta fatwa dan keputusan agama selama ini. Merekalah yang menjadi pakar rujuk masyarakat. Maknanya, mereka ada kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Mereka rasa kalau mereka terima ajaran sunnah itu, bermakna mereka telah mengakui bahawa apa yang mereka lakukan sebelum itu adalah salah dan mereka tidak mahu mengaku begitu. Mereka ada ego dan ego itulah yang menjatuhkan mereka.

Ada pula yang mendapat upah dari kedudukan mereka itu. Mereka itulah yang dipanggil untuk baca tahlil, doa selamat dan sebagainya. Selepas mereka buat amalan bidaah itu, mereka dapat upah. Jadi kalau dakwah sunnah diterima, maka tiada lagi amalan bidaah yang mereka boleh jadikan sumber kewangan. Maka rugilah mereka. Maka, mereka akan menentang habis-habisan.

Jadi, apakah bahayanya kepada mereka apabila mereka tolak awal-awal lagi? Bahayanya adalah Allah boleh meterikan, boleh kunci mati hati mereka untuk menerima tauhid nanti. Kerana mereka tolak dari awal-awal lagi. Kemudian selepas diajak, mereka tak mahu juga terima berkali-kali.

Apabila sudah tolak berkali-kali, Allah akan kunci mati hati mereka untuk menerima iman. Mereka takkan terima iman itu sampai bila-bila pun. Mereka sudah kehilangan peluang untuk beriman. Allah tidak akan beri hidayah kepada mereka lagi. Alangkah ruginya. Kita pun kadang-kadang hairan kenapalah mereka susah sangat nak terima dakwah. Mereka susah terima dakwah itu adalah kerana mereka telah berkali-kali tolak sebelum itu.


Ayat 75: Allah beri contoh kepada kita tentang kisah Nabi Musa a.s. dan Firaun pula.

ثُمَّ بَعَثنا مِن بَعدِهِم موسىٰ وَهارونَ إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَئِهِ بِآياتِنا فَاستَكبَروا وَكانوا قَومًا مُجرِمينَ

Sahih International

Then We sent after them Moses and Aaron to Pharaoh and his establishment with Our signs, but they behaved arrogantly and were a criminal people

Malay

Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan pembesar-pembesarnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.

ثُمَّ بَعَثْنَا مِن بَعْدِهِم مُّوسَىٰ وَهَارُونَ

Kemudian Kami bangkitkan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun,

Banyak sekali kisah Nabi Musa dalam Qur’an. Ini adalah kerana banyak pengajaran yang kita boleh dapat kisah baginda. Apa yang baginda lalui, ada banyak persamaan dengan apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad dan pendakwah-pendakwah kita.

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ

kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya

Kalimah مَلَئِهِ dari katadasar م ل أ yang bermaksud ‘memenuhkan’. Digunakan dalam ayat ini merujuk kepada ‘pembesar-pembesar’ kerana orang-orang yang besar ini memenuhkan hati mereka yang melihat pembesar itu dengan rasa kagum, takjub, takut dan sebagainya. Orang kita akan lihat orang yang berpangkat tinggi, berkedudukan tinggi dengan pandangan yang lain macam.

Golongan ملأ pada zaman Firaun itu adalah golongan elit dalam masyarakat Mesir. Mereka memegang kedudukan yang tinggi dalam kerajaan seumpama kabinet pada zaman sekarang.

Kenapakah Nabi Musa dan Nabi Harun dihantar kepada Firaun dan golongan elit itu? Tidakkah nampak seperti mereka hanya berdakwah pada orang-orang kaya sahaja? Bagaimana pula dengan golongan-golongan miskin dan hamba? Bagaimana pula dengan Bani Israil? Bukankah agama itu untuk semua orang?

Kita kena faham bahawa Nabi Musa dan Nabi Harun dihantar kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya itu kerana merekalah kepala yang diikuti oleh rakyat jelata. Apa-apa sahaja pegangan mereka akan diikuti dan dituruti oleh masyarakat umum. Tambahan pula waktu zaman Firaun itu, masyarakat tidak mempunyai kebebasan untuk memilih agama. Mereka kena ikut apa yang pemimpin mereka kata. Jadi, kena dakwah kepada kepala dahulu.

Masyarakat Mesir pada waktu itu terbahagi kepada dua golongan. Bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Para pembesar dan orang-orang kaya adalah dari bangsa Qibti dan Bani Israil adalah golongan hamba. Nabi Musa dan Nabi Harun dihantar kepada dua-dua golongan itu, bukan kepada Firaun dan pembesar sahaja.

Kedua-dua Nabi itu mempunyai misi yang berbeza untuk bangsa Qibti dan kepada Bani Israil. Ini adalah kerana bangsa Qibti masih kafir dan Bani Israil sudah Muslim sebenarnya. Jadi, tidak sama pendekatan yang digunakan untuk Firaun dengan pendekatan yang digunakan kepada Bani Israil.

Kita juga kena tahu bahawa ملأ (pembesar) pada zaman Firaun itu ada dua jenis: ada dari bangsa Qibti dan ada dari Bani Israil. Kenapa begitu? Bukankah Bani Israil itu adalah golongan hamba? Dalam kalangan mereka juga ada pembesar, kerana untuk mengawal Bani Israil, Firaun memerlukan ‘Orang Dalam’. Maka, mereka melantik ketua-ketua dari Bani Israil sendiri menjadi pembesar.

Tapi pembesar dari Bani Israil itu sebenarnya di bawah telunjuk Firaun. Mereka diletakkan di tempat mereka supaya mereka senang mengawal Bani Israil itu. Macam kalau pengalaman kita, semasa Jepun memerintah negara ini, mereka akan melantik ketua-ketua dari kalangan masyarakat kita juga, supaya mereka itu boleh jadi mata-mata kepada Jeneral Jepun.

بِآيَاتِنَا

dengan membawa ayat-ayat Kami;

Allah hantar mereka dengan membawa mukjizat. Iaitu mukjizat yang utama sekali adalah tangan Nabi Musa yang bercahaya dan tongkat baginda yang menjadi ular. Selain dari itu, ada beberapa lagi mukjizat. Kesemua sekali ada sembilan tanda yang telah disebut dalam Qur’an.

Tanda-tanda itu jelas. Mereka sepatutnya tidak ada masalah untuk melihat tanda-tanda itu. Jadi, kalau mereka tolak, bukanlah kerana mereka tak nampak atau tidak faham, tapi kerana sombong sahaja. Macam kita sekarang, apabila berdakwah, kita menyampaikan kepada masyarakat ayat-ayat Qur’an yang jelas, tapi mereka masih tidak mahu terima. Itu adalah kerana mereka degil sahaja.

فَاسْتَكْبَرُوا

lalu mereka sombong

Maksud ‘sombong’ dalam ayat ini adalah sombong nak terima ajaran tauhid.

Mereka memandang rendah kepada Nabi Musa dan Harun. Mereka berdua itu dari Bani Israil dan kerana itu Firaun dan pembesar-pembesarnya tidak memandang mereka berdua. Mereka tidak memandang apakah yang dibawa oleh kedua Nabi itu, tetapi mereka melihat status kedua-dua mereka.

Orang kita pun kadang-kadang macam itu juga. Ramai yang tidak memandang hujah yang diberikan oleh orang lain, tapi mereka melihat siapakah orang itu. Kalau orang itu tidak ada kedudukan, kita susah nak terima. Atau kalau mereka itu tidak belajar di pondok, di sekolah agama, belajar sana dan sini, mereka tidak mahu terima. Mereka sombong dengan rasa mereka lebih pandai lagi dari orang lain. Hujah yang diberikan, mereka tolak terus. Mereka tak dengar pun.

وَكَانُوا قَوْمًا مُّجْرِمِينَ

dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.

Mereka itu adalah kaum penjenayah. Lihatlah bagaimana mereka telah menghambakan Bani Israil sekian lama. Itulah dosa mereka selain daripada dosa syirik yang mereka lakukan. Dan apabila Nabi Musa dan Harun datang, mereka tak mahu beriman. Dari situ, banyak lagilah dosa yang  mereka lakukan.


Ayat 76:

فَلَمّا جاءَهُمُ الحَقُّ مِن عِندِنا قالوا إِنَّ هٰذا لَسِحرٌ مُبينٌ

Sahih International

So when there came to them the truth from Us, they said, “Indeed, this is obvious magic.”

Malay

Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.

فَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ

Ketika datang kepada mereka kebenaran

Kebenaran itu adalah ajaran tauhid yang dibawa Nabi Musa. Kebenaran itu juga adalah mukjizat yang baginda tunjukkan kepada mereka sebagai bukti kenabian baginda.

مِنْ عِندِنَا

dari sisi Kami,

Apa yang nabi Musa dan Harun bawa adalah dari Allah, bukan dari mereka berdua. Maknanya, Allah nak ingatkan kita bahawa jangan main-main, ini dari Dia sendiri.

Ajakan tauhid yang dibawa itu sebelum turunnya kitab Taurat. Kerana kitab Taurat hanya diturunkan selepas itu.

قَالُوا إِنَّ هَٰذَا لَسِحْرٌ مُّبِينٌ

berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.

Mereka menolak sambil beri label. Mereka tahu yang ianya benar tapi mereka tolak. Mereka kata apa yang Nabi Musa tunjuk itu adalah ‘sihir’. Padahal dalam hati mereka, mereka tahu yang ianya benar.

Macam kita yang bawa dakwah sunnah ini diberi gelaran ‘wahabi’. Takkan mereka nak tolak begitu sahaja. Mereka kena berikan label yang merendahkan apa yang ditolak itu. Apabila diberi label ajaran sunnah ini ‘Wahabi’, jadi tidaklah nampak salah sangat kalau tolak. Kerana yang ditolak adalah ‘Wahabi’, bukan ‘Sunnah’. Mereka tak sedar yang mereka tolak itu adalah sunnah sebenarnya.


Ayat 77: Apakah reaksi Nabi Musa?

قالَ موسىٰ أَتَقولونَ لِلحَقِّ لَمّا جاءَكُم ۖ أَسِحرٌ هٰذا وَلا يُفلِحُ السّاحِرونَ

Sahih International

Moses said, “Do you say [thus] about the truth when it has come to you? Is this magic? But magicians will not succeed.”

Malay

(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya”.

قَالَ مُوسَىٰ

Nabi Musa berkata:

Nabi Musa berkata kepada mereka dengan yakin dan sabar. Baginda tidak kelam kabut. Baginda bercakap dengan berani kerana baginda diberikan keberanian oleh Allah.

أَتَقُولُونَ لِلْحَقِّ لَمَّا جَاءَكُمْ

Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu?

Nabi Musa berkata: “patutkah kamu kata begini tentang kebenaran selepas kau melihatnya?”. Iaitu mereka nampak kebenaran itu, tapi mereka tak mahu terima, dan kata ianya benda lain, bukan kebenaran.

أَسِحْرٌ هَٰذَا

Adakah bawaanku ini sihir?

Nabi Musa seperti berkata: “Kau lihatlah betul-betul, adakah apa yang aku bawa ini sihir? Takkan sihir macam ini. Ini benda lain kerana kamu patut tahu bagaimana rupa sihir dan apa yang aku ini bukan sihir.”

Kebenaran telah dibawa kepada mereka, tapi mereka kata ianya sihir? Adakah patut mereka berkata begitu?

Adakah sesat jalan yang baginda bawa itu? Nabi Musa macam tidak percaya dengan kata-kata mereka yang menolak dakwah baginda. Sedangkan tidak sama sihir dan mukjizat. Yang tukang sihir lakukan itu adalah sihir. Ketahuilah sihir itu sebenarnya mengelabui mata mereka yang melihat sahaja. Apabila mereka baling tongkat dan tali mereka, ‘nampak’ macam tongkat dan tali itu jadi ular.

Tapi sebenarnya tidak jadi ular pun – masih tongkat dan tali sahaja. Tapi mata mereka yang melihat telah dikaburkan. Itulah kadangkala sihir dipanggil ‘Silap Mata’ dalam bahasa kita. Kerana mata kita telah disilapkan dalam melihat. Tetapi apa yang dilakukan oleh Nabi Musa dengan tongkat baginda itu bukanlah sihir. Kerana tongkat itu benar-benar bertukar menjadi ular.

Ketahuilah bahawa sihir ini memang boleh dipelajari. Macam kalau orang kita nak jadi Ahli Silap Mata pun boleh juga. Nak ilmu keramat pun boleh juga. Begitulah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Asalkan tahu apa amalan yang hendak dibuat. Selalunya mereka kena mengamalkan zikir sesuatu perkataan dengan banyak. Ada yang menggunakan ayat Qur’an pun sebagai zikir mereka. Walaupun ianya ayat Qur’an, tapi apabila ianya dibaca dengan niat untuk mendapatkan sesuatu, ianya menjadi sihir.

Orang kita yang jahil agama pun ada buat sihir juga tanpa sedar. Kadang-kadang mereka diberi amalan sesuatu ayat untuk sesuatu kelebihan. Sebagai contoh, yang biasa kita dengar, ada yang menggunakan ayat Yaasin:9.

وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَأَغْشَيْنَاهُمْ فَهُمْ لَا يُبْصِرُونَ
Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka, dan sekatan di belakang mereka. Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

Ramai sangat masyarakat kita yang mengamalkan ayat ini apabila nampak polis trafik atau JPJ sedang tunggu di depan jalan. Mereka baca dan tiup dengan harapan Polis Trafik dan JPJ tak nampak kesalahan mereka, tak nampak roadtax sudah mati dan sebagainya.

Itu adalah termasuk dalam mempersenda ayat Qur’an. Ayat Qur’an sepatutnya digunakan sebagai petunjuk, tapi mereka gunakan untuk perkara yang lain. Balasannya adalah Neraka! Sila rujuk ayat Kahf:106

ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا

(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai senda gurau.

وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُونَ

Sedang ahli-ahli sihir itu tetap tidak akan berjaya”.

Ahli sihir tidak akan berjaya dan ini adalah janji Allah. Kalau Nabi Musa itu bawa sihir, baginda juga tidak akan berjaya. Memang Allah sudah tetapkan begitu. Mereka yang mengamalkan sihir itu sahaja yang sangka mereka hebat dan mereka boleh buat macam-macam. Mereka tak tahu yang mereka tidak akan berjaya sama ada di dunia, dan juga di akhirat.

Dari ayat ini, kita tahu yang sihir itu tidak kuat. Kita boleh kalahkan dengan mudah dengan menggunakan Qur’an. Sebagai contoh, boleh dibacakan ayat ini apabila berhadapan dengan sihir (untuk mengingatkan kita lemahnya sihir itu). Maka jangan takut dengan sihir. Kita kena takut dengan Allah dan kita kena mengharap dengan Allah. Selepas kita baca ayat itu, maka doa kepada Allah untuk hilangkan sihir itu (bukannya setakat baca sahaja ayat ini).


Ayat 78:

قالوا أَجِئتَنا لِتَلفِتَنا عَمّا وَجَدنا عَلَيهِ آباءَنا وَتَكونَ لَكُمَا الكِبرِياءُ فِي الأَرضِ وَما نَحنُ لَكُما بِمُؤمِنينَ

Sahih International

They said, “Have you come to us to turn us away from that upon which we found our fathers and so that you two may have grandeur in the land? And we are not believers in you.”

Malay

Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.

قَالُوا

Mereka pula berkata:

Firaun dan pembesar-pembesarnya berhujah dengan Nabi Musa dan Harun. Mereka buat tuduhan palsu kepada baginda. Bila mereka kata begitu, dan di hadapan khalayak rakyat pula, mereka nak mainkan fikiran rakyat supaya melihat Nabi Musa dan Harun sebenarnya hendak kejar pangkat sahaja.

أَجِئْتَنَا لِتَلْفِتَنَا

“Adakah engkau datang untuk memesongkan kami

Mereka kata Nabi Musa dan Harun bawa ajaran sesat pula. Iaitu bawa ajaran yang selain dari yang biasa mereka amalkan. Kerana mereka sudah terima yang amalan agama yang mereka ada sudah pasti benar (walaupun tidak).

Inilah juga hujjah puak syirik dan bidaah negara ini. Mereka akan kata kita nak ubah agama pula. Mereka kata agama sudah elok-elok, kita nak pusingkan pula ke tempat lain.

عَمَّا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا

dari agama yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya,

Mereka kata Nabi Musa nak ubah apa yang mereka telah lama lakukan dari nenek moyang mereka lagi. Apabila digunakan perkataan عَلَيْهِ (atasnya), itu bermaksud, mereka memang bersungguh-sungguh mengamalkan amalan yang dibuat oleh tok nenek mereka dahulu.

Macam kalau kita tegur amalan bidaah yang diamalkan oleh masyarakat kita, ramai pengamal bidaah yang akan marah. Mereka akan kata yang amalan itu sudah lama ada dalam masyarakat. Ini kerana tok nenek kita sudah lama buat amalan itu (jadi mereka kata: takkan salah?).

Itulah amalan bidaah yang macam-macam. Mereka amalkan berdasarkan kepada amalan tok nenek sahaja. Mereka bukan tahu sama ada ianya dari wahyu atau tidak. Mereka pakai buat sahaja kerana malas nak fikir, malas nak persoalkan. Begitulah jahilnya masyarakat kita dalam agama. Mereka sangka, kalau orang dulu buat, tentulah ianya benar. Kenapa nak tukar pula, mereka kata.

وَتَكُونَ لَكُمَا الْكِبْرِيَاءُ فِي الْأَرْضِ

dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)?

Mereka menuduh Nabi Musa hendak mengambil alih kerajaan negeri Mesir. Inilah yang mereka takut sangat dengan Nabi Musa. Mereka takut mereka akan kehilangan kuasa. Beginilah juga sifat diktator. Mereka nak terus berkuasa sahaja.

Tuduhan mereka itu amat tidak berasas sekali. Bayangkan, sebagai diktator, dia memerlukan orang bawahan yang ikut turut kata-katanya, bukan? Dan memang Firaun menghambakan Bani Israil pun tanpa beri peluang mereka membantah. Kalau bantah sahaja, akan kena bunuh.

Jadi, kalau Musa hendak mengambil alih kerajaan Mesir, tentu baginda sepatutnya meneruskan tradisi itu, bukan? Tapi sebaliknya, apa yang Nabi Musa suruh Firaun lakukan? Baginda suruh Firaun bebaskan Bani Israil dari kekangan perhambaan dan lepaskan mereka, bukan? Amat tidak kena dengan tuduhan Firaun dan kaumnya itu.

Keduanya, kalau seseorang itu hendak mengambil alih sesuatu kerajaan, tentu dia akan datang dengan tentera yang ramai dan kuat, bukan? Tapi Musa datang dengan siapa? Dia seorang diri dan Nabi Harun sahaja. Adakah dua orang boleh nak rampas kuasa?

Sekarang kalau kita cuba hendak berdakwah, ada yang kata kepada kita adakah kita hendak memperbaiki agama pula? Adakah kita nak ambil alih majlis agama pula kah? Sampai ke situ mereka perli dan tuduh kita. Ma sha Allah! Apakah kita sudah tidak boleh beri teguran?

وَمَا نَحْنُ لَكُمَا بِمُؤْمِنِينَ

Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.

Mereka tidak mahu percaya kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Kerana mereka tuduh yang Musa dan Harun itu hanya hendak mendapatkan kuasa dan kekayaan sahaja. Dari awal lagi mereka tidak mahu terima, mereka terus tolak sahaja. Samalah dengan pengamal bidaah negara ini. Kalau kita tegur sahaja amalan mereka, mereka terus tolak tanpa dengar apakah alasan kita.

Tapi tidaklah para Nabi itu mengkehendaki kuasa dan kekayaan. Seperti yang telah disebut tentang Nabi Nuh, baginda telah memberitahu bahawa baginda tidak pernah meminta upah kepada kaumnya atas dakwahnya. Kelebihan dunia bukanlah apa yang mereka cari. Maka samalah juga dengan Nabi Musa – baginda bukannya datang hendak meminta upah. Baginda bukan datang berdakwah kerana hendakkan kuasa.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Mac 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s