Tafsir Surah Yunus Ayat 57 – 60 (Allah lihat kita baca Qur’an)

Yunus Ayat 57: Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa kita akan dibawa untuk bertemu dengan Allah akhirnya. Lalu apakah cara untuk kita selamat di akhirat nanti?

Ayat ini adalah targhib kepada Al-Qur’an. Kita akan selamat kalau kita berpegang dengan ajaran Qur’an. Dalam ayat sebelum ini, Allah menyebut bahawa Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dalam ayat ini, Allah memberi isyarat bahawa Dia menghidupkan hati yang mati dengan Qur’an.

يا أَيُّهَا النّاسُ قَد جاءَتكُم مَوعِظَةٌ مِن رَبِّكُم وَشِفاءٌ لِما فِي الصُّدورِ وَهُدًى وَرَحمَةٌ لِلمُؤمِنينَ

Sahih International

O mankind, there has to come to you instruction from your Lord and healing for what is in the breasts and guidance and mercy for the believers.

Malay

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ

Wahai umat manusia!

Qur’an sekarang sedang bercakap kepada semua manusia. Kerana Qur’an ini bukan untuk orang Islam sahaja tetapi kepada semua manusia. Semua manusia patut baca dan faham mesej Qur’an ini. Apakah yang kita telah lakukan untuk membawa mesej Qur’an ini kepada manusia sejagat?

Qur’an ini dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh manusia sejagat. Malangnya, orang bukan Islam sudah mendapat maklumat yang salah dari media massa. Kitalah yang kena menjalankan tugas kita memperkenalkan mesej Qur’an yang sebenar kepada mereka.

قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu nasihat dari Tuhan kamu,

Kalimah مَّوْعِظَةٌ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Qur’an. مَّوْعِظَةٌ dari katadasar و ع ظ yang bermaksud menegur seseorang, menasihati; memberi peringatan tentang kebaikan, kebenaran; mengingatkan seseorang; mengingatkan orang lain untuk meninggalkan syirik dan dosa-dosa yang lain;

Memang di dalam Al-Qur’an ada nasihat yang sangat besar. Qur’an mengajak kepada kebaikan dan melarang dari keburukan. Kena ada dua-dua elemen itu – ajak kepada kebaikan dan larang kepada keburukan. Kita beri nasihat itu kerana kita memang hendak seseorang itu beringat. Kerana kita hendak seseorang itu berjaya.

Nasihat itu juga hendaklah dilakukan dengan ikhlas. Dan ianya dilakukan dengan cara yang efektif. Ianya adalah nasihat yang memberi kesan. Bukan jenis nasihat yang diberi tapi senang dilupai selepas itu. Nasihat itu juga hendaklah diberikan kena tepat pada masanya.

Itulah sifat-sifat Qur’an dalam memberi nasihat. Qur’an mengandungi semua itu malah lebih lagi. Kerana itu, kita sepatutnya menggunakan Qur’an sebagai pemberi nasihat kepada kita. Dan kita sepatutnya gunakan Qur’an itu sebagai pemberi nasihat, bukannya menggunakan elemen yang lain seperti nasyid, qasidah, tulisan khat dan lain-lain lagi.

Nasihat itu datang daripada siapa? مِّن رَّبِّكُمْ (daripada Allah Tuhan kamu). Bukannya daripada manusia biasa. Oleh itu, ianya sepatutnya diterima dengan senang hati oleh kita. Kita kena mengambil perhatian dengan nasihat yang diberikan. Kita kena baca Qur’an itu dan rasa bahawa Allah sedang memberi nasihat terus kepada kita.

وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ

dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada kamu,

Dalam ayat ini jelas bahawa Qur’an adalah penawar bagi penyakit-penyakit hati. Apa yang ada dalam dada? Hati. Dan apa yang ada dalam hati? Macam-macam hal antaranya akidah yang rosak.

Untuk menerima Qur’an, hati kita kena dibuka untuk menerima Qur’an.

Apabila ayat ini menyebut فِي الصُّدُورِ (dalam dada) dan tidak spesifik menyebut قَلبٌ (hati), ianya merangkumi lebih lagi dari hati sahaja. Ia merangkumi apa sahaja yang ada di dalam dada, termasuk was-was dari syaitan. Ini bermaksud, Qur’an bukan sahaja penawar kepada penyakit hati, ianya juga sebagai penawar kepada bisikan syaitan juga.

Dalam hati ada banyak penyakit, banyak masalah. Qur’an adalah penawar kepada apa sahaja penyakit dalam hati. Sebagai contoh, cemburu, syirik, mementingkan diri sendiri, riak, malas, sombong, sangsi kepada Allah dan agama, cinta kepada dunia, kesedihan, kemurungan, ujub, marah, bakhil, syahwat, tekanan dan macam-macam lagi. Semua penyakit itu memburukkan keadaan kita. Menyebabkan kita susah di dunia dan akhirat.

Qur’an adalah penawar kepada semua penyakit hati itu. Tapi, ada golongan-golongan yang sesat yang kononnya kuat agama telah mengajar bahawa Selawat Syifa’ itulah penawar kepada penyakit hati. Ini termasuklah Pertubuhan Darul Syifa dan seumpamanya, golongan Tarekat dan seumpamanya dan sekolah-sekolah pondok dan seumpamanya.

Mereka telah rosakkan agama dengan mengajar selawat yang berbau syirik ini sampaikan selawat ini diamalkan di masjid, dibaca ramai-ramai selepas solat, diajar kepada semua masyarakat kerana sudah masuk dalam TV dan media massa.

وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

dan juga menjadi hidayah petunjuk, serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Seperti kita pernah sebut sebelum ini, Qur’an ini adalah untuk setiap manusia. Tetapi yang boleh mengambil kebaikan darinya adalah orang-orang yang beriman sahaja.

Qur’an adalah sebagai hidayah petunjuk kepada kita. Apabila kita sudah menerima Qur’an dalam hati kita, barulah kita akan senang untuk menerima petunjuk dalam Qur’an itu. Barulah senang untuk kita menerima hukum-hukum yang Allah sampaikan dalam Qur’an. Kita tidak rasa berat untuk taat kepada arahan hukum dalam Qur’an.

Apabila kita sudah menerima hidayah dari Allah, barulah kita akan rasa tenang, rasa beriman, rasa manis dengan agama. Nak buat ibadat pun rasa ringan. Itu bermakna kita sudah mendapat رَحْمَةٌ (rahmat) dari Allah.

Selain daripada yang beriman, orang-orang lain tidak akan mendapat kebaikan dari Qur’an ini. Dalam Isra’:82 juga telah disebut:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Qur’an tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Dalam Fussilat:44 juga Allah telah berfirman:

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُولَٰئِكَ يُنَادَوْنَ مِن مَّكَانٍ بَعِيدٍ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Al-Qur’an itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (Al-Qur’an itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu – (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Qur’an, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)”.

Juga Allah telah berfirman bahawa hanya orang bertaqwa sahaja yang akan mendapat penerangan dari Qur’an dalam Ali Imran:138

هَٰذَا بَيَانٌ لِّلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ

(Al-Qur’an) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Ada sahabat datang kepada Nabi dan mengadu bahawa hatinya tidak tenang. Nabi telah menyuruh sahabat itu membaca Qur’an. Jelas bahawa Qur’an itu dapat menenangkan hati.

Jadi kalau hati kita tidak tenang dan rasa resah gelisah, maka hendaklah kita memperbanyakkan membaca Qur’an. Janganlah kalau kita ada masalah dengan hati kita, kita biarkan sahaja. Kita sebagai manusia yang bertanggungjawab hendaklah mencari penawar kepada hati kita itu. Kerana kalau dibiarkan begitu sahaja, ia boleh merebak dan menjadi lebih teruk. Ia boleh sampai kepada tahap yang paling teruk, timbul rasa hendak bunuh diri pula. Allah lah yang telah menjadikan hati kita dan Allah lah juga yang mengajar kita macam mana untuk mengubat hati kita.

Sebagaimana setiap penyakit memerlukan ubat yang sesuai, maka hendaklah kita menggunakan penawar kepada penyakit hati yang sesuai. Bukan itu saja. Sebagaimana ubat untuk penyakit kita yang lain, ubat itu hendaklah dimakan dan digunakan dengan cara yang betul. Katakanlah kita beli ubat dan kita hanya meletaknya sahaja di atas meja, atau kita bercakap tentangnya, atau kita baca tentang ubat itu, adakah kita akan sembuh?

Tentu tidak kerana ubat itu perlu dimakan atau disapukan pada badan kita dengan menggunakan cara yang betul. Kita juga perlu selalu menggunakan ubat itu dan bukan hanya makan sekali dua sahaja dan berharap penyakit kita akan sembuh. Ada ubat yang perlu dimakan setiap hari sepanjang hidup kita seperti ubat Darah Tinggi.

Begitulah juga dengan Qur’an ini. Bukan kita lihat sahaja Qur’an itu. Bukan kita gantung Qur’an itu di dinding atau diletakkan di bawah bantal. Bukan kita susun sahaja di dalam almari. Kita kena baca sendiri Qur’an itu dan kita perlu memahami apa yang kita baca. Dan kita kena selalu baca Qur’an itu, bukan sebulan sekali dan bukan setahun sekali semasa Ramadhan sahaja. Kita kena baca dan mengkaji Qur’an itu setiap hari.

Bagaimana Qur’an itu boleh jadi penawar kepada hati manusia? Seperti yang kita tahu, Qur’an itu adalah Kalam Allah. Ianya seperti Allah berkata-kata dengan kita. Allah tahu apa yang kita perlukan dan Allah telah beri jawapan kepada segala masalah kita di dalam Qur’an.

Sebagai contoh, kalau kita rasa sangsi sama ada Allah melihat kita atau tidak, Qur’an akan memberitahu kita yang Dia sedang melihat kita; Kalau kita rasa lemah dengan musibah yang menimpa kita, Qur’an akan memberitahu yang musibah itu adalah sebagai ujian untuk kita;

Kalau kita rasa tidak suka kepada sesuatu yang terjadi kepada kita, Qur’an akan memberitahu kita bahawa ada perkara yang kita tidak suka, tapi ianya baik untuk kita; kalau kita marah, Qur’an akan ajar kita untuk bersabar. Dan macam-macam lagi nasihat yang kita akan dapat dari pembacaan dan pemahaman Qur’an.

Dengan membaca Qur’an dan memahaminya, hati kita akan menjadi tenang seperti firman Allah dalam Rad:28

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingat Allah”. Ketahuilah dengan “mengingat Allah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Di manakah terdapatnya zikir kepada Allah itu? Ianya terdapat di dalam Qur’an. Cara terbaik untuk mengingat kepada Allah adalah dengan membaca Qur’an.

Ada orang yang kita nampak kaya dan senang tetapi hati mereka tidak tenang dan tenteram. Kerana hati mereka tidak merasa puas. Mereka gunakan duit mereka untuk beli macam-macam, pergi melancong ke merata tempat, tetapi hati mereka masih tidak puas. Kerana apa yang mereka lakukan itu bukanlah penawar kepada hati mereka.

Penawarnya ada di dalam Qur’an. Mereka yang tidak menjumpai penawar di dalam Qur’an itu adalah seperti kanak-kanak yang lapar, tetapi ibunya tidak memberi makan tetapi dipeluk-peluk sahaja. Penawar kepada tangisan kanak-kanak itu adalah diberi makan dan bukannya dialihkan perhatiannya kepada perkara lain.


Yunus Ayat 58:

قُل بِفَضلِ اللَّهِ وَبِرَحمَتِهِ فَبِذٰلِكَ فَليَفرَحوا هُوَ خَيرٌ مِمّا يَجمَعونَ

Sahih International

Say, “In the bounty of Allah and in His mercy – in that let them rejoice; it is better than what they accumulate.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Qur’an itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.

قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ

Katakanlah (wahai Muhammad) “dengan limpah kurnia Allah

Limpah kurnia Allah di dalam ayat ini ialah penurunan Qur’an pada kita. Ini adalah kerana ayat sebelum ayat ini ialah berkenaan Qur’an, jadi ayat ini adalah tentang Qur’an.

Kenapakah Qur’an itu dikatakan sebagai ‘Limpah Kurnia’ kepada kita? Kerana entah berapa ramai manusia yang hidup di dalam dunia ini tetapi mereka tidak kenal Qur’an. Tetapi kita dari kecil lagi sudah kenal Qur’an ini. Berapa ramai pula manusia dalam dunia ini yang sudah kenal Qur’an, tetapi mereka tidak tahu menggunakan Qur’an itu sebagai panduan hidup dan penawar hati. Maka kalau kita dapat mempelajari tafsir Qur’an ini, maka ianya adalah rahmat yang amat-amat besar sekali.

وَبِرَحْمَتِهِ

dan dengan kasih sayangNya,

Kerana kasih sayang Allah kepada kita, Dia telah memberikan Qur’an kepada kita dan meletakkan keinginan untuk mempelajari tafsir Qur’an ini kepada kita. Maka jangan kita lepaskan peluang ini. Teruskan belajar dan teruskan sampaikan ajaran tafsir ini kepada manusia yang lain.

فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا

maka dengan Qur’an itulah hendaknya mereka bersukacita

Maka bergembiralah dengan Limpah Kurnia dan rahmat Allah yang telah diberikanNya kepada kita ini.

Apabila perkataan فَبِذَٰلِكَ diletakkan di awal ayat, ia menunjukkan bahawa *hanya* dengan Qur’an ini sahaja yang patut kita bergembira sungguh-sungguh, bukan dengan benda yang lain.

Nota: Ada golongan yang mengatakan bahawa maksud ‘limpah kurnia’ dan ‘rahmat’ Allah dalam ayat ini adalah ‘kelahiran Nabi Muhammad’. Maka mereka menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengadakan Mawlid Nabi. Kerana mereka kata itulah cara meraikan kelahiran Nabi Muhammad dan Allah suruh bergembira dengan kelahiran itu. Itulah sebabnya mereka meraikan hari kelahiran Nabi.

Ini adalah pentafsiran yang salah yang hanya dibuat oleh mereka yang tidak belajar tafsir Qur’an sahaja. Mereka hendak buat amalan bidaah itu, dan mereka pandai-pandai kata inilah dalilnya.

Kita bergembira dengan pengurniaan Qur’an ini kerana dengan Qur’an inilah yang membolehkan akidah kita jadi betul. Dengan Qur’an ini juga kita sentiasa ingat kepada Allah. Dengan Qur’an ini juga kita mendapat panduan hidup.

Bergembira dengan Qur’an pula bukanlah dengan berjoget, main gendang dan sebagainya. Bukan macam golongan tarekat dan Habib yang mengajar manusia berjoget di stadium dan sebagainya semasa menyambut Mawlid dan sambutan-sambutan bidaah mereka. Itu adalah cara bergembira yang bukan dari ajaran Allah dan NabiNya.

Bergembira dengan Qur’an bermaksud: kita membacanya, mempelajarinya dan memahaminya, mengamalkannya dan menyebarkannya kepada orang lain. Itulah maksud yang sebenar.

هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ

kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan”.

Sifat manusia memang suka mengumpul. Kumpul kereta, setem, baju, beg dan sebagainya. Tak cukup-cukup pengumpulan kita. Apa sahaja yang kita himpunkan daripada nikmat dunia, walau banyak mana sekalipun, tidak akan dapat menandingi rahmat dan kurnia Allah di dalam pemberian Qur’an ini.

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang tidak beriman dan tertipu dengan dunia.

Kalimah يَجْمَعُونَ bermaksud (menghimpun): Manusia mengumpul berbagai-bagai harta dan benda dalam dunia ini dengan sangkaan bahawa ianya boleh menggembirakan mereka. Tetapi itu adalah tipuan dunia sahaja. Mereka rasa gembira apabila melihat mereka banyak barang. Tapi mereka tak sedar yang semakin banyak barang yang mereka kumpul, semakin bertambah kerja mereka menjaga barang itu, membersihkan barang itu dan sebagainya. Membuang masa kita sahaja.

Semakin banyak barang kita kumpul, semakin banyak ‘sampah’ dalam simpanan kita. Kerana kalau baru, ianya nampak cantik tapi lama kelamaan, ianya akan jadi buruk dan jadi sampah sahaja. Seperti kita yang akan sakit dan mati, begitu juga barang yang kita kumpulkan itu, akhirnya kita akan buang sahaja. Bukan begitu caranya mencari gembira. Menjalin hubungan dengan Allah lah yang akan menggembirakan hati kita.

Sebaliknya kita sepatutnya ‘mengumpul’ Qur’an. Bukan beli banyak mushaf dan susun di almari. Tapi mengumpulkannya dalam hati kita dengan menghafalnya. Supaya dalam setiap keadaan, ada ayat yang mengingatkan kita kepada ayat Allah. Tengok gunung, teringat ayat tentang gunung. Tengok hujan turun, teringat ayat Allah tentang hujan turun dan sebagainya.

Setiap kali ada tambahan ayat yang hafal, kita jadi suka dan bergembira. Begitu juga setiap kali ada ayat baru yang kita belajar, kita akan lebih gembira. Dan apabila Allah beri kita faham makna sesuatu ayat, kita akan bertambah-tambah gembira. Kita jatuh cinta dengan Qur’an. Kita nak selalu baca Qur’an. Dan sebaik-baik waktu untuk membaca Qur’an adalah dalam solat kita.

Barang yang kita kumpulkan akan rosak dan akan hapus. Tapi Qur’an yang kita baca dan hafal akan menemani kita sampai ke dalam kubur. Bukankah itu pengumpulan yang lebih baik?


 

Yunus Ayat 59: Ayat ini adalah tentang perkara halal dan haram. Tentang pantang-pantang yang diamalkan oleh manusia.

قُل أَرَأَيتُم ما أَنزَلَ اللَّهُ لَكُم مِن رِزقٍ فَجَعَلتُم مِنهُ حَرامًا وَحَلالًا قُل آللَّهُ أَذِنَ لَكُم ۖ أَم عَلَى اللَّهِ تَفتَرونَ

Sahih International

Say, “Have you seen what Allah has sent down to you of provision of which you have made [some] lawful and [some] unlawful?” Say, “Has Allah permitted you [to do so], or do you invent [something] about Allah ?”

Malay

Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?”.

قُلْ أَرَأَيْتُم

Katakanlah: Tidak kah kau memikirkan

Ayat ini disampaikan kepada manusia untuk mereka menggunakan akal mereka. Cubalah fikir-fikirkan.

مَّا أَنزَلَ اللَّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ

sesuatu yang diturunkan oleh Allah untuk kamu semua dari rezeki

Allah telah menurunkan rezeki untuk kita. Rezeki itu bukan sahaja makanan, tetapi termasuk apa sahaja perkara yang memberi manfaat kepada kita. Sebagai contoh, cahaya matahari: dengan cahaya matahari itu memberi Vitamin D kepada kita; Oksigen yang Allah berikan kepada kita; masa dan macam-macam lagi yang tidak terkira banyaknya. Semua itu dikira sebagai rezeki.

فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا

Maka kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?”

Allah telah memberikan rezeki itu kepada kita tetapi ada manusia yang menentukan halal haram sesuatu perkara itu tanpa dalil daripada Allah.

Ada manusia yang mengharamkan makanan dalam keadaan tertentu:

  • Contohnya, semasa pantang, tidak boleh makan ini dan itu;
  • Tidak boleh makan binatang berdarah semasa mengamalkan zikir-zikir Keramat kerana takut tak menjadi zikir itu;
  • Orang yang bersilat pula ada diharamkan dari makan makanan tertentu;
  • Ada sesetengah masyarakat tidak boleh makan makanan tertentu kerana keturunan mereka tidak boleh makan;
  • Dan macam-macam lagi pengharaman yang manusia lakukan.

Bagaimana dengan menghalalkan sesuatu yang haram? Ada umat Islam negara lain yang sudah menghalalkan arak. Satu masa nanti, ada kemungkinan mereka juga akan menghalalkan daging babi pula. Penghalalan ini dilakukan oleh ulama-ulama negara itu. Mereka telah menghalalkan yang haram, kemudian diikuti oleh masyarakat mereka.

Kerana apabila ulama sendiri yang buat, tentunya masyarakat rasa tak salah. Sebagaimana juga ada golongan agama di negara ini yang menghalalkan perkara yang haram seperti Tawassul, bida’ah dan sebagainya.

Perbincangan tentang hal halal haram ini dan bagaimana manusia keliru tentangnya telah dibincangkan dengan panjang lebar di dalam Surah Al-An’am.

قُلْ آللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ

Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian,

Adakah Allah benarkan mereka menghalalkan dan mengharamkan? Atau adakah mereka ada dalil untuk mengharamkan atau menghalalkan sesuatu itu? Adakah Jibril datang waktu malam-malam kepada mereka untuk memberi wahyu untuk membenarkan perbuatan mereka yang menghalalkan yang haram itu?

Oleh kerana Allah yang telah memberikan rezeki itu kepada kita, maka Dia sahaja yang layak untuk menentukan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Halal atau haram ini diberitahu oleh Allah dalam Qur’an dan juga di dalam hadis Nabi. Manusia tidak boleh suka-suka mengharamkan sesuatu yang halal dan tidak boleh suka-suka menghalalkan yang haram.

أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?”.

Mereka sebenarnya tidak ada dalil yang sah. Mereka memandai-mandai sahaja; mereka ikut sahaja kata tok nenek mereka. Itu semua adalah dusta kepada Allah, dusta atas nama Allah. Kerana Allah tidak pernah cakap dan Nabi sebagai wakil Allah pun tidak pernah cakap. Apabila Allah tidak pernah cakap, itu bermakna mereka berdusta. Dan berdusta atas nama Allah adalah dosa yang besar.


Yunus Ayat 60:

وَما ظَنُّ الَّذينَ يَفتَرونَ عَلَى اللَّهِ الكَذِبَ يَومَ القِيامَةِ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَشكُرونَ

Sahih International

And what will be the supposition of those who invent falsehood about Allah on the Day of Resurrection? Indeed, Allah is full of bounty to the people, but most of them are not grateful.”

Malay

Dan apakah sangkaan orang-orang yang mengada-adakan kata-kata dusta terhadap Allah, (tidakkah mereka akan diazabkan) hari kiamat kelak? Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberianNya dan hukum-hukum Syarak yang diturunkanNya), tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.

وَمَا ظَنُّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ

Dan apakah sangkaan orang-orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah,

Yang dimaksudkan dengan mengadakan dusta terhadap Allah adalah dengan melakukan perkara bidaah (dalam bentuk fahaman agama dan amalan). Mereka berdusta dengan mengatakan bahawa perkara itu baik padahal Allah tidak pernah mengatakan sedemikian. Mereka dusta dengan mengatakan kalau buat sesuatu amalan itu, Allah akan beri pahala. Padahal tidak ada dalil amalan perbuatan itu dalam syarak.

Mereka juga telah berdusta atas nama Allah dengan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

يَوْمَ الْقِيَامَةِ

hari kiamat kelak?

Apakah sangkaan mereka pada hari kiamat tentang perbuatan dusta yang mereka lakukan terhadap Allah itu? Mereka sangka yang Allah akan beri pahala kepada mereka?

Adakah mereka sangka yang mereka akan selamat dan tidak dihukum dengan azab oleh Allah?

Ada di kalangan manusia yang sangka mereka tidak akan diazab walau apa pun yang mereka lakukan. Mereka rasa mereka akan diselamatkan. Mereka sebenarnya tidak akan selamat. Mereka akan menerima padah mereka nanti. Tidak kira siapa mereka, mereka akan dikenakan balasan yang setimpal untuk mereka. Tidak kira mereka ulama, guru tarekat, Habib atau sesiapa sahaja, kalau buat salah, akan dibalas.

إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ

Sebenarnya Allah mempunyai kurnia ke atas manusia

Sudah tentu mereka yang berdusta atas nama Allah akan diberi dengan balasan azab dan mereka tidak akan diselamatkan di akhirat kelak. Tetapi mungkin ada yang kehairanan dan tertanya-tanya, kenapa Allah tidak memberikan azab terus kepada mereka semasa mereka di dunia ini lagi?

Mereka tidak diberikan dengan azab itu kerana Allah telah beri mereka masa tangguh untuk bertaubat. Allah beri peluang kepada mereka berkali-kali. Inilah kurnia Allah. Allah melambat-lambatkan azab kepada mereka. Apabila mereka melakukan perkara syirik, perkara bidaah, mereka-reka agama dan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, Allah tidak terus matikan mereka; Allah tidak terus azab kepada mereka. Itulah kurnia Allah kepada mereka.

Limpah Kurnia Allah yang besar itu juga adalah penurunan Qur’an dan penurunan Nabi Muhammad untuk mengajarkannya kepada kita.

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ

tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.

Mereka tidak bersyukur dengan dengan peluang itu apabila tidak mengamalkan tauhid, malah melakukan syirik dan bidaah dalam kehidupan mereka. Kalau mereka bersyukur, tandanya mereka akan taat kepada Allah dan ikut ajaran Nabi. Kerana syukur ditunjukkan dengan amalan ketaatan kepadaNya.

Tapi mereka yang tidak ikut ajaran Nabi, dan menambah dalam agama seperti mengatakan Sambutan Mawlid Nabi itu baik, mereka itu tidak mengikut ajaran Nabi. Mereka seperti tidak puas dengan apa yang telah Nabi bawakan dan mereka telah tambah ajaran dalam agama. Ma sha Allah.

Habis Ruku’ 6 dari 11 surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Mac 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s