Ayat 21: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 3 surah ini. Dari ayat ini sampai ayat ke 46 adalah dialog dengan pemimpin Quraish yang memuja kehidupan dunia. Oleh kerana dunia adalah perkara yang banyak melalikan manusia, maka banyak ayat tentang penipuan dunia.
وَإِذا أَذَقنَا النّاسَ رَحمَةً مِن بَعدِ ضَرّاءَ مَسَّتهُم إِذا لَهُم مَكرٌ في آياتِنا ۚ قُلِ اللَّهُ أَسرَعُ مَكرًا ۚ إِنَّ رُسُلَنا يَكتُبونَ ما تَمكُرونَ
And when We give the people a taste of mercy after adversity has touched them, at once they conspire against Our verses. Say, ” Allah is swifter in strategy.” Indeed, Our messengers record that which you conspire
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!” Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.
وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً
Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat
Kalimah أَذَقْنَا dari katadasar ذ و ق yang bermaksud ‘merasa sesuatu’. Apabila kita merasa sesuatu, kita akan ‘rasa’ nikmat itu sedikit. Ini adalah tentang manusia yang rasa senang sikit, mungkin kerana dapat rezeki dan sebagainya.
مِّن بَعْدِ ضَرَّاءَ مَسَّتْهُمْ
sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan,
Apabila manusia ditimpa oleh kesusahan, mereka akan berdoa terus kepada Allah untuk mengangkat kesusahan dan musibah itu daripada mereka. Allah dengan rahmatNya boleh mengangkat musibah itu dan menggantikan musibah itu dengan rahmat kepada manusia.
Tetapi apakah yang dilakukan oleh manusia apabila musibah itu telah diangkat?
إِذَا لَهُم مَّكْرٌ فِي آيَاتِنَا
mereka melakukan rancangan jahat menentang ayat-ayat Kami
Perkataan إِذَا bermaksud ‘serta-merta’. Selepas dapat nikmat itu, mereka akan buat rancangan jahat dengan serta merta. Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ‘rancangan jahat’ mereka itu?
Sebagai contoh, katakanlah seseorang terperangkap dalam kapal dalam ribut di lautan sampai kapalnya karam. Semasa dia mengharungi ribut itu, dia pun berdoa tanpa henti kepada Allah untuk menyelamatkannya. Kemudian dia pun diselamatkan dan dia dapat kembali ke darat. Berbagai cara Allah boleh selamatkan orang itu. Mungkin Allah beri tong untuk dia berpaut, mungkin Allah berikan papan untuk dia bergantung dan sebagainya.
Bila orang bertanya kepadanya apakah pengalamannya semasa dia dalam ribut itu dan bagaimana dia boleh selamat, lihatlah bagaimana jawapannya. Ada yang berkata: “Nasib baiklah saya berjumpa dengan tong yang menyelamatkan saya. Saya berpaut dengan tong itulah bila kapal saya karam. Kalau saya tidak berjumpa dengan tong ini tentulah saya sudah mati”.
Lihatlah bagaimana pemahaman syirik yang ada pada dirinya. Akidah syiriknya terkeluar pada kata-katanya. Sebenarnya Allah lah yang memberikan tong itu untuk menyelamatkannya daripada karam di lautan. Tetapi lelaki yang selamat itu mengatakan tong itulah yang menyelamatkannya. Sepatutnya dia kata: “syukurlah kepada Allah Ta’ala yang telah menyelamatkan saya dengan memberi tong ini”. Lihatlah perbezaan jawapan yang pertama dan jawapan yang kedua ini.
Asbabun Nuzul ayat ini: Musyrikin Mekah telah mengalami kemarau selepas mereka menolak Nabi Muhammad. Allah telah berikan kemarau kepada mereka untuk menundukkan ego mereka, supaya mereka insaf dan mahu menerima ajakan tauhid. Maka para pemimpin masyarakat musyrik itu telah menghantar wakil untuk memujuk Nabi supaya berdoa kepada Allah supaya mengangkat kemarau itu. Mereka berjanji yang kalau kemarau itu berhenti, mereka akan beriman.
Selepas sahaja Allah mengangkat kemarau itu dari mereka, mereka kembali engkar dan membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Nabi Muhammad dan menentang ayat-ayat Allah. Mereka tak mengaku yang mereka pernah kata yang mereka akan beriman kalau Allah angkat bencana kemarau itu dahulu.
Kalimah مَّكْرٌ bermaksud rancangan mereka, perbuatan mereka dan kata-kata mereka yang menolak ayat-ayat Allah. Begitulah perangai golongan musyrik terutama pemimpin masyarakat dan yang tidak beriman. Kalau susah, mereka akan minta tolong kepada Allah. Tapi bila sudah selesai masalah itu, mereka terus lupa kepada Allah. Banyak sangat yang buat macam ini.
قُلِ اللَّهُ أَسْرَعُ مَكْرًا
Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah lebih cepat melakukan rancangan”
Allah ingatkan yang Dia lebih cepat lagi dalam merancang. Apakah maksudnya? Itulah rancangan Allah untuk beri masa kepada mereka untuk melakukan dosa. Allah beri sahaja mereka buat apa yang mereka nak buat.
Tapi nanti, bila sudah mati, baru mereka tahu apakah salah mereka dan mereka akan diazab dengan sebesar-besar azab. Waktu itu Allah akan azab mereka dengan teruk seteruknya. Itulah rancangan Allah dan rancangan Allah pasti akan menang. Rancangan Allah tidak boleh dikalahkan.
إِنَّ رُسُلَنَا يَكْتُبُونَ مَا تَمْكُرُونَ
Sesungguhnya malaikat-malaikat Kami sentiasa menulis akan rancangan jahat mereka itu.
Selalunya rancangan jahat dibuat dengan cara sembunyi-sembunyi, bukan? Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang Dia tahu rancangan jahat mereka itu. Tak rahsia mana pun. Mereka sahaja yang sangka rancangan mereka itu tidak diketahui. Bukan sahaja Allah, malah malaikat yang menulis amalan manusia juga tahu apakah rancangan jahat mereka itu.
Ingatlah yang ada malaikat yang sentiasa menulis segala perbuatan kita. Jangan sangka kita akan lepas dari kesalahan kita. Adakah kita sangka kita akan lepas? Tentu tidak. Kita tahu, tapi selalunya kita lupa.
Ayat 22: Allah menyambung topik berkenaan mereka yang diberi nikmat tetapi tidak beriman dan tidak bersyukur. Allah beri contoh kapal layar dalam ayat ini.
هُوَ الَّذي يُسَيِّرُكُم فِي البَرِّ وَالبَحرِ ۖ حَتّىٰ إِذا كُنتُم فِي الفُلكِ وَجَرَينَ بِهِم بِريحٍ طَيِّبَةٍ وَفَرِحوا بِها جاءَتها ريحٌ عاصِفٌ وَجاءَهُمُ المَوجُ مِن كُلِّ مَكانٍ وَظَنّوا أَنَّهُم أُحيطَ بِهِم ۙ دَعَوُا اللَّهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ لَئِن أَنجَيتَنا مِن هٰذِهِ لَنَكونَنَّ مِنَ الشّاكِرينَ
It is He who enables you to travel on land and sea until, when you are in ships and they sail with them by a good wind and they rejoice therein, there comes a storm wind and the waves come upon them from everywhere and they assume that they are surrounded, supplicating Allah , sincere to Him in religion, “If You should save us from this, we will surely be among the thankful.”
Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.
هُوَ الَّذِي يُسَيِّرُكُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ
Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut
Allah lah yang membenarkan kita berjalan dan mengembara dalam alam ini. Allah berikan segala keperluan kita untuk mengembara dan bergerak. Sebagai contoh, Allah beri papan untuk buat kapal, Allah beri kain untuk buat layar, Allah beri lautan dan angin untuk menggerakkan kapal layar.
Di daratan, kita bergerak dengan dengan kenderaan daratan seperti kereta dan basikal. Di lautan, dengan kenderaan seperti kapal dan sampan. Allah kata, Allah yang beri segala itu kepada manusia.
حَتَّىٰ إِذَا كُنتُمْ فِي الْفُلْكِ
sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera,
Allah suruh kita bayangkan kita dalam kapal layar sekarang.
وَجَرَيْنَ بِهِم بِرِيحٍ طَيِّبَةٍ
dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik,
Allah beri angin yang baik untuk menggerakkan bahtera itu. Angin yang sesuai untuk perjalanan bahtera itu. Ini jenis kapal layar yang menggunakan angin. Tapi walaupun zaman sekarang kapal tidak lagi menggunakan angin, tetapi sedikit sebanyak angin itu membantu. Kalau arah perjalanan kapal itu dibantu oleh pergerakan angin yang menolaknya ke hadapan, pergerakan kapal itu akan lebih cepat lagi.
Allah buat iltifad dalam ayat ini. Iaitu Allah tukar kata ganti. Pada awal ayat, Allah menggunakan kata ganti kedua (كُنتُمْ), seperti Allah berkata-kata dengan kita. Tapi dalam bahagian kedua ayat ini, Allah tukar kepada kata ganti ketiga pula (بِهِم).
Ini bukanlah ada kesilapan penulisan dalam Qur’an pula sepertimana yang didakwa oleh penentang-penentang Qur’an. Ini memang adalah salah satu dari keindahan bahasa yang digunakan dalam Qur’an. Teknik ini dinamakan iltifad. Ada maksud tertentu kenapa Qur’an menggunakan teknik ini.
Kenapa Allah melakukan iltifad dalam ayat ini? Kata ganti kedua digunakan dalam ayat yang menceritakan pemberian nikmatNya. Tapi bila ditukar kepada kata ganti ketiga, ianya hendak menunjukkan ketidaksukaan Allah terhadap mereka dan perbuatan mereka.
وَفَرِحُوا بِهَا
dan mereka pun bersukacita dengannya;
Bila angin itu baik, mereka pun suka. فَرِحُوا bermaksud suka yang terlebih sangat. Jenis kesukaan yang tidak elok dalam agama. Ianya dipandang negatif sebenarnya dalam Qur’an. Itulah sebabnya Allah menggunakan kaedah iltifad dalam ayat ini.
Apakah yang Allah tak suka? Kerana mereka suka sangat sebab kapal itu bergerak dengan baik dan cepat tapi dalam masa yang sama, mereka sudah tak ingat lagi kepada Allah. Allah beri angin tapi mereka lupa siapa yang beri angin itu kepada mereka.
Kita juga kadang-kadang atau selalu juga berkelakuan begitu. Sebagai contoh, ingat tak perasaan kita bila sudah menaiki kapal terbang, bukankah kita sudah lupa Allah? Mungkin mula-mula sahaja kita baca doa naik kenderaan sebab takut kalau-kalau kapal terbang itu terhempas. Tapi sepanjang perjalanan itu, kita buang masa dengan tengok filem dalam kapal terbang sahaja sampai lupa Allah.
جَاءَتْهَا رِيحٌ عَاصِفٌ
tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang,
Cerita yang tadi dalam suasana gembira telah bertukar kepada cerita buruk dengan tiba-tiba. Tadi, angin baik yang membantu perjalanan kapal laut itu, dan sekarang angin yang kencang pula datang.
وَجَاءَهُمُ الْمَوْجُ مِن كُلِّ مَكَانٍ
dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru,
Angin itu kencang dan kuat, sampaikan menolak ombak ke arah kapal itu dari semua arah. Kapal itu terbuai-buai dengan kuat sekali.

وَظَنُّوا أَنَّهُمْ أُحِيطَ بِهِمْ
serta mereka yakin bahawa mereka diliputi oleh bahaya;
Mereka tahu yang mereka tidak boleh buat apa-apa lagi pada waktu itu. Dalam keadaan sebegitu, mereka tidak ada kawalan langsung. Mereka tidak boleh kawal angin, kawal ombak atau kapal itu. Apa yang mereka akan buat?
دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan doa mereka kepadaNya semata-mata
Waktu ini mereka minta kepada Allah sahaja. Mereka tahu mereka hanya boleh berharap kepada Allah sahaja. Tidak ada yang dapat menolong mereka selain Allah dan mereka memang tahu pun. Waktu itu, doa mereka terus kepada Allah.
Waktu itu sudah tak sempat nak tawasul kepada wasilah-wasilah mereka. Waktu itu sudah tak ingat mana Nabi, wali dan malaikat yang selalu mereka jadikan perantaraan itu. Kalau orang kita sekarang, sudah tak sempat nak panggil Nabi Khidr, Syeikh Qadir Jailani atau sesiapa sahaja yang mereka selalu puja selain Allah. Mulut mereka berkata: “Allah, Allah” sahaja. Itulah maksudnya doa mereka ‘ikhlas’ kepada Allah sahaja.
Waktu itu mereka tahu yang mereka tidak boleh mengharapkan kepada sesiapa pun lagi. Dalam keadaan lain, mungkin mereka boleh menghubungi kapal lain ataupun menghubungi pasukan penyelamat. Waktu itu, mereka tak berharap sepenuhnya dengan Allah lagi. Tetapi ada waktu-waktunya yang mereka tahu yang mereka langsung tidak boleh menghubungi sesiapa pun. Pertolongan yang mereka boleh harapkan hanyalah daripada Allah sahaja.
Kadang-kadang Allah letakkan kita di dalam satu situasi yang kita tahu tidak ada manusia ataupun apa-apa sahaja yang boleh menyelamatkan kita kecuali Tuhan sahaja. Ini supaya kita sedar bahawa pengharapan yang sebenarnya adalah dengan Allah sahaja.
لَئِنْ أَنجَيْتَنَا مِنْ هَٰذِهِ لَنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِينَ
(sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.
Mereka yang diceritakan dalam ayat ini sudah insaf apabila mereka dikenakan dengan ujian itu. Mereka berdoa terus kepada Allah dan sudah berniat nak jadi orang baik. Mereka pun mula berjanji nak buat perkara baik-baik sahaja. Tak mahu nak buat perkara khurafat lagi.
Mereka juga berjanji tidak mahu nak buat syirik lagi. Mereka nak bersyukur sentiasa kepada Allah. Dan memang mereka benar-benar ikhlas waktu itu. Tapi, hanya waktu itu sahaja. Nanti kita lihat apakah yang mereka akan lakukan selepas mereka selamat nanti.
Ayat ini juga mengingatkan kita untuk mensyukuri nikmat alat-alat pengangkutan yang Allah telah mudahkan untuk kita. Janganlah kita hanya bersyukur kepada Allah apabila kita selamat daripada malapetaka sahaja. Tetapi hendaklah kita juga bersyukur kepada Allah atas nikmat kemudahan yang telah diberikanNya kepada kita.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 5 Mac 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
2 thoughts on “Tafsir Surah Yunus Ayat 21 – 22 (Rancangan penentang wahyu)”