Tafsir Surah Yunus Ayat 1 – 3 (Salah faham bab Syafaat)

Pengenalan:

Surah Yunus ini adalah Surah Makkiah. Diturunkan selepas Surah Isra’ dan Surah Isra’ itu diturunkan selepas Nabi Isra’ Mi’raj.  Surah Yunus ini menekankan tentang tauhid kepada Allah dan juga tentang kenabian Nabi Muhammad. Inilah dua perkara yang diulang-ulang di dalam surah-surah Makkiyah. Surah ini juga mengajar kepada kita tentang Qada’ dan Qadar Allah.

Surah Yunus ini adalah tafsir bagi Surah Zumar. Dalam surah Yunus ini diberikan dengan lebih mendalam contoh-contoh supaya kita lebih faham lagi dengan perkara-perkara yang sudah disentuh dalam Surah Zumar.

Surah ini juga berkenaan Syafaat dan juga tentang Berkat. Ia hendak menekankan bahawa Allah tidak terkesan dengan kedudukan makhlukNya. Jadi kalau kita bodek wali, Nabi, malaikat pun, tidaklah Allah terkesan. Kalau dalam dunia, ini dinamakan menggunakan ‘orang dalam’ dan rasuah. Kalau ianya terjadi dalam kehidupan dunia, jangan pula kita rasa yang dalam kerajaan Allah pun begitu juga.

Ramai yang sudah meminta syafaat kepada mereka yang sudah mati. Itu adalah perbuatan yang karut dan syirik. Kerana yang diminta tolong itu sudah mati, maka itu adalah perbuatan yang sia-sia. Mereka yang telah mati itu tak tahu pun apa yang kita minta kepada mereka.

Keduanya, kalaulah ada makhluk yang boleh paksa Allah (untuk melakukan sesuatu) itu wujud, mestilah dia akan duduk di sebelah Allah di Mahsyar nanti. Tapi ayat 4 surah ini memberitahu kita bahawa semua makhluk akan berada di hadapan Allah menunggu untuk diadili juga. Jadi tidak ada sesiapa yang boleh tolong sesiapa, melainkan kalau diberikan izin oleh Allah.

Suruh Yunus ini ada banyak kaitan dengan Surah Hud. Ada penyambungan kisah antara keduanya.

Surah Makkiah memberi semangat kepada Muslim yang awal untuk bersabar dan berpegang dengan agama. Banyak perkara penting diulang-ulang supaya lebih memantapkan lagi pemahaman manusia.


Ayat 1:

الر ۚ تِلكَ آياتُ الكِتابِ الحَكيمِ

Sahih International

Alif, Lam, Ra. These are the verses of the wise Book

Malay

Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Qur’an) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.

الر

Alif laam raa.

Kita tidak tahu makna huruf ini kerana ianya adalah perkara ghaib.

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang dipotong-potong. Kita tidak tahu dengan pasti apakah maksudnya. Ia tidak difahami kerana tidak diajar oleh Nabi dan sahabat pun tidak tanya maksudnya kepada Rasulullah.

Ayat-ayat muqatta’ah ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah dan NabiNya sampaikan kepada kita sahaja. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqatta’ah ini, tapi ianya bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Hanya ayat kedua dari surah ini sahaja yang kita boleh nak mula tafsir. Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tak mahu ajar kepada kita, kita tak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah apabila Allah beri ilmu pengetahuan kepada kita. Allah akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia nak berikan pengetahuan.

Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tak beritahu kepada kita. Ianya merendahkan diri kita supaya kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya, melainkan apa yang Allah berikan kepada kita sahaja.

Bangsa Arab di zaman Nabi amat mementingkan bahasa. Mereka mengadakan pertandingan sajak dan syair. Sampaikan kalau sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqatta’ah ini, ianya menarik perhatian orang Arab.

Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini. Kerana kebiasaannya, kalau dieja huruf alif, lam dan ra’, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘alar’. Tapi tidak dalam kes Surah Yunus ini kerana huruf itu disebut satu persatu. Maka perkara ini  membuatkan mereka tertanya-tanya.

Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqatta’ah ini adalah untuk menarik perhatian manusia dan jin untuk mendengarnya. Dan ayat-ayat selepas huruf muqatta’ah adalah tentang Qur’an, maka mereka mengambil maksud bahawa Allah hendak menarik perhatian manusia kepada Qur’an.

تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ

Itulah ayat-ayat Al Qur’an yang penuh hikmah.

Qur’an ini bukanlah kitab yang biasa. Ianya adalah satu kitab yang penuh hikmah. Jadi jangan kita pandang ringan kepada Qur’an ini. Sesiapa yang belajar tafsir Qur’an akan mendapat hikmah. Oleh kerana itu, kalau kita memerlukan panduan dalam kehidupan kita maka kita hendaklah merujuk kepada Qur’an. Panduan itu bukan hanya untuk dunia sahaja, tapi untuk akhirat.

Adakah Qur’an yang penuh hikmah ini hanya dibaca sahaja tanpa dipelajari isi kandungnya? Tentu tidak, tapi malangnya, itulah yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Ada yang hari-hari membaca Qur’an tetapi mereka tidak mengambil pelajaran daripada apa yang mereka baca itu kerana mereka tidak faham apa yang dibaca.

Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan yang bertentangan dengan ayat-ayat yang mereka sendiri baca. Kerana mereka macam burung kakak tua yang menyebut sahaja dengan mulut mereka, tetapi tidak faham apa yang mereka sebutkan.

Perkataan تِلْكَ (itulah) adalah kata penunjuk yang bermaksud sesuatu yang ditunjuk itu adalah jauh. Kenapakah begitu? Perkataan تِلْكَ digunakan dalam Bahasa Arab untuk dua kegunaan: Pertama, untuk memberitahu kepada kita bahawa sesuatu yang ditunjuk itu jauh. Keduanya, untuk memberitahu kepada kita bahawa perkara yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang tinggi dan mulia.

Penggunaan kedua inilah yang digunakan dalam ayat ini. Dalam perkataan تِلْكَ ini pun Allah sudah isyaratkan tentang kehebatan Qur’an itu. Jangan kita pandang ringan sahaja Qur’an yang di tangan kita kerana ia amat hebat. Belajarlah apakah maksud yang hendak disampaikan oleh Allah.

Perkataan الْحَكِيمِ dari katadasar ح ك م yang bermaksud ‘kebijaksanaan’. Oleh itu, perkataan الْحَكِيمِ boleh bermaksud sesuatu yang ‘penuh kebijaksanaan’.

Kalimah الْحَكِيمِ juga boleh dikatakan diambil dari kata dasar حُكُم (hukum). Ia bermaksud hukum agama yang menentukan manakah yang halal dan manakah yang haram. Terdapat banyak sekali ayat-ayat hukum dalam Qur’an ini. Hukum itu semuanya untuk kebaikan kita juga. Ianya diberikan kepada kita supaya kehidupan kita selamat dari sengsara dunia dan sengsara akhirat.

Selain dari itu, hukum-hukum yang diberikan adalah untuk memberitahu kita apa yang perlu kita lakukan dan apa yang kita perlu tinggalkan. Sebagai orang mukmin, perlulah kita mengetahuinya dan taat dalam mengamalkannya. Kalau tidak belajar tafsir Qur’an, bagaimana kita boleh tahu apakah yang kita perlu lakukan?

Secara ringkasnya, dalam ayat ini, Allah memperkenalkan Qur’an kepada kita. Dalam ayat yang pendek, Allah menyebut sifat-sifat Qur’an kepada kita supaya kita tahu dan kita ingat kembali kepentingan Qur’an.


Ayat 2: Sekarang kita masuk ke Perenggan Makro ke 2 surah ini. Dari ayat ini sampai ke ayat 20 adalah ayat-ayat dialog dengan Musyrikin Mekah yang menolak Hari Kebangkitan.

أَكانَ لِلنّاسِ عَجَبًا أَن أَوحَينا إِلىٰ رَجُلٍ مِنهُم أَن أَنذِرِ النّاسَ وَبَشِّرِ الَّذينَ آمَنوا أَنَّ لَهُم قَدَمَ صِدقٍ عِندَ رَبِّهِم ۗ قالَ الكافِرونَ إِنَّ هٰذا لَساحِرٌ مُبينٌ

Sahih International

Have the people been amazed that We revealed [revelation] to a man from among them, [saying], “Warn mankind and give good tidings to those who believe that they will have a [firm] precedence of honor with their Lord”? [But] the disbelievers say, “Indeed, this is an obvious magician.”

Malay

Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): “Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: “Sebenarnya (Al-Qur’an) ini ialah sihir yang terang nyata.”

أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا

Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia

Allah marah kepada manusia yang rasa hairan bagaimana wahyu boleh diturunkan kepada manusia. Perkataan أَكَانَ  boleh dibaca: “Adakah patut?” Adakah patut mereka berfikiran begini?

Ayat ini juga bermaksud ‘takjub’. Iaitu takjubnya kita dengan mereka yang rasa hairan dengan penurunan wahyu ini. Macam kalau ada orang yang melakukan perkara yang pelik, kita akan takjub dengan dia. Kita kata dalam hati kita: “kenapalah dia buat perkara macam ni?”

أَنْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ رَجُلٍ مِّنْهُمْ

bahwa Kami mewahyukan kepada seorang laki-laki dari kalangan mereka:

Kalimah رَجُلٍ (lelaki) yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad. Mereka yang engkar merasa hairan bagaimana seorang manusia biasa boleh dapat wahyu? Pada mereka, sepatutnya wahyu itu disampaikan oleh malaikat. Tapi dakwah tidak sesuai disampaikan oleh makhluk yang lain jenis kerana ianya tentu tidak sampai. Kerana itu, Nabi-nabi dibangkitkan dari jenis manusia.

Kalimah مِّنْهُمْ bermaksud ‘dari kalangan mereka’. Mereka hairan kenapa ianya diturunkan kepada seorang lelaki berbangsa Arab. Sudahlah manusia, dari kalangan bangsa Arab pula. Tambahan pula pada mereka, bangsa Arab dari dulu lagi tidak mendapat wahyu, tidak ada kitab. Ini pun tidak ada masalah sebenarnya dan tidaklah sepatutnya menghairankan. Kerana sepatutnya yang memberi peringatan hendaklah datang dari kalangan penduduk setempat, yang tahu bahasa, tahu amalan dan adat resam mereka. Supaya lebih jelas apa yang hendak disampaikan.

Musyrikin Mekah kata ada lagi yang lebih hebat yang mereka rasa lebih layak untuk mendapatkan wahyu kalau dibandingkan dengan Nabi Muhammad. Mereka kata ada dua orang lagi yang lebih sesuai untuk diberikan wahyu oleh Allah. Ini kerana mereka memandang Nabi Muhammad itu tidak ada kedudukan dalam masyarakat.

Pada mereka, Nabi Muhammad itu membaca tidak tahu, tidak pandai berpuisi, anak yatim piatu, miskin dan macam-macam lagi kekurangan yang mereka nampak pada Nabi Muhammad pada mata mereka. Ini sudah kurang ajar – macam lah Allah tidak tahu bagaimana hendak memilih siapa yang Dia hendak berikan wahyu. Sebenarnya tidak layak mereka bertanya dan mempersoalkan keputusan Allah.

Begini jugalah orang kita sekarang. Kadang-kadang ada antara kita yang asalnya tidak pandai agama, baca Qur’an pun tak lancar. Tapi mereka telah diberikan fahaman Qur’an kerana mereka belajar. Adakah kita rasa hairan dengan mereka itu sepertimana Musyrikin Mekah hairan dengan Nabi Muhammad yang mendapat wahyu?

Kerana sikap yang sama, ramai dari orang kita pun rasa macam tak sesuai kalau seseorang yang dulunya nakal, tapi sekarang sudah pandai agama? Sudah boleh berdakwah? Sudah boleh menegur mereka? Mereka pun mulalah mengejek pendakwah itu dengan berkata: “Bukan kau dulu nakal, suka kacau sana dan sini, kan? Sekarang kau pula nak nasihat kepada kami?”.

Ingatlah bahawa Allah boleh memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Bukan kedudukan kita untuk mempersoalkan hak Allah itu.

أَنْ أَنذِرِ النَّاسَ

“Berilah peringatan kepada manusia

Apakah arahan dalam wahyu itu? Dalam wahyu itu ada arahan untuk memberi peringatan dan ancaman kepada manusia. Memberitahu kepada manusia supaya jangan berbuat syirik, jangan kufur, jangan buat bidaah. Dan juga beritahu kepada mereka yang kalau engkar arahan Allah, maka mereka akan mendapat balasan buruk di Akhirat kelak.

Arahan itu memang asalnya diberikan kepada Nabi, tapi kita yang membaca ayat-ayat ini sekarang, telah disampaikan dengan arahan itu juga. Maka, kita juga hendaklah berdakwah dan menyampaikan peringatan dan ancaman ini kepada manusia. Kalau kita biarkan sahaja manusia ini dengan kehendak mereka, mereka akan lalai dan mereka akan melakukan kesyirikan dan bidaah akan berleluasa.

وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا

dan gembirakanlah orang-orang beriman

Dan kepada yang beriman, berikan berita gembira kepada mereka. Maknanya, yang engkar, berikan ancaman; kepada yang beriman, berikan berita gembira kepada mereka. Itulah dua tugas Nabi Muhammad dan juga kepada pendakwah.

Kalau kita lihat dalam susunan, Allah menyebut tentang ancaman sebelum menceritakan tentang berita gembira. Ini bermaksud, surah ini akan mengandungi banyak ayat-ayat ancaman.

أَنَّ لَهُمْ قَدَمَ صِدْقٍ عِندَ رَبِّهِمْ

bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka”.

Inilah balasan yang akan diberikan kepada mereka yang beriman.

Kalimah قَدَمَ dari katadasar yang bermaksud ‘melangkah’. قَدَمَ juga digunakan untuk bermaksud ‘kedudukan’ dan ‘status’ seseorang itu kerana di situlah dia berdiri.

Kalimah صِدْقٍ pula bermakna ‘kebenaran’. Ia juga digunakan untuk menunjukkan ‘kebaikan’.

Apabila digabungkan perkataan قَدَمَ صِدْقٍ, ia boleh membawa maksud beberapa makna. Satu maksudnya adalah orang yang beriman akan mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah. Dalam Qamar:55 pun telah digunakan perkataan yang hampir sama:

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.

قَالَ الْكَافِرُونَ

Orang-orang yang engkar berkata:

Majoriti dari manusia akan menolak dakwah yang disampaikan kepada mereka. Macam-macam tuduhan dan alasan yang diberikan oleh mereka untuk menolak ajakan tauhid itu. Marilah kita lihat salah satu dari tuduhan-tuduhan mereka untuk menolak seruan dakwah itu.

Hebatnya Qur’an ini, segala bentuk penolakan dari manusia sudah disebut siap-siap dalam Qur’an ini. Jadi orang yang belajar tafsir Qur’an, mereka tidak hairan dengan cara penolakan manusia kerana semuanya telah disebut dalam Qur’an. Sebelum manusia sebut pun Allah sudah sebut dalam Qur’an untuk kita tahu dulu.

إِنَّ هَٰذَا لَسَاحِرٌ مُّبِينٌ

“Sesungguhnya orang ini (Muhammad) benar-benar adalah tukang sihir yang nyata”.

Lihatlah bagaimana teruknya tuduhan yang mereka berikan kepada Nabi Muhammad. Mereka kata Nabi Muhammad itu tukang sihir pula. Sedangkan tidak sama seorang Nabi dan seorang Tukang Sihir.

Pangkat kenabian hanya boleh dianugerahkan oleh Allah sahaja. Tidak ada sesiapa yang boleh mencapai kedudukan seorang Nabi tanpa dilantik sendiri oleh Allah. Sedangkan sesiapa sahaja yang belajar dan berusaha untuk mengamalkan amalan sesat, boleh menjadi ahli sihir. Itulah sebabnya banyak guru-guru agama dan guru-guru Pondok yang menjadi tukang sihir kerana mereka boleh melakukan perkara-perkara yang ajaib.

Ada yang boleh menghilangkan diri, tampar tangan keluar api, tunjuk monyet di pokok boleh jatuh dan sebagainya. Itu semua adalah ilmu sihir. Mereka mendapat ilmu sihir itu kerana mereka mengamalkan wirid-wirid keramat yang bukannya daripada ajaran Nabi tapi rekaan manusia dan Syaitan.

Tujuan Nabi adalah untuk membawa manusia kepada iman dan keselamatan mereka di dunia dan di akhirat. Sedangkan tujuan ahli sihir adalah untuk mendapat duit. Itulah sebabnya guru-guru agama itu akan menggunakan kelebihan-kelebihan sihir yang mereka ada itu untuk menipu manusia supaya percaya kepada mereka dan memberi imbuhan kewangan kepada mereka.

Yang jahil agama akan pergi kepada guru itu jikalau mereka ada hajat dan mereka akan beri upah kepada guru-guru itu. Contohnya, mereka akan minta guru itu buang sial yang ada pada mereka. Maka, selepas dimandikan dan dibacakan doa, mereka akan beri upah kepada guru itu. Tak jauh beza dari sami Hindu.

Lihatlah bagaimana jauhnya perbezaan antara seorang Nabi dan seorang ahli sihir. Lalu bagaimana Musyrikin Mekah itu sampai sanggup menuduh Nabi Muhammad sebagai ahli sihir? Mereka sudah tidak menggunakan akal mereka lagi, tapi mereka sudah tunduk kepada nafsu mereka yang menolak kebenaran yang sampai kepada mereka.

Dalam masa yang sama, kalau kita lihat, apabila mereka mengatakan yang Nabi Muhammad menggunakan sihir apabila baginda membacakan ayat-ayat Qur’an, itu sudah menunjukkan mereka terpegun dengan Qur’an. Itu bermakna mereka tidak dapat menjelaskan ayat-ayat Qur’an itu sebagai perkara yang biasa. Ianya tentu perkara yang luar biasa.

Dan selalunya sihir itu adalah dalam bentuk perbuatan, tapi sekarang mereka mengatakan yang perkataan pun adalah sihir juga. Itu menunjukkan mereka sendiri sudah nampak yang Qur’an itu bukan perkara yang biasa. Tapi mereka tak boleh nak terima, jadi mereka katakan yang Qur’an itu adalah sihir.

Zaman sekarang, memanggil seseorang sebagai tukang sihir kepada pendakwah tauhid adalah dengan mengatakan pendakwah tauhid itu sesat. Kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an, apabila disampaikan ajaran dari Qur’an, mereka akan kata itu adalah ajaran yang sesat.

Mereka kata guru yang mengajar tafsir Qur’an mengamalkan ilmu salah kerana anak murid mereka taat dengan guru itu. Itu semua adalah antara tohmahan yang diberikan kepada pendakwah tauhid. Kalau Nabi pun kena tuduh, begitulah juga kepada penyeru tauhid. Akan ada sahaja tentangan dari manusia yang engkar.


Ayat 3: Dalil kenapa kita kena taat kepada Allah.

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ في سِتَّةِ أَيّامٍ ثُمَّ استَوىٰ عَلَى العَرشِ ۖ يُدَبِّرُ الأَمرَ ۖ ما مِن شَفيعٍ إِلّا مِن بَعدِ إِذنِهِ ۚ ذٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُم فَاعبُدوهُ ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Sahih International

Indeed, your Lord is Allah, who created the heavens and the earth in six days and then established Himself above the Throne, arranging the matter [of His creation]. There is no intercessor except after His permission. That is Allah , your Lord, so worship Him. Then will you not remember?

Malay

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu – setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah

Allah mengingatkan manusia siapakah Tuhan mereka. Peringatan ini diberikan termasuk kepada puak musyrikin yang menyembah juga sembahan yang lain. Walaupun mereka juga menyembah kepada yang lain, tapi Allah tetap Tuhan mereka.

Rabb bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara dan memiliki semua makhluk. Semua keperluan makhluk diberi olehNya.

الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

Yang menciptakan langit dan bumi

Alam ini bukan terjadi sendiri seperti kata saintis yang atheis itu, tetapi Allah lah yang menjadikan alam ini. Adakah lagi tuhan yang lain yang boleh menjadikan alam ini? Tentu tidak ada.

فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

dalam enam masa,

Allah beritahu dalam ayat ini bahawa alam ini dijadikan dalam ‘enam masa’. Tapi dengan tepat berapa lama, kita tidak dapat tahu. Tiada ada sesiapa yang tahu melainkan Allah sahaja. Ada pendapat yang mengatakan bahawa satu hari itu sama dengan seribu tahun dalam kiraan kita di dunia ini sekarang.

Allah boleh sahaja menjadikan alam ini dalam sekelip mata. Tapi Allah hendak mengajar kita bahawa dalam melakukan perkara yang penting, perlu mengambil masa yang lama. Maka ini mengajar kita yang kita perlu ada perancangan dalam kehidupan kita.

ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ

kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy

Ini adalah ayat mutashabihah, yang kita tidak tahu apakah maksudnya. Semua Imam mazhab dan Imam hadis menerima yang Allah bersemayam di Arash. ‘Bersemayam’ itu dalam bahasa Melayu kita adalah ‘duduk’. Tapi tentulah Allah tidak duduk sama macam kita duduk. Hanya puak Jahmiyah sahaja yang menolak Allah bersemayam di Arash.

Ayat mutashabihah adalah ayat-ayat yang kita faham apabila kita baca, tapi kita tidak tahu cara bagaimana. Kita tahu Allah duduk di Arash, tapi bagaimana caranya, kita tidak tahu. Allah bersemayam selayak dengan kedudukanNya.

Ayat ini adalah antara ayat yang memecah belahkan umat Islam di negara kita. Panjang perbincangan tentang ayat ini. Kita tidak mahu memanjangkan perbincangan itu di sini. Kita sebagai seorang Islam, sepatutnya menerima apa sahaja yang Allah sampaikan dalam ayatNya. Bukan layak bagi kita untuk mengubah maksud yang telah disampaikan oleh Allah. Kalau Allah kata Dia bersemayam di Arash, maka begitulah yang kita terima. Kita taat dan kita patuh.

Ramai yang menafsirkan ayat ini dengan maksud lain. Antaranya mereka mengatakan yang ‘istiwa’ dalam ayat ini bermaksud ‘memerintah’. Tapi adakah begitu pemahaman Nabi dan para sahabat?

Dalam menafsirkan sesuatu ayat, kita hanya menerima tafsir yang sahih sahaja. Antaranya sesuatu ayat itu ditafsirkan sendiri oleh ayat Qur’an yang lain; ataupun dari hadis Nabi; atau dari kata-kata sahabat kerana sahabat faham Qur’an dan mereka belajar sendiri dengan Nabi; jikalau selain dari itu, kita tidak berani menafsirkan sesuatu ayat itu mengikut pemahaman akal kita.

Oleh itu, secara ringkasnya, kita menerima bahawa Allah bersemayam di Arash, tetapi dengan cara yang bagaimana, kita tidak tahu. Bukan tugas kita untuk memikirkan. Ini adalah antara perkara yang kita tidak perlu fikirkan panjang-panjang.

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ

Dia mengatur segala urusan.

Kerana Dia memiliki makhluk, maka Dia akan menguruskan keperluan makhluk itu. Seperti kita perlu makan, Allah lah yang beri kita makan. Apabila ada rezeki kita telah disediakan oleh Allah, ianya akan tersedia untuk kita. Makanan kita itu sudah siap menunggu kita kerana ianya telah ditetapkan oleh Allah.

Setiap perkara samada kecil atau besar adalah dalam perancangan Allah. Dalam Saba’:3 Allah berfirman:

لَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ وَلَا أَصْغَرُ مِنْ ذَٰلِكَ وَلَا أَكْبَرُ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

Tidak ada tersembunyi daripada-Nya sebesar zarrah pun yang ada di langit dan yang ada di bumi dan tidak ada (pula) yang lebih kecil dari itu dan yang lebih besar, melainkan tersebut dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)”,

Ini bermakna Allah bukan sahaja menjadikan alam kemudian biarkan begitu sahaja. Allah uruskan alam ini dari sekecil-kecilnya hingga ke sebesar-besarnya. Dia berkuasa atas segalanya. Tidak ada yang berlaku tanpa pengetahuanNya dan izinNya.

Tidaklah Allah disibukkan oleh satu masalah sampai tidak dapat menyelesaikan masalah yang lain; Allah tidak bosan dengan desakan makhluk yang meminta kepadaNya; ketika mengatur perkara yang besar, tidaklah membuatnya lalai untuk mengatur perkara yang kecil.

Kadang-kadang kita tak nampak pun kepentingan perkara-perkara yang terjadi dalam alam ini. Sebagai contoh, apabila banjir, kita akan marah. Tapi tahukah anda kenapa perlu banjir itu? Kerana banjir lah baru ikan dapat bertelur. Dan kita pula memerlukan ikan sebagai makanan kita.

Begitu juga dengan hujan yang turun. Kita mungkin tidak suka, tapi dengan hujan itulah yang menghidupkan rumput sebagai makanan kepada haiwan. Kita memang tidak makan rumput, tapi kita makan haiwan ternakan itu.

Allah tak peduli kita suka atau tidak, tahu atau tidak keperluan kita kepada sesuatu itu, tapi Allah akan lakukan juga. Semua itu dalam perancangan Allah untuk mengurus makhlukNya untuk hidup. Allah Maha Tahu keperluan kita dan Dia akan memberi mengikut keperluan kita.

مَا مِن شَفِيعٍ إِلَّا مِن بَعْدِ إِذْنِهِ

Tiada seorang pun yang boleh memberi syafa’at kecuali sesudah izin-Nya.

Syafaat bermaksud ‘pertolongan’. Syafaat hanya boleh diberikan apabila Allah izinkan. Sama ada syafaat di dunia atau di akhirat.

Musyrikin Mekah tahu yang Allah itu Tuhan yang menciptakan mereka dan menjadikan alam ini. Tapi pada fahaman mereka, mereka akan lebih dekat dengan Allah kalau mereka menggunakan syafaat dari yang lain. Iaitu mereka akan bertawasul kepada Nabi, wali, malaikat atau jin. Niat mereka adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah. Sebagaimana Allah berfirman dalam Zumar:3

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَىٰ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya”. Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar.

Begitulah juga masyarakat Islam yang salah faham dengan hal syafaat ini, maka mereka minta pertolongan dari wali, kubur, Nabi, malaikat dan sebagainya.

Apabila kita rasa ada orang yang akan beri ‘pertolongan’, maka kita akan rasa selamat. Kesannya kita sudah tak sembah Allah betul-betul. Sudah tidak mengharap kepada Allah. Begitulah yang terjadi kepada Musyrikin Mekah. Mereka sangka, kerana mereka sudah selalu puja dan sembah berhala yang mereka anggap sebagai perantara mereka dan Allah, mereka akan selamat.

Begitu juga mereka anggap malaikat adalah anak-anak perempuan Allah dan mereka ada juga sembah malaikat. Maka mereka rasa sudah selamat. Mereka sudah tak puja Allah sahaja, mereka sudah tidak berharap dengan Allah sahaja. Mereka berharap juga kepada Allah tapi dalam masa yang sama mereka ada sembahan lain dan tempat pengharapan lain.

Masyarakat Islam kita pun sudah bergerak ke arah itu. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana semakin ramai yang suka memuja Nabi Muhammad. Kerana mereka sangka Nabi Muhammad boleh memberi Syafaat kepada mereka. Maka, mereka buat majlis Mawlid Nabi, majlis selawat satu stadium dan sebagainya.

Mereka buat semua itu dengan harapan, apabila mereka memuja Nabi Muhammad, minta pertolongan kepada Nabi Muhammad, mereka akan diselamatkan oleh baginda. Mereka yang buat begitu adalah mereka yang salah faham dengan maksud Syafaat. Penerangan tentang syafaat ini ada banyak lagi dalam ayat-ayat lain. Apabila kita kumpulkan semua ayat-ayat itu, maka kita akan dapat pemahaman yang lebih jitu.

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ

(Dzat) yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu,

Allah yang mencipta alam ini, menguruskan segalanya itulah Tuhan kamu, bukannya yang lain. Kalau ada yang boleh cipta alam lain, boleh pula tadbir alam itu, barulah layak dipanggil tuhan. Tapi tidak ada lain lagi yang boleh melakukan seperti Allah. Maka, kalau Dia lah Tuhan kita, apa yang perlu lakukan?

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah Dia.

Inilah tuntutan hidup kita. Hanya Allah sahaja yang layak disembah. Hanya Allah sahaja yang layak dipuja, diibadati, tempat kita minta doa, tempat kita tawakal, tempat kita minta pertolongan, tempat kita berharap. Bukanlah kita lakukan perkara-perkara itu dengan yang selain Allah.

Malangnya, kerana tidak faham konsep ‘sembah’, maka banyak kalangan masyarakat kita telah melakukan sembahan kepada selain Allah. Mereka telah berdoa kepada selain Allah, puja selain Allah, mengharap kepada selain dari Allah dan sebagainya.

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maka mengapakah kamu tidak mengambil pelajaran?

Mengapa kamu tidak faham bahawa hanya Allah sahaja yang layak disembah? Musyrikin Mekah tahu bahawa Allah yang menjadikan alam ini dan Dia adalah Tuhan. Tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga ilah yang lain.

Begitu juga lah kebanyakan masyarakat Islam kita yang tidak belajar tafsir Qur’an. Mereka tidak faham bagaimana konsep *hanya* menyembah Allah. Kerana itu mereka ada amalan ibadat yang dilakukan kepada selain dari Allah juga.

Antaranya, mereka akan berdoa kepada selain dari Allah. Sebagai contoh, puak-puak Habib sekarang mengajar masyarakat kita untuk berdoa kepada ahli kubur seperti yang mereka lakukan. Itu adalah satu perkara syirik.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 4 Mac 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibnu Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Yunus Ayat 1 – 3 (Salah faham bab Syafaat)”

    1. Allah di langit, ada dalil dalam Quran dan hadis.
      Allah wujud tanpa tempat, tidak ada dalil. Agama kita ini bagus, semua ada dalil. Tiada dalil, tak pakai.

      Tuduh saya Wahabi, ini confirm salah dan berdosa. Bila nak minta maaf?

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s