Tafsir Surah al-Qamar Ayat 48 – 55 (Semua perbuatan akan ditulis)

Ayat 46:

بَلِ السّاعَةُ مَوعِدُهُم وَالسّاعَةُ أَدهىٰ وَأَمَرُّ

Sahih International

But the Hour is their appointment [for due punishment], and the Hour is more disastrous and more bitter.

Malay

(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.

بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ

Sebenarnya hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka

Allah telah beri janji bahawa mereka itu akan diazab. Azab yang mereka kena di dunia itu tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan azab neraka. Walaupun mereka selamat di dunia, mereka tidak akan selamat di Akhirat.

وَالسَّاعَةُ أَدْهَىٰ وَأَمَرُّ

dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit.

Kalimah أَدْهَىٰ dari kata dasar د ه ي yang bermaksud musibah yang manusia tidak mampu nak tanggung, yang tak boleh dielak. أَدْهَىٰ bermaksud ‘lebih dahsyat’. Maknanya azab neraka lebih dahsyat lagi dari azab dunia.

Kalimah أَمَرُّ bermaksud ‘lebih pahit’, lebih teruk lagi. Azab Neraka itu lebih pahit, lebih teruk lagi dari azab dunia.

Maka azab nerakalah yang kita kena takut. Kalau kita selamat di dunia, belum tentu selamat di akhirat nanti. Kita kena sentiasa berhati-hati dalam segala perbuatan kita. Kalau silap langkah, kita akan terjerumus ke dalam lembah kehinaan di Akhirat kelak.


Ayat 47:

إِنَّ المُجرِمينَ في ضَلٰلٍ وَسُعُرٍ

Sahih International

Indeed, the criminals are in error and madness.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api Neraka.

Golongan Musyrikin Mekah dalam kebengongan. Kalimah سعر dari kata dasar س ع ر yang bermaksud ‘menyalakan api’, dan boleh juga bermaksud ‘menjadi gila’. Maka kerana itu ada dua terjemahan ini yang berbeza-beza, mengikut pilihan penterjemah.

Maka selain dari bermaksud mereka masuk api neraka, ia juga boleh bermaksud golongan penentang itu dalam kegilaan. Begitulah juga keadaan puak-puak Musyrikin dan ahli-ahli bidaah sekarang, apabila kita memberitahu kepada mereka ajaran tauhid yang ada di dalam Al-Qur’an. Mereka akan melihat kita dengan penuh kebingungan (kerana tidak faham-faham). Ajakan tauhid itu amat asing dan pelik sangat kepada mereka, sampai mereka jadi bingung.

Oleh itu mereka hanya dapat melihat kita dengan penuh kebingungan. Mereka nak terima apa hujah yang kita bawa, ianya berlawanan dengan pemahaman mereka; tapi hendak dilawan, mereka tak berani kerana ayat Al-Qur’an yang kita bawakan. Maka, mereka jadi bengong.

Mereka bingung dengan hal agama. Sebagai contoh, mereka diajar bagaimana kalau mati, perlu ditalqin si-mati dalam kubur itu. Semasa panggil si-mati dalam kubur itu, kena ‘bin’kan kepada emaknya, kononnya kalau di’bin’kan kepada ayah, tak sampai talqin itu. Dari ajaran mana, kita pun tak tahu.

Talqin ini adalah ajaran yang bidaah. Adakah boleh kita nak ajar aqidah kepada mereka yang sudah mati? Kalau begitu, tak perlu belajar agama semasa hidup, tunggu mati sahaja. Dan alangkah ruginya mereka yang mati dalam hutan dibaham harimau, sebab tidak ditalqinkan lagi.

Atau rugilah orang Islam yang tidak tinggal di Malaysia ini sebab ajaran mazhab mereka tidak ada bacaan talqin. Adakah begitu? Ini adalah kerana tempat lain tidak ada talqin sebab ini bukanlah ajaran Islam tapi rekaan manusia sahaja. Dan ianya berlawanan dengan ayat Al-Qur’an Fathir:22

وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَن يَشَاءُ وَمَا أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ

dan tidak (pula) sama orang-orang yang hidup dan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan kamu sekali-kali tidak boleh menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.

Kalau kita berikan hujah yang jelas ini untuk mengatakan bahawa orang mati tidak boleh dengar apa yang kita katakan kepada mereka, mereka akan termanggu-manggu kebingungan kerana mereka tidak tahu ada dalil selama ini yang mengatakan bahawa orang yang sudah mati tidak boleh mendengar. Mereka hanya ‘sangka’ sahaja orang mati dalam kubur itu boleh dengar.

Mereka terima tanpa usul periksa kerana talqin itu bukan dibaca oleh orang lain, tapi tok-tok imam mereka, ustaz-ustaz mereka – jadi mereka rasa, takkan salah kalau perbuatan itu dibuat oleh mereka yang ‘alim’.

Oleh itu ada dua makna kalimah سعر ini:

1. Kalimah سُعُرٍ ditafsirkan dengan ‘gila’. Mereka gila kerana masih lagi mahu menolak ajakan dakwah dan tidak takut azab neraka. Kalau mereka takut azab neraka, tentulah mereka akan mengubah cara hidup mereka.

2. Kalimah سُعُرٍ juga boleh ditafsirkan sebagai ‘Api Neraka’. Oleh kerana mereka ضَلَالٍ (sesat) di dunia, mereka akan merasa سُعُرٍ (api) di neraka. Ini kerana katadasar س ع ر bermaksud menyalakan api, membangkitkan kerosakan, gila, dirasuk, lapar dan dahaga yang amat sangat.


 

Ayat 48:

يَومَ يُسحَبونَ فِي النّارِ عَلىٰ وُجوهِهِم ذوقوا مَسَّ سَقَرَ

Sahih International

The Day they are dragged into the Fire on their faces [it will be said], “Taste the touch of Saqar.”

Malay

Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka.

يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِي النَّارِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ

(Ingatlah) pada hari mereka diseret di neraka atas muka mereka.

Mulanya mereka akan kena ikat, kemudian kena seret pula. Mereka kena seret kerana mereka tak mahu pergi ke neraka sendiri. Mereka nak lari jauh, tapi mereka akan kena tangkap, diikat, kemudian diseret.

Alangkah hinanya, alangkah sakitnya. Mereka dipegang di kaki dan muka mereka terseret di tanah. Kalau kena seret belakang badan pun sudah sakit, apatah lagi kalau diseret di atas muka!

 

ذُوقُوا مَسَّ سَقَرَ

(Dikatakan kepada mereka): “Rasakanlah sentuhan api neraka!”

Kalimah سَقَرَ itu adalah ‘bahang api neraka’. Bukan kena api neraka lagi, tapi kalau kena bahang pun sudah boleh terbakar. Bayangkan kalau kita buka oven yang panas, walaupun kita tak kena apinya, tapi kita pun sudah rasa bahangnya. Itu baru api oven, bagaimana pula kalau kena terus api neraka?

Sebagai seorang yang beriman dengan Hari Akhirat, kita kena tahu hal syurga dan neraka. Dalam Al-Qur’an telah disebut tentang neraka dan ada lebih banyak maklumat lagi maklumat tentangnya ada dalam hadis. Jadi kalau sesiapa yang mengamalkan sunnah, mestilah tahu tentang syurga dan neraka. Barulah dikatakan beriman dengan hari akhirat.

Kalau setakat tahu yang Syurga itu ‘tempat sedap’, Neraka itu ‘ada api’, itu belum boleh dikira beriman lagi dengan Hari Akhirat.


 

Ayat 49: Ini adalah ayat Dakwa Surah ini. Allah telah takdirkan semuanya, maka kita wajib mempercayai dan menerimanya. Mesti ada takut dan harap terhadap Allah.

Tapi dalam masa yang sama, jangan lupa jasa-jasa Allah terhadap kita. Kalau orang yang senang kenang jasa Allah, itu alamat yang dia itu senang mendapat taqdir yang baik.

إِنّا كُلَّ شَيءٍ خَلَقنٰهُ بِقَدَرٍ

Sahih International

Indeed, all things We created with predestination.

Malay

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).

 

Musyrikin Mekah sangka mereka akan terus berkuasa, tapi Allah memberitahu dalam ayat ini, bahawa semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Berapa lama mereka akan berkuasa juga telah ditetapkan oleh Allah. Berapa lama mereka hidup juga telah ditentukan. Ditentukan oleh siapa? Oleh Allah yang Maha Berkuasa.

Semuanya yang ada dalam alam ini adalah mengikut ketentuan Allah. Sebagai contoh, lihatlah tangan kita. Betapa cantiknya dengan bilangan jarinya, dengan saiznya yang sesuai dan sebagainya.

Begitu juga lihatlah kejadian matahari yang Allah ciptakan. Tidaklah Allah buat matahari itu sembrono sahaja. Ada ukuran yang tepat (ada kadar). Berapa besarnya ia, kekuatan habanya, kedudukan berapa jauh dari bumi dan planet yang lain, bilakah waktu bergeraknya dan macam-macam lagi.

Semuanya itu mengikut kadar yang tepat sebagaimana yang sesuai untuknya dan sebagai yang telah ditetapkan Allah. Kalau bergerak sedikit sahaja dari tempat orbitnya, boleh hancur musnah bumi ini kerana kepanasannya.

Kadar itu ditentukan Allah sebelum sesuatu itu dijadikan lagi. Apa yang kita lalui juga adalah dalam kadar ketetapan Allah. كُلَّ شَيْءٍ itu bermaksud semua sekali. Tidak ada yang tertinggal dari ketetapan dan ketentuan Allah.

Kalau Allah menentukan segalanya itu, maka kita sebagai hambaNya kenalah menerima ketetapan Allah itu. Jangan kita persoalkan keputusan dan apa-apa yang telah ditentukan oleh Allah. Kerana semua itu ada hikmah di sebaliknya. Kalau hujan turun, jangan marah; kalau banjir, jangan marah.

Ia juga bermaksud, kalau kita ada masalah dan cabaran dalam perjalanan hidup kita, kita kena terima dan berharap kepada Allah semoga ia diselesaikan. Kerana Allahlah sahaja yang boleh mengubahnya. Tidak ada yang lain. Kerana yang menetapkan kejadian sesuatu perkara itu adalah Allah. Maka jangan kita putus harap dengan Allah.


 

Ayat 50:

وَما أَمرُنا إِلّا وٰحِدَةٌ كَلَمحٍ بِالبَصَرِ

Sahih International

And Our command is but one, like a glance of the eye.

Malay

Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.

وَمَا أَمْرُنَا إِلَّا وٰحِدَةٌ

Dan perintah Kami hanyalah satu perkataan

Apabila Allah hendak sesuatu terjadi, ianya akan terus terjadi. Ianya amat mudah bagi Allah. Allah hanya beri arahan sekali sahaja. Itulah kalimah كُن (Jadilah!).

Allah telah berfirman tentang perkara ini dalam Yaasin:82

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.

 

كَلَمْحٍ بِالْبَصَرِ

seperti kerlipan mata.

Kita tidak akan dapat tahu dengan tepat bagaimanakah cara Allah menjadikan sesuatu. Allah cuma beri isyarat kepada kita bahawa ianya amat cepat dan cepatnya itu boleh dibayangkan seperti kerdipan mata sahaja. Begitulah cepatnya. Ianya akan terjadi tanpa lengah.

Allah tak perlu nak cakap banyak kali. Bandingkan, kalau kita hendakkan sesuatu, sebagai contoh kita beri arahan kepada anak kita, kita kena suruh berkali-kali. Dan bukannya dia terus buat, tapi dia akan berlengah-lengah lagi, bukan? Tidak terjadi begitu dengan Allah.

Kalimat أَمْرُنَا (Urusan Kami) yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh juga dimaksudkan ‘apabila tiba keputusan Allah untuk menjadikan kiamat’. Apabila Allah mahu Kiamat itu jadi, ia akan terjadi dalam sekelip mata sahaja. Tak perlu nak ambil masa nak rancang dan bina apa-apa.

Dalam Yaasin:53 Allah telah memberitahu kepada kita bagaimana cepatnya terjadi hari Kiamat itu:

إِن كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ

Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.

‘Dikumpulkan’ itu bermaksud dikumpulkan untuk dibawa ke Mahsyar.


 

Ayat 51:

وَلَقَد أَهلَكنا أَشياعَكُم فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ

Sahih International

And We have already destroyed your kinds, so is there any who will remember?

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang sama keadaannya seperti kamu; maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran?

وَلَقَدْ أَهْلَكْنَا أَشْيَاعَكُمْ

Dan sesungguhnya telah Kami binasakan orang yang serupa dengan kamu.

Kalimat أَشْيَاعَكُمْ bermaksud ‘mereka yang sama dengan kamu dalam cara menjalankan kehidupan dan cara beragama’. Allah memberitahu kepada kita bahawa Allah telah pernah memusnahkan mereka yang mempunyai pegangan agama yang sama sesat seperti Musyrikin Mekah itu.

Iaitu mereka yang beribadat kepada selain Allah, yang mengamalkan amalan syirik, yang buat bidaah, yang menggunakan tawasul dalam berdoa dan sebagainya. Jangan rasa yang mereka akan selamat kerana kaum dulu sudah pernah dimusnahkan, maka mereka pun boleh dimusnahkan.

Maka, kalau masyarakat kita pun mengamalkan amalan dan pegangan yang sama, Allah boleh musnahkan juga mereka kalau Dia mahu. Masyarakat kita telah banyak membaca tentang kekufuran kaum-kaum terdahulu, tetapi mereka baca sahaja tanpa rasa apa-apa. Mereka sangka itu hanya kisah orang terdahulu sahaja. Macam tidak berkenaan mereka sahaja.

Padahal ayat ini Allah perli mereka dengan berfirman bahawa sudah ada ramai orang yang buat macam itu dan Allah telah musnahkan. Tapi kerana mereka tidak belajar wahyu, maka mereka rasa mereka dalam golongan selamat.

 

فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ

Maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?

Tidakkah ada yang mahu mengambil pengajaran dari azab yang Allah telah berikan itu? Adakah kita hanya tahu sahaja tapi tidak mengambil pengajaran? Itu adalah amat malang sekali. Macam orang kita yang hari-hari baca Al-Qur’an, tapi tidak mengambil pelajaran dari pembacaan itu kerana mereka tidak faham. Tidak faham itu adalah kerana tidak mahu belajar sahaja.

Ramai yang baca bagaimana Allah telah beri balasan buruk kepada puak musyrik, puak Yahudi dan puak Kristian. Tapi mereka setakat baca sahaja. Kerana mereka tidak faham bagaimana ada amalan-amalan dan pegangan agama mereka itu sama sahaja seperti Musyrikin Mekah, Yahudi dan Kristian.


 

Ayat 52:

وَكُلُّ شَيءٍ فَعَلوهُ فِي الزُّبُرِ

Sahih International

And everything they did is in written records.

Malay

Dan tiap-tiap perkara yang mereka lakukan, adalah tertulis di dalam Kitab suratan amal;

 

Semua yang dilakukan oleh manusia ada tertulis dalam الزُّبُرِ (Kitab Amalan). Ianya tidak akan hilang. Semua yang dilakukan dan dikatakan akan ditulis.

Kalau Musyrikin Mekah melihat amalan kaum yang telah dihapuskan itu, mereka akan nampak bahawa sama sahaja amalan syirik mereka. Begitu juga, kalau ‘Musyrikin Malaysia’ melihat amalan-amalan syirik kaum terdahulu, sama sahaja amalan mereka dan mereka.

Antaranya, Musyrikin Mekah juga mengamalkan tawasul seperti kebanyakan masyarakat kita yang mengaku Islam. Mereka juga banyak mencipta amalan bidaah macam masyarakat kita juga. Ma sha Allah!

Segala perbuatan itu bukan ditulis sahaja, tapi akan dibalas di Akhirat kelak. Kalau tulis tapi disimpan sahaja, tidak mengapa. Tapi, ianya akan dikeluarkan dan akan dibentangkan kepada mereka dan kemudian akan dibalas.

Lalu bagaimana kita tidak takut melakukan kesalahan, kalau kita tahu yang setiap apa yang kita lakukan akan ditulis?


 

Ayat 53:

وَكُلُّ صَغيرٍ وَكَبيرٍ مُّستَطَرٌ

Sahih International

And every small and great [thing] is inscribed.

Malay

Dan tiap-tiap perkara yang kecil dan yang besar tetap tercatit.

 

Kalimah مُّسْتَطَرٌ bermaksud ‘ditulis baris demi baris’. Tak kira kecil atau besar, ianya akan ditulis. Akan ditulis dalam Kitab Amalan kita.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘perkara yang kecil?’. Kalau jari kita kena cucuk dengan duri pun, akan ditulis. Kenapa nak kena tulis benda sekecil itu? Kerana kalau kita sabar dengan kesusahan sekecil itu, maka kita akan dapat pahala juga. Kalau tak ditulis, maka akan rugilah kita sebab ianya tidak ditulis.

Kalau yang sekecil itu pun ditulis, apatah lagi kalau kita buat perkara yang melawan perintah Allah? Tentulah itu pun akan ditulis juga. Kerana itu nanti manusia akan terkejut betapa semuanya sekali akan ditulis sebagaimana yang disebut dalam Kahf:49

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun”.


 

Ayat 54: Setelah banyak diberikan peringatan dan ancaman dalam ayat-ayat sebelum ini, sekarang diberikan berita baik pula kepada mereka yang mahu mendengar dan memikirkan tentang amaran dan ancaman itu dan mengubah cara hidup mereka.

إِنَّ المُتَّقينَ في جَنّٰتٍ وَنَهَرٍ

Sahih International

Indeed, the righteous will be among gardens and rivers,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, ditempatkan dalam taman-taman Syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai,

 

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhati-hati dengan setiap perbuatan mereka. Sama ada yang kecil atau besar.

Antaranya, mereka berhati-hati dalam amalan ibadat mereka. Mereka tak mahu nak buat satu pun perkara bidaah. Kalau dia musykil sama ada sesuatu amalan itu adalah dari ajaran Nabi atau tidak, dia akan tinggalkan amalan sampai dia dapat kepastian yang ianya memang ajaran dari Nabi.

Lebih baik meninggalkan sesuatu amalan ibadat yang kita tidak pasti, dari melakukan sesuatu yang kita tidak tahu dari mana datangnya. Seperti sabda Nabi:

دَعْ ما يُرِيبُكَ إلى ما لا يُرِيبُكَ
Tinggalkan perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.

Apakah balasan kepada mereka yang bertaqwa ini? Mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga. Mereka akan menikmati nikmat dalam syurga seperti taman-taman dan sungai-sungai di dalamnya. Itulah nikmat yang dibalas kepada mereka. Bandingkan mereka yang telah engkar yang akan duduk dalam neraka, dalam kepanasan api Neraka dan bahang api Neraka.

Ayat-ayat inilah yang memberi semangat kepada para sahabat yang ditindas semasa mereka di Mekah. Ianya memberi harapan kepada mereka. Dan para sahabat memang banyak membaca Al-Qur’an. Maka mereka sentiasa diberikan dengan berita-berita gembira ini.

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang berhati-hati dalam amalan mereka. Dan mereka yang tidak bertaqwa adalah mereka yang telah banyak disebut dalam surah ini sebelum ini: mereka tidak mengendahkan amaran yang telah diberi oleh Rasul-Rasul mereka.

Sekarang ini Nabi dan Rasul tidak ada lagi. Tapi masih ada lagi di kalangan kita, penyebar-penyebar tauhid yang masih mengingatkan manusia supaya jangan engkar dengan Allah dan jangan melakukan syirik.


 

Ayat 55:

في مَقعَدِ صِدقٍ عِندَ مَليكٍ مُّقتَدِرٍ

Sahih International

In a seat of honor near a Sovereign, Perfect in Ability.

Malay

Di tempat yang sungguh bahagia, di sisi Tuhan Yang Menguasai segala-galanya, lagi Yang Berkuasa melakukan sekehendakNya.

فِي مَقْعَدِ صِدْقٍ

di tempat duduk penuh kemuliaan

Kalimah صِدْقٍ bermaksud ‘kebenaran’. Ianya juga boleh bermaksud ‘kemuliaan’. Kalimah مَقْعَدِ adalah satu majlis yang apabila kita duduk, kita tidak mahu bangun sebab kita suka berada di situ.

Kalimah مَقْعَدِ صِدْقٍ juga bermaksud ‘tempat duduk yang penuh kebenaran’. Tidak ada lagi penipuan dan pembohongan di dalamnya. Ini adalah kerana di syurga, segala yang ada padanya adalah benar dan mulia.

Ada yang kata kedudukan ini hanya diberikan kepada mereka yang ‘berkata benar’ sahaja. Mereka yang penipu, tidak akan ada peluang untuk mendudukinya.

Mereka juga adalah orang yang membenarkan/mengiyakan kebenaran apabila mereka melihatnya. Sebagai contoh, katakanlah mereka mendengar seseorang mengatakan kebenaran yang ada dalam Al-Qur’an, mereka akan kata “benarlah apa yang dikatakannya itu dari Qur’an”.

Ini penting, kerana ada yang takut hendak membenarkan. Sebagai contoh, ada ramai yang tahu dan sudah mengamalkan sunnah. Tapi mereka senyap sahaja, kerana takut dikutuk, takut dimarahi, takut dimaki. Itu adalah orang-orang yang tidak ‘membenarkan’. Mereka itu dikira sebagai ‘syaitan bisu’ sebab tidak menegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia.

Kepada mereka yang menjalankan tugas sebagai seorang mukmin, balasan bagi mereka adalah syurga. Dalam syurga nanti, tidak ada cakap-cakap kosong, cakap-cakap lalai dan pembohongan, tetapi hanya ada kata-kata yang benar sahaja. Dalam Maryam:62 Allah berfirman:

لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا

Mereka tidak mendengar perkataan yang tak berguna di dalam syurga, kecuali ucapan salam. Bagi mereka rezekinya di syurga itu tiap-tiap pagi dan petang.

 

عِندَ مَلِيكٍ مُّقْتَدِرٍ

di sisi Raja (Tuhan) Yang Berkuasa.

Inilah sebabnya kita tidak mahu bangun dari tempat duduk itu – kerana kita duduk berdekatan Allah. Inilah nikmat yang paling besar sekali. Mereka yang masuk syurga dapat duduk berdekatan dengan Allah.

Tidakkah kita mahu untuk duduk berdekatan dengan Allah? Melihat Allah adalah nikmat yang paling besar, lebih besar lagi dari masuk syurga itu sendiri. Inilah maksud ayat Qiyamah:22-23

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ

Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri.

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

Kepada Tuhannyalah mereka melihat.

Kalimah مَلِيكٍ bermaksud raja, tapi bukan raja yang biasa. Kerana kalau ‘raja’ sahaja, perkataan مَلِكٍ digunakan. Tapi, dalam perkataan ini, ada penambahan huruf ي yang menunjukkan lebih lagi. Begitulah apabila ada penambahan huruf, maka ia menambah maksud.

Kalimah مُّقْتَدِرٍ bermaksud ‘mampu melakukan segalanya’. Allah boleh buat apa sahaja. Tidak ada larangan atau sekatan kepada Allah untuk melakukan sekehendakNya. Allah boleh berikan apa-apa sahaja kepada kita kalau Allah mahu dan tidak ada yang boleh menghalangNya. Tidak ada yang boleh kalahkan Allah.

 

Allahu a’lam. Tamatlah sudah tafsir Surah al-Qamar ini. Lompat ke surah yang seterusnya: Surah ar-Rahman.

Kemaskini: 7 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s