Tafsir Surah al-An’am Ayat 69 – 70 (Tidak tanggung orang lain)

Ayat 69: Kesinambungan dari majlis bidaah dan syirik yang dibuat oleh mereka yang tidak berilmu. Dalam ayat sebelum ini, kita dilarang dari berada bersama-sama dengan mereka.

وَما عَلَى الَّذينَ يَتَّقونَ مِن حِسابِهِم مِّن شَيءٍ وَلٰكِن ذِكرىٰ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

And those who fear Allah are not held accountable for the disbelievers at all, but [only for] a reminder – that perhaps they will fear Him.

Malay

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ

Dan tidak atas orang-orang yang bertakwa

Orang yang bertaqwa adalah orang yang menjaga hukum Allah. Mereka tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah. Mereka akan berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Mereka tak campur dengan majlis-majlis yang syirik, bidaah dan yang memperolok-olokkan hukum Allah. Mereka akan tinggalkan majlis-majlis yang sebegitu.

مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

ada pertanggungjawaban sedikitpun terhadap dosa mereka;

Mereka tidak bertanggungjawab atas dosa mereka yang memperolokkan ayat Allah itu. Tapi mereka kena keluar dari majlis itu dan tidak boleh duduk bersama dengan mereka.

Sebelum ini disebut Nabi tidak bertanggungjawab atas amalan manusia, dan manusia juga tidak bertanggungjawab atas amalan Nabi. Sekarang diberitahu dalam ayat ini yang manusia juga tidak bertanggungjawab atas amalan manusia yang lain. Sedikit pun tidak. Masing-masing akan dihisab atas amalan sendiri.

وَلَٰكِن ذِكْرَىٰ

akan tetapi (kewajiban mereka ialah) mengingatkan

Cuma, mereka yang bertaqwa itu kena beri peringatan kepada mereka yang telah berbuat salah dalam agama. Mudah-mudahan mereka yang dengar nasihat itu akan jadi takut.

Jadi, ada dua perkara yang perlu dilakukan oleh orang yang bertaqwa:

1. Tinggalkan majlis yang memperolokkan ayat Allah.

2. Beri peringatan dan tazkirah kepada mereka yang telah buat salah itu.

Tapi kena pandai untuk beri peringatan. Bukan dalam suasana mereka sedang bercakap-cakap sambil menentang ayat Allah itu. Sebagai contoh, katakanlah mereka sedang mempertikaikan ayat Qur’an dan hadis Nabi dalam satu majlis. Kita jangan terus beri peringatan kepada mereka di situ.

Kerana waktu itu mungkin tidak sesuai. Dia mungkin ada kawan yang akan menyokongnya, orang pun ramai waktu itu dan kita pun tidak bersedia untuk memberikan hujah yang kemas waktu itu. Oleh itu, kena cari masa yang lain. Persiapkanlah apa yang kita hendak cakap dan kita cari dia untuk sampaikan peringatan dari kita.

Begitu juga kalau dengan majlis syirik dan majlis bidaah. Kalau kita tegur mereka waktu mereka sedang melakukan majlis itu, mungkin mereka tidak dapat terima. Tapi cari masa yang sesuai dan tabligh kepada mereka kenapa kita tinggalkan majlis itu dan kenapa kita tidak boleh bersama dengan mereka waktu itu.

Ayat ini memberitahu kepada kita, kita hanya tinggalkan mereka sekejap sahaja. Semasa mereka sedang melakukan kesalahan itu. Tapi selepas itu ada kewajipan kepada kita untuk memberi peringatan kepada mereka. Maknanya, bukan kita boikot terus mereka.

لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

agar mereka bertakwa.

Semoga mereka mendengar apa yang kita nasihatkan kepada mereka dan sedar tentang kesalahan yang mereka telah lakukan itu dan menjadi orang yang bertaqwa.


Ayat 70:

وَذَرِ الَّذينَ اتَّخَذوا دينَهُم لَعِبًا وَلَهوًا وَغَرَّتهُمُ الحَيَو‌‌ٰةُ الدُّنيا ۚ وَذَكِّر بِهِ أَن تُبسَلَ نَفسٌ بِما كَسَبَت لَيسَ لَها مِن دونِ اللَّهِ وَلِيٌّ وَلا شَفيعٌ وَإِن تَعدِل كُلَّ عَدلٍ لّا يُؤخَذ مِنها ۗ أُولٰئِكَ الَّذينَ أُبسِلوا بِما كَسَبوا ۖ لَهُم شَرابٌ مِّن حَميمٍ وَعَذابٌ أَليمٌ بِما كانوا يَكفُرونَ

Sahih International

And leave those who take their religion as amusement and diversion and whom the worldly life has deluded them. But remind with the Qur’an, lest a soul be given up to destruction for what it earned; it will have other than Allah no protector and no intercessor. And if it should offer every compensation, it would not be taken from it. Those are the ones who are given to destruction for what they have earned. For them will be a drink of scalding water and a painful punishment because they used to disbelieve.

Malay

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Qur’an itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

وَذَرِ الَّذِينَ

Dan tinggalkanlah mereka

Ada masanya kita kena jauhkan diri kita dari orang lain. Kerana kalau kita tidak tinggalkan mereka, kita mungkin akan terpengaruh dan jadi macam mereka. Memang ada kemungkinan kita akan terpengaruh dengan perangai dan cara fikir mereka. Takut kita pula akan ambil mudah tentang agama seperti mereka. Takut kita rasa tak kisah kalau main-main dengan agama, buat lawak tentang agama.

Takut kita akan jadi macam penceramah yang bercakap tentang agama, tapi buat cerita lawak dan jenaka sepanjang ceramah. Padahal perkara agama ini adalah hal yang serius, kerana kita sedang memperkatakan tentang syurga neraka, tentang syirik, dan semua itu bukan barang permainan dan senda gurau.

Dari siapakah yang kita kena jauhkan diri kita? Siapa yang kita kena tinggalkan?

اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا

yang mengambil agama mereka sebagai main-main dan senda gurau,

Iaitu jauhkan dari mereka yang mempermainkan hal agama. Ramai yang buat begini kerana mereka tidak mementingkan agama. Tapi yang menyedihkan, ramai sangat ustaz-ustaz yang mengajar sekarang buat lawak sahaja tentang hal agama ini. Kalau berceramah, mereka akan selitkan kisah-kisah lawak. Alasannya adalah untuk menarik minat manusia.

Itu belum masuk mereka yang menyanyi sambil berceramah. Dalam ayat ini, Allah suruh kita biarkanlah sahaja mereka. Kalau sikit-sikit kita boleh faham, tapi kalau banyak sangat kita pun risau adakah mereka hendak mengajar agama atau mereka nak masuk program ‘Maharaja Lawak’?

Perkataan دِينَهُمْ bermaksud ‘agama mereka’. Kalau mereka agama kafir, seperti Kristian, Yahudi, Hindu, bermaksud mereka memang menjadikan agama mereka sebagai bahan jenaka. Tengoklah apa orang Kristian buat dengan agama mereka. Mereka boleh kutuk-kutuk paderi mereka, mereka boleh buat kartun pasal syurga, pasal neraka dan sebagainya.

Kalau دِينَهُمْ itu bermaksud agama mereka yang beragama Islam, itu pun ramai juga. Seperti kita telah sebut sebelum ini ramai yang tidak kisah buat lawak dalam hal agama. Bagaimana sedihnya kita lihat sekarang bagaimana kalau berceramah sahaja, mesti nak kena ada lawak. Mereka rasa mereka kena buat lelucon baru orang ramai akan dengar apa yang mereka sampaikan.

Sekarang sudah siap diadakan pertandingan penceramah dakwah macam Akademi Fantasia. Dalam rancangan itu, penceramah agama kena pandai buat lawak, kena pandai buat sajak, kena pandai menyanyi. Sedih sungguh kita melihat bagaimana agama Islam ini telah dimain-mainkan sampai sebegitu rupa.

Kalimah لَعِبًا merujuk kepada ‘permainan’ yang berbentuk fizikal. Mereka melakukan perkara yang mereka suka yang melibatkan perbuatan fizikal. Sebagai contoh, kalau Hari Raya mereka akan bersungguh-sungguh pakai baju baru, makanan sedap-sedap dan sebagainya.

Ada yang pergi ke masjid hanya kalau ada majlis yang mereka suka: iaitu apabila ada makanan, nyanyian, permainan dan sebagainya.

Kalimah وَلَهْوًا pula merujuk kepada permainan yang di dalam hati. Iaitu perkara-perkara yang melibatkan emosi. Sebagai contoh, mereka buat lawak apabila memperkatakan tentang agama.

Selain dari itu, kita boleh lihat bagaimana ramai sangat sekarang yang tak ambil serius tentang agama mereka. Mereka tak rasa ralat pun kalau tak tahu tentang agama. Bila ajak pergi kelas tafsir pun mereka tak mahu nak ikut. Kalau tengok wayang tiga jam pula tidak mengapa. Tapi kalau kelas setengah jam pun sudah panas punggung.

Allah beritahu kita supaya jangan campur sangat dengan orang yang sebegini. Kerana takut kita pula yang terpengaruh dengan mereka. Mereka hanya memikirkan hal dan kesenangan dunia sahaja. Mereka hanya memikirkan kejayaan di dunia sahaja, langsung tidak memikirkan tentang kejayaan di akhirat. Atau, kalau mereka fikirkan pun hanya sekejap sahaja.

وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَوٰةُ الدُّنْيَا

dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia.

Mereka jadi begitu kerana tertipu dengan kehidupan dan kesenangan dunia yang sementara. Mereka rasa akhirat itu jauh sahaja.

Ada ramai yang kata mereka suka dengar ceramah agama yang ada jenaka di dalamnya. Masalahnya, yang mari datang bukan nak belajar tapi nak dengar lawak jenaka. Dua jam mengajar, tapi lima minit sahaja ilmu yang disampaikan. Allah larang kita ambil peduli dengan mereka. Perkara agama ini adalah hal serius, bukan boleh dibuat lawak jenaka.

Mereka ‘tertipu’ kerana mereka sangka dengan buat lawak itu akan menarik budak-budak muda datang belajar. Begitu juga mereka buat konsert nyanyian untuk menarik minat anak-anak muda, sampai kadang kala mereka buat sekali nasyid dengan kumpulan rock. Itu dilakukan dengan tujuan amal dan kerana itu mereka sangka mereka buat perkara baik. Mereka tertipu sebenarnya. Mereka sangka anak-anak muda itu nak belajar agama, tapi sebenarnya mereka hendak bergembira sahaja.

Mereka juga tertipu dengan dunia. Kerana dunia ini begitu indah dan menarik kepada mereka yang lupa tentang agama dan tentang Hari Akhirat. Mereka sangka dunia ini tempat bergembira sahaja. Sampai dalam agama pun mereka buat mudah sahaja. Mereka sangka  apa yang mereka belajar semasa di sekolah rendah itu boleh pakai sampai bila-bila.

Mereka langsung tidak terfikir untuk belajar agama dengan lebih mendalam. Yang mereka sibuk adalah tentang hal-hal dunia. Hal bergembira, hal bekerja, hal keluarga dan sebagainya yang sentiasa bermain di fikiran mereka. Mereka suka banyak perkara, asalkan bukan hal agama. Kerana hal agama amat membosankan kepada mereka.

وَذَكِّرْ بِهِ

Peringatkanlah (mereka) dengannya (Al-Qur’an) itu

Ayat ini memerlukan penerangan. Kerana dalam satu bahagian ayat, Allah suruh tinggalkan mereka. Tapi dalam bahagian ini, Allah suruh kita ingatkan mereka pula. Kalau hendak mengingatkan mereka, tentulah kena duduk dengan mereka, bukan? Bagaimana pula ada suruhan yang berbeza begini?

Ini bermakna, walaupun kita disuruh tinggalkan mereka, tapi tidaklah sampai boikot mereka terus. Kalau kita tinggalkan mereka, mereka akan terus hanyut dengan dunia.

Maknanya, jangan sentiasa sahaja bersama mereka pagi dan petang. Sekali sekala boleh duduk dengan mereka kerana kita hendak berdakwah kepada mereka. Kerana itu bila kita ada peluang duduk bersama mereka, kita kena ingatkan mereka. Kalau kita tidak ingatkan mereka, mereka akan ditarik ke neraka.

Kita kena gunakan Qur’an untuk beri peringatan kepada mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan بِهِ dalam ayat ini. Usaha dakwah perlu dijalankan dengan menyampaikan ajaran dari Qur’an. Banyak sekali ayat-ayat Qur’an yang mengingatkan kita untuk memperingatkan manusia dengan Qur’an. Bukannya dengan nyanyian, sajak, lawak jenaka dan sebagainya.

أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ

agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka,

Kalimah تُبْسَلَ dari katadasar ب س ل yang bermaksud ‘menangkap seseorang dengan paksa’. Sebagai contoh, apabila seseorang ditangkap untuk dimasukkan ke dalam penjara. Tentunya orang yang dimasukkan itu tidak rela dimasukkan ke dalam penjara.

Ia juga bermaksud meletakkan seseorang sebagai tebusan. Sebagai contoh, meletakkan anak kita dengan seseorang apabila meminjam wang. Selagi kita tak bayar hutang kita, kita tak boleh ambil anak itu. Anak itu dijadikan seperti hamba sepanjang tempoh itu. Ini masih lagi diamalkan di sesetengah tempat di dunia yang mundur lagi. Ada yang terpaksa menjadi hamba sampai mereka telah dewasa baru ibubapa mereka boleh kumpul wang untuk membayar tebusan itu.

Dalam ayat ini, kita diingatkan untuk memberi peringatan kepada manusia agar mereka tidak dimasukkan secara paksa ke dalam neraka. Tidak ada yang akan menebus mereka nanti kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka.

بِمَا كَسَبَتْ

kerana perbuatannya sendiri.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana kesalahan mereka. Mereka akan kekal di dalamnya Selagi mana dosa mereka tidak dibersihkan. Macam juga duduk dalam penjara.

Sebagai contoh, ada yang kena penjara selama lima tahun. Selagi tidak cukup lima tahun, selagi itu banduan itu tidak dikeluarkan.

Maka kita beri peringatan kepada manusia supaya mudah-mudahan mereka tidak diseret dalam neraka kerana kesalahan dosa yang mereka lakukan semasa di dunia.

لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ

Tidak akan ada baginya selain daripada Allah, sebarang pelindung

Apabila sudah dimasukkan ke dalam neraka, tidak ada sesiapa yang dapat menolong. Wali adalah sesiapa yang mahu menghilangkan kesusahan. Kalau dalam dunia, kita ada wali-wali yang boleh membantu kita. Kerana wali itu adalah orang yang rapat dengan kita.

Sebagaimana juga seorang wali untuk wanita adalah bapanya, pakciknya, abangnya atau datuknya – iaitu orang yang rapat dengannya. Mereka itu kerana rapatnya dengan seseorang, akan menolong apabila ada masalah.

Tapi di akhirat kelak, tidak ada wali yang dapat menolong selain dari Allah.

وَلَا شَفِيعٌ

dan tidak pula pemberi syafa’at .

Pemberi syafaat adalah mereka yang menolong kita dengan meminta supaya dibuangkan kesusahan. Kalau wali, dia boleh buangkan kesusahan itu dengan tangannya sendiri. Tapi pemberi syafaat, dia kena meminta tolong orang lain.

Sebagai contoh, kalau ada anak saudara kita yang kena masuk lokap, kita akan minta tolong kepada ketua balai polis untuk beri kelonggaran untuk mengeluarkannya.

Orang yang sudah masuk neraka, tidak ada wali dan tidak ada pemberi syafaat.

وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ

Dan jika dia ingin menebus dengan segala macam tebusan pun,

Jikalau dia cuba hendak memberi tebusan pun tidak diterima. Walau dengan apa sahaja yang dia ada. Waktu di akhirat kelak, seseorang yang sudah hendak dimasukkan ke dalam neraka, tidak kisah berapa banyak mereka akan belanjakan untuk menebus diri mereka.

Kalau mereka di dunia, mereka amat sayang kepada harta mereka, sampaikan nak beri sedekah pun liat – tapi di akhirat kelak, mereka sanggup berhabis kalau mereka ada, untuk menyelamatkan diri mereka.

Tapi tentunya di akhirat kelak tidak ada apa yang mereka boleh gunakan sebagai tebusan. Allah hendak beri perumpamaan sahaja, kalaulah mereka ada apa-apa pun yang boleh diberi, ianya tidak akan diterima.

Oleh kerana ada apa-apa, maka ada yang hendak menebus diri mereka dengan beri anak, isteri atau sesiapa sahaja asalkan mereka selamat. Tapi itu pun tidak akan diterima.

لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا

tidak akan diterima itu daripadanya.

Biarlah apa sahaja yang mereka hendak jadikan tebusan, tidak akan diterima. Oleh kerana mereka tidak ada harta di akhirat kelak, mereka akan jadikan orang-orang yang rapat dengan mereka sebagai tebusan.

Seorang suami akan berikan isterinya sebagai tebusan, seorang bapa akan memberikan anaknya sebagai tebusan. Begitulah mereka sanggup beri apa sahaja sebagai tebusan, tapi tidak akan diterima.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا

Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan dengan sebab perbuatan mereka

Mereka dijerumuskan ke dalam neraka itu adalah disebabkan kesalahan yang mereka buat. Antaranya buat lawak jenaka dalam hal agama, memperolokkan hal-hal agama, tidak belajar agama sampaikan mereka buat dosa amalan bidaah dan amalan syirik dan macam-macam lagi.

Maknanya, bukanlah Allah zalim untuk masukkan mereka ke dalam neraka tanpa salah apa-apa. Semuanya kerana bersebab dan mereka memang layak masuk dalam neraka.

لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ

Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih

Mereka akan rasa amat dahaga. Penghuni neraka akan rasa dahaga yang amat sangat dari saat mereka masuk ke dalam neraka sampailah bila-bila, selagi mana mereka berada dalam neraka. Dan apabila mereka meminta untuk minum, mereka akan diberikan dengan air yang mendidih.

Air itu amat panas sampaikan akan merosakkan muka mereka. Apabila diberikan air itu kepada mereka, tentulah mereka tidak mahu minum air itu (mereka mahu air untuk menghilangkan dahaga), tapi akan dimasukkan secara paksa ke dalam mulut mereka. Apabila air itu turun ke perut mereka, perut mereka akan pecah kerana kepanasan air itu.

وَعَذَابٌ أَلِيمٌ

dan azab yang pedih

Dan bermacam-macam lagi azab yang mereka kena terima. Azab itu amat pedih. Apabila digunakan perkataan أَلِيمٌ, ianya bermaksud azab itu amat pedih sampai bila-bila. Sebagai contoh, kalau kita selalu kena pukul, lama kelamaan, kita tidak rasa sakit sangat sama seperti pertama kali kita kena pukul – sebab kita sudah lali.

Tapi, dalam neraka, kesakitan itu sama sahaja kita rasa dari kali pertama kita kena azab itu. Kesakitan itu tidak pernah berkurang sedikit pun malah ianya akan bertambah. Mereka tidak akan rasa lali dengan azab neraka itu.

بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

disebabkan kekafiran mereka dahulu.

Mereka dikenakan dengan azab yang bermacam-macam itu adalah kerana mereka kufur.

Jangan kita sangka kufur ini hanya kena kepada orang yang kafir sahaja. Kerana kalau kita pun kufur dengan perintah Allah, walaupun kita mengaku Muslim, kita pun dikira sebagai kafir juga di mata Allah. Kita pun boleh kena azab yang sama dikenakan kepada orang kafir yang tidak pernah mengaku Allah sebagai Tuhan mereka.

Alangkah malangnya, kita mengaku Allah sebagai Tuhan, tapi kita tidak ikut peringatanNya, kita engkar perintahNya. Maka, kita pun sama macam orang-orang kafir juga.

Habis Ruku’ 8 dari 20 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Januari 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

4 thoughts on “Tafsir Surah al-An’am Ayat 69 – 70 (Tidak tanggung orang lain)”

  1. Subahanallah. ..alhamdulillah syukur ada blog yg sgt sgt bagus ini..boleh ke email dkt saya setiap taksiran yg anda buat…tkasih semoga Allah permudahkan urusan semuanya insyallah

    Like

    1. Terima kasih saudari Sulya. alhamdulillah anda salah seorang yang beriman mendalami ayat=-ayat Allah. Anda boleh register untuk menerima makluman setiap kali ada post yang baru.

      Like

  2. Bolehkah kita share tafsir dari kitab terjemahan ke dalam WhatsApp group? Apa hukum?

    Contohnya dari Shahih Tafsir Ibnu Katsir terjemahan Indonesia.

    TQ

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s