Tafsir Surah al-An’am Ayat 45 – 48 (Musyrikin Mekah kenal Allah)

Ayat 45:

فَقُطِعَ دابِرُ القَومِ الَّذينَ ظَلَموا ۚ وَالحَمدُ ِلله رَبِّ العٰلَمينَ

Sahih International

So the people that committed wrong were eliminated. And praise to Allah , Lord of the worlds.

Malay

Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.

فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ

Lalu dibinasakan sehingga terputus keturunannya.

Perkataan قُطِعَ bermaksud ‘dipotong’. Perkataan دَابِرُ bermaksud ‘lengan’. Asalnya ia bermaksud ‘hujung’ sesuatu. Dalam ayat ini bermaksud mereka telah dimusnahkan.

Macam kita menarik lalang. Kalau kita hendak mematikannya, kita kena tarik sampai ke akarnya. Ini bermakna keturunan mereka semuanya telah dimusnahkan sampai tidak tinggal walau seorang pun. Anak cucu keturunan tidak ada langsung.

Siapakah mereka itu?

الَّذِينَ ظَلَمُوا

kaum yang zalim itu

Mereka dikenakan dengan kemusnahan itu kerana mereka telah melakukan kezaliman. Dan kezaliman yang paling besar adalah syirik.

وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعٰلَمِينَ

“Segala puji bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.

Setelah Allah menyebut yang Dia telah memusnahkan segala keturunan, Allah terus memuji DiriNya. Ini adalah kerana Allah musnahkan mereka itu bukannya kerana Allah zalim dan suka-suka nak buat, tapi Allah lakukan begitu kerana kezaliman yang mereka telah lakukan. Allah maha adil, kerana itulah Allah memuji DiriNya.

Allah juga dipuji kerana Allah telah menghancurkan mereka yang zalim. Maknanya, kita kena puji Allah bukan hanya kalau kita dapat sesuatu yang baik, tapi kita juga kena puji Allah kalau Allah telah memusnahkan sesuatu yang buruk dari kita. Sebagai contoh, kalau kita berjaya menyelesaikan hutang kita, kita juga mengucapkan alhamdulillah.

Segala puji juga bagi Allah yang menangguhkan azabNya kepada kita supaya kita sempat lagi untuk berdakwah kepada manusia. Kerana rahmat Allah lah yang tidak memusnahkan masyarakat kita yang banyak buat syirik sekarang. Kalau Allah dah musnahkan kita semuanya, bagaimana? Tentu kita tidak ada peluang untuk bertaubat lagi.

Walaupun Allah musnahkan seluruh kaum, kehebatan Allah tidak berkurang. Allah tidak memerlukan umat manusia pun. Allah tidak ada masalah kalau Allah musnahkan seluruh makhluk pun.


Ayat 46: Dalil Aqli I’tirafi. Dalil yang orang Mekah pun terima juga bahawa Allah maha berkuasa.

قُل أَرَءيتُم إِن أَخَذَ اللهُ سَمعَكُم وَأَبصٰرَكُم وَخَتَمَ عَلىٰ قُلوبِكُم مَّن إِلٰهٌ غَيرُ اللهِ يَأتيكُم بِهِ ۗ انظُر كَيفَ نُصَرِّفُ الآيٰتِ ثُمَّ هُم يَصدِفونَ

Sahih International

Say, “Have you considered: if Allah should take away your hearing and your sight and set a seal upon your hearts, which deity other than Allah could bring them [back] to you?” Look how we diversify the verses; then they [still] turn away.

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?” Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling – ingkar.

قُلْ أَرَءيْتُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu,

Tidakkah kamu melihat? Tidakkah kamu mahu memikirkan? Allah suruh Nabi Muhammad tanya mereka supaya mereka berfikir.

إِنْ أَخَذَ اللهُ سَمْعَكُمْ وَأَبْصٰرَكُمْ

jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu,

Allah boleh sahaja hilangkan pancaindera kita. Contohnya kalau kita dapat kemalangan. Hilang penglihatan kita. Mata ada, tapi tak boleh nampak. Atau telinga ada, tapi pendengaran tidak ada sebab dah pekak.

وَخَتَمَ عَلَىٰ قُلُوبِكُم

dan Dia pula memeteraikan atas hati kamu?

Iaitu bermaksud kunci mati hati manusia sampai tidak langsung kenal Allah.

Tiga perkara ini dalam iktikad Musyrikin Mekah, memang Allah berkuasa untuk melakukannya.

مَّنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ اللهِ يَأْتِيكُم بِهِ

Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?”

‘Tuhan’ mana lagi yang boleh bawa kembali pendengaran, penglihatan atau hati kita? Tentu tidak ada yang boleh kembalikan. Bagaimana dengan tuhan-tuhan sembahan manusia yang buat syirik itu? Bolehkah mereka mengembalikan pancaindera dan keupayaan hati manusia itu? Tentu tidak boleh. Orang Mekah pun tahu dan terima perkara ini.

Tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menyembuhkannya kembali. Nabi Isa yang boleh sembuh orang yang buta itu pun bukanlah dia boleh menyembuhkan dengan kuasanya, melainkan dengan kuasa Allah sahaja. Ini menunjukkan betapa kita bergantung betul-betul dengan Allah untuk segala-galanya.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah mengawal segala-galanya tentang kita. Allah boleh sahaja menghilangkan pancaindera kita. Kalau kita tidak beriman dan tidak taat kepada suruhan Allah, Allah boleh sahaja lakukan semua itu. Ini adalah ayat yang diturunkan sebagai amaran. Kerana Dia yang berikan kepada kita pancaindera itu, Dia boleh tarik balik. Kalau Allah tarik, tidak ada yang kita boleh buat apa-apa.

Ayat ini juga mengingatkan kita supaya bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita. Bayangkan kalau Allah tak beri salah satu pancaindera itu kepada kita? Alangkah susahnya hidup kita, bukan? Kalau kita bersyukur dan sedar yang Allah telah berbudi dengan kita, sepatutnya kita kenalah taat kepada Allah.

Bayangkan kalau kita duduk di sesuatu negara itu, kenalah kita ikut undang-undang negara itu bukan? Maka, apabila kita telah menerima rahmat dari Allah, duduk pula di alam yang Allah ciptakan, tentunya kita kena taat kepada ketetapan dan hukum yang Allah telah tetapkan.

Ini juga mengingatkan kita kalau kita kehilangan mana-mana pancaindera itu, Allah sahaja yang boleh mengembalikannya. Memang kalau kita sakit atau cedera, kita akan pergi jumpa doktor. Tapi dalam masa yang sama, kita kena berdoa sungguh-sungguh kepada Allah. Kerana kita tahu yang doktor itu tidak boleh berbuat apa-apa tanpa keizinan dari Allah.

انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيٰتِ

Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan dalil

Berkali-kali Allah telah memberikan dalil kepada kekuasaan Allah. Mereka tahu bahawa Allah itu Tuhan, Maha Berkuasa, tapi mereka tetap juga menyembah selainNya. Lihatlah betapa teruknya mereka itu.

Perkataan نُصَرِّفُ dari kata dasar ص ر ف yang bermaksud ‘ambil sesuatu dan mempersembahkannya dalam bentuk yang lain’. Ayat-ayat Qur’an memberi peringatan kepada manusia dalam berbagai-bagai cara.

Selalu ayat Qur’an memperkatakan perkara yang sama tapi dalam cara yang berlainan. Diulang-ulang peringatan yang sama untuk meneguhkan hati kita. Supaya iman kita makin mantap. Supaya iman bertambah dan ilmu kita juga bertambah kerana diulang perkara yang sama.

Ayat ini menegaskan kepada kita bahawa mengulang-ngulang ayat-ayat Qur’an untuk topik yang sama tapi dalam berbagai cara. Lalu apa lagi alasan manusia untuk kata mereka tidak faham atau tidak jumpa peringatan dari Allah lagi? Sebab dah banyak peringatan yang diberi dan dalam berbagai cara.

‘Ayat’ yang dimaksudkan boleh jadi dalam dua bentuk. Samada ayat ‘syar’i’, iaitu ayat-ayat dari Qur’an dan hadis; dan ayat ‘kawni’, iaitu tanda-tanda dalam alam ini. Tanda-tanda alam ini berulang-ulang akan dibawakan. Sebagai contoh, hari ini bulan dan matahari keluar dan hilang, begitu juga esoknya. Kita sebenarnya boleh juga mengambil banyak pengajaran dari tanda-tanda dalam alam ini.

Allah beri macam-macam cara dan tanda kerana manusia belajar berlainan cara. Ada yang begini dan ada yang begitu. Ada orang yang faham kalau dipersembahkan ayat dalam bentuk amaran dan ada yang lebih terkesan dengan ayat yang berbentuk motivasi. Maka, Allah telah berikan semua cara-cara itu.

ثُمَّ هُمْ يَصْدِفُونَ

Kemudian, mereka tetap juga berpaling.

Mereka tetap juga berpaling dari kebenaran. Mereka masih lagi seru selain Allah taala.

Begitulah juga dengan orang kita yang jauh dari wahyu. Mereka buat tak tahu sahaja dengan peringatan dari Qur’an yang diberikan kepada mereka. Walaupun telah diterangkan, masih lagi nak amalkan syirik. Macam guru yang masih jadi tukang baca doa kepada manusia dan ambil upah dari mereka dalam ibadat doa yang dilakukan.

Masih lagi nak jadi imam solat hajat. Masih lagi nak buat tahlil, baca talqin dan sebagainya. Masih lagi mereka mengajar manusia untuk melakukan tawasul yang syirik di sisi Allah.


Ayat 47: I’adah bagi dalil dalam ayat 40 dengan pertambahan sedikit.

قُل أَرَءيتَكُم إِن أَتٰكُم عَذابُ اللهِ بَغتَةً أَو جَهرَةً هَل يُهلَكُ إِلَّا القَومُ الظّٰلِمونَ

Sahih International

Say, “Have you considered: if the punishment of Allah should come to you unexpectedly or manifestly, will any be destroyed but the wrongdoing people?”

Malay

Katakanlah:” Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba, atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang menunjukkan kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?”.

قُلْ أَرَءيْتَكُمْ

Katakanlah:” Bagaimana fikiran kamu,

Allah hendak memberi amaran kepada mereka yang melakukan kezaliman. Allah suruh mereka yang melakukan kezaliman menggunakan fikiran mereka.

إِنْ أَتٰكُمْ عَذَابُ اللهِ بَغْتَةً

jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba,

Allah suruh Musyrikin Mekah itu memikirkan, kalau Dia berikan azab bala kepada mereka dengan tiba-tiba, bagaimana?

Contohnya, kemalangan yang datang dengan tiba-tiba. Tak sedar pun kita kemalangan. Celik-celik mata dah ada dalam kubur. Bagaimana keadaan waktu itu? Apa perasaan kamu? Kerana ini selalu berlaku dan ianya boleh sahaja berlaku kepada kamu. Ada orang yang dapat bala masa sedang tidur. Tiba-tiba rumah terbakar. Atau dia sedang tidur dalam kereta dan kena langgar tanpa sedar. Ada orang yang tidur tak bangun-bangun dah.

Ini mengingatkan kita bahawa kita sentiasa kena ingat bahawa kita boleh sahaja didatangkan dengan bala dengan tidak disangka-sangka. Kita ingat kita nak pergi ke tempat kerja macam biasa, tapi hari itu mungkin telah ditakdirkan bahawa kita kemalangan.

Samada kita jatuh sakit sahaja atau kita boleh mati terus. Sesiapa yang selalu ingat mati, akan mudah dapat kebenaran. Sebab selalu sedar dengan apa yang kita lakukan kerana kita akan sentiasa memikirkan: “macam mana kalau aku mati hari ini”?

أَوْ جَهْرَةً

atau dengan terang-terangan

Ayat tadi berkenaan azab bala yang datang tanpa kita sedar. Bagaimana pula kalau kita sempat nampak azab itu mendekat kepada kita. Contohnya, sebelum kemalangan, kita boleh nampak kereta yang akan langgar kita. Tapi tak boleh nak buat apa-apa.

Muqaddar kepada soalan ini adalah: Siapa yang boleh menolak azab itu?

Walaupun ayat ini sebagai amaran kepada mereka yang berbuat zalim, tapi kita masih boleh mengambil pengajaran secara umum. Ayat ini mengajar kita supaya jangan leka dalam kehidupan kita.

Kerana dalam keadaan apa sahaja, bala boleh kena kepada kita. Kita kena sentiasa bersedia untuk mati. Oleh itu, jangan rasa yang kita ada masa-masa tertentu boleh buat maksiat. Sebagai contoh, ada yang apabila rasa orang tak nampak, dia berzina.

Contohnya, dia pergi ke Thailand. Kalau di Malaysia, dia takut nak berzina sebab ada kemungkinan ada orang kenal dia. Tapi bila di negara orang, dia rasa lega dan tanpa segan silu lagi buat benda tak elok. Jangan begitu, kerana Allah boleh berikan azab kepadanya bila-bila masa sahaja. Apa akan jadi kalau dia mati semasa dia berzina itu? Sempatkah dia nak minta ampun kepada Allah?

Maka, kita kenalah lakukan semua perkara seperti ianya adalah perbuatan kita yang terakhir. Takut-takut itulah kali terakhir kita hidup. Jangan hujung kehidupan kita diakhiri dengan perkara tak baik.

هَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الظّٰلِمُونَ

siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?”.

Hanya mereka yang berbuat zalim sahaja yang akan diazab. Konteks ayat ini adalah tentang mereka yang berbuat kezaliman. Atas kezaliman yang mereka lakukan, mereka diberikan azab samada secara senyap atau secara jelas.

Walaupun mereka dapat amaran, mereka akan kena juga azab itu. Kalau dapat amaran dan mereka cuba lari pun, mereka tidak dapat lari. Ke mana pun mereka lari, mereka akan dikenakan dengan azab itu.

Zalim itu bermaksud mereka yang buat syirik kepada Allah. Lihat ayat 82 surah ini juga. Tidak mungkin tercampur antara iman dan kezaliman.


Ayat 48: Orang kafir Mekah mempersoalkan kerasulan Nabi Muhammad. Mereka berhujah: kalau baginda itu memang benar seorang Rasul, kenapa baginda tidak boleh mengeluarkan mukjizat? Sebenarnya Rasulullah sudah banyak mengeluarkan mukjizat, tapi yang mereka hendak adalah mukjizat yang mereka minta.

Maka Allah jawap dalam ayat ini, tugas Nabi bukannya untuk melayan kehendak mereka dengan mengeluarkan mukjizat yang mereka minta. Baginda ada tugas yang lebih utama lagi dari itu.

وَما نُرسِلُ المُرسَلينَ إِلّا مُبَشِّرينَ وَمُنذِرينَ ۖ فَمَن ءآمَنَ وَأَصلَحَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

And We send not the messengers except as bringers of good tidings and warners. So whoever believes and reforms – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

Malay

Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.

وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ

Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu

Tidaklah sia-sia sahaja Allan utuskan Rasul-rasul itu. Ada sebab yang penting yang Allah telah tetapkan. Apakah tujuan itu?

إِلَّا مُبَشِّرِينَ

melainkan sebagai pembawa berita gembira

Mereka ditugaskan untuk memberi berita gembira kepada sesiapa yang terima akidah tauhid dan berbuat kebaikan. Kepada mereka dijanjikan syurga yang kekal abadi. Kepada mereka dijanjikan kebahagiaan yang tiada penghujungnya.

Berita gembira itu diberikan kepada umat manusia dan jin untuk memberi motivasi kepada mereka supaya beriman dan beramal soleh. Kerana apabila kita ada sesuatu yang boleh dicapai, ia akan memberi semangat kepada kita untuk berbuat sesuatu.

وَمُنذِرِينَ

dan pembawa amaran;

Selain daripada memberi berita gembira, Rasul juga diutuskan untuk memberi ancaman. Ancaman itu kepada mereka yang tidak terima tauhid dan buat syirik. Ada orang yang apabila diberikan motivasi, mereka tak gerak, mereka tak sedar. Kepada mereka yang seperti ini, peringatan dalam bentuk ancaman baru mereka terasa.

Inilah juga tujuan Qur’an: beri berita gembira dan beri ancaman. Sekarang kita tidak ada Rasul dah, tapi berita gembira dan ancaman itu ada dalam Qur’an. Oleh itu, inilah dua perkara yang guru kena ajar. Malang sekali banyak guru di Malaysia ni, cuma ajar ibadat sahaja. Pasal puasa, solat, zakat banyak sekali diajar.

Tapi fasal akidah tak sentuh pun lagi. Apabila hal akidah tak disentuh, maka masyarakat tak faham akidah, ada yang buat syirik tanpa sedar. Apabila mereka buat syirik, segala amal ibadat mereka belum lagi Allah terima. Alangkah ruginya.

Allah menghantar rasul sebagai rahmat dariNya. Untuk memberitahu kita manakah yang boleh dilakukan dan mana yang tidak. Itu adalah ahkam atau hukum. Mana yang wajib, halal haram dan sebagainya. Tapi bukan setakat itu sahaja.

Bersama dengan hukum, diberikan juga berita gembira dan berita yang menakutkan. Iaitu kalau buat baik akan dibalas baik dan kalau tak ikut hukum, akan diazab. Kerana kalau tidak ada peringatan itu, manusia tidak ada motivasi nak buat amal baik dan tidak takut untuk buat maksiat.

Para pendakwah pun kena ingatkan dua perkara ini juga.

فَمَنْ ءآمَنَ

sesiapa yang beriman

Ini adalah tabshir (berita gembira).

Ini adalah amalan hati iaitu beriman. Iaitu beriman yang sempurna, tidak melakukan syirik. Kerana ada orang yang beriman, tapi dalam yang sama, masih buat syirik lagi. Itu bermaksud mereka beriman yang tidak sempurna.

Sebagai contoh, Musyrikin Mekah beriman kepada Allah. Mereka tahu yang Allah itu ada. Mereka tahu yang Allah adalah Tuhan. Cuma dalam masa yang sama, mereka juga mengamalkan amalan syirik. Mereka sembah ‘tuhan-tuhan’ kecil untuk menyampaikan hajat mereka kepada Allah. Itu dinamakan tawasul.

Sama juga dengan kebanyakan masyarakat Islam kita. Mereka beriman kepada Allah, Nabi, malaikat, Qur’an dan sebagainya. Tapi dalam masa yang sama, mereka buat syirik kerana mereka tak sedar bahawa itu adalah perbuatan yang salah. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Qur’an.

وَأَصْلَحَ

dan beramal soleh,

Ini pula adalah amalan perbuatan fizikal. Memperbaiki amalannya yang berbentuk ibadat.

Dua perbuatan disebut dalam ayat ini – iman dan amal soleh. Sebelum itu disebut dua tugas Nabi – pemberi berita gembira dan amaran. Jadi ada dua, dua elemen dalam ayat ini: Dua tugas Nabi, dan dua perbuatan baik yang manusia kena lakukan.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa iman dan amal soleh kena ada bersama-sama. Kalau hanya ada satu sahaja tidak cukup. Tidak cukup dengan berkata kita beriman tapi tidak melakukan amal soleh. Dan amal yang soleh tidak dikira jika tidak ada iman yang sempurna dalam hati.

فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

maka tidak ada kebimbangan

Mereka tidak ada rasa ketakutan masuk dalam neraka. Kerana mereka akan diselamatkan daripada azab neraka.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka tidak akan berdukacita.

Tidak ada dukacita dalam diri mereka apabila mereka masuk ke syurga nanti. Termasuklah kalau ada kawan dan ahli keluarga mereka yang masuk neraka. Kerana Allah akan buang perasaan sedih dari hatinya. Allah akan lupakan mereka dari dalam diri ahli syurga. Kerana syurga adalah tempat bergembira, takkan sesuai kalau ada rasa sedih pula.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa, untuk mendapat kebahagiaan dalam dunia, kita hendaklah beriman dan menjaga hukum. Kerana kalau kita beriman pun tapi tidak jaga hukum-hukum yang Allah telah tetapkan, akan ada ketidakpuasan hati sesama manusia.

Sebagai contoh, kalau kita tidak tunaikan hak isteri kita, tentunya isteri kita tidak puas hati dan ada rasa hati dengan kita. Kalau kita buat amal ibadat, tapi tak beri hak kepada ibubapa kita, mereka pun tidak redha dengan kita dan kita akan ada masalah dengan Allah nanti kerana tidak menunaikan hak ibubapa kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Februari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s