Tafsir Surah al-An’am Ayat 36 – 39 (Taqdir Allah menentukan)

Ayat 36: Apabila tidak ada orang terima, ada juga yang boleh terima kebenaran itu.

إِنَّما يَستَجيبُ الَّذينَ يَسمَعونَ ۘ وَالمَوتىٰ يَبعَثُهُمُ اللهُ ثُمَّ إِلَيهِ يُرجَعونَ

Sahih International

Only those who hear will respond. But the dead – Allah will resurrect them; then to Him they will be returned.

Malay

Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati, Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima balasan.

إِنَّمَا يَسْتَجِيبُ

Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu

Majoriti manusia tak mahu nak dengar dan terima ajakan tauhid ini. Maka, siapakah sahaja yang mahu dengar?

الَّذِينَ يَسْمَعُونَ

ialah mereka yang mendengar

Hanya mereka yang mampu dengar sahaja boleh terima ajakan tauhid ini. Iaitu orang yang dengar untuk ikut. Sebelum ini telah disebut tentang mereka-mereka yang dipasang dengan  وقرا. Jadi ini adalah tentang mereka yang Allah tidak letak pemberat pada pendengaran mereka.

Itulah manusia yang mereka sendiri hendak belajar. Mereka yang ‘mampu’ dengar dan ‘hendak’ mendengar. Kerana kalau mampu dengar, tapi tak mahu nak dengar pun ada masalah juga. Itulah mereka-mereka yang mahukan kebenaran. Mungkin apabila mula-mula disampaikan kepada mereka, ajaran tauhid ini tidak sama dengan apa yang mereka biasa dengar.

Tapi mereka ada keinginan untuk mendapat kebenaran. Oleh itu, mereka tadah telinga mereka untuk dengar. Dan apabila mereka dengar, mereka buka minda mereka dan barulah mereka nampak bahawa itulah kebenaran. Maka, mereka terima. Asalnya, kenalah dengar dahulu. Kerana kita belajar dengan telinga, dengan pendengaran.

Masalahnya, ada manusia, nak dengar pun tak mahu.

وَالْمَوْتَىٰ يَبْعَثُهُمُ اللهُ

sedang orang-orang yang mati Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak),

Selepas Allah sebut mereka yang ‘mendengar’, Allah terus sebut tentang orang yang mati. Maknanya, orang yang mati tidak boleh dengar. Oleh itu, baca talqin kepada orang mati tidak ada. Kenapa nak ajar kepada orang yang mati yang sudah tidak boleh mendengar lagi?

Kalau nak dakwah, hanya kepada orang yang masih boleh mendengar lagi. Masalahnya, masyarakat kita sekarang, bila dah mati, baru nak ajar akidah kepada orang yang mati itu. Sudah terlambat. Seolah-olah mereka telah mati.

Begitu juga, kalau wali atau Nabi yang dah mati, mereka pun tidak dapat mendengar. Lalu bagaimana ada puak yang minta tolong kepada wali dan Nabi yang sudah mati? Itu adalah melawan ayat Qur’an. Kerana ayat Qur’an kata mereka tidak dapat mendengar.

Jadi, kalau mereka dapat mendengar, kena beri dalil yang sahih yang mengatakan mereka boleh dengar. Kerana dalil Qur’an kena lawan dengan Qur’an. Kalau hanya manusia sahaja yang kata, tidak boleh diterima. Tidak kiralah kalau mereka itu ulama besar mana pun. Tidak kiralah kalau mereka itu guru tarekat yang beribu anak murid pun.

Dan satu lagi, ayat ini juga memberitahu kita, kalau orang yang hatinya ‘mati’, kita ajar macam mana pun mereka tidak akan beriman. Mereka macam orang mati sahaja. Mereka itu tunggu mati sahaja. Mereka tidak ada harapan untuk menerima hidayat.

Cuma kita sebagai manusia, tidak tahu siapakah mereka yang hatinya mati. Maka, kita kena terus berdakwah kepada mereka. Jangan kita pandai-pandai kata ada orang yang telah mati hatinya. Kita tidak ada pengetahuan itu. Kita bukan Allah. Maka, teruskan dakwah walaupun berkali-kali kita dakwah kepada mereka.

ثُمَّ إِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

kemudian mereka dikembalikan kepadaNya

Mereka akan dikembalikan untuk menerima balasan.

Samada kamu percaya atau tidak, amal tauhid atau amal syirik, kamu semua akan dikembalikan kepada Allah. Maka akan terima apakah yang balasan yang sepatutnya mereka terima.


Ayat 37: Syikayah.

وَقالوا لَولا نُزِّلَ عَلَيهِ ءآيَةٌ مِن رَّبِّهِ ۚ قُل إِنَّ اللهَ قادِرٌ عَلىٰ أَن يُنَزِّلَ ءآيَةً وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

And they say, “Why has a sign not been sent down to him from his Lord?” Say, “Indeed, Allah is able to send down a sign, but most of them do not know.”

Malay

Dan mereka (golongan kafir musyrik) berkata: “Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada Muhammad satu mukjizat dari Tuhannya” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah berkuasa menurunkan mukjizat”, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman).

وَقَالُوا

Dan mereka (golongan kafir musyrik) berkata:

Mereka masih tak puas hati lagi. Macam-macam hujah yang musyrikin Mekah keluarkan. Macam puak bidaah zaman sekarang. Macam-macam dalil batil yang mereka keluarkan.

لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ ءآيَةٌ

“Kenapa tidak diturunkan kepada Muhammad mukjizat

Macam-macam musyrikin Mekah minta keajaiban dari Nabi. Mukjizat dah banyak dah atas dunia, tapi mereka tetap hendak mukjizat yang mereka hendak.

Antaranya, mereka minta bumi Mekah yang kering kontang dan tandus itu jadi subur dan keluar sungai. Ini adalah salah satu dari mukjizat yang diminta. Mereka kata, kalau baginda itu Nabi, tentu boleh minta kepada Allah untuk buat begitu. Tujuan mereka minta itu adalah untuk melekehkan Nabi. Kalau Nabi bagi hari ni, esok mereka akan minta mukjizat yang lain pula.

Mereka tak puas dengan melihat mukjizat yang ada pada Qur’an itu. Padahal, kehebatan Qur’an itu sudah tidak ada tandingan lagi. Kalau mereka nak lawan Qur’an itu pun tidak boleh dah.

مِّن رَّبِّهِ

dari Tuhannya?”

Mereka tahu yang Nabi sendiri tidak boleh buat mukjizat itu kerana baginda adalah manusia. Mereka suruh Nabi minta sendiri kepada Allah untuk beri apa yang mereka hendak lihat itu.

قُلْ إِنَّ اللهَ قَادِرٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah berkuasa

Allah suruh Nabi Muhammad jawap kepada mereka. Allah Maha Berkuasa nak jadikan apa sahaja mukjizat termasuk apa yang mereka minta.

عَلَىٰ أَن يُنَزِّلَ ءآيَةً

menurunkan mukjizat”,

Allah mampu hendak beri apa sahaja yang mereka minta itu malah lebih lagi pun. Tapi bukanlah mukjizat itu diberikan kepada mereka, tapi kemudian nanti mereka tolak juga mukjizat itu. Tidak berguna kalau beri mukjizat kepada mereka kalau begitu.

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

Tidak mengetahui apa? Mereka tidak tahu apakah hikmahnya tidak ditunaikan permintaan mereka untuk melihat mukjizat yang mereka minta itu. Mereka tak tahu apakah balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman selepas ditunjukkan mukjizat itu.

Kalau mereka minta dan Allah beri dan kemudian dari itu mereka engkar, mereka akan diazab dengan teruk sekali. Azab yang boleh menghancurkan seluruh keturunan mereka. Allah tidak mahu buat begitu. Kerana Allah tahu kalau Allah beri pun, mereka tidak akan beriman. Allah rela lewatkan azab supaya mereka ada peluang untuk bertaubat.


Ayat 38: Dalil Aqli Allah boleh turunkan mukjizat. Dah banyak sudah perkara ajaib yang Allah telah berikan.

وَما مِن دابَّةٍ فِي الأَرضِ وَلا طٰئِرٍ يَطيرُ بِجَناحَيهِ إِلّا أُمَمٌ أَمثالُكُم ۚ مّا فَرَّطنا فِي الكِتٰبِ مِن شَيءٍ ۚ ثُمَّ إِلىٰ رَبِّهِم يُحشَرونَ

Sahih International

And there is no creature on [or within] the earth or bird that flies with its wings except [that they are] communities like you. We have not neglected in the Register a thing. Then unto their Lord they will be gathered.

Malay

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi,

Apabila digunakan perkataan فِي الْأَرْضِ, ianya bermaksud ‘atas bumi’ dan ‘dalam bumi’ sekali. Termasuk dalam air sekali.

Kalimah دَابَّةٍ dari katadasar د ب ب yang bermaksud ‘bergerak’. Jadi, دَابَّةٍ bermaksud ‘binatang yang bergerak’. Iaitu makhluk yang bergerak sendiri. Banyaklah makhluk yang termasuk dalam kategori ini: manusia, kucing, ayam, serangga, ikan, harimau etc. Semuanya masuk sekali.

وَلَا طٰئِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ

dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya,

Tadi Allah sebutkan makhluk yang hidup di bumi, sekarang makhluk yang boleh terbang.

إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم

melainkan mereka umat-umat seperti kamu.

Perkataan أُمَمٌ adalah jamak kepada perkataan ummah – bermaksud kumpulan, komuniti dan selalunya digunakan untuk kehidupan. Maksudnya kehidupan di bumi dan yang terbang di angkasa itu pun adalah spesis sama macam kita juga. Mereka hidup dan mati, ada keperluan, memerlukan Allah dalam setiap perkara. Allah kawal kita sama macam Allah kawal hidupan yang lain juga.

Ini juga sebagai isyarat yang mereka ada kehidupan mereka sendiri dalam komuniti mereka. Mereka hidup dalam kerajaan mereka tersendiri yang mempunyai struktur sosial, tabiat hidup dan ‘bahasa’ mereka yang digunakan untuk berinteraksi sesama mereka.

Bezanya, selain manusia dan jin, makhluk-makhluk itu tiada taklif agama. Mereka tidak perlu melakukan ibadah.

Kenapa tiba-tiba disebutkan tentang hidupan di daratan dan langit pula? Ini adalah kerana musyrikin Mekah telah meminta mukjizat ditunjukkan kepada mereka. Mereka nak tengok dulu mukjizat, baru nak beriman kononnya. Maka Allah alihkan pandangan mereka untuk melihat alam ini. Kehidupan yang berbagai-bagai ini pun sebenarnya adalah keajaiban dah. Kenapa mereka tak nampak? Tengok yang sudah ada ini pun dah cukup ajaib dah sebenarnya.

Keduanya, kita disuruh lihatlah bagaimana binatang itu tahu apa yang mereka perlu buat. Mereka taat dengan Allah. Manusia pula macam mana? Adakah mereka taat?

مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتٰبِ مِن شَيْءٍ

Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab;

Semua perkara telah dimasukkan. Tidak ada yang ditinggalkan. Persoalannya, Kitab apakah yang dimaksudkan? Itulah Kitab di Lauh Mahfuz. Tidak ada yang terlepas dari taqdir Allah.

Atau, kalau ianya adalah bermaksud Qur’an, bermaksud Allah tidak tinggalkan apa-apa perkara pun berkenaan agama daripada dimasukkan dalam Qur’an itu. Apa yang perlu diberitahu tentang hidayah telah disampaikan dalam Qur’an.

Bukanlah bermaksud semua benda Allah dah sebut dalam Qur’an. Allah tak sebut pun nuklear dan sebagainya kerana itu tidak berkenaan hal agama. Tapi kalau hal agama, semua dah diberitahu.

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka

Setelah kita dan segala makhluk samada di bumi atau di langit mati, kita semua akan dikerah untuk dihimpunkan. Allah ingatkan bahawa kita semua akan mati.

Sentiasa Allah mengingatkan bahawa kita semua ini ada penghujungnya, akan mati akhirnya. Jangan kita sedap sahaja hidup di dunia macam kita tidak akan mati dan tidak bertemu denganNya.


Ayat 39: Ancaman kepada yang menolak ayat-ayat Allah. 

وَالَّذينَ كَذَّبوا بِئآيٰتِنا صُمٌّ وَبُكمٌ فِي الظُّلُمٰتِ ۗ مَن يَشَإِ اللهُ يُضلِلهُ وَمَن يَشَأ يَجعَلهُ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Sahih International

But those who deny Our verses are deaf and dumb within darknesses. Whomever Allah wills – He leaves astray; and whomever He wills – He puts him on a straight path.

Malay

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Ia kehendaki: akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِئآيٰتِنَا

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami,

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mendustakan’? Tentulah kita tidak boleh mendustakan. Tapi, dalam ayat ini, mendustakan itu bermaksud menolak.

Macam orang kita juga, apabila diberikan dalil dari ayat-ayat Qur’an, mereka ada yang kata: “Betul dah apa yang kamu baca tu, tapi….” Apabila ada perkataan ‘tapi’, itu bermaksud mereka menolak sebenarnya. Tapi menolak dengan cara yang lembut. Tapi tetap juga menolak namanya.

صُمٌّ

mereka adalah pekak

Bukanlah mereka pekak tidak dapat mendengar, tapi maksudnya mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan kepada mereka.

وَبُكْمٌ

dan bisu,

Maksudnya, apa yang mereka terima dari dakwah, mereka tak dapat manfaat darinya kerana mereka tak faham.

Selalunya ada sifat ketiga, iaitu عمي (buta), tapi tidak disebut dalam ayat ini. Ini adalah kerana sifat buta akan disebutkan dalam ayat yang lain nanti.

فِي الظُّلُمٰتِ

di dalam gelap-gelita.

Gelap gelita yang dimaksudkan bukan gelam gelita malam atau gelap dalam gua, tapi ianya bermaksud kegelapan syirik.

مَن يَشَإِ اللهُ

Sesiapa yang Allah kehendaki:

Semua ketetapan dari Allah. Dan Allah buat keputusan itu berdasarkan kebijaksanaanNya.

يُضْلِلْهُ

akan disesatkannya,

Mereka disesatkan oleh Allah kerana mereka itu asalnya degil. Mereka tak peduli dengan Qur’an yang telah diturunkan. Kalau kita ajak mereka belajar tafsir, mereka buat tak tahu sahaja. Macam ianya tidak penting.

Tak peduli dengan Qur’an sahaja akan dihadiahkan dengan qarin dari kalangan jin yang akan membisikkan kepada mereka itu supaya melakukan dosa dan kesyirikan.

وَمَن يَشَأْ

dan sesiapa yang Dia kehendaki:

Kehendak Allah menentukan apa sahaja.

يَجْعَلْهُ عَلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.

Pengajarannya: hidayah adalah di tangan Allah. Allah yang tentukan siapakah yang akan mendapat hidayah. Bolehkah kita salahkan Allah? Tentulah kita tidak boleh nak salahkan Allah. Kerana Allah itu Tuhan dan kita hambaNya. Tambahan pula, Allah beri hidayah kepada mereka yang mahukan hidayah.

Banyaklah salah faham tentang ayat ini pula. Jangan kata Allah yang hendak kita jadi sesat. Ramai yang dah beranggapan begitu. Mereka salahkan Allah kerana mereka tidak beriman. Mereka kata: “Apa nak buat, Allah dah takdirkan aku begini”. Itu adalah fahaman sesat yang syaitan dah masukkan dalam hati kita.

Kita tak boleh baca satu-satu ayat dan terus sampai kepada satu konklisi. Kena baca dengan ayat-ayat lain. Kena baca dengan konteks. Kita semua ada usaha untuk mendapatkan hidayah. Kalau kita sendiri tidak berusaha, kita tentang hidayah apabila sampai kepada kita, Allah akan tutup pintu hidayah kepada kita.

Jangan kita kata kita tidak ada usaha atau tidak ada upaya untuk mendapatkan hidayah. Jangan kita kata ‘itu takdir Allah’. Kita semua kena berusaha untuk mendapatkan hidayah itu. Seperti juga kita kalau nak makan, kita akan berusaha untuk cari makan bukan? Kita boleh angkat tangan kita, bukan?

Kalau kita tampar seseorang, adakah orang yang kena tampar itu akan salahkan Allah atau dia akan salahkan kita kerana tampar dia? Tentulah dia akan salahkan kita. Begitu juga dengan hidayah, kena ada usaha dari pihak kita. Apabila kita ada usaha, Allah akan bantu dengan beri hidayah itu kepada kita.

Allahu a’lam.

Kemaskini: 8 Februari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s