Tafsir Surah ad-Dukhan Ayat 50 – 59 (Qur’an dipermudahkan)

Ayat 50: Ini lagi satu dikatakan kepada mereka.

إِنَّ هٰذا ما كُنتُم بِهِ تَمتَرونَ

Sahih International

Indeed, this is what you used to dispute.”

Malay

(Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): “Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!”

 

إِنَّ هَٰذَا مَا كُنتُم بِهِ

Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu

Waktu itu ditunjukkan neraka di hadapan mereka. Allah gunakan perkataan itu dalam bahasa present tense, padahal ianya belum berlaku lagi, supaya kita dapat membayangkan kalau kita ada di sana. Efek kepada emosi kita lebih tinggi lagi.

 

تَمْتَرُونَ

ragu-ragu terhadapnya!

Dulu kamu ragu-ragu kepadanya, tapi sekarang, ianya depan mata kamu dah! Apa nak buat lagi?

Kerana mereka ragu-ragu tentang adanya azab itu, mereka tidak buat persiapan untuk mengelak darinya.


 

Ayat 51: Ini pula adalah balasan kepada orang mukmin. Tabshir Ukhrawi. Amat berbeza nasib mereka dengan orang yang berdosa.

إِنَّ المُتَّقينَ في مَقامٍ أَمينٍ

Sahih International

Indeed, the righteous will be in a secure place;

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. –

 

إِنَّ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah. Dalam setiap perbuatan mereka, mereka akan memikirkan apakah kemahuan Allah dalam perkara itu.

Yang menjaga hatinya dari syirik dan akhirnya mereka mati dalam tauhid. Semasa mereka hidup, mereka jaga anggota mereka dari derhaka.

 

فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

di tempat tinggal yang aman. –

Kepada mereka akan diberikan tempat tinggal yang aman sentosa. Mereka selamat dari kesusahan, ketidakselesaan, kerisauan dan sebagainya. Mereka tidak akan ada rasa takut.

Apakah maksud أَمِينٍ? Dari dalam kubur lagi mereka akan ditunjukkan dengan tempat mereka di syurga. Kemudian mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan mereka akan kekal di dalamnya. Mereka tidak takut ianya akan ditarik dari mereka. Mereka tahu yang mereka akan kekal di dalamnya.

Mereka akan terus berada di dalamnya. Kalau kita ada harta di dunia, kita sentiasa ada takut samada mungkin ianya akan kehilangan, diambil atau rosak. Jadi, kita tidak ada rasa aman yang sepenuhnya. Tapi di syurga, ianya akan kekal bersama kita.

Mereka akan tenteram dan selamat dari kebimbangan. Dari segala kebimbangan apa sahaja. Dari dunia pun kita dah pilih tempat tinggal yang selamat dan aman untuk didiami. Kerana memang kehendak manusia macam itu. Dan Allah sediakan tempat untuk orang mukmin tempat yang tenteram.


 

Ayat 52: Semua ini dibandingkan dengan kemewahan yang ada pada Firaun dulu. Tapi semua itu ditinggalkan. Kepada ahli syurga, mereka tidak akan meninggalkannya.

في جَنّٰتٍ وَعُيونٍ

Sahih International

Within gardens and springs,

Malay

Ia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya,

 

فِي جَنّٰتٍ

Di dalam beberapa taman Syurga,

Firaun ada banyak taman-taman, tapi taman-taman itu tidak bermakna kepadanya apabila ianya ditinggalkan terus. Tapi orang mukmin akan dapat kebun-kebun/taman-taman syurga yang banyak (bukan satu) dan itu lebih hebat lagi dari kebun/taman yang Firaun ada dulu.

 

وَعُيُونٍ

dengan matair-matair terpancar padanya,

Dalam ayat lain disebut bagaimana mata air itu dari berbagai jenis. Ada air yang dari air tawar, air madu, air susu dan air arak. Nak minum ambil sahaja dari sungai itu. Air itu tidak memabukkan kita dan tidak memudharatkan kita. Kerana kalau kita di dunia, kalau minum lebih, ada kemungkinan ianya memudharatkan kita. Tapi tidak apabila di syurga nanti.


 

Ayat 53: Pakaian apakah yang mereka akan pakai di sana?

يَلبَسونَ مِن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَقٰبِلينَ

Sahih International

Wearing [garments of] fine silk and brocade, facing each other.

Malay

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).

 

يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍ

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus

Di dunia, pakaian sutera adalah pakaian yang mewah. Tidak ramai yang boleh pakai sutera. Tapi semua ahli syurga akan pakai 70 lapis pakaian sutera. Kenapa banyak sangat? Kerana suasana di syurga adalah dingin – dingin yang menyenangkan. Jadi, kena pakai pakaian yang tebal sikit baru sedap lagi.

Tapi ada sutera lembut dan sutera tebal yang disebut dalam Qur’an. Sutera lembut itu adalah yang digunakan pada badan. Kerana untuk badan, memang kain yang lembut sikit digunakan.

Di dunia, orang lelaki tidak dibenarkan memakai sutera. Ianya adalah hukum yang telah ditetapkan. Tapi dibenarkan memakainya di syurga. Jadi, kalau kita jaga hukum di dunia dengan tidak memakainya, kita akan memakainya di syurga kelak.

 

وَإِسْتَبْرَقٍ

dan kain sutera tebal yang bersulam;

Sebelum ini disebut sutera halus. Sutera halus untuk baju. Sutera kasar untuk seluar. Macam kita di dunia lah juga, kalau untuk seluar, kain yang lebih tebal digunakan.

Yang memakai sutera adalah apabila seseorang itu kaya dan tidak ada kerja berat yang perlu dilakukan. Takkan seseorang nak pakai sutera semasa buat kerja. Ini bermaksud, ia menunjukkan isyarat kemewahan, duduk bersenang lenang dan menikmati masa lapang.

 

مُّتَقٰبِلِينَ

Duduk berhadap-hadapan.

Duduk dengan mesra bersama-sama ahli syurga yang lain. Tidak ada rasa marah dan tidak selesa apabila bersama dengan ahli syurga yang lain. Boleh duduk berhadap-hadapan. Bilakah kita boleh begini? Apabila tidak ada rasa kekok antara mereka. Kalau ada rasa kekok sikit pun, kita akan susah nak duduk berhadapan dengan orang lain. Dalam syurga tidak ada rasa langsung perasaan tidak selesa sebegitu.

Juga bermaksud semua mengadap di hadapan. Tidak duduk di belakang orang macam dalam dunia. Maknanya, tidak ada darjat rendah. Sebab duduk belakang orang lain tidak bagus. Kalau dalam dunia, macam dalam stadium yang ada duduk depan dan belakang ikut tiket. Kalau tiket murah, duduk di belakang lah. Tapi di syurga, tidak ada tiket duduk belakang, semua duduk depan. Macam mana Allah buat, Allahu a’lam


 

Ayat 54:

كَذٰلِكَ وَزَوَّجنٰهُم بِحورٍ عينٍ

Sahih International

Thus. And We will marry them to fair women with large, [beautiful] eyes.

Malay

Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.

 

كَذَٰلِكَ

Demikianlah balasannya;

Itulah balasan-balasan yang akan diberikan kepada mereka yang beriman dan beramal soleh semasa di dunia. Bukan itu sahaja, ada lagi yang akan diberi:

 

وَزَوَّجْنٰهُم

dan Kami jodohkan mereka

Mereka akan diberi pasangan. Siapakah pasangan mereka?

 

بِحُورٍ عِينٍ

dengan bidadari-bidadari cantik matanya.

Perkataan حُورٍ digunakan untuk ‘perempuan yang bermata cantik’. Mata putih amat putih dan mata hitam amat hitam – kontras yang cantik.

Perkataan عِينٍ pula digunakan untuk mengisyaratkan kepada perempuan yang mempunyai ‘mata besar yang cantik’. Terpesona kita melihatnya.

Ada juga yang membezakan: حُورٍ nisbah kepada warna kulit yang cantik. Dan عِينٍ pula nisbah kepada kecantikan mereka. Sudahlah kulit cantik, mereka pun memang cantik.

Ketua bidadari dalam syurga kita adalah isteri kita sendiri. Isteri kita lebih cantik dari bidadari-bidadari itu. Iaitu mereka akan dicantikkan apabila dimasukkan ke dalam syurga nanti. Bukanlah kita masuk dengan rupa kita semasa di dunia. Umur lelaki akan tetap 31 tahun dan perempuan berumur 29 tahun.

Walau bagaimana cantik pun bidadari-bidadari itu, isteri kita lebih cantik dari mereka. Kerana isteri yang di dunia telah melalui banyak rintangan dan dugaan dan mereka ada melakukan amal ibadat. Walhal, bidadari dijadikan terus oleh Allah sebagai pasangan kita.

Jadi, jangan kita ingat bidadari sahaja pasangan kita. Isteri kita pun akan bersama dengan kita kalau dia pun ahli syurga. Dan kalau isteri kita tidak masuk syurga, kita akan dipasangkan dengan wanita dunia yang tidak ada suami atau suami mereka tidak masuk syurga. Inilah salah satu pendapat.

Banyak persoalan diberikan terutama dari pihak wanita: “Kenapa hanya disebut bidadari sahaja? Kenapa tidak disebut pasangan untuk wanita pula?”. Ini wanita-wanita jangan risau. Wanita-wanita dunia akan dapat pasangan mereka juga. Malah, mereka akan dapat apa sahaja yang  mereka mahu.

Tapi Qur’an hanya menyebut pasangan untuk lelaki sahaja, kerana memang perangai lelaki macam itu – berkehendak kepada wanita. Dari dulu sampai sekarang, dan semua orang lelaki begitu. Tapi orang perempuan lain sikit emosi mereka. Tidak sama seorang wanita dengan wanita yang lain.

Tidak sama keinginana pada satu masa dan masa yang lain. Hari ini nak itu, esok nak benda lain pula. Jadi, tidak dapat disebut satu benda yang wanita berkeinginan penuh. Jadi, Qur’an hanya menyebut secara umum sahaja – mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka hendak. Jadi jangan takutlah kalau mereka tidak mendapat nikmat macam yang lelaki dapat.

Tidak ada kekurangan pada mereka – mereka akan dapat semuanya, tapi tidak dapat disebut apakah perkara itu.


buah-buahan-dalam-al-quran

 

Ayat 55:

يَدعونَ فيها بِكُلِّ فٰكِهَةٍ ءآمِنينَ

Sahih International

They will call therein for every [kind of] fruit – safe and secure.

Malay

Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.

 

يَدْعُونَ فِيهَا

Mereka meminta – di dalam Syurga itu –

Allah beri motivasi lagi untuk manusia. Dalam dunia, kita hendak makan macam-macam. Hari-hari kita nak makan tapi tidak semua yang kita mahu, kita akan dapat. Kerana mungkin kita tidak mampu, atau benda itu pun memang tidak ada. Maka, Allah kata, nak makan apa sahaja mereka akan dapat.

 

بِكُلِّ فٰكِهَةٍ

tiap-tiap jenis buah-buahan,

Allah sebut buah-buahan kerana masyarakat Arab memang suka kepada buah-buahan.

 

ءآمِنِينَ

dalam keadaan aman.

Kenapa perkataan آمِنِينَ digunakan sekali lagi? Mereka dikatakan akan makan buah-buahan itu dalam keadaan aman kerana tidak akan habis, rosak, atau ianya akan menyebabkan kita sakit.

Kadang-kadang kalau kita makan sesuatu makanan di dunia, ada sahaja rasa takut dengan sebab-sebab lain. Mungkin buah itu dah nak habis jadi kita berdikit nak makan; mungkin buah itu dah nak busuk; mungkin buah itu orang lain makan sedap tapi kita makan tak sedap pula sebab tak kena dengan tekak kita; atau kalau makan banyak sangat, akan menyebabkan kita sakit perut dan sebagainya.

Sebagai contoh, ada orang tak boleh makan durian semasa di dunia disebabkan ada kesan-kesan tidak elok. Tapi kalau makan buah-buah di syurga, tidak akan ada kesan itu. Semuanya sedap-sedap belaka dan selamat untuk kita makan, tidak kira berapa banyak pun.

Perkataan ‘aman’ selalu diulang-ulang. Kerana ini adalah satu kriteria penting dalam syurga. Tidak ada rasa takut apa-apa dalam syurga nanti. Kalau harta dunia, ada sahaja rasa risau kita dengan harta itu – hilang, kena curi, rosak, dah tak cantik dan sebagainya. Tapi di syurga, kita akan rasa aman sahaja.


 

Ayat 56: Ada ayat sebelum ini yang menyentuh tentang kematian. Bagaimana musyrikin Mekah kata apabila mati, mereka akan jadi seperti mati yang sebelum hidup. Kali ini disentuh lagi hal kematian.

لا يَذوقونَ فيهَا المَوتَ إِلَّا المَوتَةَ الأولىٰ ۖ وَوَقٰهُم عَذابَ الجَحيمِ

Sahih International

They will not taste death therein except the first death, and He will have protected them from the punishment of Hellfire

Malay

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

 

لَا يَذُوقُونَ فِيهَا الْمَوْتَ

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu

Mati adalah satu benda yang paling ditakuti oleh manusia dalam dunia. Semua orang takut mati. Tapi dalam syurga, sudah tidak ada perasaan itu dah. Allah dah tarik habis perasaan itu dari dalam diri kita. Kerana tidak ada kematian lagi dah dalam syurga.

Maka, memang tidak ada apa lagi yang ditakuti dalam syurga nanti. Kita boleh menikmati keamanan dan nikmat dalam syurga tanpa ada rasa risau sedikitpun.

 

إِلَّا الْمَوْتَةَ الْأُولَىٰ

selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu;

Itu sahaja kematian yang mereka akan rasai.

Dalam hadis, Nabi menceritakan bagaimana ‘mati’ akan dibawa ke hadapan antara syurga dan neraka. Waktu itu, ‘kematian’ itu Allah jadikan dalam bentuk seekor kibas. Dan penduduk syurga dan neraka akan dapat melihatnya. Maka ‘mati’ akan disembelih dan akan diberitahu kepada penghuni syurga dan neraka bahawa selepas itu tidak akan ada kematian lagi dah.

Maka bergembiralah ahli syurga kerana mereka tahu mereka akan kekal dalam Syurga; dan menangislah ahli Neraka kerana mereka tahu yang mereka akan kekal dalam Neraka.

 

وَوَقٰهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

Kenapa mereka dikatakan ‘diselamatkan’? Kerana semua kita kena lalui neraka di Titian Sirat nanti. Mereka yang tidak masuk Neraka adalah mereka yang telah ‘diselamatkan’. Waktu itu, kita sendiri akan melihat bagaimana azab dalam Neraka itu. Dan kita akan lebih lagi rasa bersyukur kerana kita telah nampak apa yang kita telah selamat darinya.

Kalau kita terus masuk Syurga, kita mungkin tidak dapat menghargai sangat. Tapi bila dah nampak neraka, lepas itu dapat masuk syurga, lagilah kita rasa bersyukur.


 

Ayat 57:

فَضلًا مِّن رَّبِّكَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Sahih International

As bounty from your Lord. That is what is the great attainment.

Malay

(Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.

 

فَضْلًا مِّن رَّبِّكَ

sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu

Limpah kurnia yang paling besar adalah yang disebut dalam ayat sebelum ini, iaitu tidak ada kematian.

Kalimah فَضْلًا adalah satu ‘pemberian yang tidak perlu diberi’. Dibandingkan dengan pemberian yang kita beri mungkin kerana seseorang beri kita sesuatu dan kita balas budi dia. Jadi lain dengan فَضْلًا  ini. Kita tak perlu nak bagi tapi kita nak beri juga sebagai satu bonus. Jadi, segala kelebihan yang didapati dalam syurga adalah satu pemberian ‘bonus’ dari Allah.

Kalimah فَضْلًا juga bermaksud pemberian balas yang lebih lagi dari apa yang diberi. Kerana kita tidak mungkin layak untuk masuk syurga berdasarkan kepada amalan kita. Tapi kita dapat masuk kerana Allah nak beri kepada kita atas sifat rahmatNya. Kerana Allah puas hati dengan apa yang telah kita lakukan.

Tapi bandingkanlah pemberian segala nikmat syurga itu dengan amalan kita yang sedikit. Amal sedikit sahaja, tapi dibalas dengan banyak. Beramal beberapa tahun sahaja di dunia, tapi dibalas dengan syurga selama-lamanya. Memang patut kalau lafaz فَضْلًا digunakan.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

yang demikian itulah kemenangan yang besar.

Iaitu selamat dari neraka dan masuk syurga. Itulah kemenangan yang paling besar. Tidak ternilai harganya. Tidak mampu kita nak membayarnya walaupun kalau kita bermal sepanjang hidup kita. Kita tidak akan masuk syurga disebabkan amalan kita. Ini berdasarkan hadis Nabi.

Lafaz الْفَوْزُ selalu diterjemahkan sebagai ‘kemenangan’. Tapi ianya adalah jenis kejayaan yang didapati dan dalam masa yang sama, terlepas dari keburukan. Kita sudahlah dapat masuk syurga, tapi kita sebenarnya terlepas dari termasuk dalam azab neraka. Itu adalah kejayaan yang amat besar.

Jadi kita masuk syurga bukan kerana ‘pahala’ kita. Maka, amalan bidaah masyarakat kita yang ‘sedekah pahala’ itu adalah sia-sia sahaja.


 

Ayat 58: Sekarang berubah kepada topik yang baru pula – tentang Qur’an. Ini adalah kerana untuk masuk syurga, kena beramal dengan amalan Qur’an. Nabi Muhammad sudah tidak ada di kalangan kita untuk memberi nasihat terus kepada kita.

Tapi kita tetap ada Qur’an ini. Maka, untuk masuk syurga dengan segala kenikmatan yang telah disebut di atas, kenalah belajar tafsir Qur’an dan beramal dengan apa yang disuruh dalam Qur’an. Kena dekati Qur’an ini. Dan untuk mendekatinya, Allah telah mudahkan untuk kita.

فَإِنَّما يَسَّرنٰهُ بِلِسانِكَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Sahih International

And indeed, We have eased the Qur’an in your tongue that they might be reminded.

Malay

Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Qur’an dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).

 

فَإِنَّمَا يَسَّرْنٰهُ

Maka sesungguhnya Kami memudahkan Al-Qur’an

Allah mengulang topik Qur’an yang dibuka di awal surah. Surah ini dimulai dengan topik Qur’an dan sekarang di bahagian akhir, diulang balik topik yang sama.

‘Mudah’ bukanlah bermaksud ‘simple’, tapi possible. Qur’an bukanlah sesuatu yang mudah sangat sampai baca sekali boleh faham, baca sendiri boleh faham, tidak. Ini adalah kerana Qur’an ini adalah amanat yang tinggi bahasanya, hebat penerangannya.

Sebab itu, kalau tidak belajar tafsir dengan guru, susah untuk faham apakah yang dimaksudkan oleh Qur’an. Walaupun kalau kita baca terjemahan pun, kita susah nak faham. Walaupun kita tahu bahasa Arab pun, agak susah juga untuk faham.

Tapi Allah masih lagi beri peluang kepada kita untuk memahaminya asalkan kita meluangkan masa dan tenaga sedikit untuk mempelajarinya. Memang kena masuk kelas tafsir. Begitulah tujuan blog tafsir ini. Ianya sebagai sumber rujukan untuk pembaca sekelian, tapi anda hendaklah berguru dengan guru yang faham Qur’an. Jangan salah pilih, nanti tersalah faham. Kena cari guru yang memang ada sanad untuk mengajar.

Untuk memahami Qur’an, ia memerlukan usaha tapi boleh dilakukan. Itulah maksud يسر itu. Maknanya ‘mudah’ itu, semuanya sudah disediakan untuk mencapai maksud. Macam kalau kita ditugaskan untuk menggali lubang – kita diberikan dengan alat-alat untuk menggali lubang seperti cangkul dan sebagainya. Maksudnya, Qur’an itu ‘dipermudahkan’.

Allah beritahu Qur’an ini mudah sahaja untuk dipelajari. Ini untuk memberi dorongan kepada kita untuk belajar. Kalau kita sudah mula belajar tafsir Qur’an, kita akan dapati yang ia lebih mudah dari belajar matematik dan sains pun di sekolah.

 

بِلِسَانِكَ

dengan bahasamu,

Iaitu Bahasa Arab yang jelas. Sifat bahasa Arab ini lain dari bahasa dunia yang lain. Ini adalah kerana bangsa Arab tidak bercampur dengan bangsa lain semasa perkembangan bahasa Arab. Jadi, pencapaian bahasa Arab telah dipertingkatkan dan menjadi bahasa yang amat mantap.

Mereka bangsa yang mementingkan keindahan bahasa dan mereka suka dan pandai berpuisi, bersajak dan sebagainya. Cuma apabila zaman berubah, bahasa Arab pun sudah dicampuri dengan bahasa lain dan ianya sudah tidak mantap lagi. Oleh itu, dalam memahami Qur’an, kita kena cari maknanya yang asal. Ini dipanggil ‘bahasa Arab Klasik’.

Bahasa yang digunakan dalam Qur’an adalah bahasa yang mudah difahami. Bukan macam bahasa falsafah, yang berpusing-pusing sampai tak faham dah. Sampai orang biasa tak faham. Tapi masih kena luangkan masa untuk belajar, bukan boleh faham sendiri.

Bahasa engkau – maksudnya bahasa Nabi, iaitu bahasa Arab. Mungkin ada yang tanya, kenapa dikira mudah kalau bahasa Arab? Ia dikira mudah kerana bahasa itu mudah untuk diterima kerana mudah untuk difahami. Kita yang memang asal tidak tahu cakap bahasa Arab pun boleh faham kalau kita sudah mula belajar, bukan?

Kalau tahu bahasa Arab lagilah senang nak faham. Maknanya, tak tahu bahasa Arab pun boleh faham, kerana bahasa Arab ini adalah bahasa yang hebat.

Dan bahasa arab itu sangat sesuai utk memberitahu perkara yang tersirat kerana ianya adalah bahasa yang kaya. Satu kalimah boleh jadi banyak makna. Sudah cukup utk sampaikan.

Selalunya, apabila seseorang itu sudah semakin tinggi ilmunya, dah jadi Doktor Falsafah, dan ada PHD, cara cakapnya dah lain sikit sebab mindanya pun sudah berbeza. Sampaikan perkataan yang digunakan kadang-kadang tidak difahami oleh orang biasa, apatah lagi orang kampung.

Tapi lihatlah, tiada yang lebih alim dari Allah, tapi Allah turunkan Qur’an yang mudah manusia fahami. Orang yang peringkat PHD boleh faham, orang kampung pun boleh faham. Begitulah hebatnya bahasa Qur’an itu.

 

لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

mudah-mudahan mereka mendapat peringatan.

Inilah tujuan Qur’an. Memberi peringatan kepada manusia dan jin. Kalau bukan peringatan itu datang dari Qur’an, dari mana lagi? Kerana perkara-perkara ghaib memang kita tak boleh kalau kita nak usaha untuk tahu sendiri.

Ayat ini juga bermaksud Qur’an ini mudah untuk dihafali. Asalkan kita mahu berusaha. Mulakan dengan sikit kemudian kita akan perasan bahawa ianya semakin mudah. Kita juga boleh perasan yang kualiti hidup kita akan bertambah baik apabila kita mula menghafal Qur’an.


 

Ayat 59: Takhwif Duniawi. Tapi, dengan segala peringatan dan dakwah yang diberikan, puak Musyrikin Mekah dan mereka yang degil masih lagi tidak mahu beriman dan membantah usaha Nabi. Inilah nasihat Allah kepada baginda dan kepada kita juga:

فَارتَقِب إِنَّهُم مُّرتَقِبونَ

Sahih International

So watch, [O Muhammad]; indeed, they are watching [for your end].

Malay

(Kiranya mereka tidak berbuat demikian) maka tunggulah (wahai Muhammad akan kesudahan mereka), sesungguhnya mereka juga menunggu (akan kesudahanmu).

 

فَارْتَقِبْ

maka tunggulah

Perkataan رقب bermaksud tunggu tapi bukan tunggu sahaja; ia bermaksud ‘tunggu sesuatu yang akan berlaku’. Allah akan buat keputusan. Jadi ini adalah amaran dari Allah supaya prihatin dengan Qur’an. Kalau tidak kisah juga, maka kamu jaga-jaga lah.

Ayat ini bermaksud tunggulah kesudahan mereka. Seperti Nabi Musa menunggu apa yang akan terjadi kepada Firaun.

 

إِنَّهُم مُّرْتَقِبُونَ

sesungguhnya mereka juga menunggu.

Mereka menunggu Nabi mati. Kerana kata mereka, kalau Nabi mati, ajaran Nabi Muhammad ini akan mati bersamanya. Kalau mereka menunggu, maka kita pun kena lebih sabar dari mereka.

Atau, ia bermaksud, tidaklah yang mereka tunggu itu tapi keputusan azab Allah yang pasti akan kena kepada mereka.

Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya, Surah Jathiya

Kemaskini: 27 Mac 2018


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s